Categories
NASIONAL

Mentaliti Perang Dingin BN Berada Di Mana-Mana

KOMENTAR: Semalam, tumpuan ramai diberikan terhadap pembentangan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagaimanapun, hanya segelintir yang sedar bahawa pindaaan serentak kepada Kanun Keseksaan, Akta Keterangan dan Kanun Tatacara Jenayah akan hanya memacu kuasa mutlak kepada sesebuah kerajaan seterusnya mengaktifkan bom jangka kepada rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan.

Lebih merimaskan, pindaan kepada Kanun Keseksaan menunjukkan sesebuah kerajaan yang mengamalkan mentaliti perang dingin yang memberikan pihak mereka kuasa mempertahankan diri seperti huraian berikut;

1) Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang baru menyatakan kesalahan yang ditafsirkan sebagai “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” akan dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

Secara tidak konkrit, Seksyen 130A pula ditafsirkan sebagai “sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh seorang individu atau sekumpulan individu membuang atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan menggunakan cara ganas atau tidak berperlembagaan”, yang mana ini akan memberi pintu belakang kepada sebarang kesalahan yang disabitkan, yang boleh melanggar hak-hak kemanusiaan jika digunakan oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Lebih-lebih lagi, di bawah Seksyen 124C, cubaan untuk melakukan sesuatu “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” boleh dihukum penjara selama 15 tahun. Kebimbangan timbul terhadap penyalahgunaan proses apabila semata-mata cubaan melakukan jenayah sahaja dikenakan hukuman berat.

2) Kebebasan media dan kebebasan maklumat juga terancam dengan pengenalan Seksyen 124D, 124E dan 124F, di mana menjadi satu jenayah untuk mencetak, menjual, memiliki, atau import “dokumen dan penerbitan yang memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Sekali lagi, dengan definisi yang mengelirukan dan hukuman yang berat (sehingga 15 tahun untuk mencetak), seksyen tersebut turut memberi peluang untuk disalahgunakan dalam usaha kawalan ketat kerajaan ke atas penulisan yang dianggap tidak sebulu dengan parti pemerintah.

3) Kita juga terganggu apabila menyedari definasi “maklumat sensitif” di bawah Seksyen 130A (i) yang baru adalah terlalu meluas untuk merangkumi sebarang dokumen, maklumat atau bahan, “samada ia diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia Besar’, ‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terlarang’.

Ini perlu difahami bersama Bahagian IV Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang memperkenalkan prosedur khas berkaitan maklumat sensitif. Ia menyediakan pendengaran kamera dalam perbicaraan yang melibatkan maklumat sensitif.

Di bawah Seksyen 8 (8) Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, segala keputusan yang dibuat di bawah prosedur ini adalah tidak boleh dibuat rayuan. Ini memberi peluang kepada kerajaan untuk menyimpan maklumat sensitif daripada orang awam dan sama sekali tidak boleh diakses oleh media.

Saya juga perasan terdapat bahagian atau elemen daripada ISA yang diseludup masuk ke Kanun Keseksaan dengan pindaan baru contohnnya:

1) Perkataan “mengesyorkan keingkaran kepada undang-undang atau sebarang perintah sah” juga sangat sama dengan definisi ‘dokumen subvesif’ yang terkandung dalam Seksyen 29 (3)(b) dalam ISA.

2) Penggunaan terma “pengesyoran keingkaran kepada undang-undang atau mana-mana perintah yang sah di sisi undang-undang di dalamnya” juga mengingatkan kepada definisi ‘pengganas’ dalam Seksyen 2 ISA.

Keyakinan orang ramai terhadap kerajaan semakin goyah apabila undang-undang yang menindas dimansuhkan dan digantikan dengan perundangan yang jika tidak sama,adalah lebih hina serta bercanggah dengan semangat penggubalan semula undang-undang.

Bom jangka yang diaktifkan Najib menyedarkan rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Malaysia tiada niat untuk berubah.

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen, Bukit Bendera