Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Simbol jujur dan bahagia, kisah di sebalik penyepit

Foto HAFIZ OTHMAN & REMY ARIFIN

Penyepit atau ‘chopstick’ yang popular dalam kalangan masyarakat Cina seluruh dunia termasuk Malaysia sebenarnya melambangkan keteguhan dan kejujuran.

Tekstur penyepit simbol keteguhan manakala bentuknya yang lurus melambangkan kejujuran. Ia menjadi teras nilai kehidupan yang diterap kepada masyarakat berkenaan.

Tercipta sejak 3,000 tahun dahulu ketika pemerintahan Dinasti Shang, penyepit digunakan bagi mengelakkan tangan seseorang daripada menyentuh makanan panas.

Pada awalnya, mereka gunakan buluh, lebih kuat dan lebih tahan lama. Seiring perkembangan zaman, penyepit kemudian diperbuat menggunakan kayu, besi dan plastik.

Maharaja China zaman dahulu kala pula menggunakan penyepit yang diperbuat daripada emas dan gading gajah sebagai simbol kuasa dan kemegahan.

Pada masa ini, penggunaan penyepit telah berkembang ke pelusuk banyak negara antaranya Korea, Jepun, Vietnam, bahkan Amerika Latin.

“Sekarang kaum lain pun sudah biasa gunakan ‘chopstick’, malah ada yang lebih pandai daripada orang Cina,” kata Presiden Pertubuhan Pemeliharaan Warisan Budaya Tang Ah Chai kepada Selangorkini pada 18 Januari.

Masyarakat Cina juga digalak menukar penyepit baharu dalam perayaan Tahun Baharu Cina, biasanya berwarna merah sebagai simbol memulakan hidup baharu. Pada masa sama, ia dikatakan mendatangkan kemewahan dan kehidupan lebih baik.

Menurut Ah Chai yang terlibat dalam usaha pemeliharaan budaya dan warisan selama lebih 30 tahun, penyepit juga dijadikan hadiah kepada tetamu majlis perkahwinan. Malah, sepasang penyepit diibarat pasangan pengantin.

Presiden Persatuan Pemeliharaan Warisan Budaya Tang Ah Chai menunjukkan pelbagai jenis penyepit yang digunakan masyarakat Cina, Jepun dan Korea ketika ditemu bual Media Selangor di Segambut, Kuala Lumpur pada 18 Januari 2022

“Bayangkan, dengan penyepit kita boleh pegang makanan panas, sejuk atau suam-suam. Ia sama seperti pengantin. Kita kena bersama-sama melalui kehidupan tidak kira saat panas, sejuk, masam manis ataupun pahit,” katanya.

Pantang larang

Penyepit juga ada pantang larang tersendiri. Jika menikmati hidangan, misalnya, perbuatan mencucuk penyepit secara tegak di tengah-tengah mangkuk nasi amat ditegah. Penggunaan cara demikian hanya dibuat dalam upacara kematian sahaja.

Penyepit juga tidak boleh dipisah antara satu sama lain. Penggunaanya mesti tertib. Jika diletak di tepi atau dalam mangkuk, kedudukan mesti teratur. Tidak boleh bersepah-sepah. Pengguna yang tidak mematuhi perkara itu dianggap tidak sopan.

“Ia mesti diletak sepasang, jangan pisahkan satu sebelah kiri satu lagi sebelah kanan. Penggunaan tidak sama seperti sudu yang boleh diasing,” tegas Ah Chai.

Jika tidak diamati, bentuknya kelihatan sama. Lurus dan panjang seumpama lidi bersaiz lebih besar. Namun, rekaan perkakasan itu sebenarnya berbeza antara negara, misalnya China, Jepun dan Korea.

Penyepit dari China biasanya berbentuk petak di bahagian pemegang manakala bawahnya berbentuk bulat. Bentuk itu diibarat seperti langit dan bumi.

Penyepitnya juga lebih besar, berat dan panjang berbanding negara lain. Ini memudahkan masyarakatnya menikmati hidangan ketika majlis makan besar.

Di Jepun, bentuk pemegangnya bulat dan muncungnya tajam. Bentuknya begitu kerana penduduk Negara Matahari Terbit lebih banyak memakan ikan. Muncung yang tajam memudahkan mereka mengambil isi ikan.

Berlainan bagi Korea, pemegang dan muncungnya leper dan rata. Tambah unik, semua penyepit di negara itu dihasilkan menggunakan keluli tahan karat. China dan Jepun berbeza, mereka menggunakan buluh atau kayu.

Tambah menarik, penyepit juga dihiasi ukiran motif tertentu. Paling popular motif ikan yang dianggap membawa simbol keuntungan dan kelebihan.

“Jika kita beri hadiah penyepit yang diukir bentuk ikan, maksudnya kita mendoakan seseorang itu dapat keuntungan dan kelebihan,” kata Ah Chai lagi.

Selain itu, empat corak tumbuhan paling kerap diukir iaitu buluh, bunga teh, plum dan orkid.

Buah plum digambar sebagai sesuatu yang mampu berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan. Buluh pula bermaksud berpendirian lurus.

Setiap penyepit dihiasi ukiran dan motif yang melambangkan simbol mengikut kepercayaan masyarakat Cina

Gerakan

Digunakan berbilion penduduk dunia, cara memegang penyepit juga perlu kena gaya dan ada maksud tertentu. Cara betul ialah menggerakkan sebatang penyepit sahaja manakala satu lagi tidak digerakkan.

Pergerakan itu melambangkan gaya hidup yang harus dilakukan masyarakat iaitu ada waktunya kita pantas (menggerakkan penyepit) dan ada masanya perlahan (penyepit yang tidak digerakkan).

“Jika hidup kita ini selalu kena pantas seperti kita gerakkan dua-dua penyepit, sudah tentu kelam-kabut. Tetapi jika dua-dua penyepit tidak digerakkan, apapun tidak jadi, macam orang malas.

“Oleh sebab itu lebih elok jika satu bergerak dan satu lagi diam sahaja. Itulah cara hidup yang betul, kadang kala kita perlu pantas, kadang kala kena ‘slow and steady’ (perlahan dan tenang),” terangnya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Dari kisah dongeng ke sejarah, wayang boneka sarat seni tradisi

SHAH ALAM, 27 JAN: Wayang boneka sejenis persembahan kebudayaan masyarakat Cina yang terkenal suatu ketika dahulu terutama dalam majlis perkahwinan dan upacara agama.

Popular dalam kalangan etnik Teochew, pertunjukannya seakan-akan wayang kulit tetapi dimainkan di hadapan pentas. Wataknya terdiri daripada teraju utama iaitu lelaki, perempuan, individu berwatak garang dan pelawak.

Seramai empat orang menggerakkan setiap watak dengan memainkan beberapa suara mengikut karakter sambil dibantu beberapa pemuzik. Lazimnya suara watak wanita lebih nyaring dan bernada tinggi berbanding lelaki.

Setiap watak digerakkan mengikut jalan cerita sama ada berkaitan rakyat, dongeng, percintaan dan sejarah. Jika ceritanya berkaitan peperangan dan ada perlawanan pedang, pemain membawa watak dengan memegang senjata serta bergerak pantas seperti berperang.

Persembahan boneka diiringi muzik menggunakan peralatan tradisi antaranya gong, dram, seruling, gendang dan Yangqin. Menurut Pengarah Seni Boneka Teochew & Pentas Opera Goh Hooi Ling, penceritaan lebih jelas dan berkesan apabila dibantu latar belakang muzik.

Goh Hooi Ling ketika mengadakan bengkel Princess Baihua Bestows Her Sword di Black Box Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada 15 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Tiada spesifik pemilihan penceritaan jika dimainkan pada sambutan Tahun Baharu Cina kerana setiap cerita disampaikan ada mesej tersendiri,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahagian kepala watak sesebuah boneka diperbuat daripada tanah liat manakala tubuhnya daripada kayu. Pemakaian boneka pula dipadankan mengikut jalan cerita.

Seni boneka juga ada pantang larang tertentu. Semua pemain termasuk pemuzik perlu mematuhinya antaranya larangan makan daging kerana pemain dikhuatiri tidak boleh menyanyi.

Mengikut kepercayaan, pemain juga dilarang membawa makanan laut bercengkerang ke pentas bagi memastikan persembahan berjalan lancar.

Si Tanggang

Namun pada masa ini, Hooi Ling mengakui pengikut seni boneka kian berkurangan khususnya kalangan generasi muda. Beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan pertunjukan tersebut kerap dimainkan dalam upacara agama.

Selain itu, persembahan boneka ada disuntik elemen baharu termasuk saduran kisah kaum lain, umpamanya Si Tanggang bagi menarik minat mereka. Boneka akan dipakai seperti orang Melayu termasuk baju kurung, kain sarung manakala lagu tradisi Melayu dimainkan, contohnya rasa sayang.

Menurut Pengarah Kreatif Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka) Pauline Fan, usaha memartabat seni tradisi bukan mudah kerana ia kian dilupakan masyarakat moden.

“Pengikutnya seni persembahan tradisi masih ada tetapi amat kurang. Oleh sebab itu, kita bawa pelbagai persembahan tradisi kepada masyarakat supaya ia dapat diangkat semula,” katanya.

Terbaru, persembahan boneka Teochew dijayakan di pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dengan membawa cerita sejarah Dinasti Yuan berjudul Hadiah Pedang Puteri Baihua.

Goh Hooi Ling membuat persiapan akhir sebelum bermulanya persembahan Princess Baihua Bestows Her Sword di Black Box Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur pada 15 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pauline juga menjelaskan seni persembahan tradisi tidak hanya tertumpu kepada sesebuah masyarakat sebaliknya disaksikan pelbagai kaum termasuk penonton negara luar antaranya Australia, Jepun dan Kanada.

“Walaupun mereka kurang faham kerana penggunaan bahasa tetapi masih berminat untuk menontonnya,” kata Pauline.

Selain itu, Pusaka bercadang untuk membawa kira-kira 20 persembahan tradisi antaranya wayang kulit, makyong, dikir barat, kuda kepang, reog Ponorogo, boneka dan tarian Portugis Melaka.

