Categories
AGENDA GLOBAL

Banjir Thailand jejaskan 300,000 keluarga, ragut sembilan nyawa

BANGKOK, 6 OKT: Ribut tropika “Dianmu” yang mencetuskan banjir di Thailand, kira-kira dua minggu lepas menjejaskan hampir 300,000 keluarga dan meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, menurut pihak berkuasa.

Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi dalam satu kenyataan memaklumkan hujan lebat melanda di 32 wilayah utara, timur laut dan tengah.

Setakat ini, 16 wilayah masih digenangi air termasuk bandar bersejarah Ayutthaya, Chiang Mai, Buriram, Sukhothai, Chaiyaphum, Sing Buri dan Nakhon Ratchasima.

“Banjir itu mengakibatkan sembilan kematian termasuk enam di Lop Buri, dua di Phetchabun dan satu di Chai Nat. Seorang dilaporkan hilang.

“Terdapat 101,500 keluarga di 2,176 kampung masih terjejas akibat banjir,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran kemungkinan berlaku ribut tropika lain yang diramal melanda kawasan timur laut negara, minggu depan.

Selain itu, hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda kawasan tengah, timur dan selatan.

Reuters melaporkan banjir turut menjejaskan lebih 40 kuil di bandar bersejarah Ayutthaya.

Thailand mengalami banjir terburuk pada 2011 yang mengorbankan lebih 800 orang dan menyebabkan kerosakan melebihi 1.5 trilion baht.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Bank Dunia unjur 70 peratus populasi dunia divaksin akhir 2022

WASHINGTON, 21 SEPT: Sehingga 70 peratus populasi dunia akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada akhir 2022, andai agihan bekalan vaksin sumbangan negara penderma kepada negara-negara yang memerlukan dapat dipercepat, kata Presiden Bank Dunia David Malpass.

“Menjelang akhir tahun ini, kita harap dapat lihat empat peratus dan pada akhir tahun depan sebanyak 60 atau 70 peratus orang divaksinasi (di seluruh dunia).

“Tetapi hasilnya hanya akan dilihat menerusi usaha yang dilakukan pada Oktober, November dan Disember. Memastikan bekalan vaksin diterima negara-negara memerlukan menjadi cabaran besar.

“Ketelusan penghantaran juga satu cabaran dan kami telah meminta pengeluar untuk memastikan bekalan dapat dihantar mengikut jadual,” kata Malpass dalam wawancara dengan CNBC pada Isnin lapor Sputnik.

Beliau merangkap ketua pasukan petugas pelbagai agensi global yang menyelaraskan penghantaran vaksin Covid-19, berkata tumpuan utama kini ialah untuk menghantar bekalan vaksin kepada negara membangun yang kekurangan bekalan.

Walaupun banyak sumbangan vaksin telah diumumkan, realitinya penghantaran bekalan ke negara-negara yang memerlukan masih perlahan, kata Malpass.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Ancaman varian bahaya Delta, ekonomi global dijangka lambat pulih

SHAH ALAM, 11 JULAI: Menteri Kewangan Negara G20 memberi amaran varian Covid-19 Delta yang merebak dengan cepat dan melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam boleh memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Menurut kenyataan bersama semalam, pemulihan ekonomi itu adalah berdasarkan perbezaan bagi setiap negara yang tetap terdedah kepada penyebaran varian baharu virus Covid-19, lapor AFP.

Menteri kewangan G20 itu juga mengingatkan bahaya ‘kadar kemajuan program vaksinasi berbeza’ di seluruh dunia.

Kebimbangan utama adalah varian Covid-19 Delta, yang pertama kali muncul di India dan merebak dengan cepat di benua Asia dan Afrika sebelum menular ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Kami mempunyai ramalan ekonomi yang baik bagi semua negara G20,” kata Menteri Ekonomi Perancis, Bruno Le Maire.

