Categories
RENCANA WAWANCARA

Tingkat produktiviti secara holistik jamin sekuriti makanan negara

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Inisiatif yang mampu meningkatkan produktiviti secara holistik merangkumi dasar yang kondusif, penggunaan teknologi moden dan keusahawanan perlu diutamakan bagi mendepani risiko sekuriti makanan negara.

Dasar yang kondusif merujuk kepada pelaburan dalam pengeluaran makanan yang tidak hanya dinilai daripada sudut faedah persendirian, tetapi pulangan sosial dan keselamatan negara.

Dalam menjelaskan perkara ini, Profesor di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia dan Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, untuk merangsang pelaburan dalam pengeluaran makanan, sektor swasta wajar diberikan insentif dengan pulangan pelaburan dalam pengeluaran makanan, mestilah sekurang-kurangnya sama dengan pulangan dalam tanaman industri.

“Sektor pertanian negara terbahagi kepada tanaman industri (seperti kelapa sawit) dan makanan (tanaman makanan, ternakan dan perikanan). Tanaman industri seperti kelapa sawit berkeluasan lebih daripada lima juta hektar.

“Ini menunjukkan bahawa pulangan pelaburan daripada kelapa sawit secara relatifnya lebih daripada pulangan pelaburan dalam pengeluaran makanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam aspek teknologi pula, beliau berkata, lebih banyak dana diperlukan untuk tujuan penyelidikan dan menerima pakai teknologi sistem pertanian, antaranya, termasuk mekanisasi, sensor, dron, penjejakan cuaca, automasi, pertanian menegak, kecerdasan buatan, teknologi nano, teknologi GPS pertanian, robotik, dan pertanian tepat.

“Untuk keusahawanan pula, bagi melengkapkan ekosistem dasar dan penggunaan teknologi, pengeluaran makanan perlu diusahakan oleh pengeluar yang dapat mempraktikkan pengeluaran secara komersial dan penggunaan teknologi canggih,” katanya.

Empat dimensi sekuriti makanan

Sesebuah negara dikatakan mempunyai sekuriti makanan apabila individu, isi rumah atau semua rakyat boleh mendapat makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat untuk hidup sihat dan aktif.

Dalam hal ini, ia merangkumi empat dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan.

Menurut Mad Nasir, ketersediaan makanan adalah gabungan pengeluaran makanan dalam negeri, import dan eksport makanan serta stok makanan domestik.

Untuk menangani perkara ini, sektor pengeluaran makanan perlu dibangunkan menjadi sektor yang moden, berdaya saing dan komersil dan ini boleh dicapai dengan meniru model pengeluaran tanaman industri.

Pelaksanaan dasar guna tanah juga boleh dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian untuk penghasilan makanan dan sumber makanan lain.

“Pada asasnya, fungsi bidang pertanian adalah sebagai pembekal makanan, pekerjaan dan pendapatan. Bagaimanapun, fungsi itu berubah dalam konteks perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, kekurangan sumber dan keprihatinan sejagat terhadap sekuriti makanan.

“Tema baharu pertanian melampaui fungsi dasarnya untuk meningkatkan pemuliharaan sumber, persekitaran dan mengurangkan kadar kemiskinan. Justeru sektor pertanian perlu dinilai bukan sahaja daripada segi pembekal makanan, tetapi pelbagai fungsi terutama perkhidmatan alam sekitar,” jelasnya.

Beliau menambah, ketersediaan makanan juga berkait rapat dengan mempromosi pertanian bandar bagi membantu mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah memandangkan proses perbandaran yang pesat menarik kemiskinan dan isu sekuriti makanan ke bandar.

Di samping itu, memperkasa penyelidikan dalam pengeluaran dan pengendalian makanan, kepelbagaian tanaman dan genetik serta pemprosesan dan pemasaran dapat memastikan ketersediaan makanan yang mencukupi, melindungi nilai pemakanan dan mencegah pembaziran makanan.

Untuk aspek kebolehcapaian makanan pula, ia merujuk kepada sumber pendapatan isi rumah untuk mendapatkan makanan dalam kuantiti, kualiti dan kepelbagaian yang mencukupi untuk diet berkhasiat.

Dalam hal ini, memetik data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), beliau berkata, rakyat Malaysia secara amnya menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa setiap hari dan daripada timbunan itu, kira-kira 15,000 tan adalah sisa makanan.

Sekitar 8,000 tan, atau 60 peratus makanan yang terbuang setiap hari adalah sisa makanan yang boleh dielakkan (merujuk kepada pelupusan makanan yang boleh dimakan seperti kerak roti, tepung dan sebagainya).

