Categories
BUDAYA RENCANA

Salah tanggapan

Seorang budak
hati dan bibirnya
merekah riang ria
terhibur mendengar siulan merdu
burung di dalam sangkar.

Disangkanya
burung menyanyi ceria
menyambut hari baharu pagi cemerlang.

Ah
budak itu
terlalu mentah untuk membaca
rintihan pilu di sebalik nyanyian mendayu rayu
mengenangkan zaman bebas langgas
membelah angkasa raya
atau terlena manja dalam pelukan
dedaun segar rendang
dakapan kasih keluarga
di hutan.

Kho Thong Eng

Categories
BUDAYA RENCANA

Sakit jantung

Oleh Abdullah Hussaini

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Hampir dua puluh tahun Jasuli tidak melihat rupa kampung halamannya, atau orang dari kampungnya sejak melarikan diri setelah dituduh bermukah dengan Kak Nab, isteri ketua kampung. Dia sendiri hampir lupa wajah Kak Nab atau lakinya yang menyuruh budak-budak jantan sana melanyaknya. Tiba-tiba hari ini, seorang lelaki bersama isterinya yang singgah di kedai menegurnya.

“Dee, kan?” kata lelaki itu dengan mata dikecilkan sedikit sebelum perlahan-lahan membesarkanya.

Jasuli menggeleng dan berkata kau tersilap orang ni. Dee memang dia. Dee adalah nama timangannya di kampung dulu. Raut mukanya serta-merta bertukar.

“Ah, aku tak silap. Tu, tahi lalat bawah bibir tu. Makin besar, tapi aku masih cam, Dee.”

Dia tidak boleh berkata apa selain tersengih tanda mengiakan. Entah berapa ratus kilometer jarak dari Ulu Tiram dengan Padang Besar, tapi hari ini jarak itu dikecilkan oleh satu sapaan.

“Duduklah, apa nak makan?” pelawa Jasuli selaku tuan gerai.

Pelanggan tidak ramai ketika itu. Dua orang tua berkopiah lusuh sedang rancak berbual. Seorang pemandu lori ralit menatal telefon sambil mengunyah roti canai dan seorang cikgu baru tiba, sedang membelek-belek tali pelitup wajahnya yang tercabut.

“Ya Rabbi, lama sungguh tak jumpa kau. Aku ingat kau dah mati. Amacam sekarang, sihat?”

Angguk. Jasuli mengesat meja dan melihat sekilas. Lelaki itu hanya hendak minum. Teh ais pekat dan kurang manis dua gelas. Jasuli melaung kepada pekerjanya di dapur. Kepalanya tiba-tiba memainkan beberapa potong ingatan lepas. Dia tidak cam siapa lelaki ini. Adakah salah seorang yang pernah memukulnya dulu?

“Dekat dua puluh tahun eh. Lama tu. Tapi, dunia ni memang kecik. Tak sangka berjumpa di sini, kan.”

Lelaki itu masih memandang Jasuli. Senyumannya lebar, menampakkan barisan gigi yang putih dan ada sebatang gigi tercabut. Siapa mamat ni, getus Jasuli. Dan mata isterinya pula tak lepas dari skrin telefon, ralit menonton siaran langsung Facebook.

“Ini Syafiq, ya?” Jasuli sekadar menebak. Kalau boleh dia tak mahu bercakap. Tapi tidak elok pula kalau dia mengunci mulut.

“Eh kau ni. Aku Kamil. Jiran selang dua buah rumah kau dulu. Ingat?”

“Kaaa… mil?”

Jasuli menggesek-gesek dagunya. Dia tidak ingat nama ini. Rupanya pun tak terakam langsung dalam kepala. Namun hatinya makin rasa tidak sedap. Tidak selesa. Rasa menyesal membuka gerai hari ini. Perjumpaan dengan seseorang dari kampungnya dulu adalah perkara terakhir dia mahukan dalam kehidupannya sekarang.

“Nampaknya kau dah lupa banyak benda pasal kampung kau. Eh duduklah dulu, kita sembang sikit.”

“Itulah, sebab dah berumur mungkin,” kata Jasuli sekadar tersengih. Sengihannya dibuat-buat.

Air teh dua gelas sampai. Jasuli menyeluruhi lelaki itu. Kamil? Dia cuba mengingat. Entah siapa. Kamil menghirup teh. Dia tak gunakan straw. Dia keluarkan straw dan letak di atas meja, kemudian mengusap rambutnya ke belakang. Isterinya meletakkan telefon sebentar, melihat Jasuli dan tanya, “Dee? Macam nama pelawak tu?”

Kamil gelak kecil. Dia angguk dan minum lagi teh. Jasuli tak senang duduk.

“Orang kampung panggil dia Dee sebab muka seiras. Cuba tengok betul-betul.”

Si isteri menurunkan sedikit kacamata, merenung dan berkata, “Eh, betullah bang.”

“Macam mana hidup sini, okey?”

“Okey je.”

“Siap berkedai lagi. Dah lama?”

Kenapa lelaki ini begitu mesra? Dia kawan aku kah dulu?

“Bolehlah, nak hidup lepas pencen ni.”

“Pencen? Awal betul pencen. Kau belum sampai lima puluh, kan?”

Sampai umur aku pun dia tahu? Tentu dia tahu juga hal malam itu. Malam ketika dia dijerkah, diserbu dan dilanyak sebelum dapat melarikan diri.

“Tak adalah. Aku kerja swasta sebelum ni. Berhenti awal. Dah puas kerja dengan orang.”

Dia terbiasa bercerita panjang, dan hampir saja melakukannya lagi di depan Kamil. Tapi dia terhenti di situ, tidak mahu lanjutkan apa-apa.

“Ooo… padanlah.”

Jeda. Masing-masing tidak bercakap apa. Kesenyapan itu dipecahkan oleh laungan pemandu lori yang hendak membayar minuman. Sebelum Jasuli sempat bangun, pekerjanya terlebih dahulu mendapatkan pemandu lori itu. Terlepas peluang, rungutnya.

“Kau ingat kan, Kak Nab?”

