Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM perlu berani ambil tindakan terhadap orang kenamaan seleweng dana negara

SEGAMAT, 2 MAC: Pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu berani mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan yang menyeleweng dana negara.

Menegaskan penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu disiasat secara menyeluruh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan beliau dalam isu itu bukan fitnah sebaliknya bersandarkan keterangan mahkamah Amerika Syarikat.

Ketua pembangkang itu menjelaskan pendedahan wanita lantikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menggunakan dana 1MDB sebanyak RM41 juta untuk membeli rumah di London perlu disiasat.

“Saya tidak akan keluar kenyataan jika tiada bukti sahih, tiada laporan.

“Kalau SPRM tanya, polis hendak siasat, silakan. Tetapi saya bagi syarat, ada bukti ambil tindakan tidak kira dia Tun, Datuk Seri. Kita mesti berani ambil tindakan kerana wang rakyat diambil secara tidak sah.

“Kita marah sebab ambil wang negara, ini kenyataan di mahkamah. Dalam Jabatan Kehakiman Amerika, keluar bukti judi kasino di Los Angeles rugi berbelas-belas juta menggunakan wang 1MDB,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berucap dalam program jelajah di Felda Palong Timur 2 di sini petang tadi yang turut disertai calon KEADILAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap C Subramani.

Semalam, Anwar meminta kerajaan persekutuan memberi penjelasan penuh isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan skandal 1MDB.

Beliau dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat menegaskan tindakan tersebut perlu disegerakan berikutan pembongkaran kes berkenaan pada peringkat antarabangsa.