“Satu perkara yang boleh mengancam pemulihan ekonomi yang kukuh dan pesat adalah varian Covid-19 serta gelombang baharu pandemik. Kita mesti menambah baik program vaksinasi di setiap negara seluruh dunia,” katanya.

Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak dalam nada bertentangan, apabila berkata kepada AFP dalam satu temubual di negara itu bahawa vaksin berkesan dalam menghalang kemasukan ke hospital dan kematian, termasuk varian Covid-19 Delta.

“Saya fikir ia memberi kita keyakinan untuk bergerak ke hadapan dan secara perlahan serta selamat membuka semula ekonomi dan negara kita,” kata Sunak.

Banyak negara, dari Sepanyol hingga ke Thailand, bagaimanapun mengambil langkah melaksanakan semula sekatan anti Covid-19.

G20 menggesa kempen vaksinasi di seluruh dunia dipercepat dan berjanji akan melakukan lebih lagi bagi membantu negara membangunan memberikan suntikan kepada warga mereka.

Categories
AGENDA GLOBAL

Krisis Myanmar: Lebih 880 orang awam maut, 126 dihukum mati

NEW YORK, 30 JUN: Sekurang-kurangnya 883 orang awam terbunuh di tangan tentera Myanmar manakala 126 lagi dihukum mati sejak rampasan kuasa tentera awal Februari lalu, lapor Sputnik.

“Menurut laporan pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, tentera telah membunuh sekurang-sekurangnya 883 orang awam tidak bersenjata manakala 40 lagi dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tahanan.

“Selain itu, 60 kanak-kanak turut menjadi korban sejak rampasan kuasa itu,”

“Seramai 5,202 ditahan kerana membantah rampasan kuasa tentera dan daripada jumlah itu 126 dihukum mati,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric

Beliau berkata, PBB di Myanmar mengutuk sekeras-kerasnya kekerasan melampau tentera termasuk penggunaan peluru hidup, tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Penyelidik: Virus Covid-19 boleh jangkiti sel otak, jejas sistem saraf

SHAH ALAM, 25 JUN: Virus Covid-19 boleh menjangkiti sel otak, sekaligus menyebabkan tindak balas yang mungkin jejaskan sistem saraf dan psikologi, menurut penyelidik Belanda, semalam.

Walaupun perebakan virus itu berhenti dengan cepat dan mengakibatkan kesan terhad selepas memasuki otak melalui hidung, ia mencetuskan sitokin, iaitu protein kecil yang mempengaruhi sistem imun tubuh.

Pakar virologi Universiti Erasmus berkata penyelidik melihat fakta serupa bahawa jangkitan SARS-CoV-2 jarang menyebabkan keradangan otak serius di mana virus merebak secara tidak terkawal dalam otak, lapor Berita Harian yang memetik AFP.

“Namun, fakta SARS-CoV-2 berkemungkinan boleh memasuki otak melalui hidung dan menjangkiti sel menyebabkan tindak balas keradangan, sudah tentu boleh menyumbang kepada gangguan neurologi,” kata Debby van Riel dalam kenyataan.

Dapatan hasil penyelidikan dijalankan Pusat Perubatan Universiti Erasmus di Rotterdam itu diterbitkan dalam jurnal mikrobiologi mSphere yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Munurut kajian itu lagi, semakin banyak data menunjukkan virus boleh memasuki otak menerusi hidung namun masih terlalu sedikit kefahaman mengenai kesannya.

Pakar dari Jabatan Psikiatri Universiti Erasmus, Femke de Vrij berkata lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan.

“Penyelidikan lanjut akan membolehkan kami mengetahui lebih banyak lagi maklumat mengenai kesan jangkitan itu terhadap struktur otak dalam jangka pendek dan panjang,” katanya.

Sejak pandemik itu tercetus, pesakit Covid-19 di serata dunia dilaporkan mengalami gangguan sistem saraf dan psikiatri seperti masalah ingatan, sakit kepala, psikosis yang jarang berlaku serta beberapa kes keradangan otak.

