Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Yonnyboii kedua selepas Siti Nurhaliza di Spotify

Oleh Intan Syuhada Akhir

Walau masih baharu dalam dunia seni dengan lagu pertamanya Sakit, terbit hujung 2019, Yonnyboii tiba-tiba muncul penyanyi kedua popular selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin di Spotify tahun lalu.

Pemuda 24 tahun itu popular dengan lagu Angel dalam aplikasi tersebut, antara ruang digital muzik yang terbesar di dunia dengan lebih 400 juta pendengar aktif sebulan.

Sementara Siti Nurhaliza popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa. Beberapa penyanyi lain yang lebih terkenal seperti Hujan (lagu Jika Sempat) berada di bawah populariti pemuda Setapak itu.

Selain lagu itu, Salahku yang terbit pada 2020 terus melonjak Yonnyboii ke pentas seni negara. Lagu itu yang dikarang dalam masa 30 minit berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 baru-baru ini.

Sayangnya penampilan pertama dalam pertandingan akhir Muzik-Muzik gagal meraih kemenangan.

“Saya masih ingat lagu ini saya hasilkan dalam tempoh yang sangat sekejap lebih kurang setengah jam. Saya duduk di kerusi dan ilham itu datang mengalir.

“Saya tidak sangka lagu ini digemari kerana konsepnya macam lagu bercakap. Tapi nampaknya pendengar betul-betul hayati lirik yang ditulis,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Penyanyi dan komposer Yonniboii

Yonnyboii, nama pentas Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, menyifatkan kelahiran lagu tersebut sebagai magis.

“Tujuan saya menghasilkan muzik cuma satu iaitu ingin berkongsi apa yang saya rasa. Melihat kepada sokongan orang ramai kepada lagu ini, saya rasa hasrat saya sudah tercapai,”katanya.

“Pada waktu itu, saya akui memang banyak perkara yang terjadi ketika bergelar anak seni di scene muzik bawah tanah. Semuanya saya pendam sehingga akhirnya saya menuliskan lagu ini,” cerita beliau lagi.

Berdepan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), Yonnyboii mengakui beliau pernah dijauhi rakan-rakan. Beliau juga menjadi sasaran pembuli sejak zaman persekolahannya sehingga menyebabkannya murung.

Namun, sisi gelap yang dilalui penyanyi dan komposer kelahiran Kuala Lumpur itu sebaliknya menguatkan jiwa Yonnyboii sebagai artis muda.

Namun, tingkah lakunya yang dianggap sedikit aneh kerap menimbulkan salah faham. Bahkan, ada menganggap penyanyi itu mengambil bahan terlarang. Namun, Yonnyboii tegas menyangkal tuduhan itu.

“Bagi saya, muzik adalah cara saya untuk berdamai dengan apa yang ada dalam kepala saya. Muzik adalah hidup saya.

“Setiap pengkarya kena ikhlas dalam menghasilkan lirik dan lagu. Saya tidak menipu dalam karya saya. Bila saya sedih, lagu yang terhasil juga sedih. Begitu juga sebaliknya.

“Siapa yang dengar lagu-lagu saya, mereka sedang membaca diari saya,” tambahnya, yang mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Meski tidak menang ketika tampil di pentas akhir AJL, anak muda itu berjaya memberi persembahan terbaik sehingga mengundang perhatian peminat seni tanah air.

Yonnyboii mula bergiat dalam bidang muzik pada usia remaja enam tahun lalu. Tiga tahun kemudian, Sakit nyanyiannya bersama penyanyi rap Zynakal hingga kini meraih 48 juta tontonan di YouTube.

Karya berkenaan menduduki carta RIM sebagai lagu yang paling banyak distrim selama 14 minggu berturut-turut dan kekal hingga minggu ke-35. Ia juga berjaya mara ke separuh akhir AJL35.

Bagi mengukuhkan kerjaya muziknya, Yonnyboii bekerjasama dengan Caprice menerusi lagu Takut pada 2019, Azlan & The Typewriter (Kelabu) serta Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique (X Missing You), semuanya pada 2020.

Beliau juga menulis lirik lagu hip hop Jangan Keluar dendangan bersama 16 artis naungan Universal Music Malaysia, antaranya Hafiz Hamidun, Alvin Chong, Shila Amzah, Sophia Liana, Rabbit Mac dan Malik Abdullah.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Tahun harimau lambang keberanian, bangkit bangunkan semula negeri

Perutusan Tahun Baharu Cina 2022 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

TAHUN 2022 dengan zodiak harimau air bakal menjanjikan pengalaman yang berbeza dengan tahun lepas. Sambutan kali ini tidaklah semeriah pra Covid-19 tetapi rakyat boleh menarik nafas lega dalam persekitaran yang kini dianggap endemik dan dapat bersua muka dengan keluarga dan rakan-taulan yang tercinta.

Dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat dan Selvax oleh Kerajaan Negeri, kadar vaksinasi tinggi yang dicapai di Selangor diharap bakal memberi perlindungan yang secukupnya selagi rakyat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Harimau melambangkan keberanian, daya saing dan keyakinan diri serta dianggap raja rimba. Kerajaan Negeri turut mempunyai aspirasi yang serupa untuk belanjawan tahun ini. Ini diterjemahkan dalam penerokaan lebih berani dalam agenda digitalisasi dengan penubuhan Selangor Digital School serta peruntukan yang signifikan untuk e-sukan (RM1.2 juta) selain penerusan Geran Padanan Digital SIDEC yang telah memberi lonjakan yang banyak kepada komuniti usahawan digital.

Golongan perniagaan dan industri dijangka turut mendapat limpahan manfaat Belanjawan 2022 kelak hasil daripada peruntukan awalan RM5 juta untuk pembangunan Kompleks Perumahan Pekerja Selangor di atas 145 ekar tanah yang telah dikenal pasti di seluruh negeri bagi menepati Akta 446 yang mampu menjanjikan keselesaan yang lebih baik untuk para pekerja.

Iltizam yang sama dapat dirasai dengan sejumlah RM65 juta diperuntukkan untuk kesihatan awam dan RM27.5 juta untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang telah ditambah baik, serta RM1 juta untuk kehidupan berdikari (Independent Living Centre) yang mampu melegakan banyak pihak.

Marilah bersama-sama melipatgandakan kerja baik yang kita usahakan dan dengan penuh yakin membangunkan semula negeri dan negara yang terkesan dengan Covid-19 dan bencana banjir yang terbaharu.

Selamat Tahun Baharu Cina buat semua masyarakat Tionghoa terutamanya buat komuniti Cina di Selangor. Semoga tahun ini dipenuhi dengan kebahagiaan, kekayaan dan kesihatan untuk semua.

 

Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Ucapan Tahun Baharu Cina 2022 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Setelah dua tahun harungi Covid-19 dan banjir besar, saya harap tahun baharu kita akan berada dalam keadaan sihat dan dapat berusaha untuk membangun Selangor. Selamat Tahun Baharu Cina

Dato’ Teng Chang Khim
EXCO Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana

Semoga tahun baru ini melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan maju. Selamat Tahun Baharu Cina 2022

Rodziah Ismail
EXCO Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan

Selamat menyambut Tahun Baharu Cina 2022. Semoga kedatangan tahun harimau membawa sinar harapan baru untuk negara dan rakyat. Hindarilah segala bencana, sentiasa mencapai kemakmuran serta keharmonian kaum

Ng Suee Lim
Speaker Dewan Negeri Selangor

Semoga perayaan ini akan beri kekuatan kepada semua kaum Tionghoa dan rakyat Selangor keseluruhannya. Bagi hadapi cabaran mendatang, semoga semua kaum dapat pastikan kestabilan politik dan kaum bagi memastikan agenda bergandingan bahu bersama sentiasa dalam diri

Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani

Semoga tahun ini meningkatkan semangat dan memberi kekuatan baharu untuk memutuskan pandemik Covid-19 dan pulihkan ekonomi negara. Semoga Tahun Baharu Cina ini mengukuhkan perpaduan dan menjadi titik pengukuhan sesama kita

Ganabatirau Veraman
EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja

Tahun Baharu Cina menjelang tiba. Mengikut zodiak Cina, Tahun 2022 me-
rupakan tahun harimau. Semoga kita semua akan gagah dan berani seperti harimau dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang

Ng Sze Han
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru

Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina 2022, Gong Xi Fa Cai. Semoga tahun baharu membangkitkan harapan baharu, membuka jalan-jalan kejayaan dan kemajuan. Walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya, semoga kita hidup harmoni bersama

Dr Siti Mariah Mahmud
EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga

Banyak yang kita lalui selama ini. Saya harap kita kekal tabah dan terus berganding bahu harungi ujian ini. Semoga Tahun Baharu Cina ini mengukuhkan perpaduan dan membawa kebaikan. Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina. Xin Nian Kuai Le!

