Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan negeri pacu Selangor bangkit lebih gemilang

SHAH ALAM, 25 NOV: Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor esok akan membantu negeri ini bangkit menjadi lebih gemilang dan hebat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri telah merancang dengan teliti malah bersedia mengembalikan kilauan kehidupan rakyat serta ekonomi negeri ini dalam menyambut 2022.

Menurut Amirudin, pengalaman berdepan pandemik Covid-19 dan kejayaan menyerap kesannya menerusi Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0 selain Belanjawan Selangor 2021 menjadi iktibar kepada rakyat untuk bangkit bersama.

Jelasnya, mengembalikan kos perbelanjaan hidup selesa untuk rakyat, menyediakan peluang pekerjaan, memantapkan inisiatif dan akses pendigitalan selain usaha menjaga kelestarian serta khazanah alam antara sektor ditekankan dalam Belanjawan 2022 Selangor.

“Dengan amanah dimandatkan rakyat Selangor, Kerajaan Negeri percaya dengan perancangan dan implementasi inisiatif Belanjawan Selangor 2022, kita semua dapat bangkit kembali dengan lebih gemilang dan hebat,” katanya dalam video promosi pembentangan Belanjawan 2022 Selangor di Facebooknya malam ini.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar itu boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Liputan berita majlis penting bermula jam 3 petang itu boleh dibaca melalui portal Selangorkini dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Maklumat pantas dan infografik berhubung isi menarik dan program utama Kerajaan Negeri akan dimuatkan di media sosial Media Selangor pada petang Jumaat tersebut.

Akhbar Selangorkini edisi Belanjawan Selangor 2022 juga diterbitkan dan mula diedar pada 27 November.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Waktu kerja sektor pembinaan diselaras, mudahkan operasi

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerja pembinaan seluruh Selangor diselaraskan dari Isnin hingga Sabtu bermula 8 pagi hingga 6 petang, kata EXCO Kerajaan Tempatan.

Ng Sze Han berkata penetapan sejak 1 November itu bakal memudahkan operasi sektor berkenaan selain seiring dengan peralihan negeri ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Oktober.

“Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sejak tahun lalu memberi kesan langsung kepada pengoperasian seterusnya menyebabkan kerja lewat siap.

“Bagaimanapun operasi kerja dari luar waktu dibenarkan perlu mendapat kelulusan khas pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sze Han berkata semua pemaju atau kontraktor juga diminta sentiasa patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan undang-undang kecil PBT demi kepentingan semua pihak.

Pada 18 Oktober Selangor beralih ke fasa empat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan PPN selain peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

Sehubungan kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran termasuk pembukaan pelbagai sektor ekonomi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Giat promosi Sukarelawan Selangor, sasar 3,000 ahli tahun depan

AMPANG, 25 NOV: Kerajaan Negeri akan mempergiat promosi bagi menarik lebih ramai belia menyertai Sukarelawan Selangor (SERVE), kata EXCO Pembangunan Generasi Muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata identiti kumpulan kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) harus ditonjolkan supaya sasaran 3,000 keahlian mampu dicapai tahun depan.

Menurutnya, lebih 700 pendaftaran direkodkan dari seluruh 52 Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini dengan sasaran 1,000 ahli menjelang akhir tahun ini.

EXCO Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman (tengah) menyampaikan sumbangan toto kepada mangsa terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan MPAJ Pinggiran 3, Ampang pada 25 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya yakin ramai belia berminat, justeru, saya berharap PeBS yang dipimpin Muhammad Akmal Abdul Halim serta EXCO Jaringan Kemasyarakatan dan Kesukarelawan SERVE Danish Hairudin dapat turun ke setiap kawasan untuk promosi SERVE,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan MPAJ Pinggiran 3 di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata sukarelawan sedia ada akan menjalani latihan berkaitan pengurusan bencana bermula tahun depan.

“Tahun ini kita selesaikan proses pengambilan dahulu sebelum mereka dihantar menjalani sesi latihan bagi melengkapkan ilmu dan kemahiran mengurus bencana.