Satu daripada tiga pesakit Covid-19 didapati mengalami gangguan berkenaan dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti, menurut satu kajian diterbitkan dalam jurnal pakar The Lancet Psychiatry, April lalu.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Pegawai kesihatan Jepun cadang Olimpik tanpa penonton

ANKARA, 19 JUN: Lembaga Penasihat Covid-19 Jepun pada Jumaat menyatakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 perlu diadakan tanpa kehadiran penonton, menurut Anadolu Agensi Kyodo.

Ketua Pertubuhan Penjagaan Kesihatan Komuniti Jepun Shigeru Omi berkata demikian pada sidang media di Tokyo.

Beliau berkata langkah itu adalah kaedah terbaik dan berkesan untuk mengurangkan risiko penularan virus.

Omi turut menasihatkan penganjur memikirkan kaedah terbaik untuk mengurangkan risiko dan membuat keputusan secepat mungkin.

Selain itu, 26 pakar, termasuk Ketua Pengarah Institut Penyakit Berjangkit Takaji Wakita turut menyuarakan kebimbangan mereka bahawa Olimpik mungkin akan mencetuskan gelombang baharu wabak Covid-19.

Menteri Olimpik Seiko Hashimoto berkata pihak penganjur akan meneliti perkara itu dengan lebih terperinci dan mencari cara paling sesuai serta selamat untuk penonton, termasuk berunding dengan pakar.

Sukan Olimpik, yang ditunda tahun lalu bakal diadakan pada 23 Julai hingga 8 Ogos manakala Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Israel lancar serangan udara di Semenanjung Gaza

GAZA CITY, 16 JUN: Pesawat perang Israel pada awal Rabu menyerang kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Anadolu.

Tentera Israel dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya menyasarkan kedudukan Hamas, termasuk di al-Yarmouk di sebelah timur bandar Khan Younis serta kawasan kejiranan di Zeitoun.

Serangan udara itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap belon api yang dilancarkan dari Gaza ke selatan Israel.

Kementerian Kesihatan Palestin belum mengeluarkan sebarang maklumat sama ada terdapat mangsa yang terbunuh dalam serangan itu.

Ia serangan udara pertama sejak gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas pada 21 Mei.

Gencatan senjata itu dibuat pada awal pagi 21 Mei mengakhiri pengeboman Israel selama 11 hari di Semenanjung Gaza, dengan Mesir bertindak sebagai orang tengah.

Serangan Israel di Gaza dan Tebing Barat mengorbankan sekurang-kurangnya 289 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan banyak kemusnahan. Pusat kesihatan dan pejabat media serta sekolah adalah antara yang menjadi sasaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB anggar 100 juta pekerja lagi jatuh miskin akibat Covid-19

SHAH ALAM, 3 JUN: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangka lebih 100 juta pekerja lagi jatuh miskin kesan pandemik Covid-19.

Unjuran di seluruh dunia mengambil kira bilangan jam bekerja yang merosot teruk selain tiada akses kepada pekerjaan berkualiti, lapor Kosmo.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam laporannya turut menjangka sektor pekerjaan paling awal akan pulih pada 2023 atau mengambil masa lebih lama.

“Covid-19 bukan hanya krisis kesihatan awam tetapi ia juga krisis pengangguran dan kemanusiaan,” kata ketua ILO Guy Ryder menambah kira-kira 255 juta orang hilang kerja sepenuh masa tahun lalu.

Laporan sama juga menunjukkan pengangguran global dijangka berjumlah 205 juta orang tahun depan, mengatasi bilangan 187 juta pada 2019.

Categories
AGENDA GLOBAL

Pemerintahan 12 tahun PM Israel Benjamin Netanyahu berakhir

BAITULMAQDIS, 3 JUN: Pemimpin pembangkang Israel, pada Rabu mengumumkan telah mencapai kesepakatan untuk membentuk kerajaan gabungan yang akan mengakhiri pemerintahan 12 tahun Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, lapor Xinhua.

