Categories
SELANGOR

Sivarasa : Selamatkan Negara Dari Barah Korupsi Umno-BN

SUBANG, 4 FEB : Ketirisan dan amalan korupsi yang diamalkan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) sejak 50 tahun lalu merupakan faktor utama mengapa rakyat Malaysia perlu melakukan perubahan dari sudut pemerintahan negara.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah berkata, keadaan ekonomi negara yang semakin merudum dan kecurian wang rakyat yang berlaku secara terang-terangan juga antara penyebab perlunya pentadbiran kerajaan sekarang ditukar.

Menurut Sivarasa, rakyat akan semakin menderita dan bakal menanggung kerugian kerana semakin terbeban dengan pentadbiran Umno-BN yang hanya mementingkan kroni semata-mata.

“Keadaan negara kita sekarang sudah sampai ke tahap di mana rakyat tiada pilihan, selain membuat perubahan di negara ini. Bagi saya, tiada masa untuk rakyat tanya mengapa kerajaan sekarang perlu diubah.

Untuk mengelakkan negara daripada terus rosak dan musnah kerana ketirisan Umno-BN, maka kita mesti ubah kerajaan sekarang dengan menggantikan kerajaan baharu iaitu Pakatan Rakyat (PR) di Putrajaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina di Pekan Subang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.

Tambah Sivarasa, tahun 2012 merupakan tahun penting bagi seluruh rakyat di negara ini kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka akan berlangsung sedikit masa lagi.

Ini kerana jelasnya, PRU-13 bukanlah sekadar pilihan raya biasa seperti tahun-tahun sebelumnya, sebaliknya ia akan menentukan masa hadapan negara dan nasib rakyat sendiri.

“Kali ini rakyat tiada pilihan lagi selain memilih pemimpin baru. Sekiranya rakyat terus-terusan memilih Umno-BN, negara kita akan tentu musnah di masa hadapan. Mesej ini perlu disampaikan kepada semua.

Malaysia akan menjadi sebuah negara yang hebat dan bertambah maju, tetapi bukan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang,” tegasnya.

 

Categories
SELANGOR

Simpanan Negeri Melonjak Ke Hampir RM2 billion

SUBANG, 4 FEB : Kecekapan dan ketelusan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam mentadbir negeri Selangor sejak 2008 terbukti apabila hasil simpanan tunai kerajaan negeri meningkat kepada RM1.9 bilion.

Ini merupakan peningkatan daripada RM1.2 bilion yang dilaporkan tahun lepas.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya semasa menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Pekan Subang hari ini.

Menurut Abdul Khalid, pengurusan wang yang beramanah sebagaimana dilakukan kerajaan Selangor membuktikan komitmen PR terhadap pemerintahan yang adil dan tidak berbelah bahagi.

“Ini menunjukkan bahawa negeri Selangor yang ditadbir PR boleh menjaga wang rakyat dengan baik, selaras dengan tema Selangorku : Hasil Negeri Untuk Rakyat. Kerajaan terdahulu (Umno-BN) tidak pernah membela nasib rakyat.

Perkara ini juga sekaligus membuktikan PR boleh mentadbir negeri Selangor jauh lebih baik berbanding kerajaan Umno-BN,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru rakyat untuk menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang ditawarkan kerajaan pusat kepada setiap keluarga yang memiliki pendapatan kurang daripada RM3000.

“Rakyat perlu menggunakan peluang yang ada ini untuk segera mengambil bantuan yang diberikan kerajaan persekutuan kerana wang itu adalah hak milik rakyat yang dikembalikan semula.

Saya juga menyeru kepada setiap wakil rakyat untuk sama-sama membantu mereka yang berkelayakan ini segera mengisi borang,” tegasnya.

Categories
NASIONAL

Hadi Akan Bertanding Pada Pilihanraya Akan Datang

KUALA LUMPUR 4 Feb: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah bersetuju untuk bertanding pada pilihanraya umum akan datang sebagai menghormati kehendak pimpinan tertinggi parti itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2 Februari di Pejabat Agung PAS telah mengambil keputusan untuk menolak hasrat Hadi untuk mengundur diri dan tidak bertanding pada pilihanraya akan datang.

“Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut. Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke-13,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Hadi, yang juga MP Marang, melahirkan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihanraya akan datang.

Sejurus selepas pengumuman tersebut, beberapa pemimpin PAS dan parti komponen Pakatan Rakyat meminta Hadi menarik balik keputusan beliau, kerana khidmat dan pengalamannya masih diperlukan di dalam politik tanah air.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Hadi untuk terus memimpin.

PAS, katanya bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat.

“Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Tuan Guru Haji Hadi untuk memimpin parti,”jelasnya.

Categories
NASIONAL

Isu Sekolah Cina : Wee Ka Siong Diminta Henti Pembohongan

SHAH ALAM 3 FEB : Ketua Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong digesa untuk berterus terang kepada masyarakat Cina di negara ini dan mengakui bahawa beliau tidak berupaya untuk membantu sekolah-sekolah Cina,tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim.

Menurut Teresa yang juga Adun Kinrara berkata, Ka Siong juga perlu menghentikan tindakan mengubah fakta dan bercakap bohong berkaitan dengan usaha Kerajaan Selangor yang menyediakan tanah untuk sekolah-sekolah Cina seperti yan telah diluluskan.