SERVE terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

SAS 2021: Syarikat aeroangkasa global perkenal jet penerbangan komersial

SUBANG, 25 NOV: Syarikat aeroangkasa global, Embraer mengambil peluang penyertaan dalam Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 bagi memperkenal jet penerbangan komersial keluarannya, E195-E2 kepada pemain industri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Komersial Embraer Arjan Meijer berkata E195-E2 menggunakan teknologi baharu dengan penjimatan bahan bakar selain pelepasan bunyi paling rendah.

“Dengan reka bentuk menarik dan mempunyai kemudahan satu laluan, E195-E2 menawarkan peningkatan kecekapan secara menyeluruh menerusi 17.3 peratus pengurangan pembakaran bahan bakar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Komersial Embraer Arjan Meijer. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita lihat potensi dalam pameran ini bagi jalinan hubungan domestik dan serantau di Malaysia selain tawaran keselesaan kepada penumpang dan pelancong menerusi jet komersial ini,” katanya hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan sehingga 60 permintaan bagi segmen jet komersial yang berkapasiti kurang daripada 150 tempat duduk di Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

SAS 2021 membuka tirai hari ini di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark dengan penyertaan 43 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Acara selama tiga hari menampilkan pemain industri terkemuka seperti Aerodyne Geospatial Sdn Bhd, Turkish Aerospace Industry dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

Bertemakan ‘Selangor, the ASEAN Business & General Aviation Hub’, pameran dibuka selama dua hari untuk pemain industri manakala hari terakhir bagi kunjungan awam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan mega PKPS tawar harga sayur murah hingga 50 peratus

SHAH ALAM, 25 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan melancarkan kempen jualan mega jimat yang menawarkan harga sayur lebih murah sehingga 50 peratus berbanding pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pak choy, sawi hijau, brokoli, cili merah, cili hijau, kangkung, bayam merah, terung, timun dan kacang buncis antara sayuran akan dijual pada program itu.

Beliau menjelaskan harga sayur pak choy yang dijual RM9 sekilogram (kg) di pasaran boleh dibeli pada harga RM3.50 manakala kacang buncis hanya RM6 berbanding RM15 di pasaran.

“Di PKPS kami mempunyai mekanisma kawalan harga sendiri memandangkan ladang kami iaitu Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya turut mengeluarkan hasil sayuran sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Khairil berkata lokasi dan kaedah jualan akan dikongsi di Facebook serta Instagram PKPS selain pertanyaan menerusi talian 019 316 2400 pada waktu pejabat.

Menurutnya, sebagai peneraju Inisiatif Jaminan Bekalan Negeri, PKPS akan terus memikirkan kaedah membantu rakyat dalam suasana ekonomi tidak stabil selaras saranan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Jangan risau, Insya Allah PKPS ada,” katanya.

Selain kempen itu, jualan murah sayuran PKPS juga akan diperkenal menerusi aplikasi mypasarborong dalam masa terdekat.

Categories
AGENDA NASIONAL

LZS: Bantuan RM600 bagi keluarga terkesan banjir di Lembah Jaya

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memberi bantuan sebanyak RM600 kepada setiap keluarga bukan asnaf yang terkesan akibat bencana banjir kilat di Lembah Jaya Utara, Ampang baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (LZS) Saipolyazan M. Yusop berkata bantuan dalam bentuk pembaikan rumah mengikut nilai kerosakan yang mencecah nilai maksimum RM31,000 juga akan diberikan kepada keluarga asnaf yang berdaftar dengan LZS.

“Setakat hari ini, kami akan memberi bantuan barangan kering kepada 70 rumah di kawasan ini dan kami juga bercadang untuk menghantar kepada 120 rumah lagi.

“Sebanyak 400 rumah terkesan susulan bencana banjir yang berlaku di Lembah Jaya, Ampang pada 22 Nov lepas dan sebanyak 220 rumah telah berdaftar di LZS bakal menerima bantuan sewajarnya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, katanya LZS kini sedang mengumpul data dan maklumat berkaitan mangsa yang terjejas dengan kerjasama pejabat daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa terlibat.

“Bagi asnaf berdaftar dengan LZS yang terlibat bencana banjir kilat ini, mereka boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan kepada mereka,” katanya menambah bantuan yang dihulurkan bergantung kepada syarat dan kelayakan penerima.

