Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: 29 peratus sudah keluar mengundi setakat 12 tengah hari

SHAH ALAM, 12 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 29 peratus pengundi yang layak sudah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat jam 12 tengah hari tadi.

Sebelum ini, SPR menjangkakan sekitar 70 peratus daripada 2,597,742 pengundi berdaftar akan keluar mengundi hari ini.

Jangkaan itu sama seperti yang disasarkan dalam PRN Melaka dan Sarawak yang berlangsung pada November serta Disember tahun lalu.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, tempoh pengundian dari pukul 8 pagi juga dianjakkan sehingga pukul 6 petang iaitu pertambahan masa selama 30 minit bagi memberikan peluang kepada orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes lewat kesan barah meningkat, kesedaran rakyat masih rendah

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kesedaran mengenai kanser dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah yang menjadi punca peningkatan kes lewat dikesan iaitu hanya setelah berada di tahap tiga dan empat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kes lewat dikesan iaitu hanya setelah berada di tahap tiga dan empat telah meningkat daripada 58.7 peratus pada 2007 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

“Kalau kita dapat kesan kanser lebih awal maka kemungkinan kita dapat rawat dan pulih atau dapat mengawal kanser adalah lebih tinggi.

“Pengesanan lewat ini menjadi masalah, kadar peningkatan peratusan ini amat membimbangkan kerana Malaysian Study on Cancer Survival yang telah diterbitkan beberapa tahun lepas menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit,” katanya ketika berucap dalam Program Hari Bersama Pesakit Kanser sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022.

Beliau berkata kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan dalam mengenal pasti ruang penambahbaikan termasuk penerangan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengesanan dan saringan awal kesihatan.

Berkongsi pengalaman kehilangan bapanya Datuk Jamaluddin Abu Bakar, yang meninggal dunia akibat kanser pada 1992, Khairy berkata keluarga pesakit kanser juga memerlukan sokongan terutama golongan B40 dan penjaga tunggal bagi pesakit kanser kerana mereka turut mengalami tekanan tinggi dari segi mental.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membantu golongan itu menjalani saringan kesihatan secara percuma namun lebih sejuta individu yang layak iaitu golongan B40 berusia 40 tahun ke atas tidak memanfaatkan kemudahan tersebut.

Katanya Malaysia turut berdepan masalah penyakit tidak berjangkit yang tinggi seperti kencing manis, darah tinggi dan kardiovaskular yang seterusnya akan menyebabkan komplikasi jika mereka dijangkiti Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MMA: Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran mencukupi

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 dalam pasaran adalah mencukupi, dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik kit ujian itu sehingga boleh menyebabkan bekalannya menyusut.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata keperluan bagi melakukan ujian kendiri adalah hanya selepas menghadiri majlis besar, melawat warga emas atau individu yang lemah imun atau yang menunjukkan simptom.

Beliau berkata profesional penjagaan kesihatan sendiri tidak menjalankan ujian kendiri secara harian, melainkan sekiranya ia jelas diperlukan untuk berbuat demikian dalam situasi berisiko tinggi tertentu.

“Disebabkan kebolehjangkitan varian Omicron yang tinggi, jumlah kes positif harian akan meningkat sehingga kita mencapai kemuncak, oleh itu adalah berhemat untuk kita menjaga tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun ketepatan kit ujian kendiri mungkin tidak setanding dengan ujian Kit Ujian Pantas Antigen (RTK Ag) dan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT PCR) profesional, kit ujian kendiri berguna dalam mengesan kehadiran virus pada kes-kes bergejala.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MetMalaysia: Orang ramai dinasihat lebih waspada ketika fasa peralihan monsun

SHAH ALAM, 12 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai lebih berwaspada sepanjang fasa peralihan monsun.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 14 Mac ini dan berterusan hingga pertengahan Mei 2022.

“Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya monsun timur laut yang bermula sejak 3 November 2021.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataannya semalam, MetMalaysia berkata semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir, yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Menurut kenyataan itu, kejadian itu berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Katanya, keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Categories
AGENDA NASIONAL

32,800 angka jangkitan harian tertinggi Covid-19, kes serius kekal rendah

SHAH ALAM, 12 MAC: Jumlah jangkitan harian Covid-19 melonjak 2,013 kepada 32,800 kes semalam, tertinggi sejak wabak itu melanda negara dua tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 32,259 adalah kes tempatan, manakala 541 adalah kes import.

Angka jangkitan harian tertinggi dicatatkan sebelum ini adalah 32,070 kes iaitu pada 24 Februari lalu.

Kes jangkitan bagi kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah iaitu 183 kes atau 0.56 peratus manakala kategori satu (tanpa gejala) 12,726 kes atau 38.8 peratus dan kategori dua (gejala ringan) merekodkan 19,891 kes atau 60.64 peratus

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 12, 726 kes (38.80 peratus)
Kategori 2: 19,891 kes (60.64 peratus)
Kategori 3: 70 kes (0.21 peratus)
Kategori 4:78 kes (0.24 peratus)
Kategori 5: 35 kes (0.11 peratus)

Ketua Pengarah Kesihatan berkata seramai 8,858 atau 2.7 peratus pesakit sedang dirawat di hospital dan daripada jumlah itu 149 kes tidak memerlukan bantuan pernafasan dan 231 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Setakat semalam, 310,351 atau 96.2 peratus pesakit Covid-19 sedang menjalani kuarantin di rumah dan 3,111 atau satu peratus pesakit dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Jumlah kes aktif terbaharu adalah 8,280 kes menjadikan jumlah keseluruhan kepada 322,700 kes,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 97 kes kematian direkodkan semalam termasuk 21 kes kematian di luar hospital menjadikan jumlah kematian sehingga semalam adalah 33,643 kes.

Jumlah kes terkumpul keseluruhan setakat semalam adalah 3,774,786 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk kawasan cerun perlu peka, kesan awal kejadian tanah runtuh

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Penduduk yang tinggal berhampiran cerun atau berbukit perlu didedahkan dengan pengetahuan dan cara mengenal pasti indikasi awal kejadian tanah runtuh di kawasan kediaman mereka yang mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata kebelakangan ini bencana alam berlaku bukan lagi pada musimnya tetapi disebabkan perubahan iklim yang menyebabkan taburan hujan yang sangat tinggi hingga berlakunya beberapa siri kejadian banjir kilat dan tanah runtuh.

“Tanah runtuh ini tidak sama macam banjir kerana banjir air naik secara perlahan, tanah runtuh kita tidak ada masa yang mencukupi dan ia berlaku sekelip mata sejurus selepas indikator akhirnya muncul… masa yang ada untuk penduduk lari selamatkan diri sangat kecil bahkan tidak sampai satu minit.

“Antara indikator boleh diberi perhatian sekiranya pengeluaran air laju pada permukaan cerun, adanya tanda hakisan pada cerun yang menandakan terdapat laluan air, ada kawasan yang mula merekah menyebabkan pokok tumbang maknanya akar tidak lagi mencengkam tanah,” katanya kepada Bernama di sini.

Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata orang ramai juga boleh menggunakan laman web Google Earth bagi melihat perubahan topografi yang memaparkan imej memaparkan terdapatnya permukaan terbuka kawasan cerun berkemungkinan berlakunya tanah runtuh.

“Tanda ini selalunya petanda paling hampir akan berlakunya tanah runtuh, maklumat ini boleh disalur kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Jika sudah nampak tanda ketidakstabilan, cepat-cepat jauhkan dan selamatkan diri serta elak berada dari kawasan berisiko sekurang-kurangnya lima hingga 10 meter,” katanya.

Nor Shahidah berkata penduduk yang tinggal di kawasan cerun atau berhampiran cerun juga dinasihatkan sentiasa peka dengan cuaca hujan sama ada lebat atau tidak kerana hujan berterusan antara elemen mendorong berlakunya takungan air hingga tanah cerun hilang daya serta tekanan efektif menyebabkan kegagalan cerun atau tanah runtuh.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang yang meragut empat nyawa selain menyebabkan 15 rumah serta 10 kenderaan rosak, Nor Shahidah berkata kawasan Ampang memang diketahui sejak dahulu merupakan kawasan yang sangat cenderung berlakunya kegagalan tanah kerana terdapatnya elemen eksploitasi terhadap tanah.

“Kawasan begini sekiranya tanpa zon penimbal, ia amat berisiko berlakunya pergerakan sehingga mampu menimbus rumah terutamanya tanah jenis cerun lempung aktif, cerun yang berpotensi menggelungsur lebih berbanding cerun pasir tinggi.

“Pada pandangan mata kasar saya, kawasan tanah runtuh di Bukit Permai adalah jenis tanah lempung aktif, kadar airnya sangat luas dan apabila ia kembang, butiran air akan tercerap lalu runtuh.

Nor Shahidah juga berkata tempoh penyelenggaran sesuatu cerun biasanya dalam masa lima tahun tidak kira jenis bagi melihat sama ada wujudnya sebarang ragam kegagalan yang bertindak balas pada perubahan iklim, atmosfera, cuaca panas dan sejuk.

“Bergantung juga pada jenis penyelenggaraan atau mitigasi berstruktur, kalau hanya kaedah peneresan yang mudah, tidak silap saya lapan hingga 10 tahun perlu lihat semula. Tanah runtuh merupakan proses dinamik, suatu proses alam, apa kita boleh buat adalah untuk meminimumkan kesan tanah runtuh itu sendiri dengan penyelenggaraan cerun pada cerun yang gagal atau berpotensi gagal,” katanya.

Nor Shahidah berkata terdapat keperluan bagi pemasangan alat inklinometer atau meter kecondongan di kawasan kediaman yang berisiko seperti yang dipasang di kebanyakan tanah tinggi kerana trend banjir dan tanah runtuh di luar musim dan sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan risiko.

Mengenai tahap persediaan negara dalam menghadapi bencana alam yang lebih buruk, Nor Shahidah berkata berdasarkan tindak balas yang diberikan pasukan penyelamat atau pihak berkuasa bagi setiap bencana alam yang berlaku selama ini menunjukkan negara bersedia menghadapi situasi yang lebih buruk namun terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik.

“Sebagai contoh kejadian tanah runtuh, pasukan penyelamat yang memberikan bantuan perlu juga mempunyai pengetahuan atau ilmu terhadap jenis serta sifat tanah bagi memastikan tidak berlakunya siri pergerakan tanah ketika proses menyelamat mangsa yang mungkin akan merisikokan keselamatan anggota penyelamat.

“Maksudnya, pasukan penyelamat bukan datang semata-mata untuk selamatkan mangsa, tetapi dia tahu dan faham ciri-ciri tanah itu dan jenis bantuan yang paling sesuai diberikan, kalau dia main korek sahaja tanah boleh jadi tindakan itu mengundang kepada pergerakan susulan tanah,” katanya.

Nor Shahidah juga berkata pihak berkuasa tempatan atau kerajaan perlu merangka semula bagaimana kaedah penstabilan cerun dapat dibuat secara menyeluruah dan tidak boleh serkap jarang sebaliknya perlu melihat elemen tanah itu secara terperinci.

Menyuarakan perkara sama, Ketua Program Bencana Geologi, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM) Dr Lim Choun Sian berkata pengetahuan, persediaan dan tahap kepekaan rakyat Malaysia terhadap bencana alam masih rendah khususnya berkaitan banjir, tanah runtuh termasuk gempa bumi kerana tidak banyak pendedahan dan latihan amal yang diberikan.

“Yang selalu kita buat ialah latihan kebakaran, dari sekolah hingga bekerja latihan ini yang didedahkan kepada kita… Contoh negara Indonesia, Filipina, Jepun dan negara jiran yang lain memang bersedia cuma Malaysia rakyatnya agak ‘relax’ sebab kita tidak tahu sesuatu perkara itu boleh memudaratkan atau membahayakan diri kita.

Beliau berkata ia sehingga ada juga kes apabila berlakunya banjir, penduduk diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa tetapi mereka enggan berbuat demikian justeru kerajaan perlu memainkan peranan dengan memberi pendidikan serta pendedahan mengenai langkah awal dalam menghadapi bencana alam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS: Lima keluarga asnaf positif Covid-19 terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 12 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada lima keluarga asnaf di perkampungan Orang Asli Sungai Buloh.

Menurut Facebook LZS, agihan itu dibuat selepas menerima maklumat daripada Penggerak Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Buloh.

“Kami menerima maklumat daripada Penggerak KOA Sungai Buloh bahawa ada lima keluarga asnaf di perkampungan Orang Asli Sungai Buloh terputus bekalan makanan kerana sedang menjalani kuarantin di rumah disebabkan positif Covid-19.

“Justeru, Zakat Selangor bersama pihak Amil Kariah telah menyantuni keluarga ini dengan memberikan barangan keperluan makanan bagi meringankan beban dan ujian yang dihadapi mereka.

“Kami mendoakan dan berharap agar keluarga yang terlibat ini diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik selepas ini. Amin,” katanya.

 

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 1.1 juta kanak-kanak negara terima dos pertama vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Sejumlah 1,119,954 atau 31.5 peratus kanak-kanak di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, 15,238,078 individu atau 64.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 dan 22,933,696 atau 97.5 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,210,290 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,835,698 individu atau 91.1 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,935,797 atau 94.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam 58,326 dos vaksin telah diberikan, dengan 23,938 sebagai dos pertama, 1,678 sebagai dos kedua dan 32,710 sebagai dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang dikeluarkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,064,755.

Sementara itu menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 76 kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam, dengan Kedah mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 15 kes, diikuti Selangor (14), Perak (10), Johor (lapan), manakala Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing merekodkan lima kes kematian.

Kuala Lumpur merekodkan empat kes kematian, masing-masing tiga kes di Perlis dan Pulau Pinang, manakala Kelantan, Melaka, Pahang dan Sarawak masing-masing merekodkan dua kes dan Terengganu (satu).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Polis terima 140 laporan, 37 kertas siasatan dibuka

BATU PAHAT, 12 MAC: Polis Diraja Malaysia menerima sebanyak 140 laporan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula dari 26 Feb hingga Khamis, dengan 37 kertas siasatan telah dibuka.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kes tertinggi yang disiasat adalah di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat kepada poster atau sepanduk parti politik yang melibatkan 13 kertas siasatan.

Antara kes lain yang dilaporkan adalah berkaitan ceramah tanpa permit, pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) dan perbuatan yang boleh merebakkan Covid-19 dan hantaran berbaur fitnah menerusi media sosial.

Bercakap kepada media selepas menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis sempena PRN Johor di Dewan Sultan Ibrahim, Univeraiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini malam tadi, beliau berkata sebanyak 17 “kawasan panas” telah dikenal pasti dan menjadi tumpuan pada PRN kali ini antaranya berdasarkan sentimen persaingan politik.

Kamarul Zaman berkata seramai 10,988 anggota dan pegawai melibatkan 5,594 pegawai dan anggota daripada Kontinjen Johor dan 5,394 lagi bantuan luar telah bersiap siaga bagi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negeri ini bagi memastikan kelancaran PRN untuk rakyat keluar mengundi dan proses demokrasi.

Daripada jumlah berkenaan, katanya sebanyak 112 pasukan khas yang dikenali sebagai “Pasukan Cantas PRN Johor” melibatkan 448 pegawai dan anggota telah diatur gerak untuk menjaga keselamatan serta menjalankan risikan.

Hari ini merupakan hari pengundian bagi PRN Johor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Terbuka Jerman: Zii Jia mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia menepati ramalan melangkah ke pentas separuh akhir Terbuka Jerman 2022 selepas menewaskan Zhao Junpeng dari China dalam aksi suku akhir semalam.

Turun selaku pilihan kelima, Zii Jia menang mudah set pertama 21-12 namun pemain China yang menduduki ranking ke-38 dunia itu cuba memberikan tentangan sengit pada set kedua, sebelum Zii Jia menang 21-18 dalam kejohanan berlangsung di Westenergie Sporthalle, Muelheim.

Pemain berusia 23 tahun di ranking ketujuh dunia itu dijangka akan membuat perhitungan bagi menentukan tempat ke final pada separuh akhir esok menentang pemenang satu lagi perlawanan suku akhir di antara Kenta Nishimoto dari Jepun dengan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang akan berlangsung lewat semalam.

Dalam pada itu hasrat beregu wanita Vivian Hoo-Lim Chiew Sien untuk memburu slot penentuan empat terakhir tidak kesampaian apabila tewas di tangan pilihan pertama Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China.