“Untuk bulan depan, Pusaka membawa persembahan menora dari Kelantan dan reog Ponorogo berasal dari Johor kepada masyarakat di Publika, Kuala Lumpur,” katanya.

 

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Wakil rakyat bersengkang mata selamat mangsa bah, terpaksa tidur tepi jalan

Bahagian kedua: Bot tersangkut dan batal lawatan kerja, wakil rakyat segera bantu mangsa bah

Bahagian ketiga: Wakil rakyat bingkas hulur bantuan, cekal hadapi rintangan di lokasi bah

Oleh NAZLI IBRAHIM, NADIAH ZAMLUS & AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JAN: Tidak mampu lelapkan mata, itu kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni setelah kawasannya Sungai Kandis ditenggelami banjir pada 18 Disember tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya, Ahli Dewan Negeri (ADN) itu tidak betah duduk apabila hujan pagi 17 Disember masih tidak berhenti sehingga malamnya.

Melihatkan keadaan pasar malam lengang di Kampung Johan Setia, beliau segera membuat rondaan lantaran bimbang ada kawasan dinaiki air.

Tekaannya tepat, sekitar jam 10 malam penduduk kampung mengadu air memasuki rumah. Jangkaannya ia hanyalah banjir kilat biasa.

Ketika itu ada 10 penduduk sahaja dipindahkan di dewan kampung berkenaan dan lama-kelamaan lebih 100 orang berada di situ. Situasi makin meresahkan apabila paras air meninggi.

Ada penduduk mengadu barang mereka tidak dapat diselamatkan. Ada juga yang masih di kediaman dengan anggapan air akan surut.

Apabila tengah malam menjengah, Mohd Zawawi menerima aduan ada wanita berpantang terperangkap dalam rumah dengan air mencecah paras pinggang.

Tanpa bekalan elektrik, wakil rakyat itu membantu wanita bersama bayinya berusia tiga hari hanya dengan suluhan lampu telefon bimbit.

Pasukan sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis mengharungi arus deras untuk membawa keluar penduduk terkandas dalam banjir di Kampung Johan Setia, Klang pada 18 Disember 2021. Foto ADN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni

“Itu saat paling getir, keadaan memang gelap, samar-samar sahaja menggunakan cahaya lampu telefon bimbit. Jika salah langkah, kami mungkin terlepas bayi berkenaan. Namun Allah Maha Berkuasa, segalanya dipermudahkan,” katanya.

Mengakui tiada pengalaman apalagi kepakaran menangani banjir, sememangnya sukar mencari bot pada malam berkenaan bagi membantu mangsa terperangkap.

Mohd Zawawi berkata malam itu tidak terasa panjang. Sedar-sedar apabila azan subuh berkumandang, sebanyak 23 pusat pemindahan sementara dibuka, menempatkan 5,000 mangsa banjir.

Selain hujan lebat, daerah Klang termasuk beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain berdepan air laut pasang besar yang menjejaskan aliran keluar air banjir.

Selaras bantuan

Penduduk di kawasan pinggir Sungai Klang berdepan masalah berat ini mulai petang Jumaat, sementara penghuni di sepanjang Sungai Damansara mengalami bah besar keesokannya. Muara Sungai Damansara di Sungai Klang terletak betul-betul di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Dalam keadaan rumit itu, semua barisan EXCO Selangor, termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, tidak dapat melelapkan mata apabila air melimpah lanjut pada petang 18 Disember.

Wakil kawasan DUN masing-masing, dibantu ADN yang tidak terjejas banjir, berganding bahu menyelamatkan penduduk, selain menyelaras bantuan agar cepat sampai ke pihak memerlukan.

Kawasan DUN EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Kim (ADN Bandar Baru Klang), EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman (ADN Paya Jaras) Najwan Halimi (ADN Kota Anggerik), Azmizam Zaman Huri (ADN Pelabuhan Klang) dan Juwairiya Zulkifli (ADN Bukit Melawati) antara yang terjejas. Mereka terus bertarung meringankan beban penduduk sejak hari pertama.

Begitu juga ADN lain yang kawasannya tidak terjejas tetapi turun padang membantu rakan sejawat di kawasan dinaiki air seperti Chua Wei Kiat (ADN Rawang) dan Jamaliah Jamaluddin (ADN Bandar Utama).

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (ADN Batu Tiga) mengakui sudah biasa meranduk limpahan air banjir Sungai Rasau, berdekatan Padang Jawa, yang mengalir ke hilir Sungai Klang.

Air sampai bumbung

Padang Jawa di antara Klang-Shah Alam memang selalu dilanda banjir kilat. Namun banjir mulai pagi 18 Disember tidak seperti diduga, air sungai bukan sahaja naik mendadak tetapi arusnya deras dan menakutkan.

“Pengalaman paling tidak boleh dilupai apabila saya terpaksa redah arus laju dan mencari mangsa banjir masih terperangkap. Sebab ada juga tidak mahu keluar lagi.

“Saya ketuk pintu, ajak ke tempat selamat. Mungkin ada yang ingat ini banjir biasa. Walhal ada rumah yang sudah ditenggelami sampai bumbung,” katanya.

Rodziah menyifatkan situasi banjir bulan lalu luar biasa dan sehingga timbul rasa terkilan di dalam dirinya tidak dapat membantu semua mangsa bencana
tersebut.

“Ada isteri pesakit dialisis hubungi saya, minta kami datang bawa ubat dan bantu suaminya. Awalnya komunikasi kami lancar tetapi entah bagaimana mungkin bateri telefon wanita itu sudah habis, kami tidak dapat lagi berhubung.

“Sehingga hari ini saya masih bersedih kerana tidak tahu apa jadi dengan mereka. Saya masih terbayang-bayang dengan permintaan si isteri supaya selamatkan suaminya,” katanya hiba.

Sepanjang tempoh tiga hari genting itu, hingga 19 atau 20 Disember, beliau berasa cukup penat dan tidak menang tangan. Namun masih kuatkan semangat kerana sedar masih ramai memerlukan pertolongan untuk bangkit semula.

Wakil rakyat DUN Batu Tiga Rodziah Ismail menyerahkan pek penjagaan kebersihan diri kepada penduduk Seksyen 19, Shah Alam yang terjejas banjir pada 19 Disember 2021. Foto Facebook Rodziah Ismail

Bagi EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau, tragedi bah besar tahun lepas memang cukup mencemaskannya. Mengimbau peristiwa lewat petang Jumaat, beliau berkata air banjir naik sangat cepat. Lebih meresahkan ADN Kota Kemuning, pada awalnya beliau nampak usaha menyelamat masih kurang.

Terdesak untuk mengeluarkan orang terperangkap, beliau menggunakan duit sendiri sebanyak RM14,000 bagi membeli dua bot berenjin demi membantu mangsa.

Dua malam beliau tidak pulang ke rumah, cuma sekejap melelapkan mata di dalam kereta. Sepanjang tempoh bah, hanya sekali sahaja Ganabatirau pulang ke rumah, itupun untuk membersihkan diri.

Beliau juga menyediakan sebanyak mungkin makanan untuk sukarelawan, pasukan keselamatan dan mangsa yang rata-ratanya meninggalkan rumah sehelai sepinggang.

“Saya tempah 600 nasi bungkus daripada sebuah restoran India Muslim tetapi dia bagi saya 4,000 bungkus. Rupa-rupanya dia juga mahu menolong,” katanya.

ADN Dusun Tua Edry Faizal Yusof pula hampir menjadi bidan bersalin ketika banjir melanda kawasannya pada 18 Disember lalu

Kejadian itu berlaku selepas beliau dan pasukannya membawa wanita sarat mengandung keluar dari kawasan dilimpahi air di Pekan Batu 14, Hulu
Langat.

Setibanya di kawasan selamat di kaki Bukit Ampang, wanita itu mengadu beliau sudah mahu bersalin.

“Saya panik. Temankan isteri bersalin memang pernah tetapi tidak pernah jadi bidan. Saya cuma dapat suruh kakak itu kawal pernafasan dan hendak bawa dia ke hospital naik kereta saya.

“Syukur pada masa itu ambulans Jabatan Pertahanan Awam tiba dan bawa dia ke hospital,” ceritanya.

Nyaris jadi bidan

Sepanjang tempoh bencana, Edry Faizal dan pasukannya membantu mangsa dari malam hingga ke pagi Ahad.

Ketika itu pasukan keselamatan banyak tertumpu di Shah Alam dan Klang, menyebabkan hanya dua sampan diperoleh dan sebuah bot sukarelawan untuk operasi di Pekan Batu 14 dan sekitar Taman Sri Nanding.

“Kami berada di Pekan Batu 14 sepanjang malam hinggalah ke pagi, sampailah terpaksa baring di tepi jalan. Pada jam 7 pagi, barulah nampak bot penyelamat pasukan polis,” katanya.

Ketika itu masalah komunikasi merumitkan keadaan sehingga tidak mendapat sebarang berita dari Batu 16 hingga ke Sungai Lui, dua lagi kawasan Hulu Langat yang terjejas teruk.

Norsila Zulkamal, 50, sedih melihat banyak barang miliknya rosak akibat dilanda banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Kajang pada 20 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selepas banjir surut, timbul pula masalah kerja pembersihan apabila jalan kecil di kawasan berkenaan menjadi terlalu sesak dengan kehadiran orang ramai yang ingin membantu.

Keadaan itu menyebabkan setiap lori sampah mengambil masa lebih kurang dua jam untuk membawa tong sampah pukal ke tempat pembuangan sampah.

Bagaimanapun, mesyuarat pasukan khas pascabanjir dipengerusikan Mohd Khairuddin, yang dilantik penyelaras operasi banjir Hulu Langat, berjaya menyusun kerja pembersihan, baik pulih infrastruktur dan sukarelawan. Selepas itu operasi pascabanjir berjalan lancar.

Edry Faizal menyifatkan walaupun banjir di Hulu Langat cepat surut berbanding di Shah Alam dan Klang tetapi rempuhan bah besar itu memberi kesan cukup mendalam kepada mangsa.

ADN Meru pula terpaksa menyewa tujuh lori sambil dibantu pacuan empat roda demi menyelamatkan mangsa terperangkap selepas hampir 80 peratus kawasannya ditenggelami air.

