Categories
GALERI

Bukit Broga tumpuan aktiviti rekreasi

brogas LENSA W

RIADAH KELUARGA…Bukit Broga setinggi 400 meter di Semenyih, Kajang antara tumpuan aktiviti rekreasi masyarakat pelbagai lapisan usia. Ratusan orang mendakinya terutama pada hujung minggu. Gambar oleh Fazallah Pit.

Categories
SELANGOR

‘Penahanan suspek tembak isteri tak mampu hilangkan kesedihan saya’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 10 NOV : Suami Allahyarham Norazita Abu Talib yang ditembak mati dalam kejadian rompakan di Ambank USJ Sentral 2, Subang Jaya, 23 Oktober lalu hari ini melahirkan rasa lega selepas suspek utama kes itu ditangkap polis di Johor Bharu awal pagi tadi.

kes-tembak-3Bagaimanapun, Irwan Kamaruddin, 37, berkata penangkapan suspek yang merupakan Pengawal Keselamatan itu tetap tidak dapat menghilangkan kesedihan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung beliau dan dua anaknya yang memerlukan belaian seorang ibu.

“Saya puas hati dengan tertangkapnya suspek dan berharap dia akan mendapat hukuman yang seberat-beratnya tetapi macam mana sekalipun masih tidak dapat hilangkan kesedihan kami sekeluarga.

“Saya percaya pihak pendakwa akan bersedia dengan bukti dan saksi bagi memastikan suspek tidak terlepas dari hukuman yang setimpal.

“Bagaimanapun kita sebagai seorang Islam, saya terima yang pergi tetap pergi tidak dapat dikembalikan lagi walaupun pembunuh itu menerima hukumannya nanti,” kata Irwan ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

Mengulas lanjut, Irwan melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak polis dan orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan tersebut.

Irwan juga berharap agar kejadian yang menimpa isteri beliau dijadikan pengajaran kepada semua pihak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar syarikat pengawal keselamatan menyaring ketat pengambilan kakitangan baru dan pihak berkuasa juga kena ketatkan syarat, kalau tidak ia boleh berulang kepada orang lain.

“Saya tidak sanggup melihat perkara seperti ini berlaku kepada keluarga lain pula,” kata beliau lagi.

Dalam kejadian rompakan di Ambank Subang Jaya, 23 Oktober lalu, suspek seorang Pengawal Keselamatan menembak mati Norazita dengan menggunakan senjata api jenis ‘pump gun’ sebelum melarikan wang sebanyak RM450,000 dari peti besi bank berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa bersama tiga pekerja bank wanita diiringi pengawal keselamatan terbabit untuk mengeluarkan wang daripada bilik kebal.

Norazita meninggalkan suami dan dua orang anak masih bersekolah, Nurisa Nabilah Irwan,12 dan Muhammad Hazimi Irwan, 8.

-EZY

Categories
GALERI

Selangor lancar program Gempur Aedes

lensa MB 1

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melancarkan Program Gempur Aedes 2013 peringkat Petaling Jaya bagi memastikan wabak denggi terkawal apabila setiap penduduk meluangkan masa 10 minit sehari memeriksa kediaman masing-masing. Gambar ihsan Sekretariat Akhbar MB. LIHAT BERITA

Categories
GALERI

Unit basikal MBSA bantu cegah jenayah

MBSA lensa 1

Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) hari ini menubuhkan unit rondaan berbasikal bagi mempertingkat tahap keselamatan dan pencegahan jenayah di sekitar bandar raya Shah Alam. Pelancaran disempurnakan Datuk Bandar, Mohd Jaafar Mod Atan. Gambar oleh Remy Arifin. LIHAT BERITA.

Categories
SELANGOR

MBSA tandatangani MOU program kitar semula minyak masak

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 9 NOV –  Satu perjanjian persefahaman (MOU) ditandatangani di antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd untuk menjalankan Program Rintis Kitar Semula Minyak Masak di kawasan pentadbiran MBSA.

Program ini diselaraskan MBSA melalui peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

Majlis tandatangan MOU ini disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohtar Hani bersama Pengarah Eksekutif Syarikat Kris Biofuels Sdn Bhd, Tan U-Jiun.MBSA basikal 03

Majlis itu turut disaksikan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan dan Ketua Penolong Setiausaha Sektor Teknologi Hijau Kettha, Mathumathi Ambigabadi.

Datuk Mohd Jaafar dalam sidang media ringkas menyatakan, program ini memberikan kesedaran kepada penduduk Shah Alam tentang bahaya penggunaan semula minyak masak yang tidak diproses secara sistematik.

Katanya kesan penggunaan minyak masak tidak diproses secara sistematik boleh memberikan kesan kesihatan.