Qing Chen-Yi Fan mengambil masa selama 42 minit untuk menewaskan gandingan negara, 21-15 22-20

Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dijangka akan bertemu gandingan Du Yue-Li Wen Mei dari China atau Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand dalam pertemuan separuh akhir esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Johor mengundi hari ini, 1,021 pusat undi dibuka mulai 8 pagi

JOHOR BAHRU, 12 MAC: Hari ini rakyat Johor mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 bagi memilih kerajaan negeri baharu, menyaksikan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman mengundi buat pertama kalinya.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi bersedia membuka pintu bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 36,729 kertas undi pos telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan menjalankan tanggungjawab mengundi awal, pada Selasa (8 Mac) lepas.

Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal seperti yang diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing ditutup pada 11 pagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil, Mersing pada 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pada 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang.

Pada PRN Johor kali ini, seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia merangkumi parti Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Pakatan Harapan bersama parti komponennya PKR yang bertanding atas logo sendiri serta rakan strategik gabungan itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA); Parti Warisan (Warisan); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Dua kerusi DUN menyaksikan pertandingan tujuh penjuru; empat kerusi DUN melibatkan enam penjuru; lapan kerusi DUN melibatkan lima penjuru dan 35 kerusi (empat penjuru).

Antara pemimpin yang dijangka menjadi tumpuan ialah bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad yang akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Raja, Pekan Nanas di Pontian, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar di Muar, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Sekolah Agama Taman Sri Lambak, Kluang dan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di SK Taman Sutera di sini.

PRN Johor hari ini, adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

Semasa proses pengundian PRN Johor berlangsung, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS) perlu memohon pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca pada sebelah pagi cerah di seluruh Johor dengan suhu sepanjang hari pengundian antara 23 hingga 33 darjah Celsius.

Ribut petir pula diramal berlaku pada sebelah petang di tujuh daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pengawal keselamatan maut insiden rompakan di Puchong Prima

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditembak manakala seorang lagi cedera dalam satu rompakan nekad berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata kejadian berkenaan berlaku pada 5.50 petang.

Menurutnya, semasa kejadian terdapat empat pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk mengambil wang tunai daripada sebuah bank untuk diangkut ke dalam van syarikat keselamatan dengan seorang pemandu menunggu dalam kenderaan.

Katanya ketika mereka mengambil wang di bank berkenaan, dua pengawal keselamatan berada di dalam bank manakala seorang pengawal keselamatan berada di antara bank dan van itu dan seorang lagi pengawal keselamatan bersama pemandu berada dalam kenderaan.

Menurutnya ketika kejadian, pengawal keselamatan yang berada di antara bank dan van sedang menyerahkan karung berisi wang kepada rakannya yang menunggu di van dan pada masa itu seorang suspek lelaki meluru ke arah mereka untuk merampas karung wang itu lalu berlaku pergelutan antara mereka bertiga.

Kemudian kata Abd Khalid suspek berusia 38 tahun disyaki memukul salah seorang daripada pengawal keselamatan sehingga cedera dan menembak seorang lagi pengawal keselamatan sebelum melarikan karung berisi wang itu.

Katanya pemandu van keselamatan yang panik segera membawa pengawal keselamatan yang cedera di bahagian tulang belakang masuk ke dalam van dan memandu van itu sehingga ke Puchong Perdana, tidak jauh dari lokasi kejadian dan mangsa yang cedera itu disahkan meninggal dunia di dalam van.

Sementara itu, Abd Khalid berkata suspek yang dipercayai melakukan jenayah itu secara bersendirian berjaya ditahan di tempat awam sekitar Seksyen 24, Shah Alam pada 7 malam hari sama bersama karung berisi wang tunai namun jumlah wang yang dibawa lari suspek masih dalam siasatan.

Menurutnya pistol yang disyaki digunakan suspek menembak pengawal keselamatan berkenaan ditemukan di lokasi lain dan polis masih menyiasat kenderaan yang digunakan suspek semasa melarikan diri.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira 5 lebih petang.

“Saya melihat ada sebuah van keselamatan berhenti di hadapan bank…datang seorang lelaki menghampiri pengawal keselamatan berkenaan lalu saya terdengar bunyi das tembakan dilepaskan,” katanya.

– BERNAMA