Hujan lebat lebih tiga jam pada lewat petang itu, mengakibatkan beberapa kawasan di Ampang termasuk Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan dilanda banjir kilat mengakibatkan beberapa rumah digenangi air serta kenderaan mengalami kerosakan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Modenkan sektor tani negeri bantu tingkat hasil, jual harga patut

KUALA SELANGOR, 25 NOV: Kerajaan Negeri giat memodenkan sektor pertanian bagi meningkatkan hasil tanaman tempatan yang boleh dijual pada harga berpatutan, kata EXCO Asas Tani.

Ir Izham Hashim berkata kenaikan harga makanan seperti sayur yang dilaporkan berlaku masa kini kerana kebergantungan negara kepada sumber luar negara yang bernilai berbilion ringgit.

Menurutnya, bagi mengurangkan kesan itu Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memodenkan sektor pertanian untuk meningkatkan hasil tempatan dan menarik minat golongan muda menceburinya.

“Kita ada perkenal program sedia dana RM20,000 untuk tanaman secara fertigasi yang dikendalikan aplikasi dibangunkan anak tempatan, hasilnya lebih selamat.

EXCO Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim

“Perbincangan juga diadakan dengan Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk kita mengeluarkan makanan untuk ayam dan ruminan, sekarang terpaksa diimport menyebabkan kos mahal,” katanya di sini, hari ini.

Izham berkata demikian selepas menyampaikan bantuan nelayan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Beliau mengulas usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan kos sara hidup susulan peningkatan bahan makanan terutama sayur seperti dilapor media.

Media yang memetik sumber Persatuan Pengguna Pulau Pinang itu mendakwa harga sayur naik lebih sekali ganda.

Kubis bunga contohnya dijual RM16 berbanding RM7 sebelum ini manakala brokoli daripada RM8 kepada RM20.

Categories
AGENDA NASIONAL

Gaduh kerana speaker, lelaki dicekik hingga maut

IPOH, 25 NOV: Seorang lelaki maut dipercayai akibat dicekik semasa bergelut dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah warung di Pasar Pagi Flat Ashby, Jalan Asman Shah Sungai Senam di sini pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kejadian bermula apabila seorang peniaga lelaki berusia 34 tahun mencari Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, di gerai berkenaan pada kira-kira pukul 7 pagi kerana dikatakan telah mencuri ‘portable speaker’ miliknya.

Beliau berkata kira-kira dua jam selepas itu berlaku pergelutan antara Muhammad Noor bersama peniaga berkenaan, sebelum pergaduhan disertai dua lagi lelaki berusia 47 dan 60 tahun, yang akhirnya membawa kepada kematian Muhammad Noor.

“Polis menahan ketiga-tiga suspek bagi membantu siasatan dan merampas sebilah pisau lipat di tempat kejadian,” katanya pada sidang media Program Profil Kepolisan Tinggi (HPP) sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersil Tahun 2021 di sebuah pusat membeli belah di sini hari ini.

Katanya si mati juga di katakan agak kurang siuman kerana pada sehari sebelum kejadian dia dilihat menari-nari di hadapan kedai tempat kejadian dan memasang speaker dengan kuat hingga hampir berlaku pergaduhan.

Mior Faridalathrash berkata mayat lelaki itu telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu seorang jiran yang enggan dikenali ketika ditemui di lokasi berkata kejadian berlaku ketika ramai sedang membeli sarapan di kawasan berhampiran kira-kira pukul 9 pagi, dan ramai dilihat cuba meleraikan pergaduhan, namun gagal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu bersih lumpur, 300 sukarelawan SERVE gigih permudah urusan mangsa banjir

AMPANG, 25 NOV: Seramai 300 Sukarelawan Selangor (SERVE) digerakkan bagi membantu membersihkan kawasan dilanda banjir kilat sejak kelmarin.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata  sukarelawan dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dikerah supaya mangsa dapat kembali ke rumah masing-masing dengan kadar segera.

“Sukarelawan ini telah dikerah untuk membantu mencuci kediaman penduduk kerana difahamkan masih ada rumah yang dipenuhi lumpur akibat banjir baru-baru ini.