Ujar beliau lagi, program kutipan minyak masak terpakai ini yang melibatkan penduduk Shah Alam akan turut disertai para peniaga yang mempunyai perniagaan di premis di bawah MBSA.

Kira-kira 1,000 orang hadir ke Program Zon Bersih Bulan November peringkat MBSA yang terdiri daripada komuniti Seksyen 2, 3 dan 4,

Program Zon Bersih diperkenalkan Kerajaan Selangor yang mana setiap pihak berkuasa tempatan dikehendaki mengenalpasti sesebuah kawasan yang akan dipertingkatkan tahap kebersihan dan keceriaan.

EZY

Categories
SELANGOR

Semua pihak dipanggil bagi selesai 14 projek rumah terbengkalai

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 10 NOV : Semua pihak terbabit akan dipanggil berbincang bagi mengatasi masalah 14 projek perumahan terbengkalai yang dikenal pasti belum mempunyai kontraktor atau pemaju penyelamat di daerah Kuala Kubu Bharu.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata projek itu melibatkan 4,707 pembinaan terbengkalai di Mukim Hulu Yam, Kerling, Serendah,  Rasa, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Hulu Bernam dan Kalumpang.

Katanya, pemulihan projek hanyrumah terbengkalaia dapat diteruskan jika mendapat persetujuan daripada pemilik tanah atau pembeli.

“Jika persetujuan tidak dapat dicapai sepenuhnya maka pemaju tidak dapat teruskan usaha pemulihan, jadi saya akan cuba mengadakan perbincangan itu,” katanya kepada Selangor Kini bagi mengesahkan laporan dari sebuah portal.

Lee berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) akan berbincang untuk mendapatkan kerjasama semua pihak dalam isu itu.

“JPPT akan berbincang dengan pemaju penyelamat bersama jabatan teknikal bagi tujuan mempercepatkan kaedah pemulihan projek dengan mengenakan syarat minima.

“Sekiranya terdapat kenaikan kos, JPPT akan menilai semula kos pemulihan bagi mendapatkan butiran terperinci kos tambahan yang perlu ditanggung secara bersama dengan pembeli,” katanya.

Dalam kes terbabit, Kerajaan Negeri boleh mengambil tindakan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tindakan perampasan tanah sekiranya wujud pelanggaran peruntukkan di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

EZY

Categories
SELANGOR

Unit basikal MBSA ditubuh pertingkat keselamatan bandar

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 NOV : Unit Rondaan Berbasikal (Unit Renjer) ditubuh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi mempertingkatkan aktiviti pencegahan masalah jenayah dan memperkasakan aspek keselamatan di sekitar bandar raya Shah Alam.

Unit Rondaan Berbasikal itu akan melakukan rondaan secara berbasikal di taman-taman awam sekitar bandar raya Shah Alam untuk membantu mencegah kes jenayah khususnya kes samun dan ragut di samping menguatkuasa peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh MBSA.MBSA basikal 02

Untuk permulaan, 12 unit basikal akan disediakan untuk menggerakkan unit ini dan jumlah basikal akan ditambah untuk memperkasakan unit supaya kawasan rondaan dapat diperluaskan ke kawasan lain.

Unit ini terdiri daripada anggota penguatkuasa MBSA dan akan dibekalkan keperluan tambahan seperti helmet basikal, sarung tangan, lampu keselamatan di hadapan dan dibelakang basikal dan lain-lain.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan sambil diringi Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani yang diadakan di Dewan MBSA Seksyen 4 Shah Alam.

Selain itu, MBSA juga akan memulakan aktiviti rondaan bermotosikal bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

MBSA basikal 01Usaha ini akan dilakukan secara berterusan MBSA untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Rondaan secara bersama ini juga selaras dengan penubuhan Unit Polis Bantuan MBSA yang ditubuhkan untuk mengawal lalu lintas dan kawalan trafik, menjaga aset-aset MBSA serta membuat rondaan bersama PDRM,” jelas Datuk Mohd Jaafar.

Sebelum itu, Datuk Mohd Atan merasmikan Program Zon Bersih di Peringkat MBSA bagi bulan November 2013.

Ini merupakan program Zon Bersih terakhir untuk tahun ini sebelum hari pengauditan MBSA yang akan berlangsung pada 15 Disember.

-EZY

Categories
SELANGOR

Gempur Aedes bagi kekal prestasi kadar wabak rendah

Oleh : Mohd Ezli Mashut

KUALA SELANGOR, 10 NOV : Penduduk di Daerah Kuala Selangor diminta untuk memastikan rekod kadar kes wabak denggi yang rendah agar kesihatan masyarakat terus terpelihara daripada wabak yang boleh menyebabkan maut itu.

Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata kadar statistik denggi Negeri Selangor yang mempunyai kes jangkitan denggi yang paling tinggi di negara ini memerlukan perhatian semua pihak untuk melaksanakan program bersepadu pembasmian dan pencegahan.

