Categories
SELANGOR

Media patut lebih peka- Rodziah

SHAH ALAM, 22 MAC : Kerajaan Selangor menuntut supaya media massa menghentikan liputan sensasi tentang kes penculikan Nazatul Fardiana  Mohd. Izwan yang di selamatkan dan di bawa pulang dari Thailand baru- baru ini.

Sehubungan itu, Kerajaan Selangor akan menghulurkan bantuan kaunseling dan kebajikan kepada Nazatul Fardiana bagi membina semula kehidupan mereka selepas tragedi ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga membidas kekontangan etika yang dipamerkan oleh segelintir media massa yang tidak bertanggungjawab dan bertindak tanpa memikirkan kesan liputan tersebut terhadap masa depan pelajar Tingkatan 2 itu.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Rodziah Ismail mengesa media massa dan wartawan terbabit supaya memfokuskan kemahiran dan kreativiti mereka kepada usaha-usaha sebenar untuk membasmi pemerdagangan manusia dan memberkas penjenayah.

“Insiden pendedahan tanpa rasa bersalah oleh sebahagian media massa dan polis amatlah memalukan dan telah meletakkan Malaysia dalam posisi dan imej yang amat rendah di mata masyarakat antarabangsa.

“Kejadian yang berlaku kepada Nazatul yang diculik dan telah dibawa ke Bangkok tempoh hari telah disensasikan tanpa sebarang belas kasihan dan keinsanan terhadap mangsa oleh segelintir media massa di Malaysia,” ujar Rodziah di dalam satu sidang media di luar Dewan Negeri Selangor hari.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Majlis Anti-Pemerdagangan Manusia (MAPMAS) Dr Irene Fernandez.

Nazatul kembali ke Malaysia pada hari Isnin 19 Mac lalu  selepas dibawa lari ke Bangkok, Thailand kerana dipercayai diculik dan di bawa ke negara itu. Remaja itu dijumpai oleh polis Thailand dan di bawa ke kedutaan Malaysia di Thailand.

Beliau dibawa pulang dengan kerjasama pejabat DUN Kota Anggerik.

Rodziah menambah, etika kewartawanan menghendaki para wartawan memelihara keselamatan mangsa dalam liputan mereka.

Beliau, yang juga ADUN Batu Tiga, menggesa polis untuk menjaga sensitiviti mangsa dan keluarganya dengan tidak mempamerkan gambar mereka kerana ia mengundang risiko yang tinggi.

Sementara itu Irene berkata PDRM seharusnya lebih peka terhadap peningkatan kes-kes penculikan di negara ini.

Categories
SELANGOR

Banteras Pusat Hiburan Haram Secara Bersepadu

SHAH ALAM, 22 MAC : Operasi pemeriksaan pusat hiburan haram telah dilakukan beberapa kali mengikut keperluan dan juga merancang operasi secara berkala dengan kerjasama daripada agensi-agensi luar seperti Polis, JAIS dan Agensi Dadah Kebangsaaan.

“Operasi penguatkuasaan secara bersepadu merupakan salah satu kaedah terbaik dalam menangani masalah yang melibatkan pusat hiburan haram,”.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Sementa, Abd Rahman Palil berkaitan kekerapan operasi membanteras pusat hiburan haram di Selangor.

Sehubungan itu, ahli Exco dan Adun digalakkan turun padang untuk menyertai operasi penguatkuasaan ke atas pusat hiburan haram yang terdapat di sekitar Selangor.

Akan tetapi, kuasa yang diberikan kepada PBT terhad untuk membanteras pusat hiburan haram kerana ianya perlu melibatkan kebenaran daripada TNB  untuk pemotongan elektrik dan sebagainya.

“Pemotongan air dan elektrik adalah tindakan yang berkesan tetapi pemotongan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana perlu melalui organisasi  tertentu seperti TNB dan lain-lain,” ujar Ronnie ketika menjawab soalan tambahan dari Abdul Rahman berkaitan pemotongan elektrik dan air di pusat hiburan haram.

Selain itu, Ronnie juga menyatakan ahli-ahli majlis PBT boleh menyertai operasi tetapi tidak diberikan kuasa kerana tidak mahu berlaku salah kuasa dikalangan ahli majlis.

Categories
SELANGOR

Adun Kota Anggerik Berjaya Urus Pulang Nazatul Fardiana

SHAH ALAM 21 MAC : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari yang menawarkan diri untuk proses urusan balik Nazatul Fardiana hari ini menyangkal dakwaan yang dibuat oleh dua buah akhbar hari ini yang melaporkan perjalanan pulang Nazatul ditangguhkan oleh pihak ketiga adalah tidak benar sama sekali.

Yaakob memberitahu bahawa ibu Nazatul meminta bantuan Pejabat Adun Kota Anggerik untuk menguruskan urusan balik Nazatul dan pihak Adun bersetuju untuk menguruskan perjalanan tersebut melalui jalan udara atas sebab-sebab keselamatan.

“Ini kerana pihak kerajaan pusat hanya mempunyai peruntukan untuk membawa pulang Nazatul melalui jalan darat sahaja.

“Maka, pihak kami telah menghantar dua orang pegawai bersama ibu Nazatul sendiri iaitu Azura Roski ke Bangkok pada Jumaat lalu dengan Air Asia bagi menjemput Nazatul pulang,” jelas Yaakob yang juga Adun Kota Anggerik.

Bagaimanapun, menurut Yaakob, usaha membawa Nazatul pulang melalui jalan udara tertangguh disebabkan paspotnya tercatit perjalanan harus melalui jalan darat.

