Categories
SELANGOR

Faekah: Peruntukan RM15 Juta pada RPK Untuk Buktikan Tuduhan

SHAH ALAM 2 JAN – Tuduhan penulis blog Raja Petra Kamaruddin(RPK) bahawa wujud gejala di Selangor yang melibatkan pemberian duit kopi oleh usahawan berbangsa Cina adalah satu tuduhan yang serius.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan kepada TV Selangor hari ini.

Menurutnya, beliau terpanggil untuk memberi komen selepas membaca temubual eksklusif RPK akhbar-akhbar milik Umno yang disiarkan semalam.

Jelasnya, beliau menghormati hak RPK melakukan analisa politiknya namun berasa mushkil dan sesungguhnya hanya beliau seorang sahaja yang mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut.

“Tuduhan adalah serius. Kami menuntut RPK untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada Kerajaan Negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan.

“Kerajaan Negeri bersedia membayar kos perjalanan RPK ke Pejabat Pentadbiran Kerajaan kerana untuk makluman RPK Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Negara ini khususnya di Selangor.

“Jumlah tersebut termasuk di dalam Geran Selangorku yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan 2012 yang lalu,” katanya.

Tambahnya dengan apa yang disediakan kerajaan Selangor, RPK seharusnya mengambil peluang ini untuk membantu membenteras gejala ini di Selangor.

“Beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor. RPK tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban,” katanya yang simpati terhadap kekecewaan RPK yang bergelut dengan masalah peribadi dan hidup dalam buangan.

Faekah mengingatkan PRK bahawa dakwaan liar sebegini tidak akan membantu membawanya pulang ke negara ini. Sebaliknya ianya hanya akan mencemarkan lagi imejnya yang sudah sediakala tercalar.

Katanya, ini sebagai serangan awal bagi menghadapi pilihan raya umum dan jelas ia ditujukan kepada kerajaan negeri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Negeri.

Bagaimanapun Faekah percaya rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh RPK seperti disiarkan The Sunday Times dan Berita Minggu- dua akhbar yang dulunya pernah mengkritik dan mengutuk RPK secara keras kerana menentang Kerajaan Barisan Nasional.

Categories
NASIONAL

Pesan Anwar Kepada Rakyat

PETALING JAYA 3 JAN: Beberapa hari sahaja lagi menuju keputusan kes mahkamahnya, Ketua Pembangkang Datuk Sri Anwar Ibrahim berpesan kepada rakyat walau apa pun berlaku jangan berhenti desak perubahan.

Tegasnya Barisan Nasional (BN) silap sekiranya berfikir mereka akan selamat dengan memenjarakan beliau.

Walau dipenjara sekalipun, Anwar berkata keutamaan kini adalah memastikan Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional dan menubuhkan kerajaan di Putrajaya.

“Kita harus berjuang terus. Lawan tetap lawan. Kita harus bawa perubahan. Bukan penguasa zalim tentukan masa depan negara.

Salah kita andaikan satu penguasa boleh batalkan dan sekat kemaraan rakyat.

Kita harus yakin dgn keupayaan kita dan dengan izin Allah melakukan perubahan sebaiknya untuk rakyat dan negara ini.”

Beliau berkata demikian di sesi temubual Fokus Berita terbitan TV Selangor di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumumkan keputusan kes liwat Anwar pada 9 Januari depan.

Pemerhati meramalkan dua senario samada Anwar dihukum bersalah dan dipenjarakan atau dihukum bersalah tetapi diberi ikat jamin. Kedua-duanya menghalang beliau dari menyertai pilihanraya umum ke-13 nanti.

“Umno-BN gagal mentadbir. Gagal mengangkat martabat orang Melayu. Gagal memuliakan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Gagal dalam menjamin sistem ekonomi yang baik.

“Gagal menurunkan harga barga. Gagal menaikkan pendapatan mereka. Pakatan Rakyat harus diberi sokongan oleh rakyat dan dengan izin Allah kita ganti Barisan Nasional.

“Siapa menjadi ketua bagi saya itu isu kedua.”