Hee Loy Sian
EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli

Semoga anda dan keluarga yang disayangi dilimpahi kemakmuran, kesihatan yang baik, kegembiraan dan semangat muhibah antara rakyat Malaysia. Selamat Tahun Baharu Cina

Mohd Khairuddin Othman
EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan

Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakan khususnya rakyat Selangor yang menyambutnya. Semoga perayaan kali ini memberi lebih banyak kemakmuran dan kebahagiaan kepada kita semua

Borhan Aman Shah
EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan

Zahirkanlah sambutan tahun baharu ini dengan penuh keharmonian dan kebahagiaan. Eratkan persaudaraan dan kukuhkan silaturahim sesama kita. Jangan kita lupa mematuhi SOP sebagai langkah pencegahan Covid-19

Mohd Zawawi Ahmad Mughni
EXCO Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal

Mengambil semangat tahun harimau, kita semua mahukan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Xin Nian Kuai Le! dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat berbangsa Tionghoa

Datuk Rizam Ismail
Ketua Pembangkang

Semoga tahun harimau membawa semangat baharu, kemajuan, kebahagiaan dan kesihatan yang baik untuk semua. Kita telah sebati dengan kesatuan dalam pelbagai budaya dan perayaan diraikan bersama-sama. Ia memupuk semangat perpaduan, toleransi beragama dan keharmonian antara kaum. Tidak lengkap kemajuan yang dicapai tanpa persepaduan kaum yang ada

Dato’ Haris Kasim
Setiausaha Kerajaan Negeri

Semoga perayaan kali ini mengukuhkan perpaduan dan mencetus semangat mengharungi ujian demi kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran Selangor. Semoga Tahun Baharu Cina ini akan terbit sinar harapan baharu, kesihatan yang lebih baik kepada semua dan kita melakar lebih banyak kejayaan di masa hadapan. Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le!

Dato’ Salim Soib @ Hamid
Penasihat Undang-Undang Negeri

Semoga anda dan keluarga diberikan kegembiraan dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Semoga tahun baharu ini menyemarakkan lagi semangat sehati sejiwa meskipun kita berbeza agama, budaya dan bangsa. Xin Nian Kuai Le! Gong Xi Fa Cai! Selamat menyambut Tahun Baharu Cina

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin
Pegawai Kewangan Negeri

Categories
EKONOMI PERSONALITI RENCANA RENCANA

Hampir ranap gara-gara beri hutang, usahawan pes tumis kini popular di Shopee

Termangu-mangu Hashima Hassan, 42 melihat angka hutang pelanggan. Hampir mencecah RM50,000. Malah, ada kalangan penghutang telah pun gulung tikar.

Fikirannya berserabut. Kekurangan modal pusingan gara-gara hutang lapuk menyebabkan perniagaannya sukar meneruskan operasi.

“Bagaimana hendak kutip hutang orang yang muflis?” Usahawan pes tumis itu kebingungan saat dihimpit masalah pada 2018 ketika baru dua tahun berniaga.

Hashima menggagahkan diri mengutip hutang. Cuma sebahagian kecil dapat dipungut. Terlintas juga untuk berhenti niaga. Namun, hasrat itu dibuangnya jauh-jauh berkat sokongan ahli keluarga.

Hasilnya, jenama Shimaz Tumisan Bonda kini diiktiraf antara jualan tertinggi di Shopee pada 2021. Produk tanpa pengawet itu juga dipasarkan di pasar raya Segi Fresh dan Kohijrah.

Selain itu, Hashimah juga mengenal pasti kesilapannya. Lantaran mentah dalam selok-belok perniagaan, ibu empat anak itu mudah lembut hati memberi hutang.

Kerenah beberapa restoran dan penjual yang hutang mereka berpukal-pukal hampir meranapkan perniagaannya.

Mujur suami Khairul Azhar Bahari, 43, yang bekerja dalam bidang komunikasi rela berkorban masa dan tenaga. Berbekal sisa modal, mereka menggandakan pemasaran di media sosial dan Shopee. Perniagaan tersebut bangkit semula.

Beri percuma

Shimaz Tumisan Bonda bermula dengan modal permulaan RM800. Hashima menghasilkan empat jenis pes tumisan segera kari ikan, ikan bakar, nasi goreng dan masak lemak secara kecil-kecilan di rumah.

“Mula-mula susah mahu jual. Saya banyak beri percuma kepada jiran, saudara-mara dan kawan-kawan tetapi lama-lama ramai yang beli,” kata beliau kepada Selangorkini di kilangnya di Shah Alam baru-baru ini.

Selepas setahun, Hashima menyewa premis berikutan perniagaan kian berkembang. Beliau mendapat kepercayaan pelanggan besar yang mempunyai jenama sendiri dan pengusaha rangkaian restoran. Mereka menjenamakan semula produk Shimaz Tumisan Bonda.

Pengasas Shimaz Tumisan Bonda Hashima Hassan (kiri) menunjukkan mesin steril bagi memastikan produk pes keluarannya tahan lama di Berjaya Park, Shah Alam pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kesungguhan itu mendapat perhatian Exco Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang membantunya memperoleh mesin steril bernilai RM30,000 pada 2019. Mesin tersebut menjadikan produknya bertahan hingga dua tahun tanpa pengawet.

“Kami tidak guna pengawet supaya lebih sedap. Sebab itulah bila ada mesin steril sangat membantu produk tahan lama,” kata Hashima.

Agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Jabatan Pertanian turut memberi geran untuk membeli kelengkapan mesin memasak dan membungkus.

Jualan melonjak

Perniagaannya kian maju. Beliau sekali lagi berpindah ke premis lebih besar di Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam. Hashima juga meminjam RM5,000 daripada Yayasan Hijrah bagi menambah peralatan di kilang baharu.

Sebuah lagi mesin steril berharga kira-kira RM60,000 dibeli pada April tahun lalu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 1,200 bungkus pes sehari.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020, jualan produknya melonjak sehingga mencecah 11,500 bungkus seminggu.

“Mungkin sebab masa itu orang cuma duduk rumah. Jadi jualan dalam talian melonjak tinggi,” kata Hashima.

Bermula empat jenis produk, jenama Shimaz Tumisan Bonda berkembang kepada 20 produk pelbagai pes tumisan segera.

Beliau juga mampu menggaji sembilan pekerja antaranya golongan fakir miskin dan orang kelainan upaya, sesuatu yang diazaminya ketika mula berniaga.

 

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Tengku Permaisuri bela haiwan terbiar, cintai alam sekitar

SHAH ALAM, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mementingkan perlindungan terhadap haiwan terbiar daripada menjadi mangsa kekejaman segelintir manusia.

Baginda mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabai kebajikan dan memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan termasuk kucing dan anjing dengan memberi makanan dan perlindungan.

Baginda turut memelihara Snowy, kucing terbiar yang kerap berkeliaran mencari makanan di istana sejak empat tahun lalu. Snowy kemudian dibawa ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan sebelum dijadikan haiwan angkat. Snowy menjadi kucing kesayangan Baginda dan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda juga menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar termasuk kira-kira 30 ekor dipelihara Baginda sendiri, selebihnya dijadikan haiwan angkat. Haiwan tersebut diberi rawatan dan penjagaan rapi.

Tengku Permaisuri Norashikin juga begitu terkilan dan berdukacita berikutan segelintir individu dan pihak tertentu tergamak berlaku kejam terhadap haiwan.

Sebagai penaung diraja Kempen Stray Free Selangor (SCF) Baginda yakin konsep haiwan angkat dapat membela haiwan terbiar seterusnya menjadi peliharaan dan menyenangkan pemiliknya.

Pernah menjadi kucing terbiar, Snowy kini menjadi peneman setia Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan sentiasa berada di sisi Baginda. Foto Facebook Selangor Royal Office

Kempen sejak Mac 2017 yang dijayakan Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor menumpu usaha menangani masalah kucing terbiar dengan kaedah penuh perikemanusian.

Sejak Mac 2017 hingga Disember 2020, sebanyak 7,117 kucing dan anjing terbiar dikasi menerusi program SFS yang diselia SPCA Selangor.

Selain kucing,Tengku Permaisuri Norashikin juga pernah menzahirkan kekesalan berikutan penangkapan seekor anjing terbiar secara ganas yang dilakukan penguat kuasa sebuah majlis perbandaran pada dua tahun lalu.

Sememangnya Tengku Permaisuri memiliki persona tersendiri. Apatah lagi, Baginda sebelum ini terkenal sebagai penyampai berita di kaca televisyen dan bertugas di RTM selama 20 tahun sejak 1996.

Diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali dalam Anugerah Seri Angkasa pada 2001 dan 2005, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mencemar duli membuat kemunculan istimewa menerusi slot Berita Perdana Khas jam 8 malam pada 1 April.

Tengku Permaisuri Norashikin menyampaikan berita secara langsung kira-kira 15 minit berkaitan isu semasa negara. Kemunculan itu sekali gus pengubat rindu dan mengimbau era kegemilangan baginda sebagai penyampai berita.

Kemunculan itu julung kali selepas lima tahun lalu pada 31 Ogos 2016 setelah Baginda diijab kabul sebagai Tengku Permaisuri Selangor. Biarpun Baginda tidak lagi bergelar penyampai berita, kemunculan Tengku Permaisuri Selangor yang pernah bertugas di RTM selama 20 tahun sejak 1996 tetap tenang.

“Dua dekad menabur bakti di Angkasapuri RTM akan sentiasa abadi di hati saya. Bersempena Hari Ulang Tahun RTM ke-75, selamat maju jaya saya ucapkan kepada seluruh warga kerja RTM di mana jua anda berada,”titah Baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menanam pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor sempena Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Sedunia pada Februari 2019

Selain itu, Tengku Permaisuri Norashikin sentiasa mementingkan kelestarian persekitaran hijau. Bahkan, Baginda berkenan menanam pokok bakau di Taman Alam Kuala Selangor sempena Karnival Alam Sekitar dan Hari Tanah Sedunia pada Februari 2019.

Kesungguhan Baginda terserlah apabila mencemar duli berjalan kaki sejauh hampir tiga kilometer sebelum menanam pokok bakau spesies bakau kurap atau ‘Rhizophora mucronata’.

Sebanyak 1,300 batang pokok bakau kurap ditanam di sekitar taman seluas 261 hektar yang dijayakan 500 peserta termasuk pelajar dari sekolah rendah hingga peringkat institusi pengajian tinggi.

