Categories
EXCO SELANGOR

Program seni pertahan diri maya sasar 2,000 peserta – EXCO

SHAH ALAM, 29 MEI: Seramai 2,000 peserta dijangka menyertai ‘Selangor Martial Art Xtiv Virtual 2020-SMAXV20’ pada 8 Jun hingga 31 Julai ini, kata EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

Mohd Khairuddin Othman berkata program seni pertahan diri virtual yang julung kali diadakan menyasarkan penglibatan semua lapisan masyarakat di negara ini khususnya Selangor.

“Penganjurannya bertujuan menggalakkan rakyat terutama penggiat seni bela diri terus aktif di rumah dengan melakukan aktiviti berfaedah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ia juga merupakan inisiatif berterusan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan seni mempertahankan diri pada peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program kerjasama Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Selangor, Synergy Taekwon-Do Club, Gabungan Persatuan-Persatuan Wushu Selangor dan Persatuan Silambam Selangor menawarkan acara seperti silat, tae kwan do, wushu serta silambam.

Peserta berpeluang merebut hadiah terkumpul bernilai RM51,000 dan sijil penyertaan.

Mereka yang berminat boleh menghantar video kreatif solo masing-masing ke nombor WhatsApp/Telegram 010-444 3441 atau e-mel ke [email protected]

Sebarang maklumat lanjut, boleh melayari laman rasmi Facebook Selangor Xtiv Virtual 2020 atau menghubungi sekretariat program di talian berikut:

1. 018-207 2363 (Silat)
2. 012-246 9671 (Tae kwan do)
3. 010-760 9935 (Wushu)
4. 017-355 0727 (Silambam)

Categories
AGENDA NASIONAL

`Kata nak pecat, saya tunggu di pejabat’ – Tun M

SHAH ALAM, 29 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad yang digugurkan keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam datang ke ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya dekat sini hari ini.

“Saya sekarang di ibu pejabat Bersatu, kata nak pecat saya, saya tunggu di pejabat,” tulis bekas perdana menteri ketujuh melalui video 37 saat yang dimuat naik ke Facebook.

Rakaman juga memaparkan Dr Mahathir memasuki bilik pengerusi dan duduk di kerusi yang sebelum ini miliknya.

Semalam, keahlian beliau dan timbalan presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam Bersatu diumumkan terhenti berkuat kuasa serta-merta.

Turut menerima nasib sama ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah, serta Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetapi mereka mempertikai kesahihan tindakan itu.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

LRA Sungai Selisek operasi semula, penduduk terima air mulai 4 petang

SHAH ALAM, 29 MEI: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek di Hulu Selangor yang dihenti tugas berikutan pencemaran diesel pada sumber air mentahnya beroperasi semula jam 2 petang tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Elina Baseri berkata lapan kawasan di Hulu Selangor yang mengalami gangguan akan mula mendapat bekalan mulai 4 petang dan dijangka pulih sepenuhnya pada 12.30 tengah malam.

“Bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki masih digerakkan ke kawasan terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

“Dalam tempoh ini pengguna dinasihatkan menggunakan air secara cermat,” katanya dalam kenyataan.

Perkembangan pemulihan air dari semasa ke semasa dikemas kini menerusi medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com

Elina juga menggalakkan pengguna memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini.

Kelmarin, sebuah lori tangki diesel dan van keselamatan terlibat dalam nahas di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Behrang menyebabkan tumpahan diesel mengalir ke Sungai Siah.

Jaluran Sungai Siah masuk ke Sungai Bernam yang menjadi sumber bekalan kepada LRA Sungai Selisek.

Categories
AGENDA NASIONAL

114 individu ditahan ingkar perintah kawalan pergerakan

SHAH ALAM, 29 MEI: Polis menahan 114 individu di seluruh negara semalam atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 86 orang direman manakala 28 dibebaskan dengan jaminan polis.

“Polis turut mengeluarkan kompaun kepada 433 individu atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB,” kata beliau pada sidang media harian di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, setakat ini belum ada kompaun dikeluarkan oleh polis atas kesalahan ziarah Aidilfitiri manakala 108 kompaun dikeluarkan ketika sekatan jalan raya.

Sementara itu, Ismail berkata sehingga semalam sebanyak 434 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung diarah berpatah balik berbanding 842 pada hari sebelumnya.

