Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Operasi menyelamat dua lagi mangsa diteruskan sehingga esok pagi

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Mangsa ketiga tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini dikenal pasti sebagai pemilik rumah dan mayatnya dibawa keluar pada pukul 10.58 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata mayat lelaki itu yang merupakan mangsa kedua yang terkorban dalam runtuhan berkenaan ditemukan di luar kawasan rumahnya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk tujuan pengesahan identiti,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam ini.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menenangkan waris yang membuat pengecaman mayat korban kedua mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2. Foto BERNAMA

Mohamad Farouk berkata susulan kejadian tanah runtuh pada kira-kira 6 petang itu, rumah tersebut musnah sepenuhnya dan telah beralih dari kedudukan asalnya.

“Pasukan penyelamat kini sedang mengesan dua lagi mangsa melibatkan seorang pekerja Syarikat Air Selangor Sdn Bhd dan seorang penghuni rumah yang musnah dalam runtuhan berkenaan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata operasi mencari mangsa lain akan diteruskan sehingga pagi esok memandangkan cuaca baik serta tiada pergerakan tanah.

“Sekiranya berlaku hujan nanti, kita akan hentikan operasi,” katanya.

– BERNAMA