Baginda juga mengiringi Sultan Sharafuddin mencemar duli menyempurnakan Program Tanam Pokok Selangor 2018 di Hutan Simpan Sepang Kechil di Pantai Bagan Lalang. Baginda berdua menanam pokok bakau di kawasan pantai itu. Sebanyak 3,000 pokok ditanam di sekeliling pantai melibatkan 2,500 peserta.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Raja Muda pergiat program asuh bakat bola sepak

SHAH ALAM, 11 DIS: Usaha Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah membangunkan sukan bola sepak negeri meliputi segenap kelompok. Dari kanak-kanak, wanita mahupun lelaki, semuanya ada dalam rencana Baginda.

Pelbagai program rancak berlangsung demi mengembalikan kegemilangan negeri agar gah di kejohanan tempatan, seterusnya mengorak langkah ke peringkat Asia.

Bukan sahaja melahirkan pemain berwibawa, Baginda sejak menerajui Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tiga tahun lalu berazam melahirkan jurulatih dan pengadil berkualiti. Justeru, beberapa inisiatif dirancang bagi mewujudkan ekosistem berdaya maju.

Pengenalan Liga Super Wanita yang dirasmikan sendiri Baginda pada 20 November antara usaha tersebut. Liga itu sekali gus menjadi kejohanan bola sepak wanita pertama di negara ini.

Disertai 10 pasukan, liga tersebut membuka tirai pada 29 November seterusnya menjadi landasan terbaik buat pemain wanita mempamer bakat dan mempertingkat prestasi.

Selain itu, Liga Futsal Wanita Selangor dan Liga Junior Perempuan FAS turut diketengah selain pembangunan kejurulatihan serta pengadilan wanita.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menandatangani bola sebagai gimik pelancaran Liga Super Wanita FAS di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November 2021. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor

Pelbagai formula dicetuskan demi melahirkan lebih ramai jaguh sukan itu. Justeru, Tengku Amir Shah turut aktif pada peringkat akar umbi, komuniti, sosial, amatur dan semi-profesional.

Menerusi kerjasama Team Selangor, Klinik Asas Bola Sepak dianjur pada 4 Disember secara percuma dengan penyertaan remaja berusia 12 hingga 17 tahun dari serata daerah.

FAS juga menjalin kerjasama dengan peneraju industri animasi negara Les’ Copaque bagi mencungkil bakat baharu menerusi FAS Soccer School pada tahun lalu.

Selain mencungkil bakat peringkat kanak-kanak, Football Selangor, sebuah entiti bawah Selangor Youth Community (SAY), turut diwujudkan sebagai platform bola sepak komuniti dan belia di negeri ini.

Beberapa kategori liga juga diperkenal bagi membangunkan bakat bola sepak antaranya Liga Affiliated, Liga FAS, Liga Joma, Liga Junior dan Liga Belia.

Baginda juga mengilhamkan Liga Kejuaraan Selangor (SCL), liga yang menghimpunkan juara-juara liga amatur negeri bagi merebut gelaran pasukan amatur terbaik.

Kini, SCL menjadi liga paling berprestij di Selangor. Bukan sahaja dari segi penyertaan pasukan, bahkan taraf penganjuran sentiasa pada tahap terbaik.

Selain itu, FAS melalui episod baharu pada akhir September tahun lalu apabila ia dipisahkan daripada entiti persatuan bola sepak dan diiktiraf sebagai kelab profesional bebas.

Penswastaan itu menyaksikan perbezaan peranan antara pengurusan FAS dan syarikat Red Giants FC Sdn Bhd (Red Giants FC) sebagai pengendali Selangor FC.

FAS menumpukan pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu pengadil selain membangunkan liga serta kejohanan peringkat negeri.

Red Giants FC pula mengendalikan skuad utama Selangor FC, Selangor FC II, pasukan Futsal Selangor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan wanita negeri.

Pun begitu, Tengku Amir Shah masih menjadi pemilik bersama Selangor FC selaku pemegang saham utama dan mengikuti rapat perkembangan pemain skuad kendalian Red Giants FC.

Saingan Piala Malaysia sejak 26 September menyaksikan skuad bimbingan Karsten Neitzel menempah slot ke suku akhir di sebalik ketiadaan beberapa tonggak.

Sekalipun gagal menjulang piala, skuad yang bakal diuruskan Michael Feichtenbeiner pada musim depan mempamer persembahan memberangsangkan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencuba Zip Line Shah Alam atau ‘Flying Fox’ ketika berangkat tiba ke Majlis Perasmian Zip Line Shah Alam dan Laman Budaya Musical Fountain di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam pada 28 Mac 2021. Foto BERNAMA

Selain bola sepak, Tengku Amir turut memajukan sukan rekreasi antaranya luncur keluang menerusi Projek Zip Line Shah Alam sepanjang 240 meter pada ketinggian 18 meter merintangi Taman Tasik Shah Alam.

Baginda juga menganjurkan program ‘Selangor Youth Get Active’ secara maya bagi memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.

Program melalui Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dan SAY sempena Hari Sukan Negara menumpukan acara berbasikal yang menjadi kegemaran baginda selain berjalan, joging, berlari, mendaki, yoga dan berenang.

Categories
AGENDA PERSONALITI RENCANA

Pesan sultan cetus idea pelukis Haron Mokhtar buka galeri seni tengah sawah

“Haron, kalau hendak buat galeri lukisan, buat di kampung. Jangan di bandar. Majukan kampung”.
Demikian pesan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hampir 20 tahun lalu yang masih segar dalam ingatan pelukis Haron Mokhtar.

Berusia 58 tahun, anak kelahiran Sabak Bernam itu mendirikan Galeri Merah Teratak Anak Amas di tengah sawah, hasil cetusan ilham Baginda.

Pemenang Anugerah Bakat Muda Sezaman dari Balai Seni Lukis Negara pada 1987 pada mulanya meragui adakah idea tersebut boleh berjaya. Terlintas juga rasa khuatir di hatinya adakah ada orang mahu berkunjung galeri seninya di kampung?

Sebaliknya, telahan Baginda tepat. Terletak di Sungai Besar, premis seluas 800 kaki persegi itu menjadikannya unik.

Ada sahaja orang luar bertandang membeli lukisan meski letaknya jauh dari kota.

“Ada yang datang ke sini mengatakan galeri saya berbeza dengan yang lain,” kata bekas guru itu kepada Selangorkini.

Galeri Merah Teratak Anak Amas milik Haron Mokhtar di Sungai Besar menampilkan keunikan tersendiri buat pengunjung.  Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bapa kepada empat anak itu mula mengenali Sultan Sharafuddin secara peribadi ketika masih bergelar Raja Muda Selangor ketika pameran solonya di Galeri Shah Alam pada 1995 yang mempamer 60 lukisan berjudul Siri Kasih Sayang.

Dua tahun kemudian, Sultan Sharafuddin yang juga penaung Galeri Shah Alam menitahkan Haron supaya menghadap.

Koleksi

Baginda tertarik dengan karyanya memaparkan imej rumah tradisional, bangunan lama, suasana kampung, tema yang sering dihasilkan Haron.

Pada 2009, Sultan Sharafuddin meminta beliau menghasilkan 22 lukisan. Karya itu dinamakannya Siri Mengadap Sultan disusuli Siri Dari Kulaan Studio ke Istana Mestika pada 2014.

Sultan Selangor turut berkenan mempamerkan 33 koleksi lukisan kesayangan Baginda termasuk karya Haron di Galeri Prima Balai Berita Jalan Riong, Kuala Lumpur.

Beliau juga mendedahkan lukisan Siri Roti Benggali antara digemari Baginda. Karya itu memaparkan budak lelaki di tangga, menanti penuh sabar benggali jual roti. Kata Baginda kepada Haron, suasana itu seperti diri Baginda suatu waktu dahulu.

Setahu Haron, lebih 300 lukisannya dibeli Baginda. Lukisannya dipamer di istana, bangunan kerajaan dan hotel. Di Hotel Casa Del Rio, Melaka misalnya, 20 lukisan karya Haron yang dibeli Baginda dipamer.

Beliau hanya tahu selepas dihubungi pelanggan yang berminat dengan lukisan di hotel lima bintang itu.
Setakat ini, Haron mengadakan lapan pameran solo di Selangor dan Kuala Lumpur.

Bermula di Galeri Shah Alam pada 1995 dan yang terakhir di tempat sama pada 2018. Pameran terakhir itu dirasmi sendiri Sultan Sharafuddin.

“Saya pernah usulkan sekitar 2015. Jika ada lagi pameran saya berhajat Baginda rasmikan upacara pembukaan. Tuanku setuju.

“Tiga tahun kemudian, Pameran Solo Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018, Baginda mencemar duli menepati janji,” katanya.

Haron minat seni sejak berusia lima tahun tetapi anak kesembilan daripada 12 beradik itu tidak pernah menyangka karyanya mendapat penghargaan istana.

Minat seni mendalam

Apalagi, beliau bukan daripada keluarga senang. Semasa kecil, Haron cemburu dengan rakan yang memiliki rumah cantik dengan tiang kayu berukir. Rumahnya berbeza sama sekali.

“Untuk hilangkan rasa cemburu, setiap pagi saya melukis di tanah. Hendak lukis di kertas, tiada kertas. Saya lukis rumah impian saya. Hari-hari saya bayangkan itulah rumah saya nanti,” katanya.

Ketika berusia tujuh tahun, lukisannya ‘dibeli’ guru dan rakannya. Bukan dengan duit, sebaliknya ditukar dengan kertas putih, untuk Haron melukis lagi. Jika diberi wang, beliau tetap membeli kertas dan pensel.

