KUANTAN, 29 DIS: Wisma Putra akan membantu membawa pulang remaja dari daerah ini, yang maut semasa bermain papan luncur di Townsville, Queensland, Australia, semalam.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada keluarga mangsa terlibat, sama ada mahu membawa pulang atau mengebumikan jenazah di negara berkenaan.
“Urusan membawa balik sudah pasti melibatkan kos dan kementerian akan cuba membantu memudahkan urusan. Jika waris memilih dikebumikan di sana, pegawai kita di sana akan cuba bantu ia dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.
“Kita berharap keluarga dan waris mangsa terlibat dapat berhubung dengan pegawai Wisma Putra secepat mungkin supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media Australia mengenai kematian remaja itu yang dikatakan terlanggar tiang semasa bermain papan luncur ketika sedang bercuti dengan keluarganya di sana.
Pada perkembangan berasingan, Saifuddin juga berkata pihaknya akan membantu dalam urusan lima warga Malaysia yang cedera akibat kemalangan jalan raya di Kaherah, Mesir yang juga dilaporkan berlaku semalam.
Beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil insurans sebelum ke luar negara sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kejadian tidak diingini supaya tidak timbul masalah seperti kos rawatan dan sebagainya.
“Dalam kes yang melibatkan kecederaan, lazimnya wakil kita akan membantu untuk mendapatkan rawatan di hospital yang percuma jika ada, atau di tempat yang bayarannya tidak terlalu mahal.
“Kita juga boleh membantu untuk mendapatkan tiket kapal terbang untuk pulang dengan segera, namun kita tidak akan membiayai tiket tersebut,” katanya.
Selain itu, Saifuddin juga memaklumkan kerajaan melantik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) bagi mengkaji dan mengesahkan laporan berita berhubung masyarakat Uyghur di Xinjiang, China.
“Kita mengambil pendirian berhati-hati dalam menilai semua laporan yang diterima daripada pelbagai pihak. Pada pertemuan saya dengan Menteri Luar China Wang Yi, saya memaklumkan kita ambil pendekatan peradaban dalam hal ini.
“Malaysia bukan dalam senarai negara yang menyokong saja laporan disediakan kerajaan China dan dalam masa sama, kita juga tidak dalam kumpulan negara yang mengkritik China secara terbuka. Ini kerana kita mahu pastikan kebenaran laporan yang kita baca dan terima,” katanya.
SEREMBAN, 29 DIS: Anak Sungai Belihoi di Mantin, dekat sini yang tercemar akibat pembuangan bahan dipercayai mengandungi sisa kimia 25 Disember lalu, kembali normal dan bebas daripada sebarang pencemaran, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.
Bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain yang berkaitan terus melakukan pemantauan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat terutamanya kepada orang awam.
“Kerja pembersihan sungai ini telah dijalankan sejak Rabu lalu (25 Disember) dan telah siap sepenuhnya pada hari berikutnya iaitu pada hari Jumaat sebelah petang.
“Ketika ini JAS masih menjalankan siasatan berhubung pembuangan haram ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Veerapan berkata, setakat ini contoh air sungai dan sisa buangan masih belum diperolehi daripada Jabatan Kimia dan ianya dijangka hanya akan diperoleh dalam masa dua minggu.
Katanya, JAS melakukan siasatan mengikut Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan didenda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.
KUALA LUMPUR, 29 DIS: Tahun 2019 yang akan melabuhkan tirainya menyaksikan banyak berita palsu berputar di media sosial dan ada kalanya singgah ke media arus perdana, hasil kerja pelaku memutar maklumat dan orang jahil yang menjadikannya viral.
Rakyat Malaysia masih ingat bagaimana kepalsuan yang disensasikan itu seperti tiga juta rakyat China memasuki negara ini ekoran masalah teknikal di KLIA yang mencetuskan kegilaan dalam medial sosial.
Berita palsu tentang Projek IC Sabah 2.0 sedang dilaksanakan dan Jabatan Pendaftaran Negara mengagihkan MYKad percuma kepada rakyat asing muncul kembali tahun ini seolah-olah menjadi ruji pembohongan yang membelenggu rakyat Malaysia.
Selain itu terdapat juga berita palsu bahawa jalur lebar 5G menjejaskan kesihatan manusia dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangun Masyarakat melaksanakan perintah berkurang lewat malam terhadap remaja dalam usaha mengekang gejala sosial sehingga menimbulkan keperihatinan dalam kalangan masyarakat.
