Categories
AGENDA NASIONAL

Tolak pemimpin tamak, pilih yang bantu rakyat ketika susah

JOHOR BAHRU, 12 MAC: Pengundi Johor perlu memilih pemimpin yang boleh bekerja dan membantu rakyat ketika dalam kesempitan, seru Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata tindakan memilih pemimpin yang tamak dan tidak mempedulikan nasib rakyat menyebabkan mereka terus sengsara.

“Di bandar tekanan harga ayam, sayur, telur. Di kampung pekebun berdepan isu baja, racun semua naik. Apa kata kerajaan? sebab perang Rusia – Ukraine.

“Perang ini baru berapa minggu, yang naik harga barang sudah berbulan, bertahun. Jadi nak undi mereka lagi buat apa?” katanya ketika Jelajah Johor di Flat Larkin Perdana di sini petang tadi.

Anwar yang juga ketua pembangkang menegaskan pemimpin yang suka berdolak-dalik dalam membantu rakyat perlu segera dihukum dan ditolak.

“Mereka mesti ambil langkah buat sesuatu, dulu waktu (Datuk Seri) Saifuddin Nasution jadi menteri (hal ehwal pengguna) dia turun ke bawah cari jalan.

“Selangor pula boleh turun harga ayam, semua ini ada jalan. Ini baru nama kerajaan bukan ‘kera’ jaan. Jadi saya minta fikirlah untuk perubahan,” katanya.

Pada 2018, empat parti gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menggunakan logo KEADILAN menang 36 kerusi DUN Johor. Barisan Nasional hanya mampu mengekalkan 19 kerusi dan PAS pula satu.

Namun, bilangan kerusi berkenaan berkurangan kepada 27 berikutan kejadian lompat parti.