Categories
NASIONAL

Kesan Perbelanjaan Melampau PRU 13, Najib Laksana GST

KLANG, 1 JAN : Dalam memastikan negara terus ditadbir oleh kepimpinan tradisi Umno-BN, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak terpaksa mengambil langkang melaburkan satu dana yang besar pada kempen Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Kenyataan tersebut dikuatkan lagi dengan pendedahan terbaru bahawa Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Selangor dengan memperuntukan RM2.71 bilion yang bertujuan mencetuskan ketegangan antara rakyat dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato Seri Najib Abdul Razak menyeru kepada pemimpin Umno Selangor untuk bekerja keras bagi menawan negeri itu menerusi apa jua cara sekalipun.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata atas tekanan ini, Najib secara semulajadi akan melepaskan beban tanggungan kerajaan itu kembali kepada rakyat dengan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Sekirannya Umno-Bn menang sekali lagi pada PRU akan datang, kerajaan akan menguatkuasakan GST, kepada warga kampung GST dalam bahasa mudah ialah cukai tambahan, sedia maklum hari ini semua benda bercukai, dan kita bakal dikenakan lagi dengan cukai tambahan,” beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Umum di Dewan Batu 7, Sijangkang semalam.

Langkah melaksanakan GST ini dilihat oleh kerajaan sebagai menjana satu bentuk pendapatan baru kepada negara selain membantu kerajaan mengurangkan cukai korporat dan seterusnya akan meningkatkan daya saing perniagaan.

Matlamat GST antara lain adalah sebagai usaha mengurangkan defisit negara.

Dengan mengambil contoh pelaksanaan GST seperti yang diamalkan oleh negara jiran, Singapura, Malaysia boleh memperolehi RM13 billion setahun dengan hanya mengenakan 5 % cukai keatas rakyat.

Namun, pelaksanaan ini secara tidak langsung akan memberi tekanan hebat kepada golongan pertengahan, dan yang berpendapatan rendah meneruskan kehidupan dalam sebuah negara yang serba serbinya adalah cukai.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata kehadiran pembangkang menerusi medan perbahasan di Parlimen membuatkan kerajaan berfikir panjang untuk melaksanakan cukai tambahan itu.

Salahuddin menambah, kini terpulang kepada rakyat untuk menentukan untung nasib mereka melalui pilihanraya dalam menentukan kerajaan yang akan mentadbir negara selepas PRU-13.

“Rakyat Malaysia tidak pernah rugi memilih jumlah ahli parlimen yang banyak dari kalangan pembangkang,”

“Barulah pemimpin BN sedar langit tinggi atau rendah (kuasa rakyat), belum sempat kita memerintah, hari ini kita telah mengajar mereka dengan menafikan majoriti 2/3 di parlimen,”katanya dihadapan seribu hadirin.

Categories
NASIONAL

Azmin Ali: Tranformasi Najib Hanya Kosmetik

SHAH ALAM 2 JAN: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menganggap tranformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ubah sebagai sebuah kosmatik untuk mengabui mata rakyat.
Kenyataan beliau tersebut bagi ekoran seramai 17 orang mahasiswa ditahan dan dua mahasiswa telah dipukul pihak polis di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim baru-baru ini.

Salah seorang mahasiswa tersebut, Sdr Safwan Anang masih terlantar di Hospital Slim River akibat kekasaran melampau pihak berkuasa.

“Kejadian awal pagi tadi menjadi saksi bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak tidak ada iltizam politik untuk melaksanakan transformasi yang diwar warkannya.

“Transformasi yang diumumkan perdana menteri itu tidak lebih dari kosmetik politik bertujuan mengaburi rakyat dari kenyataan yang sebenar, bahawa pentadbiran beliau sebenarnya lemah serta tidak berdaya mengotakan janji yang dibuat.

“Hasrat untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dan memastikan kebebasan kepada mahasiswa kini dilihat tidak lebih sekadar omongan kosong.” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Menurut beliau satu siasatan berkaitan kekerasan terhadap mahasiswa ini dijalankan segera.

“Mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan kekerasan terhadap mahasiswa ini mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

“Kita juga menuntut agar pihak polis dan Menteri Dalam Negeri memohon maaf kerana kekerasan keterlaluan yang dilakukan. Kita juga berhasrat mengulangi pendirian Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan AUKU serta iltizam demi memastikan kebebasan akademik terlaksana.” kata beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa

Categories
SELANGOR

Berpuluh-ribu Banjiri Sambutan Tahun Baru Bercirikan Islam Selangor

SHAH ALAM, 1 JAN: Program Jom Santai Bersama GeMS kelolaan Kerajaan Negeri sempena sambutan tahun baru 2012 di Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 100,000 orang terutama golongan muda.

Program GeMS – Generasi Idaman Selangor, itu diadakan dengan pendekatan menyambut tahun baru dengan tema keagamaan serta bersifat santai. Ia ternyata mendapat sambutan hebat dan ianya memberi nafas baru kepada penganjuran majlis.

Gabungan golongan agama dari generasi lama dan baru dan artis popular berjaya menarik perhatian pengunjung untuk mengikuti majlis dari awal hingga akhir.

Antara celebriti agama yang hadir adalah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Akhil Hay, Imam Muda Asyraf dan Syed Hisham dan artis popular, Sham dan Dakmie Kamikaze, Shahir dan Zizan Raja Lawak.

Malah detik sambutan tahun baru ketika jam tepat 12 tengah malam amat bermakna dalam suasana baru apabila semua hadirin termasuk tetamu kehormat, Exco Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali, Dr Yaakop Sapari dan Rodziah Ismail serta Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad bersama-sama mengalunkan nyanyian memuji kebesaran Allah dengan lagu ‘Asma Ul Husna’. Ini disusuli doa penutup oleh Ustaz Azhar.

Program malam tadi bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan Forum Maghrib dihoskan Ustaz Syed Hisham dan Asraf sebagai moderator dikuti solat Isyak berjemaah.

Ceramah Perdana menampilkan Ustaz Azhar dan Zizan mendapat sambutan hebat orang ramai kerana penyampaian ceramah agama secara santai dan lawak menerusi sesi soal jawab agama.

Persembahan artis seperti Sham dan Dakmie Kamikaze, Shahir dan Ustaz Akhil Hay dengan dengan lagu moden, nasyid dan bertema keagamaan sebelum jam 12 tengah malam turut menghiburkan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui selepas majlis berkata Kerajaan Negeri mempraktikkan pendekatan itu kerana menyedari dan memahami akan minat dan citarasa golongan muda yang menyukai hiburan dan selebriti muda.

Dengan memasukkan elemen hiburan, katanya, pihaknya turut menyelitkan unsur keagamaan sebagai pendidikan supaya ianya berjalan serentak serta dapat diterima semua pengunjung yang hadir.

Katanya, berdasarkan sambutan diterima, pihaknya berpuas hati terutama kehadiran golongan muda sebagai golongan majoriti dalam program berkenaan.

“Ini adalah antara sebahagian daripada program anti- zina jadi kalau Kerajan Negeri tidak menguruskan keperluan, minat, citarasa, ciri-ciri orang muda itu kepada program yang bersifat positif maka mereka akan tertarik kepada program yang negatif dan seterusnya terjebak di dalam gejala sosial.

 

 Jadi bila kita buatkan satu program seperti ini ianya agak santai, agak relaks dan mereka datang bersama keluarga dengan majoritinya orang muda maka mereka mendapat pendidikan yang membangunkan mereka dan mereka faham apa ertinya sambutan tahun baru,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memang menjangkakan saingan daripada pihak lain yang turut menganjurkan program sambutan tahun baru dan pihaknya berbesar hati dengan sambutan hebat diterima terhadap majlis itu dan ianya terbukti berjaya.

“Saya rasa ini di antara tanda positif sokongan kepada Kerajaan Selangor, keyakinan kepada program yang dianjurkan oleh Kerajaan Selangor yang dilihat bersifat pembangunan, membangunkan manusia,” katanya lagi.