Tekaannya betul. Kisah silam ini pasti diungkit kembali. Apa hal? Aku sudah berkahwin, dah ada tiga orang anak. Kenapa dibawa kembali kisah silam ini? Jasuli teragak-agak menjawab, “Tak… ingat.”

Kamil merenungnya dalam-dalam. Kepalanya direndah dan diserongkan sedikit lalu telunjuknya diluruskan. Dia berkata, “Kau biar betul. Lupa sungguh?”

Jasuli merasakan adalah satu pengkhianatan kepada sejarah diri jika dia menipu. Tetapi dengan jawapan dalam nada teragak-agak, dia mengisyaratkan bahawa dia tidaklah benar-benar lupa, cuma tidak pasti.

“Dia baru meninggal.”

“Bila?” laju dia bertanya.

“Dalam empat bulan dah.”

Angguk dan senyap.

“Aku masih ingat kejadian tu,” kata Kamil tanpa memandang. Tehnya sudah habis dan dia mengacau-ngacau ketulan ais dengan strawnya.

Mujur kali ini dua pakcik berkopiah minta tambah air. Jasuli cepat-cepat ke dapur. Dia membancuh dengan perlahan, mengacau susu dengan perlahan, semuanya untuk meredakan detak jantung yang kian kencang. Selepas menghantar minuman, Jasuli perasan Kamil sudah tiada. Di meja, sekeping not lima ringgit. Pada mulanya dia tidak mahu pedulikan lelaki itu tetapi mengubah fikiran dan bergegas mendapatkan Kamil yang sudah masuk ke dalam kereta.

“Kak Nab sakit apa?”

Kamil menurunkan tingkap, “Serangan jantung, Dee.”

Lama Jasuli terpaku depan kereta dan menunduk, meraih kembali kenangan.

“Aku pergi dulu ya,” kata Kamil.

Lamunan Jasuli terbubar. Dia mengangkat wajah dan bertanya, “Kejap, kau ingat tidak nama sebenar aku?”

Kamil tertegun, mengetap bibir, menggeleng perlahan sebelum berpaling kepada Jasuli dan membalas, “Tak… ingat.”

Categories
BUDAYA RENCANA

Puan kami lapar

Oleh Aliff Awan

Duit tak ada dan seseorang di dalam dah mencubit-cubit perut. Kukunya macam tak dipotong jadi ada rasa yang daging terkupil, melelehkan darah yang halus menitik. Tapi, perjalanan masih jauh dan kalau sekalipun kereta api ini tiba-tiba laju, saya masih akan sampai di Bank Negara hanya selepas sejam setengah.Sebenarnya, malas dah jadi pakaian. Atau sebenarnya malas adalah tubuh saya?

“Nantee masokkan perjoompaan secara bersemooka dee dalam jadual. Semeenggoo sekalee, ya. Teeap meengoo saya belanja makan,” arah dia yang saya susah nak faham bahasanya. Mesej itu dikirim betul-betul selepas kelas.

Dia pensyarah linguistik kami, tapi mesej yang ditaipnya selalu buatkan saya menduga-duga berapa besar, tebal dan panjang kabel yang dia lilitkan pada pegawai temu duga.

Bingung menjadi gelang, menyarung tangan kiri. Balas saya dengan sebuah kiriman suara, “boleh saya tahu keperluannya, Puan? Sebab kami bukan dekat. Ada yang dari Perak, Sabah, Kelantan dan Johor. Kalau ia cuma perbincangan, eloklah kalau kita teruskan seperti biasa, melalui internet saja. Lagipun, masih ada yang belum vaksin.”

Balasannya buatkan bingung menjadi gelang kedua, menyarung tangan kanan pula. Katanya, perbincangan ini penting dan kami wajib turun. Jadi, selepas marah yang diam- diam, kami pun terpaksa akur dan sekarang, saya dalam perjalanan ke universiti menaiki kereta api super-lembab.

Seseorang di dalam masih mencubit-cubit perut, mengupilkan daging yang entah ke berapa. Lapar buatkan saya fikir, kalau ada duit yang orang cicirkan di celah-celah tar atau mungkin di atas meja, saya akan ambil untuk dijadikan duit beli makanan. Lapar juga buatkan saya pening. Dan pening ini bercampur dengan geram yang membara dua hari lepas.

“Awuok tuok bolih masok fakooltee rasanya Raboo nee. Jadee, keeta joompa dalam eenternet sajalah.”

Mesej seringkas ini cukup untuk buatkan marah menjadi pakaian, menjadi seluar. Kami dah mencarut-carut, soalkan tentang duit yang dah habis terbakar kerana perjalanan yang dah diatur. Kapal terbang, bas dan ETS. Masa yang telah dicuri dan bebel mak-ayah yang terpaksa didengari.

“Tak bolehlah Puan tiba-tiba macam ini. Tiket dah beli, jadi kita memang kena jumpa Rabu nanti,” tapi mesej ini cuma dibaca. Kami dah resah. Maki bersepah. Cuma selepas dua pagi, marah kami dibalas dengan “ok.”

Lepas 11 stesen, akhirnya kereta api berhenti dan di kaki, debar menjadi kasut, memalsukan langkah konon berani. Ada lebih kurang tujuh minit sebelum saya betul-betul sampai di universiti kalau berjalan kaki. Dan sepanjang perjalanan, otak saya menjadi filem:

Dengan bongkok yang hampir menjilat tanah, dia masuk. Kami pula duduk dengan debar di kaki masing-masing, menunggu mulutnya yang entah di mana, mengeluarkan suara. Lima minit dan dia masih tak cakap apa-apa sebelum tiba-tiba, “saya sebenarnya saja nak jumpa awak hari ini. Tak ada sebab penting pun.”

Dan gelang, pakaian, seluar dan kasut kami tercabut. Kerusi terbakar, tanah pula gempa bumi. Ada lagi empat tingkat yang perlu didaki sebelum sampai ke fakulti. Kami yang nampak saya, melambai-lambai dengan senyum weh-dah-lama-tak-jumpa. Sedang debar masih di kaki, saya masih terfikir-fikir kalau hari ini akan ada pergaduhan.