Kenyataan Yair Lapid dan rakan sekutu utamanya, Naftali Bennett itu dibuat kira-kira 30 minit sebelum tarikh akhir untuk pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya 23 Mac.

Satu kenyataan rasmi dikeluarkan pejabat Presiden Reuven Rivlin menyatakan Lapid memaklumkan presiden “beliau telah dapat membentuk kerajaan.”

Di bawah kesepakatan itu, pemimpin parti Yesh Atid, dan Naftali Bennett, yang menerajui parti  Yamina, jawatan perdana menteri akan disandang secara bergilir, dengan didahului Bennett.

Gabungan baharu itu juga termasuk parti Ra’am, sebuah parti Islam dipimpin Mansour Abbas, menandakan kali pertama parti Arab menjadi sebahagian daripada gabungan di Israel.

Turut termasuk dalam gabungan itu parti-parti kecil  antaranya parti Biru dan Putih, diketuai Menteri Pertahanan Benny Gantz yang pernah bekerjasama dengan Netanyahu untuk membentuk kerajaan, parti sayap kanan Israel Our Home and New Hope, parti Buruh dan parti Meretz.

Presiden mengucapkan tahniah kepada Lapid dan pemimpin parti lain atas kejayaan itu dan berharap  Knesset (parlimen) “akan bersidang secepat mungkin untuk meluluskan pembentukan kerajaan, sebagaimana yang diperlukan.”

Akhbar Ha’aretz Israel melaporkan Knesset dijangka bersidang bagi mendapatkan undi percaya untuk kerajaan baharu pada Rabu depan.

Lapid menulis di Twitter, menyatakan kerajaan baharu “akan melayani semua warga Israel, sama ada yang telah mengundi mereka atau tidak. Ia akan menghormati pesaingnya dan melakukan yang terbaik untuk menyatukan semua masyarakat Israel . ”

Langkah itu dibuat selepas beberapa siri pilihan raya yang gagal memecahkan kebuntuan politik.

Kesepakatan itu sekali gus mengakhiri pemerintahan Netanyahu, perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel, yang sedang menghadapi perbicaraan atas tuduhan jenayah rasuah dalam tiga kes berasingan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Mercy Malaysia salur bekalan makanan, ubat kepada Gaza

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Mercy Malaysia telah menyalurkan bantuan kecemasan dan perubatan fasa pertama bernilai RM500,000 kepada penduduk Palestin selepas serangan awal rejim Zionis Israel di Masjid al-Aqsa pada awal bulan ini.

Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata antara bantuan kecemasan yang dihantar menerusi fasa pertama ialah ubatan-ubatan serta alat kesihatan dan pembedahan (termasuk rawatan rapi).

“Bantuan itu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin yang akan mengagihkannya kepada 33 hospital di Gaza yang terjejas,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Mercy Malaysia juga sudah mula mengagihkan bantuan makanan dan perkakasan isi rumah kepada 100 keluarga (daripada 1,200 keluarga) selain peralatan dapur, bantal, selimut dan mesin basuh kepada 50 keluarga lain. Penerima manfaat adalah antara 72,000 keluarga yang terkesan akibat serangan rejim Israel.

Bantuan lain yang sedang dijalankan melalui fasa pertama bantuan ke Palestin ialah menyediakan tempat tinggal sementara di Gaza dan Timur Baitulmaqdis, meneruskan program bekalan air bersih serta program bantuan psikososial khususnya kepada mangsa trauma.

Katanya penghantaran kedua bantuan pula masih dalam perjalanan kerana sekatan di sempadan Rafah (pintu masuk Gaza).

Mercy Malaysia telah menghulurkan bantuan di bumi Palestin sejak Perang Gaza (2008-2009) hingga kini, dalam situasi perang dan bukan perang.

Dr Ahmad Faizal berkata Mercy Malaysia menyifatkan gencatan senjata di Gaza yang dicapai antara beberapa pihak di Palestin dan Israel hari ini sebagai perkembangan positif yang akan membuka laluan bagi bantuan kemanusiaan ke wilayah konflik itu.

