Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pemilihan Sultan Selangor selaras perakuan jawatankuasa tertinggi Islam

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pemilihan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk tempoh dua tahun pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-258 adalah selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Majlis Raja-raja.

Menurut satu kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini, Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sebelum ini berpandangan bahawa oleh kerana Islam terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Raja-raja Pemerintah adalah lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh seorang Raja Pemerintah.

“Perakuan Jawatankuasa (itu) telah dirunding oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dengan pihak kerajaan dan telah mencapai persefahaman dan kata sepakat.

“Susulan daripada perkembangan tersebut, Majlis Raja-Raja Kali Ke-258 telah berkenan memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia untuk tempoh dua tahun,” menurut kenyataan itu.

Menurut Syed Danial kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan laporan sebuah akhbar tempatan pada 10 Mac lepas yang melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja kerana laporan itu dianggap boleh mengelirukan.

Syed Danial berkata pelantikan Pengerusi MKI sejak penubuhannya oleh Majlis Raja-Raja sendiri pada 1968 sememangnya telah dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj telah diperkenankan sebagai Pengerusi MKI.

Bagaimanapun Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-258, telah membuat ketetapan bahawa salah seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab Pengerusi selama dua tahun secara bergilir-gilir sementara Perdana Menteri dilantik sebagai Timbalan Pengerusi selaras dengan perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB: Waris mangsa maut akibat tanah runtuh terima bantuan minggu depan

HULU SELANGOR, 12 MAC: Kerajaan Negeri akan segera menyalurkan bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini kelmarin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bayaran itu akan dibuat kepada keluarga mangsa selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu.

“Fokus utama kita adalah memastikan kawasan insiden selamat dan diikuti dengan bantuan. Ketika bencana, langkah awal adalah menyelamatkan nyawa dan kemudiannya sumbangan serta sokongan kepada keluarga dan waris mangsa terjejas.

“Jumlah keseluruhan bantuan perlu diputuskan tetapi yang pasti keluarga mangsa yang meninggal dunia akan menerima RM10,000 dan ia akan diserahkan dalam tempoh seminggu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini.

Semalam, ketika meninjau lokasi tanah runtuh Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengagihkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut.

Bantuan diberi kepada waris mangsa yang meninggal dunia terlebih dahulu dan diikuti mangsa lain yang turut terjejas dengan insiden tersebut.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa manakala seorang lagi cedera ringan dan mengakibatkan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula jam 5.54 petang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

MB: Penduduk dinasihat berpindah hingga hasil kajian tanah runtuh diperoleh

HULU SELANGOR, 12 MAC: Dato’ Menteri Besar sekali lagi menasihatkan penduduk di Taman Bukit Permai 2, Ampang supaya segera berpindah buat sementara waktu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata permintaan itu dibuat kepada 48 penghuni unit kediaman di kawasan tanah runtuh berkenaan.

“Tempoh perpindahan tidak lama kira-kira tiga hingga empat hari atau maksimum lima hari, sehingga kita memperoleh kebenaran daripada pihak terbabit mengenai tahap keselamatan cerun yang runtuh.

“Jika kajian mendapati ia selamat untuk diduduki, mereka boleh balik ke kediaman masing-masing dan operasi pemulihan di lokasi tanah runtuh akan dijalankan segera.

“Bagaimanapun, saya minta mereka mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya mahu terus berada di rumah masing-masing kerana lokasi itu masih berisiko,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu kajian oleh Jabatan Kerja Raya, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berhubung insiden itu.

“Mereka meminta tempoh tiga hari dan selepas itu kita akan meneliti tindakan selanjutnya, termasuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan cerun yang tidak dapat dilakukan sekarang.

“Mengenai 150 cerun yang dikenal pasti berisiko berlakunya tanah runtuh, perkara ini akan dibincangkan seperti isu menangani banjir. Kita dalam proses memantau cerun-cerun dan bagaimana hendak menanganinya khusus ketika berdepan dengan perubahan iklim serta cuaca tidak menentu,” katanya.

Semalam, selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi tanah runtuh, Amirudin memaklumkan tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembalakan berlaku.

Kejadian di Taman Bukit Permai 2, Ampang itu meragut empat nyawa manakala seorang mangsa cedera ringan, selain mengakibatkan 15 rumah dan 10 kenderaan terjejas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri tambah bekalan ayam di lokasi jualan prihatin 

AMPANG, 12 MAC: Kerajaan Negeri akan menambah bekalan ayam sehingga 1,000 ekor di lokasi terpilih program jualan prihatin rakyat, susulan permintaan tinggi daripada orang ramai.

EXCO pertanian berkata, sebelum ini pihaknya menyediakan 500 ekor ayam di semua lokasi jualan berkenaan.

