Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Tanah runtuh: Penduduk panik, dentuman kuat seperti bangunan runtuh

AMPANG, 11 MAC : Bunyi dentuman kuat seolah berlaku runtuhan bangunan mengejutkan penduduk di sekitar Taman Bukit Permai 2, di sini pada petang semalam.

Salah seorang penduduk Alwi Wahab, 68, berkata beliau yang sedang menonton televisyen bersama isteri dan anak menantunya terus bergegas keluar melihat situasi kejadian tersebut.

Alwi Wahab. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kami panik dan terus keluar daripada rumah untuk melihat apa yang berlaku, ketika itu ramai jiran sudah ada di luar dan terkejut apabila tanah runtuh menimpa rumah hujung termasuk beberapa kenderaan.

“Rumah saya pula berhampiran tanah runtuh itu, bimbang jika keadaan lebih teruk berlaku kami sekeluarga berpindah ke rumah anak di Cheras untuk sementara waktu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh kali pertama berlaku sejak 30 tahun mendiami kawasan terbabit dan berharap tindakan segera diambil untuk mengelak kejadian sama berulang.

Bagi Muhammad Sharif Jiran, 61, beliau sekeluarga meluahkan kesyukuran kerana selamat dalam kejadian itu walaupun kediaman terletak bersebelahan lereng bukit.

Muhammad Sharif. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Hanya dinding pagar rumah saya sahaja terkena tempias tanah runtuh, sipi-sipi lagi rumah kami hampir tertimbus, hanya Allah sahaja  yang tahu macam mana perasaan saya ketika kejadian.

“Tetapi perasan sedih tetap ada apabila dapat tahu berlaku kematian akibat ditimbus tanah runtuh.  Cuma permintaan saya dan penduduk di sini, mohon kerajaan segera tangani isu ini,” katanya.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Khuatir tanah runtuh berulang, lebih 200 penduduk diminta segera pindah

AMPANG, 11 MAC : Lebih 200 penduduk di  kawasan insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini diminta segera mengosongkan kediaman susulan dikhuatiri berlaku pergerakan tanah.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata penduduk boleh berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

“Sebanyak 48 rumah di empat lorong diminta segera kosongkan kediaman bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Kita bimbang keadaan menjadi lebih buruk tambahan pula cuaca  sekarang tidak menentu.

“Namun buat masa ini tiada mangsa yang berpindah ke PPS. Penduduk terjejas memilih untuk tinggal di hotel dan rumah saudara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata kerja pembersihan belum boleh dilaksanakan kerana agensi berkaitan perlu meneliti aspek kestabilan cerun berkenaan.

“Selain itu pusat pengurusan bencana daerah terdiri pelbagai agensi turut diwujudkan antaranya melibatkan MPAJ, Jabatan Kerja Raya, polis dan bomba bagi memastikan urusan mengendalikan kejadian itu dilaksanakan dengan teratur,” katanya.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Bunyi siren elak ramai jadi mangsa, lari tempat selamat

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Bunyi siren yang kuat memberi amaran kepada komuniti penduduk setempat bagi menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat, berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, semalam.

Seorang pekerja swasta dalam sektor perbankan Natasha Alya Saifudin, 26, berkata beliau seakan tidak percaya kawasan perumahan yang didiami selama 20 tahun itu buat pertama kali terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada kira-kira 5 petang semalam.

“Bunyi siren memang kuat. Tiba-tiba, terdengar dentuman dua kali runtuhan tanah yang kuat semasa hujan gerimis.

 “Panik dan kelam kabut, saya terus berlari keluar dari rumah untuk tengok apa yang berlaku rupanya tanah memang sudah makin menurun,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Natasha Alya yang ketika itu berada berseorangan di rumah kerana bekerja dari rumah (BDR) terus menelefon bapanya yang berkhidmat sebagai pemandu kereta e-hailing untuk segera pulang ke rumah.

