Categories
AGENSI SASTERA

Mangsa banjir di Kuala Selangor terus meningkat

SHAH ALAM, 29 OKT: Jumlah mangsa banjir di empat buah Pusat Permindahan Sementara (PPS) di Kuala Selangor dekat sini terus merekodkan peningkatan apabila seramai 869 orang ditempatkan di pusat itu setakat jam 8 pagi ini.

Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (S.K) Parit Mahang kini menempatkan 600 mangsa daripada 167 keluarga berbanding 591 mangsa daripada 164 keluarga, semalam.

“Turut menunjukkan peningkatan ialah di S.K Pasangan, yang mencatatkan 150 mangsa daripada 50 keluarga berbanding 117 mangsa daripada 37 keluarga semalam, manakala dua lagi PPS iaitu di S.K Jaya Setia dan S. K Ijok pula kekal dengan masing-masing 47 mangsa daripada 16 keluarga dan 72 mangsa daripada 49 keluarga,” katanya.

Kenyataan itu menyebut SSCC akan terus memantau situasi banjir di kawasan terlibat selain menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

– BERNAMA

Categories
SASTERA

Emak jangan lari

Oleh Asyraf Bakti

Dia harus segera. Nak tak nak dia perlu laju dari emak dia. Ini bukan perkara main-main. Antara hidup dan mati. Dia harus menyusup dalam kumpulan maraton 42 kilometer tersebut. Apa nak jadi jadilah. Dia harus bagi benda ini kepada emaknya. Tak mahu kaki dilanda tarik mengkarung, dia mula lari dari rumahnya ke tempat larian. Berbekalkan beberapa ilmu larian laju dan perlahan, dia yakin dia pasti akan sempat berikan benda itu kepada emaknya. Pada mulanya dia agak pancit, tetapi lama-lama dia dapat seimbangkan nafas hidung ke hidung.

Dia dah sampai di tempat kejadian. Dia dalam posisi lari-lari anak kerana tak mahu kehilangan momentum. Dia lihat ramai orang dah mula separuh perjalanan. Dia jadi risau kepada emaknya. Dia tengok kiri kanan dan mujur panitia larian berbaik hati untuk berikan dia baju larian setelah dia terangkan dengan penuh mimik sedih dan logik. Dia ikatkan sekali lagi tali kasut dan sarungkan baju sambil memegang erat barang yang harus diberikan kepada emaknya. Ini amanah keras. Kalau dia tak serahkan, neraka jawabnya nanti. Dia tak henti-henti istighfar sepanjang larian supaya Allah lindungi dia dan emaknya. Melihat kepada sokongan moral pelari-pelari yang lain, dia yakin dia dapat kejar emaknya.

Masuk kilometer ke-10, dia dah mula rasa mental koyak. Dia cuba lari di belakang pelari lain yang punya momentum yang stabil. Dia lega kerana di depannya seorang gadis comel yang sedikit sebanyak menaikkan motivasinya untuk terus mengejar emaknya. Gadis di depan agak janggal kerana ada seorang lelaki yang ikut rapat di belakangnya. Gadis risau kalau-kalau lelaki tersebut mengambil kesempatan dalam keletihan. Dia yang melihat gadis tersebut sedikit gelisah membuatkan dia mula lari ke tepi. Apalah nasib dia; hanya mahu mengejar emaknya penuh bertenaga tetapi dekat-dekat nak dituduh sebagai peraba. Dia lari ke tepi sambil melihat muka gadis tersebut dan mengeluarkan satu ayat yang buatkan gadis terpinga-pinga. “Kasih ibu membawa ke syurga.”