Gempur Aedes 01“Namun Daerah Kuala Selangor tidak mencatatkan kes wabak dengi yang tinggi dan tidak melibatkan sebarang kes kematian. Justeru dengan ini penduduk penduduk dan MDKS amnya seharusnya mengekalkan prestasi ini,” kata Dr Daroyah.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Gotong Royong Perdana Gempur Aedes di semua PBT di DUN Bukit Melawati yang mana program itu turut diadakan serentak di 12 PBT seluruh Selangor.

Majlis itu juga turut disertai oleh Pegawai Penyelaras DUN Bukit Malawati , S. Manikavasagam dan Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Tuan Haji Azahari Sairin.

Gempur Aedes 02Dalam program itu, Dr Daroyah  juga turut serta dalam gotong royong berkenaan serta memantau keadaan longkang-longkang seliaan MDKS serta lawatan kawasan kebun komunitit sejurus selepas itu.

Program gotong- royong itu juga melibatkan kakitangan MDKS bagi mewujudkan kesedaran penjagaan kebersihan bersama.

-EZY

Categories
SELANGOR

Sambutan Maal Hijrah DUN Selat Klang meriah

NORHAYATI UMOR

KLANG 10 NOV : Kira-kira 200 peserta mewakili 20 kontinjen dari pelbagai peringkat termasuk sekolah tadika, rendah dan menengah berarak bagi memeriahkan sambutan Maal Hijrah 1435 Hijrah peringkat DUN Selat Klang, hari ini.

Perarakan itu bermula dari tapak pasar malam Kampung Delek dan berakhir di Masjid Nurul Iman,di sini.

Majlis penutup program itu  dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Dr Halimah Ali dengan suasana harmoni dan meriah.

Sambutan Maal Hijrah DUN Selat Klang 02

Sambutan yang bertemakan ‘Mari Mencari Rahsia’, Islam Rahmat untuk semua’ itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan.

Halimah dalam ucapannya meminta pimpinan seluruh negeri dan seluruh rakyat negeri untuk mengehsankan diri sendiri agar tercapai taraf Selangor sebagai Darul Ehsan yang cemerlang.

Katanya, insan yang ehsan adalah insan yang ‘A-centric’ iaitu bersifat cemerlang dunia dan akhirat.

“Saya mahu kita bersama-sama membuat gelombang dalam diri sendiri iaitu mengehsankan diri ke arah yang lebih baik bermula dengan sambutan pada kali ini,” katanya.

Sambutan Maal Hijrah di peringkat Dun itu diadakan selama dua hari bermula 9 November dan berakhir jam 1 petang, 10 November.

Antara program yang diadakan ialah persembahan Qasidah, Forum Perdana, perarakan dan ceramah motovasi.

Empat orang dipilih menerima anugerah tokoh Maal Hijrah bagi Dun terbabit.

Sambutan Maal Hijrah DUN Selat Klang 01

Antaranya Mohd Hambali Arbaie dipilih sebagai Tokoh Belia ; Samad Awang sebagai Tokoh Pendakwah ; Shamsuddin Osman sebagai Tokoh Kepimpinan Masyarakat dan Yusuf Daud dipilih sebagai Tokoh Mithali.

Halimah turut berkesempatan menyerahkan bantuan Skim Mesra Usia Emas kepada lima penerima.

Selain itu, Halimah turut menyerahkan borang tawaran rumah bagi projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) kepada kira-kira enam penerima.

EZY

Categories
SELANGOR

MBPJ lancar COMBI didik masyarakat perangi Aedes

NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 10 NOV: Serentak dengan Program Gempur Aedes 2013 yang diadakan di seluruh Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini melancarkan program Strategi Mobilisasi Sosial dan Komunikasi (COMBI) bagi memupuk kesedaran kepentingan persekitaran bebas nyamuk aedes di kalangan masyarakat Petaling Jaya.

Program yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu, MBPJ akan menggerakkan pelbagai sektor komuniti bagi menangani isu kesihatan dalam komuniti, mewujudkan rasa tanggungjawab bersama dan mempengaruhi  orang ramai untuk mengukuhkan tinggah laku sihat dalam komuniti.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata menjaga kebersihan bukanlah terletak di bawah tanggungjawab MBPJ sahaja tetapi masyarakat turut memikul peranan sama.

“Orang ramai juga harus menjaga premis kediaman atau kedai masing-masing, memastikan tiada tempat air bertakung untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.

“Kerjasama orang ramai sebenarnya bukan sahaja membantu diri sendiri, keluarga dan jiran-jiran mereka menyelamatkan nyawa sahaja tetapi juga membantu PBT menjimatkan kos,” katanya dalam program Gotong-Royong Selangorku; Program Gempur Aedes 2013 di sini.