Menurutnya, kejadian yang berlaku sekelip mata tanpa sebarang tanda, sangat mengejutkan penduduk setempat kerana sebelum ini kawasan perumahannya tidak pernah terlibat dalam bencana alam mahupun banjir.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tong Kwan Chew, 53, berkata beliau hanya menyedari kejadian selepas mendengar bunyi siren yang kuat daripada rumah putih bernombor ’50’, bertentangan dengan rumahnya.

“Saya memang sangat terkejut sebab tidak pernah dengar bunyi (siren) macam itu sebelum ini. Bila sudah keluar, jalan raya depan rumah memang sudah diselaputi lumpur.

“Saya terus membawa isteri dan tiga orang anak ke tempat yang selamat serta mengubah kedudukan tiga kereta di (kawasan taman bersebelahan),” katanya yang terpaksa bermalam di sebuah hotel bersama ahli keluarga kerana akur dengan arahan pihak berkuasa sebagai langkah berwaspada dan faktor keselamatan.

Tong berkata beliau bersyukur kejadian tanah runtuh itu tidak mengancam keselamatan keluarganya yang merupakan kejadian pertama kali semenjak 23 tahun menghuni di situ.

Sementara itu, seorang wanita yang enggan dikenali berusia 50-an, telah menetap selama 20 tahun di kawasan tersebut turut bersyukur dirinya selamat dalam bencana itu.

“Semasa kejadian, ramai (penduduk) yang tidak berada di rumah sebab masih lagi waktu bekerja. Tetapi sebaik terdengar bunyi siren, memang saya terus keluar dari rumah untuk tengok keadaan sekeliling,” katanya.

Beliau berkata sebaik keluar dari rumah, tanah runtuh memang sudah merebak sehingga ke bawah dan jalan rumahnya sudah dipenuhi lumpur.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam telah meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa tanah runtuh kontraktor lantikan, bukan warga kerja Air Selangor

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjelaskan seorang mangsa insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, semalam adalah pekerja kontraktor lantikan syarikat berkenaan dan bukan warga kerjanya.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini menjelaskan dalam insiden itu, seramai enam pekerja kontraktor lantikan Air Selangor berada di kawasan tersebut bagi melaksanakan pemeriksaan tapak serta kerja-kerja pembaikan paip injap.

“Air Selangor merakamkan rasa dukacita terhadap tragedi yang menimpa seorang pekerja kontraktor lantikan Air Selangor itu. Sewaktu insiden tersebut, seorang daripada pekerja kontraktor lantikan kami terperangkap dan tidak berjaya melepaskan diri. (Beliau) bukan warga kerja Air Selangor.

“Kami di Air Selangor berdukacita dan amat mengambil berat atas implikasi insiden tanah runtuh yang menimpa semua mangsa khususnya pekerja kontraktor kami yang berada di tapak,” katanya menerusi kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Air Selangor menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan semua warga kerja mereka tidak terkecuali para pekerja kontraktor yang bertugas di tapak.

Air Selangor akan terus bekerjasama bersama pihak berkuasa dan pihak berkenaan bagi membantu pekerja-pekerja kontraktor syarikat lantikan yang terkesan dengan insiden berkenaan.

Semalam 13 kawasan sekitar Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, dan dijangka pulih sepenuhnya awal pagi esok.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 13 kawasan terjejas mula disalur, jangka pulih penuh 4 pagi

SHAH ALAM, 11 MAC: Bekalan air kepada pengguna di 13 kawasan terjejas susulan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur mula disalurkan pada 10.30 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna namun bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 4 pagi, 12 Mac

“Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat berhubung insiden ini dari semasa ke semasa.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Semalam sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru.

Kawasan terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Tanah runtuh: Penghuni 48 rumah diarah pindah, lokasi kejadian belum selamat

AMPANG, 11 MAC : Kerajaan Negeri mengarahkan penghuni 48 rumah yang terlibat dengan kejadian insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini, segera mengosongkan kediaman masing-masing.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka diminta berpindah sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hari sementara pihak berkuasa memantau kemungkinan berlaku lagi pergerakan tanah di kawasan terbabit.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari pihak Jabatan Kerja Raya dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) akan meneliti keadaan lokasi kejadian dalam tempoh tersebut sama ada selamat untuk diduduki atau sebaliknya.