Masuk kilometer ke-20, dia masih belum jumpa bayang-bayang emaknya. Tetapi dia dapat rasakan dia semakin dekat dengan emaknya. Dia dapat bau baki-baki wangi EDT kesukaan emaknya yang menerewang di sekitar kawasan berbukit itu. Dia harus lajukan sedikit langkah. Dia tahu kalau dia mengalah, dia tak layak untuk digelar anak soleh sohibul sahamah. Tangannya dah mula ketar-ketar tanda kurang gula, dan kakinya sudah berapi dalam betis. Ya Allah, Ya Tuhanku kurniakanlah daku sedikit saja lagi tenaga. Buat aku menghantar barang ini kepada emakku. Itu doanya dalam hati sambil bercucuran peluh dari muka ke lantai jalan.

Teringat kepada sebuah filem detektif yang sering bertanyakan perihal seseorang melalui gambar, dia tiru cara tersebut. Dia keluarkan gambar yang emaknya yang dia simpan di belakang telefon. Sambil berlari dan lihat muka orang yang boleh dia percaya, dia tanyakan satu-satu.

“Ada nampak tak emak saya?”

“Oh, dia dah lari ke depan tu.”

“Ada nampak tak emak saya?”

“Ada, baru tadi dia lalu sini.”

Peluang makin cerah dan syurga makin terbuka pintunya. Dia dah nampak emaknya seratus meter di depan. Berbekalkan semangat Bolt, dia memecut sambil menjerit emak. Emak! Emaknya terkejut dan kalih belakang dan melihat anaknya di belakang sambil terpinga-pinga.

“Emak, ni emak tertinggal botol isi air kosong Coway favourite mak ni atas meja dapur. Mak cakap kalau lari tak minum air ni, boleh mati.”

“Kamu ni Sabtu, karang aku cakap bodoh, kamu ni anak aku. Kenapa tak WhatsApp saja emak tadi. Emak kan bawa telefon ni. Lagipun mak kongsi air dengan Mak Cik Jah kamu ni.” Sambil emaknya dan Mak Cik Jah lari setempat untuk tidak hilangkan momentum.

Dia tepuk dahi sambil tengok langit; Masssya-Aaalllahhh!

Categories
SASTERA

Mutiara bercengkerang curiga

Kata-kata sering menjadi terumbu
tumbuh di lidah-lidah
suara ada kalanya menjadi laut
menggarami luka

pada setiap teluk dan pelabuhan
mendayung makna
tenggelam mengutip mutiara
bercengkerang curiga

kerikil sabar yang kau celup
di lubuk paling dalam
meskipun terbang camar sebelum senja
dapat memetik mentari

berkeliaran memunggah kesedaran
bahawa setiap keindahan tersembunyi kesakitan
seperti diri berenang kehilangan sirip
setelah luka dan calar
menggaris bibir.

 

Siti Zaiton Ahmad

Pinggiran Tapah

Categories
SASTERA

Bung Pram, penjara dan kemaafan

Oleh Johan Radzi

Barangkali tidak ada sasterawan nusantara yang mengalami penderitaan yang seperti yang dihadapi Bung Pram. Beliau dipenjara berdekad-dekad, mula-mula dengan Kolonial Belanda, kemudian bawah cengkaman Orde Baru. Selain itu, karya-karya dan perpustakaan beliau juga renting dibakar. Kekecewaan dan kemarahan meluap-luap seperti yang tercurah di dalam buku Saya Terbakar Amarah Sendirian. Itu biografi hasil wawancara Andre Vitchek dan Rossie Indira. Siri-siri wawancara tersebut menyentuh banyak hal tetapi yang mendasar tentulah tahun-tahun beliau sebagai tahanan di balik jeriji penjara.

Seperkara yang memutik minat terhadap Bung Pram adalah balas surat beliau dengan budayawan dan kritikus Indonesia, Mas Goen.

Via surat terbuka dalam majalah Tempo 3-9 April 2000, Mas Goen bermula dengan mengisahkan abad kedua puluh. Itu surat yang dikarang buat menegur keengganan Bung Pram terhadap Rekonsiliasi Nasional anjuran presiden Republik Indonesia ketika itu, Gus Dur. Dia menyebut tragedi-tragedi kemanusiaan sepanjang abad itu. “Tiap zaman punya gilanya sendiri. Abad ke-20 adalah zaman rencana besar dengan pembinaan besar.” Nama-nama antagonis pun disebut: Hitler, Stalin, dan Pol Pot. Begitu juga dengan Orde Baru.