Tiba-tiba saya teringat soalan daripada kami sebelum terbang dari Sabah, “Kalau kita biadab, katanya cikgu boleh un-berkatkan ilmu. Kalau cikgu yang biadap, boleh ke kita unberkatkan gajinya?” tapi, tak ada siapa yang jawab soalannya. Sekarang, saya dah sampai di fakulti. Betul-betul di hadapan kami. Tapi, mereka macam mencari-cari. Cari siapa? Puan. Puan tak ada di dalam? tak. Tak tanya staf? katanya, Puan datang awal pagi tadi dan kali terakhir, mereka tahu yang dia ke pantri.

Jadi, kami ke pantri, tapi kosong. Yang ada, beberapa keping seratus di atas meja.

Kami memandang kanan, memandang kiri sebelum yang dari Johor kata, “mungkin ini Puan tinggalkan untuk belanja makan kita nanti?” kami pun tanpa silu, mengangguk sebelum terus bergegas ke kafe, mengambil makanan, memesan minuman. Sebelum makan, kami perlu bayar, jadi saya ke kaunter dan meminta jumlah. RM 67 katanya dan saya hulur seratus.

“Rosak ni,” terang tukang kira sebelum dia menyelak-nyelak ringgit. Saya pun tergaru-garu sebelum hulur seratus yang lain dan ia berulang lagi. Penat akhirnya memarakkan baran tukang kira. “Kalau hang nak main-main, baik hang berambus!”

Terkial-kial, kami pun tinggalkan pinggan penuh makanan dan mendaki semula enam tingkat ke fakulti. Masing-masing mengeluh. Saya pun dah berpeluh sebab seseorang yang asyik mengupil daging di dalam perut. Tapi, dia di mana? Saya memang perlukan duit penuh keberkatannya sekarang. Saya lapar!

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Di kanvas fiksi

sehelai tikar dari langit
ada sekutum potret
ditulis oleh Monalisa
pada pertengahan
perang dunia ketiga.

karya di dinding langit juga
tersadai di rumah Leonardo
imejnya turun,
menjadi abu abu pertanyaan.

siang dan malam
mimpi mimpi masih sama;
fiksi fiksi

Solihin Osman

Categories
BUDAYA RENCANA

Pabila arnab mengajak kura-kura berlumba lagi

Oleh Shahkang

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Sepurnama menjelang pilihan raya rimba. Bisikan mula menebar tentang penganjuran pilihan raya memilih Ketua Rimba. Pemerintahan Sang Gajah telah berakhir setelah tempoh sah jawatan secara sendirinya tamat, mengikut ketetapan dalam Peraturan Rimba. Mauduk perbualan marga rimba seputar isu nan sama – siapa bakal pemimpin kita?

Rimba ini moden (mungkin jua aneh?), penuh demokrasi. Mana-mana haiwan berhak menjadi ketua, dinilai daripada keupayaan memimpin dan menguruskan komuniti rencam spesies.

“Kita harus mengadakan perlumbaan sekali lagi.” Lain sedikit topik kekecohan dalam koloni arnab. Isu ini bermula dari salah satu lubang kediaman.

“Setiap kali pilihan raya, kita sering sahaja menjadi bahan ketawa! Kita tewas dengan majoriti besar kepada wakil bukan pilihan daripada komuniti murai dan semut. Ketinggalan 10.75 kali ganda daripada undian Sang Gajah! Hanya 1.95 peratus daripada jumlah pengundi memilih kita, dan 1.50 peratus adalah undian daripada koloni arnab sendiri!” seekor ahli koloni yang bekerja sebagai penganalisis politik membuat ulasan ringkas berkenaan kegagalan koloni arnab dalam pemilihan Ketua Rimba yang lepas.

“Bukan pilihan raya lepas sahaja, sejak ratusan tahun dahulu pun pencapaian kita tak pernah memuaskan. Semakin merudum!” Penganalisis terus memaparkan graf garis lengkung pada tubuh sebatang pokok. Benar, koloni arnab semakin tidak mendapat tempat dalam hati marga rimba.

Koloni arnab terus kecoh taru, berpindah daripada satu topik ke satu topik lain. Umpama pesta berbual-bual (mengumpat), berkerip-kerip daripada suatu lubang kediaman ke lubang kediaman yang lain. Masing-masing mengulas peristiwa dungu wakil koloni yang tertidur nyenyak di bawah pohon ratusan tahun dahulu. Alahai, habiskan saja perlumbaan kemudian tidurlah sehingga mati! Patutnya samseng arnab tiarapkan kura-kura sewaktu di selekoh lembah sunyi. Patutnya wakil kita dihantar berlatih di Amazon dengan pembiayaan wang koloni, ini berlatih di ceruk rimba sahaja, nak harapkan apa? Wang koloni gunakanlah untuk naikkan nama spesies, tak perlulah buat kenduri-kendara jamu lobak merah dan sawi import.

Sekumpulan arnab muda (yang lebih celik isu semasa dan dunia digital manusia) menambah lagi bingar. Dikhabarkan, kisah arnab tertidur di bawah pohon dibuat lagu kanak-kanak, dijadikan teladan untuk tidak bersikap angkuh dan terlalu yakin. Pakar motivasi manusia menceritakan mengapa arnab boleh tersungkur, kura-kura boleh menjadi juara meskipun dengan kelembabannya. Kegagalan ini dijadikan filem untuk ditertawakan sekalian umat manusia. Menurut sumber tabloid, terdapat arnab muda di benua lain membunuh diri kerana tidak tahan dengan ejekan rakan-rakan.

Ketua koloni arnab tiba-tiba menempik, cukup! Kita tidak harus membiarkan perkara ini berterusan. Peristiwa memalukan tewas kepada kura-kura harus dipadamkan daripada lipatan sejarah. Setiap anak arnab yang lahir tidak wajar menanggung malu atas kesilapan bodoh nenek moyang suatu masa dahulu.

“Kita akan berlumba semula dengan kura-kura!”