“Daripada 8,000 tan, kira-kira 3,000 tan sebenarnya masih boleh dimakan. Jumlah ini boleh memberi makan kira-kira kepada dua juta orang. Justeru promosi untuk menggalakkan penggunaan makanan secara lestari akan mengurangkan pembaziran makanan,” katanya menambah, program jaringan keselamatan sekuriti makanan seperti Food Bank perlu diperbanyak.

Aspek penggunaan makanan secara keseluruhannya merujuk kepada pendidikan mengenai keselamatan makanan dari segi pengendalian di semua peringkat di sepanjang rantaian bekalan, manakala aspek kestabilan bekalan makanan merujuk kepada kemampuan untuk ia bertahan di semua peringkat isi rumah dalam jangka masa panjang.

Covid-19 dan perubahan iklim

Dua faktor utama sumber makanan tidak mencukupi ialah kekurangan pengeluaran makanan akibat perubahan cuaca, kos pengeluaran meningkat dan kekurangan tenaga kerja serta ketidakcekapan rantaian bekalan makanan atau kegagalan pasaran.

Isu sekuriti makanan turut dibayangi krisis pandemik Covid-19 yang berlanjutan serta perubahan iklim.

“Secara amnya, bekalan makanan yang tidak mencukupi akan menjadi punca kenaikan harga dan seterusnya memberi impak kepada kebolehcapaian makanan oleh isi rumah terutama dalam kalangan B40.

“Kajian Unicef pada 2018 terhadap 2,142 kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur mendapati, 23 peratus kanak-kanak berumur empat tahun terbantut, 22 peratus kurang berat badan dan 32 peratus lebih kurus daripada purata rakan sebaya mereka.

“Hasil kajian penyelidik tempatan pada 2015 juga menunjukkan 13.4 peratus daripada orang dewasa Malaysia mengurangkan saiz makanan dan melangkau makanan utama kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan beberapa langkah untuk memperkasa sistem rantaian bekalan makanan dengan memastikan petani mempunyai akses berterusan ke pasaran serta keperluan input pertanian seperti benih, baja dan makanan ternakan.

Selain itu, kerugian lepas tuai yang mungkin meningkat kerana isu pengangkutan perlu dikurangkan di samping memastikan penyimpanan stok makanan yang mencukupi sekiranya berlakunya darurat.

Kerajaan juga perlu memastikan sokongan untuk mereka yang hilang mata pencarian terutama dalam kalangan miskin bandar B40 yang tiada perkerjaan tetap.

Menyifatkan pengeluaran makanan terdedah kepada pelbagai risiko dan ketidaktentuan, Mad Nasir berkata, untuk jangka masa panjang, pengurusan risiko pasaran perlu dibangunkan seperti pemantauan dan ramalan harga di samping perancangan kesediaan kecemasan melalui amaran awal serta memperkenalkan langkah-langkah pencegahan bencana alam seperti skim pengairan dan skim kawalan banjir.

Pada masa sama, bagi meningkatkan pertumbuhan sektor pengeluaran makanan dan seterusnya meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) dan sekuriti makanan negara, bidang komoditi makanan yang berpotensi seperti penternakan, perikanan akuakultur dan sayur-sayuran, perlu dikembangkan.

Malaysia mempunyai SSL ternakan ayam (104.1 peratus) dan telur (119.1 peratus) pada 2019 selain merupakan pengeksport bersih produk ini. SSL padi (63 peratus), sayur-sayuran (44.4 peratus), buah-buahan (78.2 peratus), daging lembu (22.3 peratus), kambing (11.8 peratus), daging babi (92.3 peratus) dan susu cecair (63 peratus).

Tingkat SSL beras negara

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), memberi tumpuan untuk meningkatkan SSL beras negara sehingga 75 peratus menjelang 2025.

Menurut Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, MAFI, Azman Mahmood, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan antaranya akan melaksanakan penanaman padi menggunakan konsep SMART Sawah Berskala Besar (SBB), mengaplikasikan formulasi baja secara spesifik mengikut tanah, menggunakan kaedah penanaman secara moden seperti penggunaan dron bagi tujuan meracun, menggunakan jentera penanaman serta penuaian terkini dan sebagainya.

“Bagaimanapun pencapaian sasaran ini turut dipengaruhi pelbagai faktor yang berada di luar kawalan MAFI seperti perubahan iklim atau cuaca. Ini memandangkan penanaman padi secara tradisional masih lagi bergantung sepenuhnya kepada taburan hujan tahunan dan cara pengurusan air yang berkesan,” katanya.

Berhubung kesan perubahan iklim dan cuaca semasa terhadap industri padi dan beras negara, beliau berkata MAFI melaksanakan inisiatif jangka pendek antaranya dengan menambah baik sistem pengairan sawah dan membangunkan telaga tiub.

Manakala untuk jangka masa panjang, MAFI akan melaksanakan program takungan air bawah tanah dan takungan pantai bagi memastikan lebihan air mampu ditakung dan digunakan semula bagi tujuan pengairan sawah.