Katanya, Kedah mencatatkan cubaan rentas negeri paling tinggi iaitu 87, Negeri Sembilan (83) dan Melaka (59).

“Semua pihak diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai dan peraturan PKPB.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba rentas negeri tanpa kebenaran termasuk mengenakan kompaun,” kata beliau.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar puji ahli parlimen tolak kemewahan, jawatan demi prinsip

SHAH ALAM, 29 MEI: Presiden Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) memuji sikap ahli parlimennya yang teguh mempertahankan prinsip parti walaupun ditawarkan kemewahan dan pelbagai jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu didedahkan beberapa ahli parlimen yang menolak tawaran lumayan disebabkan menjaga prinsip parti.

“Ada kata dipelawa jadi menteri, (tapi) dia tolak kerana prinsip. Ada yang ditawarkan GLC, dia tolak kerana prinsip.

“Ini saya tertarik. Kita harus hadapi Covid-19 dan (dalam masa sama) kita pertahankan prinsip,” kata ahli parlimen Port Dickson pada siaran langsung di Facebook hari ini.

Anwar berkata, sekiranya mahu menukar kerajaan sekalipun, prinsip tetap perlu dijaga malah perkara ini adalah cabaran terbesar dalam politik.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jamuan Aidilfitri, ADN Selat Klang dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 29 MEI: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dikompaun RM1,000 kerana menganjurkan jamuan dihadiri lebih 20 tetamu semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, arahan mengenakan kompaun itu dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya hari ini selepas Abdul Rashid didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita terima arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk mengkompaun beliau (Abdul Rashid) selaku penganjur jamuan sambutan Aidilfitri berkenaan.

“Polis akan menghubungi Abdul Rashid untuk beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi dikeluarkan surat kompaun itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Baharudin, berdasarkan siasatan tetamu yang hadir ke kediaman rasmi EXCO di Seksyen 7 di sini semasa sambutan Aidilfitri itu adalah penyokong Abdul Rashid.

Beliau berkata, ADUN itu yang juga Pengerusi Bersatu Selangor bagaimanapun tidak menyangka jumlah kehadiran tetamu melebihi jemputan dikeluarkan.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 6) 2020.

Pada Rabu lepas, tular di media sosial foto memaparkan Abdul Rashid bersama-sama individu melebihi 20 orang di luar sebuah rumah semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Anwar: KEADILAN sokong Amirudin kekal sebagai menteri besar

SHAH ALAM, 29 MEI: Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) memberi sokongan penuh kepada Dato’ Seri Amirudin Shari untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar Selangor.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata dakwaan kononnya beliau mahu menerajui negeri itu tidak harus dilayan kerana ia direka bagi mengalih perhatian daripada isu lain.

 

 

“Jangan layan sentuhan sana, sentuhan ini. Ini umpama orang kata dia pengkhianat (tapi) dia nak alih, kata Anwar nak jadi menteri besar Selangor.

“Saya sudah jumpa Amirudin dan bagi tahu pimpinan bagi sepenuh kerjasama dan sokongan pada Amir sebagai menteri besar,” kata ahli parlimen Port Dickson pada siaran langsung di Facebook hari ini.

Pada 22 Mei lalu, pemimpin Umno mendakwa wujud usaha mengangkat Anwar sebagai menteri besar Selangor melalui ‘Langkah Rawang’ tetapi perkara itu dinafikan Chua Wei Kiat, wakil rakyat kawasan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 4,000 aduan harga barang sepanjang perintah kawalan

SEREMBAN, 29 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima hampir 4,000 aduan berkaitan harga barang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lepas.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata peningkatan aduan berkenaan adalah berikutan kesedaran tinggi pengguna dan setakat ini, sebanyak 67,797 pemeriksaan dijalankan ke atas premis di seluruh negara.

Selain kesedaran pengguna, beliau berkata, laporan media terhadap individu yang dikompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan turut menyumbang kepada peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan peniaga untuk terus mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“Ia juga menyaksikan setiap peniaga mengambil langkah berwaspada dan mematuhi peraturan yang ditetapkan memandangkan setiap pelanggan mereka yang mengunjungi premis itu mungkin pengadu.