Koloni arnab menyambut dengan sorakan. Keterujaan mengapung dalam lubang kediaman. Masing-masing muncul keluar lalu berhimpun. Koloni arnab berarak ke perkampungan kura-kura di pinggir tasik meskipun sudah larut malam. Tiada siapa pun mengungkit kegagalan lama, masa untuk bangkit. Seorang arnab muda berteriak “Inilah yang kita panggil failing forward!”, lalu disambut gemuruh warga koloni meskipun tidak memahami sepatah pun Bahasa Inggeris.

“Kami mahu mengadakan perlumbaan, sekali lagi!” ketua koloni arnab mengejutkan lena koloni kura-kura.

Pak Kura sebagai pemimpin koloni berpisat-pisat muncul dari teduhan. Siapa malam-malam hadir? Aduh, esok sajalah bincang, kan sudah jauh malam. Tidak, kami nak jawapan malam ini juga (woahh – sorakan koloni arnab menyusul). Baiklah kami setuju tujuh hari lagi, cadangkanlah siapa urus setia dan laluan. Kami ikut sahaja. Pak Kura memberi kata putus.

Koloni arnab mengiya-iya teruja. Pak Kura lekas masuk tidur dengan fiil ‘lantak kau orang lah!’.

Malam itu koloni arnab tidak lena, terus bermesyuarat menetapkan beberapa perkara pokok.

Pertama, calon pelumba disaring dalam kalangan yang muda. Para calon akan menjalani saringan intensif bermula terbitnya fajar merah hari ini sehingga matahari sepenggalah tinggi.

Kedua, laluan perlumbaan dipastikan betul-betul sukar sehingga wakil kura-kura tidak mampu membuat apa-apa helah (difahamkan daripada penganalisis, pernah perlumbaan seumpama diadakan di lereng bukit dan kura-kura melantun-lantun cangkerang sehingga ke garisan penamat.).

Ketiga, pasukan khas ditubuhkan bagi melakukan apa-apa muslihat bagi menjamin kemenangan wakil arnab.

Keempat, kemenangan nanti akan disambut dengan penuh perayaan. Dengan itu, diarahkan agar lobak merah dan sayuran hijau diimport khas dari rimba lain bagi memastikan pesta keraian berlangsung dengan cukup meriah.

Kelima, kemenangan ini akan dijadikan modal politik untuk pilihan raya rimba akan datang.

Hari perlumbaan tiba, koloni arnab diwakili oleh Poosen Bolt (nama asalnya Putih Bertompok namun ditukarkan untuk publisiti atas nasihat golongan muda). Kura-kura diwakili oleh Pak Kura sendiri. Warga rimba menanti di sepanjang laluan perlumbaan bagi menyaksikan peristiwa bersejarah ini.

Tempikan ‘mula’ dilaungkan oleh Sang Rimau selaku pengadil perlumbaan. Poosen Bolt langsung memecut tanpa menoleh sepicing. Dilaung sekuat-kuat dalam dirinya, “jangan leka, jangan tidur, fokus!”. Dikhabarkan sewaktu Poosen Bolt melintas kawasan penonton, hanya desup angin dirasai tanpa bayang tubuhnya. Poosen Bolt berjaya menamatkan perlumbaan sebelum matahari melintas ke barat. Pak Kura tiba di penamat waktu hampir senja. Disambut oleh koloni arnab dengan nada mengejek dan tawa yang tidak berkesudahan

Pilihan raya rimba dijalankan. Pak Kura telah menang dengan majoriti mudah. Poosen Bolt cuma meraih undian daripada koloni arnab dan beberapa undi harimau kumbang (yang meminati dunia larian serta kurang cakna dengan isu semasa rimba).

Penganalisis arnab pun bercempera kalut mencari punca kekalahan. Mengapa dengan publisiti meluas, dicampur dengan pembetulan kisah sejarah pun masih gagal menambat hati marga rimba? Nama Poosen Bolt telah dijaja merata-rata – dikhabarkan nama Poosen Bolt tular dalam aplikasi TikTok yang digilai manusia. Nah, bukankah ini populariti jelas yang sepatutnya mampu menjadikan Poosen Bolt sebagai Ketua Rimba? Apakah marga rimba begitu buta, melangkah ke belakang dengan memilih Pak Kura yang ternyata lembab dengan rupa kurang segak itu?

“Pak Kura bukan setakat berlumba. Disebabkan begitu perlahan pergerakannya, Pak Kura mengambil peluang bertegur sapa penonton di jalanan. Pak Kura bahkan menyelesaikan masalah apabila ditanyakan pendapat. Contoh masalah moral anak muda buaya tembaga suka mengurat dan tabiat tupai menebuk buah tanpa memetik. Malah dia membenarkan tempua bertenggek di atas cangkerangnya, hanya untuk mendengar keluhan tentang manusia pengambil sarang. Ternyata Pak Kura memenangi hati marga rimba dengan sikap ambil beratnya, bukan sekadar populariti bodoh yang membosankan.” Begitulah ujar urus setia perlumbaan yang namanya enggan didedahkan.

Penganalisis, Poosen Bolt dan ahli-ahli koloni arnab tercengang, melihat antara satu sama lain sebelum bergerak masuk ke gua (lubang kediaman) masing-masing, menanggung malu yang berganda-ganda.

Categories
BUDAYA RENCANA

Sepohon bonsai & 15 Jan

Januari akhirnya bersuara
ingin lagi memulai tahun baru
bahunya ditepuk Februari
ubunnya dikucup Disember

Limau Bali di Ipoh
asyik meraga senyum
menunggu pelawa
ke luar negeri

sepohon bonsai terlentok
dengan rupa polos
diamdiam mengimbau
sebuah tarikh

berkeping doa kelihatan
mendaki puncak bukit
sebelum satu per satu
menunggu sahut langit

 

Maliqi Musa

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Boneka alam

siapakah paling tulus mencintai laut
antara bulan dan matahari?
keduanya saling mengusir
demi meneguk asin pipinya

tetapi laut
jemarinya bergetar
tegar
mengejar
lengan pantai

Aiman Said

Categories
BUDAYA RENCANA

Sebuah kedai buku di Canning Garden Ipoh

Oleh Jack Malik

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Sebagai seorang yang membesar di Ipoh, Vegas dan New Hollywood adalah tanah haram saya. Sedangkan tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat yang Lin Yutang sebutkan apakah maksud sebenar patriotisme. Chee Chong Fun, Karamel Kastard, Char Kueh Teow—antara santapan bani subuh dan sang juara pekan slacker—segala bau, bunyi, rupa dan rasa itu, tidak mampu saya puisikan. Tapi saya masih cuba. Kalau bukan saya, siapa lagi yang akan simpan kenangan ini? Mungkin inilah cara saya menunda kesementaraan. Dan menulis tentang kesementaraan-puitis ini, saya teringat suatu masa dahulu—betul-betul bersebelahan New Hollywood—ada sebuah kedai buku bernama Ariffin.

