Categories
NASIONAL

Abdul Khalid : Tubuhkan suruhanjaya bagi tingkatkan keupayaan kerajaan

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 04

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kerajaan Pusat perlu menubuhkan satu suruhanjaya bebas untuk melaksanakan kajian agar kos pentadbiran dan birokrasi dalam kerajaan dapat dikurangkan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia perlu kerana didapati setiap tahun terdapat kenaikan perbelanjaan kerajaan dan pada masa yang sama tidak menunjukkan hasil peningkatan.

“Belanjawan ini masih menunjukkan bahawa cara dan strategi bajet Kerajaan BN masih berada di tahap yang lama.

“Oleh sebab itu kita perlu mengkaji semula bagaimana bukan sahaja hasil dapat ditingkatkan tapi kos dan perbelanjaan dapat disekat daripada banyak meningkat,” kata Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Parlimen di sini.

Abdul Khalid berkata, beliau menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sehingga pendapatan rakyat dipertingkatkan dan berlakunya pengagihan kekayaan negara dengan adil.

“Jadi kalau kos sudah lima peratus dapatan kerajaan hanya bertambah satu peratus, Kalaupun kita nak laksanakan, kita punya kadar mesti untuk meningkatkan pendapatan bukan untuk pengurusan GST,” kata Abdul Khalid.

EZY

Categories
NASIONAL

Bajet 2014, Pimpinan PR bidas pelaksanaan GST, gagal penuhi aspirasi rakyat

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kebimbangan Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung pengurangan subsidi dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akhirnya terjawab setelah pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Secara keseluruhan, pimpinan PR membidas bajet yang dibentangkan dan beranggapan pembentangan kali ini tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan aspirasi rakyat.Haji Abdul Hadi Awang

Berikut adalah reaksi ringkas daripada beberapa Ahli Parlimen PR:

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang :

“Keseluruhannya pembentangan bajet ini tidak mengambil kira rakyat. Yang diambil kira hanyalah kewangan untuk kerajaan yang tidak seimbang antara kenaikan cukai dan pendapatan untuk menangani masalah inflasi.”

Fuziah SallehAhli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh :

“Saya tertarik dengan Yayasan Hijau dan saya kira tugas pertama mereka adalah menutup Lynas.

“Saya melihat peruntukan wanita begitu sedikit, hanya RM100 juta dan ini amat tidak memadai. Tambah pula tidak ada program wanita, sama seperti tahun lepas program untuk pengarah wanita dan sebagainya berbanding dengan apa yang kita cadangkan dalam Belanjawan Pakatan Rakyat.”
nurul izzah

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar :

“Bajet kali ini tidak ada benda baru. Kita bimbang Malaysia akan menjadi ‘Shopping and Fesyen Heaven’ dengan hasrat kerajaan untuk menarik pelancong datang untuk membeli belah di Malaysia.

“Apa yang penting adalah pembangunan infrastruktur terutama di Sabah dan Sawak kita dapat lihat dan tidak hanya sekadar cakap-cakap semata-mata,”.

Categories
NASIONAL

Bajet 2014 gagal perbetul ketirisan berbilion wang rakyat

anwar ibrahim parliament 2

KUALA LUMPUR 25 OKT : Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk memperbetulkan ketirisan puluhan bilion wang rakyat daripada berlaku, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pengumuman Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus hanya akan menambahkan bebanan rakyat.

“Tidak ada pertimbangan untuk memperbetulkan soal kebocoran, ketirisan puluhan bilion, tidak ada soal pembaziran hendak dibetulkan dan juga memperbaiki pengurusan Kerajaan.

“Yang terpaksa mereka lakukan kerana kedudukan fisikal yang lemah ialah percukaian. GST hanya akan membebankan rakyat bawahan dan akan menambahkan pelebaran jurang kaya dan miskin.

“Keduanya kenaikan harga gula, dengan hujah yang cukup lemah dan remeh sekali,” kata Anwar ketika ditemui di luar Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, pelaksanaan GST hanya menyebabkan rakyat yang tidak pernah membayar cukai akan terpaksa membayar cukai.