Kemudian dia melanjutkan dengan Nelson Mandela, wali perdamaian dari Afrika Selatan: “Mandela bertahun-tahun di penjara, orang hitam Afrika Selatan bertahun-tahun ditindas, tapi kemudian ketika ia menang, ia membuktikan bahawa abad ke-20 tak sepenuhnya benar: manusia ternyata bisa untuk tak jadi penakluk. Ia menawarkan rekonsiliasi dengan bekas musuh. Ia tak membalikkan posisi dari si objek jadi sang subjek.

Juga tentang kemaafan: “Maaf bukanlah penghapusan dosa. Maaf justru penegasan adanya dosa. Dan dari tiap penegasan dosa, hidup pun berangkat lagi, dengan luka, dengan trauma, tapi juga harapan. Dendam mengandung unsur rasa keadilan, tapi ada yang membedakan dendam dari keadilan. Dalam tiap dendam menunggu giliran seorang korban yang baru.”

Lalu Bung Pram menjawab dengan surat berjudul Saya Bukan Nelson Mandela. Beliau menulis: “Di Afrika Selatan penindasan dan diskriminasi dilakukan oleh kulit putih terhadap kulit hitam. Putih melawan hitam, seperti Belanda melawan Indonesia. Mudah. Apa yang terjadi di Indonesia tidak sesederhana itu: kulit cokelat menindas kulit cokelat. Lebih dari itu, saya menganggap permintaan maaf Gus Dur dan idenya tentang rekonsiliasi cuma basa-basi. Dan gampang amat meminta maaf setelah semua yang terjadi itu. Saya tidak memerlukan basa-basi.

Bung Pram tidak berhenti di situ. Beliau menyambung dengan nada yang lebih tegas bersalut kecewa: “Minta maaf saja tidak cukup. Dirikan dan tegakkan hukum. Semuanya mesti lewat hukum. Jadikan itu keputusan DPR (Dewan Perwakilan Rakyat) dan MPR (Majelis Permusyawaratan Rakyat). Tidak bisa begitu saja basa-basi minta maaf. Tidak pernah ada pengadilan terhadap saya sebelum dijebloskan ke Buru. Semua menganggap saya sebagai barang mainan. Betapa sakitnya ketika pada 1965 saya dikeroyok habis-habisan, sementara pemerintah yang berkewajiban melindungi justru menangkap saya”.

Di sinilah persimpangan moral, hukum, dan falsafah menjelma. Kemaafan, dendam, dan rekonsiliasi nasional adalah perkara yang memerlukan begitu banyak perdebatan dan diskusi. Apatah lagi pada abad ini, ketika kita menoleh ke belakang dan ingin pelajari daripada masa silam yang penuh luka dan menyakitkan.

Di belahan dunia lain, beberapa dasawarsa lalu, ahli falsafah Jacques Derrida menziarahi penjara Nelson Mandela di Pulau Robben. Beliau ditunjukkan sel yang didiami pahlawan demokrasi itu – sebuah bilik yang sempit berukuran 8×7 kaki. Usai lawatan, beliau dijemput memberi kuliah di Universiti Teluk Barat. Derrida memilih satu topik: kemaafan.

“Kemaafan mutlak tidak wujud,” sabda beliau di hadapan ratusan mahasiswa Afrika Selatan. “Kerana kemaafan hanya absah apabila kita memaafkan yang tak termaafkan. Apabila sesuatu itu boleh dimaafkan, maka ia bukanlah satu kemaafan.”

Pengertian yang sarat ironi seperti itu tentu menimbulkan banyak tanda-tanya. Mahasiswa-mahasiswa tersebut menjadi bingung. Adakah kerana itu kita tidak wajar memaafkan jenayah? Beliau jelaskan secara perinci dengan esei berjudul Perihal Kemaafan pada 2001.