Ariffin bagi saya, sama taraf seperti Jasema bagi mereka yang khususnya tinggal di Taman Tun Dr Ismail dan Mutiara Damansara. Ariffin tempat saya memujuk Mama mengapa pentingnya untuk saya memiliki dua kotak pensel dan bukannya satu. Di Ariffin juga, budak 90-an seperti saya mengenal komik One Piece dan Anak-Anak Sidek; majalah hiburan seperti Gempak dan Kreko. Inilah ingatan terawal saya tentang buku dan sastera di kejiranan magis yang membesarkan saya sebagai seorang penyair di masa hadapan dan lebih utama, seorang manusia.

Cari identiti

Ada beberapa buku saya membesar bersama, seperti One Piece yang sudah mencecah 1000+ episod. Ada juga yang sudah lama saya tinggalkan tetapi tidak dilupai. Ternyata, kenangan adalah penipuan paling indah, bak lagu Into The Unknown daripada animasi Over The Garden Wall. Siapa sangka, dalam saya mengelolakan bacaan untuk mendewasakan kepenyairan diri, saya menjumpai kejernihan dalam buku kanak-kanak.

Kejernihan, bagi seorang penulis, sama penting dengan suara. Pencarian identiti boleh dibina sedikit demi sedikit oleh masa. Tetapi kejujuran adalah ruang yang perlu disediakan sendiri. Pada tahun 2018, inilah pertemuan pertama dan terakhir saya dengan Allahyarham Salleh Ben Joned. Ketika itu, tidak banyak yang kami bualkan. Pak Salleh sedang sembuh daripada sakit akibat terjatuh. Perasaan saya ketika itu, gugup bercampur ghairah kerana akhirnya dapat bertemu hero sastera tanah air saya, selain Abdul Ghafar Ibrahim. Walaupun Allahyarham hampir tidak langsung bercakap, namun melalui riak mukanya, saya percaya beliau menyenangi kehadiran kami.

Tiada kata-kata hikmat atau rahsia penulisan diturunkan oleh Pak Salleh semasa pertemuan kami, namun sampai hari ini saya berpegang pada apa yang Pak Salleh zahirkan dalam eseinya, Is Nothing Sacred (1990), tentang (menulis) puisi hanya perlukan “kejujuran, kemahiran, kejernihan akal dan kalbu.” Saya menjumpai apa yang Pak Salleh cuba sampaikan dalam penulisan buku kanak-kanak.

Pengalaman mengalih bahasa membuka mata saya ke dunia cilik—serba sederhana. Buku kanak-kanak memerlukan kemahiran untuk tidak menulis sesuatu yang ‘penuh dalam mulut’, pada masa yang sama, sentiasa percaya setiap kanak-kanak berjiwa besar. Rakan sekerja isteri saya bercerita tentang anak perempuannya yang berkata: “Ayah, hati ayah dan hati saya bersahabat.” Maka benarlah kata penyair Anis Mojgani: kanak-kanak bertutur separuh bahasa manusiawi, separuh lagi lidah Ilahi. Saya turut menemui penulisan buku kanak-kanak bukan sahaja wajib jernih agar difahami oleh sasaran pembacanya tetapi juga perlu bersih daripada ketidakjujuran. Ini selalu mengingatkan saya kepada Jayzuan—pertama kali kami bertemu—berkata, “hang pecat semua ni dulu,” kerana ternampak buku The Conference of The Birds yang saya bawa.

Dalam membina jagat raya pembacaan, pemahaman muncul dalam dua petikan berlainan tetapi sama spektrum, seperti yang saya pernah dengar. Pertama, kalau kita tidak memahami apa yang kita baca, barangkali penulis itu tidak menulis dengan baik. Kedua, daripada dialog sebuah filem tempatan: “Kalau kau baca buku tapi tak faham—buku yang bodoh ke kau yang bodoh?”

Ribut rasa

Dampingan ini menarik namun jika diberi pilihan, saya tidak bersetuju dengan petikan kedua. Ini kerana, saya percaya pemahaman dalam membaca sedikit sebanyak adalah tentang sikap. Adakala sebuah puisi saya langsung tidak memahami apa yang dituliskan. Ini belum kira puisi eksperimental yang sah-sah sebenarnya sayalah yang bodoh jika diturutkan logik dialog di atas. Walau bagaimanapun, ini bukanlah penghalang untuk saya mengagumi dan menemui kejujuran para peneroka dalam menyampaikan sisi lain yang belum pernah kita saksikan. Mereka memberitahu saya, dalam kita mencuba, penting untuk tidak mencipta roda tetapi menyaksikan kemungkinan; tika roda berputar, apa irama ia nyanyikan?

Sejak lima tahun lepas, nyanyian inilah yang saya cuba masukkan ke dalam himpunan puisi saya. Akal dan kalbu, saya cuba jernihkan agar seorang Jack Malik tidak dikaburi kabut bahasa dan ribut rasa. Setiap kemahiran tumbuh daripada semangat patah yang menyedari kekurangan diri. Kini, saya harap kejujuran akan bertemu mata di sela keberadaan saya dan karya saya.

Buat masa sekarang, saya mula mengumpul buku kanak-kanak, sebagai ‘pencuci selera’ bagi rampai sari bacaan sedia ada, selain puisi dan esei, yang sedang dijalankan. Lidah pula masih rindukan Ipoh dan kedua restoran itu kekal sebagai tanah haram saya. Semua ‘magis’ kecil yang wujud di kejiranan itu, syukur masih ada untuk menjujurkan ruang lingkup hidup saya yang kadang berkeladak.