Minatnya terhadap seni mendalam tetapi ibu bapanya kurang yakin dengan potensi bidang itu. Beliau akur lalu menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Emak ayah tak mahu saya susah. Mereka mahu masa depan jelas. Kemudian, saya jadi guru sepenuh masa di Sarikei, Sarawak pada 1989,” katanya.

Namun, minat Haron tidak pernah luntur. Beliau terus melukis. Kesungguhannya dihargai Baginda yang mengurniakan darjah kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) pada 2014.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Tegas pertahan kesucian agama, perkasa syiar Islam

Ketegasan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam mempertahan kesucian Islam terserlah dalam pelbagai isu termasuk penggunaan kalimah Allah.

Baginda selaku ketua agama negeri menegaskan penggunaan kalimah itu hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

“Apa gunanya Beta menjadi ketua agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri,” titah Baginda.

Titah tersebut selaras fatwa yang diwarta di Selangor pada 18 Februari 2010 iaitu kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama bukan Islam.

Namun, Sultan Sharafuddin dalam kenyataan pada 23 Mac menzahirkan tiada halangan untuk terjemahan perkataan ‘Tuhan’ kepada ‘God’.

Titah itu juga selaras keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 dan fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010.

Penegasan dibuat Sultan Sharafuddin berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Mahkamah itu pada 10 Mac memutuskan penganut Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka.

Namun, Baginda menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam Bible (terjemahan bahasa Melayu) atau sebarang percetakan buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun tetap dilarang sama sekali di Selangor.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menekan kepentingan semua lapisan rakyat menghormati agama masing-masing dan tidak cuba menyentuh sensitiviti hingga boleh merosakkan perpaduan.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, maka Beta juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” titah Baginda.

Sultan Selangor tidak mahu isu sensitif dibangkitkan semula supaya keharmonian kekal tanpa dicemari gangguan pihak tertentu.

Selain itu, Baginda juga menegur segelintir umat Islam yang tidak berhati-hati dalam berkata-kata hingga boleh menjejaskan akidah dan keIslaman.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menghadiri Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena Hari Pahlawan Peringkat Negeri Selangor Tahun 1439H / 2018 di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 27 Julai 2018.
Foto Selangor Royal Office

Sultan Sharafuddin menasihati umat Islam supaya berpegang kepada asas kepercayaan dengan mengakui keesaan hanya Allah berhak disembah dan Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah.

Baginda bimbang kenyataan mengugut keluar Islam boleh menyebabkan seseorang itu murtad, suatu kesalahan serius dan boleh dihukum mati menurut pendangan majoriti ulama termasuk mazhab Imam Syafi’e.

Sultan Selangor turut mempertahan tindakan Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melaksanakan tugasnya mengikut lunas undang-undang dalam menangani isu berkenaan.

Kenyataan itu dibuat rentetan laporan media yang memetik kenyataan selebriti yang mengugut keluar Islam berikutan masalah yang dihadapinya.

Dalam isu wabak Covid-19 yang mencecah lima digit kes dan tiga digit bagi kes kematian, Baginda terpaksa membuat keputusan berat termasuk mengehad bilangan jemaah di surau dan masjid.

Baginda tidak mahu episod sedih membabitkan kematian berlarutan. Namun, Sultan Sharafuddin menegaskan masjid di Selangor tidak pernah ditutup dan bukan mudah untuk Baginda menitahkan supaya masjid mengehad jemaah untuk solat fardu dan Jumaat.

Sebaliknya, keputusan itu diambil setelah meneliti secara terperinci data penularan Covid-19.

Malah, Jais dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dititah mempercepat suntikan vaksin kepada imam, bilal dan siak sebagai persediaan awal bagi membuka masjid dan surau kepada lebih ramai jemaah.

Bilangan jemaah diambah secara berperingkat apabila kes Covid-19 mula berkurangan. Bagi solat Jumaat, kebenaran diberi kepada 400 hingga 2,000 orang menunaikan solat Jumaat.

Bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 3,500 orang. Untuk solat fardu, antara 200 hingga 500 orang dibenar bergantung pada kategori masjid dan surau.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Sultan Sharafuddin Idris Shah tekal cakna usaha perangi Covid-19

Setiap petang sejak wabak Covid-19 melanda negara, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pasti bertanya jumlah kes di negeri ini.

Baginda sedih melihat rakyat kematian ahli keluarga manakala anak-anak kehilangan ibu. Baginda memandang berat nasib rakyat yang dijangkiti virus selain turut sugul lantaran ekonomi rakyat tenat sepanjang penularan wabak.

Berkali-kali Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat supaya tidak leka dan mematuhi tatacara piawai operasi (SOP). Nasihat itu selalunya diiring kata-kata perangsang supaya orang ramai tidak mudah mengalah dalam melawan wabak.

Demi keselamatan rakyat, Sultan Selangor turut menegur kelewatan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin menyediakan bekalan kepada rakyat negeri. Baginda lantas menitah supaya pemberian itu dipercepat dan bilangan dos ditambah segera.

Titah itu ditegaskan Baginda berikutan Selangor hanya menerima 615,210 dos setakat 1 Jun, bukan 2.9 juta dos seperti dakwaan awal. Baginda menyifatkan nisbah pemberian dos pada waktu itu tidak seimbang dengan kepadatan penduduk negeri yang berjumlah 6.5 juta.

Sultan Sharafuddin juga menegaskan nyawa rakyat harus diberi keutamaan berbanding agenda lain, apatah lagi Selangor penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Baginda memuji kesungguhan Kerajaan Negeri yang menganjurkan ujian percuma kepada penduduk menerusi Saringan Komuniti disusuli program Vaksin Selangor (Selvax).

Sultan Selangor gembira Saringan Komuniti membantu membendung wabak. Program membabitkan kos RM20 juta itu memanfaatkan 177,823 individu berisiko, kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Sultan Sharafuddin juga memuji usaha memberi vaksin menerusi Selvax Industri, Komuniti dan Remaja. Mereka yang tercicir suntikan bawah program kerajaan pusat dipermudahkan urusannya dengan mengambil vaksin negeri.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin selesai menerima dos kedua vaksin di Hospital Shah Alam pada 10 April 2021. Foto Selangor Royal Office

Sultan Selangor turut menghargai pengorbanan barisan hadapan. Bahkan baginda hanya berkenan menerima giliran suntikan selepas mereka mendapat pelalian itu.

Bagi Baginda, doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan termasuk polis dan tentera serta guru harus diutamakan kerana risiko jangkitan tinggi untuk mereka.

Baginda juga menegur pemimpin politik, orang kenamaan dan selebriti yang menyalahgunakan kedudukan dengan melanggar SOP dengan menyertai aktiviti yang dilarang Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Sultan Sharafuddin turut menunjukkan contoh dengan mengehad kegiatan. Justeru, Baginda meminta rakyat kekal di rumah jika tiada keperluan selain memakai pelitup muka dan mengamal penjarakan fizikal.

Baginda turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan kumpulan antivaksin. Malah, Baginda menegaskan pemberian vaksin seiring tuntutan agama dan wajar demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Baginda mengingatkan pakar perubatan telah mengesahkan vaksin mampu mengatasi penularan Covid-19. Mengingatkan  Selangor telah mengeluarkan fatwa pengambilan vaksin hukumnya harus, Baginda tidak putus-putus menyeru rakyat mengambil vaksin.

Namun, Sultan Selangor dukacita berikutan sebilangan guru Kafa, pegawai masjid dan surau serta jurunikah enggan mengambil vaksin dan menitahkan Jabatan Kesihatan Selangor menyegerakan proses suntikan terhadap mereka.

“Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai. Beta bimbang jika masih ada guru-guru Kafa yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar.

“Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian,” titah Baginda sambil mengingatkan mereka berdepan kemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Rezeki jual kudapan bantu rawatan isteri

Pilu hati seorang suami melihat isteri menderita sakit kencing manis. Acap kali dimasukkan ke hospital sehingga berminggu-minggu lamanya.

Tiada siapa boleh menjaga melainkan Nor Haisiam Hashim sendiri. Anak seramai lima orang diuruskan sendiri. Mujur semua matang dan boleh diharap.

Sedikit sebanyak mengurus kerja rumah. Tatkala itu beliaulah bapa dan ibu yang memasak. Ada masanya kehabisan beras, tiada untuk dimakan.

Jika anak-anaknya dapat hidangan nasi lauk telur goreng berkuahkan kicap sudah cukup mewah padanya. Masakan tidak, kos perubatan isterinya menekan belanja rumah.

Pekerjaannya juga hilang gara-gara majikan tidak membenarkan cuti tanpa gaji untuk menjaga isteri.

Namun kasih sayang dan cinta terhadap isteri mengatasi segalanya dan beliau tetap reda dengan ujian menimpa dirinya.

Bapa berumur 51 tahun itu menguatkan semangat demi membaiki kehidupan dengan berniaga kecil-kecilan.

Nor Haisiam Hashim menceritakan pengalamannya terpaksa meninggalkan pekerjaan sebagai pengurus operasi di syarikat keselamatan demi menjaga isteri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau memperkenalkan barang jualan seperti popiah Nestum, popiah sira, acar buah, kuah laksa dan burger rangup.

Melalui perniagaan dijalankan sedikit demi sedikit kehidupan Nor Haisiam sekeluarga semakin bertambah baik. Kini produknya turut dipasarkan melalui agen dan pemborong di beberapa negeri.

Hilang kerja

Dua tahun lalu hidup Nor Haisiam diibaratkan sebagai jatuh ditimpa tangga.