“Maka perjalanan pulang Nazatul telah ditangguh hingga ke hari Isnin, 19 Mac bagi membolehkan urusan syarat dokumentasi diubah ke jalan udara,” ujar Yaakob di sidang media ketika mesyuarat dewan undangan negeri berhenti rehat.

Nazatul dan rombongan yang menjemputnya dilaporkan selamat tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang pada Isnin lepas jam 8.50 malam.

Categories
SELANGOR

Hadiah Menarik Dalam Karnival Terima Kasih Rakyat

SHAH ALAM, 19 MAC: Motosikal, Ipad, Samsung Galaxy S2, hamper dan kupon belanja adalah antara hadiah yang menanti pengunjung di Karnival Terima Kasih Rakyat yang akan berlangsung pada hari Ahad, 25 Mac ini.

Karnival yang bertempat di Stadium Kuala Selangor itu merupakan satu penghargaan atas kepercayaan yang ditunjukkan oleh rakyat Selangor terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat selama empat tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata karnival itu juga memaparkan program-program menarik sepanjang hari dan berakhir dengan rapat rakyat perdana.

?Semua rakyat Selangor dijemput hadir ke Karnival Terima Kasih Rakyat kerana terdapat pelbagai hadiah yang menarik dan kupon-kupon belanja yang akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah,? ujar Ronnie di dalam sidang media di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.

Antara program tersebut adalah senamrobik, pertandingan futsal dan sukan tradisional, Pertunjukan Auto Drift, sesi bersama Alternative Riders Club (ARC), pertunjukkan tarian singa dan klinik bola sepak bersama pemain-pemain professional Selangor.

Bagi pengunjung wanita, karnival itu turut menyediakan sesi pertunjukan memasak, sesi kaunseling bersama Ustazah Siti Nur Bahyah Mahamood dan pertandingan gubahan bunga.

Pertandingan mewarna, ?petting zoo? dan ?pony ride? bagi kanak-kanak turut disediakan.

Persembahan artis-artis popular seperti OAG, Sixth Sense, Fify Emielia, Blank Gamma, Komuniti Jazz Shah Alam dan penampilan istimewa Buddhi Hekayat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu bagi lirik Lagu Awan Nano juga bakal mewarnai karnival ini.

Karnival ini akan berakhir dengan program Rapat Rakyat bersama pimpinan Pakatan seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Categories
SELANGOR

Sultan Puji Dasar Zon Bersih

SHAH ALAM 19 MAC: Sultan Sharafudin Idris Shah memuji usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam memelihara alam sekitar dan memupuk budaya kebersihan di semua daerah di seluruh negeri.

?Kegigihan Kerajaan negeri dalam kerja pemuliharaan Hutan Simpan Raja Musa, pemuliharaan habitat kelip-kelip di Tanjung Beluntas Kuala Selangor dan menjadikan Taman Tasik Shah Alam sebagai zon bersih adalah antara usaha-usaha yang wajar menerima pujian dari semua pihak.

?Kesemua usaha yang seumpama adalah bertujuan mengajak semua rakyat Selangor supaya bersama sama memastikan kawasan persekitaran dan negeri sentiasa bersih dan selamat.?

Sultan berkata demikian di dalam titah ucapannya semasa merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sehubungan itu, Sultan berharap Kerajaan Negeri mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan dan penduduk setempat untuk mengekalkan kawasan hijau dan zon bersih.

?Kawasan-kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan.

?Pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek-projek pembangunan di kawasan tersebut.?

Upacara dimulai dengan Keberangkatan tiba Sultan Selangor dan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama.

Sejurus selepas itu, sultan berangkat masuk ke Dewan dengan diiringi oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Categories
SELANGOR

Arnab Bagi Pemenang Pertandingan Melukis “Anak Selangorku”

SHAH ALAM 18 MAC : Kegembiraan jelas terpampar diwajah kanak-kanak ini ketika memenangi hadiah seekor arnab dan barang-barang kelengkapan sekolah dalam satu pertandingan melukis yang berlangsung hari ini.

“Anak Selangorku” Art Competition ini mempertandingkan tiga kategori mengikut umur dan disertai seramai 50 orang kanak-kanak sekitar Shah Alam dan Klang.

Program tersebut dianjurkan Pejabat Dun Kota Anggerik dan berlangsung di Canopy Club, Setia Eco Park, Shah Alam di sini.

Objektif program ini dilaksanakan bertujuan untuk memenuhi cuti sekolah yang sedang berlangsung dengan suatu program yang bermanfaat untuk kanak-kanak.

Penolong Penyelaras Program tersebut Ngian Yoke Mooi berkata program ini memberi manfaat kepada ibu-bapa kerana anak-anak mereka boleh dijaga sepanjang pertandingan berlangsung.

Pemenang bagi kategori lima hingga enam tahun ialah Shannon Chan, 6, bagi kategori tujuh hingga lapan tahun ialah Tan Shen Ming, 8, manakala Nor Balqis Mohammad, 9, memenangi bagi kategori sembilan hingga 12 tahun.

Ketika ditemui, Shen Ming berasa seronok kerana mendapat seekor arnab dan juga peralatan sekolah seperti bekas pensil, cat air dan beg sekolah.

Nor Balqis, yang ditemani kakaknya, berkata pertandingan ini menyeronokkan dan mengisi masa cuti sekolah yang terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

Sementara itu, Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Yaakob Sapari dalam ucapan pembukaannya berkata ibu bapa merupakan pencorak masa depan anak-anak.

“Pendidikan adalah sangat penting untuk anak-anak. Oleh itu janganlah kita mengabaikan tanggungjawab kita sebagai ibu-bapa,” ujar Yaakob yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.