Beliau berkata gencatan senjata itu akan meredakan ketegangan di rantau Asia Barat serta mengelakkan lebih ramai orang awam terkorban di wilayah konflik terbabit.

Kabinet Keselamatan Israel pada Khamis bersetuju menghentikan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung dan menerima perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 2 pagi Jumaat (2300GMT Khamis) dan dipersetujui selepas 11 hari Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung. Mesir bertindak sebagai perantara.

Sejak 10 Mei lepas, seramai 232 rakyat Palestin termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Akhiri pertempuran berdarah, Hamas-Israel umum gencatan senjata

SHAH ALAM, 21 MEI: Pejuang Hamas dan Israel bersetuju membuat gencatan senjata berkuat kuasa awal pagi ini dalam usaha mengakhiri pertempuran berdarah 11 hari.

Perkara itu disahkan jurucakap Hamas dan Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Khamis yang menggelarkannya sebagai sepakat tanpa syarat, lapor AFP.

Bagaimanapun, beberapa minit selepas pengumuman itu dibuat, kedua-dua belah pihak tetap meneruskan serangan dengan beberapa roket dilihat terus dilancarkan.

Pertempuran pada 10 Mei mengakibatkan 232 nyawa rakyat Palestin terkorban, termasuk 65 kanak-kanak.
Angka korban Zionis Israel pula seramai 12 orang dengan ratusan cedera.

Semalam, Israel terus membedil Gaza melalui serangan udara dan artileri menyasarkan rangkaian terowong bawah tanah dan infrastruktur lain milik Hamas.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand catat 3,394 kes baharu, 29 kematian

BANGKOK, 19 MEI: Thailand mencatatkan 3,394 kes baharu Covid-19 termasuk 1,498 jangkitan dalam kalangan banduan, menjadikan jumlah kes setakat ini sebanyak 116,949 dalam tempoh 24 lalu.

Sebanyak 29 lagi kematian turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan korban seramai 678 orang sejak wabak mula dikesan di negara ini Januari tahun lalu.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, dari 3,394 kes baharu itu, sebanyak 3,377 membabitkan penularan tempatan dan 17 import termasuk lima warga Thailand yang menyelinap masuk dari Kemboja.

“Bangkok di kedudukan teratas dengan jumlah kes tertinggi iaitu 876 kes. Dalam tempoh yang sama juga lima kluster baharu dilaporkan di Bangkok menjadikan jumlah kluster setakat ini sebanyak 34,” katanya semasa taklimat Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata kluster baharu itu ialah dua kem pekerja binaan, pasar, kilang ais dan gudang kargo.

Apisamai berkata pihak berkuasa berkaitan telah meningkatkan pengesanan kes aktif di kem pekerja itu.

“Semua 50 daerah di Bangkok mempunyai kem pekerja binaan. Sebilangan daerah mempunyai lebih 20 kem… ada beberapa kem menempatkan lebih 1,000 pekerja,” katanya.

Mengenai kes kematian baharu, Apisamai berkata ia melibatkan 19 lelaki dan 10 wanita berusia antara 42 hingga 92 tahun dari Bangkok (14), Samut Prakan (lima), Pathum Thani (dua) dan masing-masing seorang di Chachoengsao, Lamphun, Chon Buri, Saraburi, Nakhon Pathom, Kamphaeng Phet, Nong Khai dan Nonthaburi.

Sementara itu, Apisamai berkata pihak berkuasa kesihatan telah melakukan lebih 300,000 pengesanan kes aktif di Bangkok dan kawasan pinggir bandar.

“Daripada jumlah ini, kira-kira tiga peratus didapati positif,” katanya.

Berkenaan usaha vaksinasi, Apisamai berkata lebih 2.4 juta dos vaksin telah diberikan di Thailand sehingga kini.

“Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah menjadikan usaha vaksinasi sebagai agenda negara dan mengarahkan agensi berkaitan untuk meningkatkan jumlah pemberian vaksin,” katanya.

– BERNAMA