Categories
NASIONAL

GST : Ekonomi Malaysia dijangka meleset 2016

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 11 NOV : Malaysia berkemungkinan mengalami kemelesetan ekonomi selepas Cukai Barangan dan Perkidmatan (GST) dilaksanakan, pada 2016.

Penganalisa ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata kemelesatan itu dijangka berlaku berdasarkan Teori Kitaran Niaga sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pelaksanaan GST bakal memberikan kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seterusnya menyebabkan berlakunya ‘double whammy’ berdasarkan perbelanjaan isi rumah.

azrul_bimb“Teori kitaran niaga menjadi pendek kerana dulu ia berlangsung selama 10 tahun tetapi sejak akhir-akhir ini menjadi tujuh tahun.

“Kali terakhir berlaku kepada Malaysia pada tahun 2009, jadi kemungkinan kemelesetan berlaku pada 2016. Proses ini hanya mengambil masa setahun selepas GST dilaksanakan bermula 1 April 2015,” katanya ketika ditemui portal Selangor Kini selepas seminar umum yang bertajuk pengurusan kewangan berhemah di Karangkraf, di sini, hari ini.

Azrul berkata, trend teori kitaran niaga terbabit menjadi lebih singkat berdasarkan perubahan faktor dalam sistem ekonomi, kewangan negara dan kemajuan teknologi.

“Kita tidak dapat memastikan bila perkara ini akan pulih kerana bergantung kepada penerimaan orang ramai terhadap GST. Namun, GST boleh dikawal jika gaji dinaikkan setara dengan perlaksanaannya bagi mengelak kadar hutang isi rumah terus meningkat,” katanya.

Beliau yang juga Pengurus Tugas Khas, Analisa Ekonomi dan Kewangan Pejabat Menteri Besar Selangor, berkata kerajaan disaran melaksanakan Capital Gains Tax (CGT) bagi mengelakkan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat.

“Cukai ini kita ambil atas keuntungan bukan modal. Dalam kiraan saya, kerajaan boleh meraih pendapatan RM8 bilion hingga 10 billion setahun,” katanya.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Batal saman NFC beri kekuatan gempur rasuah

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 11 NOV : Individu mengamalkan rasuah serta penyelewengan diberi amaran untuk tidak semberono mengancam menyaman pihak yang membongkar aktiviti mereka kerana tindakan itu adalah untuk keadilan rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilam (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri, berkata tindakan Datuk Seri Shahrizat Jalil menggugurkan saman RM100 juta terhadap Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memberi kekuatan kepada semua pihak untuk terus menggempur gejala rasuah yang membarah di negara ini.

azmizam luar pc 01Katanya, individu daripada parti atau badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang tampil membongkar aktiviti penyalahgunaan kuasa serta rasuah mempunyai maklumat mencukupi dan prosedur yang betul sebelum membuat tindakan berkenaan.

“Sekiranya undang-undang dijalankan dengan jujur, maka tiada individu yang kebal boleh terhindar daripada dibawa ke pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib AMK Pusat, berkata perkara itu jelas menunjukkan segala penat lelah dua pemimpin PKR berkenaan dibantu daya penggerak parti, NGO dan rakyat untuk membongkar penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC) mendapat kemenangan yang lebih besar.

“Justeru, tidak perlu wujud istilah takut terutama kepada anak muda seluruh tanaha ir yang masih terus cekal memperjuangkan pentadbiran egara yang lebih baik,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Arahan GLC beli iklan bukti Umno terdesak ‘selamatkan’ Utusan

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 11 NOV : Kerajaan pusat didakwa terdesak untuk menyelamatkan Utusan Malaysia yang dilaporkan mengalami kemerosotan daripada segi jualan apabila mengarahkan beberapa agensi bukan kerajaan (GLC) membeli lebih banyak ruangan iklan di akhbar itu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata tindakan itu juga selaras dengan ‘seruan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut meminta lebih banyak syarikat GLC mengiklankan produk mereka di akhbar milik Barisan Nasional (BN) itu.

Katanya, Utusan Malaysia turut berdepan masalah kewangan dan dilihat mula terjejas, selepas akhbar itu menerima banyak tuntutan saman daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik atas laporan berita mereka.

sim-tze-tzim“Utusan Malaysia banyak mengalami kerugian apabila terpaksa membayar ganti rugi bernilai ratusan ribu ringgit dan berdepan beberapa kes lain di mahkamah atas penyiaran artikel mereka sebelum ini.