Derrida cuba mengasingkan idea Kemaafan Mutlak dengan proses-proses seperti rekonsiliasi. Menurutnya, kedua-dua konsep ini berbeza dan tidak wajar disetarakan. Di sini beliau mencatat:

“Saya melontarkan saranan ini: tiap kali apabila kemaafan diberikan untuk sesuatu tujuan akhir, sama ada buat tujuan mulia atau rohaniah (keinsafan, atau penebusan, rekonsiliasi, keselamatan), tiap kali ia bertujuan untuk mengukuhkan semula sesejenis kebiasaan (sosial, nasional, politikal, psikologikal) melalui kerja-kerja ratapan, terapi, atau ekologi memori, maka ‘kemaafan’ tersebut tidak mutlak – waima konsep tersebut sekalipun pun.”

Apa yang dimaksudkan dengan beliau di sini adalah kemaafan – jika diberikan bersyarat – bukanlah satu kemaafan mutlak. Ia cuma satu perhitungan politikal, yang mungkin dibuat atas tuntutan agama, sebagai terapi menyembuh luka dan parut silam, sebagai usaha menjambatani pihak-pihak, atau sebagainya. Namun ia tetap tidak boleh dan tidak layak berdiri sebagai kemaafan mutlak. Ini memandangkan kemaafan tersebut diberi atau dianugerahi atas satu syarat (atau banyak syarat).

Inilah yang disebut Kant sebagai imperatif hipotetikal – yakni sesuatu yang kononnya disebut kemaafan, meskipun di dasarnya berenang-renang perhitungan transaksi, dengan syarat, dan sebagainya. Hal-hal ini selalu ditabiri dengan kalimat mulia seperti “Rekonsiliasi Nasional”. Itulah yang berlaku pada Perancis  bawah de Gaulle, Pompidou, dan Mitterand atas dosa-dosa jenayah sewaktu pendudukan dan Perang Algeria.

Justeru, apakah itu kemaafan? Kemaafan, menurut beliau harus luar biasa, dan kekal luar biasa. Ia harus dianugerahkan tanpa syarat oleh mangsa-mangsa yang terkesan oleh sesuatu peristiwa silam. Ia adalah “kegilaan luar biasa”, yang bekerja atas aforia atau paradoks. Kerana itu ia wujud sekaligus ia tidak wujud.

Semestinya, meskipun lontaran Jacques Derrida tepat dari segi bahasa dan berlegar di ruang ironi – sebagai keyakinan beliau ke atas dekonstruksi logosentrisme Barat, ia masih bukan sesuatu yang praktikal umumnya. Keperluan pragmatik dan perhitungan politikal sering menuntut kita untuk bertindak di luar batas intelektualisme dan idealisme yang murni ini. Mengatakan bahawa satu proses meminta maaf sebagai bukan Kemaafan Mutlak di persada antarabangsa, di mahkamah keadilan, dan sebagainya tidak menyiapkan kita apa-apa jawapan untuk kita maju ke hadapan sebagai satu umat.

Kita insafi bahawa Kemaafan Mutlak tidak wujud. Ia bersemayam di alam lain, di suatu dunia yang jauh dan serba tak ketahuan. Tetapi kenyataan Jacques Derrida tetap meninggalkan jejak yang meresahkan. Ia membuat kita menatap realiti dengan segala kebrutalan hidup – jika Kemaafan Mutlak tidak wujud dan kita takkan dapat mengecapinya, maka apa lagi yang kudus di dunia yang bergelumang dengan sengsara dan penuh fana ini?