Menceritakan detik duka pada 17 Disember lalu, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata pihaknya terpaksa menguruskan semua kemudahan dengan bantuan orang awam bagi memindahkan penduduk.

“Terpaksa menyewa beberapa lori untuk mengangkut mangsa-mangsa tersekat sehingga lewat malam sambil dibantu Rela dan sukarelawan warga Meru yang mempunyai kenderaan berat,” katanya.

Bersyukur tiada mangsa terkorban sepanjang bencana itu, beliau kini berusaha memastikan semua mangsa mendapat bantuan RM1,000 masing-masing disediakan Kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan.

“Ada mangsa terperangkap menyangka akan mati lemas kerana tiada bantuan, namun kita berjaya menyelamatkan mereka,” katanya.

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Dari bilik papan lapis ke restoran, ayam golek bawa limpahan rezeki

Oleh NAZLI IBRAHIM
Foto HAFIZ OTHMAN

TERIK matahari cukup terasa pada siang hari. Bahangnya sampai ke malam. Jika hujan, airnya menitik di celahan zink lalu membasahi lantai bilik kedai peniaga ayam golek Mohd Hazeli Hamdan.

Adakala rembesan hujan masuk ke bilik yang didiaminya bersama isteri dan dua anaknya di Kampung Tengah, Puchong. Sejuknya menggigit ke tulang.

Bilik kecil itu disewa peniaga berusia 49 tahun sejak 2016 bagi memudahkan beliau bersama isteri, Suhana Abdullah, 42, menjual ayam golek di ruang niaga yang hanya dipisahkan papan lapis.

Mujur anak lain bersekolah asrama. Hanya yang berusia setahun dan enam tahun tinggal bersama. Kalau tidak, sendat umpama sardin dalam tin.

Jualan pula ala kadar. Cuma dua hingga tiga ekor ayam terjual sehari. Sekadar lepas belanja harian sekeluarga.

Berkat kesabaran dan kegigihan, jualan bertambah sedikit demi sedikit. Setahun kemudian, perniagaan ayam golek Ana Corner milik mereka kian maju. Bahkan, saiz kedai lebih besar dan selesa.

Jualan pula antara 60 ke 70 ekor sehari. Selain itu, nasi campur dengan 70 pilihan lauk untuk pelanggan sama ada untuk dibawa pulang atau menjamu di kedai. Justeru, kedai mereka sentiasa penuh pelanggan terutama untuk makan tengah hari.

Mohd Hazeli kemudian melangkah setapak lagi membesarkan operasi dengan membuka cawangan baharu di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam.

Pelanggan menikmati pelbagai juadah terutama ayam golek disajikan restoran Ana Corner di Kampung Tengah, Puchong pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Jualan RM1,000 sehari

Sebenarnya, Mohd Hazeli mula berniaga dengan permulaan modal tidak sampai RM1,000. Dari bilik papan lapis, beliau perlahan-lahan menambah menu jualan.

Selain ayam golek, juadah dipelbagai dengan aneka jenis minuman, nasi, daging bakar dan lauk-pauk kampung. Khidmat penghantaran juga disediakan.

Beliau memperoleh jualan mencecah RM500 sehari. Kadang kala hampir RM1,000 sehari. Meski perniagaannya mendapat sambutan, Mohd Hazeli senantiasa beringat dengan mengasingkan hasil jualan untuk simpanan.

Mohd Hazeli tidak mahu melabur semua simpanannya, sebaliknya menyertai skim pinjaman Yayasan Hijrah Selangor bagi mengembangkan perniagaan. Mulanya beliau membuat pinjaman RM5,000 pada 2017 untuk menambah peralatan antaranya pengukus nasi dan perabot.

Dua tahun kemudian, Mohd Hazeli memberanikan diri menyewa tapak lebih besar, tidak jauh dari tempat asalnya berniaga berbekal wang simpanan.

“Saya sewa tapak tidak jauh dari kedai lama dan buat kedai makan. Lebih RM50,000 juga saya keluarkan modal untuk tapak dan buat kedai sahaja tidak termasuk beli peralatan seperti meja, kerusi dan lain-lain,” katanya kepada Selangorkini pada 9 Disember 2021.

Kedai makan Ana Corner yang menyediakan pilihan beraneka lauk-pauk lazat menjadi ‘umpan’ untuk pelanggan bertandang menikmati hidangan tengah hari.

Selepas berpindah ke kedai baharu pada 2019, beliau sekali lagi membuat pinjaman berjumlah RM20,000 bagi membeli peralatan di kedai baharu.

Pengusaha Ana Corner Mohd Hazeli Hamdan (kanan) melayan pelanggan di restorannya di Kampung Tengah, Puchong ketika tinjauan SelangorKini pada 9 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Petua niaga

Mohd Hazeli berkongsi antara cabarannya ialah memastikan kedai makannya perlu selalu dalam keadaan bersih dan menu yang disediakan pula harus menepati selera pelanggan.

“Dalam berniaga kena tahan tekanan dan jangan patah semangat. Biasalah orang berniaga keluar banyak modal tetapi kalau tidak boleh jual memang tertekan.

“Bila tidak tahan tekanan kadang kala suami isteri boleh bergaduh, putus asa, mahu berhenti berniaga dan bermacam lagi sebab itulah penting mengawal tekanan,” katanya.

Beliau juga bersyukur kerana Suhana bukan sahaja memahami keadaan, malah turut menjadi tulang belakang dalam perniagaannya.

Mohd Hazeli juga berkongsi tips kepada mereka yang ingin menceburi perniagaan supaya lebih realistik dengan fokus kepada matlamat jangka pendek terlebih dahulu.

“Kalau mahu mula berniaga, jangan fikir terus mahu besar. Ikut kemampuan modal, cukuplah kecil dahulu dengan satu atau dua menu atau produk yang kita pandai.

“Kalau terlalu banyak susah hendak bermula dan apabila susah hendak mula nanti kita langsung tidak bermula. Apabila sudah bermula barulah fikir tambah menu lain daripada tidak bermula langsung,” katanya.

Restoran Ana Corner di Kampung Tengah, Puchong yang menyediakan sajian istimewa ayam golek. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pelajar STDC uji kemahiran, baiki kereta tenggelam bah secara percuma

Foto FIKRI YUSOF

SHAH ALAM, 14 JAN: Satu persatu skru ditanggal, komponen kereta turut dibuka sebelum dipasang semula. Kira-kira lima jam dihabiskan untuk memeriksa sesebuah kenderaan.

Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) sedar kerja itu perlu dibuat teliti. Sedikit silap boleh mengundang risiko kerugian bukan sedikit.

Walau berlengas tubuh, lenguh tangan memutar spanar, itu antara cabaran yang dihadapi ketika mereka membantu mangsa banjir besar pada 18 dan 19 Disember tahun lalu. Lebih-lebih lagi, kenderaan itu ada yang langsung tenggelam, sesetengah lagi likat berlumpur.

Kerja mereka dipantau Pegawai Pengesah Dalaman STDC Sektor Teknologi Automotif, Faizal Azmi. Sekalipun perkhidmatan mereka percuma, beliau mahu memastikan pembaikan itu sempurna.

Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa bahagian dalam kenderaan yang rosak akibat banjir besar pada Disember 2021

Sebagai satu-satunya institusi pendidikan kemahiran bawah Kerajaan Selangor yang menumpukan bidang teknikal (TVET), STDC sejak 5 Januari turut menghulur bantuan tenaga dan kepakaran bagi meringankan beban mangsa bencana.

Berlumpur

Namun, pemilik perlu membersihkan kereta terlebih dahulu terutama lumpur sebelum pemeriksaan. Keadaan kering dapat menentukan pendawaian rosak atau sebaliknya.

“Biasanya kita tanya mangsa berapa paras air banjir, panel bateri dibuka atau tidak. Ia memudahkan kita mendapat gambaran awal sebelum diperiksa lebih teliti untuk kenal pasti kerosakan.

“Ya, kita ambil masa yang lama. Pemeriksaan bukan sekadar enjin tetapi keseluruhan kereta termasuk pendawaian. Sebab itu, dalam sehari hanya dua kereta sahaja kita mampu periksa,” kata Faizal.

Pemeriksaan bertujuan membantu pemilik mendapat gambaran jelas tahap kerosakan. Ia meliputi tiga skop utama iaitu ruang enjin, ruang penumpang dan keadaan kenderaan termasuk minyak pelincir, kotak gear, cecair, brek, stereng serta unit kawalan elektronik (ECU).

Selain khidmat nasihat, pelajar STDC turut membaiki kereta tanpa bayaran. Sekalipun bilangan kereta yang dibaiki hanya sembilan setakat 11 Januari, mereka sedia memberi perkhidmatan tersebut tanpa menetapkan tempoh masa.

“Kita ada kekangan tenaga kerja kerana terdapat 12 pelajar sahaja. Mereka dibahagi kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan bergilir-gilir hari.

“Lagipun kita baru sahaja bermula. Jadi selepas ini, kita akan cuba bantu bersihkan kereta mangsa yang dipenuhi lumpur,” kata Faizal.

C Poobalan, 20, mengakui teruja dapat membantu mangsa banjir. Namun, anak muda dari Bestari Jaya, Kuala Selangor itu mengakui bukan mudah bekerja di lokasi sisa banjir berbanding di bengkel.

Pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa bahagian enjin kenderaan yang rosak setelah ditenggelami air

“Ruang sempit, hendak periksa agak kelam-kabut. Kerja tidak susah tetapi keadaan sekeliling beri cabaran kerana perlu dilakukan berhati-hati.

“Sejujurnya, ini pengalaman berharga kerana dapat berdepan situasi sebenar. Pada masa sama, saya dapat membantu mangsa banjir,” kata pelajar semester satu STDC.

Riak harapan

Muhammad Fariz Zainal Fitri, 20, yang baru dua bulan belajar di STDC mengakui gementar untuk membaiki kenderaan mangsa banjir. Bimbang berbuat silap, lebih-lebih riak wajah pemilik kenderaan yang begitu mengharapkan kesempurnaan. Namun, keyakinannya bernyala melalui bimbingan tenaga pengajar.

“Perkara yang susah sebenarnya adalah masa. Kena periksa satu persatu. Kalau tidak dapat kesan, jadi sia-sia kerana mungkin yang kita terlepas itu boleh menyebabkan kerosakan berulang pada bahagian tertentu yang telah dibaiki,” katanya.

Muhammad Mas Idham Mahamad, 18, agak terkejut dengan kepercayaan mangsa terhadap pelajar STDC. Ini seterusnya memberi keyakinan untuk memberi khidmat terbaik.

“Kami semua baru dua bulan belajar tetapi mereka percaya walaupun kami tidak ada pengalaman. Mereka cerita masalah kereta mereka, apa yang rosak. Ini beri kami lebih semangat untuk membantu mereka,” katanya.

Selain kenderaan, STDC melalui kumpulan khidmat teknikal elektrikal bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membaik pulih barangan elektrik mangsa bencana yang rosak.

Sebanyak 90 peratus barangan elektrik diselenggara antaranya soket alir keluar, suis lampu, kipas, perkakas mudah alih dan kotak fius agihan antara 27 Disember hingga 1 Januari lalu.

 

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN RENCANA WAWANCARA

KDEBWM bergelut bersih sisa bah 12 jam sehari

SHAH ALAM, 13 JAN: Banjir luar biasa melanda banyak negeri termasuk Selangor pada 18 dan 19 Disember 2021 menyebabkan kerosakan teruk kepada premis puluhan ribu penduduk.

Setakat 6 Januari, kira-kira 78,000 tan sampah akibat bencana itu dikutip sejak 20 Disember. Dengan kerjasama agensi berkaitan, pengendali sisa pepejal negeri KDEB Waste Management (KDEBWM) memainkan peranan penting memastikan kebersihan kawasan terjejas.

Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir dalam segmen Bual Bicara SelangorTV mengupas peranan syarikat berkenaan termasuk perancangan masa depan bagi mendepani bencana alam.


Bagaimana proses pembersihan sampah selepas banjir besar?

Apabila berlaku banjir besar, kita dapat arahan Kerajaan Negeri untuk mengetuai operasi pembersihan pascabanjir. Awalnya, kita hadapi masalah untuk ke lokasi kerana pada 18 dan 19 Disember, hujan masih lebat. Kami hanya boleh masuk pada 20 Disember apabila air mulai surut. Ketika itu, penduduk mulai pulang ke rumah dan keluarkan barangan rosak. Perkara pertama kami buat ialah menubuhkan pusat kawalan untuk merancang pengurusan sampah di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terjejas.

Setelah penilaian, kita hantar 2,000 pekerja setiap hari ke lokasi pembersihan bersama 500 kompaktor dan 600 lori sampah pukal (RoRo) ke lokasi banjir. Setakat 6 Januari, 48,000 tan sampah dikutip manakala sampah daripada agensi lain pula hampir 30,000 tan. Semuanya 78,000 tan. Itu jumlah kutipan sampah selama 20 hari bermula 20 Disember. Saya mohon maaf jika lambat ambil kerana sampah terlalu banyak. Sampah kemudian dibawa ke Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung 12 di Kuala Langat. Selepas itu, kita fokus pembersihan sistem perparitan. Kita mohon penduduk keluarkan segera sampah yang masih ada.

Pekerja kontraktor KDEB Waste Management (KDEBWM) membersihkan sampah dalam longkang ketika program Pembersihan Mega di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Cabaran dihadapi sepanjang operasi pembersihan?

Selain lewat kerana faktor cuaca dan air belum surut, kita juga hadapi masalah lalu lintas. Justeru, kerja perlu dilakukan awal untuk mengelakkan kesesakan. Operasi berjalan lancar dengan bantuan polis dan agensi lain. Tapak pelupusan sampah jauh. Tidak mungkin bertan-tan sampah diangkut ke Jeram dan Tanjung 12. Menerusi 11 pusat kawalan setiap PBT, sampah dikumpul kemudian dibawa ke pusat pelupusan. Cabaran lain adalah 10 peratus aset KDEBWM terjejas banjir. Sebanyak 50 lori tenggelam dan perlu dibaiki. Selain itu, pekerja kelesuan akibat terlalu penat. Mereka bekerja 12 jam sehari dan terdedah risiko selain bergelumang kotoran. Bayangkan, pernah satu malam kita bersihkan kawasan, esoknya ada lagi sampah. Bermakna, penduduk belum habis mengemas. Itulah yang kita kena lalui.

Apakah langkah untuk pastikan keselamatan pekerja?

Kita ada 11,500 pekerja. Semuanya divaksin. Kita juga galakkan pekerja ambil dos tambahan disebabkan varian baharu. Pekerja juga dilengkapi set perlindungan diri (PPE). Mereka dibekal makanan siap masak 2,000 bungkus sehari. Pekerja tidak perlu bersusah payah cari makanan sekali gus kekal bertenaga melakukan kerja berat. Semangat pekerja sentiasa kuat. Sekurang-kurangnya, kami dapat selesaikan kesusahan penduduk. Seramai 36 kakitangan KDEBWM juga terjejas banjir termasuk di Taman Sri Muda.


Bagaimana kutipan harian susulan aset digerak ke lokasi banjir?

Kutipan dijalankan seperti biasa. Sebanyak 7,000 tan sampah dikutip. Apabila ada 11 pusat kawalan yang menjadi lokasi sementara pengumpulan sampah, ia memudahkan kerja. Sampah yang cepat dikutip mengurangkan keresahan penduduk. Rekod kutipan paling banyak kira-kira 3,885 tan sehari. Kemudiannya turun kepada 1,500 sehari, bergantung pada kawasan.

Petugas KDEB Waste Management (KDEBWM) menggangkut timbunan barangan rosak akibat banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ada perancangan untuk menambah aset?

Banjir kali ini beri pengalaman berguna. Kita rancang membeli jengkaut dan lori besar. Semua peralatan ini akan disemak semula. KDEBWM juga akan kenal pasti lokasi sesuai untuk pengumpulan sampah sementara. Lokasi ini perlu supaya gerak kerja lebih cepat terutama ketika banjir. Selain itu, kerjasama dengan badan korporat untuk sumbangan atau bantuan aset yang sesuai. Mungkin perlu beli atau pinjam tetapi pada harga berpatutan.

Kita hendak guna banyak lori untuk keluarkan sampah dan bawa ke tapak pelupusan. Selain itu, tatacara operasi piawai (SOP) jelas perlu apabila berlaku bencana. SOP jumlah pekerja, skop tugasan termasuk kutipan sampah harian perlu ada. Jika SOP jelas, Kerajaan Negeri pada masa depan boleh mengharapkan KDEBWM jika ada banjir sebegini. Pelan induk dalam masa terdekat akan di-
umumkan termasuk perancangan lebih strategik jika berlaku bencana.

Apakah rancangan pengurusan sisa pepejal jangka panjang?

Selangor ada tempat pelupusan sampah di Jeram, Kuala Selangor, Tanjung 12 (Kuala Langat) dan Bukit Tagar (Hulu Selangor) tetapi tidak boleh buang selama-lamanya di situ. Jadi, pengurusan sampah harus lebih lestari. Selangor sudah bergerak apabila Worldwide Landfills Sdn Bhd bekerjasama dengan KDEBWM membina pusat sampah kitar semula pertama negeri ini iaitu di Seksyen 17, Shah Alam. Mungkin akan dibina lagi di Klang, Puchong, Sepang, Selayang dan Ampang.

Setiap pusat akan proses 10 hingga 20 tan sampah. Sampah boleh kitar semula tidak perlu dibuang di pusat pelupusan melainkan ke lokasi berkenaan. Kena pupuk minda sampah bukan benda kotor, sebaliknya jadi duit jika diurus dengan betul. Undang-undang ketika ini tidak membudayakan amalan kitar semula. Semua pihak kena bersama jika mahu menjayakannya. Jika tiada rancangan untuk kitar semula sampah, masalah ini tidak selesai.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir bersama seorang petugas melihat timbunan sisa pascabanjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 5 Januari 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI


Bagaimana rancangan KDEBWM bagi tahun ini?

Mandat KDEBWM adalah menguruskan sampah dari rumah dan kedai. Kita bukan sahaja bercakap mengenai 6.5 juta penduduk Selangor tetapi 10,000 hingga ke 15,000 kilang yang beroperasi. Ada berjuta-juta produk. Ada produk yang dianggap tidak jadi dan perlu dilupus. Ia dalam pelbagai bentuk, cecair dan macam-macam. Sistem pengurusan sampah ini diuruskan mereka sendiri. Justeru untuk 2022, KDEBWM bercadang untuk menguruskan sampah kilang-kilang ini.

Sudah dua PBT yang kita uruskan iaitu Majlis Perbandaran Kuala Langat melibatkan 300 kilang dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Saya harap dapat uruskan PBT lain pula. Kenapa kita hendak uruskan? Untuk elak masalah pembuangan sampah haram. Kos pengurusan sampah kilang agak tinggi. Kita bimbang adanya individu tidak bertanggungjawab.

Kita juga merancang menambah pusat kitar semula, mungkin tambah lima lagi. Tahun depan, kita rancang ada 12 pusat kitar semula. Seterusnya, penjanaan tenaga daripada sampah. Kita buat kajian dan mungkin ada pengumuman dalam masa terdekat. Hasrat kita, membangunkan loji lestari yang boleh menghasilkan tenaga daripada sampah. Sekarang dalam peringkat untuk mendapatkan kelulusan beberapa agensi.


Apakah bentuk kerjasama penduduk yang diharapkan?

Kita belum jadi seperti Eropah dan Jepun. Kesedaran awam mengenai sampah sangat tinggi di sana tetapi kita tidak seperti itu. Masih bergantung kepada kerajaan, agensi atau pengendali seperti kami untuk menguruskannya. Jadi kenapa tidak pada 2022, kita sama-sama uruskan sampah dengan le-
bih baik. Hanya bermula di rumah, kita asingkan sampah kitar semula. Begitu juga di pejabat. Tetapi di pasar raya masih ramai sanggup bayar 20 sen dan guna beg plastik sedangkan boleh bawa beg sendiri. Jika prihatin alam sekitar, perkara sebegini perlu diperhalusi, perlu berubah demi masa depan dan alam sekitar lebih baik.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Kaji faktor geologi dalam persiap langkah hadapi bencana – pakar

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bah besar luar jangka yang melanda Lembah Klang, khususnya di Taman Sri Muda dan juga Hulu Langat baru-baru ini, berpotensi untuk berulang di kawasan terbabit kerana kriteria fizikal yang mempengaruhi bencana itu sudah dipenuhi, kata pakar geologi.

