Categories
AGENDA GLOBAL

Kes Covid-19 di Thailand lepasi angka 100,000

BANGKOK, 16 MEI: Kes Covid-19 di Thailand kini melepasi angka 100,000, dengan 2,302 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan keseluruhan kes sebanyak 101,447.

Pada masa sama, Thailand mencatatkan 24 lagi kematian menjadikan jumlah korban seramai 589 orang.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 2,279 kes babitkan jangkitan tempatan dan 23 kes import termasuk tiga warga tempatan yang pulang dari Malaysia.

Beliau berkata kes baharu kematian pula melibatkan 13 lelaki dan 11 wanita berusia antara 39 dan 91 tahun termasuk lapan dari Bangkok, masing-masing dua di Chon Buri dan Pathum Than.

Apisami turut menyuarakan kebimbangan berikutan kemunculan kluster baharu di sebuah tapak pembinaan di Lak Si, Bangkok selepas 559 pekerja didapati positif Covid-19.

Media tempatan melaporkan terdapat hampir 400 kem pekerja di Bangkok dengan kira-kira 60,000 pekerja binaan.

Meskipun jumlah kes baharu meningkat,Thailand akan melonggarkan sekatan termasuk membenarkan makan di restoran di wilayah yang berada di bawah kawalan ketat – Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.

Bagaimanapun, restoran di kawasan dan wilayah ini hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 25 peratus sehingga 9 malam dan dilarang menghidangkan alkohol. Perkhidmatan bawa pulang dibenarkan beroperasi sehingga 11 malam (waktu tempatan).

Arahan yang ditandatangani Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha itu telah dimasukkan dalam Warta Diraja malam tadi.

Bagaimanapun, semua institusi pendidikan di wilayah terbabit masih ditutup.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand tingkat kawalan sempadan menjelang hari raya

NARATHIWAT, 11 MEI: Thailand mempertingkatkan kawalan di sempadannya dengan Malaysia untuk mencegah kemasukan warga Thai yang cuba menyelinap masuk ke negara asal mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri, dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Komander Divisyen ke-15 Infantri Mej. Jen Paisal Noosang berkata pasukan keselamatan akan mempergiatkan rondaan di laluan-laluan tikus dan lokasi panas bagi menyekat warga Thai yang cuba menyeberangi sempadan secara tidak sah.

“Warga Thai yang bekerja di Malaysia dijangka pulang untuk menyambut Hari Raya dengan menggunakan laluan tikus untuk memasuki Thailand.

“Pasukan keselamatan akan memperketatkan rondaan di sempadan Thailand-Malaysia untuk mengekang kemasukan warga Thai dan asing secara haram serta mengelakkan diri daripada kuarantin mandatori,” katanya.

Dalam usaha membendung penularan gelombang ketiga Covid-19, Thailand mewajibkan semua yang memasuki negara ini menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Lebih 100,000 warga Thai yang berada di Malaysia dilaporkan telah pulang ke Thailand sejak penularan pandemik Covid-19 dan kira-kira 40,000 hingga 50,000 lagi warga Thai masih berada Malaysia.

Media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa tempatan menahan hampir 16,000 individu cuba menyelinap masuk Thailand dari Malaysia, Kemboja, Laos dan Myanmar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pada Ahad, polis menahan 10 warga Myanmar yang dipercayai merupakan pekerja asing tanpa izin yang menaiki dua buah teksi cuba menyelinap masuk Thailand.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Masyarakat dunia digesa tekan Israel henti keganasan di Baitulmaqdis

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali mendesak masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencerobohan terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Tegasnya, serangan ke atas jemaah di Masjid Al-Aqsa dan mengusir rakyat Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, di Baitulmaqdis Timur, jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Setiap hari, apa yang berlaku di Baitulmaqdis adalah Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.

“Kami menuntut masyarakat antarabangsa serius tangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Walid juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan kekejaman Israel.

“Mereka mesti meminta masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menggunakan hubungan dua hala mereka dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memberi tekanan kepada Israel.

“Hanya AS dan EU yang dapat menekan Israel untuk menghentikan serangan,” katanya.

Menurut laporan media, sejak beberapa hari lalu rakyat Palestin di Baitulmaqdis bersama penduduk di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah mengadakan tunjuk perasaan di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Baitulmaqdis Timur, yang membenarkan pengusiran tujuh keluarga Palestin dari kediaman mereka di kawasan kejiranan itu dan menyokong penempatan oleh pendatang Israel sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat malam polis Israel bertindak mengusir jemaah di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan Palestin cedera dalam serangan itu dan tindakan zionis itu dikecam masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi rancang benarkan ibadah haji dengan syarat ketat

RIYADH, 10 MEI: Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk membenarkan ibadah haji pada tahun ini dengan peraturan langkah pencegahan yang ketat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan jemaah, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik Agensi Berita Saudi pada Ahad.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu masih menilai keadaan dan mengambil semua langkah untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang ramai, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Perincian mengenai pengurusan musim haji tahun ini akan diumumkan kemudian.

Kementerian itu juga tidak menyatakan sama ada jemaah asing akan dibenarkan melakukan ibadah haji bagi musim ini.

Tahun lalu, ibadah haji dibenarkan dengan jumlah jemaah yang terhad sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan 942 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Arab Saudi menjadikan keseluruhan jangkitan seramai 426,384.

Jumlah kes pulih meningkat kepada 409,740 dengan 1,064 lagi pesakit sembuh.

Dalam tempoh 24 jam lalu, angka kematian meningkat kepada 7,072 dengan 13 korban baharu dilaporkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB adakan mesyuarat bincang konflik di Baitulmaqdis

NEW YORK, 10 MEI: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin untuk membincangkan ketegangan yang meningkat di Timur Baitulmaqdis, lapor Agensi Anadolu (AA).

Mesyuarat tertutup itu dijadual bermula 9 pagi waktu tempatan (1300 GMT) untuk membincangkan krisis yang mula tercetus apabila penduduk Palestin diusir dari rumah mereka di kawasan Sheikh Jarrah oleh pendatang Israel.

Keadaan itu menyebabkan rakyat Palestin membantah di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Timur Baitulmaqdis, yang meluluskan permohonan mengusir tujuh keluarga Palestin sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat polis Israel mengusir jemaah yang berada di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan rakyat Palestin cedera dan insiden itu menerima kecaman seluruh dunia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Suntikan vaksin Covid-19 di Thailand juga termasuk warga asing

BANGKOK, 6 MEI: Thailand yang menyasarkan untuk memvaksin 50 juta orang menjelang akhir tahun, hari ini menegaskan suntikan vaksin Covid-19 itu merangkumi warga asing yang tinggal di negara ini.

Pada sidang media di sini hari ini, Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata “Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat.”

Sebuah pusat vaksinasi untuk rakyat asing akan didirikan di Bangrak, Bangkok, katanya tanpa memperincikan bila dan bagaimana warga asing boleh mendaftar.

Dengan populasi hampir 70 juta, Thailand perlu menyuntik 70 peratus penduduknya atau 50 juta daripadanya untuk mencapai imuniti kelompok.

Baru-baru ini, warga asing di negara itu menyuarakan kebimbangan mengenai pendaftaran vaksinasi dan pengagihan vaksin termasuk yang disediakan pihak swasta.

Thailand memulakan rancangan vaksinasinya pada 28 Februari, bermula dengan petugas perubatan menggunakan 2.5 juta dos Sinovac dan 117,000 dos AstraZeneca.

Pelaksanaan vaksinasi Thailand lebih perlahan berbanding beberapa negara jiran di ASEAN.

Kempen vaksinasi di Thailand dijadual bermula Jun apabila kumpulan pertama vaksin AstraZeneca buatan tempatan tersedia.

Sementara itu, Thailand mencatat 1,911 kes baharu Covid-19 dan 18 lagi korban dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah jangkitan kepada 76,811 dan 336 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata dari 1,911 kes baharu, 1,902 adalah jangkitan tempatan dan sembilan kes import.

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 400,000 kes wabak sehari, India catat rekod baharu dunia

NEW DELHI, 6 MEI: India mencatat rekod global baharu pada Khamis selepas melaporkan kes jangkitan Covid-19 sebanyak 412,262 dalam tempoh sehari, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Kementerian Kesihatan jumlah keseluruhan kes setakat ini melebihi 21 juta manakala 3,980 lagi kematian dilaporkan menjadikan keseluruhan mencecah 230,168 orang.

Ini kali kedua kes harian melebihi 400,000. Sabtu lalu, India mencatatkan 401,993 jangkitan harian.

Seorang saintis terkemuka India pada Rabu memberi amaran bahawa gelombang ketiga adalah sesuatu yang “tidak dapat dielakkan”.

Perdana Menteri Narendra Modi, yang berdepan kritikan kerana didakwa gagal menguruskan gelombang kedua, telah mengumumkan lebih banyak langkah untuk menangani situasi tersebut.

Ketika lonjakan jumlah kes yang mendadak, terdapat banyak permintaan untuk sekatan pergerakan di seluruh negara diambil untuk menghentikan penularan.

“Tidak ada pilihan lain selain mengenakan sekatan pergerakan secara menyeluruh untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Benar, sekatan pergerakan akan menjurus kepada lebih banyak kesulitan ekonomi, tetapi kita tiada pillihan. Dengan kes yang semakin meningkat, menunjukkan kita tidak bersedia menghadapi lonjakan kali ini,” kata ahli pulmonologi Dr Digambar Behera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Thailand lapor kes pertama varian Brazil

BANGKOK, 5 MEI: Thailand melaporkan kes pertama varian Covid-19 Brazil ketika kerajaan sedang mempergiat usaha memerangi gelombang ketiga jangkitan.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 2,112 kes baharu dan 15 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 74,900 dan korban seramai 318 orang.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kes membabitkan varian Brazil itu dikesan di sebuah pusat kuarantin, katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Thailand berdepan tugas getir berikutan peningkatan mendadak kes varian B.117 yang sangat mudah merebak. Varian B.117 pertama kali dikesan di United Kingdom.

Dari 2,112 kes baharu, Apisamai berkata 2,107 adalah penularan tempatan termasuk 1,955 mereka yang mendapatkan rawatan di hospital, 152 melalui pengesanan kes aktif dan lima kes import.

Katanya, 15 kematian melibatkan lapan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 50 dan 86 tahun, empat di Bangkok, Nonthaburi dan Sukhothai (masing-masing dua) dan masing-masing satu dari Pathum Thani, Rayong, Yala, Ayutthaya, Prachuap Khiri Khan, Nakhon Phanom dan Nakhon Pathom

Sehingga kini, sejumlah 30,222 pesakit masih dirawat di hospital dan 1,042 kritikal termasuk 343 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan.

“Kadar jangkitan di Bangkok dan kawasan pinggir masih tinggi. Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan terus melakukan pengesanan kes aktif di kawasan berpenduduk padat,” katanya.

Kira-kira 30,000 pengesanan kes aktif telah dilakukan di daerah Pathum Wan, 162 daripadanya didapati positif.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia kesan varian Covid-19 India dan Afrika Selatan

JAKARTA, 5 MEI: Varian Covid-19 India dan varian B1351 Afrika Selatan kini dikesan di Indonesia.

Terdapat dua kes di Jakarta melibatkan varian yang pertama kali dikesan di India sementara satu kes melibatkan varian Afrika Selatan dilaporkan di Bali, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

“Kita mesti mengekang penularan virus. Virus ini mudah berjangkit dengan cepat,” katanya semasa sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan di sini semalam.

Setakat ini, Indonesia juga telah mengesan 13 kes varian B117 dari United Kingdom (UK).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenal pasti B117 dan B1351 sebagai varian yang membimbangkan. Varian India, dikenali B1617, menjadi perhatian memandangkan negara ini sedang diancam lonjakan kes tertinggi dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura kembali ke fasa dua pembukaan, perketat sempadan

SINGAPURA, 5 MEI: Singapura akan kembali ke fasa dua pembukaan semula kegiatan ekonomi dan sosial bermula 8 hingga 30 Mei.

Singapura kini berada di fasa tiga dari 28 Disember 2020.

Di bawah fasa dua, republik ini akan memperketat syarat kemasukan di sempadan mulai 7 Mei, jam 2359 untuk semua pelancong yang baru tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi.

Perkara itu diumumkan Pasukan Pelbagai Kementerian (MTF) Covid-19 pada sidang media maya di sini semalam.

Pengerusi bersama MTF Lawrence Wong berkata beberapa negara terus mengalami lonjakan semula kes dan kemunculan varian baharu virus juga telah dikesan di Singapura.

Wong berkata jumlah kes tempatan dan komuniti juga terus meningkat, menandakan penularan kes boleh meningkat jika tidak dibendung.

“Kami akan mengambil langkah tegas untuk membendung jangkitan Covid-19 di Singapura,” kata Wong yang juga Menteri Pendidikan.

Selain memperketat syarat kemasukan di sempadan, republik itujuga akan mengurangkan kebenaran masuk kepada warga asing dan penduduk tidak tetap.

MTF juga akan melanjutkan sejarah perjalanan sehingga 21 hari berbanding 14 hari, tetapi tidak termasuk untuk Gelembung Perjalanan Udara dan Laluan Hijau Timbal Balik.

Semakan semula tempoh Notis Duduk di Rumah (SHN) hingga 21 hari berbanding 14 hari juga akan dibuat.

Bagaimanapun, Australia, Brunei Darussalam, China, New Zealand, Taiwan, Hong Kong, dan Macau dikecualikan daripada semakan tersebut.

Mulai 8 Mei, langkah-langkah tambahan akan dikenakan untuk mengurangkan interaksi dalam kalangan masyarakat. Perkumpulan sosial hanya lima orang dibenarkan berbanding lapan sebelum ini.

Sementara itu, majikan mesti memastikan tidak lebih 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah kembali ke tempat kerja.

Buat masa ini, sehingga 75 peratus pekerja yang bekerja dari rumah dibenarkan kembali ke tempat kerja.

Sehingga tengah hari ini, Singapura melaporkan lima kes baharu Covid-19 membabitkan jangkitan tempatan.

Selain itu, terdapat 12 kes import, melibatkan mereka di bawah kategori SHN sebaik tiba di Singapura.

Secara keseluruhan, terdapat 17 kes baharu di Singapura hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 61,252.

Terdapat 10 kluster setakat ini dengan kes tertinggi berkaitan Kluster 62541, seorang jururawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom akan diadakan pada 8 Mei dari 10 malam hingga 12 tengah malam, sebagai menzahirkan kesedihan dan simpati terhadap tragedi tenggelamnya kapal selam KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) Datuk Dr Radzuan Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, acara tersebut akan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook Pemuisi Berkarya.

Beliau berkata, acara itu merupakan anjuran Pemuisi dengan kerjasama Talenta Indonesia, Universitas Sumatera Utara (USU), Perkumpulan Rumah Seni Asnur (PERRUAS) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).

Menurut Radzuan, seramai 30 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Korea, akan menyertai acara tersebut yang akan dirasmikan oleh Penaung Pemuisi Tan Sri Dr Hamad Kama Piah Che’ Othman.

“Peserta dari Malaysia termasuk dua Sasterawan Negara iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Zurinah Hassan, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Seri Dr Awang Sariyan, serta Tokoh Wartawan Malaysia Tan Sri Johan Jaaffar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Indonesia pula diwakili Prof Madya Drs Siamir Marulafau dari USU, Asrizal Nur dari PERRUAS, dan Ketua Sumbar Talenta Sastri Bakry.

Pada 25 April lepas, Indonesia mengumumkan KRI Nanggala 402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban, selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi wajibkan pelawat ada insurans Covid-19

RIYADH, 3 MEI: Jemaah dan pelawat asing yang berkunjung ke Arab Saudi kini mesti mempunyai perlindungan insurans Covid-19.

Syarat terbaharu itu diumumkan Bank Pusat Saudi dan Majlis Koperasi Insurans Kesihatan pada Ahad, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Langkah ini bertujuan untuk menyediakan rawatan kesihatan kepada individu yang dilindungi insurans jika dijangkiti Covid-19 sepanjang tempoh mereka berada di negara itu dan membolehkan pesakit mendapat akses segera kepada rawatan.

Ia juga menyediakan perlindungan insurans untuk menampung kos bagi kes yang dikesan serta kuarantin, selain kes kecemasan untuk pemindahan perubatan, tambah SPA.

-BERNAMA