“Di Malaysia hanya enam peratus penduduk yang bayar cukai. Di Malaysia hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya ketika ditemui.

Katanya, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana rakyat yang tidak pernah membayar cukai selama ini terpaksa membayarnya.

“Dia (Kerajaan) bukan sahaja mengenakan GST pada 2015, tapi telah hapuskan subsidi gula 30 peratus, saya tak tahu apakah jumlah ini akan jimat tetapi ini hanya menambahkan beban rakyat,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

EZY

Categories
NASIONAL

Laksana GST hanya tambah beban rakyat

gst

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kerajaan Pusat hanya menambah beban rakyat di negara ini disebalik alasan untuk meningkatkan pendapatan negara dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu berkata, pelaksanaan GST akan meningkatkan jurang pendapatan rakyat rendah dan tinggi semakin meningkat dan akhirnya merugikan negara.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak seharusnya mengumumkan langkah lebih efisyen untuk membendung ketirisan wang rakyat dan rasuah pada Belanjawan Negara 2014  yang sememangnya merugikan rakyat.

“Kalau kita benarkan GST benar-benar dilaksanakan, kita membenarkan wang kita diserahkan kepada penyamun dan perompak.

“Tak payah samun, tak payah rompak, tapi kita sendiri yang serahkan, oleh itu saya dan pemimpin Pakatan lain akan terus berusaha melawan isu ini demi membela rakyat di negara ini,” katanya dalam himpunan bantahan GST di hadapan Parlimen hari ini.

Seramai 200 orang terdiri daripada ahli PAS dan pemimpin NGO berhimpun di hadapan pintu masuk Parlimen ketika sidang pembentangan Belanjawan Negara 2014 sedang berlangsung hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nasarudin Hasan Tantawi berkata himpunan ini diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap Kerajaan Pusat yang melaksanakan cukai berkenaan.

“Saya yakin jurang kemiskinan diantara orang kaya dan orang miskin semakin lebar, seterusnya ia akan melonjakkan kadar inflasi negara, akhirnya rakyat tetap menjadi mangsa,” ujarnya.

Beliau turut sependapat dengan Mahfuz yang menyatakan Kerajaan Pusat seharusnya mengumumkan kaedah yang lebih baik bagi mengawal ketirisan wang rakyat berbanding pengumuman pelaksanaan GST.

Dalam pembentangan Bajet 2014, Najib Razak mengumumkan Kerajaan akan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemansuhan AES: Jangan kelirukan rakyat

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 23 OKT : Cadangan memansuhkan saman tertunggak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hanya menambahkan kekeliruan rakyat yang sudah sedia terbeban.

Idea Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu didakwa tidak adil kepada rakyat apabila bercadang membatalkan saman yang dikeluarkan sebelum 18 September lalu dan hanya mengurangkan kompaun daripada RM300 kepada RM150 selepas tarikh berkenaan.

Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Zulhazmi Sharif, berkata kerajaan harus menunggu sehingga kajian menyeluruh berkenaan pelaksanaan AES oleh Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES selesai, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengelirukan.

“Cadangan terbabit adalah pra matang dan tidak adil. Hal ini kerana kajian menyeluruh berkenaan pelaksaan AES masih belum selesai dan tidak lengkap. Pengumuman itu hanya mahu menyedapkan hati rakyat yang sudah sedia terbeban dan keliru dengan pelaksanaan AES, sejak 22 September 2012,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hishamuddin berhubung terdapat beberapa pilihan lain akan diusulkan Kementerian Pengangkutan kepada kabinet bagi memberi keadilan dan kepentingan awam berkenaan isu saman AES bertarikh sebelum 18 September lalu.

Pada sidang Dewan Rakyat semalam, kementerian berkenaan menyatakan sebanyak 882,298 saman AES dikeluarkan dengan 91,457 daripada jumlah itu sudah dibayar membabitkan kutipan RM27.4 juta, sehingga 8 Oktober lalu.

