Categories
GLOBAL NASIONAL

Statut Rome: PBB tarik balik penyertaan Malaysia

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan penarikan balik penyertaan Malaysia ke Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 15 Mei 2019.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, penarikan balik penyertaan Malaysia ke triti tersebut berkuatkuasa serentak mengikut tarikh surat dikemukakan Kerajaan Malaysia pada 29 April 2019.

“Makluman mengenai pengesahan tersebut telah dimuatnaik di laman sesawang PBB pada awal pagi 16 Mei 2019 (waktu Malaysia).

“Sehubungan dengan ini, Malaysia telah dikeluarkan daripada senarai Negara Pihak kepada Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Maklumat lanjut mengenai pengesahan ini boleh dilayari di laman sesawang United Nations Treaty Collection di https://treaties.un.org/doc/Publication/CN/2019/CN.185.2019-Eng.pdf,” katanya.

 

Categories
NASIONAL Ringgit

Dana Tabung Harapan lunas hutang 1MDB – Guan Eng

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM203,292,117.41 akan digunakan untuk melunaskan sebahagian hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2019 berjumlah RM1,704.78 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM pada 24 April lalu.

“Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM Bil.1/2019 pada 24 April 2019 telah bersetuju memutuskan bahawa kesemua dana dalam THM ini akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM1,704.78 juta bagi tahun ini.

“Meskipun dana THM ini tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB sebanyak RM51 Bilion, Tabung Harapan akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara.

“Kerajaan dengan ini ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan ke dalam THM ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, baki akhir THM sehingga 14 Januari lalu iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan adalah sebanyak RM202,716,775.10.

Menerusi pelaburan simpanan tetap yang ditadbir Jabatan Akauntan Negara telah dilaksanakan dan faedah pelaburan yang diterima sehingga 31 Mac tahun ini adalah sebanyak RM575,342.31, menjadikan jumlah terkini akaun amanah THM adalah berjumlah RM203,292,117.41.

 

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Kerajaan cadang beri insentif kepada guru lanjutan pelajaran peringkat sarjana dan PHD

GEORGE TOWN, 16 Mei: Kementerian Pendidikan bercadang untuk memberikan insentif kepada guru-guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung cadangan itu.

“Untuk jangka masa panjang, kita sedang merangka dan berbincang dengan pihak JPA. Saya juga akan minta pertolongan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan ini,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kementerian telah menggariskan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang bagi menambah baik tugas para guru di sekolah.

Maszlee berkata, bagi inisiatif jangka sederhana yang bermula seawal Januari sehingga hujung tahun ini, kementerian telah menyenaraikan beberapa isu antaranya pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) telah dihentikan.

Menurutnya pihak sekolah hanya perlu melaksanakan audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Fasa semakan dan penilaian kendiri dibuka dua kali setahun iaitu pada bulan Januari hingga Mac (Fasa 1) dan Ogos hingga November (Fasa 2) berbanding tiga kali sebelum ini. Sistem online sentiasa dibuka untuk dikemas kini dan pemantauan,” katanya.

Beliau berkata bagi isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, bermula tahun ini pengawasan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilaksanakan secara dua fasa pada Oktober dan November semasa waktu persekolahan.

Bagi memenuhi keperluan penggantian guru bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, beliau berkata, peruntukan sebanyak RM35.2 juta telah disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi membolehkan sekolah menggunakan khidmat guru ganti.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang yang melibatkan isu yang lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.

“Bagi inisiatif jangka panjang pula selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung tahun ini, beberapa inisiatif telah dirangka termasuklah mengatasi masalah guru terpaksa keluar atas beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar memberikan penumpuan dalam bilik darjah.

“Prosedur operasi standard keselamatan guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh, antara inisiatif yang akan diberikan adalah Perlindungan Insurans Guru yang akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin mengetuai bacaan ikrar. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM beri jaminan bonus Aidilfitri kepada penjawat awam

GEORGE TOWN, 16 Mei: Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

Tun Dr Mahathir Mohamad, bagaimanapun tidak menyebut berapa jumlah yang akan diberikan dan sama ada bantuan khas itu akan diberikan kepada semua penjawat awam.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, perkara itu akan diumumkan kemudian.

“(Bantuan khas Aidilfitri untuk penjawat awam) ada, kita akan isytiharkan kemudian,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2019.

Pada 30 April lepas, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan memohon kepada kerajaan persekutuan agar dapat memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada semua penjawat awam di seluruh negara.

Tahun lepas, kerajaan memberikan bantuan khas berkenaan iaitu bagi gred 41 dan ke bawah sebanyak RM400 seorang manakala pesara kerajaan sebanyak RM200. – BERNAMA