“Kita ada 48 rumah di empat lorong yang perlu dikosongkan terlebih dahulu, Insya-Allah dalam tempoh maksimum lima hari kita boleh tahu kawasan ini selamat atau tidak dan penduduk boleh balik atau belum.

“Justeru, saya berharap penduduk dapat segera mengosongkan rumah dan kita mohon penduduk jangan bimbang kerana pihak polis akan melakukan pemantauan 24 jam di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi insiden tanah runtuh di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan pihak berkuasa akan melakukan pemantauan di kawasan tersebut dan segala maklumat akan dimaklum dari semasa ke semasa.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tanah runtuh: Tiada aktiviti pembalakan, hujan berlarutan punca kejadian

AMPANG, 11 MAC : Dato’ Menteri Besar mengesahkan tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembalakan berlaku di tapak insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa tempatan juga tidak pernah menerima sebarang aduan berlakunya tanah runtuh di kawasan terbabit sebelum ini.

“Ia merupakan kawasan lapang dan tidak ada sebarang aktiviti seperti pembalakan atau pengosongan tanah, memang tidak ada. Mungkin ia disebabkan keadaan hujan yang berlarutan selama beberapa hari sebelum ini menyebabkan struktur tanah terurai.

“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga tidak pernah menerima aduan untuk kawasan ini, yang kita pernah terima aduan pun di Taman Permai iaitu empat kilometer daripada lokasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan kira-kira setengah jam di lokasi insiden tanah runtuh di sini hari ini.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Bantuan segera RM10,000 kepada waris mangsa maut tanah runtuh

AMPANG JAYA, 11 MAC : Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diberi kepada waris mangsa yang meninggal dunia terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada mangsa lain yang turut terjejas dengan insiden tersebut.

“Setakat ini, kita tumpu untuk memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada waris yang ahli keluarganya meninggal dunia.

“Untuk rumah dan mangsa lain yang turut terjejas, kita akan kaji semula bentuk bantuan yang boleh diberikan kerana buat masa ini kita mahu memastikan keadaan di sini selamat dan boleh diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan di lokasi tanah runtuh hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar turut mendengar taklimat oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan bomba berhubung kejadian tersebut.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBPJ lancar pelan strategik usahawan ke arah digital, tawar latihan percuma

PETALING JAYA, 11 MAC : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dengan memfokus kepada empat strategi utama.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata strategi tersebut adalah bagi menambah baik infrastruktur usahawan, membangunkan modal insan dan memperkukuh ekonomi peniaga.

Menurut Mohamad Azhan Md Amir strategi keempat ialah memantapkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan untuk keberkesanan institusi dan pembangunan usahawan.

“Kita turut menyediakan kursus keusahawanan secara percuma kepada usahawan mikro bagi memberi penekanan berhubung aspek digital sebagai medium perniagaan.

“Sebanyak tiga kursus ditawarkan iaitu berkaitan asas keusahawanan dan kaedah mengaplikasi perniagaan ke arah pendigitalan dengan kerjasama Yayasan Hijrah Selangor dan  Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling Jaya 2021-2030 dan Sesi Cabutan Bertuah Undi Petak Bazar Ramadan 2022 di Dewan Sivik MBPJ di sini.

Menurutnya, berdasarkan rekod, seramai 180 usahawan mikro menyertai kursus tersebut sejak Oktober lalu dan hasil kaji selidik mendapati 14 peserta tidak menggunakan media sosial sebagai teknik pemasaran.

“Justeru, dalam usaha menarik minat mereka MBPJ akan memberi pengiktirafan kepada usahawan yang cemerlang dalam perniagaan hasil daripada modul kursus yang disertai.