“Jika mereka (pelanggan) mendapati ada kesalahan dilakukan seperti tidak meletakkan tanda harga, meletakkan harga melebihi daripada yang ditetapkan dan sebagainya (aduan akan dibuat),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020 yang akan berakhir 3 Jun ini, beliau berkata sehingga semalam sejak ia dimulakan 20 Mei lepas, 16,976 pemeriksaan dilaksanakan dan 48 kes melibatkan pelbagai kesalahan seperti menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, gagal menggunakan tanda harga khas dan tiada tanda harga, direkodkan.

“Ia membabitkan jumlah rampasan sebanyak RM10,448.30 dan nilai kompaun RM118,000,” katanya dan menambah skim kawalan harga bagi Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang disambut oleh rakyat Sabah dan Sarawak bermula semalam dan akan berakhir 3 Jun depan.

Dalam perkembangan lain, Hasnol Zam Zam berkata, aduan melibatkan penjualan barangan tiruan seperti baju, kasut dan alat ganti kenderaan berkurangan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

“Bilangan kes (barangan tiruan ini) sangat kecil contohnya barangan tiruan dalam talian bagi tempoh PKP fasa satu dan dua, kita ada lima aduan, PKP fasa tiga enam aduan, PKP fasa empat, tiada aduan serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa satu kita ada lima aduan dan PKPB fasa dua, lapan aduan.

“Jadi kita akan terus berwaspada apabila kegiatan ekonomi terus dibuka dan saya fikir isu berkaitan barangan tiruan mungkin meningkat namun pegawai kita akan sentiasa bersiap sedia,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir satu jam mengadakan lawatan dan pemeriksaan SHMMP Hari Raya Puasa 2020 di Pasar Besar Seremban dan ia dihadiri Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman dan Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna elektrik kediaman naik 23 peratus ketika perintah kawalan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman meningkat kira-kira 23 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding penurunan 33 peratus penggunaan elektrik secara keseluruhannya di semenanjung, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata langkah kerajaan menutup semua premis perniagaan dan menghentikan aktiviti ekonomi menyebabkan berlaku penurunan penggunaan elektrik di semenanjung serta di Sabah (30 peratus) dan Sarawak (20 peratus).

Katanya, penurunan mendadak paling ketara ialah di pusat-pusat komersial seperti kompleks perniagaan, pusat beli-belah dan hotel, antara 31 dan 47 peratus.

“Bagaimanapun, peningkatan (sektor kediaman) sekitar 23 peratus ini, mungkin bermakna orang (ramai) duduk di rumah mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya program temu bual di TV3 baru-baru ini.

Beliau berkata, sektor-sektor yang mengalami penurunan kadar penggunaan elektrik akan mengambil masa untuk pulih terutamanya sektor industri dan sektor lain yang aktivitinya dihentikan seketika semasa tempoh PKP.

Namun demikian, katanya, terdapat sektor yang menunjukkan pemulihan yang lebih cepat antaranya sektor kesihatan, komunikasi dan makanan.

Menyedari penularan wabak Covid-19 memberi impak yang besar kepada rakyat, katanya, kerajaan memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi termasuk diskaun elektrik berperingkat antara dua hingga 50 peratus yang diberikan kepada 7.5 juta pengguna kediaman di semenanjung.

Selain pengguna kediaman, katanya, pengguna sektor lain yang terjejas turut menerima manfaat daripada pemberian diskaun elektrik tersebut.

Beliau berkata, sebanyak RM569 juta daripada peruntukan Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dan TNB sendiri dibelanjakan untuk lebih 9 juta pengguna di semenanjung untuk tujuan itu.

Shamsul berkata, sebagai langkah tambahan, kerajaan bersama TNB telah membuat keputusan bahawa tiada pemotongan elektrik sehingga 31 Julai ini, selain memperkenalkan pelan bayaran mudah untuk pengguna kediaman sehingga Disember serta tidak mengenakan surcaj lewat bayaran sehingga 30 September ini.

Mengenai pelarasan bil elektrik berikutan pengeluaran bil sebenar selepas bil anggaran diberikan sepanjang tempoh PKP, katanya, kementerian dan TNB akan memberikan yang terbaik kepada rakyat serta memastikan rakyat tidak menerima caj yang tidak berpatutan.

Memberi contoh, katanya, jika pengguna menerima bil berjumlah sebanyak RM73.32 untuk kegunaan 280 kilowatt jam (kWJ) elektrik pada Februari, jumlah tersebut digunakan sebagai bil anggaran untuk Mac, April dan Mei.

