Categories
AGAMA NASIONAL

Kedah juara keseluruhan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan jabatan bomba

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Kedah diumumkan sebagai juara keseluruhan Pertandingan Tilawah al-Quran, Alunan Azan dan Qasidah Peringkat Kebangsaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tahun 1440H/ 2019M, semalam.

Kemenangan itu susulan daripada dua wakil JBPM Kedah iaitu Mohd Juwaidi Shahbudin dan Siti Aisyah Md Arif dinobatkan sebagai qari serta qariah terbaik.

Bomba Selangor dalam satu kenyataan berkata, tempat kedua pertandingan itu dimenangi JBPM Pulau Pinang sementara tempat ketiga menjadi milik JBPM Pahang.

“Mohd Juwaidi menewaskan peserta JBPM Johor dan Selangor bagi kategori qari, sementara bagi kategori qariah, Siti Aisyah mengatasi peserta dari JBPM Negeri Sembilan juga Perak.

“Bagi kategori alunan azan, Mohd Saiful Shamsudin dari JBPM Pahang dinobat sebagai juara. Bagi kategori qasidah dimenangi JBPM Pulau Pinang,” katanya.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Auditorium Haji Mansur, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Dato’ Amer Yusof.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 Mei lalu adalah anjuran bersama Bahagian Pengurusan Korporat JBPM dan Biro Kebajikan dan Kebudayaan MASKAB turut membabitkan penyertaan daripada kakitangan jabatan bomba seluruh negara.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Petaling dilanda suhu panas tahap berjaga-jaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 APR: Petaling dilanda suhu panas pada tahap berjaga-jaga dengan catatan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 celcius, sejak semalam.

Kemas kini status gelombang haba yang dimuat naik laman sesawang Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan, selain kawasan itu, 19 lokasi lain turut mengalami keadaan sama.

Kawasan yang disenaraikan ialah Chuping, Kuala Muda dan Sik di Kedah, Kuala Terengganu (Terengganu), Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan.

Sementara itu hampir kesemua daerah di Kelantan dan Pahang mencatatkan suhu maksimum berjaga-jaga.

Ia termasuk Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Pekan, Rompin, Jerantut, Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Bagi kawasan yang tidak berada di tahap satu, suhu harian maksimum di bawah 35 celcius.

Categories
GLOBAL

Liga Arab sokong majlis peralihan tentera Sudan

KAHERAH, 15 APRIL: Liga Arab pada Ahad menyuarakan sokongannya terhadap langkah-langkah yang diambil oleh majlis peralihan tentera Sudan susulan penyingkiran Presiden Omar al-Bashir, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan liga itu.

Kenyataan itu menyebut Liga Arab menyambut baik usaha yang dilakukan Leftenan Jeneral Abdel Fattah Burhan, ketua majlis peralihan tentera, setakat ini.

Kumpulan itu, yang berpangkalan di Kaherah, menggesa komuniti antarabangsa agar menyokong semua usaha yang akan membawa kestabilan dan konsensus kepada Sudan.

Pada 11 April lalu, tentera Sudan menggulingkan a-Bashir yang memerintah negara itu sejak 1989, susulan tunjuk perasaan popular selama berbulan-bulan terhadap pemerintahan pemimpin tersebut.

Pihak tentera turut mewujudkan sebuah majlis tentera bagi mentadbir negara itu dalam tempoh peralihan, selama dua tahun.

Pada 13 April lalu, Burhan berikrar akan melaksanakan pembaharuan politik dan ekonomi secara besar-besaran.

Dalam satu ucapan yang disiarkan melalui televisyen, Burhan berkata, tempoh peralihan negara itu selama dua tahun akan berakhir dengan pilihan raya yang adil dan bebas serta berjanji akan mengheret pihak yang terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan dan rasuah di bawah rejim lama ke muka pengadilan.