Satu lagi penularan berita palsu yang rakyat Malaysia harus hadapi ialah mengenai isu sesuatu makanan yang didakwa tidak halal atau premis makanan tertentu tidak halal atau status halal ditarik balik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Semua ini merupakan sekelumit daripada senarai panjang berita palsu dalam tahun 2019.
Pihak berkuasa memerangi kebatilan ini dengan kebenaran menerusi media serta saluran lain termasuk portal sebenarnya.my yang bukan sekadar menegur dakwaan yang karut tetapi juga memberi gambaran yang sebenar.
Melihat bagaimana berita-berita palsu ini menjadi viral, seseorang boleh bertanya sama ada rakyat Malaysia begitu mudah tertipu dan akhirnya menjadi penyedia maklumat yang salah.
Satu kajian oleh Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid dari Unit Kajian Pemilih Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan rakan penyelidik, Azrul Hisyam Wakichan pada September lalu tentang persepsi masyarakat terhadap berita palsu mendapati bahawa masyarakat Malaysia tahu membezakan antara berita palsu dan berita yang benar .
Sungguhpun majoriti 1,960 responden berumur 18 tahun ke atas mengakui bahawa berita palsu menarik untuk dibaca atau ditonton namun mereka tidak mudah terpedaya dengannya dengan 95 peratus mengatakan mereka menolak sebarang berita palsu dan berusaha mendapatkan kesahihan sesuatu berita itu.
Begitu juga, kajian yang merentasi tiga kumpulan etnik utama di seluruh negara – orang Melayu, Cina dan India – juga mendapati lebih daripada 95 peratus responden bimbang dan ingin melakukan sesuatu untuk menghentikan berita palsu kerana mereka takut kepada natijahnya terhadap masyarakat.
Sekiranya rakyat Malaysia boleh membezakan antara berita palsu dan berita sebenar, maka bagaimana berita palsu masih merebak seperti api? Apabila ditanya mengenai perkara itu, Syed Arabi memberitahu Bernama, mungkin kerana kepantasan berita palsu itu dihantar melalui media digital yang menarik perhatian rakyat Malaysia.
“Mereka juga hendak cepat berkongsi dan ekoran kesuntukan masa untuk pengesahan fakta, lantas mereka hilang sikap rasional dan akhirnya menjadi sebahagian daripada rangkaian berita palsu. Apabila mereka sedar akan kesilapan yang dilakukan ia mungkin sudah terlambat,” katanya.
Berita palsu bukan sesuatu yang baharu, penciptanya mempunyai motif tersembunyi atau hanya cebisan daripada khayalan mereka. Apa yang jelas menerusi perantara komunikasi maklumat yang baharu menyediakan mereka jangkauan yang lebih bagi mengelirukan khalayak antara kebenaran dan kebatilan.
Justeru, mulakan 2020 dengan berfikir dua kali atau melakukan semakan sebelum berkongsi berita sensasi menerusi internet bagi mengelak penularan berita palsu.
KUALA LUMPUR, 29 DIS: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, semua langkah keselamatan perlu diberikan keutamaan berhubung keputusan Malaysia membuka semula kedutaan di Pyongyang, Korea Utara tahun depan.
Beliau berkata, meskipun semua langkah yang diambil tidak boleh didedahkan, tetapi antara perkara yang turut dipertimbang adalah status tanpa visa untuk rakyat Korea Utara ke negara ini.
“Buat masa ini kita sedang memulihkan semula hubungan. Segala isu yang timbul kita akan tangani satu persatu. Ia tidak semestinya tanpa visa.
“Saya tidak mahu benar-benar melihat ke arah itu. Tapi sudah pasti lawatan perlu dibenarkan dan jika tidak, beberapa aspek berkaitan undang-undang dan peraturan imigresen perlu diperhalusi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di pejabatnya baru-baru ini.
Saifuddin berkata, beliau yakin semua isu berbangkit dapat ditangani oleh kedua-dua pihak.
Sebelum ketegangan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, adik tiri pemimpin agung Korea Utara, Kim Jong-un pada Februari 2017, rakyat Korea Utara boleh melawat Malaysia tanpa visa dan begitu juga sebaliknya.