Isteri tercinta Noor Zainida Zainal Abidin, 45, sakit teruk menyebabkan beliau memohon cuti tanpa gaji untuk menjaga dan mengurus keluarga.

Malangnya, permohonan ditolak mentah-mentah dan kerana kecewa dengan majikan, pada September 2019 Nor Haisiam nekad berhenti kerja.

“Tak mengapalah, rezeki ada di mana-mana,” bisik hatinya.

Pada waktu itu berat hatinya meninggalkan pekerjaan sebagai pengurus operasi di syarikat keselamatan. Apalagi itulah satu-satunya sumber pendapatan.

Tanpa menoleh, pada penghujung 2019 beliau dibantu anak kedua, Noor Izzah Fahdillah, 20, berniaga kecil-kecilan menjual popiah nestum dan popiah sira di media sosial.

Kalau sebelum ini kerjanya tidak tentu masa, kini dia dapat lebih banyak masa menjaga isteri di rumah.

Bagaimanapun pendapatan berniaga tidak menentu. Lebih-lebih lagi bagi produk yang belum dikenali. Pada bulan pertama, hendak dapat jualan RM100 pun cukup seksa.

Keadaan itu cukup merisaukan apabila memikirkan perut yang perlu diisi dan belanja pendidikan anak. Empat anaknya masih bersekolah termasuk seorang yang menuntut di Universiti Sains Malaysia.

“Beberapa kali terputus beras. Makan pun bercatu. Kadang-kadang cuma ada nasi, telur dan kicap sahaja. Nak makan ayam memang susah.

“Kalau sepapan telur dapatlah bertahan tiga ke empat hari. Makan siang dan malam semua lauk telur sahaja,” katanya.

Bantuan LZS

Selain itu, beliau turut berhadapan kekangan modal pusingan.

Pernah sekali satu-satunya kereta dimiliki rosak. Maka terpaksa menebalkan muka meminjam dengan rakan.

Malangnya, tidak berapa lama selepas itu, keretanya kembali rosak. Kali ini lebih teruk. Lebih RM2,000 diperlukan. Mujur Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudi membantu membayar sebahagiannya.

Produk jualan Nor Haisiam turut dipasarkan melalui agen dan pemborong di beberapa negeri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

LZS juga membantu perbelanjaan bulanan dan pendidikan anaknya. Dapatlah bernafas sedikit.

Selepas isteri beransur sihat, Nor Haisiam berhasrat mengembangkan lagi perniagaan bagi menambah pendapatan dengan berniaga burger rangup.

Beliau bernasib baik apabila pada tahun ini LZS melalui Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) membantu dengan membiayai pembelian peralatan seperti kuali, peti sejuk beku dan dapur goreng elektrik.

Berbekalkan peralatan dibiayai LZS, Nor Haisiam memulakan perniagaan. Istimewanya, daging burger dibuat sendiri menggunakan daging ayam kisar yang diadun dengan ramuan istimewa.

Melalui jualan di gerai berhampiran rumah dan tempahan dalam talian beliau mampu menjual hampir 100 biji burger sehari. Namun sekatan dikenakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 menyebabkan jualannya jatuh.

Bagaimanapun, beliau masih bernasib baik. Popiah Nestum, popiah sira, acar buah dan kuah laksa pula semakin mendapat sambutan.

Ketika ini beliau sudah mempunyai agen dan pemborong yang memasarkan produknya di beberapa daerah di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan.

“Mula-mula memang susah nak jual sebab orang belum kenal produk kita tetapi sekarang boleh dapat jualan lebih RM1,000 seminggu,” katanya ketika ditemui Selangorkini di kediaman beliau di Gombak pada 5 November.

Mengakui masih terkial-kial dalam perniagaan, namun Nor Haisiam lega kerana sekurang-kurangnya beliau mampu mengubah taraf keluarganya lebih baik.

Nor Haisiam berharap suatu hari nanti beliau mampu membantu asnaf lain memperbaiki kehidupan dengan berniaga.

“Saya berharap semoga suatu hari nanti saya pula menjadi pembayar zakat. Saya ingin membantu asnaf lain baiki kehidupan dengan berniaga,” katanya.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Kek Vintaj krim mentega bangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Malar segar. Kek buttercream atau krim mentega yang begitu popular pada era 60-an dan 70-an, masih mempunyai pengikut setia di sebalik “kemunculan” pelbagai jenis kek moden memenuhi rak pameran kebanyakan kedai kek dan pastri pada masa kini.

Kek span gebu yang dihiasi krim mentega dalam bentuk bunga atau watak kartun popular pada era itu merupakan kek pilihan bagi kebanyakan mereka yang lahir sebelum pertengahan 1990-an ketika sambutan hari jadi dan juga acara istimewa lain.

Pada masa itu, kunjungan ke kedai kek bagaikan percutian di taman tema dek rasa teruja, khususnya ketika membelek album yang memuatkan gambar pelbagai kek krim mentega, sebelum membuat tempahan.

Suasana itu mungkin hanya tinggal kenangan bagi kebanyakan penggemar kek vintaj tersebut, namun sebuah bakeri di Pudu di sini berusaha mengekalkan cita rasa krim mentega yang mereka tawarkan sejak beroperasi pada 1961.

Terletak di Jalan Sungai Besi, Chen Tiang Cake House mengekalkan aura vintaj dengan almari paparan dan papan tanda berlatar belakang kuning, bertulisan stail lama – di bawah papan tanda asal yang masih dijaga dengan baik – selain menawarkan lebih 30 jenis kek dan pastri untuk penggemar sediaan manis old school.

Diasaskan oleh Han Yooi Kang, kedai kek itu yang kini dioperasikan oleh generasi kedua dan ketiga keluarga Han, menjadi bualan netizen sejak kebelakangan ini yang teruja dapat menikmati kek krim mentega stail lama yang membawa sesetengah mereka kembali mengingati alam kanak-kanak.

Cucunya Lois Lim, 21, berkata kedai kek itu bermula dengan sebuah kios kecil di sebuah kopitiam sebelum perniagaan berkembang dan datuknya dapat berpindah ke kedai bersebelahan kopitiam tersebut beberapa tahun kemudian.

“Perniagaan ini kemudian diusahakan secara bersama dengan nenek, Wang Ying, 76, selepas dia berkahwin dengan datuk pada usia 25 tahun. Hingga sekarang nenek masih aktif bekerja di kedai kek kami ini.

“Malah, semua yang bekerja dengan Chen Tiang Cake House sekarang telah bersama-sama kami sejak awal lagi, termasuk pekerja yang membuat kek untuk dipamerkan di rak paparan, menggunakan resipi yang diturunkan oleh datuk. Mesin dan peralatan yang digunakan juga adalah yang sama – digunakan sejak 60 tahun lepas.

“Bagi saya, rahsia kami dapat bertahan hingga sekarang ialah ‘kesetiaan’ (pekerja dan pelanggan),” kata wanita muda itu ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Produk halal

Menurut Lois, kebanyakan pelanggan setia mereka ialah kelompok berusia dengan majoritinya penduduk di sekitar kawasan Pudu, baik Cina mahupun Melayu yang tahu kesemua bahan yang digunakan mempunyai pensijilan halal.

Namun katanya kebelakangan ini semakin ramai pelanggan muda datang atau menempah kek daripada kedai itu selepas mereka menukar strategi perniagaan dan beroperasi secara hibrid – dalam talian dan juga premis fizikal.

Dipotong dalam bentuk tiga segi, kebanyakan kek mereka direka bentuk dengan toping krim mentega pelbagai perisa yang menjadi kegemaran pada era 90-an seperti coklat, vanila dan strawberi.

Pada 1960-an, potongan kek terbabit dijual pada harga 20 sen sekeping, dan seiring peredaran masa harga juga meningkat, namun pada harga RM3 sepotong sekarang, kek di kedai itu dianggap antara yang termurah di Lembah Klang.

“Selain kek, kami juga menjual sediaan manis lain yang dibuat setiap hari seperti paf krim, tat telur Portuguese dan ban tuna lembut pada harga bermula serendah RM2.50,” katanya.

Bagi mereka yang lalu-lalang di depan kedai, mata pasti tertarik kepada konfeksi pelbagai warna – roti, donat dan paf, selain kek vintaj ‘signature’ yang memenuhi rak paparan dan peti sejuk.

“Seiring kehendak pelanggan, kami juga membuat kek vegetarian tanpa telur. Memang tidak mudah untuk bertahan selama 60 tahun (mengambil kira pelbagai krisis termasuk Covid-19), namun dengan sokongan pelanggan setia, kami berbangga dapat mengekalkan gaya ‘old school’ walaupun bersaing dengan kedai kek moden.

“Kami juga menerima respons yang baik untuk kek signature kami kerana rata-rata pelanggan menyatakan semakin sukar bagi mereka untuk membeli kek vintaj seperti yang kami tawarkan,” katanya lagi, menambah kedai itu beroperasi 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Seorang pelanggan setia, Ahmad Fateh Abdullah, 23, berkata Chen Tiang Cake House menjadi kedai kek kegemarannya sejak tujuh tahun lalu.

“Dulu saya beli roti mereka di sekolah untuk bersarapan atau minum petang. Apabila ada majlis di sekolah atau sambutan hari jadi, kami gemar menempah kek daripada Chen Tiang Cake House kerana kek mereka tidak terlalu manis dan krim mentega serta kek span juga gebu dan lembut, cair di dalam mulut.

“Kami tahu mereka gunakan bahan-bahan halal, jadi tidak timbul isu waswas,” jelasnya.

Berubah ikut pelanggan

Sementara itu, sebuah lagi kedai bakeri vintaj, Australian Bakery Since 1970, mengambil pendekatan yang sedikit berbeza apabila turut menawarkan menu baharu di samping mengekalkan kek vintaj dan paf krim.

Terkenal dalam kalangan penduduk di Sea Park, Petaling Jaya dekat sini, kedai berkenaan yang beroperasi sejak 1970 menawarkan kek mentega tradisional, tat dan paf krim.

Hasil air tangan – juga menggunakan bahan-bahan yang mempunyai pensijilan halal – Chan Kang Heng, 68, itu memikat pelanggan dengan aroma bakeri yang hanya “dikenali” oleh mereka yang membesar pada era 70-an, walaupun premis dan dapur sudah diubah suai mengikut gaya moden.

“Ketika mengasaskan Australian Bakery dengan ayah saya, saya baru sahaja tamat persekolahan. Ayah saya merupakan pengedar roti di sekitar Kuala Lumpur, menggunakan kereta dan van serta memiliki sebuah kedai yang dinamakan ‘Rex Bakery’ di Jalan Klang Lama, ketika zaman 60-an.

“Saya banyak ponteng sekolah untuk membantu ayah menguruskan perniagaan rotinya dan ketika itulah kami mengenali beberapa pembuat kek dan roti terkemuka, membolehkan kami mempelajari cara-cara membuat kek sebelum memutuskan untuk membuka sebuah kedai kek dan roti,” kata Chan kepada Bernama.

Katanya ketika itu, kek krim mentega sangat laris dan popular dalam kalangan masyarakat serta menjadi pilihan tempahan khas kek hari jadi dan sambutan istimewa lain seperti ulang tahun.

“Hingga kini permintaan terhadap ‘customised vintage cake’ kami masih mendapat sambutan menggalakkan.

“Namun, kami terus-menerus mengkaji permintaan pelanggan di pasaran tentang cita rasa mereka terhadap kek dan pastri, serta menghasilkan menu-menu baharu dan dekorasi kek moden mengikut peredaran zaman tanpa mengabaikan menu signature kami.

“Oleh sebab itulah kami turut mengeluarkan kek-kek moden seperti Red velvet, kek onde-onde, Japanese sponge cake, kek durian dan kek mini yang mempunyai dekorasi moden mengikut cita rasa semasa,” jelasnya.

Guna bahan asli tanpa pengawet

Menurut Chan, Australian Bakery since 1970′ membuka cawangan baharunya di Jalan Telawi, Bangsar pada Mei 2021 dan diusahakan oleh anak sulungnya, Philip Chan. Sebanyak 250 jenis kek dan roti dijual di kedua-dua kedai mereka.

Chan berkata antara rahsia kedai kek mereka masih bertahan hingga kini ialah sokongan pelanggan tetap hingga dua generasi, sejak kedai itu diasaskan kira-kira 50 tahun lepas.

“Semua roti dan kek kami merupakan ‘freshly baked daily’. Jika tidak dapat dijual dalam tempoh sehari, kami akan mendermakannya kepada golongan memerlukan seperti rumah-rumah kebajikan.

“Antara rahsia kami ialah menggunakan bahan-bahan segar. Contohnya, jika mahu menghasilkan kek durian, maka kami akan menggunakan buah durian sepenuhnya dan tidak akan mencampurkan sebarang pewarna ataupun perisa tiruan.

“Kebanyakan kek yang berada di pasaran telah dicampurkan dengan pemanis dan perisa tiruan. Kami tidak berbuat demikian kerana mahu menghasilkan kek yang betul-betul diperbuat daripada buah segar,” katanya.

Sementara itu dari segi harga pula, Phillip berkata ketika era 1970-an setiap potongan kek dijual pada harga 20 sen.

“Sekarang, meskipun harga bahan seperti tepung gandum, minyak dan mentega meningkat 40 peratus setiap tahun, kami masih cuba mengekalkan harga serendah mungkin. Kali terakhir kami semak semula harga ialah pada 1 Jan lepas. Itupun kami tidak berani naikkan terlalu tinggi, cuma 10 peratus,” katanya, menambah harga terbaharu mereka ialah RM3.50 sepotong.

Dalam pada itu, Chan yakin kek vintaj akan terus mendapat sambutan kerana kek sedemikian semakin sukar diperoleh di kedai kek moden lain.

“Kita boleh lihat walaupun menu-menu moden telah menjadi trend dalam kalangan generasi muda, tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang masih merindui zaman kanak-kanak dan mengimbas kembali kenangan mereka menerusi makanan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Pementasan KLPAC untuk memperingati penyair rakyat, Usman Awang

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 28 OKT: “When can all citizens enjoy rights; To the same justice, the same treatment; And be known as one race: Bangsa Malaysia?”

(Bilakah semua warganegara mendapat hak Layanan dan keadilan yang sama, dikenal dengan satu rupa nama: Bangsa Malaysia?)

Sajak bertajuk ‘My Friend’ ini, diterjemah daripada versi asal ‘Sahabatku’, oleh (Allahyarham) Datuk Dr Usman Awang, disampaikan oleh Joe Hasham OAM dengan diiringi persembahan tarian oleh Feyee Bethany, sewaktu acara ‘Remembering Usman Awang’ yang berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC), baru-baru ini.

Berkisar tentang ketaksamaan dalam kalangan rakyat Malaysia, Allahyarham yang juga Sasterawan Negara menulis puisi berkenaan untuk sahabatnya, Dr MK Rajakumar, yang dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1960an.

Pengasas bersama KLPAC, dan Actor Studio, Joe Hasham dan Datuk Dr Faridah Merican, ‘Sahabatku’ dalam mengenang Usman Awang, bercakap tentang personaliti kemanusian Allahyarham sebagai seorang rakan seperjuangan dan mesra dengan semua orang tanpa mengira latar belakang dan bangsa.

“Saya memilih untuk menyampaikan puisi ‘My Friend’ dan novel Allahyarham ‘Scattered Bones’ (diterjemahkan daripada novel asal Tulang-Tulang Berserakan) untuk memperingati Usman, sahabat baik kami serta mentor saya.

“Saya mengenali Usman menerusi isteri saya, (Datuk Dr) Faridah pada awal tahun 1980an. Beliau menjadi mentor saya bukan sahaja untuk saya menghargai seni persembahan dan sastera tetapi juga kehidupan.

“Kami sahabat akrab dan sering keluar makan-makan bersama. Mengahwini wanita tempatan adalah satu cabaran besar tetapi saya bersyukur kerana dengan adanya Usman, perjalanan hidup saya dengan Faridah dipermudahkan, ” kongsi Joe Hasham dengan Bernama sewaktu ditemu bual baru-baru ini.

Beliau juga memetik sebahagian daripada novel ‘Scattered Bones’ (Tulang-Tulang Berserakan), satu-satunya novel karya Usman Awang yang mengandungi aksi, tragedi serta kegembiraan, pertarungan antara Empayar Jajahan Inggeris dan Komunis Malaya untuk menguasai Malaya dalam pementasan berkenaan..

Faridah, yang juga dikenali sebagai Wanita Pertama Teater Malaysia, menggambarkan Usman Awang sebagai seorang lelaki berjiwa ‘muhibbah dan mudah bergaul’.

“Beliau begitu bersemangat kalau bercakap tentang soal muhibbah dan beliau juga memberi perhatian berat kepada isu kemanusiaan. Beliau tidak pernah langsung menunjukkan rasa benci kepada sesiapa dan sentiasa tersenyum.

“Ramai orang tertarik dan terpegun dengan hasil karyanya, termasuk saya. Saya kenal Usman sejak tahun 1960an lagi.

“Tulisannya sering mencerminkan serta mempersoalkan realiti dalam budaya, masyarakat serta tingkah laku, ” kata Faridah, yang juga pengarah ‘Remembering Usman Awang’.

Usman Awang dalam kenangan

Usman Awang adalah nama yang tersohor dalam dunia kesusasteraan tempatan. Dilahirkan sebagai Wan Osman Wan Awang pada tahun 1929 di Kuala Sedili, Johor, Usman turut dikenali dengan nama pena ‘Tongkat Warrant’ di peringkat awal beliau menceburi bidang penulisan ketika berusia 19 tahun.

Menerusi hasil karya beliau yang antaranya menggarap isu kepentingan keharmonian antara kaum, beliau adalah pendokong sejati untuk kewujudan masyarakat berbilang kaum, selepas merantau ke seluruh ceruk dunia dan melihat sendiri pelbagai budaya serta masyarakat.

Beliau turut dikenali sebagai ‘Penyair Rakyat’ kerana hasil tulisannya turut menyentuh hati rakyat Malaysia tanpa mengira umur, kaum atau jantina. Semasa hayatnya, beliau memenangi banyak anugerah kesusasteraan, termasuk SEA Write Award (1982) dan Sasterawan Negara (1983).

Bakat serta pencapaian beliau amat dikagumi memandangkan beliau berhenti sekolah pada usia muda akibat kesempitan kewangan keluarganya.

Beliau menjadi buruh paksa semasa penjajahan Jepun dan berkhidmat sebagai anggota polis sewaktu penjajahan Inggeris di Malaya.

Usman kembali ke Rahmatullah pada 29 November 2001.

Dalam empat bahasa

Pementasan teater ‘Experiencing Usman Awang’ adalah yang kedua oleh KLPAC selepas tempoh empat bulan dan berlangsung dari 21 Oktober hingga 24 Oktober 2021 dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP).

Sekitar 200 orang penonton menyaksikan pementasan teater tiga hari itu.

Untuk meraikan ulang tahun kelahiran Usman yang ke-92 pada 12 Julai (sekiranya beliau masih hidup), KLPAC dengan The Actors Studio mengadakan lapan pementasan pendek – Scattered Bones (Tulang-tulang Berserakan), Sahabatku, Beli Buatan Malaysia, Kekasih, Merpati Putih, Jelajahi Dunia Ini, Mata Ayah, Ke Makan Bonda dan Salam Benua.

Pementasan berkenaan menerusi kaca mata 16 orang bakat kreatif.

Disampaikan dalam bahasa ‘muhibbah’ – Bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Hokkien, ada yang dalam bentuk puisi sementara yang lainnya ditafsirkan secara tarian dan musik asal, dengan tema cinta, perpaduan, belas kasihan dan semangat kebersamaan.

Menurut Faridah, pasukan pelakon menjalani latihan menerusi ‘Zoom’ pada 14 Jun untuk persembahan teater sempena ulang tahun hari kelahiran Usman pada 12 Julai.

“Malangnya akibat Perintah Kawalan Pergerakan, kami terpaksa menangguhkannya. Namun kami taklah berputus asa dan menerusikan persediaan dengan harapan kami dapat kebenaran untuk kembali ke pentas.

“Kami bersungguh-sungguh mahu melakukan pementasan ini dan akhirnya, ia dapat juga diadakan, ” katanya dengan penuh rasa gembira untuk pementasan yang berlangsung pada 21 Oktober lepas.

Beliau berasa amat teruja melihat hasil karya Usman dipentaskan dalam pelbagai bahasa serta bentuk dan berharap rakyat Malaysia dapat menjiwai sebuah negara Malaysia yang menerima kepelbagaian masyarakat.

Faridah memuji pementasan dalam bahasa Mandarin dengan musik asal berdasarkan puisi ‘ Merpati Putih, ‘Jelajahilah Dunia Ini’ dan ‘Mata Ayah’, dipersembahkan oleh Tan Li Yang dan Ian Chow.

Begitu juga tarian Zahir Muzani berdasarkan puisi ‘Ke Makam Bonda’ dan ‘Salam Benua’ dalam bahasa Hokkien oleh Mark Beau de Silva dan Amelia Tan.

“Kami juga berganding bahu dengan pelajar-pelajar TUTAS (Taylor’s University and The Actors Studio) yang menjadi sebahagian daripada pementasan ini. Empat daripada mereka mengambil bahagian dalam puisi kegemaran saya iaitu ‘Kekasih’ dan penari Feyee Bethany untuk ‘Sahabatku’.

“Kami juga berbangga dengan Sheena Baharudin yang begitu menjiwai puisi ‘Merpati Putih’, ‘Jelajahi Dunia Ini’ dan Omar Ali yang mendeklamasikan ‘Beli Buatan Malaysia’,” katanya.

Memperingati pujangga rakyat

Menurut Faridah, persembahan teater adalah usaha untuk mengenang kembali memori Usman serta hasil karya beliau yang tiada tolok bandingnya, di samping mengekalkan legasi beliau.

Beliau yang juga Profesor Adjung dan pengarah pembangunan program TUTAS juga berkata, hasil karya Usman adalah sebahagian daripada kelas “Sejarah Teater Malaysia”untuk program ijazah seni persembahan konservatori.

“Kami merancang untuk menganjurkan pementasan ini secara tahunan sebagai penghormatan kepada masa silam dan akan datang kita. Kami mahu karya-karya Usman Awang dikenang dan kekal dalam memori kita.

“Dua puluh tahun sudah berlalu sejak Usman meninggal dunia tetapi bagi saya, Usman kekal dalam hati saya,” katanya sambil menambah, seawal tahun 2019, konsep yang sama dipentaskan bertajuk “Don’t Let Usman Awang Know’.

Joe Hasham berkata, meskipun pementasan yang diadakan itu bukanlah secara besar-besaran, namun walaupun kecil, ianya cukup bermakna untuk mengenang tokoh yang tersohor itu.

“Jika beliau masih ada, kami pasti beliiau akan tersentuh dengan apa yang kami lakukan ini, ” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Ilmuan Islam terangi zaman kegelapan Eropah

SHAH ALAM, 20 OKT: Ilmuan Islam memberi sumbangan besar kepada kemajuan sains dunia sehingga berjaya membantu menyelak kegelapan Eropah, melahirkan era Renaissance (Kebangkitan Semula) dan kemudiannya Pencerahan.

Setelah menyelidik pelbagai sumber ilmu termasuk falsafah Greek, mereka menghasilkan kajian yang merintis zaman dan menjadi sumber rujukan Barat ratusan tahun lamanya. Orang Eropah datang menimba ilmu di pusat-pusat pendidikan Islam.

Dampak sumbangan pemikir Islam di Eropah termasuklah melahirkan gerakan humanisme, memperkenal kajian sejarah, kaedah sains, mendamaikan ketegangan antara falsafah dengan agama, merangsang kajian mistik Barat dan meletakkan batu asas Renaissance di Itali.

Ramai ulama Islam menggali pelbagai bidang ilmu di kemuncak zaman keemasan Islam, antara kurun kelapan hingga ke-13, khususnya di Baghdad. Bermula era Harun al-Rashid yang membuka gedung ilmu Baitul Hikmah hinggalah serangan Mongol dan kejatuhan Andalusia, pusat ilmu Islam di Sepanyol.

Kitab-kitab perubatan, matematik, sains sosial, falsafah dan sastera yang mereka tulis diterjemah ke bahasa Eropah sehingga menjadi perbahasan utama.

Sempena sambutan Maulidur Rasul pada 19 Oktober ini, wartawan AFIX REDZUAN menyusun kisah lima tokoh Islam yang mengubah tamadun dunia hari ini.

Ibnu Sina

Nama popular: Ibnu Sina, Avicenna
Nama lengkap: Abu Ali al-Hussain bin Abdullah bin Sina
Tahun dan tempat lahir: 980 di Bukhara, Uzbekistan
Pendidikan: Belajar bidang bahasa, sastera dan asas pengetahuan Islam di Bukhara. Hafal al-Quran ketika usia 10 tahun
Kitab utama: Qanun fi at-Tibb, An-Najah, Kitab as-Syifa

Anak kepada gabenor Bukhara yang mementingkan pendidikan, Ibnu Sina amat menyukai bidang perubatan serta falsafah.

Beliau terkenal selepas mengubati Putera Nuh bin Nas al-Samani menyebabkannya digelar ‘Syeikh al-Rais’ bermaksud ‘Mahaguru Pertama’.

Gemar membaca buku karangan ilmuan Greek dan Parsi, beliau mula menulis pada usia 21 tahun. Beliau juga berguru dengan ilmuan Islam iaitu Al-Biruni dan Al-Farabi yang meminati falsafah dan muzik.

Ibnu Sina menyiapkan beberapa buku antaranya An-Najah dan Asy-Syifa dalam masa 13 tahun. Turut ditulis, buku berkaitan psikologi, geologi, falsafah, zoologi dan botani. Sebanyak 238 buku dan risalah dihasilkan sepanjang hayatnya.

Qanun fi at-Tibb adalah ensiklopedia perubatan karangannya yang menyenaraikan penyakit manusia melibatkan semua anggota tubuh dan 760 ubat-ubatan. Turut dihurai, kaedah penyembuhan dan pencegahan, patologi serta farmakologi.

Ibnu Sina tergolong antara doktor dan pakar perubatan Islam yang terkemuka di samping Al-Razi, Al-Zahrawi dan Ibn Zuhr.

Dalam kalangan cerdik pandai Islam, beliau tergolong sebagai pakar perubatan Islam yang turut berjaya mencipta nama di Barat dan digelar Avicenna.

Karyanya Qanun fi at-Tibb diterjemah ke bahasa Latin pada abad ke-12. Buku tersebut juga dicetak dalam 15 bahasa dalam tempoh kurang 100 tahun. Ia menjadi rujukan di universiti sekitar Eropah hingga abad ke-17.

Beliau juga orang pertama menemui sistem peredaran darah manusia, 600 tahun mendahului tokoh perubatan Barat, William Harvey. Beliau juga tokoh pertama mengubati penyakit radang selaput otak.

Ibnu Sina meninggal dunia akibat barah pada 1037 ketika berusia 57 tahun.

Ibnu Khaldun

Nama popular: Ibnu Khaldun
Nama lengkap: Abdul Rahman bin Muhammad bin Khaldun
Tahun dan tempat lahir: 1332 di Tunis, Tunisia
Pendidikan: Belajar dengan Muhammad As-Satti, Abdul Muhaimin dan Muhammad bin Ibrahim Al-Abili serta menguasai kitab hadis pada usia 19 tahun
Kitab utama: Muqaddimah, Kitab al- Tasrif, Kitab al-I’bar

 

Dikatakan keturunan sahabat Rasulullah SAW iaitu Maadi Karib bin al-Harits, beliau memperkenal ilmu sains kemasyarakatan.

Belajar dengan beberapa tokoh terkenal, Ibnu Khaldun menguasai kitab Muwatta, hadis, dan sejarah. Beliau mula menulis ketika berusia 19 tahun.

Beliau kemudian terlibat dalam konflik politik hingga dipenjara sebelum dapat melarikan diri. Sejak itu, Ibnu Khaldun memulakan bahagian awal penulisan kitab Muqaddimah, adikarya beliau.

Kitab yang memuatkan enam bab mendorong ilmuan Barat mengkaji bidang sains kemasyarakatan. Kitab itu banyak membincangkan isu prinsip dan falsafah ekonomi Islam termasuk keadilan, kerjasama dan kesederhanaan.