Sementara itu, beribu-ribu penunjuk perasaan Sudan terus berhimpun di depan ibu pejabat tentera pada 14 April lalu di ibu kota Khartoum bagi menuntut agar kuasa dipindahkan kepada sebuah kerajaan awam.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Tiket percuma sempena FAS Ladies Night, hargai penyokong wanita

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APRIL: Peningkatan ketara pembabitan wanita dalam arena sukan bola sepak tempatan mendorong Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menganjurkan ‘FAS Ladies Night’, esok.

FAS melalui entri terbaharu di laman sesawang memaklumkan, pihaknya akan memberi kemasukan percuma untuk golongan terbabit bagi menonton perlawanan Piala FA menentang Felda United.

Katanya, FAS Ladies Night atau sinonim dengan gelaran ‘Malam Beli Jiwa’ itu bagi menghargai penyokong wanita terhadap skuad gergasi merah di luar sana selain menarik lebih ramai peminat wanita untuk turun ke Stadium Shah Alam.

“Terdapat beberapa langkah mudah yang perlu penyokong kami lakukan untuk menikmati faedah ini. Pertama, anda perlu memuat naik gambar anda di Instagram, Facebook atauTwitter dan tag @faselangor berserta hashtag #FASBeliJiwa.

“Kemudian anda hanya perlu menunjukkan bukti gambar anda sudah dimuat naik kepada petugas yang memeriksa tiket dan selepas itu anda akan dibenarkan masuk,” katanya.

Selain kemasukan percuma, FAS juga akan mengadakan ‘Jersey Giveaway’ khas untuk penyokong wanita selepas FA Ladies Night.

Peminat bola sepak di seluruh dunia mula memberikan tumpuan terhadap sukan bola sepak wanita seperti Piala Dunia Wanita dan Liga Juara-Juara Eropah Wanita.

Mulai 2015, gergasi besar pembuatan permainan video, EA Sport menyertakan pasukan wanita turut tersenarai dalam permainan FIFA 16 sebagai simbolik kapada sokongan mereka kepada bola sepak wanita.

Categories
NASIONAL

Kes Najib: Pendakwaan bantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama kemuka dokumen

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd membantah permohonan pembelaan supaya saksi pertama mengemukakan tiga dokumen tambahan dalam perbicaraan kes itu.

Peguam Datuk V Sithambaram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya berkata, mahkamah perlu meneliti sama ada dokumen tambahan itu boleh diterima dan sama ada ia relevan untuk dikemukakan bagi tujuan menyoal balas saksi pertama, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah, 35.

Dokumen itu termasuk butiran semua individu yang pernah menjawat jawatan pengarah di Yayasan Rakyat 1Malaysia.

“Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah jelas menyatakan bahawa mahkamah perlu meneliti dokumen yang akan dikemukakan itu sama ada boleh diterima di mahkamah ini dan sama ada terdapat keperluan untuk dokumen terbabit digunakan di mahkamah untuk menyoal balas saksi,” kata Sithambaram pada hari kedua perbicaraan kes Najib itu.

–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pula berhujah bahawa dokumen itu mesti ditunjukkan terlebih dahulu, kemudian baru diputuskan sama ada ia relevan atau sebaliknya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes itu memutuskan bahawa kedua-dua pihak perlu meneliti dokumen itu terlebih dahulu sebelum ianya boleh dikemukakan, di mahkamah.

Pada prosiding 3 April lalu, Harvinderjit meminta Muhamad Akmaludin membuat carian berhubung Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) bagi mendapatkan butir semua individu pernah menjawat sebagai pengarah, di syarikat itu.

Perbicaraan kes itu kemudiannya diteruskan dengan pihak pembelaan menyoal balas Muhamad Akmaludin.

