Categories
AGENDA GLOBAL

Masyarakat dunia digesa tekan Israel henti keganasan di Baitulmaqdis

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali mendesak masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencerobohan terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Tegasnya, serangan ke atas jemaah di Masjid Al-Aqsa dan mengusir rakyat Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, di Baitulmaqdis Timur, jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Setiap hari, apa yang berlaku di Baitulmaqdis adalah Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.

“Kami menuntut masyarakat antarabangsa serius tangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Walid juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan kekejaman Israel.

“Mereka mesti meminta masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menggunakan hubungan dua hala mereka dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memberi tekanan kepada Israel.

“Hanya AS dan EU yang dapat menekan Israel untuk menghentikan serangan,” katanya.

Menurut laporan media, sejak beberapa hari lalu rakyat Palestin di Baitulmaqdis bersama penduduk di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah mengadakan tunjuk perasaan di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Baitulmaqdis Timur, yang membenarkan pengusiran tujuh keluarga Palestin dari kediaman mereka di kawasan kejiranan itu dan menyokong penempatan oleh pendatang Israel sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat malam polis Israel bertindak mengusir jemaah di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan Palestin cedera dalam serangan itu dan tindakan zionis itu dikecam masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor ekonomi rekod 177,900 jawatan kosong pada suku pertama 2021

PUTRAJAYA, 10 MEI: Sektor ekonomi merekodkan 177,900 kekosongan jawatan pada suku pertama 2021, meningkat 7.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kekosongan jawatan pada suku tersebut adalah selari dengan prestasi ekonomi yang lebih baik.

Beliau berkata nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun buat pertama kalinya dengan 9.3 peratus manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi Mac 2021 turut melonjak 9.3 peratus.

“Jika dibandingkan dengan tempoh sebelum krisis (kesihatan), jumlah kekosongan jawatan masih belum mencapai paras normal yang merekodkan secara puratanya 200,000 kekosongan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Laporan Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2021, yang dikeluarkan hari ini.

Laporan berkenaan berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar sektor swasta dan statistik permintaan buruh merangkumi jawatan, jawatan yang diisi, kekosongan dan pewujudan jawatan mengikut kategori kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Mohd Uzir berkata lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini adalah dalam kategori separuh mahir merangkumi 55.5 peratus atau bersamaan dengan 98,700 kekosongan, diikuti kategori mahir 23.5 peratus (41,800 kekosongan) dan berkemahiran rendah 21.0 peratus (37,400).

Mengikut sektor ekonomi pula, kebanyakan kekosongan jawatan adalah di sektor pembuatan yang mencatatkan 100,900 kekosongan jawatan (56.7 peratus) terutama di subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (30,600 kekosongan) diikuti subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,700 kekosongan).

Sementara itu kekosongan jawatan di sektor pertanian merangkumi 28,500 kekosongan (16.0 peratus) dengan sebahagian besarnya di subsektor tanaman dan ternakan selain terdapat 26,800 kekosongan jawatan (15.1 peratus) di sektor perkhidmatan terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, katanya.

Mengulas mengenai kedudukan keseluruhan jawatan pada suku pertama 2021, Mohd Uzir berkata bilangan jawatan di sektor ekonomi berkurangan secara berterusan sejak empat suku tahun lepas kepada 8.437 juta jawatan, susut 1.5 peratus tahun ke tahun (ST1 2020: -2.4 peratus).

“Statistik ini menunjukkan bahawa bilangan jawatan masih rendah berbanding sebelum krisis walaupun bilangan kekosongan jawatan meningkat. Kadar pengisian jawatan suku tahun ini kekal pada 97.9 peratus, bersamaan dengan 8.260 juta jawatan diisi,” katanya.

Berdasarkan analisis prestasi tahun ke tahun, bilangan pewujudan jawatan pada suku pertama 2021 menurun sebanyak 4,500 jawatan (ST1 2020: 21,900) dengan kategori mahir masih dalam trend menurun manakala kedua-dua kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah mencatatkan pertumbuhan positif, katanya.