Malah, menurut seorang pakar, bencana serupa boleh berlaku di kawasan-kawasan lain, dan mahu tidak mahu masyarakat amnya, perlu sentiasa bersedia untuk hidup dengan bencana sekalipun kawasan mereka tidak pernah menghadapi situasi itu buat masa ini.

“Bencana alam memang akan berlaku melalui proses-proses eksogen di permukaan bumi. Namun, pembangunan yang tidak mampan dan tidak dikawal selia degan baik, memburukkan lagi proses hakiki ini menerusi tekanan tambahan kepada permukaan tanah dan kitaran hidrologi.

“Atas sebab itu, limpahan banjir dan tanah runtuh yang pada asasnya merupakan elemen normal tindak balas eksogen, berubah skala menjadi sesuatu yang besar dan bersifat bencana apabila tanah (baik di kawasan tinggi mahupun landai) diteroka dengan tidak terkawal,” jelas pakar geologi kejuruteraan dan mekanik tanah Dr Nor Shahidah Mohd Nazer kepada Bernama.

(Eksogen adalah proses seperti hakisan, penyusutan jisim, pemendapan dan luluh hawa tanah yang mengubah permukaan bumi)

Mangsa banjir mengeluarkan barang yang rosak akibar banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada 19 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

KRITERIA FIZIKAL

Mengambil contoh Taman Sri Muda, pensyarah kanan di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata kawasan tersebut mempunyai paras air bawah tanah yang cetek, justeru mudah digenangi air kerana kapasiti penyimpanan air oleh tanah yang rendah.

“Kedudukan kawasan yang lebih landai daripada kawasan landai lain memburukkan lagi keadaan. Selain itu, wujud tanah tinggi gambut dan lempung marin di kawasan Shah Alam, iaitu dua komponen yang menyebabkan tanah sangat lembut dan tidak stabil dengan potensi pemendapan serta kadar memegang air yang tinggi.

“Jadi, apabila banjir, kawasan sebegini akan paling mudah terjejas dan menyebabkan air bergenang,” jelas Nor Shahidah.

Menurut beliau, tekanan ke atas permukaan tanah dan kitaran hidrologi disebabkan pembangunan bukan perkara baharu, sebaliknya telah rancak berlaku sejak zaman pascamerdeka menerusi penerokaan hutan di beberapa negeri di Malaysia untuk dibangunkan sebagai kawasan perbandaran.

Susulan perkembangan itu, beberapa siri kejadian banjir direkodkan termasuk yang besar pada 1971, menandakan pengaruh manusia mula menampakkan kesan kepada alam sekitar, katanya.

“Perlu difahami, sistem sungai merupakan satu rantaian berkesinambungan dan berhubung dengan sistem sungai yang lain. Jadi, tidak menghairankan apabila kapasiti sungai di satu-satu kawasan meningkat, sistem sungai di kawasan lain yang terletak berpuluh kilometer jauhnya turut terkesan.

“Hujan ekstrem yang turun menambah kapasiti limpahan air melebihi biasa dan pelbagai faktor seperti sistem perparitan lemah, zon tidak telap air dan ketepuan tanah, menambah buruk kejadian banjir. Kejadian air pasang juga menyebabkan aliran air dari sungai ke laut terhenti seketika dan kekal bergenang di daratan,” jelas beliau.

Situasi banjir yang melanda sekitar Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka ketika tinjauan pada 3 Januari 2022. Foto BERNAMA

KAJI SEMULA PEMBANGUNAN

Mengambil kira keadaan semasa termasuk perubahan iklim, beliau menyarankan agar pembangunan di kawasan-kawasan berisiko, terutama yang boleh memberi tekanan kepada sistem tanah dan hidrologi, dihadkan.

Bandar yang pesat membangun misalnya, perlu mengehadkan jumlah projek mega agar kesemuanya tidak berjalan secara serentak, di samping mengawal selia projek-projek berskala kecil yang diluluskan.

“Jika ini berlaku, kemungkinan besar skala bencana dan impaknya terhadap rakyat dapat dikurangkan dengan drastik,” kata Nor Shahidah.

Selain itu, pengurusan bencana banjir perlu dilaksanakan dengan pelan kontigensi yang terancang termasuk memperluas zon tebatan banjir, mengambil kira faktor hujan ekstrem dan kadar ketepuan tanah selepas hujan.

“Contohnya di Pakistan. Negara itu mengalami banjir terburuk dalam sejarahnya pada 2010 dan 2011, dan keadaan tersebut berterusan hingga dua tahun selepas itu kerana faktor ketepuan tanah yang masih tinggi akibat banjir 2010.

“Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita tidak memastikan sistem tanah dan sungai di kawasan yang pernah dinaiki air banjir bersedia menerima hujan lebat yang akan turun di masa akan datang,” katanya sambil menegaskan pembinaan kawalan berstruktur amat perlu untuk membantu penyeimbangan semula kapasiti takungan air di sesuatu kawasan terjejas.

Ujar beliau, sekalipun rakyat perlu belajar hidup dengan bencana, kerajaan juga harus memastikan pengurusan bencana berada pada tahap optimum berserta pelan kawalan banjir yang komprehensif, disesuaikan mengikut keadaan geologi, geografi dan sosioekonomi kawasan.

Tahap kesiapsiagaan rakyat juga perlu dipertingkat melalui hebahan maklumat yang pantas selain melatih mereka agar sentiasa berwaspada terhadap amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa, katanya.

Penduduk menggunakan bot untuk melakukan aktiviti harian berikutan kawasan kediaman masih banjir sejak seminggu lalu ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan pada 29 Disember 2021. Foto BERNAMA

SISTEM TEBATAN

Nor Shahidah juga berpendapat sudah tiba masa untuk kerajaan mengkaji semula sistem mitigasi yang ada kerana sistem tersebut wujud sejak era 80-an dan 90-an dengan kebanyakannya tidak membuat unjuran kepesatan pembangunan dan populasi penduduk terkini.

Ini termasuk sistem terowong SMART yang dilihat sebagai antara sistem terkedepan ketika mula beroperasi pada 2007.

Selepas 15 tahun beroperasi, kemampuan terowong ini perlu dikaji semula dengan mengambil kira perkembangan semasa, katanya, menambah di Jepun, pakar negara itu turut meragui kemampuan sistem terowong mega bawah tanah di Tokyo yang beroperasi sejak 2006, dalam menampung perubahan iklim yang ekstrem.

“Jika sistem negara lain dengan kapasiti yang jauh lebih besar turut terkesan oleh perubahan iklim, apatah lagi kita. Tambahan pula, kedudukan negara yang terletak berdekatan garis lintang khatulistiwa menyebabkan taburan hujan negara kita adalah lebih banyak dan lebat,” kata beliau.

Pandangan serupa turut dikongsikan oleh pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA Ir Ts Azinoor Azida Abu Bakar yang berpendapat teknologi yang diguna pakai sejak sedekad lalu mungkin sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

“Impak perubahan iklim dan akibat cuaca ekstrem menyebabkan pendekatan dan penyelesaian terbaik dalam mencegah dan menguruskan bencana alam berubah dari semasa ke semasa. Teknologi yang digunakan pada 10 tahun lepas berkemungkinan menjadi tidak relevan untuk digunakan pada masa kini dan akan datang.

“Berikutan perubahan iklim dan pembangunan pesat yang kita hadapi sekarang dan di masa depan, bencana banjir mungkin akan berlaku dengan lebih kerap dan teruk berbanding masa lalu… Oleh itu, strategi yang lebih efektif perlu dilaksanakan untuk memastikan bencana ini dapat ditangani,” katanya.

Beliau berkata antara langkah terbaik adalah dengan menyediakan infrastruktur tebatan banjir bagi perlindungan yang lebih komprehensif.

Katanya, pendekatan yang dibuat kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran dilihat menitikberatkan pengurusan banjir secara efektif dan efisien apabila menggunakan kaedah hard dan soft engineering yang bertujuan mengurangkan risiko serta kesan negatif banjir di seluruh negara.

Jelas beliau, kaedah ‘hard engineering’ memberi tumpuan pada kerja kejuruteraan seperti pembinaan empangan, kolam takungan, benteng sungai, lencongan sungai, memperdalam dan melebarkan sungai, jajaran semula sungai serta menyediakan sistem pam.

“… walaupun perhatian lebih diberi kepada pembinaan infrastruktur, pengalaman (bencana) lepas yang telah diperoleh menunjukkan bahawa strategi itu perlu disokong oleh langkah-langkah soft engineering (kaedah mesra alam) supaya dapat menyelesaikan masalah banjir secara berkesan dan menyeluruh,’’ katanya.

Azinoor Azida berpendapat ‘kaedah kawalan di punca’ melalui penggunaan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) bagi kawasan pembangunan baharu boleh mewujudkan kawasan landskap yang telap air.

“Menerusi saliran mesra alam ini, air hujan akan terkumpul di dalam tasik atau kolam buatan yang dibina di sesebuah kawasan pembangunan dan akan hanya dilepaskan ke dalam sistem saliran sedia ada apabila hujan berhenti untuk mengelakkan banjir.

“Kaedah seperti ini juga perlu diperluaskan, (kerana) selain mewujudkan landskap telap air, ia juga dapat melestarikan alam sekitar di samping memperkenalkan dan mempromosikan konsep living with floods,” katanya.

Mengulas lanjut, Azinoor Azida berkata peningkatan kawasan tidak telap air disebabkan pertambahan kawasan urbanisasi seperti kawasan perumahan, perbandaran dan jalan raya, turut menyebabkan air larian permukaan bertambah mendadak apabila berlakunya hujan lebat.

Justeru katanya, sistem perparitan dalaman sedia ada perlu dinaik taraf bagi menampung kadar hujan yang semakin meningkat.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tadika percuma bantu keluarga susah ketika PKP

SHAH ALAM, 28 DIS: Hilang 90 peratus pendapatan tidak merisaukan pengusaha tadika Christinea Rajagopal, 46, sebaliknya bayangan anak-anak tidak kenal huruf lebih menakutkannya.

Sedar ibu bapa tidak menghantar anak lantaran bimbang jangkitan Covid-19, beliau mengambil inisiatif membuka kelas dalam talian. Biarpun ‘sakunya tidak berhabuk’, beliau tidak mengutip yuran sesen pun. Hanya mahu memastikan generasi masa depan celik huruf.

Dibantu anak tunggal Jesse Ebenezei, 23, pengusaha Tadika Cendikia Intelek itu mengambil murid baharu tidak kira kaum dan agama. Bukan seorang dua tetapi lebih 20 kanak-kanak semuanya.

“Saya minta tolong ketua kampung dan persatuan penduduk cari orang susah yang mahu sekolahkan anak tetapi tidak mampu bayar yuran prasekolah.

Christinea Rajagopal yang berpengalaman selama 23 tahun mendidik kanak-kanak menawarkan khidmat percuma secara dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kebanyakan berusia enam tahun. Tahun depan masuk darjah satu tetapi ketinggalan prasekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bila masuk sekolah, tidak ada asas langsung. Ini yang kita risau, kasihan,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Christinea yang berpengalaman 23 tahun dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak membuka tadika pada 2015. Tahun pertama operasi agak suram. Hanya tiga murid mendaftar. Beliau terpaksa menghabiskan banyak wang simpanan. Mujur wanita itu ada pendapatan sampingan sebagai perunding pengurusan pejabat.

Menjelang tahun kedua, bilangan bertambah kepada 10 orang. Christinea yang pernah menjadi pengetua tadika selama 18 tahun memperhebat pemasarannya menjelang musim persekolahan 2017.

Usahanya berhasil. Lebih 80 murid mendaftar. Dibantu empat kakitangan terlatih, beliau memperluas perkhidmatan kepada penjagaan selepas sekolah dan kelas tuisyen darjah satu hingga enam. Tadika di Desa Latina, Shah Alam itu yang dibuka menggunakan hasil wang simpanan selain pinjaman RM5,000 daripada Hijrah Selangor kian dikenali ramai.

Namun, pelaksanaan PKP pada awal 2020 banyak menjejas pendapatannya. Kebanyakan ibu bapa bekerja di rumah dan tidak lagi menghantar anak ke tadika. Justeru, tiada kutipan yuran. Perkhidmatan penjagaan harian juga mengalami nasib sama.

Jimat cermat

Natijahnya, Christinea dan Jesse terpaksa ikat perut dan hidup berjimat cermat. Mujur pinjaman Hijrah Selangor membantu mereka membiayai kos operasi tadika terutama bayaran bil dan sewa premis.

“Saya buat pinjaman Hijrah dua kali, awal 2020 sebelum PKP yang pertama sebanyak RM5,000 untuk beli peralatan dan perabot. Kali kedua tahun ini sebanyak RM10,000 untuk bayar bil tertunggak dan membiayai operasi,” katanya.

Christinea Rajagopal menunjukkan gambar dan carta murid yang mendaftar di Tadika Cendikia Intelek, Shah Alam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Apabila sekolah boleh dibuka semula menjelang Julai 2020 dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat, ia tidak melenyapkan keresahan Christinea. Hanya beberapa murid kembali ke tadika. Ramai ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak. Lebih-lebih lagi, ada tidak lagi mampu membayar yuran akibat hilang kerja atau pendapatan terjejas.

Christinea bersimpati terhadap murid yang tidak mendapat pendidikan prasekolah. Ini mencetuskan ilham kepadanya mengajar dalam talian kepada keluarga kurang berkemampuan. Lebih 20 murid mengikuti kelas dalam talian sepanjang PKP.

Selepas lebih banyak kelonggaran termasuk pembukaan semula hampir semua sektor, Tadika Cendikia Intelek kembali menerima kehadiran murid. Walau bilangannya tidak seramai sebelum PKP, ia melegakan Christinea. Pun begitu, pendidikan percuma tetap diteruskan.

“Saya tiada wang untuk tolong orang susah. Hanya mampu beri pendidikan sahaja kerana pendidikan awal penting untuk murid yang akan masuk darjah satu,” katanya.

Beliau juga menyambut Hari Krismas secara ala kadar. Malah tahun lalu, perayaan dirai dengan terperap di rumah bersama anak tunggalnya, tidak ke gereja seperti kelaziman. Namun, kemeriahan tetap dirasai.

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Krismas dalam waspada, upacara agama patuhi SOP

Rata-rata penganut agama Kristian menghela nafas lega untuk menyambut perayaan Hari Natal pada 25 Disember tahun ini.

Sambutan berlangsung ketika negara sedang pulih daripada penularan Covid-19 selepas kejayaan program vaksinasi Kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan.

Paderi Frederick Joseph dan James Arasu berkongsi pengalaman gereja menempuh pandemik bersama wartawan AFIX REDZUAN.

Bagaimana upacara keagamaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan selepas kelonggaran Pelan Pemulihan Negara (PPN)?

Frederick Joseph: Kita tidak membenarkan upacara keagamaan semasa PKP tetapi saya sebagai paderi mengadakan upacara secara peribadi di gereja setiap hari.

Gereja hanya dibuka selepas PKP tamat dengan kapasiti 1/3 di dalam gereja yang boleh memuatkan 150 orang dan dalam dewan seramai 100 orang. Kira-kira 250 orang hadir secara fizikal untuk satu upacara keagamaan. Bagi sesiapa yang kurang selesa untuk datang, kita siar dalam talian secara langsung. Setiap upacara keagamaan yang dipersembahkan ada siaran dalam talian secara langsung.

Paderi Frederick Joseph

Untuk penganut Katolik, kehadiran pada Ahad diwajibkan. Dalam dua tahun ini, uskup memberi kelonggaran. Penganut enggan hadir boleh mengikuti upacara dalam talian. Ia masih berkuat kuasa sehingga tahun depan kerana warga emas dan kanak-kanak masih tidak selesa untuk hadir ke gereja.

Kita ambil langkah berjaga-jaga dengan membuka upacara hanya untuk penganut yang lengkap divaksin dua dos. Kalau tidak lengkap, kita tidak galakkan mereka untuk hadir secara fizikal.

Upacara keagamaan sempena Krismas tidak disambut dengan penganut tetapi kita dibenarkan membuka gereja hingga 10 malam untuk lawatan dan bersembahyang. Penganut perlu terus pulang selepas selesai.

James Arasu: Upacara sepanjang PKP dijalankan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom. Bagaimanapun bagi ahli gereja daripada golongan berpendapatan rendah berdepan kekangan mengikuti upacara dalam talian. Justeru pihak gereja membantu memudahkan perkhidmatan internet untuk mereka.

Selepas kelonggaran, aktiviti dijalankan seperti biasa dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP). Aktiviti bersemuka lebih berkesan berbanding dalam talian.

Untuk sambutan Krismas pada 25 Disember, apakah SOP yang perlu dipatuhi dan apa perancangan untuk penganut yang tidak dapat ke gereja?

Frederick Joseph: SOP sama seperti setiap upacara keagamaan. Kena buat pendaftaran dalam talian terutama untuk upacara pada 25 Disember. Mereka diminta datang 30 minit awal sebelum upacara. Namun kita tidak galakkan mereka datang terlalu awal.

Kita tidak halang warga emas untuk hadir upacara jika mereka selesa. Semasa awal PKP penganut berusia 60 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir tetapi selepas PKP fasa tiga mereka boleh datang asalkan lengkap divaksin

Kanak-kanak juga boleh hadir dengan kebenaran dan tanggungjawab ibu bapa sendiri. Tidak perlu buat ujian Covid-19 untuk sertai upacara keagamaan.

Sehingga sekarang sebarang aktiviti makan di gereja tidak dibenarkan. Kita hanya sediakan pek makanan. Kita juga tidak benarkan penganut buka pelitup muka dan jaga jarak satu meter sepanjang berada dalam gereja.

Paderi James Arasu

James Arasu: Sambutan Krismas di gereja kami dijalankan pada 23 Disember dengan mengikuti SOP seperti jumlah penganut yang akan dibenarkan adalah 50 orang sahaja dengan penjarakan fizikal.

Apa bantuan dan program kebajikan disediakan pihak gereja sepanjang pandemik?

Frederick Joseph: Kita bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO). Mereka beri pek makanan untuk 1,000 keluarga. Sukarelawan akan bungkus dan hantar sampai Banting, Pulau Carey dan Pulau Indah.

Kebanyakan penerima adalah warga Sri Lanka, Indonesia, India tidak kira Kristian atau tidak. Kita bantu tidak kira agama dan bangsa. Di dalam gereja kita ada jawatankuasa membantu orang miskin.

Kita buat kutipan khas untuk orang miskin. Hasil kutipan dimasukkan dalam akaun gereja dan sukarelawan beli barang makanan untuk orang miskin dan sakit.

Bantuan kewangan juga ada untuk mereka yang sakit di hospital serta kehilangan kerja. Sekarang ramai yang menghadapi masalah membayar bil utiliti dan sewa rumah. Kita ada duit untuk dihulur dan semak setiap kes.

Kalau mereka datang terus minta bantuan untuk makan, kita berikan RM20 hingga RM50. Untuk bil uitiliti atau sewa rumah, kita akan bayar penuh jika pihak gereja mampu.

Kita tidak galakkan pemberian terus kepada individu yang minta tetapi jika kes seperti sewa rumah, kita hantar kakitangan untuk bayar terus kepada pemilik. Bantuan makanan kita beri terus.

Ada juga kes terperangkap dengan ahlong. Kita tengok dan berbincang dengan ahlong untuk bantu bayar bagi tempoh satu atau dua bulan.

James Arasu: Kami membantu ahli gereja dan golongan kurang bermampuan dengan menyalurkan barang dapur, alat perubatan, kit ujian Covid-19 dan juga menolong kanak-kanak dengan pembelajaran di atas talian.

Pandangan mengenai kempen bendera putih? Adakah gereja sedar mengenai kempen berkenaan?