Menurut beliau, menyedari teknologi merupakan elemen penting dalam usaha meningkat pengeluaran padi dan beras negara, beberapa langkah pemodenan industri padi dan beras juga sedang dan akan dilaksanakan termasuk Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan bagi penggunaan aplikasi berasaskan jentera.

Langkah lain ialah mekanisasi bagi memudahkan semua proses kerja di sepanjang rantaian nilai, sistem atau teknologi dalam sektor pertanian seperti kilang tanaman, Individual Quick Freezing (IQF) dan telaga tiub di samping Internet of Things (IoT) bagi tujuan pertanian pintar termasuk pembangunan agro-robotik dan penggunaan dron untuk aktiviti pembajaan dan pembenihan.

Kerjasama strategik juga dijalin dengan agensi lain seperti di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkenalkan teknologi terkini dalam industri di lapangan.

MAFI turut bekerjasama dengan syarikat teknologi swasta bagi menghasilkan teknologi bersesuaian untuk kegunaan di kawasan pertanian dan petani juga digalakkan menghasilkan inovasi pertanian yang bersesuaian dengan tanaman yang diusahakan.

“Aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan turut dipergiat bagi menjamin kemampanan pengeluaran beras negara dengan menghasilkan pelbagai benih berhasil tinggi dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta mesra alam,” katanya, menambah usaha menambah baik infrastruktur dan kemudahan di kawasan jelapang padi juga akan dilaksanakan terutama pembangunan pusat aktiviti lepas tuai.

Bela nasib pesawah

Menurut Azman, menjadi matlamat MAFI untuk mencapai SSL dalam dua dokumen dasar utama iaitu RMKe-12 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), masing-masing pada kadar 75 peratus dan 80 peratus.

MAFI secara khusus mahu meningkatkan hasil padi domestik bagi memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan dan tahap sara diri negara terhadap beras.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara berhadapan dengan pengecutan (pengurangan) kawasan bertanam padi saban tahun, pertambahan populasi dan pandemik Covid-19 yang meningkatkan permintaan terhadap beras,” katanya.

Mengenai program SMART SBB yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara menerusi pengurusan sawah dan input pertanian yang lebih teratur dan cekap, antara lain ia bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama pintar dengan pemain industri secara langsung menggunakan pendekatan pertanian kontrak.

“Secara khususnya, program SMART SBB menyasarkan peningkatan purata hasil padi nasional kepada 7.0 tan metrik sehektar dalam tempoh RMKe-12 berbanding purata hasil semasa sekitar 3.5 hingga 4.3 tan metrik sehektar. Dalam tempoh jangka panjang, program ini menyasarkan kawasan sawah seluas 150,000 hektar semusim atau 300,000 kawasan bertanam setahun untuk dibangunkan dalam program berkenaan,” jelasnya dengan menekankan, program berkenaan juga mahu menyekat ‘orang tengah’ daripada mengambil peluang serta meraih keuntungan peribadi.

“Selama ini secara konvensionalnya, penanam padi dan pembeli padi (pemain industri) ini diasingkan dan urusan jual beli diuruskan oleh orang tengah yang mengambil keuntungan lebih kurang RM110 hingga RM150 per metrik tan.

“Mengambil kira purata pengeluaran padi nasional sebanyak 2.9 juta metrik tan, industri ini kehilangan lebih kurang RM500 juta di tangan orang tengah sahaja di sepanjang rantaian nilai. Perkara ini sewajarnya ditangani segera kerana jumlah itu selayaknya adalah milik pesawah,” katanya, menambah program itu juga mampu menyelesaikan isu yang membelenggu pesawah seperti kenaikan harga baja dan racun, isu pemutuan padi yang tinggi, penggunaan teknologi yang rendah dan sebagainya melalui pelaburan oleh syarikat peneraju yang dilantik oleh MAFI.

Menurut laporan Bernama pada 20 November lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan produktiviti industri padi dan beras secara proaktif, termasuk memperkenalkan teknologi terkini bagi mendepani cabaran serta memperkasakan lagi keupayaan.

Bagaimanapun, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan, pesawah dan petani semata-mata tetapi memerlukan usaha bersama sebagaimana sering ditekankan iaitu keterangkuman dan kebersamaan yang merupakan antara teras utama konsep Keluarga Malaysia.

Konsep Keluarga Malaysia ini turut ditekankan dalam Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, yang berikutnya akan berlangsung 3 hingga 5 Mac 2022 di Dataran Angsana Johor Bahru Mall. Selain perkhidmatan pelbagai kementerian dan agensi terus kepada rakyat, program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia dan pelbagai gerai usahawan turut diadakan.

– BERNAMA