Pada 3 April lalu, saksi itu selesai memberikan keterangan pada peringkat pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu yang juga perdana menteri keenam, didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, antara 17 Ogos dan 10 Feb 2015.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Sesi pertemuan dengar pandangan peneroka FELDA

PUTRAJAYA, 15 APRIL – Pengurusan FELDA akan mengadakan sesi ‘pertemuan’ dengan peneroka dalam masa terdekat, bagi mendengar pandangan mereka berhubung hala tuju baharu agensi itu susulan pembentangan kertas putih FELDA.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sesi itu juga akan turut mengumpul maklum balas golongan peneroka berhubung kertas putih FELDA itu.

“Proses engagement bersama penerok adalah satu proses utama dalam usaha membentuk semula FELDA,” katanya ketika ditemui BERNAMA di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

-fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Al,i ketika membentangkan kertas putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ di Dewan Rakyat minggu lalu (10 April) mengumumkan peruntukan RM6.23 bilion kepada FELDA secara berperingkat dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan mengikut keperluan untuk kelestarian masa depan agensi rancangan pembangunan tanah itu.

Mohd Radzi berkata, pengurusan FELDA akan turut berkongsi idea dengan peneroka berhubung cadangan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi supaya peneroka menyewakan ladang mereka kepada FELDA untuk digabung dan diusahakan dalam skala besar.

Katanya, jika ladang seluas 10 ekar (4.047 hektar) milik seorang peneroka digabungkan dengan ladang milik peneroka lain diusahakan secara besar-besaran, ia akan mewujudkan sinergi.

“80 peratus peneroka FELDA kini berumur 60 tahun ke atas. Daripada membiarkan ladang mereka tidak diusahakan pada tahap optimum, lebih baik ia diserahkan kepada FELDA untuk diusahakan sebagai satu ladang yang besar,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, cadangan membangunkan ladang peneroka secara skala besar bergantung kepada persetujuan peneroka. – BERNAMA

Categories
SELANGOR

ADN: Kerja pembersihan, naik taraf Sungai Gombak giat dilaksana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APRIL: Usaha menaik taraf dan membersihkan Sungai Gombak sedang giat dilaksanakan sebagai langkah persediaan menghadapi taburan hujan yang semakin meningkat.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melihat keperluan mempertingkat usaha membersihkan sungai berkenaan.

Katanya, kerja pembersihan dari Kampung Kerdas sehingga ke kawasan Gombak Utara itu mula dijalankan sejak Januari lalu membabitkan penggunaan dua jentera.

“Ini antara langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk memastikan kejadian banjir di kawasan ini tidak lagi berulang memandangkan kejadian yang berlaku baru-baru ini adalah fenomena cuaca di luar jangkaan.

“Jika sebelum ini, kerja pelaksanaan itu hanya bertumpu kepada satu kumpulan sahaja, tetapi kali ini kita sudah mengarahkan JPS untuk bertindak dan ia akan berterusan sehingga semua selesai,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berhubung sebuah jambatan konkrit yang roboh di Kampung Sungai Cincin sejak 10 tahun lalu, Hilman berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan merobohkan sepenuhnya jambatan terbabit.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, sebagai menggantikan jambatan roboh itu, pihaknya bercadang membina jambatan baharu selepas mencapai persetujuan di peringkat JPS bagi memudahkan pengguna motosikal, khasnya.

“Melalui perbincangan dibuat minggu lalu, kita sudah mengarahkan JPS yang dipengerusikan pegawai daerah minggu lalu untuk mengambil langkah segerah merobohkan jambatan berkenaan.

“Jambatan lama yang menjengah usia 20 tahun ini mengundang kegusaran penduduk setempat, khususnya kepada pengguna motosikal ditambah pula apabila hujan lebat menyebabkan kayu balak tersangkut, sekali gus mengganggu sistem saliran air,” katanya.

Categories
GLOBAL

Korban pertempuran Tripoli cecah 147

TRIPOLI, 15 APRIL: Sejumlah 147 orang terbunuh manakala 614 lagi cedera dalam pertempuran antara kerajaaan Libya yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tentera pimpinan Khalifa Haftar di sekitar ibu kota Tripoli setakat ini, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 14 April lalu.

