Categories
AGENDA NASIONAL

Agong jalani pemeriksaan kesihatan, rawatan susulan di IJN

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) untuk tempoh beberapa hari bermula semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.

Menurutnya intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.

“Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh itu ekoran pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) COVID-19 di hospital awam, termasuk IJN. Pada masa sama, Seri Paduka juga berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN,” menurut Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata kesihatan Seri Paduka secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan, seterusnya baginda dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.

-BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB sampai amanat tahun baharu secara langsung di media sosial esok

SHAH ALAM, 23 JAN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual menyampaikan amanat tahun baharu 2022 esok, jam 8.30 pagi.

Penyampaian amanat boleh diikuti secara langsung menerusi platform Facebook Amirudin Shari (https://www.facebook.com/amirudinbinshari), Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (https://www.facebook.com/pejabatsukselangor) dan Facebook Media Selangor (https://www.facebook.com/MediaSelangor).

Selain itu, amanat tahun baharu juga boleh diikuti menerusi saluran SelangorTV (selangortv.my)

Categories
AGENDA NASIONAL

Perhilitan: Jangan kongsi video haiwan liar elak ancaman pemburu haram

KUALA TERENGGANU, 23 JAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video penemuan haiwan liar menerusi media sosial bagi mengelak ancaman pemburu haram.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata video tersebut sebaliknya perlu dihantar kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Perkongsian video haiwan liar menerusi media sosial berserta butiran terperinci seperti lokasi dan masa ia ditemukan hanya memberi ‘peluang’ kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin niatnya agar orang lain boleh berhati-hati dengan kewujudan haiwan liar di sekitar lokasi tersebut namun ada kesan negatif daripada perkongsian itu dan perkara ini mesti dihentikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Malam tadi, satu video berdurasi 33 saat tular menerusi media sosial yang memaparkan kemunculan seekor harimau dijumpai seorang pemandu kereta di Santong, Paka dekat Dungun.

Lelaki tersebut mendakwa sempat merakam pergerakan harimau itu yang keluar dari kawasan semak dan kemudian melintas di laluan yang digunakan penduduk kampung.

Loo berkata pihaknya setakat ini belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung penemuan harimau tersebut.

“Individu yang terserempak dengan harimau sepatutnya tidak berada dekat kerana bimbang ia bertindak agresif. Jika mahu mengambil video, hanya dari jarak jauh dan laporkan kepada Perhilitan untuk memudahkan pemantauan dibuat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB serah limau, angpau kepada peniaga, pengunjung pasar pagi Selayang

GOMBAK, 23 JAN: Dato’ Menteri Besar hari ini menyantuni peniaga dan pengunjung di sekitar pasar pagi Selayang di sini sempena kedatangan Tahun Baharu Cina.

Dato’ Seri Amirudin Shari dan isterinya, Datin Seri Masdiana Muhammad tiba jam 8.30 pagi dan melawat premis sekitar Selayang Centre Point hingga ke Pasar Selayang Baru.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mengedarkan limau dan angpau kepada orang ramai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhammad menyerahkan angpau serta limau kepada orang ramai sempena Tahun Baharu Cina di sekitar Pasar Selayang Baru, Gombak pada 23 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri diteruskan secara dalam talian berikutan penularan Covid-19 yang belum reda.

Program itu disiarkan menerusi Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar http://@ami.mbselangor dan Facebook Dato’ Teng Chang Khim pada jam 9 malam, 1 Februari.

Acara itu bakal diserikan dengan persembahan seniman daripada tiga generasi antara 70-an hingga kini selama sejam.

Orang ramai tanpa mengira kaum juga berpeluang memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menyediakan ucapan kreatif Tahun Baharu Cina sepanjang program itu.

Acara lain seperti berikut:

  1. Persembahan lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan Artist Lee Elaine
  2. Persembahan Lion Dance oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor
  3. Persembahan Tarian oleh Dua Space Dance Theatre
  4. Nyanyian lagu Tahun Baru Cina versi Acapella oleh Colour of Voices
  5. Persembahan GuZheng oleh Sara Heng
  6. Persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion
  7. Persembahan GuZheng elektronik dan diabolo LED oleh Sara Heng dan Kumpulan DiAbolution
  8. Persembahan Artist Lim Wen Suen
  9. Persembahan Artist Gaston Pong & JE Pong
  10. Ucapan Tahun Baharu Cina daripada ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
Categories
AGENDA NASIONAL

10.5 juta individu terima dos penggalak, 14 kematian Covid-19 direkod

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Seramai 10,561,588 individu atau 45.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini menerima dos penggalak vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, daripada jumlah itu sebanyak 153,210 dos penggalak diberikan semalam.