Categories
SASTERA

Resipi rahsia, perempuan Cina dan paya keladi

dalam diri kita sentiasa ada hujan berlari

seperti anak kecil memetik tahun-tahun berlalu

mengisarkan kita kembali dengan ramuannya tersendiri
atas apungan flat white hadapanmu
kita kembali menggauli percakapan
rabitah putih berpusar di lidah kita
tapi kawan, terlalu sukar bagiku
menyeduh kelakian sebagai dewasa
di tanganku selalu ada warna earl grey
kelabu yang tidak kelabu

perang yang tidak perang

hitam yang tidak hitam
tapi keruh tetap keruh dalam uncang kepala
para perempuan senang berbicara
tentang berapa saiz cawan di dada
dan lelaki selalu senang bergamot rahsia
hingga hirupan ke dasarnya waktu minum kita percuma

gusimu menyiat sumbing, retak dan luka

katamu; kita perlu memilih

antara paun 9, 10, 11, 12, atau 14

lalu menggolekkannya dan menjatuhkan 10 pin runsing
(bukankah skala kesakitan sukar ditafsir 10

dan skala ujian dass lebih daripada 10?)
tapi kawan, tanganku terlalu lemah

dan keputusanku terhayun luar sasaran
dan kita sering tidak berani meluruskan pilihan
kerana itu, mulut kita berakhir

dengan oreo cheese dan white chocolate gateau
malah aku kira menyerongkan perasaan dengan menulis sajak selalu lebih mudah

dalam dirimu tahun-tahun berlalu berlari mahu kembali jadi parut di siku anak kecil 10 tahun seperti hujan hidup lepas di saliran.

Umbra F.T. Penumbra

Categories
SASTERA

Rindu yang menyamar

Oleh Fakrull Halim

RINDU kadang-kala menyamar memakai rupa berbeza.

Seperti apabila aku minta ibu menggoreng kayu keramat sahaja sebagai bekal, kononnya lebih mudah dibawa mendaki berbanding nasi lemak ketika dia bertanya kepada aku semalam. Barangkali aku sebenarnya rindu akan kayu keramat ibu yang lama tak dapat aku rasa selama aku tinggal tinggal di asrama.

Aku memamah kayu keramat yang keberapa belas entah.

Lumat dikunyah, makanan di dalam mulut ditelan. Sisa yang melekat di lidah dan pipi kubasuh dengan beberapa teguk air mineral.  Aku melihat kaki, ada lumpur kering dan tanah yang mencemar kasut. Aku menyapu tapak kasut beberapa kali.

Oh. Atau seperti semalam, ketika aku bersetuju untuk mengikut abah mendaki bukit hari ini, aku bukannya suka sangat hendak mendaki, tapi barangkali kerana rindu hendak memakai kasut sukan yang baru tiga kali aku pakai ini. Barangkali.

Abah tersenyum melihatku menjamah kayu keramat. Aku memandangnya semula, dan turut tersenyum.

Jam di tangan kujenguk. Sudah tak banyak masa lagi.  Sebaik melihat aku bangun, abah kembali mendaki dan aku mengikut di belakang.

Sempatkah? Entahlah. Aku tak kisah sangat. Tapi harap-harapnya sempat, sebab abah memang suka lihat matahari terbit dari puncak Bukit Penyamar ini.

Aku melihat abah dari belakang. Abah melangkah luas, dan setiap tolakan kakinya ditekan gagah. Aku cepat-cepat mengubah caraku berjalan, langkah kecil kuluaskan, dan batang kaki kukeraskan untuk menolak badan terus bergerak ke hadapan.

Aku senyum. Aku lebih banyak melihat belakang tubuh abah berbanding tanah. Aku nak jadi macam abah. Gagah, kuat.

Sekejap sahaja lagi, kami akan keluar daripada kawasan yang redup dengan pokok-pokok tinggi dan memasuki kawasan berbatu pula.

Dari satu segi, aku kagum pada bukit. Biarpun begitu banyak pokok memautkan akar di tubuhnya, bukit tak goyah, tetap gagah dan utuh begitu juga.

Ayah juga bagi aku seperti bukit. Mungkin memang begitu Tuhan jadikan seorang ayah: sebagai bukit yang muat dalam setiap pintu dan rumah. Kerana setiap orang memerlukan ‘bukit’, tempat untuk kita berpaut.

Kami mendaki tanpa bercakap apa-apa. Sesekali, abah menoleh memandangku, dan apabila melihat aku masih okey, abah memandang ke depan semula mengetuai pendakian. Seingat aku, sejak kami mendaki tadi, kami belum bercakap apa-apa lagi.

Memasuki kawasan berbatu, setiap langkah kami susun lebih hati-hati. Di sini, pokoknya lebih renek berbanding bawah tadi, mungkin kerana lantainya yang berbatu keras.

Aku memandang jauh ke depan, ke arah sebuah bukit yang bertentangan dengan Bukit Penyamar ini. Kulihat jari-jari matahari sudah terjulur memaut bahu Bukit Sedar di hadapan kami. Bila-bila masa sahaja matahari akan mengoyak ufuk langit di balik bukit sana dan menjulurkan kepalanya.

Sedikit demi sedikit, aku mula dapat lihat rambut matahari yang menggerbang, tetapi wajahnya masih terlindung. Matahari masih memanjat, sekejap lagi dia akan menyerlahkan mukanya yang tersenyum terang.

Barangkali kami tak akan sempat melihat matahari terbit di puncak bukit. Seperti yang aku cakapkan tadi, aku tak kisah sangat. Cuma abahlah, dia yang ajak aku mendaki untuk melihat matahari terbit dari puncak Bukit Penyamar ini. Tapi aku rasa memang tak akan sempat. Adakah salah aku yang kerap berhenti sebab hendak makan kayu keramat?

Tapi, lihat dari sini pun boleh tahan cantik juga pemandangannya. Aku harap abah tak kisah.

Aku menoleh memandang abah. Tetapi abah tidak pun memandang pada matahari yang sedang terbit itu. Sebaliknya abah sedang memandang aku. Aku dapat lihat di tubir matanya ada genang air. Mungkin peluh agaknya …

Abah tiba-tiba menggosok rambutku, dan aku ketawa sambil menepis tangannya. Walaupun aku tak sikat rambut pun tadi, tapi aku tak sukalah dibuat begitu. Aku bukannya budak lagi. Aku pandang abah, dan sepertinya, aku pun ikut tersenyum.

Kami kemudian sama-sama berpaling, melihat ke arah Bukit Sedar.

Ya. Agaknya abah bukannya hendak tengok sangat pun matahari terbit. Mungkin pendakian ini sebenarnya hanya cara abah mewajahkah rindunya yang lama tidak meluangkan masa dengan aku, memandangkan kami sudah lama tak berjumpa. Mungkin begini cara rindunya menyamar.

Dahi matahari sudah mula kelihatan. Sikit sahaja lagi sebelum dapat kami lihat sepasang matanya pula.

Tetapi tiba-tiba, mataku terbuka..

Mimpi.

Aku melepas nafas yang panjang.

Jantung laju mengepam darah, seperti aku benar-benar baru sudah mendaki. Tetapi selain itu, jantungku juga terasa seperti sedang digenggam oleh suatu rasa ketidakselesaian.

Dalam mimpi pun aku tak sempat langsaikan apa yang tidak selesai antara kami.

Aku merenung ke depan, ke arah siling bilik. Tiga bilah kipas siling saling mengejar dalam bulatan. Perlumbaan yang tidak akan ada yang menang, tidak akan ada yang kalah. .

Seperti juga aku, yang harus terus bermain kejar-kejar dengan rasa bersalah terhadap abah. Perlumbaan yang tidak akan tamat sampai bila-bila.

Dalam hati, aku mengutuk diri sendiri. Setelah akhirnya abah muncul dalam mimpiku, kenapa aku tak ambil peluang itu untuk meminta maaf padanya? Atau sekurang-kurangnya berbual dengannya? Atau bercerita khabar ibu padanya? Atau memintanya untuk tinggal dalam mimpiku lebih lama… setidak-tidaknya sehingga kami dapat sama-sama melihat matahari terbit.

Air mata mengalir dari hujung kelopak, turun melalui tepi kepala dan berakhir di lekuk cuping atas telinga.

Mungkinkah abah benar-benar melawat aku dalam mimpi tadi?

Ataukah tadi, hanya rindu yang memakai wajah abah sebagai mimpi?

Aku pejamkan mata rapat-rapat, walaupun aku tahu aku takkan boleh lelap lagi.

Categories
SASTERA

Mitos kambing hitam

Kambing hitam yang semakin tua
memunggah reban setianya
telah lama tinggal bersama mimpi
bermain catur dengan mentari
dan mengutip bayang-bayang pelangi.

Kami seperti melihat deretan mereka
yang menunggu pintu dibuka
di sebuah gelanggang terbuka
ada kerusi bagai citra fatamorgana.

Bunyi yang riuh masuk ke mata
telinga seperti tidak percaya
perbualan yang baharu
dengan cerita lapuk yang gerhana.

Bagai telah muktamad
kambing hitam yang letih
ingin menukarkan warnanya
kemudian melupakan
sumpahnya yang dahulu.

Cerita kambing hitam seperti basi
walaupun masih terasa panas
dihimpit oleh kekecewaan
dalam sejarah perjuangan.

Solihin Osman
Bandar Puncak Alam, Kangar

Categories
SASTERA

Dalam kepala kita ada sastera

Oleh Nik Aidil Mehamad

Jasmin yang kukenal pada satu pagi, tertidur di atas timbunan sayur buruk dalam pasar basah. Aku bawa Jasmin naik ke bilik sewaku yang terletak di atas kedai serbaneka. Aku memapah Jasmin di sepanjang kaki lima bilik-bilik sewa. Di hadapan sebuah bilik, bersebelahan dengan bilik sewaku. Aku berhenti memapah Jasmin kerana Jasmin mengaduh sakit. Kedengaran penghuni dalam bilik sebelah bilikku sedang membakar dadah, bau dadah meresap masuk dari ruang lompong siling bilikku.

Luka-luka di pipi Jasmin dicuci dengan iodin lewat pagi. Darah yang sudah mengering, torehan sepanjang dua inci di bahagian dahi. Sepasang mata yang terpancar kebuntuan meresap masuk ke dalam sepasang mataku apabila mata kami bertentangan. Azan subuh belum habis dilaungkan tukang azan, ingatan kepada Miranda menjelma apabila aku terpandang rambut palsu Miranda yang ditiup angin dari luar bilik. Perasaan janggal mencekik leherku – kewujudan Miranda terasa ada dalam bilik pada waktu itu.

Krismas lagi seminggu, Miranda pulang dan menanti kedatangan Krismas dengan keterujaan yang bertambah pada mulanya. Setiap pagi sebelum Miranda menyalakan rokok dan mengamati burung-burung kecil berterbangan seperti lingkaran ubat nyamuk di balkoni bilik, Miranda akan memangkah kalendar yang digantung di meja solek.

Miranda bangun dari katil, melangkah ke meja solek. Tubuh kurusnya membelakangiku dan aku mengamati kemarahannya yang masih terbaring di katil. Tulang belakang di tubuhnya melayangkan memori yang jauh di kampung halamanku, yang sudah sedekad aku tidak pulang. Bonjolan-bonjolan tulang belakang seperti tar jalan di kampungku, membawa gundah kepada orang-orang tua yang pulang lewat malam dari kedai kopi.

Kemarahan Miranda masih tersisa di pipinya yang kemerahan seperti juga lipstik yang tercalit di bibirnya — menyala. Kataku dengan nada kosong kepada Miranda, “kau lari dari sajak terlalu lama Miranda, lima tahun kau menghilang, tanpa e-mel, nada dering telefon kegemaran kau masih tidak ditukar yang baru, aku menunggu kau dengan ucapan helo yang membahagiakan.”