Tetapi, kedai buku Ariffin bersebelahan New Hollywood sudah tiada.

Saya tidak pasti sama ada keadaan ekonomi, wabak atau kedua-duanya, memangkal punca penutupan ini. Alejandra Pizarnik, seorang penyair Argentina, menulis: “apa yang ingin aku lakukan adalah memberi penghormatan kepada penyimpan bayang-bayangku.” Canning Garden secara peribadinya, masih menawarkan segala hirup-pikuk yang benderang. Saya cuma berharap saya sentiasa mampu “dengar suara Ipoh dan kenal lunak tekaknya”—malar seperti ingatan saya—“penuh dengan bunga kertas” yang suatu ketika pernah memenuhi halaman rumah lama saya semasa kecil.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Sunti sejati

Sekarang orang ghairah
memburu yang bukan normal
misalnya mengubah bunga
dengan kelopak, tangkai
dan ranting janggal
jauh daripada cerminan alam
nan lama memantulkan
wajah tenteram.

Aku masih setia begini
selesa menanam
dan menjaga anggerik hutan
yang berpucuk dan terbentuk
di lembah subur semula jadi
tanpa menodai sunti
lingkungan sejati.

 

Abizai
Miri

Categories
BUDAYA RENCANA

Biawak hidup

Oleh Regina Ibrahim

Menerima panggilan dari rumah mayat Hospital Pekan Indah, Rahman wajahnya kosong, bak manusia tanpa deria. Berterima kasih pun mendatar suaranya, sangat tidak Melayu. Berita kali ini wajib dikhabarkan kepada isterinya, Zuriah. Diam, berjanji, terangguk-angguk menyakinkan diri bahawa itu akan jadi berita buruk terakhir buat isteri. Rahman dipasung rasa bersalah.

Apa yang tidak dilaluinya saat Anita meningkat remaja? Awalnya disangka hanya tradisi peranan ibu bapa. Cuping telinga kalau boleh luruh, sudah lama terpelanting. Akurlah dia, Anita bagaikan bala dipersila ke ruang hidup. Rangkalah sesalan apa sekalipun, maknanya tidak tepat!

Kenapalah tidak dikurniakan nasib seperti anak gadis biasa? Sesal kian hari, kian bertapuk. Anita tak pernah sembuh, jengkelnya terlalu.

Zuriah bekas kerani, murninya luar dan dalam. Redha memikirkan jodoh sudah disusun Taala. Kerani kahwin Polis, tidaklah janggal. Dugaan berkongsi hidup pasti ada, mereka bukan maksum.

Rahman dan godaan dari gadis-gadis tahanan tanpa permit, tubuh jalang ketika serbuan pusat maksiat, belum lagi cubaan sogok bapa-bapa ayam, menahan rasa bila teman-teman seangkatan naik pangkat satu persatu, dia tak pandai berdrama menjalani tugas.

Zuriah diasak soalan lembut tapi tajam.

“Bila nak mengandung?”

“Ada bidan pandai urut di kampung seberang.”

Bertalu persoalan pihak keluarga bila bertandang hanya kerana Zuriah berperut kempis. Perempuan mandul, hatinya terkilan. Gelar mandul entah milik siapa? Laki atau bini?

Situasi jadi lega sendiri.

Anita yang comel dibawa pulang usai misi rahsia. Tidak diceritakan kepada sesiapa kecuali sang isteri.
Berspekulasilah pula bini-bini polis dalam nada yang lembut -embut tajam.

“Aku syak tu anak pompuan Indo tu…”

“Budak tingkatan lima beranak sengap-sengap rasanya, alah, kes tu minggu lepas…”

“Kau bini polis, aku bini Inspektor, faham sendirilah, macam macam…”

Anita diangkat ikut aturan. Kisahnya begini, polis Pekan Indah mendapat laporan bayi untuk dijual. Tawaran RM800 diterima Inspektor Faridah yang bujang trang-tang-tang. Rahman jadi pembantu, berlakon sebagai suami. Misi bertemu di rumah setinggan kota disusun. Susuk tubuh mereka tidak seperti manusia, ketagihan syabu, entah warganegara apa, mahukan wang semata-mata.

Daif tampilan pasangan.

Duik! duik!… takmo cakap manyak…” ketar suara lelaki di samping Marina yang kurus kering.

“Duit nak beli apa? Ikut, kami bawa berubat di pusat, cakap apa satu tak berbutir,” lancang Inspektor Faridah

“Cik tipu! duik! duik! ni anok, kami nok duik,”

Dunia apa ni? Pasangan bagai binatang, lokasi bersepai busuk mengembur bau bangkai. Faridah bertarbiah sedaya mampu, suasana tegang. Si lelaki mahu bertindak ganas, diangkat pisau entah dari mana mahu menikam si comel bermata bundar. Rahman melepaskan tembakan ke bahu si lalok, meluru gendong si bayi busuk yang entah daripada muntah, entah tahi. Marina badannya bergetar, bibir terkacip memecah botol meluru pada Faridah, tiada pilihan – satu das lagi Rahmah lepaskan, sasarannya tangan namun meledak ke dada.

Itulah hari yang memenatkan.

Thanks Rahman, jangan panik, saya saksi, bukti jelas. Tunggu seminggu, saya bantu. Ni kes penagih tanpa pengenalan, kau pernah dengar hempas pulas keluarga penagih dadah? Zero!” Faridah mereda suasana.
Bayi tanpa asal usul urusannya mudah. Rumah anak yatim kawasan Pekan Indah penuh padat, keputusan dialu-alukan, dibawa pulang menumpang hangat badan Zuriah. Rahman naik pangkat, meminta agar dipindahkan, apa ini tuah dibawa si bayi? Lupakan dahulu, dia tetap akan pulang ke tempat kelahiran mereka.

Berpindah, tidak mahu Anita kecil hati ketika membesar. Hiduplah sebagai keluarga yang lengkap di Kota Menanti dan akhirnya pulang semula bila Anita menjelang remaja.

Mekar sebagai gadis yang cantiknya sederhana, Zuriah fikir kalau hal akademik tidak kemana, asal terjaga tingkah dan budi, perempuan masih berharga. Sayang sekali, Anita menyintai kebebasan, mendakap indahnya lewat malam nan sedap bersama teman.