EXCO Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman

“Matlamat kita supaya keluarga terkandas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat selain memberi keselesaan kepada mereka,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Dewan MPAJ Pinggiran 3 di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Mohd Khairuddin turut menyampaikan sumbangan toto kepada 300 keluarga terjejas dalam insiden banjir kilat Isnin lalu.

Selain Ampang, daerah Gombak dan Hulu Langat turut dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih tiga jam di Lembah Klang.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT), KDEB Waste Management (KDEBWM) bersama PKM dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta perpindahan.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menggerakkan Team Selangor dan SERVE membantu mangsa membersihkan rumah serta persekitaran.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Kit ujian kendiri Covid-19 kini serendah RM4.90

SHAH ALAM, 25 NOV: Kit ujian pantas (RTK) antigen Covid-19 yang menggunakan sampel air liur kini boleh dibeli di pasaran pada harga serendah RM4.90 tanpa menjejaskan kualiti alat tersebut.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebelum ini setiap kit ujian antigen pantas itu dijual antara RM6.60 dan RM6.90 bergantung kepada jenama, lapor Astro Awani.

Katanya melihat pada penularan Covid-19 yang masih tinggi dalam negara, peranti itu kini menjadi sebahagian daripada keperluan setiap isi rumah.

“Dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, semestinya keperluan untuk membuat ujian kendiri ini menjadi lebih mendesak dan perlu dilakukan dengan kerap.

“Melalui perbincangan berterusan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), saya bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian ini.

“Semestinya saya mahu kit ini dapat dibeli dengan harga mampu milik agar semua rakyat dapat melakukan sendiri ujian secara kerap,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander memaklumkan, setakat ini, kementeriannya memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini yang telah diberikan kebenaran KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Beliau dalam masa sama memuji inisiatif kedai serbaneka 99 Speedmart yang sudah mula menjual peranti tersebut dengan harga serendah RM4.90 seunit.

“Kerjasama daripada peniaga seperti ini amat dihargai, bagi kita sama-sama membantu meringankan beban rakyat, terutama dalam usaha kita mengawal dan menurunkan jumlah kes Covid-19 di negara kita,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Operasi tembak gagak Ahad ini, inisiatif tingkat kebersihan bandar raya

SHAH ALAM, 25 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Operasi Menembak Gagak Ahad ini bagi mengurangkan populasi spesies pembangkai yang menyebabkan kacau ganggu awam.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata operasi yang menjadi aktiviti tahunan itu berjalan dari jam 6.30 pagi hingga 9 malam sekitar Seksyen 2 hingga Seksyen 25.

Sehubungan itu Shahrin Ahmad meminta orang awam mengambil maklum serta tidak berada berhampiran lokasi terbabit.

“Operasi ini juga inisiatif meningkatkan tahap kebersihan kawasan Shah Alam kerana tabiat gagak yang suka menyelongkar tong serta tapak pembuangan sampah.

“Ini menyebabkan pencemaran dan kacau ganggu hingga orang ramai merungut. Sepanjang tahun ini majlis terima 89 aduan berkenaan gagak. Jadi kita berusaha menyelesaikan masalah ini,” katanya menerusi kenyataan.

Categories
SELANGOR

Polis Ampang Jaya terima 117 laporan berkait banjir kilat

SHAH ALAM, 24 NOV: Polis Ampang Jaya menerima 117 laporan berkait kejadian banjir kilat di Lembah Jaya Utara, Ampang, Isnin lalu.

Ketua polisnya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata dua lokasi yang dikenal pasti terjejas ialah Kampung Pinggiran 3 dan Kampung Lembah Utara melibatkan 206 unit rumah dan 1,019 mangsa.

“Mangsa-mangsa yang terlibat telah ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Lembah Jaya Utara yang dijadikan pusat penempatan sementara (PPS).

“Sepanjang kejadian banjir tiada kemalangan jiwa berlaku dan setakat ini anggaran kerosakan masih belum diterima,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya juga menempatkan balai bergerak di dalam kawasan PPS bagi memudahkan mangsa terlibat membuat laporan.

Isnin lalu, beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama lebih satu jam lewat petang tadi.

Kawasan terjejas meliputi Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan, maklum Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 22 pegawai serta anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam.