Categories
GLOBAL

Euro 2016: Die Mannschaf lunas dendam singkir Slovakia 3-0

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 27 JUN: Juara Piala Dunia 2014, Jerman tidak berdepan masalah menempah tiket ke suku akhir selepas membelasah Slovakia 3-0.

Meskipun pernah tewas 1-3 kepada Slovakia dalam aksi pemanas badan namun ia tidak merencatkan persembahan Die Mannschaf yang menguasai hampir 60 peratus permainan.

Jerome Boateng menjaringkan gol pertamanya sepanjang beraksi bersama skuad kebangsaan pada minit kelapan hasil rembatan leret selepas menyambut bola hasil sepakan sudut yang gagal kekeluarkan kemas pertahanan Slovakia.

Mesut Ozil berpeluang menambah jaringan selang lima minit kemudian menerusi sepakan penalti selepas Mario Gomez dijatuhkan Martin Skrtel namun sepakannya diselamatkan penjaga gol, Matus Kozacik.

Peluang terbaik Slovakia menyamakan kedudukan muncul pada minit ke-41 namun tandukan Juraj Kucka ditepis keluar Manuel Neuer.

Sebaliknya Jerman melebarkan jaringan dua minit kemudian menerusi Mario Gomez yang menolak mudah bola umpanan Julian Draxler.

Draxler menambah derita Slovakia pada aksi babak kedua selepas merembat kencang pada minit ke-63.

Jerman bakal menentang pemenang antara finalis Euro 2012, Sepanyol dan Itali dalam aksi peringkat suku akhir.

EZY

Categories
GLOBAL

Euro 2016: Belgium bertemu Wales di suku akhir

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 27 JUN: Belgium membelasah pasukan bukan pilihan, Hungary 4-0 bagi menempah tempat ke peringkat suku akhir Euro 2016.

Belgium di depan seawal minit ke-10 permainan hasil tandukan Toby Alderweireld yang berpunca daripada sepakan percuma Kevin de Bruyne selepas melepas kawalan pertahanan Hungary.

Selepas itu, Hungary cuba bangkit menerusi gerakan Zoltan Gera serta percubaan daripada Balasz Dzsudzsak dan Gergo Lovrencsics namun gagal memecah kekebalan gawang yang dikawal Thibaut Courtois.

Sebaliknya Michy Batshuayi yang masuk menggantikan Romelu Lukaku di penghujung babak kedua menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-78 selepas berjaya menampan bola hantaran Eden Hazard.

Hazard menambah derita Hungary selang dua minit kemudian untuk gol ketiga Belgium sebelum Yannick Ferreira-Carrasco menjadikan kedudukan 4-0 dipenghujung permainan.

Dengan kemenangan ini, Belgium selaku pasukan yang dianggap paling bernilai dalam Euro 2016 meneruskan cabaran diperingkat suku akhir bertemu Wales.

EZY

Categories
GLOBAL

Kesan Brexit terhadap ekonomi masih awal diramal

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JUN: Masih terlalu awal untuk membincangkan secara terperinci kesan keputusan Britain yang memilih meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Ketua Pegawai Eksekutif, Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata Britain sudah pasti menggunakan terma dagangan baru yang tidak mempunyai kaitan EU kesan pengunduran itu.

BREXIT“Britain apabila disahkan keluar dari EU nanti perlu menggunapakai terma dagang yang lain daripada EU. Begitu juga negara lain yang bakal keluar.

“Sukar dinyatakan kesan yang wujud sehingga terma dagang ini dikaji apabila ia keluar nanti.

“Kita mengalu-alukan terma dagang yang membantu hasil eksport negara seperti minyak sawit mentah, barangan elektronik dan perkhidmatan,” katanya kepada SelangorKini.

Jelas Fahmi, EU adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dan perpecahannya boleh memberi kesan kepada pendapatan dagang negara.

Dr Fahmi NgahKatanya, sudah mula wujud kebimbangan terhadap pengekalan EU sebagai entiti perdagangan antarabangsa kerana sudah kedengaran beberapa negara lain bakal menurut jejak Brexit.

Pada 24 Jun lalu, rakyat Britain membuat keputusan keluar daripada blok EU menerusi pungutan suara ‘keluar’ sebanyak 51.9 peratus berbanding 49.1 untuk ‘kekal’.

Keputusan referendum Brexit itu turut menyaksikan Perdana Menteri Britain, David Cameron mengumumkan perletakan jawatan, pada Oktober ini.

EZY

Categories
GLOBAL

Euro 2016: Poland tempah slot ke suku akhir

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 26 JUN: Poland muncul pasukan pertama menempah tiket ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Switzerland menerusi sepakan penalti 5-4.