Gambar: REUTERS

“Angka korban krisis Tripoli kini mencecah 147 manakala 614 lagi cedera. WHO sudah menghantar pasukan pembedahan bagi membantu hospital yang berdepan kebanjiran kes trauma,” menurut WHO.

Tentera pimpinan Khalifa Haftar sudah menjalankan satu kempen ketenteraan sejak awal April dalam usaha menawan Tripoli dengan kerajaan yang disokong PBB berpangkalan.

Libya bergelut untuk melakukan satu peralihan demokrasi susulan keadaan tidak selamat dan kekacauan yang berlaku sejak kejatuhan rejim bekas pemimpin Muammar Gaddafi, pada 2011.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Kejayaan akan musnah jika wujud pengkhianat demi kepentingan diri

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 12 APR: Penjawat awam Selangor diingatkan supaya berani berkata benar dan jujur dalam memberi nasihat atau menyalurkan maklumat kepada pemimpin negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, segala pencapaian diraih Selangor dalam tempoh 10 tahun ini boleh musnah jika wujud pengkhianat yang sengaja menyalurkan fakta dan nasihat salah demi menjaga kepentingan diri.

“Bukan sahaja soal menang atau kalah pilihan raya tetapi dalam semua pencapaian yang sudah kita laksanakan.

“Semua status dan kedudukan yang sudah kita capai akan musnah jika selesa dan alpa apatah lagi jika ada kumpulan pengkhianat antara satu sama lain untuk kepentingan peribadi masing-masing.

“Tak mampu bercakap benar, tak mampu berbincang dengan jujur yang akhirnya memberi kesan bukan sahaja kepada orang politik dan pemimpin tetapi juga mereka yang gagal memberikan nasihat atau mempertahankan intergriti yang ada seperti digariskan termasuk sumpah serta ikrar yang dibacakan tadi,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada Perhimpunan Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Daerah Kuala Langat di Dewan Sri Jugra, Telok Datok, di sini, hari ini.

Penjawat awam juga diingatkan supaya memastikan tiada campur tangan mana-mana pihak ketika membuat keputusan.

Sambil menyifatkan penjawat awam negeri termaju itu sebagai aset penting negeri, mereka juga perlu menghidari perasaan selesa dengan pencapaian yang ada kerana ianya akan membuatkan Selangor ketinggalan.

Amirudin berkata, berbanding hari ini, di peringkat awal pentadbiran Kerajaan Negeri 10 tahun lalu menyaksikan wujudnya kebimbangan antara penjawat awam dan kepimpinan negeri.

Sementara itu, ketika menyentuh isu pembayaran bonus penjawat awam bagi tahun 2019, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri bersedia membayar bonus lebih dua bulan gaji berdasarkan prestasi jabatan masing-masing.

Categories
SELANGOR

20 usahawan wanita Selangor sertai pembangunan usahawan halal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 APRIL: Seramai 20 usahawan wanita terdiri daripada persatuan ibu tunggal dan asnaf seluruh Selangor menyertai Program Pembangunan Usahawan Halal kendalian Halal Academy, di Bilik Pejabat MTES, di sini, semalam.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, program di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu turut disertai usahawan wanita, dari luar Selangor.

Katanya, mereka terpilih adalah dalam kalangan usahawan wanita yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah, khususnya pangsapuri kos rendah dan berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

“Usahawan wanita ini adalah usahawan produk makanan dan ubat-ubatan tradisional yang menghasilkan produk sejuk beku seperti karipap, keropok lekor serta minuman kesihatan bagi wanita, di luar sana.

“Program ini adalah penting kerana memberi pendedahan kepada usahawan wanita untuk mendapatkan sijil halal yang sudah tentu bukan perkara mudah kerana terdapat perkara perlu dipatuhi ketika proses mendapatkan sijil halal berkenaan, terutama daripada segi kebersihan dan keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, Haniza merangkap Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya berkata, sijil halal diperoleh nanti diharap mampu meluaskan pasaran usahawanita, sekali gus menembusi pasaran pasaraya besar seperi Giant, Tesco dan NSK.

“Dengan pengiktirafan yang diberikan oleh pasar raya besar ini mampu meningkatkan ekonomi keluarga terutama bagi golongan asnaf yang terpilih.

“Diharap program ini dapat memberi idea dan semangat kepada peserta terpilih untuk terus berusaha dalam meningkatkan pendapatan serta kualiti kehidupan mereka,” katanya.

Halal Academy diwakili Ketua Pegawai Operasi, Khairul Anwar Kamal; Penolong Ketua Pegawai Operasi, Syuhada Hussain dan Eksekutif Latihan, Nur Jannah Ismail.

 

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Peserta tuisyen percuma ditingkatkan ke 10,000

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 12 APR: Perubahan angin politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 jelas memberi pelbagai manfaat kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antaranya membabitkan usaha dalam sektor pendidikan apabila terjalinnya kerjasama dan persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

“Ekoran perubahan politik pada 9 Mei lalu, kita mula berupaya bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan dapat melaksanakan program tuisyen, di sekolah terpilih.

“Kita berjaya mengangkat dan menambah jumlah jumlah peserta yang layak daripada 6,000 orang kepada 10,000 pada tahun 2019,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada Perhimpunan Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Daerah Kuala Langat, di Dewan Sri Jugra, Telok Datok, di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga meningkatkan usaha pengupayaan rakyat negeri termaju itu untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Sebelum ini, program Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang dijalankan Kerajaan Negeri menghadapi beberapa kekangan daripada peringkat persekutuan ekoran perbezaan fahaman politik.

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

Rumah Idaman rancak pembinaan kediaman mampu milik

OLEH AFEEQA AFEERA

KELANA JAYA, 4 APRIL: Pelaksanaan Rumah Idaman Rakyat Selangor (Idaman) yang dijayakan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) bertujuan merancakkan lagi pembinaan rumah mampu milik, di negeri itu.

Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin berkata, rumah adalah keperluan asas yang sangat kritikal kepada rakyat dan menjadi ‘nukleus’ untuk kemajuan ekonomi akan datang.

“Jika rakyat dapat perumahan baik, institusi perbankan juga akan berjalan termasuk perkara yang bersandarkan perumahan akan bergerak sejajar.

“Di peringkat MBI, kita menggunakan dasar Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang menetapkan pemaju untuk menyediakan unit rumah harga kawalan seperti Rumah Selangorku.

“Justeru, kita guna pakai konsep itu untuk mewujudkan Rumah Idaman dan tiada perubahan dari sudut dasar, sebaliknya kita merancakkan lagi rumah mampu milik,” katanya dalam sidang media di Wisma Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), di sini, semalam.

Pada masa sama, Soffan berkata, MBI berhubung dengan semua stakeholder terbabit iaitu Kerajaan Negeri, pemaju dan rakyat berhubung hala tuju rumah mampu milik, di Selangor.

“Kebanyakan pemaju mementingkan keuntungan dalam setiap pembinaan rumah dan perlu melihat aliran tunai untuk membina rumah mampu milik.

“Bagaimanapun, kerajaan harus menggalakkan mereka membina rumah mampu milik. Justeru, kita dapat ruang untuk perkenalkan Rumah Idaman ini,” katanya.

Rumah Idaman menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta dengan harga bersih hanya RM250,000.

Setiap unit Rumah Idaman dibekalkan set televisyen, peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, penyaman udara di setiap bilik dan pemanas air di bilik air.

Projek itu akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi dan Kuala Langat Utara.

Majlis pelancaran program kediaman istimewa itu akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar di Kajang 2, Mukim Bandar Batu 18, Semenyih, pada 6 April ini.