“Semua perkara ini menjejaskan kedudukan kewangan Utusan Malaysia, sekali gus jelas membuktikan arahan kerajaan pusat kepada GLC untuk membeli iklan sebelum ini adalah bagi menyelamatkan akhbar itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan juga dianggap keliru dengan peranannya sebagai timbalan menteri dan ketua penerangan Umno apabila menggesa syarikat GLC membeli lebih banyak iklan dalam akhbar berkenaan.

Beliau berkata, Ahmad perlu mengutamakan kepentingan seluruh rakyat Malaysia dalam menjalankan tugasnya dan bukan menjaga kepentingan Umno yang menggunakan akhbar itu untuk menyebar propaganda mereka.

“GLC juga perlu lebih bebas dan berhati-hati serta bersikap profesional sebelum melabur terhadap sesuatu iklan baik di Utusan atau akhbar lain. Mereka tidak wajar tunduk kepada tekanan politik untuk berbuat sesuatu yang bertentangan dengan prinsip perniagaan kerana mandat GLC adalah menjaga kepentingan negara, bukan kepentingan Umno,” katanya.

Ahmad sebelum ini dilaporkan sudah menulis surat kepada pemimpin tertinggi GLC supaya membelanjakan bajet iklan mereka kepada akhbar berbahasa Melayu khususnya yang dimiliki Umno iaitu di Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Beliau berkata, perbelanjaan 3.7 peratus daripada 35 GLC utama untuk bajet pengiklanan di Malaysia terlalu sedikit jika dibandingkan dengan “perjuangan Utusan Malaysia, Berita Harian ini untuk negara”, namun MCA membidas arahan itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pelaksanaan GST : Rakyat berdepan kenaikan tarif elektrik pada 2016

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 11 NOV : Rakyat Malaysia tetap berdepan dengan kenaikan tarif elektrik sebaik pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksana kerajaan pusat, berkuatkuasa 1 April 2015.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata walaupun kerajaan pusat memaklumkan GST tidak akan dikenakan ke atas 200 unit (kWh) pertama iaitu RM43.60 sebulan, namun pengguna tidak boleh mengelak daripada membayar cukai jika penggunaan elektrik lebih daripada nilai terbabit.

teo nie ching 01Katanya, pelaksanaan GST juga akan menjejaskan beberapa sektor lain seperti kesihatan iaitu klinik dan hospital, perniagaan industri, komersial serta sekolah.

“Kenaikan tarif elektrik akan turut dirasai sektor lain contohnya hospital dan klinik. Bagaimana mereka dapat menampung kenaikan tarif elektrik termasuk bayaran cukai sebanyak enam peratus yang dikenakan kerajaan pusat.

“Kerajaan harus kaji semula polisi ini kerana akan menjejaskan banyak pihak. Jika benar apa yang dikatakan ini, terbukti Barisan Nasional (BN) itu tidak lebih daripada slogan ‘Barang Naik’,” katanya dalam pada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, kenaikan tarif elektrik juga dijangka akan menjadi kenyataan apabila kerajaan pusat bakal mengurangkan subsidi bahan gas asli berikutan harga pasaran dunia yang tidak menentu.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, kerajaan BN mula menekan rakyat dengan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter dan gula sebanyak RM0.34 sen, berkuatkuasa 26 Oktober lalu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

GST : Idris Jala cuba kelirukan rakyat

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 11 NOV :  Mantan Timbalan Gabenor Negara, Dr Rosli Yaakob menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa orang kaya akan membayar lebih cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah mengelirukan.

Katanya, orang miskin membayar cukai lebih tinggi berbanding orang kaya kerana perkiraannya adalah mengikut peratusan bahagian pendapatan.

Dr Rosli YaakopRosli berkata, sebagai contoh adalah orang miskin dengan pendapatan RM1,000 sebulan berbelanja sebanyak RM160 dikenakan cukai sebanyak 16 peratus, manakala orang kaya yang berbelanja pada kadar sama dengan pendapatan RM10,000 hanya membayar cukai sebanyak 1.6 peratus sahaja.

“Daripada jumlah mutlak, kita tidak sangkal kebenaran kenyataan beliau tetapi kenyataan itu amat mengelirukan jika mengambil kira peratusannya, bahagian pendapatan yang dibayar orang kaya adalah lebih kecil daripada keseluruhan pendapatan mereka.

