Categories
SELANGOR SUKANKINI

Azrif Nasrulhaq kini milik JDT

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUL: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) secara rasmi mengumumkan perpindahan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham ke pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Pengurus Pasukan Selangor, Amirudin Shari, berkata FAS sudah mencapai kata sepakat bersama Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan bersetuju melepaskan pertahanan kanan Selangor itu, namun kedua-dua pihak enggan mendedahkan nilai perpindahan.

yb amir markshort 5-web“FAS telah meneliti, berpuas hati dan bersetuju dengan tawaran dilakukan JDT ke atas Mohd Azrif. Namun butir-butir persetujuan dan jumlah perpindahan Mohd Azrif ke JDT tidak akan didedahkan demi kebaikan semua pihak.

“Aksi Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur pada Selasa lalu adalah yang terakhir buat Mohd Azrif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin menjelaskan FAS sedang dalam perbincangan mengikat seorang pemain berkebolehan bagi mengisi kekosongan dan perkembangan lanjut berkaitan kemasukkan pemain baru akan diumumkan sebelum jendela perpindahan pemain ditutup.

Selain Mohd Azrif, FAS turut mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Robert Cornwhaite yang ditamatkan kontrak atas sumbangan sepanjang menyarung jersi Merah Kuning.

Posisi Cornwhaite sudah diisi dengan kehadiran tonggak dari Nigeria, Ugochukwu Ukah.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SUKANKINI

Kasma teruja sertai latihan Yamaha-VR46 Master Camp

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUL: Pelumba muda berbakat, Kasma Daniel Kasmayudin berjaya menamatkan sesi latihan intensif Yamaha-VR46 Master Camp bersama empat pelumba Asia lain di Akademi VR46 milik juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi di Tavullia, Itali.

Pelumba berusia 16 tahun itu terpilih menyertai kem latihan pada 4 hingga 11 Julai lalu bersama empat lagi pelumba Yamaha, Peerapong Loiboonpeng dari Thailand, Galang Hendra Pratama dan Imanuel Putra Pratna (Indonesia) serta Soichiro Minamimoto (Jepun) berdasarkan persembahan cemerlang dalam siri perlumbaan Asia Production 250cc Kejuaraan Motosikal Asia 2016.

VR46 aKasma berkata, beliau sangat teruja berpeluang berlumba bersama Rossi di litar latihan ‘flat track’ dan di Litar Misano selain menggunakan jentera ‘dirt bike’.

“Saya banyak pelajari dalam setiap program latihan dan sangat gembira dengan pengalaman ini. Namun, sedih apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kejurulatihan VR46.

“Pengalaman lima hari di sini sangat berguna dan juga merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan. Terima kasih kepada pihak Yamaha, jurulatih kami dan juga seluruh kakitangan VR46 yang telah mengatur program latihan sangat menakjubkan,” katanya.

Katanya, latihan dengan menggunakan jentera ‘dirt bike’ dianggap antara latihan terbaik dalam membantu meningkatkan kemahiran pelumba mengawal jentera.

Program selama lima hari itu dibentuk Rossi dengan memberi tumpuan terhadap kecergasan fizikal pelumba dan kawalan jentera sebagai faktor utama yang dapat membantu proses perkembangan serta meningkatkan kemahiran pelumba.

VR46Bagi legenda MotoGP, Rossi sendiri menganggap siri latihan bersama lima pelumba itu mencapai keputusan diharapkan.

“Mudah-mudahan mereka menerima pendedahan yang sangat berguna di Akademi VR46, bukan sekadar pengetahuan dan juga kemahiran, sebaliknya juga kekuatan mental.

“Kesemua mereka merupakan pelumba yang bagus dan cepat belajar walaupun banyak perkara yang terpaksa dipelajari dalam tempoh beberapa hari sahaja,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Aslam cipta nama peringkat dunia, tajaan pelbagai pihak mampu buah hasil

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kesungguhan Megat Ahmad Aslam Megat Azman dalam sukan kapal layar bagi kategori ‘match racing’ hingga membolehkan beliau bersama pasukannya, Alpha Racing Team merangkul tempat kedua dalam pertandingan kapal layar di Tasik Ledro, Itali diharap dapat membuka mata pihak korporat dan badan berwajib di negara ini.

Bapa pelayar berusia 23 tahun itu, Megat Azman, berkata ia berikutan penglibatan Megat Ahmad Aslam dalam kategori itu mampu membuahkan hasil lebih baik untuk sukan kapal layar negara jika mendapat sokongan pihak terbabit.

aslam1“Saya amat berharap badan korporat seperti di negara maju apabila jenama besar seperti Audi, Volvo dan Puma menaja pasukan kategori match racing ini begitu hebat sekali. Kita harap ada pihak di negara ini sudi melibatkan diri dalam kategori ini.

“Pada masa ini dengan perbelanjaan sendiri iaitu bantuan bapa saudara dia, Aslam akan berada di Eropah selama sebulan untuk mendapatkan pendedahan dan cuba mendapatkan peluang yang ada di sana.

“Komitmen Aslam yang tinggi seharusnya ada pihak yang boleh memberikan sokongan dan bantuan seperti penajaan kerana saya melihat sukan ini adalah sukan baru yang berpotensi serta harus diberi perhatian pihak berwajib,” katanya kepada SelangorKini, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, potensi kategori match racing dapat dilihat apabila kebanyakan kejohanan sukan kapal layar berprestij dunia seperti American Cup turut menjadikannya sebagai kategori tertinggi dalam kejohanan masing-masing.

Katanya, ketika ini Megat Ahmad Aslam berjaya membuktikan penglibatan pihak berwajib dan badan korporat pada masa akan datang adalah sesuatu yang berbaloi apabila beliau mampu menandingi pasukan yang mempunyai ranking dunia tertinggi.

aslam“Apabila dia memutuskan ingin ke Itali walaupun pertandingan itu berjalan pada hari raya kedua, saya memberi sokongan penuh tetapi kosnya sangat tinggi dan sebenarnya di luar kemampuan tetapi mujur ada bantuan daripada keluarga iaitu bapa saudaranya membantu. Saya berterima kasih sangat kepada adik-beradik dan saudara-mara yang memberi bantuan.

“Dia membuktikannya dan erjaya capai apa yang disasarkan dengan mendapat tempat kedua. Saya sendiri tak sangka keputusan itu kerana dia berlawan dengan pasukan di dalam ranking dunia lebih tinggi,” katanya.

Katanya, Megat Ahmad Aslam sebelum ini juga pernah menyertai beberapa pertandingan regatta lain di seluruh dunia termasuk di Perth, Australia dan kejayaan menduduk tempat ketiga pada kejohanan di Sydney, Australia.

Selain itu, beliau juga pernah mewakili pasukan kebangsaan yang berpangkalan di Pulau Langkawi sebelum mengikut Megat Azman melanjutkan pelajaran ke Australia.

-NFN-

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Red Giants sasar tiga mata lawan KL malam ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 JULAI: The Red Giants menaruh harapan tinggi memulakan kempen Piala Malaysia dengan tiga mata penuh ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, di sini, malam ini.

Walaupun berdepan pasukan Liga Perdana namun Selangor tidak memandang rendah cabaran The Hawks yang mampu menghadirkan kejutan buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu.

Selaku penyandang juara, Zainal tentu merangka strategi mantap bagi mencapai sasaran bagi memudahkan laluan Selangor ke pusingan seterusnya dalam usaha mengekalkan gelaran berprestij itu.

Zainal Abidin“Harapan kita sangat tinggi dalam menghadapi perlawanan ini dan tidak memandang mudah cabaran Kuala Lumpur. Matlamat kita untuk menang dan memungut tiga mata,” katanya.

Berhubung perlawanan malam ini, Zainal berkata, The Red Giants akan turun tanpa kelibat ketua pasukan, Mohd Shahrom Kalam dan pemain tengah, Saiful Ridzuwan Selamat akibat kecederaan.

“Hanya Shahrom dan Saiful tidak dapat diturunkan tetapi pemain lain tidak cedera, malahan Azrif Nasrulhaq juga masih dalam skuad ini,” katanya menyentuh kedudukan pemain itu yang dikaitkan penghijrahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Mantan pemain kebangsaan itu juga menjelaskan setakat ini Selangor hanya menandatangani seorang pemain import baru dari Nigeria, Ugo Ukah, 32, menggantikan Robert Cornthwaite.

Selangor menerusi laman sosial Facebooknya, FA Selangor, menjelaskan sudah menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain kelahiran Itali itu daripada Persatuan Bolasepak Greece.

Kini hanya menunggu kelulusan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi membolehkannya diturunkan menentang Kuala Lumpur, malam ini.

Dalam pusingan awal ini, The Red Giants berada dalam kumpulan B bersama Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur dengan dua pasukan teratas layak ke peringkat suku akhir.

-NFN-

Categories
SUKANKINI

FKK Cup 2016 kembali, 6 kelab antarabangsa turun berentap

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 JUL: Kejohanan Piala Foo Kok Keong (FKK Cup) ke-5 kembali dengan enam kelab antarabangsa berentap, termasuk dari Indonesia, Thailand, Hong Kong, Taiwan, Australia dan Singapura.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata penyertaan menggalakkan saban tahun sejak 2012 membuktikan potensi besar piala itu di pentas global.

FKK CUPKatanya, beliau percaya ia akan menjadi salah satu piala permainan badminton terpenting di arena antarabangsa.

“Kejohanan ini unik kerana mensasarkan pemain senior berusia 35 dan ke atas.

“Untuk makluman, ia juga membariskan banyak bekas superstar badminton sama ada dari Malaysia mahupun Indonesia.

“Antaranya, Foo Kok Keong sendiri, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Bambang Suprianto dan Taufik Hidayat,” katanya dalam sidang media.

Hadir sama ialah Foo Kok Keong, Pengerusi Kejohanan FKK Cup, Alice Soon dan Pengarah Kejohanan, Kapten Quek Peng Chai.

Amirudin berkata, FKK Cup bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat malah turut mempromosi keharmonian kaum.

“Ia juga penting untuk menaikkan semangat juang dalam kalangan pemain dan peminat sukan.

“Semangat sama juga jika diterapkan dalam diri setiap rakyat, nescaya negara kita mampu membangun semaju negara maju lain,” katanya.

-nR-