Frederick Joseph: Kita pernah dengar kempen itu dan ada sukarelawan gereja mengambil bahagian secara persendirian. Sebagai paderi, saya menyokong penuh. Penganut kita turut menyumbang makanan asas. Bekalan bantuan makanan kita cukup sehingga bulan Januari 2022.

Kita juga beri bantuan barangan bayi seperti lampin pakai buang dan susu. Untuk golongan uzur, kita juga beri bantuan lampin pakai buang dan wang pengangkutan awam untuk mereka mendapatkan rawatan.

James Arasu: Kempen bendera putih untuk sementara waktu sahaja. Namun, ia membantu kelompok yang memerlukan dan pada masa sama ramai juga yang mengambil kesempatan. Gereja kami bekerjasama dengan NGO lain seperti HOPE SELANGOR yang sentiasa berusaha membantu golongan kurang mampu.

Kami adalah gereja bebas dan tidak menerima sebarang subsidi. Bagaimanapun, kami berjaya mengumpul wang derma dalam kalangan ahli untuk membantu mangsa Covid-19 di Tiruchi, India ketika bilangan kes meningkat secara mendadak di negara itu.

Dalam tempoh pandemik, ada individu bukan Kristian tampil meminta barang keperluan daripada gereja? Bagaimana mereka dibantu?

Frederick Joseph: Ada orang Islam yang datang terus untuk minta bantuan. Mereka datang minta wang untuk makan atau tiket tambang dan kita bantu. Kita hadkan tidak lebih RM100.

Peti tunai gereja ada RM500 setiap masa untuk membantu mana-mana pihak yang datang terus mohon bantuan. Biasanya pada Ahad atau akhir bulan banyak kes meminta pertolongan secara datang terus ke gereja.

James Arasu: Kami membantu semua golongan masayarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan negara. Kami juga membantu golongan migran dan pelarian. Kebanyakan orang yang mendapat bantuan adalah yang bukan beragama Kristian.

Apakah kaedah gereja untuk memudahkan pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)?

Frederick Joseph: Gereja ada bantuan pemberian komputer riba dan penerima perlu membayar RM20 sebulan selama dua tahun sebagai sewa bagi kurangkan beban.

Bayaran itu supaya penerima lebih tanggungjawab dan menghargai pemberian berkenaan. Kita tidak beri tuisyen percuma kerana tidak boleh adakan kelas secara fizikal.

James Arasu: Kami memberi pendidikan percuma kepada pelajar yang tercicir daripada PdPR, semasa PKP. Mereka diberikan kerja rumah melalui buku dan buku itu disemak. Setiap pelajar juga dihubungi melalui telefon. Mereka juga diberikan tambah nilai internet dengan pengawasan yang terperinci supaya ia digunakan dengan cermat.

Apa inisiatif gereja untuk mengurangkan tekanan individu yang datang berkongsi masalah?

Frederick Joseph: Ada individu berdepan masalah emosi semasa pandemik tampil mendapatkan nasihat daripada gereja. Kita beri nasihat dan mendengar luahan mereka selain memberi sokongan.
Kebanyakan mempunyai masalah kewangan dan keluarga. Biasanya mereka tidak dapat atasi masalah dan bercerita dengan kita untuk mencari penyelesaian.

Gereja mempunyai jawatankuasa untuk kesihatan mental. Mereka beri kaunseling kerana kita dapati semasa PKP terdapat banyak masalah rumah tangga. Dalam masalah itu, anak-anak paling terkesan terutama golongan belia.

Ada juga berkecenderungan untuk membunuh diri. Kebanyakannya memberitahu ingin membunuh diri tapi membatalkan niat selepas berbual. Mereka tidak menceritakan niat itu tetapi nampak ada kecenderungan untuk berbuat demikian. Sesi perbualan memberikan kelegaan kepada individu untuk meluahkan perasaan dan akhirnya mereka batalkan hasrat selepas mendapat sokongan.

James Arasu: Sebagai paderi, saya sering menghubungi ahli gereja. Jika mereka memerlukan kaunseling, saya cuba bercakap melalui telefon. Jika mereka memerlukan perhatian yang lebih, ahli gereja yang lebih kanan akan melawat mereka dan berbincang tentang masalah yang dihadapi.

Apakah pandangan dan usaha untuk menggalakkan dialog antara agama?

Frederick Joseph: Kita terbuka untuk sebarang dialog. Kita berwaspada terhadap isu yang kontroversi seperti kehadiran Muslim meminta bantuan. Kebanyakan Muslim yang datang kita galakkan ambil bantuan sahaja dan tidak berbincang mengenai agama.

Kita tidak campur aduk perihal agama dengan bantuan. Kalau mereka mahu bantuan yang kekal mungkin kita akan maklumkan kepada pusat zakat tetapi untuk kes datang terus ke gereja kita tidak maklumkan.
Dalam keuskupan agung, kita biasa ada dialog dua atau tiga kali setahun dan ada perjumpaan semasa Hari Kebangsaan.

Biasanya kita bercakap perihal persamaan agama sebagai kawan atau jiran tanpa sentuh isu sensitif bagi menghormati agama lain. Semua agama mengajar kita untuk menjadi manusia yang baik. Itulah dasar kita berbual.

James Arasu: Amat dialu-alukan supaya kita dapat memahami satu sama lain. Apalagi kita dalam situasi sekarang yang terkesan akibat pandemik. Dengan slogan kita jaga kita, hidup bermuafakat adalah sangat penting. Sayangi jiran anda seperti mana anda menyayangi diri.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Hikmah PKP, ibu tunggal berniaga roti raih jualan RM100,000

SHAH ALAM, 17 DIS: Suis di dinding diketik. Lampu tidak menyala, kipas tidak berfungsi. Fikiran Hafizawati Ahmad, 41, pusing memikirkan sudah tiga bulan bil elektrik tidak berbayar.

Duitnya cukup-cukup untuk bayar sewa dan beli makanan. Bergenang air mata ibu tunggal itu memikirkan nasib tiga anak. Seminggu mereka menggunakan lilin. Tidur berpanas, ulang kaji pelajaran juga sukar. Makan pula sekadar alas perut.

Tanpa pekerjaan tetap dan wang simpanan, kehidupan sangat mencabar. Mujur dalam kesempitan itu, Hafizawati berpeluang menjadi model busana muslimah. Sedikit sebanyak dapat menampung keperluan selain bantuan bulanan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kepayahan sejak menjadi ibu tunggal pada 2008 memutikkan azam untuk berniaga. Tidak mahu anak-anak menanggung derita.

“Masa itu baru sedar pentingnya ada duit simpanan. Jadi saya nekad berniaga untuk cari duit sebab saya tak boleh tengok anak saya susah,” katanya kepada Selangorkini di Kampung Sri Aman, Klang pada 7 Disember.

Hafizawati Ahmad menyusun roti yang siap dibungkus di kedainya di Kampung Sri Aman, Klang ketika ditemu bual Selangorkini pada 7 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN

Hafizawati yang 26 tahun menetap di Selangor mula berniaga kecil-kecilan menjual kek lapis Sarawak dengan modal RM500. Namun, ketika baru bertatih dalam perniagaan, beliau ditimpa dugaan lagi. Perkahwinan kali keduanya berakhir perceraian pada 2010.

Cukup mengusutkan tetapi Hafizawati menggagahkan diri untuk fokus kepada perniagaan. Jualan kek dan roti mencecah lebih RM100,000 dalam tempoh tiga bulan ketika perayaan Aidilfitri tahun ini.

Modal RM500

Hafizawati berniaga sejak 2009 berbekal modal yang disediakan Teraju Ekonomi Asnaf (Teras), agensi LZS bagi membantu asnaf berniaga. Kemahiran sedia ada membolehkannya mengambil tempahan kek lapis Sarawak, kek coklat, gula hangus dan apam polkadot.

Kesungguhan beliau meyakinkan Teras untuk menghulur bantuan berbentuk ketuhar elektrik, pengadun dan peti penyejuk.

Ketika itu, pelanggannya hanya rakan, penduduk kampung dan saudara terdekat. Selepas itu, semakin banyak tempahan terutama kilang dan pejabat.

“Sebelum Covid-19, saya mampu kekalkan jualan kira-kira RM9,000 sebulan.

“Dapatlah untung bersih RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya.

Hafizawati kemudian menambah produk kepada lebih 10 jenis roti dan tart keju. Beliau juga mengasah kemahiran membuat kek dan pengurusan perniagaan dengan menyertai kursus anjuran LZS dan Teras.

Tatkala ramai peniaga mengeluh dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, Hafizawati sebaliknya menjadikan PKP batu loncatan.

Keluhan orang ramai mengenai bekalan roti dalam pasaran yang tidak mencukupi memberikannya idea untuk mengiklankan roti jualannya menerusi hampir 30 kumpulan WhatsApp. Menguntungkan. Tidak menang tangan beliau menyiapkan tempahan. Lebih 150 bungkus roti dijual sehari.

“Pada bulan puasa tahun ini, jualan mencecah RM66,000. Dalam tiga bulan, saya dapat jual RM100,000,” katanya.

Selain menerima tempahan roti, Hafizawati Ahmad juga boleh membuat kek lapis Sarawak, kek coklat, gula hangus dan apam polkadot. Foto diambil ketika temu bual Selangorkini di kedainya di Kampung Sri Aman, Klang pada 7 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN

Lantik ejen

Hafizawati kemudian mengambil pekerja terdiri daripada anak-anak asnaf. Pada masa sama, wanita itu meluaskan pasaran dengan melantik 15 ejen di Selangor, Melaka, Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

Hasil prestasi perniagaan termasuk pengeluaran meningkat, operasi perniagaan berpindah ke kedai dengan sewa bulanan RM1,200 pada Jun 2021. Beliau juga menambah peralatan kepada empat ketuhar, penyejuk, rak cermin pameran kek, peti sejuk beku dan dua mesin pengadun.

Pun begitu, dugaan tidak pernah surut. Hafizawati dijangkiti Covid-19 pada Oktober. Pendapatannya hilang selama sebulan. Namun, kali ini beliau lebih bersedia.

“Dalam sebulan, jualan kosong. Nasib baik kali ini ada duit simpanan untuk keperluan keluarga dan perniagaan,” katanya sebelum kembali berniaga.