“Kita boleh lihat bahagian pendapatan orang miskin yang digunakan untuk membayar cukai GST lebih tinggi, berbanding pendapatan mereka,” katanya kepada portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, cara mengukur beban cukai adalah melalui peratusan daripada cukai yang dibayar berbanding jumlah pendapatan yang menjadi punca GST jatuh lebih berat kepada orang miskin.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Penang Institute berpendapat, hujah Idris Jala bahawa orang kaya akan membayar lebih GST tidak sepadan dengan standard ukuran percukaian antarabangsa,

Felonya, Lim Kim Hwa menyatakan amalan antarabangsa untuk mengukur kesan cukai terhadap kumpulan pendapatan dibuat dengan melihat cukai dibayar sebagai sebahagian pendapatan dan bukan cukai yang dibayar secara mutlak dan kaedah itu turut diguna pentadbir cukai Amerika Syarikat, IRS.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Shahrizat batal saman, Rafizi terus bongkar skandal NFC

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 11 NOV : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli akan terus menyiasat skandal penyelewengan RM250 juta dana Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) yang ada kaitannya dengan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Rafizi melalui laman twitternya menegaskan akan terus mencari pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dalam kes NFC itu, walaupun Shahrizat menggugurkan saman ke atas beliau dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, penarikan dilakukan Shahrizat itu berkemungkinan disebabkan akan lebih banyak lagi pendedahan terhadap skandal NFC itu di mahkamah.

rafizi“Saya akan terus menyiasat dan mencari kebertanggungjawaban isu NFC walaupun selepas kes saman ini digugurkan,” katanya.

Rafizi menyatakan demikian ekoran pembatalan saman RM100 juta oleh Shahrizat Jalil terhadapnya dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin setelah Ketua Wanita Umno itu menarik balik saman tersebut.

Shahrizat menarik saman berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera, pagi ini.

Dalam saman yang difailkan pada 19 Januari 2012, Shahrizat mendakwa Rafizi dan Zuraida membuat kenyataan fitnah berhubung pendedahan mereka berkenaan projek NFC.

Rafizi dan Zuraida kemudian memfailkan saman balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berhubung satu ucapan didakwa berbaur fitnah yang diujarkan beliau, pada 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan projek kerajaan yang dianugerahkan melalui rundingan terus dan membabitkan pinjaman mudah perlu diteliti kabinet, terutama jika membabitkan “keluarga dan sekutu”.

SPRM menyifatkan langkah itu akan dapat menghindari masalah seperti yang berlaku dalam skandal NFC daripada terus berulang.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tiba masa SPRM diberi kuasa pendakwaan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 11 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kuasa pendakwaan bagi mengimbangi tindakan atau keputusan Jabatan Peguam Negara yang dilihat semakin hilang kredibiliti.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, berkata kegagalan demi kegagalan Peguam Negara (AG) dalam mengendalikan kes besar seperti pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu dan penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik menuntut satu badan ‘check and balance’.

azmin-pc-DNS-01Katanya, SPRM akan mengambil alih pendakwaan bagi memastikan kes yang dibawa itu kuat dan kukuh untuk dikemukakan dalam mahkamah apabila Jabatan Peguam Negara gagal.

“Tidak seperti sekarang apabila dalam sistem, seorang manusia boleh menentukan sama ada sesuatu kes itu perlu dibawa ke mahkamah atau tidak, perlu dibuat rayuan atau tidak, maka kita perlukan SPRM sebagai tujuan ‘check and balance’,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Razali Ibrahim bahawa kerajaan tidak akan memberi SPRM kuasa untuk mendakwa kerana boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau menyifatkan kenyataan terbabit sebagai amat dengkel dan tidak bertanggungjawab, selain menegaskan Pakatan Rakyat (PR) akan terus mendesak SPRM diberikan kuasa pendakwaan dalam usaha menegakkan sistem keadilan di Malaysia.

“Senarai kegagalan Jabatan Peguam Negara jelas menunjukkan bahawa agensi itu tidak boleh lagi disandarkan bagi mengemukakan satu pendakwaan yang kuat di mahkamah.

“Kerajaan perlu memandang serius cadangan ini iaitu memberi SPRM kuasa pendakwaan, jika Barisan Nasional dan Umno benar-benar ikhlas menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang,” katanya.

-NFN-