Mengenai perincian mengikut sektor ekonomi, beliau berkata sektor pembuatan merekodkan komposisi jawatan terbesar iaitu 42.4 peratus atau 7,400 pekerjaan, diikuti sektor perkhidmatan pada 36.6 peratus (6,400 jawatan).

“Mengambil kira keadaan krisis kesihatan yang sedang berlaku, permintaan buruh di Malaysia menunjukkan momentum pemulihan sederhana pada suku tahun pertama 2021, antaranya berikutan kelonggaran beberapa sekatan yang dikenakan pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Januari tahun ini,” katanya.

Mohd Uzir bagaimanapun berkata pelbagai insentif dan pakej rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan dijangka akan mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan seterusnya menyokong serta memacu pemulihan pasaran buruh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

STFC saran hanya lima individu ziarah Aidilfitri jika rumah sempit

SHAH ALAM, 10 MEI: Hanya lima individu dinasihatkan berada dalam rumah yang sempit ketika ziarah Aidilfitri nanti, demikian nasihat Ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Prof Dr Adeeba Kamarulzaman berkata kajian menunjukkan kuman lebih cepat merebak apabila ruang sempit serta tahap pengudaraan tidak baik.

“Ketika musim raya nanti, jika kawasan rumah sempit sebaik-baiknya tidak lebih dari lima orang sahaja boleh berada dalam rumah, ini kerana sejarah menunjukkan ramai yang dijangkiti Covid-19 akibat dari perjumpaan sosial seperti kenduri dan majlis berbuka puasa.

“Dalam bilik tertutup, kuman boleh berada di udara dalam tempoh tertentu sebelum ia jatuh ke tanah, pada waktu itu jika tiada penjarakan sosial dan tiada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), ia boleh menjangkiti kita,” katanya ketika forum ‘Tanya Apa Saja: Covid-19 Membunuh?’ secara langsung di Facebook, hari ini.

Turut sama pada forum itu ialah EXCO Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud dan Pengarah Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFO), Dr Mohammad Farhan Rusli.

Dr Adeeba yang juga pakar perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya berkata beliau faham ramai yang sudah bosan dan letih kerana terpaksa berdepan dengan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka.

“Namun jika anda tidak mahu menjadi pesakit saya di masa hadapan, teruslah patuhi semua SOP ini, sudah setahun lebih kita lalui situasi ini, pasti ramai yang sudah faham dan tahu cara-cara untuk mengelakkan daripada diri dijangkiti.

“Teruskan jaga SOP dan kita perlu ambil tindakan mencegah daripada hanya menunggu arahan kerajaan,” katanya.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad Harimau Malaya lengkapkan dua dos suntikan vaksin

PUTRAJAYA, 10 MEI: Suntikan dos kedua vaksin Covid-19 memberi skuad kebangsaan keyakinan dari sudut kesihatan apabila turun beraksi pada saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun ini.

Ia juga merupakan agenda utama pasukan kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe sebelum kesemua pemain skuad Harimau Malaya dikumpulkan dalam kem latihan pusat bermula 16 Mei ini.

Cheng Hoe berkata suntikan dos kedua vaksin memberi ‘ketenangan minda’ kepadanya tatkala jumlah kes positif masih mencatat angka yang membimbangkan menjelang kem latihan pusat, namun optimis barisan pemain akan hadir dalam keadaan kesihatan terbaik.

“Yang penting kita rasa selesa dan fikiran kita tenang, sebab kita tengok sekarang kes agak banyak. Sebagai jurulatih, saya risau juga mengenai kesihatan barisan pemain.

“Dan sudah tentu selepas selesai terima dos kedua, kita akan dapat lebih fokus kepada tugasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas selesai mendapatkan suntikan dos kedua di Dewan Seri Seroja di sini, hari ini.