“Katakan bacaan sebenar pada Jun adalah 1,400 kWJ untuk tempoh empat bulan dari Mac hingga Jun, bacaan sebenar pada bulan Jun bukan dikira berdasarkan blok tarif pada bulan Jun, tetapi dibahagikan kepada empat bulan secara purata supaya rakyat tidak dikenakan caj yang tidak berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan pembahagian secara purata untuk tempoh empat bulan, penggunaan setiap bulan hanyalah sebanyak 350 kWJ dan bil yang perlu dibayar adalah sebanyak RM102.80 sebulan.

“Oleh itu, bil untuk empat bulan adalah sebanyak RM411.20 sahaja berbanding RM681 tanpa kaedah ini,” katanya, yang turut menasihatkan pengguna untuk merujuk laman web https://www.tnb.com.my/prihatin atau perkhidmatan pelanggan TNB.

“Kita akan membantu sebaik mungkin. Jika ada kekeliruan boleh menghubungi TNB atau melayari laman web yang disediakan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pelakon Shah Hazvee mengaku tidak salah pikat isteri orang

KUALA LUMPUR, 29 MRI: Seorang pelakon drama dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas dakwaan memikat isteri orang dan mengajak melakukan persetubuhan dengannya.

Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Shah Radhi Hazvee, 24, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut pertuduhan, pelakon drama ‘Monalisa dan Hero’ itu didakwa memikat seorang wanita berusia 36 tahun yang mana tertuduh ketahui dia adalah isteri yang sah kepada seorang lelaki berusia 38 tahun supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Sering, Ukay Perdana, di sini, pada jam 8 malam, 25 Mei lepas dan didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Sangitaa menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Harcharanjit Singh, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

“Jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Anak guam saya seorang artis dan ramai media di luar membuat liputan kes ini, jadi tiada sebab dia mahu melarikan diri,” kata Harcharanjit.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan kes.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPK pantau semua operasi projek pembinaan 

SHAH ALAM,29 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memantau semua projek pembinaan yang beroperasi bagi memastikan ia mempunyai kelulusan pihaknya dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MPK berkata, pemantauan dilakukan setiap hari dan pihaknya turut menyemak sama ada pemilik syarikat mematuhi syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jika melanggar syarat seperti menjalankan kerja tanpa kelulusan, notis berhenti kerja akan dikeluarkan kepada perunding dan pemaju projek selain dimaklumkan kepada MITI,” katanya di Facebook hari ini.

MPK berkata, semua pemaju perlu memberi maklumat pekerja asing yang terbabit dengan projek mereka seperti rekod kehadiran manakala semakan permit dilakukan Jabatan Imigresen.

Mengulas lanjut, MPK berkata sebelum memulakan operasi, perunding atau kontraktor perlu menyerahkan pelan pencegahan wabak Covid-19 yang merangkumi jumlah pekerja, tempat tinggal, rekod keluar masuk pembekal di tapak pembinaan dan rekod suhu badan pekerja.

“Mereka juga perlu mengemukakan beberapa dokumen seperti kelulusan beroperasi daripada MITI, pelan tindakan keselamatan tapak dan kelulusan pelan bangunan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaunter rayuan Bantuan Prihatin Nasional dibuka Sabtu, Ahad ini

PUTRAJAYA, 29 MEI: Kaunter permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dibuka di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 30 dan 31 Mei ini (Sabtu dan Ahad), kecuali di Sabah dan Labuan kerana cuti umum Pesta Kaamatan.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan kaunter rayuan itu akan beroperasi dari pukul 8pagi hingga 4 petang.

LHDN menyebut bagi pemohon BPN di Sabah dan Labuan, kaunter permohonan rayuan BPN dilanjutkan ke hari bekerja berikutnya iaitu pada 2 Jun.

“Pemohon yang permohonan atau rayuannya tidak diluluskan sebelum ini boleh mengemukakan permohonan rayuan dengan hadir ke kaunter perkhidmatan LHDN yang terdekat atau melalui emel ke [email protected] bersama-sama dokumen sokongan yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

LHDN menyatakan langkah berkenaan bertujuan memastikan golongan yang benar-benar layak tidak tercicir daripada menerima bantuan itu.

– BERNAMA