Menginsafi pengalaman lalu, Hafizawati turut membantu golongan memerlukan baik orang miskin, ibu tunggal mahupun orang kelainan upaya menerusi program bakul makanan.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tiga siswazah jual sayur murah bantu petani, masyarakat

Oleh Siti Salwa Shaari

MEMBANTU pekebun memasarkan hasil pertanian yang segar pada harga murah menjadi pegangan tiga siswazah universiti ini ketika mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian pada awal tahun lepas.

Ia sekali gus memudahkan golongan petani menjual hasil tanaman serta masyarakat boleh mendapatkan bekalan diperlukan itu di pasaran pada harga berpatutan.

Untuk itu, Muhammad Naqib Azam, 31, bersama dua rakan sebayanya Mohd Syamim Aizat Zaki, dan Muhammad Zaid Zuhri, bersetuju supaya keuntungan purata sayur-sayuran jualan mereka ditetapkan di bawah 50 sen sekilogram.

Sebagai contoh, Muhammad Naqib berkata timun yang dibeli daripada pekebun pada harga RM2.70 sekilogram dijual pada harga RM3 sekilogram iaitu lebih murah berbanding RM3.50 yang ditetapkan pada skim kawalan harga.

“Kami berani menjual pada harga begitu kerana tidak perlu melalui pelbagai lapisan memandangkan semuanya dilakukan sendiri daripada mencari pekebun, membawa hasil ke pusat pengumpulan untuk dibungkus sehinggalah menghantar kepada pembeli.

“Hubungan baik dengan pekebun juga membolehkan kami mendapatkan harga sedikit murah selain niat mahu membantu mereka supaya semua hasil kebun dapat dipasarkan tanpa banyak kerenah,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Ternakan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Projek Fertigasi Inderapura Kuantan, Pahang yang menjadi ‘pejabat’ mereka.

Anak jati Raub itu berkata bagi memastikan harga jualan dapat dikekalkan pada harga murah, mereka juga sepakat tidak mengambil kos pengangkutan secara berlebihan, malah pernah menyerap kos tersebut apabila harga sayur sedikit meningkat.

Selain timun, Muhammad Naqib berkata sayuran lain yang dijual seperti lada, bendi dan kacang panjang, bergantung hasil yang boleh diperoleh dari kebun di sekitar Kuantan dan Pekan pada hari tersebut.

Mengimbas penglibatan mereka dalam industri pertanian, Mohd Syamim berkata ia bermula semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melihat ada pekebun tidak dapat memasarkan produk mereka disebabkan banyak kedai makan ditutup.
“Untuk membantu petani, kami menawarkan diri menjualkan hasil kebun mereka pada harga murah supaya sekurang-kurangnya mereka boleh dapat pulangan modal. Disebabkan tiada platform khusus, kami bermula dengan menjual kepada ahli keluarga, jiran dan penduduk taman perumahan.

“Iklan menerusi mulut ke mulut membantu orang ramai mengenali kami selain turut dipromosikan di media sosial termasuk di akaun Facebook ‘Dari Kebun’ supaya lebih mudah orang ramai menghubungi kami.

“Tanpa diduga kami semakin berminat dalam perniagaan sayur ini, lalu menubuhkan syarikat SZ Sayur Trading bagi melancarkan lagi operasi kerana sudah mempunyai pelanggan tetap memandangkan harga kami tawarkan lebih murah berbanding kebanyakan tempat,” katanya.

Sejak bergelar ‘saudagar sayur’ Mohd Syamim, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kimia Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata rutin harian mereka bermula seawal 9 pagi dengan mengambil sayur di kebun dan dibawa ke pejabat untuk penggredan serta pembungkusan.

Penghantaran sayur bermula pada 12 tengah hari sebelum mereka bertiga kembali semula ke pejabat pada pukul 3 petang untuk menyambung operasi pembungkusan bagi slot penghantaran sebelah malam yang bermula selepas maghrib dengan tumpuan di pasar raya dan kedai.

Untuk melancarkan operasi, Muhammad Syamim berkata pembeli diwajibkan membuat tempahan sekurang-kurangnya sehari sebelum, supaya sayur yang diambil dalam kuantiti antara 500 kilogram dan satu tan sehari, dapat dihabiskan.

Sementara itu, Muhammad Zaid, yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian UPM berkata mereka berani terlibat dalam bidang pertanian dan perniagaan selepas mendapat nasihat Pejabat Pertanian Daerah Kuantan.

“Kami juga merancang untuk menanam beberapa jenis sayur di sini, bagi membolehkan kami terus menawarkan harga murah kepada masyarakat.

“Ini juga boleh sebahagian daripada cabang sedekah yang boleh dilakukan untuk membantu orang ramai,” katanya sambil memaklumkan ketiga-tiga mereka bekerja dalam bidang berbeza sebelum PKP.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Ratu spring kereta berhabis duit pertahan bengkel

Foto HAFIZ OTHMAN

SHAH ALAM, 30 NOV: Lama mata wanita ini merenung angka di buku akaun simpanan. Ditutup semula, dihelanya nafas panjang. Tertanya-tanya Rosniza Rohani, 44, entah bila agaknya dapat kumpul semula wang macam dahulu.

Ibu dua anak itu mencongak berapa lagi duit harus dikeluarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan. Tinggal RM3,000 sahaja. Lebih kasihan suaminya, habis licin. Semuanya untuk menampung perniagaan spring kereta selain keperluan keluarga.

Kalau campur kedua-dua simpanan, tidak kurang RM50,000 sudah dikorek. PKP benar-benar menguji. Pelbagai dugaan dilalui.

Teringat detik bersengkang mata menghantar tempahan pelanggan hingga jam empat pagi bersama suami. Sampai ke Senawang, Negeri Sembilan sebelum berpatah semula ke Sabak Bernam. Melelahkan tetapi itulah cabaran usahawan.

Kerja sambilan

Rosniza dan suami Hishamuddin Ani, 48, mula menceburi perniagaan spring kereta sejak 2016. Pada awalnya secara sambilan untuk pendapatan sampingan.

Rosniza Rohani ditemu bual Media Selangor di bengkel pemasangan spring di Seksyen 15 Shah Alam, baru-baru ini.

Jualan hanya menerusi media sosial Yocham Garage dan Shopee. Mereka memilih spring kereta 4Flex yang dibangunkan anak tempatan.

Ketika itu, mereka masih bekerja. Rosniza dalam sektor logistik, Hishamuddin pula perbankan. Memang mencabar lantaran pengetahuan dalam bidang automotif boleh dikatakan kosong.

Namun, Hishamuddin yakin perniagaan itu boleh bawa untung. Paling penting, mereka mempunyai pengeluar yang menyediakan bekalan pada harga kompetitif. Lain pula jangkaan Rosniza.

“Ada ke setiap hari orang ubah suai tukar spring untuk rendahkan kereta? Rupa-rupanya memang ada kaki kereta yang biasanya orang muda mahu rendahkan kereta supaya nampak lebih bergaya,” katanya kepada Selangorkini pada 16 November.

Mula-mula sukar. Kurang 20 set terjual pada bulan pertama. Namun produk semakin dikenali dalam kalangan peminat kereta. Jualan semakin rancak.

Setiap kali menjelang puasa, jualan meningkat mendadak. Peminat kereta ingin memastikan kenderaan mereka ‘kemas’ ketika pulang beraya di kampung.

Masuk tahun ketiga, lebih 100 set dijual sebulan mendorong Rosniza berhenti kerja untuk berniaga sepenuh masa pada 2019. Keputusannya itu dipandang sinis rakan wanita.

“Biasanya perempuan berniaga tudung, baju, kek, kuih atau makanan lain tetapi saya berniaga spring kereta. Mereka pelik tetapi saya jadikan ini cabaran,” katanya.

Sejak itu, masa Rosniza banyak dihabiskan mengurus perniagaan sambil dipantau suami yang masih bekerja tetap. Kesibukan Hishamuddin juga memaksa Rosniza berdikari. Ini menyebabkan beliau cepat menguasai selok-belok automotif terutama berkaitan aspek penyerap hentakan kereta.

Selepas PKP dilonggarkan pada Jun 2020, Rosniza dan suami mengambil langkah berani membuka bengkel pemasangan spring di Seksyen 15 Shah Alam dengan bantuan Yayasan Hijrah Selangor.

“Sebelum itu kami pinjam RM5,000 dan habis bayar. Kali ini untuk buka bengkel kami pinjam lagi RM20,000,” katanya.

Rosniza turut menggaji tiga pekerja mahir sekali gus melancarkan lagi operasi perniagaannya. Beliau turut menawarkan harga upah pemasangan lebih murah berbanding premis lain menyebabkan bengkelnya menjadi pilihan kaki melaram.

Kesan PKP

Namun, langit tidak selalu cerah. Tanpa diduga pada Mei 2021, sekali lagi kerajaan mengumumkan melaksanakan PKP 3.0 berikutan pertambahan kes positif Covid-19. Berbanding PKP pertama yang kurang memberi kesan, PKP 3.0 benar-benar menguji.

Lebih-lebih lagi kategori perniagaan aksesori menyebabkan bengkel tidak boleh beroperasi.

Rosniza Rohani meninjau pemasangan alatan spring kereta di bengkelnya di Seksyen 15 Shah Alam

“Masa PKP pertama kami belum ada bengkel tetapi ketika PKP 3.0 kami sudah buka bengkel dan ada pekerja pula. Jadi bebannya berbeza.

“Jualan masa PKP pertama juga tidak jatuh seteruk PKP kali ini sampaikan dalam sebulan kami cuma dapat jual kurang 20 set berbanding sasaran 100 set sebulan,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan Rosniza dan Hishamuddin menggunakan wang simpanan untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Namun, mereka bersyukur. Walaupun perit, perniagaannya dapat mengharungi saat getir sepanjang tiga bulan perintah kawalan.

Kejayaan mengharungi PKP 3.0 menjadi tangkal pencetus semangat suami isteri itu untuk tabah.

Kini, mereka bukan sahaja menjual dan memasang spring tetapi menambah lagi produk iaitu penyerap hentak jenama antarabangsa terkenal dalam pasaran.

“Kami mahu menjadikan bengkel ini menjual dan imbang tayar serta penjajaran kereta,” katanya.