Categories
AGENDA SELANGOR

Risau risiko jangkitan Covid-19, pesakit buah pinggang buat saringan

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Bimbang dengan risiko jangkitan Covid-19 kalangan individu berpenyakit kronik, seorang pesakit buah pinggang nekad untuk menjalani saringan.

Meskipun terpaksa berkerusi roda, bekas operator kilang, Kamaruzaman Jantan, 54 tetap hadir ke Saringan Komuniti di Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor di sini dengan dibantu isterinya Jamilah Awang Kechik, 44.

“Sejak menghidap penyakit ini tahun lepas, saya berulang-alik dari pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Kuala Selangor tiga kali seminggu untuk mendapatkan rawatan. Jadi, saya risau apabila memikirkan risiko jangkitan kerana sering keluar dan bertemu dengan pesakit lain.

“Apatah lagi golongan seperti kami, jangkitan mudah berlaku walaupun tidak mengalami sebarang gejala, malah ramai yang sudah menjadi mangsa korban akibat virus berbahaya ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bapa kepada tujuh anak turut berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan inisiatif percuma untuk rakyat negeri ini selain memuji kecekapan petugas kesihatan Klinik Selcare semasa mengendalikan proses saringan.

“Alhamdulillah, saringan ambil masa kurang 10 minit dan petugas memberi layanan sangat baik. Saya gesa orang ramai manfaatkan peluang ini kerana kita sedang berperang dengan musuh yang tidak nampak,” katanya yang menetap di Taman Rajawali, Bukit Rotan di sini.

Bagi Mariana Joli, 42, dia membawa enam anak membuat ujian calitan untuk mengetahui status kesihatan masing-masing selepas mereka menjadi kontak rapat kepada suami yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sejak tiga hari lalu akibat Covid-19.

“Biarpun tiada gejala, atas nasihat keluarga terdekat, saya nekad ajak anak-anak datang naik satu kereta dan bertolak dari Kapar, Klang pada jam 8 pagi dan melepasi dua sekatan jalan raya selepas tunjuk pendaftaran saringan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” kata suri rumah itu.

Sementara itu, pekerja kilang, Tamilchelvan Ayakanu, 53, memanfaatkan cuti diberi majikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh untuk menjalani saringan secara sukarela.

 

Categories
AGENDA AGENSI SELANGOR

Pergerakan aktif sumbang 80 peratus kes positif Saringan Komuniti – STFO

TANJONG SEPAT, 4 JUN: Pergerakan aktif kalangan individu dipercayai menyumbang 80 peratus kes disyaki positif menerusi program Saringan Komuniti Covid-19, kata Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO)

Pengarahnya berkata kebanyakannya berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun yang dikenal pasti sentiasa bergerak aktif termasuk keluar bekerja hingga terdedah jangkitan.

“Sebenarnya ramai lagi individu positif dalam golongan ini tidak dapat dikesan kerana tiada akses membuat saringan disebabkan kos tinggi antara RM150 hingga RM180.

“Dalam keadaan ekonomi yang sukar, saya gesa mereka yang bergerak aktif memanfaatkan saringan percuma ini supaya dapat kesan jangkitan serta status kesihatan mereka,” kata Dr Muhammad Farhan Rosli di saringan komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Sepat di Kompleks Muhibbah hari ini.

Sementara itu, beliau meminta warga emas sekitar daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam supaya menyertai saringan di kawasan masing-masing meskipun tidak mendaftar menerusi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Jika mereka mempunyai telefon pintar, pasukan kita akan bantu muat naik SELangkah. Aplikasi ini bukan digunakan ketika saringan sahaja malah mereka akan mendapat pelbagai info termasuk vaksinasi,” katanya.