Cheng Hoe dan barisan pegawai pasukan kebangsaan termasuk 29 pemain negara hari ini melengkapkan kitaran vaksin Covid-19 dengan suntikan dos kedua selepas menerima dos pertama pada 19 April lepas.

Kapten skuad Harimau Malaya Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak bersama-sama barisan pemain Muhammad Safawi Rasid, Brendan Gan, Mohamadou Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Muhammad Syahmi Safari dan Mohd Farizal Marlias antara pemain negara yang menerima suntikan itu hari ini.

Turut mendapatkan dos kedua suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu adalah dua Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S.Sivasundaram.

Sementara itu, Mohd Farizal berkata suntikan vaksin itu membina keyakinan kepada pemain yang akan berdepan UAE, Vietnam dan Thailand dalam saingan Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

“Bagi saya ini adalah satu perlindungan kepada pemain, jadi saya mengharapkan ia (vaksin) lebih selamat untuk masa akan datang. Saya juga harap pemain akan bersedia dari segi fizikal dan juga mental,” katanya.

Dalam pada itu, Brendan menyarankan supaya orang ramai tidak berasa takut untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

“Saya sangat berbesar hati kerana dapat suntikan vaksin dan menjadi sebahagian daripada kumpulan ini. Kebanyakan orang di luar sana perlu mendapatkan vaksin ini terutama mereka yang berisiko dan dalam kategori risiko.

“Vaksin adalah sesuatu yang positif dan saya berpendapat anda tidak perlu risau tetapi pada masa yang sama, kita juga harus berhati-hati,” tambahnya.

Malaysia akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen Kumpulan G menentang Thailand pada 15 Jun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi rancang benarkan ibadah haji dengan syarat ketat

RIYADH, 10 MEI: Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk membenarkan ibadah haji pada tahun ini dengan peraturan langkah pencegahan yang ketat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan jemaah, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik Agensi Berita Saudi pada Ahad.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu masih menilai keadaan dan mengambil semua langkah untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang ramai, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Perincian mengenai pengurusan musim haji tahun ini akan diumumkan kemudian.

Kementerian itu juga tidak menyatakan sama ada jemaah asing akan dibenarkan melakukan ibadah haji bagi musim ini.

Tahun lalu, ibadah haji dibenarkan dengan jumlah jemaah yang terhad sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan 942 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Arab Saudi menjadikan keseluruhan jangkitan seramai 426,384.

Jumlah kes pulih meningkat kepada 409,740 dengan 1,064 lagi pesakit sembuh.

Dalam tempoh 24 jam lalu, angka kematian meningkat kepada 7,072 dengan 13 korban baharu dilaporkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Maklum kepada polis jika jiran langgar SOP Aidilfitri

KANGAR, 10 MEI: Orang ramai dinasihatkan supaya memerhati kawasan kejiranan mereka dan memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang pulang beraya ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata maklumat sedemikian diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri 2021.

“Polis Perlis juga akan tingkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan…termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen keretapi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Surina juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP Aidilfitri dan berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting.

Menurut beliau kadar pematuhan SOP di Perlis adalah tinggi iaitu 98 peratus dan berharap orang ramai terus mematuhi ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar lima peratus berbanding hari biasa.

“Peningkatan jumlah kenderaan adalah berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar negeri ini untuk pulang beraya di samping kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata pihaknya akan melakukan rondaan pematuhan SOP Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar bermula hari ini.

“Hari Raya nanti, kita akan ‘all out’ termasuk melakukan rondaan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Diharapkan agar orang ramai dapat terus memberi kerjasama dengan polis bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

KDNK dijangka kembang 0.5 peratus pada suku pertama 2021

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka meningkat sebanyak 0.5 peratus suku ke suku pada suku pertama 2021 (Q1 2021) berbanding penguncupan 0.3 peratus yang dilihat pada suku keempat 2020, demikian menurut Moody’s Analytics.

Ia berkata walaupun Malaysia berhadapan dengan kemunculan semula yang teruk kes Covid-19 yang memuncak pada Februari dan sekatan lebih ketat yang membantutkan pemulihan penggunaan domestik, ekonomi telah mendapat keuntungan daripada kedudukan perdagangan yang agak kukuh.

Eksport disokong oleh pemulihan permintaan global untuk barang-barang pembuatan dan dirangsang oleh lonjakan permintaan global untuk semikonduktor.

“Kami menjangkakan kenaikan daripada permintaan luaran yang mendorong sebahagian besar pertumbuhan pada suku bulan Mac,” katanya dalam catatan hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus dalam pengumuman Mei 2020 – tahap terendah dalam tempoh lebih daripada 10 tahun.

Pada Mac 2021, pengeluaran perindustrian Malaysia meningkat 9.3 peratus tahun ke tahun, pengeluaran pembuatan melonjak 12.7 peratus tahun ke tahun dan elektrik mengembang 10.3 peratus tahun ke tahun sementara output perlombongan menguncup 1.9 peratus tahun ke tahun.

“Memang benar bahawa kenaikan eksport yang cukup besar pada suku bulan Mac telah berjaya mengimbangi kelemahan dalam penggunaan domestik yang mana pengeluar mendapat keuntungan daripada pemulihan permintaan global untuk barang-barang pembuatan sementara kedudukan bersih diperkuat oleh permintaan global untuk semikonduktor dan pemulihan harga komoditi,” katanya.

Sementara itu, Moody’s Analytics turut maklum dengan rangsangan fiskal dan monetari yang besar disediakan sejak awal tahun 2020, penggubal dasar turut kehabisan ruang untuk akomodasi selanjutnya.

“Mengumumkan satu lagi penurunan kadar di tengah-tengah kebangkitan tidak hanya akan menyaksikan daya tarikan yang terbatas dalam mengurangi permintaan, tetapi berisiko lebih tinggi untuk mencetuskan aliran keluar modal.

“Ini seharusnya menjadi risiko tambahan yang perlu diberi perhatian oleh BNM,” tambahnya.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi pertumbuhan suku pertama 2021 pada Selasa, 11 Mei.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB adakan mesyuarat bincang konflik di Baitulmaqdis

NEW YORK, 10 MEI: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin untuk membincangkan ketegangan yang meningkat di Timur Baitulmaqdis, lapor Agensi Anadolu (AA).

Mesyuarat tertutup itu dijadual bermula 9 pagi waktu tempatan (1300 GMT) untuk membincangkan krisis yang mula tercetus apabila penduduk Palestin diusir dari rumah mereka di kawasan Sheikh Jarrah oleh pendatang Israel.

Keadaan itu menyebabkan rakyat Palestin membantah di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Timur Baitulmaqdis, yang meluluskan permohonan mengusir tujuh keluarga Palestin sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat polis Israel mengusir jemaah yang berada di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan rakyat Palestin cedera dan insiden itu menerima kecaman seluruh dunia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN Selangor anggap Ain mangsa sistem, desak KPM wujudkan suasana selamat

SHAH ALAM, 10 MEI: Ahli parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor mendesak Kementerian Pendidikan mengkaji semula sistem pendidikan bagi memastikan persekitaran pelajar kondusif dan selamat.

Kesemua 11 ahli parlimen dan 27 ADN itu kecewa apabila kementerian berkenaan berdiam diri dalam memberi sokongan kepada aktivis pelajar Ain Husniza Saiful Nizam dalam isu ketidaksamaan gender di sekolah.

“Penanganan kes Ain meninggalkan satu titik hitam dalam demokrasi kerana kerana kita seolah-olah memberi amaran kepada pemuda kita bahawa mereka yang bersuara dianggap sebagai pembangkang, penghasut dan lebih teruk lagi sekarang dilabelkan sebagai syaitan.

“Kami mendesak Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula sistem pendidikan dan mengambil tindakan tatatertib  tegas terhadap pengetua, sekiranya dia didapati menulis komen negatif tersebut dan terhadap guru yang mengambil tindakan terhadap pemberi maklumat,” kata mereka menerusi kenyataan media bersama hari ini.