Dalam pada itu, seramai 22,915,270 individu atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa negara melengkapkan vaksinasi manakala 23,192,788 individu atau 99.1 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,779,919 individu atau 88.3 peratus daripada kumpulan itu telah lengkap menerima vaksin Covid-19 manakala 2,863,961 individu atau 91 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Statistik harian menunjukkan sejumlah 154,906 dos vaksin diberikan semalam, yang turut melibatkan 1,019 dos pertama dan 677 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 62,109,995 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 14 kes kematian direkodkan semalam dengan Johor, Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu masing-masing mencatatkan dua kematian manakala Kuala Lumpur, Sabah, Pahang dan Melaka merekodkan satu kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Reman penganggur penggal kepala ibu dilanjut empat hari

SHAH ALAM, 22 JAN: Tempoh tahanan reman seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor dilanjutkan empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ramli Kasa berkata reman suspek berusia 28 tahun itu dilanjutkan hingga Selasa depan selepas perintah yang dikeluarkan pada 16 Jan tamat hari ini.

“Jika tiada halangan, suspek itu berkemungkinan didakwa Isnin ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan suspek setelah menerima maklumat mengenai seorang wanita berusia 56 tahun dicederakan anak lelakinya pada 5.45 petang 15 Jan lepas.

Polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu dan laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Judi dalam talian, dadah punca anggota ATM bertindak luar kawalan

KOTA SAMARAHAN, 22 JAN: Ketagihan berjudi dalam talian antara punca anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak di luar kawalan sehingga ada yang mengorbankan nyawa, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata kajian yang dijalankan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati kesihatan mental anggota terganggu apabila dibelenggu masalah kewangan akibat ketagihan bermain judi dalam talian, sehingga memberi kesan kepada produktiviti mereka.

“Yang banyak menghabiskan duit anggota ini satunya ialah berjudi dalam talian dan satu lagi ialah penyalahgunaan dadah. Dua ini punca utama yang membuatkan anggota selalu melakukan perkara pelik-pelik dan di luar dugaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Kadet Palapes Darat Universiti Awam ke-39 Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Zamrose berkata TDM mempunyai beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu, antaranya dengan mengadakan sesi kaunseling kepada setiap anggota yang dilaksanakan sepanjang tahun.

“Satu perkara yang boleh mengurangkan masalah itu ialah tahap keimanan setiap anggota. Tidak kisah agama apa pun..kalau pegangan mereka kuat, pasti mereka boleh kawal dan tidak melakukan tabiat buruk itu. Kita juga mempunyai khidmat pakar psikologi dan Kor Agama ATM (Kagat),” katanya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan dua kes tembakan melibatkan anggota ATM, iaitu empat anggota TUDM maut dalam insiden di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 di kem Kota Samarahan dan seorang anggota TDM menembak diri sendiri selepas melepaskan tembakan ke arah mentuanya di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di Kuching.

Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata 10 lagi pos kawalan akan dibina pada tahun hadapan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia (Sarawak-Kalimantan) bagi mengimbangi pos kawalan yang didirikan negara jiran itu.

Ketika ini terdapat 10 pos kawalan sedia ada di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan termasuk empat sedang dalam pembinaan iaitu di Padang Upan (Bau), Sungai Pauh (Serian), Batu Kaya (Lubok Antu) dan Tapak Megah (Kapit).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kurniaan pingat Sultan Selangor tingkat motivasi buat kebajikan

KLANG, 22 JAN: Pengurniaan darjah kebesaran oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menguatkan lagi azam Pengerusi Pertubuhan Amal Team membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan.

Mohd Zulhairi Zainol berkata beliau dan pasukannya aktif membantu masyarakat kurang bernasib baik sejak enam tahun lalu dengan menguruskan jenazah secara percuma, memberi makanan dan menghantar pesakit ke hospital.

Pengerusi Pertubuhan Amal Team Mohd Zulhairi Zainol. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, Pertubuhan Amal Team juga bersama Jabatan Agama Islam Selangor menguruskan pengebumian pesakit Covid-19 bagi mengurangkan kesesakan di bilik mayat ketika kes wabak memuncak.

“Pengiktirafan ini sebagai ganjaran dan menjadi pendorong serta motivasi untuk lebih giat membantu individu memerlukan.

“Kami menjunjung kasih kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menghargai peranan pertubuhan bukan kerajaan membantu masyarakat dengan memberi pengiktirafan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) daripada Sultan Sharafuddin.

Pingat itu disampaikan pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-76 DYMM Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini hari ini.

Pada istiadat itu, seramai 87 individu menerima darjah dan bintang masing-masing.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Guru, petugas Kemas dibenar berpolitik

KOTA BHARU, 22 JAN: Kerajaan hari ini mengumumkan kebenaran kepada semua guru sekolah di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu turut melibatkan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk berpolitik.

Justeru kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu mengeluarkan pekeliling mengenai kebenaran tersebut dengan segera sekiranya masih belum ada.

“Saya telah pun membawa perkara ini ke Kabinet dan memutuskan dalam menghormati prinsip demokrasi iaitu kebenaran rakyat untuk berpolitik maka kami telah membuat keputusan membenarkan guru-guru berpolitik.

“Kakitangan Kemas, dahulu dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun ketika era Pakatan Harapan (PH) mereka tidak dibenarkan berbuat demikian justeru saya ingin umumkan bahawa petugas Kemas juga bebas dan dibenarkan berpolitik.