“Adalah jelas bahawa sebab Wee Ka Siong adalah berkali-kali memberitahu mengenai perkara itu – dengan menuduh kerajaan negeri Selangor hanya memberikan surat sokongan dan tidak memberi sekolah tanah rizab untuk SMJK Katholik dan SJKC Yak Chee untuk membina sekolah-sekolah cawangan.

“Ianya untuk menutup hakikat bahawa MCA tidak mempunyai kuasa dalam kementerian pendidikan dan mereka tidak dapat untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk kedua-dua buah sekolah untuk membina sekolah-sekolah cawangan,” kata Teresa dalam kenyataan medianya semalam.

Tambah Teresa, hakikatnya adalah kerajaan Selangor telah memutuskan dalam mesyuarat Exco pada 23 September 2011 lepas dengan memperuntukkan tanah lot 65768 dan lot 65766 di Tasik Prima Puchong kepada SJKC Yak Chee, Sekolah Tinggi Katolik dan sebuah pusat latihan autisme .

Kertas Exco mengenai keputusan ini adalah Kertas MMK. No 46/40/2011. Selain itu,jawatankuasa pembangunan sekolah-sekolah Cina Daerah Petaling Jaya dan lembaga sekolah dan PIBG telah diberikan kertas keputusan itu.

Disamping itu, surat yang dikeluarkan oleh Kerajaan negeri Selangor kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, mengumumkan kelulusan tanah dan menyokong hasrat sekolah untuk membina cawangan, telah disediakan untuk pelbagai pihak.

Oleh itu sekarang, selagi Kementerian Pelajaran meluluskan pembinaan kedua-dua sekolah cawangan ini maka sekolah-sekolah boleh mengemukakan permohonan untuk memulakan kerja-kerja.

“Wee Ka Siong terus berbohong untuk mengelirukan orang ramai dan ingin menghina kerajaan negeri dan menghina kebijaksanaan pemimpin jawatankuasa lembaga sekolah dan PIBG kedua-dua sekolah,” kata Teresa.

Justeru, tegas Teresa agar muslihat politik oleh MCA ini dihentikan daripada terus mempengaruhi pihak yang tidak bersalah seperti sekolah-sekolah dan pelajar yang mahu peluang menikmati persekitaran pendidikan yang selesa.

Categories
SELANGOR

Hotel Bajet Jadi Tumpuan Maksiat Sambut Tahun Baru

SHAH ALAM, 5 JAN: Hotel bajet dan beberapa pusat hiburan di sekitar Selangor menjadi tumpuan utama dalam Operasi Khas Anti Zina Sempena Sambutan Tahun Baru 2012.

Operasi yang diketuai oleh Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali bersama Bahagian penguatkuasa Jais dan Pihak Berkuasa tempatan serta polis.

Datuk Hassan dalam sidang medianya memaklumkan, operasi melibatkan semua 9 daerah di Selangor dengan Operasi Cegah Arak di pusat hiburan manakala hotel bajet untuk Operasi Khalwat dan Zina yang bermula selepas jam 12.00 pagi dan tamat sekitar jam 5.00 pagi.

“Dalam operasi yang dibuat, adalah jelas bahawa hotel-hotel bajet telah dijadikan tempat melakukan maksiat paling popular dikalangan mereka yang terlibat. Untuk semua daerah, kerjasama pemilik dan kakitagan hotel yang terlibat bolehlah dikatakan memuaskan walaupun pada peringkat awalnya terdapat percubaan untuk melindungi penginap-penginap hotel tersebut,” katanya.

Seramai 18 orang ditahan yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan 6 orang perempuan dalam operasi cegah arak yang dilakukan di dua pusat hiburan yang terletak di Damansara dan Petaling Jaya pada malam 30 Disember 2011.

“Melalui ujian yang dibuat, mereka yang boleh disabitkan kesalahan meminum arak akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah sementara 69 orang lagi yang memerlukan khidmat kaunseling, mereka akan diminta memberi keterangan dan menjalani sesi kaunseling pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, operasi mencegah khalwat dan zina dibuat pada awal pagi tahun baru 2012, seramai 234 orang telah ditahan.

Mereka terdiri daripada 119 pasangan melibatkan 127 lelaki dan 107 Wanita.

Daerah Gombak mencatatkan jumlah yang ditahan paling tinggi dengan 74 orang (37 pasangan), Klang 28 orang (14 pasangan), Hulu Selangor 27 orang (13 Pasangan) dan Hulu Langat 20 orang (10 pasangan). Mereka yang ditahan berada dalam lingkungan umur 16 tahun hingga ke 50 tahun.

“Sebagai pihak bertanggungjawab, saya akan mengadakan mesyuarat khas membincangkan oeprasi yang telah dilakukan. Saya juga akan mengemukakan beberapa cadangan hasil daripada perbincangan yang bakal diadakan kepada pihak berkuasa supaya masalah jenayah Syariah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Mereka yang terlibat akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada 12 dan 13 Januari sementara tarikh untuk mereka hadir ke sesi kaunseling akan dimaklumkan kemudian.

Kedua-dua operasi ini dilakukan sebagai langkah menguatkuasakan Seksyen 18 (Minuman Yang Memabukkan) dan Seksyen 29 (Khalwat) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.