Sementara itu, Saifuddin menegaskan, pembukaan semula kedutaan pada suku pertama 2020, secara tidak langsung membolehkan Malaysia memainkan peranan menggalakkan Korea Utara menyambung rundingan damai dengan jirannya, Korea Selatan.
“Selagi DPRK (Korea Utara) mempamerkan kesungguhan untuk berunding dan mara ke depan, ia memerlukan sedikit sebanyak galakan.
“Sebagai contoh, menarik balik sebahagian daripada sekatan. Tetapi ia tidak berlaku.
“Jadi dengan mengaktifkan semula kedutaan kita, ia memberi isyarat kepada DPRK bahawa kita menghargai bahawa anda kini bekerjasama dengan jiran anda dan kami mahu menjadi pihak yang secara tidak langsung terhadap perkembangan itu menerusi langkah memulihkan hubungan kita. Oleh yang demikian, kami mahu mengaktifkan semula kedutaan kami,” katanya.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang sejak bermulanya siasatan terhadap kematian Jong-nam.
Pada 4 Mac 2017, Malaysia mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, sebagai ‘Persona Non-Grata’ selepas gagal memohon maaf berhubung dakwaannya Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan dalam menyiasat pembunuhan itu. Sebagai tindak balas, Korea Utara mengambil tindakan yang sama.
Berkuat kuasa 6 Mac 2017, Malaysia menarik balik keistimewaan tanpa visa untuk warga Korea Utara.
Pyongyang kemudian bertindak menghalang kakitangan kedutaan Malaysia dan keluarga mereka meninggalkan Korea Utara. Malaysia juga mengambil langkah sama.
Ketegangan diplomatik sedikit reda selepas sembilan kakitangan Kedutaan Malaysia dan keluarga mereka yang dilarang meninggalkan Korea Utara selamat tiba di Malaysia pada 31 Mac 2017.
Malaysia juga membenarkan warga Korea Utara meninggalkan negara ini dan jasad Jong-nam juga dihantar ke Korea Utara atas permintaan keluarganya.
Sebelum kejadian itu, Malaysia kekal sebagai antara beberapa rakan dagangan Pyongyang selepas negara itu dipinggirkan oleh komuniti antarabangsa berikutan program peluru berpandunya nuklearnya.
Hubungan diplomatik kedua-dua negara mula terjalin pada 30 Jun 1973.
KUALA LUMPUR, 29 DIS: Tinggal 48 jam sahaja lagi sebelum larangan merokok di premis makan terbuka bakal berkuatkuasa dengan tinjauan menunjukkan pelekat dan papan tanda larangan merokok sudahpun dipasang di premis berkenaan.
Tinjauan Bernama sekitar ibu kota selama tiga hari mengenai kesediaan premis perniagaan terhadap penguatkuasaan larangan itu di beberapa kawasan menjamu selera tumpuan ramai seperti restoran mamak dan medan selera rata-rata menunjukkan kesedaran tinggi akan larangan itu.
Menurut seorang pekerja restoran nasi kandar yang ditemui, Abdul Kareem Ismail, 32, berkata, papan tanda larangan merokok sudah lama dilekatkan dan tidak mempunyai masalah dengan penguatkuasaan larangan merokok di premis mereka.
“Dekat sini, pelekat dan papan tanda memang dah lama ada, cuma tak ramai yang hiraukan. Baru-baru ini pun, kami ada tambah dan besarkan pelekat larangan.
“Mungkin selepas ini mereka (perokok) akan guna meja yang diletakkan di luar dengan jarak yang telah ditetapkan,” katanya yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Ampang, di sini.
Bagi Rahman Iskandar, 25, yang menjual makanan di sebuah medan selera di Cheras, beliau mengakui ada perubahan selepas peraturan larangan merokok di uar-uarkan sejak beberapa bulan lalu.
“Rasanya ramai yang dah sedar dengan peraturan itu sebab ada pelanggan tetap yang datang, mereka akan merokok di luar malah ada yang pergi hingga ke tempat parking. Malah ada pelanggan, terutama yang ada anak kecil, sudah berani menegur perokok ‘degil’ agar tidak merokok di tempat makan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memasang papan tanda berkenaan di kebanyakan premis bangunan termasuk premis kerajaan.
“Kita dah banyak pasang papan tanda itu di sekitar Kuala Lumpur, yang paling besar di beberapa lokasi termasuklah pada skrin besar di Dataran Merdeka dan di kawasan Bukit Bintang.
”Setakat ini, lebih kurang 3,000 notis dan poster telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL bersama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan dan Putrajaya kepada premis makanan terbuka di sekitar Kuala Lumpur yang telah kita edarkan mulai awal Januari lepas,” katanya kepada Bernama.
Nor Hisham dalam pada itu menjangkakan seramai 200 anggota penguatkuasa akan menjalankan pemeriksaan ke atas sekitar 200 premis makanan berkenaan pada bulan pertama ia dikuatkuasakan nanti di sekitar ibu kota.
Jelasnya lagi, tiada keperluan untuk tempoh penguatkuasaan itu dipanjangkan memandangkan tempoh yang lama sudah diberi dan menyeru perokok serta pengusaha atau pemilik premis makanan di negara ini mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Bermula 1 Januari 2020, penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makan terbuka di bawah Peraturan 11(1)(da) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, akan dilaksanakan sepenuhnya dengan notis perintah hadir ke mahkamah terhadap perokok, akan dikeluarkan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye baru-baru ini berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250, namun boleh dikurangkan ke RM150, jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan.
Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan merupakan suatu kesalahan boleh didakwa di mahkamah dan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun, sekiranya sabit kesalahan.
PUTRAJAYA, 28 DIS: Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (LAMPU 2019) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan kembali untuk tahun ketujuh dengan konsep kepelbagaian etnik dan budaya Malaysia.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, bertemakan “Beautiful Malaysia”, festival itu yang berlangsung bermula malam tadi hingga 31 Disember menekankan kepada aspek perpaduan bertujuan menerapkan penerimaan kepelbagaian budaya dan etnik sebagai identiti negara.
“Ini adalah satu perkara yang wajar kita rasa bangga dan usaha-usaha untuk memecah-belah dan melaga-lagakan antara kaum di negara ini sewajarnya ditolak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan LAMPU 2019 di Dataran Putrajaya, di sini malam tadi.
Khalid berkata, selain persembahan projektor video di fasad Bangunan Istana Kehakiman, LAMPU 2019 turut menampilkan beberapa tarikan baharu antaranya ‘Planetarium 360’.
Katanya, struktur berbentuk kubah berukuran 20 meter radius dan tinggi 10 meter itu dihiasi pertunjukan visual 360 darjah dengan kesan bunyi yang menarik.
Khalid berkata, tarikan lain di Dataran Putrajaya termasuk Laman Kampung Melayu, China Town Street, Little India Street, kumpulan muzik jalanan, wayang kulit, wayang pacak, pemakan api dan aktiviti kanak-kanak.
Buat julung kalinya, pengunjung juga berpeluang merakamkan ucapan secara swafoto yang akan dipaparkan pada fasad Bangunan Istana Kehakiman.
Pada malam ambang tahun baharu 2020 pula, suasana Dataran Putrajaya akan diserikan lagi dengan persembahan bunga api dan pertunjukan bunga api digital.
Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata LAMPU 2019 menyasarkan kehadiran sehingga 1.5 juta pengunjung sepanjang empat malam festival itu berlangsung.
“Saya harap orang ramai datang ke Putrajaya, kita saksikan keindahan bandar ini yang diterangi lampu-lampu dan raikan kepelbagaian budaya di negara ini,” katanya.
Bagi kemudahan pengunjung, PPj menyediakan khemah untuk berteduh dan perkhidmatan bas perantara dari Putrajaya Sentral ke tapak festival secara percuma.
SHAH ALAM, 29 DIS: Pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) yang baharu di Kota Kemuning perlu disegerakan bagi menangani kepadatan pelajar di SRA Jalan Kebun.
Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, penempatan yang padat di kawasan sekitar memberi impak kepada SRA Jalan Kebun apabila kebanyakan penduduk terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah itu
“Saya sudah berjumpa dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membincangkan perkara ini.
“Alhamdulillah, JAIS menyediakan dokumentasi untuk pembinaan sekolah baru di Kota Kemuning bersebelahan dengan padang bola Green Ville.
“Diharapkan projek ini dapat disegerakan untuk menampung jumlah pelajar yang terus meningkat,” katanya kepada SelangorKini.
Zawawi berkata, jumlah pelajar yang terlalu ramai menyebabkan keadaannya menjadi tidak lagi kondusif sebagai tempat pengajian serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada mereka.
Difahamkan, kemasukan pelajar ke SRA Jalan Kebun menjangkau 3,000 pelajar pada 2020.
KUALA LUMPUR, 29 DIS: Tahun 2019 menyaksikan arena sukan tanah air melakar pelbagai cerita suka duka tersendiri atlet negara.
Secara keseluruhannya, prestasi sukan Malaysia pada 2019 ada pasang surut, dan lebih pahit apabila kontinjen negara gagal mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.
Paling memalukan kekalahan mengejut 1-3 skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara kepada pasukan kerdil, Kemboja pada aksi pusingan awal dan ia detik hitam dalam sejarah bola sepak negara memandangkan negara berkenaan tidak mempunyai fasiliti bola sepak lebih baik berbanding Malaysia.
Kempen Sukan SEA 2019 menyaksikan hanya 18 daripada 26 jenis sukan yang disasarkan untuk memenangi emas, berjaya menyumbang kutipan 50 emas, sekali gus menggambarkan beberapa sukan teras gagal mencatat pencapaian sebagaimana yang diharapkan.
Prestasi atlet seperti pemanah Olimpik negara, Khairul Anuar Mohamad; atlet pelayaran Khairul Nizam Affendi; dan perenang elit, Welson Sim, gagal mempamerkan prestasi membanggakan di kala kontinjen negara mengharapkan mereka untuk menghadirkan kilauan emas pada temasya sukan berkenaan kali ini.
Namun, di sebalik kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan, beberapa atlet yang sebelum ini tidak disenaraikan antara berpotensi menyumbang pingat emas kepada kontinjen Malaysia, berjaya membuat ‘kejutan’ pada temasya di Filipina itu.
Bermula dengan gimnastik artistik dan berirama yang menampilkan aksi cemerlang apabila menyumbang sembilan pingat emas, diikuti olahraga (lima emas), serta masing-masing empat emas dalam acara terjun, karate dan boling padang, selain badminton yang meraih tiga emas.
Pujian wajar diberikan kepada sukan kurang dikenali yang menyelamatkan maruah kontinjen Malaysia apabila menyumbang sekurang-kurangnya satu emas iaitu papan selaju, catur, dancesport, snuker dan billiard, selain wushu yang menyumbang dua emas walaupun tidak diletakkan sasaran kutipan emas.
Dalam pada itu, beberapa atlet negara berjaya mencipta kejutan, selain terus mengekalkan prestasi cemerlang mereka di rantau Asia Tenggara, termasuk pelari pecut muda, Muhammad Haiqal Hanafi yang mengekalkan status Malaysia sebagai Raja Pecut Asia Tenggara selepas mengungguli acara 100 meter dengan catatan 10.35 saat, selain ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi yang mengaut tiga emas.
Atlet olahraga, Andre Anura Anuar turut mempamerkan aksi luar biasa selepas melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara lompat jauh, iaitu 8.02m, memadamkan rekod terdahulu 7.88m yang dilakukan Josbert Tinus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand 2007.
Jaguh sukan negara ‘pencen’.
Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David, dua nama yang telah lama berada di persada teratas dunia telah mengumumkan persaraan masing-masing secara rasmi dan ini sedikit sebanyak menambah kesuraman arena sukan Malaysia.
Tanggal 13 Jun 2019, jaguh perseorangan badminton negara itu mengumumkan untuk menggantung raket selepas 19 tahun mewarnai sukan badminton negara selepas mendapat nasihat daripada doktor akibat masalah kanser hidung yang dihidapinya.
Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.
Setelah Chong Wei bersara, dunia badminton tanah air mula tercari-cari bakal pengganti pemain kelahiran Pulau Mutiara itu kerana barisan pelapis ataupun penggantinya seperti Lee Jii Zia masih belum menampakkan prestasi mengagumkan.
Begitu juga dengan Nicol yang akhirnya memutuskan untuk meninggalkan pentas skuasy selepas 27 tahun bagi memberi ruang kepada barisan pemain muda membina nama di pentas antarabangsa.
Pemain berusia 36 tahun itu mula berkecimpung dalam sukan skuasy seawal lima tahun dan memulakan karier sebagai pemain pada 1992 apabila merangkul pingat perak pada Kejohanan Remaja Pulau Pinang, sehingga membolehkan beliau merangkul gelaran dunia pertama tujuh tahun kemudian pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.
Kejayaannya itu meletakkan dirinya sebagai juara remaja dunia wanita termuda dalam sejarah dan kemudian menjulang gelaran dunia pada 2005 sekali gus meletakkannya di ranking pertama dunia buat kali pertama pada Januari 2006 ketika berusia 23 tahun. Nicol merupakan rakyat Malaysia dan Asia pertama berada di kedudukan nombor satu dunia.
Selama 112 bulan berada di kedudukan pertama dunia, Nicol yang dikenali dengan panggilan Duracell Bunny disebabkan kelincahan pemain berfizikal kecil itu bagaimanapun menghadapi kesukaran apabila terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama tahun lepas apabila berdepan saingan daripada pemain lebih muda.
Arena permotoran negara juga tampak suram apabila pelumba negara seperti Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi terpaksa ‘turun pangkat’ manakala Adam Norrodin pula tidak lagi berada dalam saingan MotoGP.
Hafizh Syahrin yang sebelum ini merupakan pelumba kelas MotoGP pertama negara, terpaksa akur kembali ke saingan Moto2 musim depan selepas prestasi merosot bersama Red Bull KTM Tech3 manakala Super KIP pula yang dilanda kecederaan turun ke Moto3 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing.
Sepang International Circuit (SIC) pula mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih untuk pertama kali menganjurkan Races of Malaysia melibatkan perlumbaan dua dan empat roda serentak iaitu Kejohanan Endurance Dunia (EWC) dan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR).
Dunia sukan tanah air juga tidak lari daripada kontroversi sepanjang 2019, kali ini melibatkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang berdepan dengan kemelut kepimpinan.
Persaingan jawatan presiden badan induk sukan para negara itu menjadi perebutan dan agenda yang menimbulkan kontroversi membabitkan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan presiden Persatuan Kanu Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zahiruddin.
Pada 29 Jun lalu, barisan kepimpinan baharu MPM bagi penggal 2019-2023 masih kosong selepas AGM ditangguhkan berikutan tercetusnya pertikaian mengenai status Khairy sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF) serta beberapa masalah berhubung penghantaran borang pencalonan yang dikatakan selepas tamat tempoh akhir.
Bagaimanapun, pada 14 Dis lepas, kemelut MPM akhirnya ‘tamat’ apabila mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-22 berlangsung dengan lancar dan jawatan presiden sah milik Megat Shahriman yang menang tanpa bertanding.
Namun, episod lain pula melanda atlet para kebangsaan apabila tuan rumah Sukan Para ASEAN ke-10, Filipina, membuat keputusan menangguhkan temasya dwitahunan itu dari 18 hingga 25 Jan 2020, kepada 20-28 Mac yang sedikit merencatkan persiapan atlet untuk ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Tahun 2019 juga menyaksikan beberapa atlet negara tekad memburu slot ke pentas Sukan Olimpik 2020 menerusi pelbagai platform kejohanan yang menawarkan tiket automatik ke temasya sukan terbesar di dunia itu.
Selepas kejayaan barisan atlet terjun negara, gimnas Farah Ann Abdul Hadi turut mencipta kejutan apabila layak ke Sukan Olimpik Tokyo selepas tampil dengan aksi cemerlang pada pusingan kelayakan individu ‘All Around’ di Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Stuttgart, Jerman.
Dua pelayar wanita, Nuraisyah Jamil, 23, dan Juni Karimah Noor Jamali, 17, turut mengesahkan slot ke Olimpik Tokyo 2020 pada Kejohanan Perahu Layar International 470 Antarabangsa Asia di Shenzen, China, sekali gus menambah slot untuk acara pelayaran.
Perburuan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020 akan berterusan dengan beberapa lagi acara sukan seperti badminton dan berbasikal trek masih berlangsung sehingga Mei 2020.
Atlet yang sudah layak ke Tokyo 2020 ialah Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal wanita) dan Pandelela Rinong bagi acara 10m platform wanita dan 10m platform seirama wanita bersama Leong Mun Yee; Khairulnizam Mohd Affendy dan Nurshazrin Mohd atiff (pelayaran) serta Khairul Anuar Mohamad (memanah).
SHAH ALAM, 29 DIS: Kes jenayah penipuan Macau Scam di Shah Alam mencatatkan peningkatan sebanyak 57 peratus tahun ini berbanding tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ia membabitkan peningkatan sebanyak sembilan kes bagi tempoh sama.
“Manakala, bagi nilai kerugian penipuan mencatatkan penurunan daripada RM3.9 juta pada 2018 kepada RM2 juta dalam tempoh kajian sama pada 2019.
“Penurunan nilai kerugian adalah lebih kurang RM1.9 juta bersamaan penurunan 32.20 peratus.
“Ini menunjukkan walaupun Macau scam masih mempunyai mangsa tetapi terdapat rakyat yang sedar dan mengetahui berkenaan segala modus operandi serta taktik helah penipuan Macau Scam ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau memaklumkan terdapat tiga kes baharu dilaporkan berlaku pada November dan Disember ini iaitu di Kota Kemuning, Sri Muda dan Seksyen 9.
“Polis menerima laporan daripada seorang pesara di Kota Kemuning pada 23 Disember lalu yang kerugian sebanyak RM749,938. Pesara ini ditipu kononnya mempunyai satu kes mahkamah membabitkan kesalahan trafik iaitu langgar lari dan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.
“Manakala, dua lagi laporan kes penipuan ‘Macau Scam’ membabitkan pesara pada 19 November lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 504,676.60 dan satu lagi kes di Sri Muda dengan kerugian berjumlah RM150,000.
“Taktik digunakan ke atas pesara di Seksyen 9 adalah mangsa dihubungi oleh seorang lelaki daripada Pejabat Pos Malaysia dan kononnya mempunyai kes jenayah dan perlu membayar wang bagi mengelakkan ditahan.
“Bagi kes di Sri Muda pula, mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom dan pegawai polis yang mendakwa kononnya dia mempunyai tunggakan kad kredit dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke dalam akaun bank milik individu bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.
Sehubungan itu, Baharudin menasihatkan orang ramai lebih peka dan tidak mudah terpedaya jika dihubungi individu yang mendakwa dari mana-mana organisasi
tanpa membuat semakan dan menghubungi organisasi berkaitan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak ‘kepintaran’ ahli sindiket itu untuk mewujudkan taktik lain untuk menipu ekoran perkembangan teknologi yang menjadikan mereka semakin kreatif menjerat mangsa.
Berdasarkan laporan diterima, sindiket kerap menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah, Bank Negara Malaysia atau agensi lain bagi memberi kenyakinan kepada mangsa.
Manakala, bagi modus operandi suspek pula adalah penipuan bank, kad kredit, penculikan, tebusan, saman polis atau mahkamah, hadiah cabutan bertuah dan pakej pelancongan.
BUKIT MERTAJAM, 29 DIS: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meminta kerajaan meletakkan semula Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA), bagi mengelakkan masalah saliran dan perparitan terutamanya di kawasan tanaman padi berulang.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, sebahagian besar aktiviti yang berkait dengan JPS melibatkan kawasan pertanian dan sepatutnya jabatan itu diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, supaya masalah sistem saliran dan perparitan di kawasan pertanian dapat ditangani dengan lebih mudah.
Menurutnya, baru-baru ini terdapat beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terjejas, apabila kawasan sawah padi menjadi kering dan merekah, disebabkan bekalan air yang tidak mencukupi terutamanya pada musim kemarau, berikutan sistem pengairan yang tidak sempurna.
“Saya sudah pun meninjau di kawasan terlibat iaitu di PPK Jejawi dan PPK Paya di Perlis semalam, di mana kira-kira 400 hektar sawah padi terjejas. Kes yang hampir sama telah berlaku di Kelantan beberapa bulan lalu. Isunya di sini ialah sistem pengairan yang tidak mampu mengatasi masalah (bekalan air) apabila berlakunya kemarau yang panjang.
“Trend di kedua-dua negeri ini nampak sama, jadi saya mencadangkan supaya JPS yang kini terletak di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli diletakkan kembali di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya pada sidang media selepas program ‘Back To School’ LPP Pulau Pinang, di sini semalam.
Mazlan berkata, setiap kali timbulnya masalah saliran dan perparitan di kawasan pertanian pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang arahan kepada JPS, sebaliknya hanya mampu menjemput wakil JPS untuk memberikan taklimat sahaja.
Beliau berkata, sudah tiba masanya pembangunan tempat tadahan air dibina di kawasan empangan yang tidak mempunyai bekalan air, yang mencukupi terutamanya pada musim kemarau.
“Bila kita bina kawasan tadahan air, ia mampu membekalkan air ke kawasan pertanian padi jika berlakunya musim kemarau yang panjang. Selain itu, saya hendak sarankan supaya kenal pasti kawasan untuk membina ‘tube well’ atau ‘boring’ di kawasan empangan, yang fungsinya sama untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan sumber air ke kawasan tanaman padi.
“Selain itu, bagi menghadapi musim kemarau parit-parit sepatutnya diselenggara dengan baik termasuk pam-pam…sedikit sebanyak ia dapat mengawal kerosakan yang akan menjejaskan tanaman pertanian itu sendiri. Itu saranan saya,” katanya.
Terdahulu, Mazlan menyampaikan baucar bernilai RM100 seorang kepada 100 daripada 271 anak-anak ahli LPP Pulau Pinang yang disumbangkan oleh Agrobank selaku penaja.
“Baki 171 penerima boleh mengambil baucar tersebut di PPK masing-masing yang meliputi PPK Bukit Mertajam, PPK Sungai Cheenam, PPK Seri Pulau dan PPK Sungai Acheh,” kata Mazlan.
PUTRAJAYA, 28 DIS: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan pada 4.6 peratus setakat September dan ini dicapai tanpa membabitkan kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata, ini penting bagi memastikan kuasa beli rakyat tidak terjejas dalam usaha mengembangkan ekonomi negara.
Menurutnya, setakat Oktober lalu, kadar inflasi negara berada pada tahap yang rendah dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada 1.1 peratus berbanding Oktober 2018.
“Bagi 10 bulan pertama tahun ini, purata inflasi hanyalah pada kadar 0.6 peratus berbanding 10 bulan pertama pada 2018.
“Ini berbanding 1.0 peratus bagi 10 bulan pertama tahun lepas berbanding tempoh yang sama pada 2017,” kata beliau ketika merasmikan Festival LIFT (Literasi Teknologi Kewangan) Putrajaya 2019 di sini, hari ini.
Untuk rekod, IHP bagi tempoh Januari-Oktober 2017 mencatat kenaikan 4.0 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.
Dr Wan Azizah berkata, perkembangan itu turut menjadi satu manifestasi bahawa kerajaan berupaya mengurus dan mentadbir ekonomi dengan baik.
Beliau juga menyifatkan tahun ini sebagai amat mencabar bagi ekonomi dunia sehinggakan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia, sejak Januari lepas telah beberapa kali membuat unjuran semula pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah.
“Malaysia juga tidak dapat lari daripada tempias kelembapan ekonomi dunia ini, ditambah pula dengan peruntukan yang perlu dibuat bagi membayar faedah ke atas hutang-hutang negara seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan yang berkaitan dengannya,” katanya.
Menurut Dr Wan Azizah, kerajaan menerusi Belanjawan 2020 yang dibentangkan dua bulan lepas, telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini mencecah 4.7 peratus.
Katanya, kerajaan juga kekal komited untuk melaksanakan pembaharuan institusi selain membantu menjana pertumbuhan ekonomi secara berterusan dengan mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada tahap A3 atau A-.
SHAH ALAM, 28 DIS: Sebanyak 1,261 premis perniagaan diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor bagi memantau kenaikan harga melampau ketika musim perayaan Krismas setakat ini.
Timbalan Pengarahnya, Azizan Abdullah berkata, langkah itu diambil menerusi pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas bermula 22 hingga 31 Disember ini.
“Dalam pemeriksaan setakat semalam (26 Disember), KPDNHEP Selangor mendapati tiada tindakan kes yang diambil kerana peniaga mengikut harga kawalan ditetapkan.
“Dalam pemeriksaan itu, kita melihat pelbagai aspek antaranya tidak mengikut harga kawalan, tidak meletakkan tanda larga, tidak meletakkan ‘pink tag’ pada harga jualan dan alat timbang tamat tempoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada Majlis Anugerah Syor Pengguna 2019 (2019 Consumer Recommended Award) di Hotel Geno, semalam.
SHMMP Krismas 2019 membabitkan 19 jenis barangan dengan tempoh penguatkuasaan selama sepuluh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan,semasa perayaan dan enam hari selepas hari perayaan berbanding lima hari tempoh pelaksanaan sebelum ini.
Peniaga secara sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah atau berniat mengaut keuntungan berlebihan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.