Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Yonnyboii kedua selepas Siti Nurhaliza di Spotify

Oleh Intan Syuhada Akhir

Walau masih baharu dalam dunia seni dengan lagu pertamanya Sakit, terbit hujung 2019, Yonnyboii tiba-tiba muncul penyanyi kedua popular selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin di Spotify tahun lalu.

Pemuda 24 tahun itu popular dengan lagu Angel dalam aplikasi tersebut, antara ruang digital muzik yang terbesar di dunia dengan lebih 400 juta pendengar aktif sebulan.

Sementara Siti Nurhaliza popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa. Beberapa penyanyi lain yang lebih terkenal seperti Hujan (lagu Jika Sempat) berada di bawah populariti pemuda Setapak itu.

Selain lagu itu, Salahku yang terbit pada 2020 terus melonjak Yonnyboii ke pentas seni negara. Lagu itu yang dikarang dalam masa 30 minit berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 baru-baru ini.

Sayangnya penampilan pertama dalam pertandingan akhir Muzik-Muzik gagal meraih kemenangan.

“Saya masih ingat lagu ini saya hasilkan dalam tempoh yang sangat sekejap lebih kurang setengah jam. Saya duduk di kerusi dan ilham itu datang mengalir.

“Saya tidak sangka lagu ini digemari kerana konsepnya macam lagu bercakap. Tapi nampaknya pendengar betul-betul hayati lirik yang ditulis,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Penyanyi dan komposer Yonniboii

Yonnyboii, nama pentas Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, menyifatkan kelahiran lagu tersebut sebagai magis.

“Tujuan saya menghasilkan muzik cuma satu iaitu ingin berkongsi apa yang saya rasa. Melihat kepada sokongan orang ramai kepada lagu ini, saya rasa hasrat saya sudah tercapai,”katanya.

“Pada waktu itu, saya akui memang banyak perkara yang terjadi ketika bergelar anak seni di scene muzik bawah tanah. Semuanya saya pendam sehingga akhirnya saya menuliskan lagu ini,” cerita beliau lagi.

Berdepan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), Yonnyboii mengakui beliau pernah dijauhi rakan-rakan. Beliau juga menjadi sasaran pembuli sejak zaman persekolahannya sehingga menyebabkannya murung.

Namun, sisi gelap yang dilalui penyanyi dan komposer kelahiran Kuala Lumpur itu sebaliknya menguatkan jiwa Yonnyboii sebagai artis muda.

Namun, tingkah lakunya yang dianggap sedikit aneh kerap menimbulkan salah faham. Bahkan, ada menganggap penyanyi itu mengambil bahan terlarang. Namun, Yonnyboii tegas menyangkal tuduhan itu.

“Bagi saya, muzik adalah cara saya untuk berdamai dengan apa yang ada dalam kepala saya. Muzik adalah hidup saya.

“Setiap pengkarya kena ikhlas dalam menghasilkan lirik dan lagu. Saya tidak menipu dalam karya saya. Bila saya sedih, lagu yang terhasil juga sedih. Begitu juga sebaliknya.

“Siapa yang dengar lagu-lagu saya, mereka sedang membaca diari saya,” tambahnya, yang mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Meski tidak menang ketika tampil di pentas akhir AJL, anak muda itu berjaya memberi persembahan terbaik sehingga mengundang perhatian peminat seni tanah air.

Yonnyboii mula bergiat dalam bidang muzik pada usia remaja enam tahun lalu. Tiga tahun kemudian, Sakit nyanyiannya bersama penyanyi rap Zynakal hingga kini meraih 48 juta tontonan di YouTube.

Karya berkenaan menduduki carta RIM sebagai lagu yang paling banyak distrim selama 14 minggu berturut-turut dan kekal hingga minggu ke-35. Ia juga berjaya mara ke separuh akhir AJL35.

Bagi mengukuhkan kerjaya muziknya, Yonnyboii bekerjasama dengan Caprice menerusi lagu Takut pada 2019, Azlan & The Typewriter (Kelabu) serta Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique (X Missing You), semuanya pada 2020.

Beliau juga menulis lirik lagu hip hop Jangan Keluar dendangan bersama 16 artis naungan Universal Music Malaysia, antaranya Hafiz Hamidun, Alvin Chong, Shila Amzah, Sophia Liana, Rabbit Mac dan Malik Abdullah.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Lebih 100,000 dibantu, bertungkus-lumus gerak usaha bersih sisa banjir

Seminggu selepas Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumum, Kerajaan Negeri terus menghulurkan bantuan RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa bah yang berada di pusat pemindahan sementara.

Diumum pada 21 Disember, tiga hari selepas banjir besar, BSB memberi manfaat kepada 114,081 ketua isi rumah, tidak termasuk 13 keluarga waris korban yang menerima sumbangan RM10,000. 

Setakat 28 Februari, Klang mencatat jumlah penerima paling ramai iaitu 60,427 isi rumah diikuti Petaling (20,948 penduduk) dan Kuala Langat (10,904 orang). Sebanyak 7,834 keluarga di Hulu Langat 6,878 (Sepang), 5,915 (Kuala Selangor) dan 1,041 (Gombak) turut mendapat bantuan tersebut.

Enam keluarga mangsa korban di Klang menerima sumbangan, diikuti Sepang (tiga), Hulu Langat (dua), masing-masing satu di Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima selepas menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) daerah Petaling di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah, Shah Alam pada 28 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain meringankan beban keluarga, Kerajaan Negeri turut bertungkus-lumus menggerakkan usaha membersih sisa banjir dari rumah dan premis perniagaan.  

Diketuai KDEB Waste Management (KDEBWM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), sebanyak 141,186.84 tan metrik sampah dibersihkan dalam tempoh sebulan pertama. 

KDEBWM mengutip 48,589.95 tan metrik diikuti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp WM) yang mengangkut keluar 33,200 tan metrik sampah.

PBT yang mengurus kawasan-kawasan yang dilanda banjir mengeluar banyak sampah, antaranya  Majlis Perbandaran Kajang mengutip 19,631.56 tan metrik, Majlis Bandaraya Shah Alam (18,973 tan metrik) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (18,727 tan metrik).

Pengurusan sampah pukal pascabanjir dijangka berakhir pada hujung bulan ini.

Untuk memulih prasarana awam, enam agensi terlibat, antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Kerajaan Negeri menyediakan RM45.86 juta kepada JPS untuk membaiki ban, tebing dan pintu air, selain membersih saliran air daripada sisa banjir teruk.

Pembaikan jalan raya pula menelan RM23.022 juta, termasuk RM14.62 juta di Hulu Langat untuk kerja baik pulih jalan, tebing dan cerun.

Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Agama Islam Selangor, tentera, polis, bomba, petugas Istana Negara serta sukarelawan membersihkan Masjid Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terjejas akibat banjir pada 25 Disember 2021. Foto Twitter MBSA

Untuk keselesaan umat Islam, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM7.5 juta bagi membantu memulihkan 150 buah masjid, surau dan sekolah agama yang rosak kerana banjir.

Tabung wakaf al-Quran diwujudkan bagi menggantikan naskhah yang rosak dengan pembelian 50,000 unit kitab suci dengan belanja RM1.5 juta.

Pendek kata, sesuai dengan slogan Kerajaan Negeri, Selangor segera bangkit daripada tragedi banjir untuk muncul sebagai wilayah yang tahan uji waima wabak Covid-19 atau bencana alam. 

GERAK KERJA PENGURUSAN BANJIR 
(maklumat sehingga pertengahan Januari kecuali dinyatakan tarikh lain)

Petugas
21,784 orang

Sukarelawan
50,000 orang

Bantuan Selangor Bangkit
114,081 keluarga dapat RM1,000
13 waris terima RM10,000
(setakat 28 Februari)

Aset
3,503 aset atau logistik digerakkan

Kebajikan
227 pusat pemindahan banjir (PPS) tempatkan 11,237 keluarga atau 47,762 orang

Pembersihan sampah banjir

  • KDEB Waste Management: 48,589.95 tan
  • SWCorp: 33,200 tan
  • Majlis Perbandaran Kajang: 19,631.56 tan
  • Majlis Bandaraya Shah Alam: 18,973 tan
  • Majlis Bandaraya Subang Jaya: 18,727 tan
  • Majlis Perbandaran Klang: 9,065.33 tan
  • jumlah: 148,186.84 tan metrik

Prasarana dipulih
367 menara telekomunikasi
1,407 pencawang elektrik

Kematian
25 orang (termasuk 6 warga asing)

Wabak koronavirus
37 positif sebelum ke PPS
209 positif ketika disarin

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir menutup pintu lori Roll On Roll Off (RoRo) terakhir mengangkut sampah pascabanjir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, Shah Alam pada 14 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

SEGERA BERTINDAK BANTU RAKYAT

Walau Selangor tidak diramal bakal mengalami hujan lebat berterusan peringkat merah, Kerajaan Negeri tetap membuat persediaan awal sejak September lagi bagi berdepan ancaman Monsun Timur Laut.

Apabila hujan mencurah-curah mulai 17 Disember, biar tanpa amaran merah Jabatan Meteorologi Malaysia, pentadbiran negeri sudah bersiap sedia mengharungi banjir luar biasa seawal tengah hari 18 Disember.

Mesyuarat penyelarasan operasi menyelamat dan bantuan yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diadakan jam 3 petang setelah laporan banjir semakin banyak diterima.

Keadaan luar biasa tersebut diakui sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob:

“Banjir di negeri Selangor yang bermula pada hari 18 Disember 2021 telah berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

“Pada masa yang sama, kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk,” katanya ketika membentang laporan bencana pada sidang khas Dewan Rakyat awal tahun ini.

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini.”

Wartawan NADIAH ZAMLUS menyediakan fakta lengkap perkembangan penting bagaimana cepat dan tangkasnya Kerajaan Negeri menangani banjir besar hujung tahun lepas:

6 September

Mesyuarat pengurusan dan bantuan bencana dan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut

7 September

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) adakan bengkel dan latihan simulasi penyelarasan bencana bagi Monsun Timur Laut

22 Oktober 

Mesyuarat penyelarasan Monsun Timur Laut dan air laut pasang besar

1 November 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) beri amaran Monsun Timur Laut di negeri-negeri Pantai Timur bermula awal November hingga Mac 2022 tetapi Selangor tidak dinyatakan

17 November 

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor keluar kenyataan MetMalaysia jangka purata hujan sebulan: 250-370mm (November), 200-300mm (Disember) dan 150-230mm (Januari)

17 Disember

Tiada amaran hujan lebat dikeluarkan, hanya amaran kuning (waspada) di sebahagian utara Selangor walau Klang sudah dinaiki air sejak tengah malam sebelumnya

18 Disember 

Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor hanya dikeluarkan jam 2 petang walau hujan mencurah-curah sejak semalam

  • Dato’ Menteri Besar ketuai mesyuarat penyelarasan banjir bersama agensi kerajaan pada 3 petang
  • Agensi penyelamat barisan hadapan terus digerakkan, 46 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan 3,582 mangsa di Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor
  • Pusat Operasi SMART Selangor beroperasi 24 jam untuk selaras bantuan dan operasi menyelamat
  • Sebanyak 134 pintu air ditutup bagi mengelak limpahan air laut pasang besar
  • Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan sekali lagi jam 8 malam
  • Nombor telefon bilik gerakan UPBN, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan dihebahkan kepada umum untuk salur bantuan dan operasi menyelamat
  • Menulis di Twitter jam 8.52 malam, Dato’ Menteri Besar maklumkan Selangor mohon bantuan kerajaan persekutuan melalui perdana menteri dan menteri pertahanan
  • Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan lagi jam 10.30 malam
  • Dato’ Menteri Besar memantau PPS di Padang Jawa, Shah Alam setelah gagal ke kawasan-kawasan lain berdekatan akibat hubungan jalan raya terputus
  • Nombor telefon pusat operasi banjir 24 jam selama tujuh hari dihebahkan kepada umum

19 Disember 

Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan jam 1.40 pagi

  • Dato’ Menteri Besar melawat PPS di Klang dan Kuala Langat termasuk membantu membawa keluar bayi, warga emas dan wanita yang perlukan perhatian khusus
  • Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, DYTM Raja Muda Selangor dan perdana menteri masing-masing melawat mangsa banjir di lokasi berbeza
  • Setiausaha kerajaan negeri ketuai mesyuarat penyelarasan banjir hari kedua bersama agensi kerajaan pada 8 malam

20 Disember

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menggerakkan lebih banyak bot, pam, jentera dan lori ke lokasi sangat memerlukan

  • Setiausaha kerajaan negeri ketuai mesyuarat penyelarasan banjir kali ketiga bersama agensi kerajaan pada 12 tengah hari
  • Dato’ Menteri Besar ketuai mesyuarat penyelarasan banjir keempat bersama wakil-wakil rakyat termasuk pembangkang negeri pada 5.30 petang
  • Seramai 32,044 mangsa ditempatkan di 162 PPS seluruh negeri dengan Klang merekod jumlah tertinggi 18,838 orang
  • Operasi menyelamat dan menyalurkan terus digerakkan termasuk Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (Serve)
  • Makin ramai berjaya dipindahkan ke 203 PPS yang tempatkan lebih 30,000 penduduk (atau 4,672 ketua isi rumah)

21 Disember

Sidang media Dato’ Menteri Besar, umum perkembangan terkini usaha menyelamat mangsa banjir dan fasa pembersihan pascabanjir serta pemulihan

  • Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dengan dana RM100 juta diumum:
    -RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa banjir
    -RM10,000 bagi waris mangsa yang meninggal dunia
    -bil air selama sebulan dikecuali kepada mangsa bah
    -penangguhan bayaran balik peniaga kecil selama dua bulan
    -RM20 juta pembersihan, RM80 juta pembinaan prasarana
  • Pusat penyelarasan orang ramai sebagai sukarelawan dan pusat pengurusan bantuan banjir dibuka

22 Disember

Sebanyak 192 PPS masih dibuka dengan 29,024 penduduk, tidak termasuk lokasi dan PPS yang dibuka orang awam

  • Sejak air surut pada 19 Disember, pihak berkuasa tempatan dan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management meningkat usaha pembersihan

23 Disember

RM10 juta disediakan kepada JPS bagi naik taraf sistem saliran di Taman Sri Muda, Klang

26 Disember

Sebanyak 177 daripada 186 kawasan banjir surut

  • Polis sahkan 25 orang meninggal dunia akibat banjir
  • Sebelas stesen pemindahan sementara sampah pukal telah dibuka bagi percepatkan kerja pembersihan

5 Januari

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sasar beli 50,000 al-Quran bagi ganti naskhah yang musnah

7 Januari

RM40.88 juta diluluskan Kerajaan Negeri bagi projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur

  • RM4 juta disedia bagi bantu 40,000 murid terjejas banjir

20 Januari 

Perdana menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)

28 Januari

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) anggar Selangor rugi RM3.1 bilion akibat bah, kira-kira 50 peratus jumlah seluruh negara

  • DOSM dapati ramai mangsa bah di Klang kembali hidup seperti biasa tidak sampai sebulan selepas bencana

4 Februari

Kerajaan timbang cadangan bina terowong saluran air banjir bawah tanah seperti di Kuala Lumpur di kawasan berpenduduk padat

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Sedia awal hadapi bah, hujan luar biasa melebihi kemampuan jentera negeri

Oleh AMIN RIDZUAN ISHAK dan NADIAH ZAMLUS

Tohmahan Kerajaan Selangor tidak bersedia berdepan bencana Disember lalu hanya dakwaan kosong kerana pelan perancangan telah dibuat sejak September meski negeri ini tidak diramal diancam hujan luar biasa.

Bermula daripada mesyuarat penyelarasan, pemberitahuan amaran banjir, persediaan pusat pemindahan sementara dan penyediaan keperluan asas mangsa semuanya sudah diatur sebaik mungkin.

Namun bencana kali ini cukup luar biasa sehingga melebihi kemampuan jentera negeri seperti diakui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang khas Parlimen 20 Januari lalu.

Selain curahan hujan sehingga 380 milimeter (mm), melebihi purata taburan hujan sebulan, fenomena air laut pasang besar memburukkan lagi keadaan pada 17 dan 18 Disember.

Keadaan di sekitar Kampung Sungai Lui yang terjejas teruk selepas dilanda banjir ketika tinjauan Media Selangor di Hulu Langat pada 21 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Persediaan awal Kerajaan Negeri dibuat menerusi mesyuarat pertama pengurusan Monsun Timur Laut pada 6 September yang dipengerusikan setiausaha kerajaan negeri ketika itu Dato’ Nor Azmie Diron.

Keesokannya, latihan simulasi penyelarasan bantuan banjir dan  operasi menyelamat dikendalikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Pada 22 Oktober pula, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, waktu itu pegawai kewangan negeri, mempengerusikan mesyuarat penyelarasan banjir sekali lagi, termasuk dampak air pasang besar.

Tindakan segera diambil agensi-agensi negeri dan pusat yang memantau lokasi pesisir pantai di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor serta menutup pantai daripada kunjungan orang ramai.

Amaran risiko banjir ketika Monsun Timur Laut juga sudah dikeluarkan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) menerusi siaran media pada 17 November lalu, menyusuli kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) awal bulan tersebut.

Kenyataan MetMalaysia bagaimanapun tidak menyebut Selangor diramal menerima hujan lebat berterusan sepanjang musim berkenaan. Seperti biasa ramalan awal itu menyebut risiko hujan di negeri Pantai Timur.

UPBN, bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, menasihat penduduk di kawasan berisiko di semua sembilan daerah agar bersedia susulan purata taburan hujan sebulan (ulang: sebulan) diramal di antara 140 mm hingga 300 mm antara November hingga Mac tahun ini.

Buka pusat pemindahan

Persiapan rapi turut meliputi penyediaan 604 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri yang boleh menempatkan puluhan ribu mangsa. Kerajaan Selangor menyediakan enam pusat berkapasiti besar yang mampu memuatkan lebih 2,000 orang, 50 premis PPS sederhana (501 hingga 2,000 orang) dan 548 premis kecil (hingga 500 orang).

Akibat tiada ramalan hujan luar biasa, bantuan makanan dan kelengkapan asas disediakan untuk menghadapi bencana tahap biasa yang mampu menampung keperluan 5,000 mangsa dalam tempoh 10 hari.

Bagi menampung keperluan tambahan tenaga sukarelawan ketika banjir, Kerajaan Negeri menggerakkan pasukan Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (Serve) untuk membantu mengedar makanan dengan segera.

Sukarelawan Team Selangor bertungkus-lumus menyediakan pek makanan kepada mangsa terjejas banjir di beberapa daerah di Selangor. Foto Team Selangor

Bencana kali ini sememangnya luar biasa. Banyak jabatan dan orang ramai tidak menjangkakan banjir boleh seburuk ini. Hujan lebat mencurah-curah dalam dua atau tiga hari mengatasi purata sebulan.

Jumlah hujan tersebut seumpama fenomena yang berlaku setiap 100 tahun sekali, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang. Malah ramai penduduk teringat banjir besar di Selangor dan Kuala Lumpur pada 1971.

Faktor dikenal pasti menjadi penyumbang banjir luar biasa:

Pertamanya, pembentukan sel tekanan rendah di perairan Selat Melaka menyebabkan hujan lebat berterusan di Pantai Barat Semenanjung.

Kedua, curahan hujan tinggi direkodkan pada 18 Disember; berdasarkan data KASA, tiga stesen merekodkan taburan tinggi, Sentul (363 mm), Gombak (247 mm) dan Jinjang (258mm).

Ketiga, fenomena air laut pasang besar dengan ketinggian 4.5 meter pada 4.57 pagi 18 Disember yang menyebabkan 134 pintu air terpaksa ditutup bagi elak limpahan.

Keempat, akibat curahan hujan tersebut, sistem saliran tidak mampu menampung kuantiti tinggi air serentak.

Apa kata perdana menteri

  • Taburan hujan luar biasa

Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak.

Banjir di negeri Selangor yang bermula pada hari 18 Disember 2021 telah berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

Pada masa yang sama, kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.
Di luar kemampuan Selangor Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini.

… impak taburan hujan yang tinggi ini, sangat tidak diduga oleh semua pihak. Sebagai contoh,
meskipun penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sudah biasa berdepan banjir kilat akibat hujan lebat
namun mereka tidak menyangka air akan naik begitu cepat dan tinggi pada kali ini.

  • Bot penyelamat sukar bergerak

Kerja-kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan yang terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan sehingga ada keadaan yang mana aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terlibat.

Selain itu, bot-bot penyelamat juga sukar untuk bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas.

Kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti kerana sudah ditenggelami air.

  • Pusat pemindahan ditenggelami air

Selain daripada itu, sekolah dan fasiliti yang telah diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara
(PPS) pula turut ditenggelami air. Justeru, PPS ad hoc (tanpa perancangan) diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid malahan khemah sementara juga telah didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan.

Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir menyebabkan
penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan. Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini.

*Ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang khas Dewan Rakyat, 20 Januari 2022

Segera bertindak bantu rakyat

Walau Selangor tidak diramal bakal mengalami hujan lebat berterusan peringkat merah, Kerajaan Negeri tetap membuat persediaan awal sejak September lagi bagi berdepan ancaman Monsun Timur Laut.

Apabila hujan mencurah-curah mulai 17 Disember, biar tanpa amaran merah Jabatan Meteorologi Malaysia, pentadbiran negeri sudah bersiap sedia mengharungi banjir luar biasa seawal tengah hari 18 Disember.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana pada 22 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

Mesyuarat penyelarasan operasi menyelamat dan bantuan yang diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diadakan jam 3 petang setelah laporan banjir semakin banyak diterima.

Keadaan luar biasa tersebut diakui sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob:

“Banjir di negeri Selangor yang bermula pada hari 18 Disember 2021 telah berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan.

“Pada masa yang sama, kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk,” katanya ketika membentang laporan bencana pada sidang khas Dewan Rakyat awal tahun ini.

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini.”

Wartawan NADIAH ZAMLUS menyediakan fakta lengkap perkembangan penting bagaimana cepat dan tangkasnya Kerajaan Negeri menangani banjir besar hujung tahun lepas:

6 September

Mesyuarat pengurusan dan bantuan bencana dan persiapan menghadapi Monsun Timur Laut

7 September

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) adakan bengkel dan latihan simulasi penyelarasan bencana bagi Monsun Timur Laut

22 Oktober 

Mesyuarat penyelarasan Monsun Timur Laut dan air laut pasang besar

1 November 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) beri amaran Monsun Timur Laut di negeri-negeri Pantai Timur bermula awal November hingga Mac 2022 tetapi Selangor tidak dinyatakan

17 November 

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor keluar kenyataan MetMalaysia jangka purata hujan sebulan: 250-370mm (November), 200-300mm (Disember) dan 150-230mm (Januari)

17 Disember

Tiada amaran hujan lebat dikeluarkan, hanya amaran kuning (waspada) di sebahagian utara Selangor walau Klang sudah dinaiki air sejak tengah malam sebelumnya

Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari membantu mangsa banjir termasuk ibu, bayi baru lahir dan beberapa warga emas di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, Seksyen 23, Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto Radin Wazir

18 Disember 

Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor hanya dikeluarkan jam 2 petang walau hujan mencurah-curah sejak semalam

  • Dato’ Menteri Besar ketuai mesyuarat penyelarasan banjir bersama agensi kerajaan pada 3 petang
  • Agensi penyelamat barisan hadapan terus digerakkan, 46 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan 3,582 mangsa di Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor
  • Pusat Operasi SMART Selangor beroperasi 24 jam untuk selaras bantuan dan operasi menyelamat
  • Sebanyak 134 pintu air ditutup bagi mengelak limpahan air laut pasang besar
  • Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan sekali lagi jam 8 malam
  • Nombor telefon bilik gerakan UPBN, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan dihebahkan kepada umum untuk salur bantuan dan operasi menyelamat
  • Menulis di Twitter jam 8.52 malam, Dato’ Menteri Besar maklumkan Selangor mohon bantuan kerajaan persekutuan melalui perdana menteri dan menteri pertahanan
  • Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan lagi jam 10.30 malam
  • Dato’ Menteri Besar memantau PPS di Padang Jawa, Shah Alam setelah gagal ke kawasan-kawasan lain berdekatan akibat hubungan jalan raya terputus
  • Nombor telefon pusat operasi banjir 24 jam selama tujuh hari dihebahkan kepada umum

19 Disember 

Amaran hujan sangat lebat yang berterusan atau amaran merah (bahaya) di seluruh Selangor dikeluarkan jam 1.40 pagi

  • Dato’ Menteri Besar melawat PPS di Klang dan Kuala Langat termasuk membantu membawa keluar bayi, warga emas dan wanita yang perlukan perhatian khusus
  • Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, DYTM Raja Muda Selangor dan perdana menteri masing-masing melawat mangsa banjir di lokasi berbeza
  • Setiausaha kerajaan negeri ketuai mesyuarat penyelarasan banjir hari kedua bersama agensi kerajaan pada 8 malam

20 Disember

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menggerakkan lebih banyak bot, pam, jentera dan lori ke lokasi sangat memerlukan

  • Setiausaha kerajaan negeri ketuai mesyuarat penyelarasan banjir kali ketiga bersama agensi kerajaan pada 12 tengah hari
  • Dato’ Menteri Besar ketuai mesyuarat penyelarasan banjir keempat bersama wakil-wakil rakyat termasuk pembangkang negeri pada 5.30 petang
  • Seramai 32,044 mangsa ditempatkan di 162 PPS seluruh negeri dengan Klang merekod jumlah tertinggi 18,838 orang
  • Operasi menyelamat dan menyalurkan terus digerakkan termasuk Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (Serve)
  • Makin ramai berjaya dipindahkan ke 203 PPS yang tempatkan lebih 30,000 penduduk (atau 4,672 ketua isi rumah)
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada penduduk terkesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

