Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: 162 stesen pemancar komunikasi di pantai timur kembali beroperasi

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Sebanyak 162 stesen pemancar komunikasi yang sebelum ini terjejas akibat banjir di negeri pantai timur telah kembali beroperasi sepenuhnya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah berkenaan, 113 adalah stesen pemancar komunikasi di Terengganu, 42 di Kelantan dan Pahang (tujuh).

Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 32 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Kelantan dan Terengganu yang turut terjejas banjir, kini telah beroperasi semula.

“Sehingga hari ini tiada kes yang dilaporkan oleh pemberi perkhidmatan kepada SKMM mengenai insiden melibatkan infrastruktur komunikasi yang mengancam keselamatan orang ramai.

“Namun, SKMM dan pemberi perkhidmatan sentiasa berwaspada dan menerima aduan dari orang awam dan mana-mana pihak sekiranya ada kes yang melibatkan ancaman keselamatan infrastruktur komunikasi untuk diambil tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA