Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tawar dos penggalak tanpa janji temu di Lembah Klang mulai esok

SHAH ALAM, 26 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan suntikan dos penggalak tanpa janji temu kepada individu yang tinggal di Lembah Klang mulai esok.

Kementerian menerusi kenyataan berkata mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh mendapatkan vaksin jenis AstraZeneca itu di empat pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi yang tersenarai.

PPV terbabit ialah di World Trade Centre, Kuala Lumpur; Axiata Arena, Bukit Jalil; Ideal Convention Centre, Shah Alam dan Dewan Soka Gakkal, Klang.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan – Dos Penggalak (PICK-Booster) bermula pada 13 Oktober tahun lalu sebagai langkah mengawal perebakan Covid-19.

Bermula 15 Januari lalu, empat PPV integrasi dibuka untuk mempertingkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON97 naik 5 sen, RON95 dan diesel kekal

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Harga runcit petrol RON97 naik 5 sen seliter manakala RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 27 Jan hingga 2 Feb ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 naik daripada RM3.07 kepada RM3.12 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sedia pelbagai program, inisiatif sempena sambutan Jubli Perak

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang kini mencapai usia 25 tahun akan mengadakan program sempena sambutan Jubli Perak sepanjang tahun ini.

Yang dipertuanya berkata antara program yang dirancang adalah Perasmian Kaunter Bersepadu dan Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak yang akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari pada 28 Januari ini.

“Antara inisiatif yang dirancang termasuk Baucar Khas Bayaran Cukai Taksiran RM10 untuk pembayaran setahun melalui sistem e-bayar MPKj bagi tahun 2022 untuk 5,000 akaun pembayar cukai taksiran terawal Januari 2022 dan 5,000 akaun terawal pada Februari.

“Tujuan MPKj melaksanakan insentif ini sebagai penghargaan kepada pembayar cukai, menggalakkan pembayar cukai membuat bayaran melalui e-bayar dan menggalakkan pembayar cukai mengemas kini maklumat pegangan dan maklumat pemilik,” kata Najmuddin Jemain.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Bil 1/2022, MPKj pada hari ini.

Najmuddin berkata pihaknya juga memberi tawaran kompaun RM10 bagi kesalahan meletak kenderaan sehingga 28 Februari.

“Kempen ini adalah terhad kepada pesalah-pesalah bagi kesalahan yang diperuntukkan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Perbandaran Kajang) 2007,” katanya.

Inisiatif lain yang ditawarkan adalah potongan 25 peratus bagi kos sewaan dewan komuniti, bayaran sewaan Disember melibatkan premis milik MPKj (50 peratus) dan bayaran sewa premis milik MPKj untuk enam bulan ke hadapan (25 peratus).

Categories
AGENDA SUKANKINI

Bekas juara remaja dunia ikut jejak Zii Jia kemuka rayuan kepada BAM

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei mengikuti jejak pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mengemukakan rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berikutan penggantungan selama dua tahun ke atasnya.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja Dunia 2018 menghantar surat rayuan berkenaan melalui e-mel semalam.

“Kami baru sahaja menerima surat rayuan daripadanya semalam. Oleh itu, kita akan melalui proses yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Jin Wei, mengumumkan persaraan dan keluar dari BAM pada September tahun lepas sebelum bergerak sebagai profesional, digantung daripada beraksi di mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 31 Okt 2021.

Pada Isnin, Zii Jia mengemukakan surat rayuan berhubung penggantungan selama dua tahun oleh BAM berikutan tindakannya meninggalkan badan induk sukan itu.

Semalam, kedua-dua pihak mengadakan pertemuan berhubung rayuan dikemukakan yang membawa kepada keputusan yang baik.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi restu kepada Zii Jia untuk menjadi pemain profesional.

“Saya gembira kami dapat selesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri untuk menjadi pemain profesional,” kata Zii Jia melalui hantaran di Facebook semalam.

Pada Jumaat, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos mengumumkan bahawa BAM tidak akan mendaftar Zii Jia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Jan.

Keputusan itu dibuat selepas pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan BAM untuk menjadi pemain profesional pada 11 Jan dan mengatakan tidak mampu berdepan tekanan dan ‘gaya hidup’ di BAM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat warga asing didenda, penjara seleweng gas bersubsidi

SHAH ALAM, 26 JAN: Seorang daripada empat warga asing didenda RM60,000 kerana menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi membabitkan nilai rampasan sejumlah RM65,310.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata sekiranya gagal membayar denda, pelaku dipenjara 10 bulan manakala tiga lagi individu dipenjara 10 bulan.

Menurut Muhammad Zikril Azan Abdullah suspek masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Shah Alam ketika dibicarakan pada 13 dan 24 Januari lalu.

“Kesalahan adalah mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 (tidak mempunyai lesen atau menjual barang kawalan),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata dalam serbuan di premis tidak berlesen di Bukit Kemuning pada November tahun lalu, pihaknya turut merampas 204 unit tong LPG seberat 14 kilogram (kg), 71 tong LPG (50 kg) dan beberapa barangan lain.

KPDNHEP turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat lebih bertanggungjawab menjalankan perniagaan dan tidak melakukan penyelewengan terutama membabitkan barangan bersubsidi.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung salah laku tidak beretika boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi berikut:

  • Portal e-aduan.kpdnhep
  • Call Centre 1-800-886-800
  • Emel [email protected]
  • Ez ADU KPDNHEP
  • Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor di talian 03-5514 4393/5518 1810/ 5512 5485
  • WhatsApp 019-279 4317
Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan badminton Asia berlangsung di Selangor mulai 15 Feb

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Badminton Asia hari ini mengesahkan Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 akan berlangsung di Pusat Konvention Setia City di Selangor dari 15 hingga 20 Feb.

Badminton Asia dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan edisi keempat BATC yang juga menjadi kejohanan kelayakan untuk Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok akan dianjurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kerajaan negeri Selangor.

“BAM akan menggunakan protokol kesihatan yang ketat mengikut standard Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia. Pemain dan pegawai dari seluruh Asia akan menyertainya dan bertanding untuk gelaran pasukan terbaik di Asia,” menurut kenyataan Badminton Asia.

Badminton Asia yakin dengan kejayaan penganjuran kejohanan itu, daripada pengalaman yang didapati daripada dua siri kejohanan pada 2021 dalam keadaan pandemik Covid-19, iaitu tiga kejohanan di Thailand pada awal tahun dan Festival Badminton Indonesia pada hujung tahun, kedua-duanya dilangsungkan dalam sistem gelembung.

Persatuan Badminton Thailand (BAT) menganjurkan Terbuka Thailand Yonex, Terbuka Thailand Toyota dan Jelajah Akhir BWF pada Januari, manakala Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) menjadi tuan rumah kepada Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Jelajah Akhir BWF, pada hujung tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPKS laksana parkir berbayar di lima lokasi baharu mulai Mac

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan melaksanakan sistem tempat letak kenderaan (TLK) berbayar di lima lokasi baharu mulai 1 Mac depan.

Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat berkata sistem TLK fasa dua itu membabitkan kawasan Pasir Penambang, Eco Grandeur, Ijok, Kuala Selangor dan Sungai Buloh Sasaran.

“Pelaksanaan sistem TLK bertujuan mengawal aktiviti salah guna tapak parkir dan memastikan perancangan bandar lebih tersusun serta teratur,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata kadar bayaran dikenakan adalah 50 sen sejam manakala waktu operasi bermula 8 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Menurutnya, bayaran boleh dibuat melalui sistem dalam talian Smart Selangor Parking atau Flexi Parking manakala pas bulanan diperoleh melalui ejen dilantik.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-3289 7385 sambungan 30.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kemelut Zii Jia, BAM selesai dalam masa terdekat – menteri

BANGI, 25 JAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan kemelut antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia, mampu diselesaikan dalam masa terdekat.

Ahmad Faizal yang mengadakan pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki nombor tujuh dunia itu dan bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei semalam, berkata semua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai aspek paling utama, dalam menyelesaikan kemelut tersebut.

“Saya juga bercakap dengan Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, memang kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara hari ini.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Zii Jia dan Jin Wei yang diadakan secara tertutup semalam, Ahmad Faizal berkata kedua-dua pemain itu menyatakan dua alasan berbeza untuk keluar daripada BAM.

“Saya dengar dan percaya BAM juga akan mendengar apa sahaja yang mereka bawa, jadi kita doakan yang baik-baik. Perkara lain yang kita bincangkan (semalam), amat tidak manis untuk saya kongsikan kepada orang ramai, kerana jika ada pun lebih sebagai nasihat saya, umpama nasihat seorang abang kepada adik.

“Jadi saya harap perkara itu dihormati. Apa jua masalah dapat diselesaikan dan ada solusi terbaik jika kepentingan peribadi, kumpulan, dapat dikorbankan demi kepentingan negara.

“Itu yang saya sampaikan kepada mereka berdua, dan saya nampak mereka faham perkara itu. Saya juga mendoakan agar perjumpaan Zii Jia dengan kepimpinan BAM hari ini, akan mencapai solusi terbaik,” jelasnya.

Jumaat lepas, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Jan ini.

Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Jan lepas, agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup yg tetapkan di BAM.

Jin Wei yang mengumumkan persaraan pada September lepas, sebelum mula bergerak sebagai pemain profesional, turut dikenakan tindakan oleh BAM untuk tidak akan didaftarkan untuk kejohanan selama dua tahun bermula 31 Okt 2021.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan pertimbang longgar SOP jika proses dos penggalak selesai

PUTRAJAYA, 25 JAN: Kerajaan mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi tatacara operasi piawai (SOP) sekiranya proses vaksinasi Covid-19 di negara ini termasuk dos penggalak selesai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, beliau berkata perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada keputusan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita lihat kalau dua dos vaksin Covid-19 dan booster (penggalak) selesai, saya percaya kita boleh berikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulang kepada KKM untuk berikan pandangan,” katanya.

Ismail Sabri berkata sekiranya SOP terlalu ketat, ia memberi kesan kepada industri pelancongan negara.

Beliau berkata walaupun pelancongan domestik telah dibuka, pelancong antarabangsa masih belum dibenarkan masuk ke negara dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan.

Menurutnya, sesetengah negara telah melonggarkan SOP untuk pelancong ke negara mereka dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.

“Sebab itulah kita ingat kalau rakyat kita telah diberikan booster, kita boleh relaks sikit dari segi SOP,” katanya.

Ismail Sabri berkata ketika ini, kerajaan masih lagi berhati-hati dalam membuka sempadan negara berikutan kebimbangan jangkitan Covid-19.

Walaupun Laluan Perjalanan Vaksinasi Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura telah dilaksanakan serta perbincangan VTL dengan Indonesia dan Thailand telah dimulakan, namun berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat di luar negara, menyebabkan Malaysia masih menggantung pergerakan ke luar negara, katanya.

Beliau berkata pembukaan industri pelancongan antarabangsa akan dapat memulihkan ekonomi seterusnya menjadikan keadaan negara bertambah baik.

Sementara itu, Ismail Sabri mengulangi bahawa kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi untuk menyekat pergerakan rakyat dan sektor perniagaan

“Ada khabar angin yang apabila raya nanti tidak boleh balik kampung dan perniagaan ditutup, saya telah umumkan raya boleh balik kampung dan sambutannya begitu tinggi,” katanya.

Pada Ahad semasa di Bera, Pahang, Ismail Sabri memberi jaminan bawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini.

Beliau berkata jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPHS serah alat bantuan mengajar untuk kegunaan kanak-kanak OKU

SHAH ALAM, 25 JAN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerahkan alat bantuan mengajar dan fisioterapi kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kuala Kubu Bharu semalam.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata lapan PDK lain di daerah itu turut menerima alatan sama menerusi Program Anugerah Khas orang kelainan upaya (OKU).

“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada kanak-kanak istimewa menjalani kehidupan seperti orang biasa selain memberi pengalaman dan ilmu baharu kepada mereka.

“Selain itu, ia turut memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap hak dan tanggungjawab ke atas komuniti yang memerlukan perhatian dan bantuan yang sewajarnya,” katanya menerusi Facebook.

Pada majlis serahan bantuan, Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd turut mendengar taklimat operasi PDK dan beramah mesra dengan anak-anak istimewa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan beri jaminan tiada lagi PKP, sekatan balik raya

BERA, 23 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi jaminan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini.

Katanya, sektor ekonomi dan sosial serta pergerakan merentas negeri dibenarkan kembali seperti biasa, dan jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit sahaja.

“Sudah ada orang yang buat spekulasi macam-macam, termasuk kononnya tak boleh balik raya kerana kes meningkat semula sejak beberapa hari lepas, namun jangan bimbang, kita tidak akan tutup lagi seluruh negara, atau negeri atau daerah kerana jaminan sudah diberikan.

“Pergerakan rakyat juga seperti biasa, tetapi kita akan memfokus kepada kawasan sasaran yang banyak berlaku penularan kerana kita ada PKPD. Jika kampung itu yang dikenakan PKPD, maka mereka dari kampung itu sahaja yang tidak boleh pulang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bera di Pejabat Kemas Bera.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata cadangan tatacara operasi piawai (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dibentang dalam mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan turut dihadiri wakil parti pembangkang.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengemukakan cadangan SOP itu secara terperinci, kerana keutamaan adalah untuk mengelakkan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 akibat PRN itu, selain turut mengambil kira jumlah kes baharu yang kembali mencecah 4,000 kes sejak beberapa hari lepas.

“Kita tidak boleh selesa dan perlu terus membendung (penularan Covid-19) walaupun kita mengatakan perlu hidup dengan Covid-19 pada masa depan. Kita mengharapkan supaya kes terus menurun sehingga bawah 1,000 supaya kita boleh mengumumkan Malaysia sebagai endemik, bukan lagi pandemik.

“Kita serahkan kepada KKM untuk menentukan SOP secara terperinci dan saya boleh memanggil mesyuarat sidang khas MKN untuk membincangkannya,” kata Ismail Sabri.

PRN Johor perlu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa semalam selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran selepas menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang periuk serba guna kepada lebih 1,500 mangsa banjir

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang 1,525 periuk serba guna kepada mangsa banjir sekitar kawasan kendaliannya hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata inisiatif itu sebagai langkah susulan meringankan beban mangsa yang kehilangan harta benda akibat bah besar pada Disember tahun lalu.

Jelas Shahrin Ahmad bantuan melibatkan 635 mangsa di Taman Seri Muda, Padang Jawa (400), Kampung Lanchong Jaya (240) dan Kampung Kebun Bunga Batu 3 (250).

“Datuk Bandar Dato’ Zamani Ahmad Mansor meluangkan masa menyerahkan sendiri bantuan ini kepada mangsa.

“Beliau sempat beramah mesra selain mengetahui perkembangan semasa semua mangsa. Kita harap bantuan ini dapat membantu mereka,” katanya ketika dihubungi.

Kawasan kendalian MBSA antara lokasi utama negeri ini mengalami kerosakan teruk selain daerah Hulu Langat dan Subang Jaya.