21 Disember

Sidang media Dato’ Menteri Besar, umum perkembangan terkini usaha menyelamat mangsa banjir dan fasa pembersihan pascabanjir serta pemulihan

  • Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dengan dana RM100 juta diumum:
    -RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa banjir
    -RM10,000 bagi waris mangsa yang meninggal dunia
    -bil air selama sebulan dikecuali kepada mangsa bah
    -penangguhan bayaran balik peniaga kecil selama dua bulan
    -RM20 juta pembersihan, RM80 juta pembinaan prasarana
  • Pusat penyelarasan orang ramai sebagai sukarelawan dan pusat pengurusan bantuan banjir dibuka
Kerja pembersihan pascabanjir dilaksanakan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

22 Disember

Sebanyak 192 PPS masih dibuka dengan 29,024 penduduk, tidak termasuk lokasi dan PPS yang dibuka orang awam

  • Sejak air surut pada 19 Disember, pihak berkuasa tempatan dan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management meningkat usaha pembersihan

23 Disember

RM10 juta disediakan kepada JPS bagi naik taraf sistem saliran di Taman Sri Muda, Klang

26 Disember

Sebanyak 177 daripada 186 kawasan banjir surut

  • Polis sahkan 25 orang meninggal dunia akibat banjir
  • Sebelas stesen pemindahan sementara sampah pukal telah dibuka bagi percepatkan kerja pembersihan

5 Januari

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sasar beli 50,000 al-Quran bagi ganti naskhah yang musnah

7 Januari

RM40.88 juta diluluskan Kerajaan Negeri bagi projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur

  • RM4 juta disedia bagi bantu 40,000 murid terjejas banjir
Sukarelawan Team Selangor melupuskan naskhah al-Quran yang rosak akibat banjir di Pusat Pelupusan al-Quran, Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 15 Januari 2022. Foto Facebook Selangor Lestari by Team Selangor

20 Januari 

Perdana menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)

28 Januari

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) anggar Selangor rugi RM3.1 bilion akibat bah, kira-kira 50 peratus jumlah seluruh negara

  • DOSM dapati ramai mangsa bah di Klang kembali hidup seperti biasa tidak sampai sebulan selepas bencana

4 Februari

Kerajaan timbang cadangan bina terowong saluran air banjir bawah tanah seperti di Kuala Lumpur di kawasan berpenduduk padat

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN RENCANA WAWANCARA

Pakar: Sedia perubahan iklim, Putrajaya harus bantu negeri

SHAH ALAM, 9 MAC: Benarkah banjir teruk di Selangor dan Pahang akibat taburan hujan luar biasa di Banjaran Titiwangsa? Apakah amaran hujan lebat sudah dikeluarkan?

Untuk mengelak banjir besar berulang, apakah tindakan yang harus diambil oleh Putrajaya? Wajarkah kerajaan melabur berbilion-bilion ringgit untuk membina terowong banjir di bawah tanah?

Ada orang mendakwa taufan di Filipina menyebabkan hujan lebat ke Selangor dan negeri Pantai Barat pada Disember lalu. Apakah benar taufan Rai puncanya?

Selain bersetuju dengan langkah Selangor menangani perubahan iklim, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera Universiti Malaya Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah mengulas isu-isu menarik ini kepada wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK pada 1 Mac.


Boleh Datuk huraikan sistem tekanan rendah di Banjaran Titiwangsa yang menyebabkan hujan lebat hingga banyak kawasan terjejas teruk dilanda banjir termasuk Selangor?

Dalam membuat ramalan, saya menggunakan pelbagai sumber ada termasuk disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengetahui paras sungai. Saya juga guna sumber luar seperti laman sesawang Earth Nullschool yang mengumpul data daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat dan Sistem Ramalan Sejagat (GFS).

Sumber-sumber ini membantu dalam kami membuat ramalan cuaca dan ia boleh disebarkan kepada umum supaya mereka mengambil langkah sewajarnya sesuai dengan situasi semasa.

Data tekanan rendah ini dikesan di Laut China Selatan pada 15 Disember 2021, dibawa angin dari China dan mula memasuki Semenanjung Malaysia menerusi Banjaran Titiwangsa pada keesokan harinya, seawal jam 10 pagi yang secara perlahan-lahan meliputi kawasan luas.

Tekanan dibawa luruan udara sejuk atau monsun, yang bertembung angin kencang selaju 30 hingga 40 km sejam, turut membawa kelembapan yang boleh menyebabkan taburan hujan tinggi untuk jangka panjang dan inilah yang dibawa ke Banjaran Titiwangsa.

Mulanya kami meramal pergerakannya ke Pantai Timur tetapi memasuki pertengahan Banjaran Titiwangsa (pada 16 Disember) disebabkan angin kencang. Jadi kawasan tanah tinggi itu terima hujan tinggi. Bayangkan dalam tiga jam sahaja, ia merekodkan 22 milimiter (mm) yang kemudiannya meningkat sehingga 110 mm.

Pastinya jumlah air di banjaran juga banyak apabila hujan berlarutan sehingga petang 19 Disember 2021. Apabila tidak dapat ditampung, ia mengalir dengan laju dan memasuki alur-alur sungai termasuk ke Selangor.

Penduduk setempat melakukan kerja-kerja pembersihan sekitar pekan Yan yang terjejas akibat tragedi banjir susulan fenomena kepala air sekitar kawasan Gunung Jerai ketika tinjauan pada 20 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Ia juga membentuk fenomena kepala air besar seperti berlaku di Yan, Kedah yang alirannya turut membawa puing banjir seperti selut dan kayu. Ada rakan-rakan saya di Janda Baik, Pahang beritahu kejadian itu berlaku di tempat mereka.

Bestari Jaya (Kuala Selangor) dan Ulu Yam (Hulu Selangor) turut dinaiki air tetapi mungkin tidak terjejas teruk kerana ada kolam takungan Sistem Hibdrid Peningkatan Air Pinggir Sungai (Horas). Begitu juga di Bentong, Pahang. Sebab itu kita tengok keadaan di Telemong cukup teruk apabila kediaman penduduk dipenuhi banjir lumpur serta kayu.

Aliran air dari banjaran sampai ke Hulu Langat mungkin dalam satu jam sahaja, cukup deras dan bawa puing yang menghanyutkan rumah serta kereta penduduk berhampiran sungai.

Cuma saya juga berpendapat dalam tempoh itu, ada juga air dilepaskan dari empangan untuk mengelakkannya pecah dan menyebabkan keadaan lebih buruk berlaku. Sama seperti sekarang apabila banjir melanda Terengganu (hujung Februari), air di empangan Kenyir dilepaskan.


Adakah taufan Rai yang melanda Filipina pada waktu tersebut memberi kesan kepada tekanan rendah di Malaysia?

Sebenarnya ia mematikan luruan monsun apabila kedua-duanya bertembung. Ia menjadi antitaufan. Awalnya memang taufan Rai memberi momentum tambahan tetapi apabila masuk ke dalam, monsun menjadi lemah.

(Arah tiupan) taufan itu berlawan arus dengan Monsun Timur Laut pada 19 Disember. Sebab itu, hujan berhenti pada sebelah petang hari itu.


S: Adakah banjir seperti ini mudah diramal berbanding banjir kilat?

J: Ya, ia memang mudah (diramal) kerana sistem besar ini mempunyai resipi sendiri untuk terjadi. Sekiranya ada luruan udara, monsun dan tekanan rendah, pastinya taburan hujan tinggi. Kita boleh mengesannya menerusi permodelan serta melihat data ramalan.

Banjir kilat pula sukar diramal dan ia hanya berlaku untuk tempoh singkat. Kejadian pada 18 hingga 19 Disember lalu bukan banjir kilat tetapi banjir besar yang kesannya lebih teruk serta memerlukan air surut lebih lama.


Adakah fenomena pengaruh taufan pernah berlaku di Malaysia?

Kejadian ini sama seperti berlaku di Pulau Pinang pada 2017. Bencana itu hampir menjejaskan seluruh negeri itu. Saya kata senarionya sama kerana pusat taburan hujan berada di tempat lain tetapi kesannya teruk dirasai di kawasan lain.

Pada 2017, kajian kami mendapati tekanan rendah yang menjadi punca taburan hujan tinggi berada di Kuala Muda, Kedah tetapi tidak terjejas teruk kerana kawasan itu mempunyai bendang luas. Jadi air dilepaskan ke situ sahaja.

Berbeza dengan Pulau Pinang yang bentuk muka buminya berlembah dan bukan landai. Jadi air naik dengan cepat sehingga menenggelamkan banyak kawasan.

Beberapa kenderaan meredah banjir di Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Bagaimana pula punca banjir di kawasan lain di Selangor seperti Klang dan Shah Alam?

Taburan hujan tinggi dan air pasang besar. Walaupun air pasang besar tidak terlalu tinggi iaitu 4.6 meter tetapi apabila bertembung pula dengan hujan lebat pastinya air dari sungai dan darat tidak boleh mengalir ke laut.

Kalau ikut kajian kami, taburan hujan di Lembah Klang biasanya sekitar 2,000 mm setahun tetapi pada tiga hari bermula 17 Disember, taburan dicatat 300 mm. Boleh bayangkan bagaimana tinggi taburannya.

Sungai yang dalam sekalipun tidak mampu menampung, apatah lagi saliran-saliran kecil. Jadi banyak kawasan, rumah dan premis cepat dinaiki air.


Apakah pandangan Datuk mengenai langkah Kerajaan Selangor ingin mewujud jawatankuasa tetap perubahan iklim (yang dipikul EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian) susulan bencana banjir itu?

Bagus! Maksudnya, sudah ada kesedaran untuk menerima hakikat bahawa perubahan iklim telah menunjukkan bibit-bibitnya sekarang, bukan lagi dijangka 20 tahun akan datang.

Mulai dari sekarang, (kerajaan) harus buat perancangan apa perubahan boleh dilakukan, sektor mana perlu dilihat dan lokasi berpenduduk ramai yang berisiko terjejas. Boleh buat perancangan teliti untuk menghindar masalah pada masa depan.

Masalah bencana ini kita tidak boleh hindar kerana ia berlaku tanpa dirancang. Kita seharusnya merancang untuk berdepan dengan bencana. Lihat senario buruk yang boleh berlaku dan lihat juga aset yang perlu diselamatkan untuk elak kerugian lebih besar.


Bagaimana pula dari segi keanggotaan jawatankuasa?

Saya lebih senang kalau jawatankuasa itu menasihati golongan profesional berbanding ahli politik atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Maaf kata kerana PTD ini lebih berfungsi sebagai pengurus besar dan tidak mengetahui sepenuhnya. Contohnya apabila bercakap berkenaan banjir, ada yang tidak faham.

Bagi saya, perlu ada pakar. Kita ramai pegawai dalam JPS dan ahli akademik yang membuat kajian. Kita tidak buat keputusan yang mungkin disukai orang tetapi kita beri senario sebenarnya dengan telus.


Apakah bentuk pembangunan yang sesuai untuk negara pada masa depan bagi mengelak kerugian akibat bencana?

Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), bawah Perubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada meramalkan kebarangkalian cuaca ekstrem akan meningkat susulan pemanasan global pada masa ini. Kita lihat seluruh dunia terkesan.

Atas sebab itu, kerajaan dari sekarang harus bersedia menghadapi kemungkinan sekiranya bencana alam seperti banjir bakal berulang pada masa depan. Kalau hendak buat projek mitigasi banjir, adakah kita hendak bina satu lagi Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart)? Gabung dengan Horas? Atau buat kolam takungan seperti Taman Wetland Putrajaya?

Kolam takungan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai 600 (Horas 600).

Pada 1971, Kuala Lumpur banjir besar yang menyebabkan kerugian. Masalah di Kuala Lumpur, mereka tiada bendang seperti Kedah untuk salurkan air bagi mengurangkan kesan. Jadi kerajaan rancang projek mitigasi babit pembinaan terowong Smart yang menelan berbilion ringgit (dibina mulai awal 2000-an).

Tetapi perbelanjaan itu perlu untuk melindungi aset dan ekonomi, jadi kerajaan harus melabur.

Dalam situasi di Selangor, saya minta kerajaan pusat melihat keperluan negeri itu kerana Selangor penyumbang utama ekonomi negara. Pelabuhan Klang yang terjejas akibat banjir tempoh hari penting kepada Malaysia untuk menarik pelabur.

Aset dan rakyat di Selangor perlu dijaga kerana sekali lagi bencana sebesar itu berlaku, kerugiannya pasti besar memandangkan kepadatan penduduk. Ruginya bukan sedikit tetapi beratus-ratus juta ringgit dan ribuan kereta ditenggelami air.


Ada dakwaan mengatakan sistem amaran di Malaysia lambat untuk disebar kepada orang ramai, apa komen Datuk?

MetMalaysia dan JPS mempunyai sistem amaran masing-masing kerana memantau aspek berasingan. Lazimnya kalau banjir di daerah, maka pegawai daerah harus menjadi ketua. Manakala di peringkat negeri pula, menteri besar atau ketua menteri dan perdana menteri pula bertanggungjawab di peringkat kebangsaan.

Pada kejadian (hujan dan banjir) 17 hingga 19 Disember 2021, bukan sahaja Selangor terjejas tetapi beberapa negeri antaranya Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. Jadi perkara ini bawah (tanggungjawab) kebangsaan. Masalahnya, pada tiga tarikh itu kawasan terjejas banyak di Pantai Barat, bukan Pantai Timur yang persediaan rapi sudah dilakukan.

Contohnya di Johor dahulu apabila banjir besar berlaku (hujung 2006 dan awal 2017), kajian kita dapati mereka tidak mampu mengendali pengurusan banjir kerana telah lama (Johor) tidak berdepan situasi itu. Jadi kurang kekerapan (banjir) itu menyumbang kepada ketidaksediaan.

Satu lagi kepadatan penduduk. Kita di Lembah Klang ada tujuh juta orang. Bukan mudah hendak menyelaraskan pengurusan sehingga menjadi cacamarba. Tuding-menuding dan salah-menyalah tidak seharusnya berlaku, sebaliknya cari cara selesai masalah.

Harus ambil iktibar banjir besar di Kuala Lumpur pada 1971. Mereka ambil langkah buat projek mitigasi banjir. Selangor juga harus ada kerana status sebagai penjana ekonomi negara.

Di Malaysia, kita tidak buat seperti di luar negara. Contohnya di Thailand, pihak berkuasa akan memastikan Bangkok tidak akan terjejas akibat banjir dengan melepaskan air ke kawasan pedalaman. Mereka akan pertahankan dan tidak mahu Bangkok tenggelam kerana ia pusat ekonomi.

Kena manfaatkan juga kolam dan tasik tinggalan perlombongan timah yang boleh menjadi takungan untuk melepaskan air dengan segera.


Adakah sebarang teknologi yang boleh diguna untuk memperbaik sistem ramalan cuaca dan amaran?

Sebenarnya selepas banjir besar 2014 (di Pantai Timur), kerajaan memang melaksanakan pelbagai langkah dengan memberi geran kepada universiti untuk buat kajian dan dana RM60 juta untuk tingkat sistem ramalan cuaca.

Komputer yang canggih ada di MetMalaysia. JPS juga giat pertingkat keselamatan sungai, simulasi dan permodelan.

Cuma saya rasa masalah sekarang adalah ketiadaan pengurusan memori (kemahiran pegawai) kerana struktur jabatan kita. Orang yang ada pengalaman dan kepakaran akan dipindahkan untuk kenaikan pangkat.

Contohnya, seorang pegawai berpengetahuan menguruskan banjir dan pernah dihantar kursus ke luar negara. Tetapi apabila naik pangkat, pegawai terbabit buat kerja lain pula. Kita di sini naik pangkat untuk jadi pentadbir, bukan profesional.

Jadi kepakaran itu hilang. Kelemahan ini kami kesan ketika mengkaji masalah pengurusan banjir pada 2014. Apabila kami tanya siapa pegawai yang mahir menguruskan banjir? Ada pegawai kata, dialah orangnya tetapi sudah naik pangkat menjadi timbalan pengarah.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Imuda seniman serba boleh, penyeri Pi Mai Pi Mai Tang Tu

Bakat seni pada Imuda bukan sembarangan. ‘Otai’ ini melukis, berlakon, menyanyi, melawak dan mengacara. Pendek kata semua boleh.

Dalam bidang lukisan, beliau sendiri tidak dapat mengingati jumlah karya yang dihasilkan. Antara yang terkenal potret Michael Jackson yang pada asalnya dijual dengan harga RM20,000 tetapi nilainya kini dianggarkan mencecah RM1 juta.

Potret itu ditandatangani raja pop terbabit ketika mengadakan konsert jelajahnya di ibu negara pada 1996 dan kini dipamerkan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

Dalam bidang lakonan, watak Budin yang dibawa dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu bukan sahaja memberi impak besar kepada karier seninya malah kepada peminat sitkom itu sendiri.

Pada era kemuncak, beliau menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian bagi kategori artis lelaki komedi dan beberapa kali tercalon dalam pelbagai anugerah lain.

Sehingga kini beliau membintangi sekurang-kurangnya 31 filem, 11 drama, enam telefilem dan tiga program televisyen seperti rancangan dokumentari pengalaman sendiri dan lain-lain.

Selain Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1, beliau antaranya membintangi filem Mekanik, Kembara Seniman Jalanan, Kekasih Awal dan Akhir, Mat Som dan Driving School.

Pernah jadi ‘mayat’

Lebih 40 tahun Imuda atau nama sebenar Abdul Rahim Muda, 63, aktif dalam industri seni. Sepanjang tempoh itu jugalah pelbagai asam garam dilaluinya selaku anak seni.

Karier sebagai pelakon anak kelahiran Bukit Mertajam Pulau Pinang ini bermula dengan pementasan teater berjudul Mayat pada awal 1980-an dan watak yang dipegang ketika itu adalah sebagai mayat!

Ketika itu beliau bekerja sebagai pembantu pelukis di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun hanya memegang watak mayat, pementasan teater itu membawa beliau ke serata tempat hingga ke Sabah dan Sarawak.

Selepas itu barulah Imuda membuat kemunculan pertama di kaca televisyen melalui slot Drama Minggu ini di TV1 RTM yang membawa watak tambahan dengan bayaran RM50.

Sejak itu beliau lebih kerap mendapat tawaran berlakon dengan watak yang semakin besar.

Tawaran berlakon filem hadir pada 1983 dengan memegang watak pembantu mekanik dalam filem Mekanik bersama pelakon Allahyarham Azmil Mustapha, Susan Lankester, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Terkenal dengan ‘pii raah’

Bagaimanapun namanya memuncak selepas membawakan watak Budin dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Siri televisyen komedi paling lama di negara ini terdiri daripada tiga fasa, bermula dengan pementasan Syy… disiarkan RTM sebelum berpindah ke TV3 dengan tajuk Kampung Seri Wangi dan akhirnya barulah muncul Pi Mai Pi Mai Tang Tu, meletakkan Imuda sebagai ikon komedi tanah air.

Mengimbas kembali keterlibatannya dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu sejak 1985 hingga 2004, Imuda pada mulanya sedikit gementar kerana merasakan dirinya masih mentah dalam bidang lakonan berbanding pelakon lain yang lebih senior.

Ternyata watak Budin pemuda pengutip botol dan tin oleh Imuda begitu menyerlah dengan kemampuannya mencuit hati penonton terutama apabila adegan Budin menggosok paha dan berkata “pii raah!!”

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

“Itu memang ‘tag line’ orang Pulau Pinang tetapi abang tambah sikit dengan tepuk dan gosok paha. Ilham itu pun sebenarnya dapat dengan tidak sengaja.

“Ada satu episod, Budin balik kampung di Pulau Pinang. Bila balik semula ke Kampung Seri Wangi, budak-budak tidak mahu campur dengan dia. Dia bengang dan itulah yang keluar ‘pii raah’. Tidak sangka penonton suka. Mula episod itulah ‘tag line’ itu lekat,” katanya kepada Selangorkini pada 1 Februari.

Populariti Pi Mai Pi Mai Tang Tu menyebabkan kebanyakan peminat memanggil semua pelakon dengan nama watak masing-masing walaupun di dunia sebenar.

Selain watak Budin, satu lagi watak yang masih diingati ramai adalah Sam dalam sitcom 2+1 yang turut dijayakan Susan, Datuk Ziela Jalil, Louisa Chong dan Allahyarham Ahmad Busu.

“Apabila diberi amanah peranan sebagai Sam, abang sendiri cipta watak Sam jadikan lelaki lembut untuk sesuaikan dengan keadaan dia selalu bertandang ke rumah bujang perempuan supaya tidaklah pelik sangat orang macam Sam keluar masuk rumah jiran perempuan.

“Lainlah arwah Ahmad Busu pegang watak penyelenggara bangunan, memang ada alasan masuk rumah perempuan untuk baiki paip dan macam-macam kerja membaiki,” katanya.

Ternyata Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1 banyak membantu menaikkan nama Imuda hingga beliau meraih gelaran Artis Komedi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular 1997/1998.

Artis kelas kedua

Walaupun bergelar Artis Komedi Lelaki Popular namun seperti pelawak lain seangkatan dengannya, Imuda tidak terlepas dengan stigma ‘artis kelas kedua’. Antara kesannya, pelawak semasa era beliau kerap menerima bayaran tidak setimpal.

“Pernah abang mengacarakan satu persembahan pentas di Kuantan bersama artis yang meningkat popular. Abang mengacara pakej sekali dengan melawak. Artis itu sepatutnya naik pentas pukul 10 malam tetapi lewat hampir dua jam kerana ada persembahan lain di Kuala Lumpur.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

“Abang kena ganti dia dekat dua jam dengan persembahan lawak tetapi bayaran sama sahaja, tidak ditambah. Artis itu sampai dekat pukul 12 tengah malam. Nyanyi dua lagu sahaja sebab tidak cukup masa,” katanya.

Undangan persembahan makan malam tahunan di kilang-kilang sekitar Lembah Klang juga terjejas apabila bajet disediakan kebanyakan syarikat yang sebelumnya kerap mengundang beliau digunakan untuk membayar persembahan penyanyi terkenal.

Imuda menyifatkan pelawak sekarang beruntung kerana menerima bayaran lumayan dan mendapat layanan lebih baik.

“Dulu, walaupun kau menang banyak anugerah tetapi tidak boleh letak harga tinggi. Kalau letak harga tinggi, kau duduklah diam-diam, tidak ada tawaran nanti.

“Lain sekarang, tawaran bergantung kepada jumlah pengikut media sosial. Kalau ada berjuta boleh dapat banyak tawaran dan bayaran lumayan tetapi ini boleh bunuh karier pelakon berbakat sebab mahu dapatkan pengikut ramai biasanya kena cantik atau kacak bukan bakat,” katanya.

Akur dengan kehendak pasaran semasa, Imuda sempat menyelitkan nasihat buat artis generasi baharu supaya tidak terlalu mengejar kuantiti hingga menjejaskan kualiti persembahan atau lakonan.

Kartunis 

Menyentuh kariernya sebagai kartunis pula, pertama kali karyanya diterbitkan oleh majalah Gila-Gila bilangan kedua pada Mei 1978 yang dihantar melalui pos.

Sebagai kartunis bebas, selepas itu karyanya turut disiarkan penerbitan lain antaranya majalah Gelihati dan Berita Minggu dengan bayaran kira-kira RM20 setiap satu.

Foto Facebook Imuda A. Rahim Muda

Siri kartun paling terkenal adalah Yushimura dan Birch vs Maharajalela. Jika diamati dua karya terkenal ini, jelas beliau membawa mesej cuba menanam semangat patriotik sekali gus menghargai kemerdekaan dalam kalangan pembaca.

Manakala dalam bidang lukisan, Imuda pernah mengadakan tiga pameran solo dan diundang dalam banyak pameran lukisan lain.

Bercakap tentang perancangan terkini, Imuda tidak menyimpan impian terlalu tinggi berikutan umur yang menjangkau 63 tahun.

“Perancangan sudah tidak banyak sebab umur pun sudah 63 tahun. Kalau mahu merancang banyak-banyak masa muda-muda bolehlah. Cuma sekarang abang mahu teruskan apa yang abang buat, melukis dan buat kelas melukis.

“Dalam lakonan pula mungkin abang mahu buat skrip dan lain-lain kerja belakang tabir. Berlakon pula selagi ada daya. Insya-Allah selagi rezeki masih ada,” katanya mengakhiri perbualan.

Categories
BUDAYA RENCANA

Salah tanggapan

Seorang budak
hati dan bibirnya
merekah riang ria
terhibur mendengar siulan merdu
burung di dalam sangkar.

Disangkanya
burung menyanyi ceria
menyambut hari baharu pagi cemerlang.

Ah
budak itu
terlalu mentah untuk membaca
rintihan pilu di sebalik nyanyian mendayu rayu
mengenangkan zaman bebas langgas
membelah angkasa raya
atau terlena manja dalam pelukan
dedaun segar rendang
dakapan kasih keluarga
di hutan.

Kho Thong Eng

Categories
BUDAYA RENCANA

Sakit jantung

Oleh Abdullah Hussaini

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Hampir dua puluh tahun Jasuli tidak melihat rupa kampung halamannya, atau orang dari kampungnya sejak melarikan diri setelah dituduh bermukah dengan Kak Nab, isteri ketua kampung. Dia sendiri hampir lupa wajah Kak Nab atau lakinya yang menyuruh budak-budak jantan sana melanyaknya. Tiba-tiba hari ini, seorang lelaki bersama isterinya yang singgah di kedai menegurnya.

“Dee, kan?” kata lelaki itu dengan mata dikecilkan sedikit sebelum perlahan-lahan membesarkanya.

Jasuli menggeleng dan berkata kau tersilap orang ni. Dee memang dia. Dee adalah nama timangannya di kampung dulu. Raut mukanya serta-merta bertukar.

“Ah, aku tak silap. Tu, tahi lalat bawah bibir tu. Makin besar, tapi aku masih cam, Dee.”

Dia tidak boleh berkata apa selain tersengih tanda mengiakan. Entah berapa ratus kilometer jarak dari Ulu Tiram dengan Padang Besar, tapi hari ini jarak itu dikecilkan oleh satu sapaan.

“Duduklah, apa nak makan?” pelawa Jasuli selaku tuan gerai.

Pelanggan tidak ramai ketika itu. Dua orang tua berkopiah lusuh sedang rancak berbual. Seorang pemandu lori ralit menatal telefon sambil mengunyah roti canai dan seorang cikgu baru tiba, sedang membelek-belek tali pelitup wajahnya yang tercabut.

“Ya Rabbi, lama sungguh tak jumpa kau. Aku ingat kau dah mati. Amacam sekarang, sihat?”

Angguk. Jasuli mengesat meja dan melihat sekilas. Lelaki itu hanya hendak minum. Teh ais pekat dan kurang manis dua gelas. Jasuli melaung kepada pekerjanya di dapur. Kepalanya tiba-tiba memainkan beberapa potong ingatan lepas. Dia tidak cam siapa lelaki ini. Adakah salah seorang yang pernah memukulnya dulu?

“Dekat dua puluh tahun eh. Lama tu. Tapi, dunia ni memang kecik. Tak sangka berjumpa di sini, kan.”

Lelaki itu masih memandang Jasuli. Senyumannya lebar, menampakkan barisan gigi yang putih dan ada sebatang gigi tercabut. Siapa mamat ni, getus Jasuli. Dan mata isterinya pula tak lepas dari skrin telefon, ralit menonton siaran langsung Facebook.

“Ini Syafiq, ya?” Jasuli sekadar menebak. Kalau boleh dia tak mahu bercakap. Tapi tidak elok pula kalau dia mengunci mulut.

“Eh kau ni. Aku Kamil. Jiran selang dua buah rumah kau dulu. Ingat?”

“Kaaa… mil?”

Jasuli menggesek-gesek dagunya. Dia tidak ingat nama ini. Rupanya pun tak terakam langsung dalam kepala. Namun hatinya makin rasa tidak sedap. Tidak selesa. Rasa menyesal membuka gerai hari ini. Perjumpaan dengan seseorang dari kampungnya dulu adalah perkara terakhir dia mahukan dalam kehidupannya sekarang.

“Nampaknya kau dah lupa banyak benda pasal kampung kau. Eh duduklah dulu, kita sembang sikit.”

“Itulah, sebab dah berumur mungkin,” kata Jasuli sekadar tersengih. Sengihannya dibuat-buat.

Air teh dua gelas sampai. Jasuli menyeluruhi lelaki itu. Kamil? Dia cuba mengingat. Entah siapa. Kamil menghirup teh. Dia tak gunakan straw. Dia keluarkan straw dan letak di atas meja, kemudian mengusap rambutnya ke belakang. Isterinya meletakkan telefon sebentar, melihat Jasuli dan tanya, “Dee? Macam nama pelawak tu?”

Kamil gelak kecil. Dia angguk dan minum lagi teh. Jasuli tak senang duduk.

“Orang kampung panggil dia Dee sebab muka seiras. Cuba tengok betul-betul.”

Si isteri menurunkan sedikit kacamata, merenung dan berkata, “Eh, betullah bang.”

“Macam mana hidup sini, okey?”

“Okey je.”

“Siap berkedai lagi. Dah lama?”

Kenapa lelaki ini begitu mesra? Dia kawan aku kah dulu?

“Bolehlah, nak hidup lepas pencen ni.”

“Pencen? Awal betul pencen. Kau belum sampai lima puluh, kan?”

Sampai umur aku pun dia tahu? Tentu dia tahu juga hal malam itu. Malam ketika dia dijerkah, diserbu dan dilanyak sebelum dapat melarikan diri.

“Tak adalah. Aku kerja swasta sebelum ni. Berhenti awal. Dah puas kerja dengan orang.”

Dia terbiasa bercerita panjang, dan hampir saja melakukannya lagi di depan Kamil. Tapi dia terhenti di situ, tidak mahu lanjutkan apa-apa.

“Ooo… padanlah.”

Jeda. Masing-masing tidak bercakap apa. Kesenyapan itu dipecahkan oleh laungan pemandu lori yang hendak membayar minuman. Sebelum Jasuli sempat bangun, pekerjanya terlebih dahulu mendapatkan pemandu lori itu. Terlepas peluang, rungutnya.

“Kau ingat kan, Kak Nab?”

Tekaannya betul. Kisah silam ini pasti diungkit kembali. Apa hal? Aku sudah berkahwin, dah ada tiga orang anak. Kenapa dibawa kembali kisah silam ini? Jasuli teragak-agak menjawab, “Tak… ingat.”

Kamil merenungnya dalam-dalam. Kepalanya direndah dan diserongkan sedikit lalu telunjuknya diluruskan. Dia berkata, “Kau biar betul. Lupa sungguh?”

Jasuli merasakan adalah satu pengkhianatan kepada sejarah diri jika dia menipu. Tetapi dengan jawapan dalam nada teragak-agak, dia mengisyaratkan bahawa dia tidaklah benar-benar lupa, cuma tidak pasti.

“Dia baru meninggal.”

“Bila?” laju dia bertanya.

“Dalam empat bulan dah.”

Angguk dan senyap.

“Aku masih ingat kejadian tu,” kata Kamil tanpa memandang. Tehnya sudah habis dan dia mengacau-ngacau ketulan ais dengan strawnya.

Mujur kali ini dua pakcik berkopiah minta tambah air. Jasuli cepat-cepat ke dapur. Dia membancuh dengan perlahan, mengacau susu dengan perlahan, semuanya untuk meredakan detak jantung yang kian kencang. Selepas menghantar minuman, Jasuli perasan Kamil sudah tiada. Di meja, sekeping not lima ringgit. Pada mulanya dia tidak mahu pedulikan lelaki itu tetapi mengubah fikiran dan bergegas mendapatkan Kamil yang sudah masuk ke dalam kereta.

“Kak Nab sakit apa?”

Kamil menurunkan tingkap, “Serangan jantung, Dee.”

Lama Jasuli terpaku depan kereta dan menunduk, meraih kembali kenangan.

“Aku pergi dulu ya,” kata Kamil.

Lamunan Jasuli terbubar. Dia mengangkat wajah dan bertanya, “Kejap, kau ingat tidak nama sebenar aku?”

Kamil tertegun, mengetap bibir, menggeleng perlahan sebelum berpaling kepada Jasuli dan membalas, “Tak… ingat.”

Categories
RENCANA WAWANCARA

Gadis mesin gol lincah gelecek bola, asah bakat di Jepun

Oleh Norhayati Yahaya

Seawal usia lima tahun, Nurul Nadia, 20, meminati dunia bola sepak, apatah lagi hasrat tersebut direstui keluarga.

Nurul Nadia, anak bekas askar Roslan Salleh, 49, manakala ibunya Rosliza Arifin, 50, suri rumah pernah menyertai kelab CIMB YFA di Cheras, Kuala Lumpur pada usia lima hingga 10 tahun.

Anak kedua daripada empat beradik itu kemudian berpindah ke Kedah dan terpilih mewakili negeri Jelapang Padi pada usia 15 tahun bagi merebut Piala Tun Sharifah Rodziah, sebuah pertandingan bola sepak wanita kebangsaan.

Dipanggil Adik dalam kalangan rakan-rakan berikutan ketinggiannya 155 sentimeter, beliau menganggap pengalaman paling berharga apabila terpilih menyertai pertandingan bola sepak di Filipina pada usia 18 tahun dan mengikuti latihan bersama Kelab National di Jepun selama tiga bulan ketika berusia 19 tahun.

“Saya tidak pernah menyesali penglibatan dalam sukan bola sepak yang kebanyakannya didominasi  lelaki sebaliknya gembira apabila dikelilingi kawan-kawan,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Menjadikan pemain JDT Safawi Rasid sebagai idola, Nurul Nadia setakat ini menyertai 11 kejohanan bola sepak dan lima pertandingan futsal. Beliau juga pernah mewakili Selangor dan Melaka United.

“Bagi pertandingan futsal pada tahun lalu, saya dapat anugerah pemain terbaik dan penjaring terbanyak,” katanya bermain untuk pasukan The Footsouls.

Bulan lalu, Nurul Nadia dinobat pemain terbaik perlawanan selain memenangi kasut emas apabila menjaring 10 gol dalam kejohanan Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November tahun lalu dengan disertai 10 pasukan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga itu di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.

Ditanya sasaran sebagai pemain bola sepak, Nurul Nadia menyimpan impian mahu beraksi di pentas Sukan SEA dan Piala AFC.

“Saya sebenarnya meminati sukan bola sepak padang sebab saya suka berlari. Saya tidak meletakkan selama mana untuk kekal dalam sukan ini tetapi selagi saya minat, ia akan diteruskan,” katanya yang turut mengajak wanita yang meminati bola sepak supaya terus mengasah bakat.

Menceritakan kehidupan peribadinya pula, Nurul Nadia yang bekerja sebagai penghantar barang sebuah syarikat kurier terkenal sememangnya menggemari kegiatan lasak.

“Saya hidup sendirian di Kuala Lumpur dan memilih untuk tinggal jauh daripada keluarga kerana mahu berdikari.

“Saya seorang yang ringkas dan selesa mengenakan seluar jeans dan berkemeja-T setiap hari. Syukur pekerjaan tidak memerlukan saya mengenakan pakaian ‘formal’ dan saya selesa begini,” tambahnya lag

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ngauman sepi pak belang dek kemusnahan hutan

Lambang kemegahan negara tersepit. Walau diabadi dalam Jata Negara dan cerita rakyat, harimau Malaya menagih ihsan kita untuk terus hidup dek kemusnahan hutan.

Berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama antara 2016 hingga 2018, kurang 200 ekor harimau Malaya masih ada di Semenanjung Malaysia.

Selain konvensyen antarabangsa, ada tiga akta dan tiga enakmen negeri cuba melindungi haiwan istimewa dan digeruni ini tetapi kerosakan hutan yang berterusan masih gagal menyelamatkan Panthera tigris.

Usaha tersebut antaranya mencantumkan semula hutan utama Banjaran Titiwangsa (termasuk selatan Thailand) dengan Banjaran Timur, tanah lembap Chini-Bera hingga ke Endau-Rompin. Kawasan ini seluas 5.3 juta hektar, 80 peratus daripadanya hutan simpan kekal.

Sempena sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia semalam, wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK menyusun maklumat mengenai raja rimba Tanah Melayu.

KEKUATAN

  • mampu melompat setinggi empat meter dan sejauh 12 meter
  • boleh berlari sepantas 60 km sejam
  • memiliki kemahiran serang hendap untuk memburu mangsa
  • perenang yang baik, mampu memburu mangsa ketika berenang

CIRI-CIRI

  • purata berat harimau dewasa 120 kg
  • jangka hayat di habitat asal 10-15 tahun,dalam kurungan
    26 tahun
  • belang harimau jadi identiti individu, ibarat cap jari manusia
Seekor harimau betina kelihatan di ruang pameran dalam program pemuliharaan spesis terancam bertemakan ‘Selamatkan Si Belang’ di Zoo Negara pada 14 September 2019. Foto BERNAMA

HABITAT

  • hutan hujan tropika, tanah pamah ke pergunungan
  • hanya ada di Semenanjung Malaysia iaitu Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu
  • kawasan keliaran dalam lingkungan antara 20 hingga 100 km

KELAHIRAN DAN PEMBESARAN

  • mengawan sepanjang tahun
  • tempoh bunting 16 minggu
  • anak dilahirkan seberat satu hingga dua kg
  • ibu mampu lahirkan sehingga empat anak
  • anak kecil tidak boleh melihat dalam masa 14 hari
  • mula memburu pada usia 18 bulan
  • ibu jaga anak hingga berusia dua tahun
  • kematangan seks jantan ketika empat dan lima tahun
  • kematangan seks betina tiga dan empat tahun

PEMANGSA TERATAS RANTAIAN MAKANAN

  • ada harimau tanda ekosistem hutan terjaga elok
  • pemangsa peringkat tertinggi, perlu haiwan kecil untuk hidup
  • makanan utama: rusa sambar, kijang dan babi hutan
  • kawal populasi spesies mangsa, cipta keseimbangan hutan

PENGARUH DALAM KEBUDAYAAN 

  • simbol keberanian pelbagai etnik termasuk Melayu
  • dikaitkan dengan mitos harimau jadian
  • – watak Tok Wan Rimau dalam filem Waris Jari Hantu menjaga harimau saka
  • – P Ramlee hasilkan filem Sitora Harimau Jadian
  • cerita rakyat Sang Kancil dengan Harimau
  • dua ekor harimau simbol keberanian pada Jata Negara
  • logo organisasi terkemuka seperti Maybank, Proton dan universiti
  • nama pasukan utama bola sepak negara
  • Hari Harimau Sedunia disambut setiap 29 Julai

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Selangor tahan diuji, vaksin ampuh bendung penularan wabak

SHAH ALAM, 3 MAC: Sejak varian baharu dikesan di negara ini pada 3 Disember lalu, Omicron tersebar pantas hingga merekodkan lebih 31,000 kes pada 24 Februari.

Walau jumlah jangkitan hariannya tinggi tetapi lebih 99.5 peratus pesakit berada dalam kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan).

Sesuai dengan jumlah penduduknya sebanyak 6.56 juta orang, Selangor sering mendahului jumlah kes Covid-19 termasuk jangkitan varian membimbangkan itu.

Namun, Kerajaan Negeri telah menunjukkan rekod kejayaannya menangani virus berbahaya itu sejak 2020 dengan program suntikan vaksin dan pakej bantuan untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Petugas Kesihatan Selcare membuat ujian calitan secara pandu lalu kepada peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Sukan Klang pada 1 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN

Menyedari penduduknya padat, kira-kira 20.1 peratus warga Malaysia, Selangor selalu bersiap sedia lebih awal bagi memerangi Covid-19 termasuk sewaktu kes memuncak tahun lepas.

Berkat keberkesanan program suntikan pelalian termasuk program Vaksin Selangor (Selvax), se-
hingga kini, serangan Omicron dapat dibendung ke tahap yang tidak merisaukan.

Untuk merancakkan lagi upaya menangani wabak, Kerajaan Negeri menawarkan 157,000 dos penggalak bawah program Selvax Booster sejak 8 Disember. Setakat 24 Februari, hampir 90,000 warga negeri mengambil manfaat ini.

Selangor turut menyediakan 150,000 dos suntikan untuk Selvax Remaja bagi kumpulan usia 12 hingga 17 tahun mulai 24 Oktober. Selain menyelamatkan nyawa, pemberian vaksin ini membantu membendung penularan di sekolah.

MELEBIHI SASARAN

Selangor yakin vaksinasi antara langkah ampuh menahan badai serangan koronavirus. Sejak awal tahun lalu, Kerajaan Negeri merancang mendapatkan 2.5 juta dos untuk diberi percuma kepada pekerja dan golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Dibuat bagi menampung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Selvax berjaya mempercepatkan suntikan sehingga mencapai 150,000 dos sehari, melebihi sasaran awal 135,000 dos, pada Ogos lalu.

Orang ramai menunggu giliran untuk divaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa, Kuala Kubu Bharu pada 24 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selain itu, Kerajaan Negeri juga merancakkan program Saringan Komuniti bagi mengesan pembawa virus tersebut, lima langkah FTTIS (cari, uji, jejak, asing dan sokong) seperti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Terkenal dan dipuji sebagai negeri yang aktif mengadakan saringan, Kerajaan Negeri menyediakan RM6 juta dalam pakej Kita Selangor 1.0 dan RM10.7 juta lagi dalam Kita Selangor 2.0.

Begitu juga kit kesihatan percuma ketika pesakit kuarantin di rumah yang diperkenalkan di negeri ini menjadi ilham untuk dicontohi pentadbiran Putrajaya.

Kit kesihatan bernilai RM200 disediakan Kerajaan Negeri untuk kegunaan pesakit yang kuarantin di rumah. Selain panduan, ia mengandungi alat pengukur kandungan oksigen, ubat dan jangka suhu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dengan peruntukan RM5 juta, kit ini mengandungi alat pengukur kandungan oksigen (oximeter), ubat-ubatan, jangka suhu dan pelitup muka.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan 60,000 unit ujian sampel air liur ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu keluarga yang ada pesakit Covid-19.

MEMBUAHKAN HASIL

Kerja keras itu mula menunjukkan hasil. Bermula 7 September, kes Covid-19 di Selangor mencatat trend penurunan dari bawah paras 3,000 kepada sekitar 2,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu.

Ia terus menurun sekitar 500 hingga 1,000 kes antara hujung Disember hingga akhir Januari. Namun, serangan Omicron melonjak semula kes mulai Februari kepada lebih 7,000 pada minggu ketiga bulan itu.

Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan penggalak ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berkat kempen vaksinasi dan langkah kawalan yang cepat dan tangkas, sepanjang tahun lalu kes serius terus menurun sepanjang Januari. Pada 31 Disember, angka berikut membuktikan kejayaan tersebut:

■ pesakit dalam wad 257 orang
■ pesakit perlu bantuan pernafasan 33 orang
■ pesakit di unit rawatan rapi 47 orang
■ kematian harian tiga orang

Seperti juga jumlah jangkitan yang meningkat, kategori serius makin bertambah tetapi jumlah pesakit jauh lebih kecil berbanding tahun sebelumnya. Sebagai perbandingan jumlah paling tinggi tahun lepas:

■ pesakit dalam wad 797 orang pada 10 Ogos
■ pesakit perlu bantuan pernafasan 286 orang (12 Julai)
■ pesakit di unit rawatan rapi 516 orang (12 Julai)
■ kematian harian 170 orang (30 Julai)

Sekarang, semua angka pesakit kategori 3 (serangan pada paru-paru), 4 (perlukan bantuan oksigen) dan 5 (teruk) berada pada paras awal Januari.

Sekali lagi, semua ini menunjukkan usaha kerajaan Kerajaan Negeri dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia telah berjaya membuahkan hasil.

Kes Covid-19 di Selangor dan Malaysia antara 1 Julai 2021 hingga 1 November 2021

 

TARIKH PENTING PERANG MELAWAN VIRUS 2021

Bagi menentang Covid-19, Kerajaan Negeri tahun lalu menyediakan dua pakej bantuan Kita Selangor dan Kita Selangor 2.0 dengan jumlah keseluruhan RM625.5 juta.

Seperti juga program pemulihan ekonomi dan dua fasa pakej Selangor Prihatin pada 2020, program bantuan tahun lepas bertujuan ‘menyelamatkan nyawa dan menjamin pendapatan’.

Segenap lapisan penduduk seperti warga emas, orang kelainan upaya, pelajar hingga penjaja dan usahawan mendapat manfaat sewaktu berdepan gelombang besar wabak pada pertengahan tahun.

Berikut kedudukan Selangor dalam arus deras virus sepanjang tahun lalu, termasuk perkembangan semasa di peringkat nasional dalam beberapa sektor penting.

JANUARI

1 Januari
– Negara rekod 2,068 kes, Selangor catat 776 kes baharu

11 Januari
– Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perkenan darurat sehingga 1 Ogos, sebanyak 2,232 kes direkod

13 Januari
– Selangor dan lima negeri lain dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 26 Januari

20 Januari
– Kerajaan Negeri umum pakej bantuan Kita Selangor dengan dampak kewangan RM73.9 juta

Sasaran (antaranya):

  • bantuan makanan petugas hadapan RM3 juta
  •  taska anak kakitangan kesihatan RM1 juta
  • kecuali dan tangguh sewa B40 RM2.7 juta
  • bakul makanan untuk B40 RM1.3 juta
  • lupus pinjaman pelajar RM7.18 juta
  • bantu e-pembelajaran tuisyen percuma
  • saringan komuniti RM6 juta
  • bantuan warga tani RM2 juta

21 Januari
– PKP di Selangor dan enam lagi negeri dilanjut hingga 4 Februari

FEBRUARI

2 Februari
– Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setuju gabung data MySejahtera dengan aplikasi jejak jangkitan negeri SELangkah

19 Februari
– PKP dilanjut di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang   sehingga 4 Mac

24 Februari
– Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula

MAC

1 Mac
– Kelas prasekolah hingga Tahun 2 dibuka

5 Mac
– Selangor bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Rentas daerah dibenarkan tetapi rentas negeri masih dilarang

8 Mac
– Sesi persekolahan Tahun 3 hingga 6 dibenarkan

19 Mac
– PKPB di Selangor dan lima negeri lain kekal sehingga 31 Mac. Jumlah harian jangkitan di Selangor menurun kepada 348 kes

APRIL

1 April
– Kerajaan kekal PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan sehingga 14 April

5 April
– Pelajar menengah kembali ke sekolah

13 April
– Bazar Ramadan dibuka pada hari pertama bulan puasa dengan tatacara operasi piawai (SOP)

15 April
– PKPB di Selangor dilanjut sehingga 28 April

21 April
– Jumlah jangkitan harian kembali ke paras awal darurat dengan 2,340 kes setelah menurun kepada lebih 1,000 kes sepanjang Mac

29 April
– PKPB dilanjut ke 17 Mei. Selangor catat 1,083 kes baharu

MEI

6 Mei
– PKP semula di daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang sehingga 17 Mei. Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam pula berstatus PKPB

13 Mei
– Umat Islam sambut Aidilfitri dalam suasana PKP sekali lagi, ketat sedikit berbanding tahun 2020

21 Mei
– Permohonan bantuan RM500 kepada peniaga bazar Ramadan dibuka hingga 31 Julai

25 Mei
– PKP diperketatkan di seluruh negara. Operasi perniagaan dihadkan sehingga 8 malam. Aktiviti sosial, riadah dan majlis rasmi tidak dibenarkan

JUN

1 Jun
– PKP penuh di seluruh negara

8 Jun
– DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj titah agar Putrajaya tambah bekalan vaksin, Baginda terkejut suntikan tidak seimbang jumlah penduduk negeri

9 Jun
– Kerajaan Negeri lancar pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.6 juta bantu pelbagai lapisan masyarakat hadapi PKP

Sasaran (antaranya):

  •  1.25 juta orang dapat vaksin percuma Selvax RM200 juta
  • 100,000 orang lagi disaring RM10.7 juta
  •  pesakit terima kit kuarantin RM1.25 juta
  • 50,000 terima subsidi tambang RM20 ke pusat vaksin
  • khairat kematian akibat virus RM1,000 seorang
  • orang kelainan upaya terima RM500 seorang
  • pengusaha prasekolah (tadika) RM450 seorang
  • guru prasekolah (tadika) RM150 seorang
  • bantuan tuisyen pelajar ambil peperiksaan RM2.1 juta
  • bantuan makanan siswa di kampus RM1.5 juta
  • bakul makanan semua wakil rakyat RM3.28 juta
  • data internet percuma RM20 sebulan RM17.5 juta
  • bantu aliran tunai usahawan RM200 juta
  • pinjaman usahawan Hijrah RM80 juta

16 Jun
– Yang di-Pertuan Agong titah Dewan Rakyat bersidang “secepat mungkin” untuk bahas Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN)

– Persidangan Khas Raja-Raja Melayu bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara buat tujuh ketetapan, antaranya: tiada lagi keperluan lanjut darurat selepas 1 Ogos dan tingkatkan program vaksinasi

20 Jun
– Kerajaan Negeri sedia bantuan tambang Grab pergi balik RM20 kepada lebih 10,000 orang untuk ke pusat vaksin

30 Jun
– Program Vaksin Selangor (Selvax) dilancar untuk lengkapkan program imunisasi PICK

JULAI

3 Julai
– PKP Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim dalam lapan daerah Selangor. Perjalanan terhad dalam radius 10 kilometer dari rumah untuk dapatkan barang keperluan

4 Julai
– Selvax Industri dilancarkan, bantu bendung penularan wabak dari tempat kerja ke dalam masyarakat

5 Julai
– Selangor mulai agih bantuan RM500 kepada orang kelainan upaya yang terjejas Covid-19

15 Julai
– Jumlah jangkitan harian naik kepada 13,215 kes, lebih kurang enam kali ganda daripada jumlah pada hari pertama darurat

16 Julai
– PKPD di 34 mukim dalam lapan daerah ditamatkan

– Kerajaan pusat iktiraf program suntikan Selvax, mampu percepat kekebalan masyarakat

18 Julai
– Selangor berada dalam fasa satu PPN

24 Julai
– KKM iktiraf, aplikasi SELangkah boleh diguna untuk lapor status kesihatan pesakit Covid-19 tanpa gejala

26 Julai
– Sidang khas Parlimen untuk bincang Ordinan Darurat namun tiada perbahasan, usul atau undi, hanya taklimat beberapa menteri

– Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan maklum Ordinan Darurat sudah dimansuhkan berkuatkuasa 21 Julai

29 Julai
– Yang di-Pertuan Agong dukacita dengan kenyataan Takiyuddin berhubung pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda

– Selangor serah 7,000 kit penilaian kesihatan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk pesakit kuarantin di rumah

OGOS

1 Ogos
– Sidang khas Parlimen ditangguh atas nasihat KKM

– Suntikan vaksin di Selangor sebanyak 150,000 dos sehari, lepasi sasaran harian 135,000 dos

7 Ogos
–  Sebanyak 336 kes kematian sehari (purata tujuh hari) dicatat di seluruh negara, paling tinggi sejak wabak melanda

16 Ogos
– Sebelas aktiviti ekonomi bagi semua negeri fasa satu PPN termasuk Selangor dibenarkan selepas 50 peratus penduduk lengkap vaksin

23 Ogos
– Kadar suntikan vaksin di Selangor catat rekod tertinggi berbanding negeri lain selaras kepadatan penduduk dan bilangan kes, titah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

26 Ogos
– Jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 24,599 kes, mengatasi angka 20 Ogos

SEPTEMBER

3 September
– Selangor cadang agih 60,000 kit ujian percuma kepada keluarga pesakit untuk kuarantin di rumah

9 September
– Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin umum sijil digital vaksin SELangkah boleh digunakan sementara tunggu kemas kini di MySejahtera

10 September
– Selangor beralih ke fasa dua PPN, nikmati beberapa kelonggaran termasuk rentas daerah kepada individu lengkap vaksin

15 September
– Kerajaan Negeri sedia 50,000 dos untuk Selvax Bergerak, pastikan semua penduduk terima vaksin

19 September
– Putrajaya ikut langkah Selangor sedia kit ujian penilaian kesihatan kepada pesakit kuarantin di rumah

OKTOBER

1 Oktober
– Selangor beralih kepada fasa tiga PPN

3 Oktober
– Sesi persekolahan bagi semua peringkat dibenarkan di negeri fasa tiga termasuk Selangor

– 7,000 pelajar keluarga B40 dapat bantuan data internet percuma

11 Oktober
– Pergerakan rentas negeri dibenarkan untuk individu lengkap vaksin

17 Oktober
– 150,000 dos disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk remaja 12 hingga 17 tahun

18 Oktober
– Peratusan pemberian vaksin yang tinggi bawa Selangor ke fasa empat PPN

24 Oktober
– Kerajaan Negeri lancar Selvax Remaja, bantu percepat buka institusi pendidikan

NOVEMBER

26 November
– Belanjawan Selangor 2022 dibentangkan, RM1.12 bilion dikhas untuk pembangunan termasuk pacu ekonomi pascawabak

– Seramai 616,980 pesakit dipantau melalui SELangkah, 38,809 daripada jumlah tersebut alami kemerosotan kesihatan ketika kuarantin di rumah

DISEMBER

2 Disember
– Ujian sahkan kes pertama varian Omicron, yang pantas merebak, selepas pesakit positif pada 19 November

7 Disember
– Kerajaan Negeri sediakan 157,000 dos penggalak bawah program Selvax Booster mulai 8 Disember

– Selangor lulus RM10.7 juta perkukuh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk hadapi gelombang varian Omicron

27 Disember
– Jumlah jangkitan harian negara turun kepada 2,757 kes, kira-kira jumlah pada Mei. Selangor catat 565 kes baharu

31 Disember
– Kes harian negara naik sedikit kepada 3,573 kes, Selangor catat 949 kes baharu

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tingkat produktiviti secara holistik jamin sekuriti makanan negara

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Inisiatif yang mampu meningkatkan produktiviti secara holistik merangkumi dasar yang kondusif, penggunaan teknologi moden dan keusahawanan perlu diutamakan bagi mendepani risiko sekuriti makanan negara.

Dasar yang kondusif merujuk kepada pelaburan dalam pengeluaran makanan yang tidak hanya dinilai daripada sudut faedah persendirian, tetapi pulangan sosial dan keselamatan negara.

Dalam menjelaskan perkara ini, Profesor di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia dan Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata, untuk merangsang pelaburan dalam pengeluaran makanan, sektor swasta wajar diberikan insentif dengan pulangan pelaburan dalam pengeluaran makanan, mestilah sekurang-kurangnya sama dengan pulangan dalam tanaman industri.

“Sektor pertanian negara terbahagi kepada tanaman industri (seperti kelapa sawit) dan makanan (tanaman makanan, ternakan dan perikanan). Tanaman industri seperti kelapa sawit berkeluasan lebih daripada lima juta hektar.

“Ini menunjukkan bahawa pulangan pelaburan daripada kelapa sawit secara relatifnya lebih daripada pulangan pelaburan dalam pengeluaran makanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dalam aspek teknologi pula, beliau berkata, lebih banyak dana diperlukan untuk tujuan penyelidikan dan menerima pakai teknologi sistem pertanian, antaranya, termasuk mekanisasi, sensor, dron, penjejakan cuaca, automasi, pertanian menegak, kecerdasan buatan, teknologi nano, teknologi GPS pertanian, robotik, dan pertanian tepat.

“Untuk keusahawanan pula, bagi melengkapkan ekosistem dasar dan penggunaan teknologi, pengeluaran makanan perlu diusahakan oleh pengeluar yang dapat mempraktikkan pengeluaran secara komersial dan penggunaan teknologi canggih,” katanya.

Empat dimensi sekuriti makanan

Sesebuah negara dikatakan mempunyai sekuriti makanan apabila individu, isi rumah atau semua rakyat boleh mendapat makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat untuk hidup sihat dan aktif.

Dalam hal ini, ia merangkumi empat dimensi iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan.

Menurut Mad Nasir, ketersediaan makanan adalah gabungan pengeluaran makanan dalam negeri, import dan eksport makanan serta stok makanan domestik.

Untuk menangani perkara ini, sektor pengeluaran makanan perlu dibangunkan menjadi sektor yang moden, berdaya saing dan komersil dan ini boleh dicapai dengan meniru model pengeluaran tanaman industri.

Pelaksanaan dasar guna tanah juga boleh dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian untuk penghasilan makanan dan sumber makanan lain.

“Pada asasnya, fungsi bidang pertanian adalah sebagai pembekal makanan, pekerjaan dan pendapatan. Bagaimanapun, fungsi itu berubah dalam konteks perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, kekurangan sumber dan keprihatinan sejagat terhadap sekuriti makanan.

“Tema baharu pertanian melampaui fungsi dasarnya untuk meningkatkan pemuliharaan sumber, persekitaran dan mengurangkan kadar kemiskinan. Justeru sektor pertanian perlu dinilai bukan sahaja daripada segi pembekal makanan, tetapi pelbagai fungsi terutama perkhidmatan alam sekitar,” jelasnya.

Beliau menambah, ketersediaan makanan juga berkait rapat dengan mempromosi pertanian bandar bagi membantu mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah memandangkan proses perbandaran yang pesat menarik kemiskinan dan isu sekuriti makanan ke bandar.

Di samping itu, memperkasa penyelidikan dalam pengeluaran dan pengendalian makanan, kepelbagaian tanaman dan genetik serta pemprosesan dan pemasaran dapat memastikan ketersediaan makanan yang mencukupi, melindungi nilai pemakanan dan mencegah pembaziran makanan.

Untuk aspek kebolehcapaian makanan pula, ia merujuk kepada sumber pendapatan isi rumah untuk mendapatkan makanan dalam kuantiti, kualiti dan kepelbagaian yang mencukupi untuk diet berkhasiat.

Dalam hal ini, memetik data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), beliau berkata, rakyat Malaysia secara amnya menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa setiap hari dan daripada timbunan itu, kira-kira 15,000 tan adalah sisa makanan.

Sekitar 8,000 tan, atau 60 peratus makanan yang terbuang setiap hari adalah sisa makanan yang boleh dielakkan (merujuk kepada pelupusan makanan yang boleh dimakan seperti kerak roti, tepung dan sebagainya).

“Daripada 8,000 tan, kira-kira 3,000 tan sebenarnya masih boleh dimakan. Jumlah ini boleh memberi makan kira-kira kepada dua juta orang. Justeru promosi untuk menggalakkan penggunaan makanan secara lestari akan mengurangkan pembaziran makanan,” katanya menambah, program jaringan keselamatan sekuriti makanan seperti Food Bank perlu diperbanyak.

Aspek penggunaan makanan secara keseluruhannya merujuk kepada pendidikan mengenai keselamatan makanan dari segi pengendalian di semua peringkat di sepanjang rantaian bekalan, manakala aspek kestabilan bekalan makanan merujuk kepada kemampuan untuk ia bertahan di semua peringkat isi rumah dalam jangka masa panjang.

Covid-19 dan perubahan iklim

Dua faktor utama sumber makanan tidak mencukupi ialah kekurangan pengeluaran makanan akibat perubahan cuaca, kos pengeluaran meningkat dan kekurangan tenaga kerja serta ketidakcekapan rantaian bekalan makanan atau kegagalan pasaran.

Isu sekuriti makanan turut dibayangi krisis pandemik Covid-19 yang berlanjutan serta perubahan iklim.

“Secara amnya, bekalan makanan yang tidak mencukupi akan menjadi punca kenaikan harga dan seterusnya memberi impak kepada kebolehcapaian makanan oleh isi rumah terutama dalam kalangan B40.

“Kajian Unicef pada 2018 terhadap 2,142 kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur mendapati, 23 peratus kanak-kanak berumur empat tahun terbantut, 22 peratus kurang berat badan dan 32 peratus lebih kurus daripada purata rakan sebaya mereka.

“Hasil kajian penyelidik tempatan pada 2015 juga menunjukkan 13.4 peratus daripada orang dewasa Malaysia mengurangkan saiz makanan dan melangkau makanan utama kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan beberapa langkah untuk memperkasa sistem rantaian bekalan makanan dengan memastikan petani mempunyai akses berterusan ke pasaran serta keperluan input pertanian seperti benih, baja dan makanan ternakan.

Selain itu, kerugian lepas tuai yang mungkin meningkat kerana isu pengangkutan perlu dikurangkan di samping memastikan penyimpanan stok makanan yang mencukupi sekiranya berlakunya darurat.

Kerajaan juga perlu memastikan sokongan untuk mereka yang hilang mata pencarian terutama dalam kalangan miskin bandar B40 yang tiada perkerjaan tetap.

Menyifatkan pengeluaran makanan terdedah kepada pelbagai risiko dan ketidaktentuan, Mad Nasir berkata, untuk jangka masa panjang, pengurusan risiko pasaran perlu dibangunkan seperti pemantauan dan ramalan harga di samping perancangan kesediaan kecemasan melalui amaran awal serta memperkenalkan langkah-langkah pencegahan bencana alam seperti skim pengairan dan skim kawalan banjir.

Pada masa sama, bagi meningkatkan pertumbuhan sektor pengeluaran makanan dan seterusnya meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) dan sekuriti makanan negara, bidang komoditi makanan yang berpotensi seperti penternakan, perikanan akuakultur dan sayur-sayuran, perlu dikembangkan.

Malaysia mempunyai SSL ternakan ayam (104.1 peratus) dan telur (119.1 peratus) pada 2019 selain merupakan pengeksport bersih produk ini. SSL padi (63 peratus), sayur-sayuran (44.4 peratus), buah-buahan (78.2 peratus), daging lembu (22.3 peratus), kambing (11.8 peratus), daging babi (92.3 peratus) dan susu cecair (63 peratus).

Tingkat SSL beras negara

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), memberi tumpuan untuk meningkatkan SSL beras negara sehingga 75 peratus menjelang 2025.

Menurut Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, MAFI, Azman Mahmood, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan antaranya akan melaksanakan penanaman padi menggunakan konsep SMART Sawah Berskala Besar (SBB), mengaplikasikan formulasi baja secara spesifik mengikut tanah, menggunakan kaedah penanaman secara moden seperti penggunaan dron bagi tujuan meracun, menggunakan jentera penanaman serta penuaian terkini dan sebagainya.

“Bagaimanapun pencapaian sasaran ini turut dipengaruhi pelbagai faktor yang berada di luar kawalan MAFI seperti perubahan iklim atau cuaca. Ini memandangkan penanaman padi secara tradisional masih lagi bergantung sepenuhnya kepada taburan hujan tahunan dan cara pengurusan air yang berkesan,” katanya.

Berhubung kesan perubahan iklim dan cuaca semasa terhadap industri padi dan beras negara, beliau berkata MAFI melaksanakan inisiatif jangka pendek antaranya dengan menambah baik sistem pengairan sawah dan membangunkan telaga tiub.

Manakala untuk jangka masa panjang, MAFI akan melaksanakan program takungan air bawah tanah dan takungan pantai bagi memastikan lebihan air mampu ditakung dan digunakan semula bagi tujuan pengairan sawah.

Menurut beliau, menyedari teknologi merupakan elemen penting dalam usaha meningkat pengeluaran padi dan beras negara, beberapa langkah pemodenan industri padi dan beras juga sedang dan akan dilaksanakan termasuk Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan bagi penggunaan aplikasi berasaskan jentera.

Langkah lain ialah mekanisasi bagi memudahkan semua proses kerja di sepanjang rantaian nilai, sistem atau teknologi dalam sektor pertanian seperti kilang tanaman, Individual Quick Freezing (IQF) dan telaga tiub di samping Internet of Things (IoT) bagi tujuan pertanian pintar termasuk pembangunan agro-robotik dan penggunaan dron untuk aktiviti pembajaan dan pembenihan.

Kerjasama strategik juga dijalin dengan agensi lain seperti di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkenalkan teknologi terkini dalam industri di lapangan.

MAFI turut bekerjasama dengan syarikat teknologi swasta bagi menghasilkan teknologi bersesuaian untuk kegunaan di kawasan pertanian dan petani juga digalakkan menghasilkan inovasi pertanian yang bersesuaian dengan tanaman yang diusahakan.

“Aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan turut dipergiat bagi menjamin kemampanan pengeluaran beras negara dengan menghasilkan pelbagai benih berhasil tinggi dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta mesra alam,” katanya, menambah usaha menambah baik infrastruktur dan kemudahan di kawasan jelapang padi juga akan dilaksanakan terutama pembangunan pusat aktiviti lepas tuai.

Bela nasib pesawah

Menurut Azman, menjadi matlamat MAFI untuk mencapai SSL dalam dua dokumen dasar utama iaitu RMKe-12 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), masing-masing pada kadar 75 peratus dan 80 peratus.

MAFI secara khusus mahu meningkatkan hasil padi domestik bagi memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan dan tahap sara diri negara terhadap beras.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara berhadapan dengan pengecutan (pengurangan) kawasan bertanam padi saban tahun, pertambahan populasi dan pandemik Covid-19 yang meningkatkan permintaan terhadap beras,” katanya.

Mengenai program SMART SBB yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara menerusi pengurusan sawah dan input pertanian yang lebih teratur dan cekap, antara lain ia bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama pintar dengan pemain industri secara langsung menggunakan pendekatan pertanian kontrak.

“Secara khususnya, program SMART SBB menyasarkan peningkatan purata hasil padi nasional kepada 7.0 tan metrik sehektar dalam tempoh RMKe-12 berbanding purata hasil semasa sekitar 3.5 hingga 4.3 tan metrik sehektar. Dalam tempoh jangka panjang, program ini menyasarkan kawasan sawah seluas 150,000 hektar semusim atau 300,000 kawasan bertanam setahun untuk dibangunkan dalam program berkenaan,” jelasnya dengan menekankan, program berkenaan juga mahu menyekat ‘orang tengah’ daripada mengambil peluang serta meraih keuntungan peribadi.

“Selama ini secara konvensionalnya, penanam padi dan pembeli padi (pemain industri) ini diasingkan dan urusan jual beli diuruskan oleh orang tengah yang mengambil keuntungan lebih kurang RM110 hingga RM150 per metrik tan.

“Mengambil kira purata pengeluaran padi nasional sebanyak 2.9 juta metrik tan, industri ini kehilangan lebih kurang RM500 juta di tangan orang tengah sahaja di sepanjang rantaian nilai. Perkara ini sewajarnya ditangani segera kerana jumlah itu selayaknya adalah milik pesawah,” katanya, menambah program itu juga mampu menyelesaikan isu yang membelenggu pesawah seperti kenaikan harga baja dan racun, isu pemutuan padi yang tinggi, penggunaan teknologi yang rendah dan sebagainya melalui pelaburan oleh syarikat peneraju yang dilantik oleh MAFI.

Menurut laporan Bernama pada 20 November lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha mempertingkatkan produktiviti industri padi dan beras secara proaktif, termasuk memperkenalkan teknologi terkini bagi mendepani cabaran serta memperkasakan lagi keupayaan.

Bagaimanapun, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan, pesawah dan petani semata-mata tetapi memerlukan usaha bersama sebagaimana sering ditekankan iaitu keterangkuman dan kebersamaan yang merupakan antara teras utama konsep Keluarga Malaysia.

Konsep Keluarga Malaysia ini turut ditekankan dalam Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, yang berikutnya akan berlangsung 3 hingga 5 Mac 2022 di Dataran Angsana Johor Bahru Mall. Selain perkhidmatan pelbagai kementerian dan agensi terus kepada rakyat, program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia dan pelbagai gerai usahawan turut diadakan.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

‘Keladi kayangan’ ubah nasib ibu tunggal, pandangan pengusaha

Oleh Shanika Abdullatib

ALOR GAJAH, 2 MAC: Siapa sangka komen seorang peminat yang juga ibu tunggal di laman sosial Facebook (FB) milik pembiak dan penjual pokok keladi hiasan di sini, mengubah cara hidup kedua-dua mereka.

Tersentuh dengan komen Amira Jusoh, 40, yang diterimanya pada penghujung 2020, pengusaha tanaman keladi hiasan, Rozita Haron bertindak menghadiahkan sepokok anak keladi kepada ibu tiga anak berkenaan yang kemudian dijadikan ‘modal’ perniagaan oleh Amira.

“Saya kenal Rozita melalui FB sejak setahun lepas. Saya sering ikuti ‘Live FB’ beliau sebab saya memang minat pokok keladi dan sentiasa lihat pengikutnya (follower) beli pokok itu daripada Rozita,” cerita Amira yang dihubungi Bernama di kediamannya di Maran, Pahang.

Kongsi wanita itu, dia juga kagum dengan kesungguhan Rozita menjalankan perniagaan tersebut, khususnya selepas dia kehilangan pekerjaan pada penghujung 2020.

Menurut Amira, dia kemudian beranikan diri bertanyakan harga sepokok keladi hiasan yang memang diketahui mahal hinggakan digelar ‘keladi kayangan’.

“Bila tahu harganya, saya cakap memang minat tapi tak mampu. Langsung tak sangka Rozita tawarkan secara percuma satu pokok iaitu daripada jenis Lime Gecko untuk saya mula tanam. Alhamdulillah, berkat tunjuk ajarnya, saya dapat biak dan jadikan anak pokok itu sebagai modal untuk terlibat dalam penjualan pokok keladi hiasan,” katanya.

Dia yang kini bekerja sebagai pembantu kedai runcit, mula aktif menjual pokok keladi hiasan sejak pertengahan tahun lepas, dan hingga kini berjaya menjual antara 20 dan 30 batang pokok keladi daripada jenis caladium dan colocasia.

“Saya hanya tanam di sekitar rumah namun cukup untuk memberi pendapatan tambahan kepada saya, membantu saya membesarkan anak-anak. Hingga sekarang pun saya masih belajar mengenai pokok-pokok ini, terutama dalam memastikan tanaman mencapai standard yang diperlukan untuk pasaran,” katanya.

Ubah persepsi terhadap keladi ‘kayangan’

Sementara itu, Rozita, 52, yang menetap di sini, berkata dia juga tidak menyangka komen Amira tersebut membuka hatinya untuk menjadikan tanaman hiasan berkenaan sebagai ‘jambatan’ membantu golongan susah, khususnya ibu tunggal.

“Saya sendiri pernah hidup susah. Jadi, apabila Amira komen di FB saya, terus terdetik hendak beri dia sebatang pokok keladi.

“Saya cakap, cuba bela pokok itu dulu. Kalau menjadi, juallah anak pokok itu ikut harga sendiri. Jika hidup elok, kita ‘upgrade’ kepada jenis lebih mahal,” katanya kepada Bernama.

Sejak itu, katanya dia meneruskan usaha ‘menghadiahkan’ pokok keladi hiasan kepada golongan susah terutama ibu tunggal dan seterusnya membantu mereka menjadi pengusaha ‘keladi kayangan’ yang berjaya.

Menurutnya, selain Amira, hingga kini dia berjaya membantu kira-kira 10 individu dari sekitar Melaka dan Selangor menjadi usahawan keladi hiasan.

“Memang saya akan beri pokok keladi daripada jenis yang biasa dahulu tapi tetap ada kualiti dan permintaan dalam pasaran.

“Dari situ, saya akan tengok kesungguhan mereka, dan dalam masa yang sama bantu dari segi nasihat dan tunjuk ajar bagaimana menjaga dan membiakkan pokok keladi itu agar mencapai kualiti terbaik, yang boleh dijual dengan harga mencecah ratusan malahan ribuan ringgit,” jelasnya.

Mungkin ada yang menganggap nilai sebatang anak pokok keladi yang diberinya itu tidak seberapa, namun menurut Rozita, tidak seperti perniagaan lain, menanam pokok keladi ibarat satu pelaburan yang boleh berkembang dengan cepat jika kena caranya termasuk menjaga kualiti.

“Biarpun keladi ini boleh membiak menghasilkan anak pokok yang banyak, tidak semua pokok terutama daunnya, mampu mencapai piawaian bagi mendapatkan harga kayangan,” ujarnya, menambah proses membiakkan keladi juga mengambil masa selain perlu menunggu pokok membesar mencapai saiz bersesuaian sebelum boleh dijual.

Katanya, bergantung pada jenis keladi, harga anak pokok yang dijualnya bermula serendah RM50 dan boleh mencecah ribuan ringgit, mengikut saiz anak pokok dari setinggi sejengkal.

Media sosial medium berkongsi ilmu

Rozita kini turut aktif berkongsi ilmu dan teknik penjagaan keladi istimewa menerusi FB Live.

Katanya, melalui perkongsian di laman sosial itu, wanita yang dibantunya akan lebih mudah faham mengenai penjagaan pokok tersebut selain turut mendapat tip penjagaan daripada peminat keladi yang lain.

“Macam mana nak alihkan anak pokok, teknik memotong ubi keladi atau penggunaan jenis tanah atau baja, kebanyakan saya belajar sendiri secara ‘trial and error’. Dari situ kita akan belajar, sebab setiap jenis keladi caranya tak sama,” jelasnya, menambah kenalan FBnya juga kini melangkaui sempadan negara.

Menurut Rozita lagi, ada laman tertentu yang membolehkan peminat tanaman hiasan tersebut membida pokok yang mereka inginkan.

“Sudah tentu harga yang ditawarkan kadangkala tidak masuk akal. Tapi bagi mereka yang gemarkannya, semua itu tidak menjadi masalah,” ujarnya.

Terapi melepas rindu

Rozita tidak mempunyai tapak nurseri, sebaliknya membiakkan tanaman itu di laman rumah yang berkeluasan 6×10 kaki persegi, sekali gus menjadikan perkarangan kediamannya sebuah taman pokok keladi hiasan yang mengasyikkan bagi peminat tanaman berkenaan.

Bercerita tentang pembabitannya dalam bidang itu, Rozita berkata dia mula serius mengumpul dan membiakkan pelbagai jenis pokok keladi pada 2020 ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19.

Kegiatan itu katanya bukan sahaja sebagai terapi akibat ‘terkurung’ di rumah, tetapi juga cara dia melepaskan rindu kepada arwah ibunya yang meninggal dunia pada tahun sebelumnya.

“Emak saya memang berbakat tanam pokok, dan semasa hayatnya pokok orkid merupakan kegemarannya. Tak sangka bakat dan minat emak itu turun juga kepada saya walaupun pada awalnya tak begitu minat terhadap pokok-pokok.

“Tapi bila emak dah tak ada, saya ambil alih menjaga pokok orkidnya, dan dari situ minat mula bercambah dan secara tak langsung menjadi tempat melepaskan rindu kepada emak,” jelasnya.

Diburu pengumpul dari luar negara

Menurutnya, pada masa ini dia menanam lebih 20 jenis pokok keladi hiasan termasuk yang diimport dari Thailand, Indonesia dan Colombia dengan ada yang berharga mencecah RM30,000 sepokok.

Katanya antara yang sering menjadi perhatian dan mendapat permintaan yang tinggi pada waktu ini adalah daripada jenis Black Lava, Thunderstorm, Pharaoh Mask, Milkyway, Midnight, 916 Guena Gold dan Colocasia esculenta ‘Mojito’ (Taro).

“Paling tak sangka sekarang ada pengumpul dari Thailand berminat mendapatkan anak-anak pokok keladi ini daripada saya.

“Ini dikira satu peluang terbaik untuk kami bertukar-tukar jenis pokok keladi walaupun harga anak pokok saja mampu mencecah puluhan ribu ringgit dan terpaksa melalui pelbagai proses melibatkan imigresen termasuk mendapatkan permit,” katanya.

Ditanya rahsia mampu membiakkan pokok keladi yang boleh mencapai harga puluhan ribu ringgit, Rozita berkata, perkara yang paling penting ialah minat dan ikhlas.

“Kalau ikutkan, pokok ini tidak cerewet untuk dijaga. Cuma perlu tanah dan baja yang sesuai. Tapi untuk menjadikannya subur, berdaun besar dan corak yang cantik, kita kena selalu ‘bercakap’ dengan pokok-pokok ini.

“Mungkin nampak pelik tapi itulah yang saya lakukan. Malah semasa hendak alihkan anak pokok atau buang daun yang rosak atau mati pun saya minta izin. Buat dengan lemah lembut,” ceritanya.

– BERNAMA