Malang menimpa Granit Xhaka selepas beliau menjadi pemain tunggal Switzerland yang gagal menyempurnakan penalti pada sepakan kedua.

Switzerland yang menguasai 56 peratus permainan gagal mencari gol kemenangan selepas berjaya mengikat perlawanan 1-1 sebelum 90 minit masa permainan tamat.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat selepas beraksi 120 minit.

Dalam aksi 90 minit permainan Poland terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jakub Blaszczykowski pada minit ke-39.

Blaszczykowski yang menerima bola hasil hantaran Kamil Grosicki selepas berjaya memperdaya pertahanan Switzerland sebelum menewaskan penjaga gol, Yann Sommer pada kedudukan satu lawan satu.

Ini merupakan jaringan kedua Blaszczykowski buat The White Eagle selepas empat perlawanan.

Switzerland kembali bangkit melancarkan serangan namun terpaksa menanti pada penghujung babak kedua apabila Xherdan Shaqiri memadam defisit satu gol pada minit ke-82 hasil umpanan Eran Derdiyok.

Gol cantik Shaqiri menerusi ‘bicycle-kick’ berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Poland, Lukasz Fabianski sebelum terkena tiang dan masuk bagi memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Namun, Switzerland yang lebih banyak menyerang ke kubu Poland pada 30 minit masa tambahan gagal menambah jaringan sehingga memaksa perlawanan di tentukan menerusi sepakan penalti.

EZY

Categories
GLOBAL

Euro 2016: Jaringan sendiri McAuley bantu kemaraan Wales

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 26 JUN: Jaringan sendiri pemain Ireland Utara, Gareth McAuley sudah cukup untuk melayakkan Wales mara ke peringkat suku akhir dengan kemenangan tipis 1-0.

Meskipun Ireland Utara memaperkan corak bertahan penuh disiplin sepanjang 70 minit permainan, namun jaringan sendiri pada 15 minit sebelum perlawanan tamat mematikan langkah mereka dalam saingan Euro 2016.

Wales yang menguasai 56 peratus perlawanan sepatutnya mendahului permainan menerusi Aaron Ramsey namun jaringan beliau dibatalkan pengadil kerana off-side pada minit ke-19.

Tidak banyak percubaan dilakukan kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit permainan namun pemain termahal dunia, Gareth Bale nyaris menambah koleksi jaringan beliau menerusi sepakan percuma pada minit ke-58.

Segalanya berpunca daripada kekasaran dilakukan Oliver Norwood, Bale yang mengambil sepakan itu pada jarak 25 meter gagal meletakkan bola ke jaring apabila percubaannya ditepis keluar Michael McGrovern.

Sejurus kemudian usaha Wales mencari gol dan akhirnya berhasil apabila hantaran Bale ke dalam kotak penalti ditampan sendiri McAuley ke gawang Ireland Utara pada minit ke-75.

Ireland Utara cuba mencari gol penyamaan sehingga minit akhir permainan namun keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

EZY

Categories
GLOBAL

Euro 2016: Ricardo Quaresma pastikan Portugal ke suku akhir

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 26 JUN: Ricardo Quaresma menjadi penyelamat kemaraan Portugal ke peringkat suku akhir apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada penghujung masa tambahan untuk menewaskan Croatia 1-0.

Aksi kedua-dua pasukan yang berlarutan tanpa sebarang jaringan pada 116 minit perlawanan akhirnya diterjemah Quaresma dengan jaringan mudah selepas memanfaatkan peluang di hadapan gawang.

Nani memulakan gerakan dengan menghantar bola kepada Cristiano Ronaldo yang merembat kencang namun diselamatkan penjaga gol, Danijel Subasic sebelum Quaresma tiba menyambut bola muntah dengan tandukan tipis ke gawang Croatia.

Croatia yang menguasai 59 peratus perlawanan hanya mampu mencipta satu cubaan tepat daripada 15 peluang keseluruhan sepanjang aksi 120 minit.

Quaresma yang hanya dimasukkan pada minit ke-87 membalas kepercayaan jurulatih, Fernando Santos dengan gol berharga selepas menggantikan Joao Mario.

Croatia yang mengejutkan juara bertahan Sepanyol pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D hampir menjaringkan gol menerusi pemain pertahanan Domagoj Vida, pada lewat masa tambahan namun percubaannya tidak menepati sasaran.

Dengan kemenangan itu, Portugal akan bertemu Poland di peringkat suku akhir selepas menewaskan Switzerland menerusi sepakan penalti 5-4.

EZY