Menurut Ibnu Khaldun, sesebuah negara atau tamadun akan hancur jika gagal melaksanakan keadilan. Beliau juga mentakrif ketidakadilan bukan terhad kepada merampas wang atau harta orang lain malah meliputi penggunaan tenaga paksa atau membuat dakwaan palsu terhadap orang lain.

Memperinci pembahagian tenaga buruh berkemahiran dan cekap di pasaran serta pertumbuhan ekonomi, beliau turut menulis mengenai keseimbangan penawaran dan permintaan untuk pengeluaran hasil yang baik.

Ibnu Khaldun menulis perihal dirinya dalam Kitab al-Tasrif dan mula terkenal di Barat pada 1697. Pada 1806, Silvestre de Sacy’s memuatkan biografi beliau bersama beberapa terjemahan dari Muqaddimah dalam buku Prolegomena.

Kitab Muqaddimah turut diterjemah ke bahasa Aran yang terbit pada 1858 diikuti bahasa Perancis. Kitab al-I’bar pula diterjemah dan diterbitkan De Slane pada 1863 dengan judul Les Prolegomenes d’Ibn Khaldoun.

Pemikiran Ibnu Khaldun menyaksikan perkembangan sains masyarakat di Eropah dan menjadi pengajian penting di universiti. Beliau meninggal dunia pada 5 Ramadan 808 Hijrah pada usia 74 tahun.

Al-Khawarizmi

Nama popular: Al-Khawarizmi, Algorithmi
Nama lengkap: Abu Abdullah Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi
Tahun dan tempat lahir: 780 di Khawarizm, Turkmenistan
Pendidikan: Belajar asas agama sebelum ke Baghdad menyambung pengajian
Kitab utama: Al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal Muqabala, Kitab Surat al-Ard, Zaij al-Sindhind, Al-Tarikh, Al- Amal bi’ Usturlab

Digelar Bapa Matematik Moden, Al-Khawarizmi bertugas di Baitul Hikmah, Baghdad yang didirikan Khalifah Al-Makmun. Baitul Hikmah adalah pusat penterjemahan buku pelbagai bahasa ke bahasa Arab.

Mahir berbahasa Arab, Parsi dan India, Al-Khawarizmi menterjemah buku di samping mendalami ilmu matematik dan astronomi. Beliau menghasilkan Al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wal Muqabala berkaitan algebra yang dipercayai ditulis pada 830.

Buku itu digunakan sebagai penyelesaian masalah pembahagian harta pusaka, wasiat pembahagian hartanah, perniagaan dan urusan jual beli.

Istilah ‘algorithm’ diambil daripada namanya dan ‘algebra’ daripada ‘al-jabr’, sebahagian nama karyanya Al-Kitab al-mukhtasar fi hisab al-jabr wa’l-muqabala.

Dengan kemahiran dalam bidang matematik, Al-Khawarizmi turut memperkenal konsep nombor perpuluhan dan algebra di Eropah.

Pada 1140, buku itu diterjemah Robert dari Chester ke bahasa Latin dengan tajuk Liber algebre et almucabala. Naskhah asal disimpan di Oxford manakala bahasa Latin disimpan di Cambridge.

Karyanya tentang aritmetik dan astronomi diterjemah ke bahasa Latin pada 1126. Al-Khawarizmi turut memperkenal sistem nombor Arab berdasarkan sistem nombor Hindu selepas menemui tokoh matematik India bernama Karkah.

Terkenal dengan algebra dan astronomi, sebahagiannya pengaruh dari India, Al-Khawarizmi juga memperbetul data geografi dengan mengemukakan koordinat beberapa tempat di Laut Mediterranean, Asia serta Afrika dalam Kitab Surat al-Ard.

Beliau turut mengkaji bumi dan menyediakan peta dunia selepas diarah Khalifah Al-Makmun dengan dibantu 70 ahli geografi.

Buku Zaij al-Sindhind dipercayai ditulis pada 820 dan diterjemah ke bahasa Latin sebagai Astronomical Tables of Sind and Hind yang mengandungi 37 bab berkaitan sistem kalendar dan pengiraan astronomi.

Al-Khawarizmi meninggal dunia di Baghdad pada 850 ketika berusia 70 tahun dan lakaran wajahnya turut diabadikan dalam setem di Rusia.

Ibnu Rushd

Nama popular: Ibnu Rushd, Averroes
Nama lengkap: Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Rushd
Tahun dan tempat lahir: 1126 di Cordoba, Sepanyol
Pendidikan: Belajar mengenai agama, hadis dan perundangan
Kitab utama: Fasl al-Maqal fi ma Bayna al-Hikmah Wa al-Shariah min al-Ittisal, Al-Kuliyyat, Tahafut al-Tahafut, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid

Cucu kepada ulama terkemuka, Muhammad Ibn Rushd, seorang kadi di Cordoba, Andalusia di selatan Sepanyol.

Ibn Bajjah merupakan gurunya dalam sains dan falsafah manakala Ibn Zuhr dan Abu Jafar bin Harun gurunya dalam perubatan. Pernah dibuang daerah ke Lucena kerana dituduh sesat hingga perpustakaannya dibakar ketika pemerintahan Yaqub al-Mansur.

Ibnu Rushd menghabiskan masa hampir 30 tahun menghasilkan beberapa karya yang mengulas pemikiran ahli falsafah Greek, Aristotle dan Plato.

Dalam buku Tahafut al-Tahafut, beliau menjelaskan salah faham terhadap falsafah lantaran kritikan Imam al-Ghazali yang mempersoal fahaman Aristotelianism sebagai menyimpang daripada ajaran Islam.

Menurut Ibnu Rushd, tiada konflik antara agama dan falsafah kerana kedua-duanya menjurus kepada kebenaran tetapi melalui jalan berbeza.

Beliau juga menulis mengenai astronomi yang menolak beberapa pandangan mengenai bulan dan matahari selain menghasilkan buku perubatan Al-Kuliyyat.

Ibnu Rushd juga ahli perubatan pertama menyediakan ubat penyakit mati pucuk dengan menggunakan beberapa kaedah rawatan terapi. Beliau juga menemui kewujudan penyakit Parkinson dan orang pertama memperkata tentang ‘photoreceptor’ sebagai sebahagian organ retina.

Ibnu Rushd turut menulis buku mengenai hukum dan fatwa berdasarkan mazhab Maliki berjudul Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid. Beliau meringkaskan pandangan pakar perundangan dan ulama mengenai kesaksian wanita dalam Islam.

Beberapa karya Ibnu Rushd turut diterjemah ke bahasa Ibrani pada abad ke-13 antaranya Al-Kulliyat. Biografi beliau pula banyak ditulis dalam beberapa bahasa, antara paling popular tulisan Ernest Renan berjudul Averroes et j’aveerosisme.

Karya Ibnu Rushd yang turut dikenali sebagai Averroes di Barat memberi sumbangan besar pemikiran zaman Renaissance ilmu dan budaya Eropah.

Tulisannya turut disebut dalam puisi tersohor The Divine Comedy oleh Dante Alighieri pada 1320 manakala wajahnya dilukis dalam karya terkenal The School of Athens oleh Raphael (Raffaello Sanzio da Urbino) pada 1501.

Penulis terkenal Argentina, Jorge Luis Borges turut rakam dan menulis cerpen Averroës’s Search pada 1947.

Ibnu Rushd dikatakan menulis hampir 67 buku sebelum meninggal dunia di Maghribi pada 10 Disember 1198 ketika berusia 72 tahun.

Rumi

Nama popular: Rumi, Mawlana
Nama lengkap: Jalaluddin bin Bahauddin Walad
Tahun & tempat lahir: 1207 di Balkh, Afghanistan
Pendidikan: Belajar bersama penyair sufi Syamsuddin At-Tabrizi
Kitab utama: Diwan Shams-i Tabriz dan Al-Masnawi

Menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Konya, Turki, Rumi adalah ahli tasawuf yang menghasilkan puisi. Bapanya seorang ahli usuludin, pengarang dan guru sufi yang terkenal.

Sama ada akibat perselisihan dengan pemerintah atau ancaman kedatangan tentera Mongol mendorong Bahauddin dan keluarganya meninggalkan kota asal mereka Balkh sekitar tahun 1218.

Penghijrahan menemukan mereka dengan pemuisi Parsi, Fariduddin Attar di Nishapur, Iran. Mereka kemudiannya bergerak ke Anatolia, sebahagian bekas tanah yang dikuasai Rom. Menghabiskan masa di sini selama 12 tahun, beliau akhirnya dikenali al-Rumi bersempena kawasan tersebut.

Ibu Rumi meninggal dunia ketika anak pertama penyair lahir di Konya pada 1228.

Pada 1232, bekas anak murid bapanya Burhanuddin Muhaqqiq mengajar Rumi tentang teori tasawuf yang dipelajari di Iran.

Karyanya Al-Masnawi yang terdiri daripada enam jilid dan mengandungi 20,700 bait syair memberi pengaruh besar terhadap perkembangan tasawuf. Beliau meninggal dunia di Konya pada Disember 1273.

Buku puisi Rumi mendapat sambutan hangat di dunia Barat, khususnya Amerika Syarikat. Tulisannya masih memberi pengaruh besar kepada beberapa artis terkenal dunia antaranya Madonna, Tilda Swinton dan vokalis Coldplay Chris Martin.

Coldplay turut mendedikasikan sebuah puisi Rumi dalam lagu bertajuk Kaleidoscope.

Sumber

Selain buku 50 Ilmuwan Islam Tersohor Yang Patut Diteladani, penulis juga merujuk Encyclopedia Britannica dan laporan-laporan media di internet