“Dengan cara itu golongan ini dapat digilap menjadi usahawan pintar dan menjadi contoh kepada usahawan mikro lain,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes serius kekal rendah, jangkitan harian 30,787 kes

SHAH ALAM, 11 MAC: Jumlah kes harian Covid-19 semalam naik sedikit 541 kes kepada 30,787 kes berbanding 30,246 kes hari sebelumnya.

Kes serius atau kategori 3, 4, dan 5 kekal rendah dengan 244 kes manakala kategori satu (tanpa gejala) 10,921 kes dan dua (gejala ringan) merekodkan 19,642 kes.

Daripada 224 kes kategori 3, 4, dan 5, sebanyak 58 kes (25.89 peratus) tidak divaksin atau belum lengkap divaksin, 94 kes (41.96 peratus) menerima dua dos tetapi belum menerima dos penggalak serta 72 kes (32.14 peratus) menerima dos penggalak.

Selain itu 122 kes (54.46 peratus) melibatkan berumur 60 tahun ke atas, 96 kes (42.86 peratus) mempunyai komorbid dan dua kes (0.89 peratus) melibatkan ibu megandung.

Pecahan kes mengikut kategori adalah seperti berikut:

  • Kategori 1: 10,921 kes (35.47 peratus)
  • Kategori 2: 19,642 kes (63.80 peratus)
  • Kategori 3: 93 kes (0.30 peratus)
  • Kategori 4: 74 kes (0.24 peratus)
  •  Kategori 5: 57 kes (0.19 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terkumpul indvidu dijangkiti Covid-19 setakat semalam adalah 3,741,986 kes.

“Selain itu sebanyak 70 kematian dicatatkan semalam, termasuk 19 kes di luar hospital menjadikan angka keseluruhan kematian 33,567 kes,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerja baiki paip pecah di Jalan Kuari siap, bekalan air disalur berperingkat

SHAH ALAM, 11 MAC: Kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kg Cheras Baru, Kuala Lumpur siap dilaksanakan pada jam 4.15 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Bekalan air melibatkan semua kawasan terjejas dijangka pulih sepenuhnya pada jam 4 pagi, 12 Mac.

“Bantuan alternatif melalui lori tangki terus digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Air Selangor turut memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Semalam sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru.

Kawasan terjejas ialah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kampung Cheras Baru, Taman Mawar, Taman Seraya, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Taman Mewah dan Taman Mestika.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian IDE: 51.2 peratus pengundi PRN Johor kekal pilih parti sama

SHAH ALAM, 11 MAC: Sebanyak 51.2 peratus pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini dijangka kekal memilih parti yang diundi ketika Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Dapatan itu diperoleh Institut Darul Ehsan (IDE) menerusi Survei Landskap Persepsi Pengundi Johor Menjelang PRN Negeri Johor 2022 dijalankan terhadap 3,200 respondan sepanjang 18 hingga 22 Februari.

“Trend pengundi memilih calon bergantung  kepada keperibadian sebanyak 37.6 peratus manakala 34.8 peratus berdasarkan parti diwakili calon.

“15.4 peratus respondan pula bakal membuat pilihan berdasarkan isu setempat yang diperjuangkan,” kata unit penyelidikan IDE menerusi kenyataan hari ini.

Secara umumnya IDE mendapati semua parti dan jentera perlu bekerja keras memujuk pengundi keluar melaksanakan hak demokrasi.

“Peluang berkempan masih terbuka dan rakyat cenderung untuk membuat keputusan antara 24 hingga 48 jam sebelum mengundi khususnya golongan muda serta kumpulan yang tidak memihak mana-mana parti,” katanya.

PRN Johor diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal ke-14.

Sehubungan itu SPR menetapkan tarikh pengundian pada Sabtu ini manakala

pengundian awal berjalan kelmarin.

Pada PRU-14 Pakatan Harapan buat pertama kali berjaya menawan Johor dengan menang majoriti mudah 29 kerusi Dewan Undangan Negeri.