“Kita hadkan bekalan kepada 500 ekor ayam di setiap lokasi namun ada juga lokasi yang tidak cukup hingga perlukan 1,000 ekor.

“Waktu operasi juga bergantung kepada kehadiran pelanggan. Kita mahu pastikan semua mendapat peluang membeli barang pada harga murah,” kata Ir Izham Hashim kepada Selangorkini hari ini.

Mengenai program jualan prihatin rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, beliau berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Katanya, orang ramai sudah mula beratur di lokasi di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya sejak jam 9 pagi walaupun gerai jualan hanya dibuka pada jam 10 pagi.

“Penduduk memang memanfaatkan peluang ini kerana harga jualan lebih murah berbanding pasaran. Lagipun tempat ini juga strategik untuk dikunjungi.

“Bagi meringankan beban pelanggan yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah, pusat khidmat turut menyediakan baucar RM10 kepada 200 pengunjung terawal,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah itu berkata program sama turut diadakan di Kampung Melayu Subang, Subang dan Jalan Permai 2, Tasik Permai.

Program yang dilancarkan pada 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri itu menjual barang keperluan dengan harga lebih murah terutama ayam, telur, daging dan ikan.

Ia akan diteruskan di Jalan GP2A, Gombak Permai; Dewan Beringin, Taman Seri Gombak dan Padang Perbandaran Ampang Jaya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: 29 peratus sudah keluar mengundi setakat 12 tengah hari

SHAH ALAM, 12 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 29 peratus pengundi yang layak sudah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat jam 12 tengah hari tadi.

Sebelum ini, SPR menjangkakan sekitar 70 peratus daripada 2,597,742 pengundi berdaftar akan keluar mengundi hari ini.

Jangkaan itu sama seperti yang disasarkan dalam PRN Melaka dan Sarawak yang berlangsung pada November serta Disember tahun lalu.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, tempoh pengundian dari pukul 8 pagi juga dianjakkan sehingga pukul 6 petang iaitu pertambahan masa selama 30 minit bagi memberikan peluang kepada orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MMA: Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran mencukupi

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 dalam pasaran adalah mencukupi, dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik kit ujian itu sehingga boleh menyebabkan bekalannya menyusut.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata keperluan bagi melakukan ujian kendiri adalah hanya selepas menghadiri majlis besar, melawat warga emas atau individu yang lemah imun atau yang menunjukkan simptom.

Beliau berkata profesional penjagaan kesihatan sendiri tidak menjalankan ujian kendiri secara harian, melainkan sekiranya ia jelas diperlukan untuk berbuat demikian dalam situasi berisiko tinggi tertentu.

“Disebabkan kebolehjangkitan varian Omicron yang tinggi, jumlah kes positif harian akan meningkat sehingga kita mencapai kemuncak, oleh itu adalah berhemat untuk kita menjaga tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun ketepatan kit ujian kendiri mungkin tidak setanding dengan ujian Kit Ujian Pantas Antigen (RTK Ag) dan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT PCR) profesional, kit ujian kendiri berguna dalam mengesan kehadiran virus pada kes-kes bergejala.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MetMalaysia: Orang ramai dinasihat lebih waspada ketika fasa peralihan monsun

SHAH ALAM, 12 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai lebih berwaspada sepanjang fasa peralihan monsun.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 14 Mac ini dan berterusan hingga pertengahan Mei 2022.

“Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya monsun timur laut yang bermula sejak 3 November 2021.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataannya semalam, MetMalaysia berkata semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Menurut kenyataan itu, kejadian itu berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Katanya, keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Categories
AGENDA NASIONAL

32,800 angka jangkitan harian tertinggi Covid-19, kes serius kekal rendah

SHAH ALAM, 12 MAC: Jumlah jangkitan harian Covid-19 melonjak 2,013 kepada 32,800 kes semalam, tertinggi sejak wabak itu melanda negara dua tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 32,259 adalah kes tempatan, manakala 541 adalah kes import.

Angka jangkitan harian tertinggi dicatatkan sebelum ini adalah 32,070 kes iaitu pada 24 Februari lalu.

Kes jangkitan bagi kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah iaitu 183 kes atau 0.56 peratus manakala kategori satu (tanpa gejala) 12,726 kes atau 38.8 peratus dan kategori dua (gejala ringan) merekodkan 19,891 kes atau 60.64 peratus

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 12, 726 kes (38.80 peratus)
Kategori 2: 19,891 kes (60.64 peratus)
Kategori 3: 70 kes (0.21 peratus)
Kategori 4:78 kes (0.24 peratus)
Kategori 5: 35 kes (0.11 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan berkata seramai 8,858 atau 2.7 peratus pesakit sedang dirawat di hospital dan daripada jumlah itu 149 kes tidak memerlukan bantuan pernafasan dan 231 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Setakat semalam, 310,351 atau 96.2 peratus pesakit Covid-19 sedang menjalani kuarantin di rumah dan 3,111 atau satu peratus pesakit dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Jumlah kes aktif terbaharu adalah 8,280 kes menjadikan jumlah keseluruhan kepada 322,700 kes,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 97 kes kematian direkodkan semalam termasuk 21 kes kematian di luar hospital menjadikan jumlah kematian sehingga semalam adalah 33,643 kes.