“Jika pekeliling belum dikeluarkan, saya harap Kementerian Pendidikan segera mengeluarkan pekeliling tersebut agar tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik Umno Negeri di Bangunan UMNO Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Terdahulu, beliau memaklumkan sebelum ini ada pekeliling menyekat guru-guru daripada berpolitik sehingga ramai dalam kalangan pendidik berkenaan diberi amaran untuk diambil tindakan.

Bagaimanpun jelas Ismail Sabri, guru-guru dan petugas Kemas berkenaan masih tertakluk terhadap peraturan jabatan masing-masing.

“Seperti guru misalnya jika berpolitik hingga meninggalkan tugas mereka boleh diambil tindakan disiplin dan sebagainya, itu terserah pada jabatan (membuat penilaian),” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bersalin dekat kuil Batu Caves terharu dibantu peserta Thaipusam

SHAH ALAM, 22 JAN: Seorang ibu yang melahirkan bayi di dalam kereta berhampiran Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves ketika Thaipusam berterima kasih kepada peserta perayaan tersebut.

Lidawati Zakaria, 39, berkata beliau akan mengenang budi baik Marie Puspan dan anaknya, Naroshini Annaselam yang menyambut kelahiran bayi perempuannya dalam kejadian Selasa lalu, lapor FMT.

“Saya terharu… ramai yang tolong. Saya terkejut sebab mereka sanggup tanggalkan kain walaupun ia untuk perayaan mereka? Lagi pun ada darah kan? Tapi mereka masih (tolong) tutup aurat saya,” katanya.

Wanita dari Meru, Klang itu berkata sampai sekarang beliau masih menyimpan kain (vesthi) tersebut.

Menceritakan kembali detik kelahiran anak kelimanya, Lidawati berkata beliau dan suami dalam perjalanan ke hospital di Gombak selepas ‘turun tanda’ namun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas berhampiran kuil tersebut.

Katanya, ketika itu Marie, Naroshini dan beberapa peserta Thaipusam lain datang membantu bagi memastikan beliau melahirkan anaknya tanpa apa-apa komplikasi.

“Ketika itu, ada mak cik (Marie) dan kakak (Naroshini) ketuk pintu dan bertanya adakah saya ‘okay’. Saya cakap saya melahirkan bayi. Mereka suruh saya buka pintu kereta. Saya kata tak apa sebab tak mahu ganggu perayaan mereka.

“Tapi mereka suruh saya buka pintu dan mereka tolong sambut bayi saya. Saya terharu sebab mereka buka kain sari dan tolong tutup keadaan saya. Kain sari mereka habis kotor kena darah saya,” katanya.

Selasa lalu, seorang wartawan akhbar Tamil menarik perhatian pengguna media sosial kerana sifat prihatin beliau membantu wanita bersalin di dalam kereta berhampiran kuil Batu Caves.

LK Savantharaja memberitahu ketika kejadian beliau ke kuil itu untuk menghadiri upacara Thaipusam sebelum ternampak wanita sedang menahan sakit menjerit meminta tolong.

“Saya dan beberapa pengunjung lain terus tutup tingkap kereta dengan kain (vesthi). Masa bayi selamat dilahirkan, saya bagitau ‘Kakak you and your baby are blessed, rasa gembira dia selamat lahirkan bayi perempuan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

44.4 peratus individu terima dos penggalak, 16 kematian Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Seramai 160,310 individu dewasa di Malaysia menerima dos penggalak vaksin Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif dos penggalak diberikan kepada populasi berkenaan sebanyak 10,399,699 atau 44.4 peratus.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, seramai 22,914,736 individu atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa lengkap menerima vaksinasi manakala 23,192,052 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,779,564 individu atau 88.3 peratus melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,863,594 individu atau 91 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Statistik harian menunjukkan sejumlah 163,942 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 1,368 dos pertama dan 2,264 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,946,138 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 16 kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan Selangor merekodkan empat kes, diikuti Sabah dengan tiga kes, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala di Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur serta Perak masing-masing satu kes.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS santuni penghuni 31 rumah terjejas banjir di Puchong

SHAH ALAM, 22 JAN: Sebanyak 31 rumah yang terkesan banjir di Kampung Tengah, Puchong menerima bantuan baik pulih daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi berkata sebahagian isi rumah terjejas didaftar sebagai asnaf dan dibantu untuk baik pulih rumah manakala sebahagian lagi menerima Bantuan Banjir Zakat Selangor (LZSPeduli).

“LZS turut membuat serahan barangan keperluan asas kepada beberapa wakil penerima asnaf seperti toto, barang keperluan solat dan makanan.

“Selain itu, LZS juga menyerahkan dana baik pulih kepada Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah berjumlah RM35,000 akibat daripada bencana banjir baru-baru ini,” katanya menerusi Facebook.

Agensi berharap dengan dana tersebut ahli kariah dan orang ramai dapat menggunakan kembali fasiliti masjid berkenaan dan beribadah dengan sempurna.

LZS menambah serahan bantuan dan ziarah itu dirasmikan Ketua Divisyen Operasi Agihan Sabirin Sarbini yang disertai pegawai operasi Daerah Petaling, penghulu, nazir dan ketua kampung.