Program Gotong-royong Selangorku diadakan serentak di seluruh Selangor hari ini dan merupakan sebahagian  agenda Program Gempur Aedes Selangor yang diadakan  sebulan bermula 1 November lalu.

EZY

Categories
SELANGOR

SMS fitnah hina Islam, Ahli Parlimen Kapar buat laporan polis

NORHAYATI UMOR

KLANG 10 NOV : Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan sudah membuat laporan polis berkenaan Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang memfitnah beliau ada mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Islam.

Adun kapar G ManivananBeliau berkata, pihaknya membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan polis kini sudah mengesan nombor telefon terbabit didaftarkan atas nama seorang perempuan warga Indonesia.

“Saya syaki SMS ini dihantar oleh orang terdekat dengan saya yang tidak berpuas hati.

“Sebelum ini, saya banyak menerima ugutan untuk mencederakan saya, tetapi saya tidak hiraukan bagaimanapun, isu membabitkan agama adalah isu yang serius,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Majlis Sambutan Maal Hijrah DUN Selat Klang, di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang tidak berpuas hati dan bertindak menjatuhkan reputasinya supaya tampil berjumpa dengannya agar dapat menyelesaikan masalah.

Manivanan berkata, beliau turut menafikan dakwaan bahawa ada mengeluarkan kenyataan menghina Islam dalam ucapannya di sebuah tokong baru-baru ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Kata Manivanan, beliau langsung tidak berucap dalam majlis terbabit.

Katanya, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah melalui sistem pesanan ringkas (SMS) itu menyebabkan orang ramai salah faham.

“SMS itu dihantar baru-baru ini di sekitar Parlimen Kapar terutamanya di DUN Sementa.

“Ia menyasarkan kepada Ketua Kampung dan Imam Masjid, jadi mereka meminta saya memberi penjelasan,” katanya.

Manivanan menjelaskan beliau tidak pernah menghina mana-mana agama sebaliknya menjalinkan silaturahim tanpa mengira agama.

“Saya menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi dan saya kagumi agama Islam.

“Malah, daripada zaman sekolah saya sering ke masjid untuk belajar bersama-sama rakan dari agama Islam,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

GLC mengiklan di Utusan satu pembaziran – Fahmi Fadzil

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, yang mengarahkan 35 syarikat berkait kerajaan (GLC) utama negara menambah iklan di akhbar-akhbar milik UMNO termasuklah Utusan Malaysia dan Berita Harian membuktikan GLC-GLC utama negara tidak mahu membazir.

Hal ini jelas apabila dilihat penurunan jumlah edaran akhbar-akhbar tersebut yang menjunam dari 203,704 (2005) ke 130,463 (2012) iaitu penurunan 36% bagi Berita Harian dan dari 213,445 (2005) ke 178,211 (2012) iaitu penurunan 16.5% bagi Utusan Malaysia (1).

Ditambah pula laporan Consumer & Media View oleh Nielsen yang menyatakan Utusan Malaysia khususnya menyaksikan jumlah pembaca berkurangan 8.6% menjelang PRU13 (2), dan persepsi yang timbul akibat kekalahan demi kekalahan saman ke atas Utusan Malaysia di mahkamah berkait fitnah yang disebar akhbar tersebut.

Maka mengiklan di akhbar yang jumlah edaran dan pembacanya menurun bukanlah sesuatu yang strategik, terutama bagi GLC-GLC utama negara.

Realiti hari ini yang sukar difahami Datuk Ahmad Maslan dan UMNO ialah para pembaca letih dan muak disuap propaganda dan fitnah UMNO. Mereka ingin membaca berita dari semua sudut, mencakupi suara semua pihak.

Peningkatan mendadak 60% trafik ke laman web politik menjelang PRU13 membuktikan rakyat Malaysia mendahagakan maklumat dan berita yang lebih seimbang, yang jelas sama sekali tidak boleh diperolehi dari akhbar-akhbar milik UMNO.

Maka tindakan GLC utama negara tidak mengiklan di Utusan Malaysia dan Berita Harian boleh dilihat sebagai satu langkah mengelak pembaziran.

KEADILAN menyokong segala bentuk usaha untuk membanteras pembaziran, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan wang ringgit rakyat.

Datuk Ahmad Maslan bahkan Dato Seri Najib Razak sendiri perlu mengambil iktibar: GLC enggan mengiklan kerana isi kandungan akhbar milik UMNO tidak disenangi pembaca.

Oleh itu, laksanakan reformasi tulen dan menyeluruh di akhbar-akhbar ini sebelum meminta GLC mengiklan.

Nota:
(1) Angka-angka dari Audit Bureau of Circulations Malaysia
(2) Seperti yang dilapor The Edge pada 8 Oktober 2013

FAHMI FADZIL
Pengarah Komunikasi PKR