Jumlah kes terkumpul keseluruhan setakat semalam adalah 3,774,786 kes.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS: Lima keluarga asnaf positif Covid-19 terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 12 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada lima keluarga asnaf di perkampungan Orang Asli Sungai Buloh.

Menurut Facebook LZS, agihan itu dibuat selepas menerima maklumat daripada Penggerak Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Buloh.

“Kami menerima maklumat daripada Penggerak KOA Sungai Buloh bahawa ada lima keluarga asnaf di perkampungan Orang Asli Sungai Buloh terputus bekalan makanan kerana sedang menjalani kuarantin di rumah disebabkan positif Covid-19.

“Justeru, Zakat Selangor bersama pihak Amil Kariah telah menyantuni keluarga ini dengan memberikan barangan keperluan makanan bagi meringankan beban dan ujian yang dihadapi mereka.

“Kami mendoakan dan berharap agar keluarga yang terlibat ini diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik selepas ini. Amin,” katanya.

 

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM sedia tong sampah di kawasan tanah runtuh, permudah operasi pembersihan

SHAH ALAM, 12 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menempatkan sembilan unit tong TWB di Jalan Teratai 1/2J, Taman Bukit Teratai, Ampang Jaya sejak kelmarin, susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan.

Menurut KDEBWB dalam kenyataan di Facebook, kesemua tong itu adalah untuk kegunaan petugas, selain memudahkan operasi pembersihan sampah tabur di lokasi kejadian.

“Berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 10 Mac lalu, KDEBWM cawangan Ampang Jaya sudah menyediakan sembilan unit tong TWB di kawasan kejadian.

“Ia bertujuan memberi kemudahan kepada petugas barisan hadapan ketika melaksanakan kerja-kerja di lokasi kejadian,” katanya.

KDEBWM berkata orang ramai yang ingin membuat aduan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di negeri Selangor, boleh menghubungi talian bebas toll KDEB Waste Management di 1-800-88-2824 atau muat turun aplikasi iClean Selangor di play store atau google play.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Semakan tawaran ke sekolah khusus mulai 15 Mac

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Semakan tawaran kemasukan ke tingkatan satu, tingkatan empat dan tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke sekolah khusus tahun 2022 boleh dibuat Selasa depan (15 Mac).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata tawaran kemasukan ke sekolah khusus itu melibatkan sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah menengah teknik (SMT), kolej vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) di bawah Kementerian Pertahanan.

“Semakan tawaran boleh dilakukan melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi kemasukan ke tingkatan satu dan https://spskt4.moe.gov.my untuk kemasukan ke tingkatan empat serta tahun 1 SVM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Radzi, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu tingkatan satu di SBP dan SMKA ditetapkan pada 21 hingga 25 Mac ini, manakala pendaftaran secara fizikal akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, pendaftaran secara dalam talian bagi murid baharu tingkatan empat di SBP dan SMKA juga pada 21 hingga 25 Mac manakala pendaftaran secara fizikal pada 5 April.

“Pendaftaran secara fizikal bagi murid baharu tingkatan empat dan tahun 1 SVM di SMT dan KV pula pada 7 April manakala pendaftaran bagi murid baharu tingkatan empat ke MTD akan dimaklumkan melalui laman sesawang http://www.rmc-education.edu.my,” kata Radzi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Amirudin bantu kempen calon KEADILAN di Johor

SHAH ALAM, 10 MAC: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turun padang membantu kempen jentera parti KEADILAN pada Pilihanraya Negeri (PRN) Johor pada hari ini dan esok.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor berharap rakyat akan memilih KEADILAN dan Pakatan Harapan supaya kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dapat dibentuk di Johor.

“Insya-Allah saya akan bersama membantu jentera KEADILAN bagi pecutan akhir kempen PRN Johor yang akan berakhir 12 Mac ini.

“Semoga mandat rakyat Johor bersama KEADILAN dan Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab,” katanya di Twitter hari ini.

Menurut jadual yang dikongsi di  Facebook, Amirudin bakal berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) antaranya Larkin, Kempas, Tiram, Bukit Batu, Gambir, Bukit Naning, Semerah, Rengit dan Layang-Layang.

KEADILAN Selangor turut membantu kempen Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Negeri Melaka tahun lalu.

Seramai 239 calon bertanding di 56 kerusi DUN pada PRN Johor yang berlangsung Sabtu ini.