Antara ahli parlimen yang menandatangani kenyataan itu ialah bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.

Turut sama ialah wakil rakyat Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, diikuti Jamaliah Jamaludin (DAP-Bandar Utama) dan Mohd Sany Hamzan (Parti Amanah Negara-Taman Templer).

Ahli politik PAKATAN itu juga berkata Ain adalah mangsa terhadap kegagalan sistem yang tidak memahami serta menyokong hak wanita tetapi sebaliknya lebih menyokong guru dan pelajar yang mempromosikan budaya rogol dan keganasan.

Mereka turut menggesa supaya kementerian melaksanakan polisi kesaksamaan gender dan membina hubungan hormat menghormati lelaki dan wanita menerusi Rancangan Malaysia ke-11 bagi mewujudkan negara lebih baik.

“Kecenderungan sekarang adalah meremehkan isu keganasan serta memberi keizinan kepada budak lelaki untuk merogol perempuan berumur ’18 tahun ke atas’.

“Oleh itu, seseorang hanya dapat menyimpulkan jenaka rogol itu mengandungi mesej mungkin berbahaya dan tersirat iaitu sekiranya anda melakukan hubungan seks dengan wanita berumur 18 tahun ke atas, anda boleh memberi alasan perbuatan seks tersebut dilakukan atas persetujuan bersama dan melepaskan diri daripada hukuman,” kata mereka.

Pada 8 Mei lalu, tular komen di Facebook didakwa milik seorang pengetua memanggil Ain sebagai hipokrit dan anak syaitan yang memakai tudung.

Pada 24 April lalu, Ain menerusi aplikasi TikTok mendedahkan gurunya memberitahu pelajar lelaki di kelas jika mereka melakukan ingin melakukan pemerkosaan, mereka harus melakukan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Isu tersebut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk gesaan untuk mengambil tindakan terhadap guru tersebut bagi memastikan penambahbaikan sistem pendidikan.

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Bursa Malaysia memulakan urus niaga minggu yang singkat ini tinggi sedikit dalam persekitaran sentimen pasaran yang bercampur-campur menjelang pengumuman prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara untuk suku pertama 2021 dan cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pada jam 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.23 mata kepada 1,587.68 daripada 1,587.45 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lepas.

Indeks utama dibuka 0.03 mata tinggi pada 1,587.48.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2021 pada Selasa.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 267 berbalas 163 sementara 304 kaunter tidak berubah, 1,436 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 289.98 juta bernilai RM156.98 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen di pasaran mungkin akan terus berhati-hati sepanjang minggu urus niaga yang singkat ini sambil memberi fokus kepada kadar pertumbuhan KDNK suku pertama 2021 yang diunjurkan masih lemah berikutan persekitaran yang terjejas oleh Covid-19.

“Namun begitu, peniaga akan lebih memberi fokus kepada komoditi yang meningkat seperti minyak sawit mentah (MSM), yang melonjak lebih daripada 5.0 peratus minggu lepas serta harga minyak Brent yang naik sedikit pada ketika ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan indeks utama akan bergerak dalam julat kecil dengan paras sokongan antara 1,555 dan 1,565, sementara halangan pada 1,600 dan 1,620.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, Malacca Securities berkata sektor perladangan; minyak dan gas mungkin menarik minat peniaga di tengah-tengah peningkatan harga MSM dan minyak Brent.

Selain itu, di bawah perintah kawalan pergerakan 3.0, permintaan yang kukuh untuk saham pembungkusan dan berkaitan media dijangkakan di tengah-tengah mod penghuni perlu diam di rumah.

“Sektor teknologi juga mungkin menyaksikan beberapan lantunan teknikal selepas Nasdaq mencatatkan keuntungan dalam urus niaga semalaman,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut satu sen kepada RM8.23, RM4.09 dan RM8.29.

Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing menambah satu sen kepada RM9.91 dan RM5.67, sementara saham sarung tangan getah – Hartalega, Top Glove dan Supermax – meningkat kerana kes Covid-19 di negara ini terus melambung tinggi.

Bagi kaunter aktif, Tanco tidak berubah pada 11 sen, Focus Dynamics dan LKL masing-masing naik setengah sen kepada 10 sen dan 37 sen sementara KTG menambah satu sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.53 mata kepada 11,666.15, Indeks FBMT 100 menokok 4.69 mata kepada 11,319.07, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 29.6 mata kepada 13,107.43, FBM ACE naik 70.45 mata kepada 8,396.98, dan FBM 70 memperoleh 18.07 mata kepada 15,277.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.85 mata kepada 14,782.77, Indeks Perladangan 44.72 mata lebih kukuh pada 7,142.21 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.27 mata kepada 200.81.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1000/1030 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Ringgit memulakan minggu urus niaga pagi ini dengan nada yang lebih positif, disokong oleh nilai dolar AS yang teramat lemah, harga minyak mentah yang tinggi serta keyakinan terhadap pemulihan ekonomi global.

Pada jam 9.04 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.1000/1030 berbanding dolar AS daripada penutupan urus niaga Jumaat minggu lepas 4.1100/1140.

Rakan pengurusan global SPI Asset Management Stephen Innes berkata bacaan di bawah konsensus bagi data gaji bukan ladang AS untuk bulan April telah mendorong aktiviti jualan ke atas dolar AS secara meluas pada Jumaat kerana ia mungkin telah mengurangkan kelegaan tekanan daripada Rizab Persekutuan AS untuk beralih ke retorik yang kurang berpihak kepada pertumbuhan ekonomi.

Untuk bulan April, gaji bukan ladang AS meningkat tetapi jauh lebih rendah daripada jangkaan 266,000 dan kadar pengangguran bertambah kepada 6.1 peratus di tengah-tengah meningkatnya kekurangan pekerja sedia ada.

Sementara itu, beliau turut menambah pemulihan ekonomi global mungkin akan terus memberi tekanan kepada dolar AS dalam minggu mendatang.

“Malah, data memberangsangkan eksport China minggu lepas turut menjuruskan kepada peningkatan ekonomi global yang mana pengeksport Malaysia turut mendapat manfaat daripadanya,” kata Innes kepada Bernama.

Pada paras pembukaan pagi ini, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Berbanding pound Britain, ia susut kepada 5.7571/7586 daripada 5.7203/7267 dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.7705/7743 daripada 3.7662/7702 Jumaat minggu lepas.

Ringgit turut disebut harga rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0918/0947 daripada 3.0870/0916 dan menyusut berbanding euro kepada 4.9856/9897 daripada 4.9632/9697.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor diwujud pastikan bekalan makanan cukup

SHAH ALAM, 10 MEI: Pasar Agro Selangor diwujudkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan sampai kepada rakyat di seluruh negeri, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pasar itu berperanan seperti pasar tani dan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan bahan keperluan sentiasa mencukupi.

“Ia bukan mahu berlawan, bersaing dengan pasar tani sebab itu kita buat di lokasi yang jauh dari pasar tani dan berada di kawasan terdapat ramai pelanggan seperti kawasan flat.

“Ada tempat yang tetap ada juga ‘ad hoc’… ada yang bulanan ada yang mingguan. Ia bergantung kepada keperluan tempat itu. Kita guna kaedah memaklumkan menerusi Facebook dan memasang banting di kawasan terpilih bagi memaklumkan aktiviti berkenaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan memberi kupon potongan harga kepada pengunjung di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini.

Katanya, beliau juga bercadang menggandingkan Lori Selangor Agro Market di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk bersama Pasar Agro Selangor di beberapa lokasi tertentu bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna.

Lokasi Pasar Agro Selangor meliputi Dengkil, Puchong, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Pasar Tani Selayang, My Farm Outlet Putrajaya, Seksyen 13 dan Seksyen 15 di Shah Alam.