Sehubungan itu, Zulhalmi berkata, semua saman yang dikeluarkan sejak 22 September lalu perlu dibatalkan dan keseluruhan pelaksanaannya dihentikan sehingga kajian oleh jawatankuasa berkenaan selesai, jika AES hendak dibatalkan.

“Apabila semua saman dibatalkan, maka jumlah bayaran kompaun dan denda yang sudah dibayar wajib dipulangkan kepada penerima saman. Sehingga kini, BN masih gagal memberikan maklum balas terhadap cabaran saya untuk membuktikan wujudnya sebaris ayat di dalam saman AES atau Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan saman dan kompaun wajib dibayar.

“Jika ada, saya akan bayar semua saman, tetapi kerajaan perlu membatalkan semua saman dan pulangkan wang yang sudah dikutip apabila terbukti apa yang didakwa ini benar,” katanya. -NFN-

 

Categories
SELANGOR

Jentera PAS Selangor sedia gempur Sungai Limau

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 22 OKT : PAS Selangor berkeyakinan tinggi untuk menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, berkata jentera PAS Selangor sudah tiba di Sungai Limau sejak pengumuman calon yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.

Katanya, seramai 15 orang ditempatkan di setiap kawasan DUN berkenaan mulai semalam sehingga tarikh pembuangan undi, awal bulan hadapan.

“Jentera PAS Selangor sudah mula tiba semalam di Sungai Limau dan kita sudah buat jadual untuk mereka sepanjang tempoh tertentu bagi membantu jentera PAS Kedah dalam mengekalkan kemenangan di DUN berkenaan,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Abdul Rani berkata, beliau yakin PAS dapat mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abu Bakar, yang meninggal dunia, pada 26 September lalu.

PAS mempertaruhkan bekas guru, Azam Samad, sebagai calonnya bagi berdepan dengan calon BN iaitu bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi Lazim.

Mengikut rekod, DUN Sungai Limau mempunyai 27,287 pengundi yang majoritinya adalah Melayu dengan 40 peratus adalah pengundimuda.

Empat daripada 19 buah pusat daerah mengundi yang dianggap kritikal bagi BN adalah Bukit Besar, Matang Buloh, Sungai Dedap dan Bukit Choras kerana majoriti undi lebih memihak PAS.

Pada PRU13, Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru yang turut membabitkan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Kekalahan Mukhriz bukti ahli Umno tolak Tun Dr Mahathir

mukhriz umnoSHAH ALAM 22 OKT : Kekalahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, merebut jawatan Naib Presiden Umno disifatkan bukti jelas penolakan ahli parti itu terhadap pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata kegagalan Mukhriz memenangi jawatan di peringkat tertinggi Umno itu memberi isyarat bahawa wujud di kalangan ahli parti tidak senang dengan pengaruh bapanya.

Katanya, kredibiliti Mukhriz masih diragui ahli Umno kerana beliau tidak merasai ujian seperti yang dihadapi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah cuba diusir Mahathir ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

“Kita lihat majoriti ahli Umno menolak Mukhriz dan secara tidak langsung menolak Tun Mahathir. Hal ini memperlihatkan pengaruh Tun Mahathir sudah tidak mendapat tempat di kalangan ahli walaupun jasa beliau cukup besar untuk Umno.

“Mukhriz masih belum teruji dengan sebarang bentuk situasi dan membuktikan beliau masih diragui oleh ahli Umno. Selain itu, kita nampak kekuatan Tun Mahathir sebelum ini tidak lagi mampu memberi keyakinan kepada ahli untuk memilih anaknya memegang jawatan di peringkat tertinggi parti,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Pada pemilihan tertinggi Umno baru-baru ini, ahli Umno sebulat suara mengekalkan penyandang  jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sementara itu, Fariz berpandangan pertembungan ‘battle of proxy’ di antara dua pemimpin muda Umno itu akan berterusan untuk tempoh yang panjang kerana sudah pasti Mukhriz tidak mahu ketinggalan bersaing dengan Menteri Belia dan Sukan itu.

Katanya, pertembungan antara dua pemimpin muda itu akan menyebabkan perpecahan yang berlaku dalam Umno menjadi semakin besar dan parah.

“Pertembungan ini akan terus berlaku dan akan menjadi bibit perpecahan di dalam Umno. Tidak ada tokoh hebat yang mampu membawa parti itu ke arah yang lebih baik daripada senarai pimpinan yang dipilih dalam keseluruhan pemilihan Umno kali ini,” katanya lagi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

22 kematian PLKN, PR gesa tangguh

plkn anwarPETALING JAYA 17 OKT : Pakatan Rakyat menggesa Kerajaan Pusat menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun hadapan bagi memperbaiki matlamat asal program itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan PLKN perlu dikaji kerana kerana sehingga kini mengakibatkan 22 kematian pelatihnya sejak ia dilancarkan

Katanya, PLKN yang menelan ratusan juta ringgit perlu dikaji semula keberkesanannya kerana menimbulkan pelbagai masalah serta matlamatnya meragukan.

“Matlamat perpaduan negara, matlamat disiplin dan keselamatan kerana setakat ini dari awal dah terdapat 22 kematian dalam perlaksanaan PLKN,” kata Anwar dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Anwar juga mencadangkan supaya Parlimen membentuk satu jawatankuasa khas Parlimen (PSC) untuk memberi ruang membincangkan sama ada meneruskan program berkenaan atau membatalkannya.

Categories
NASIONAL

Calon PR PRK DUN Sungai Limau diumum 21 Okt

PRK DUN Sungai Limau

PETALING JAYA 17 OKT: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau akan diumum Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 21 Oktober ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, berkata majlis pimpinan Pakatan Rakyat mempersetujui calon itu dan yakin dapat mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini oleh mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Kita punya calon yang sudah diputuskan oleh PAS dan dah dikemukakan pada pimpinan Pakatan Rakyat dan dipersetujui dan akan diumumkan pada 21 haribulan ini,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, jentera PAS di Kedah akan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, PAS sentiasa bersiap sedia dan bekerja keras untuk menangkis setiap hujah yang akan dimainkan oleh Umno-BN sepanjang tempoh berkempen PRK itu.

Pada PRU-13 lalu, Allahyarham Ustaz Azizan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 2,774 undi menerusi pertandingan empat penjuru.

Sementara itu, PRK DUN Sungai Limau akan berlangsung pada 4 November ini.

Aidil Adha disambut penuh kesyukuran di Selangor

saiz kecil 2

SHAH ALAM 15 OKTOBER : Cuaca baik biarpun hujan di awal pagi digunakan sepenuhnya oleh umat Islam di negeri ini untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha dalam suasana penuh kesyukuran.

Lebih 5,000 umat Islam bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

06Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta barisan Exco Selangor seperti Sallehin Mukhyi dan Dr Daroyah Alwi di samping pembesar-pembesar negeri.

Sejurus selesai solat dan bacaan khutbah Aidil Adha, baginda serta Abdul Khalid meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan orang ramai.

Sebanyak 39 ekor lembu termasuk dua sumbangan baginda dikorbankan di masjid ini, seterusnya diagihkan kepada semua asnaf yang layak di sekitar Shah Alam.

Manakala, Kerajaan Negeri menyumbangkan 753 ekor lembu yang bernilai RM2.25 juta untuk diagihkan ke setiap daerah, masjid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di seluruh negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

100 warga Kapar terima baucer Jom Shopping menjelang aidiladha

Jom Shoping  Dr Daroyah Alwi 1

KLANG 13 OKTOBER : Seramai 100 orang penduduk di DUN Sementa, Klang ternyata gembira setelah menerima bantuan Jom Shopping Aildiladha yang dilakukan di pasaraya Econsave Kapar, dekat sini hari ini.

Program yang dilaksanakan menjelang sambutan Aildiladha ini merupakan kesinambungan program Jom Shopping Aildilfitri yang dilaksanakan Kerajaan Negeri beberapa bulan lalu.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawanan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata, bantuan yang diberikan ini merupakan baki peruntukan Jom Shopping Aildilfitri di beberapa DUN lain yang tidak berjaya dihabiskan menjelang bulan Syawal lalu.

Katanya, Kerajaan Negeri berhasrat mahu menghabiskan semua peruntukan Jom Shopping Aildilfitri lalu dan DUN Sementa menjadi yang pertama memohon untuk baucer tambahan program berkenaan.

“Kerajaan Negeri mahu menghabiskan peruntukan Jom Shopping Aidilfitri lalu dan hasil mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan boleh memohon untuk baucer tambahan.

“Jadi Sementa cepat-cepat ambil peluang ini dan beri kepada golongan yang memerlukan menjelang sambutan Aidiladha minggu hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM2.8 juta kepada 56 DUN di seluruh Selangor untuk program Jom Shopping Aidilfitri.

Dalam pada itu, seorang penerima baucer berkenaan, Sutimah Kaslar, 65, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berusaha membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya.

“Banyak perubahan yang saya dapat lihat, pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti saya dan ramai lagi yang senasib saya, terima kasih kepada Dr Daroyah dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemuim

Bagi Azlinda Basri, 45, pula menyifatkan bantuan ini dapat mengurangkan sedikit beban penyediaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

“Kita ini orang susah, jadi dengan kenaikan kos harga barang, dengan harga minyak naik dan macam-macam lagi, bantuan seperti ini dilihat sangat membantu membeli barang keperluan dapur,” katanya.

Jom Shoping  Dr Daroyah Alwi 2

Categories
NASIONAL SELANGOR

219 Penduduk Kampung Sri Indah terima geran tanah

Paya Jaras terima geran 3

SUNGAI BULOH 12 OKTOBER : Penantian 219 keluarga dari Kampung Sri Indah, Paya Jaras di sini untuk memiliki geran tanah kediaman sejak 20 tahun lalu berakhir hari ini apabila kesemua mereka menerima geran hak milik masing-masing.

Seorang penerima, Goh See Hai, 52, berkata, beliau terpaksa menunggu sekian lama biarpun segala dokumen telah diserahkan sejak Kerajaan Umno-BN dahulu namun sikap yang diamalkan kerajaan pemerintah ketika itu menyebabkan urusan hak milik tanah tertangguh bertahun-tahun.

“Saya telah menetap di kampung ini lebih 20 tahun, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapat geran ini, biarpun kerajaan dahulu berjanji untuk menyelesaikannya, tapi akhirnya ia diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Paya Jaras terima geran 1

Bagi Yap Kwai Loon, 52, beliau merasa gembira kerana isu berkenaan dapat diselesaikan kerana terpaksa menunggu selama lebih 23 tahun.

“Dulu wakil MCA ada berjanji untuk menyelesaikannya, tapi saya sudah menunggu terlalu lama, akhirnya dapat juga geran tanah sendiri, terima kasih kepada Adun dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu,” katanya yang berwajah ceria.

Kedua-dua mereka ditemui ketika satu majlis penyerahan kelulusan geran yang disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah di Dewan JKKK Kampung Sri Indah A, Paya Jaras, di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa.

Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika ditemui berkata, sebanyak lima kampung lagi di bawah DUN Paya Jaras masih menunggu geran tanah masing-masing dan berharap isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersungguh-sungguh mempercepatkan segala urusan berkenaan hak milik tanah ini.

“Di Dun Paya Jaras ini terdapat 15 buah kampung dan sebanyak lima buah kampung masih lagi menunggu dan saya berharap Kerajaan Negeri dapat membantu segala urusan berkenaan supaya semuanya mendapat hak milikan sendiri,” katanya.

Kesemua penduduk berkenaan bakal menerima geran tanah selepas meyelesaikan jumlah premium sebanyak RM1,000 yang disyaratkan oleh Kerajaan Negeri.