Sejak dilancarkan 8 Mei lalu hingga semalam, seramai 87,903 individu menyertai program saringan komuniti itu membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang, Sepang dan Kuala Langat. Daripada jumlah itu, 3.6 peratus atau 3,168 peserta disyaki positif selepas disaring.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Yide buka kaunter prihatin, bekal makanan asas

SHAH ALAM, 4 JUN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) membuka lima kaunter bekalan makanan asas bagi membantu individu terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat.

Lokasi meliputi ibu pejabat Yide di Seksyen 7, Shah Alam selain empat pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Kapar, Klang; Taman Melawati, Hulu Kelang; Kuala Selangor dan Sungai Besar, Sabak Bernam.

Pengurus Besar Yide berkata kaunter prihatin yang pertama kali diperkenal menyediakan keperluan seperti susu, tepung dan beras. Penerima akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS)

“Kaunter ini dibuka selaras tanggungjawab Yide sebagai organisasi berkebajikan untuk membantu khususnya rakyat di Selangor,” kata Nur Mohd Razali Abdullah menerusi kenyataan.

Beliau berkata permohonan dalam talian dibuka semalam hingga 14 Jun ini melalui pautan https://forms.gle/JnGbKTZpHobVuzFD6.

 

 

 

Categories
AGENDA AGENSI SELANGOR

Maqis Selangor rampas 25,000 kilogram kubis dari China

SHAH ALAM, 4 Jun: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 25,000 kilogram kubis bulat yang diimport dari China kerana dipercayai mempunyai serangga perosak jenis ‘Plutella xylotella Linn’ di Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Maqis Negeri Selangor Zamri Hashim berkata pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguasa MAQIS mendapati kubis bulat yang cuba dibawa masuk dari China itu dipercayai mempunyai lebih daripada seekor serangga perosak pada setiap kubis yang diimport. 

“Beberapa sampel telah diambil dan masih dalam siasatan. Kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya. 

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mengimport keluaran pertanian yang dipercayai mempunyai perosak dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Adalah menjadi keutamaan MAQIS untuk sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang diimport ke Malaysia bagi menjamin setiap keluaran pertanian terbabit tiada perosak, penyakit atau bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan, katanya.

 – BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Vaksin ikhtiar warga emas lawan wabak

SHAH ALAM, 3 JUN: Beberapa warga emas menggalakkan individu seusia mereka mengambil suntikan vaksin sebagai ikhtiar melawan virus Covid-19 dan usaha itu dianggap selaras tuntutan agama.

Zaiton Mohd Shaharon, 70, berkata Islam menyarankan umatnya berusaha sebelum bertawakal kerana Rasulullah SAW ada menyebut setiap penyakit ada ubatnya.

Beliau juga mengingatkan warga emas supaya tidak terpedaya dengan cakap-cakap kononnya ada herba mampu menyembuhkan Covid-19 tanpa sebarang bukti saintifik.

Zaiton Mohd Shaharon

“Kita juga jangan terpengaruh dengan ubat tempatan ataupun herba-herba kononnya dapat sembuhkan Covid-19. Malah, ada antara bahan kandungannya kita tak tahu ada apa.

“Oleh sebab itu jangan takut ambil vaksin, inilah cara untuk kita pulih seperti sediakala,” katanya.

Beliau antara penerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin
(PPV), Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) pada 1 Jun.

Zainuddin Omar, 60, dari Shah Alam pula berkata segelintir warga emas mudah terpedaya dengan dakyah
palsu ekoran majoriti tidak menyemak kesahihan maklumat.

“Kami dapat maklumat tidak sahih, biasanya dari WhatsApp. Kebanyakannya tidak semak tetapi disebar kepada orang lain. Sebab itu berlakunya salah faham mengenai vaksin.

Michael Raj

“Hakikatnya berita sebenar mengenai kebaikan vaksin banyak terpapar di media rasmi seperti akhbar dan televisyen,” kata pesara jurutera.

Sementara itu, Michael Raj, 62, dari Ara Damansara, Petaling Jaya menyarankan warga emas tidak berlengah untuk menerima suntikan tanpa mengira jenis vaksin.