Tak boleh ditegur, tak mampu dilarang.

Dia berkemampuan menunding pada orang tua, bermulut kasar, kosa kata kalau boleh janganlah didengar, boleh tertusuk jantung. Tiada manisnya. Jiwa Rahman bagai dipagut-pagut mahu bercerita latar belakang daif Anita… bau muntah dan tahi kembali menerpa rongga hidung menyaksi sifat Anita, dia masih tak sanggup. Asal usul orang, apa hak kita? Diungkit sekalipun, mungkin didengar hanya sebagai dongeng.
Jiran tetangga? Tak perlu disoal, mereka bermulut,

“Tu bohsia anak polis!”

“Dia kira apa? Siapa ada punai dia tibai!”

“Huh! Suka sangat la melarang orang… duduk rumah nak buat apa? Mengadap muka tua korang? Aku bukan hamba abdi… ingat tu!” Anita resah menggeletar di suatu hari terpilih, maklumlah terpaksa mungkir janji kepada kekasih yang mahukan wang

“Ni.. top up! Ada korang letak? Korang aku minta duit, kedekut! berkira… memang sial!” telefon bimbit hadiah kekasih dibelai belai.

Berkasih dunianya manis. Merompak diikut sekali, ke lokap petanda cinta abadi. Anita bergenetik sial, agaknya benih syaitan. Barang kemas tak seberapa Zuriah, lesap. Jika ditanya makian bergema.

Dihurung persoalan remeh, kenapa dia tak jadi anak yang merindui sambal tumis, gulai lodeh atau masakan ibu? Jika gila drama Melayu pun tidak apa. Manusia boleh berubah, bukan?

“Nita, esok-esok kalau mak mati, macamana?”

“Mampuslah sensorang… senang, hidup pun menyusahkan orang, penuh halangan, bosan, macam dalam jel, boring!”

“Bukalah sikit hati, bawa-bawa semayang… orang lain elok hidupnya.

“Nih, kasi tau ayah, lain kali takyah jamin, kalau jamin jadi macam ni la… nak kurung orang, nak orang duduk duduk rumah basuh pinggan, tanak nasik? Korang tau tak dunia ni luas tau… aku nak tengok dunia, aku tak puas, babi sungguh otak korang kan?!!”

Lama Anita tidak pulang.

Tidur malam terganggu, tidak pula dikhabarkan pada Rahman. Lelaki itu sudah berkali mencuba. Apa jadinya pada Anita? Makan pakai? Hamba jantan?

Hari itu muncul juga, tidak dinanti, tidak didoa.

Setelah dikhabarkan permergian akibat dos berlebihan bersama teman lelakinya, Zuriah awalnya teresak. Bersimpang siur imejan Anita ketika comel, petah, lucu, sehinggalah hilang sopan, (ugutan mahu tendang, baling senduk, hentak-bentak, baling kain buruk ke muka Zuriah semua tersimpan rapi, Rahman tidak tahu)

Lega? Padan muka? Tamat dugaan? Zuriah tiada perasaan apa apa.

Pagi ini, pagi nan damai semacam.

Nafas dihela perlahan, ruang lohong lega. Rahman menghulur tangan kerdut, mengengam erat jari jemari isteri. Terasa kuat bila 20 jemari panas menyatu. Tanpa kata.

Lama berdiam diri di meja, jemari masih bertaut, deringan telefon hospital masuk lagi…

“Saya setuju, uruslah sebaik mungkin, mak dia tak sihat, dak… dak… angkat saja, takdak, takdak waris, terima kasih na…,” telefon dimatikan, mata tua mereka bertembung.

Pengkebumian diuruskan pihak hospital, tanpa sebarang kehadiran.

Categories
BUDAYA RENCANA

Klise encik Ben

Pagi encik Ben di kerusi pemasaran
adalah biskut mayat yang meronta dalam
gelas kopi 3 dalam 1
aromanya cuba menghidangkan diri ke bilik pengurusan,
tapi majikan lebih gemar susu segar dari Inggeris
di dalamnya segala kpi terumbang-umbang
hanya untuk dibiarkan basi

tengah hari encik Ben yang sibuk di meja grafik
adalah pamflet iklan jawatan kosong
untuk diisi encik Ben lainnya, ada waktu
beliau hampir kemalangan
menabrak diri sendiri

petang encik Ben yang berada
di bilik penyelenggaraan adalah
lif rosak, terperangkap dalamnya
mimpi-mimpi gaji yang obes
melahap janji tahun ke tahun
ketika majikan lebih suka
membaiki jalan keluar lain
dari pejabat.

 

Nasser Mikraj

Categories
BUDAYA RENCANA

Bagaimana akhirnya x digugur daripada aksara?

Oleh Saiful Ghazali
Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Barisan aksara masuk ke dalam dewan. Masing-masing memakai kot hitam ala mafia. Dewan tempat mereka bermesyuarat serba putih. Tempat duduk di dalam dewan itu pula terlalu minimalis. Hanya garisan-garisan biru halus yang melintang panjang. Dewan ini nampaknya sudah tidak asing bagi mereka. Aksara-aksara itu sudah tahu tempat duduk masing-masing. Tidak perlu dipelawa. Tidak perlu dijemput duduk. Masing-masing layan diri. Mana tidaknya, dari dahulu lagi merekalah yang tercongok di dalam dewan itu. Tidak bertukar-tukar.

A nampaknya mendahului aksara-aksara lain. A berjalan kemudian berpaling sedikit, menarik nafas, memandang seketika ke arah sesuatu yang telah lama menunggu di dalam dewan. Dia kelihatan lebih tua berbanding huruf-huruf roman yang berderet-deret mengikutinya. A juga tidak susah untuk berjalan. Dia mempunyai sepasang kaki yang lengkap. Langkahnya kemas, yakin dan penuh terampil. Huruf-huruf yang lain hanya membuntuti seperti anak ayam mengekori ibunya ke mana-mana sahaja.

Tetapi tidak bagi X. Awal-awal lagi dia sudah ada di dalam dewan. Bersedirian dengan tujahan lampu sorot yang membahang. Nafasnya kedengaran turun naik segenap dewan yang luas. Sepasang tangan X yang terkangkang luas terpacak bak pedang orang Romawi. X membayangkan wajah A yang bengis yang dibencinya. Seperti ada dendam lama yang belum selesai antara satu sama lain. Sebelum subuh lagi dia sudah terpacak dengan kedua-dua batang kakinya yang terpasung di tengah dewan itu. Siap untuk mendengar perbahasan. Berbahas tentang logika dia bakal digugurkan daripada kumpulan aksaranya. X kembali membuat muka selamba. Riak wajahnya losong kosong.

A sudah sampai lalu duduk pada tempatnya. Dia menarik nafas, kembali merenung garang susuk X yang berada di tengah-tengah dewan. Bencinya kepada X bukan perkara yang boleh dibuat senda. A sungguh-sungguh memusuhi X. A hanya menunggu aksara yang lain selesai duduk di tempat masing-masing. A sudah tidak sabar untuk memulakan perbahasan bagi menggugurkan X. Tidak ada hal semustahak itu pada ketika ini. Perkara menggugurkan X daripada kumpulan harus dilakukan segera.

Tidak lama kemudian, semua aksara sudah duduk di tempat masing-masing dan L menjadi huruf yang paling lambat selesai. L mengesot lambat kerana dia hanya punya sebelah kaki yang leper. Menggeleng-geleng, dia tersenyum kerana mengenangkan perasaan segannya di hadapan aksara yang sudah selesai mengambil tempat masing-masing. X masih kekal seperti tadi. Membuat muka selamba walau dadanya berkocak. Dia berasa seperti haiwan di dalam zoo kerana diperhatikan oleh ahli-ahli dewan yang lain sejak mereka mula memasuki dewan tadi. Terpacak dengan dua batang kakinya yang terkangkang. Seirama dengan sepasang tangan yang mendepa luas di tengah-tengah dewan. X bersedia untuk mendengar pebahasan.

“Engkau si polan bersimbol X ketika dieja huruf besar dan bersimbol x apabila dieja huruf kecil akan kami gugurkan. Aku ulangi supaya jelas bahawa engkau yang wujud dalam sistem nombor binari iaitu angka 01011000 atau 01111000 akan digugurkan daripada gugusan aksara. Itu pasti berlaku pada hari ini,” kata A kepada X tanpa perlu memberikan ucapan alu-aluan. X terkesima sambil fikirannya membayangkan raja di rimba yang sedang mengaum luas sambil menyeringai bibir: singa jantan!

X tidak lantas menjawab. Dia mengimbas kembali perkenalannya dengan A. Dalam ingatan X, aksara tua itulah yang beria-ia mengajaknya dahulu untuk turut serta dalam kelompok aksara itu. Pada ketika itu, mereka tidak cukup bilangan mahu keluar daripada kelompok aksara kuno. X masih ingat bahawa A telah memberi hujah betapa dia akan diberikan peranan yang besar dalam perkembangan bahasa. Dengan wujudnya X, bahasa akan bertambah dinamik dan inklusif. Penerangan A kepada X pada ketika itu disela dengan kritikan-kritikan tajam kepada golongan aksara kuno yang didakwa sebagai kleptokrat, diktator dan pelbagai istilah sains politik. Abjad X tenggelam dengan kepetahan A yang realistik ditimbang akal. Dalam kemelut, X sedar bahawa dia perlu mencari kekuatan untuk mempertahankan dirinya sendiri. “Mengapa? Engkau berikan kepadaku sebab-musababnya.”

“Kerana engkau tidak berguna. Engkau boleh dieja dengan ejaan ‘eks’. Buktinya jelas ketika manusia belajar mengenal huruf, engkau hanya akan dipadankan dengan perkataan X-ray.” Dewan senyap. Ngauman abjad A yang bergema sedewan kembali membuatkan X engsot. Huruf-huruf lain terpinga dengan hujah A. Ada yang terangguk-angguk. Tetapi tiada pula yang berani menggeleng-geleng. Majoriti mereka percaya dan yakin pada prerogatif A.

X pula tetap selamba di tengah-tengah dewan. Dia cuba berpura-pura tidak gabra. X nampak seperti setuju dengan hujah A. Tetapi dia yakin bukan sebab itu sahaja dia mahu digugurkan oleh kumpulan aksaranya. X merasakan ada lagi huruf lain yang menjadi liabiliti di dalam kumpulan mereka.

“Jika begitu kenapa tidak gugurkan B sekali? Dia sudah menyebabkan ramai orang masuk neraka. Dengannyalah orang menyumpah seranah. Dialah pangkal kepada perkataan caci maki seperti babi, bahlul, banggang, bodoh, bongok dan biul. Pokok-pangkalnya dia bergelumang dengan pelbagai jenayah bahasa. Aku tidak terlibat dengan kerja kotor begitu.”

“Itu bukan salah B. Itu salah manusia yang menyalahgunakannya.” bidas A dengan tegas. Suasana dewan gamat. Ahli-ahlinya menghentak lantai tanda setuju. Abjad I yang terpacak tunggal juga terlompat-lompat tanda setuju.

X yang kekal berada di tengah dewan seperti mahu pitam. Dia sedar bahawa pengaruhnya tidak berada dalam kumpulan majoriti. Dalam pening pikat dia mengenang akan sejarahnya yang panjang. X masih ingat ketika dia sering digunakan oleh orang zaman kegelapan. Mereka mencacah simbol pangkah itu di dahi atau di muka pintu supaya tidak dilaknat oleh malaikat maut. Kepercayaan itu semakin hilang seiring dengan peredaran masa dan perkembangan ilmu logika.

Sedang X mengelamun menghimbau masa lampau, A tanpa kasihan menekat punat berhampiran dengannya. Dalam sekelip mata X jatuh ke dalam lubang penyingkiran. Kini X sudah digugurkan daripada gugusan aksara. A ketawa dengan tingkah lakunya sendiri. Aksara lain bertepuk-sorak kegirangan. Di hujung anak mata, A memerhati beberapa lawannya terutama W.