Miranda masih berdiri di meja solek, di luar bilik aku dengar suara Jasmin – menyanyi dalam bahasa bukan dari bahasa ibundaku. Cahaya matahari masuk dari tingkap bilik membiaskan bayang kurusnya di dinding yang tergantung poster Jim Morisson tidak berbaju.

Miranda tidak lagi menyarungkan rambut palsu kemerahannya. Rambut palsu yang tergantung di cermin solek bertahun-tahun. Selalu juga aku pakainya dan merayau-rayau pada waktu malam. Ada yang memanggilku dengan panggilan nama “Miranda” apabila aku menyarungkan rambut palsunya merayau-rayau di celah-celah lorong bangunan kedai lama pada waktu malam. Sejak itu aku tidak lagi keluar dengan rambut palsu Miranda yang tersarung di kepalaku.

Lima tahun lepas, pada malam Krismas yang tidak diraikan kami — Miranda meninggalkan bilik ini dan juga siang yang dingin ini. Miranda meninggalkan bilik ini lagi. Dia menyarungkan kot labuh berwarna ungu tua dan memulas tombol pintu bilik sebelum berlalu pergi — tanpa ucapan selamat tinggal atau kata-kata baik untukku. Aku tahu kemarahannya kali ini tidak dapat dipujuk dengan alasan apa-apa pun. Kata-kataku seperti gasolin yang menyemarakkan lagi api amarah Miranda- menyala-nyala.

Miranda adalah matematik, logika-logika algebra yang aku jarang ketemu jawapannya ketika di bangku sekolah, namun ia mengasyikkan. Dan tidak lama selepas itu, aku lari dari matematik seperti juga Miranda, lari dari puisi. Kami selalu menghabiskan waktu lapang membaca puisi-puisi Tagore, selalunya pada jam 12 malam ketika penghuni bilik sebelah berdengkur dengan keras. Kata Miranda kepadaku, “Aku dipeluk Tuhan apabila kata-kata Tagore terpancul dari mulutmu, Elena.”

Kedengaran suara perbualan di luar bilik sewaku. Aku bangun dari katil, tubuhku panas, kaki tidak terasa mencecah lantai, bila-bila masa saja tubuhku tersembam ke lantai. Di lubang pintu, aku mengintai Miranda yang sedang memeluk Jasmin di tangga rumah kedai. Dada mereka bergeseran sebelum sebelum Miranda mengundurkan badannya dan melambai kepada Jasmin. Susuknya tidak lagi kelihatan dari mata kiriku yang masih mengintainya dari lubang pintu bilik, sebelum dia berlalu pergi, Miranda menjeling tajam ke muka pintu, seolah-olah dia tahu aku sedang mengintainya di lubang pintu dengan sepasang mata kemerahan.

Mesin-mesin yang merengek dan hentakan kaki manusia yang berkeliaran dalam wad — mencemaskan, bau ubat-ubatan yang menusuk masuk ke dalam rongga hidungku. Aku terbaring di atas katil dan mengamati Jasmin yang berdiri di hadapanku dengan pakaian gimnasitik yang melekat keseluruhan tubuh kecilnya. Antara sela-sela tangisan kedengaran alunan zikir yang tidak kufahami tetapi menenangkan diriku seperti juga bau cadar dan selimut hospital — menemani aku masuk ke dalam mimpi yang baru.

Kata Jasmin, “seperti balasan ke atas kesalahan kau kepada Miranda.” Badanku menggigil, mulutku berbuih. Jasmin membawaku ke hospital dengan menahan sebuah teksi. Jelingan mata pemandu teksi kulihat dari cermin pandang belakang sebelum dia membakar kretek — bau cengkih bertebaran dalam kereta.

Minit-minit terakhirku sebelum aku tidak dapat lagi berkata-kata walaupun satu baris puisi Tagore yang berlegar-legar dalam kepalaku ke telinga Jasmin, yang kudengar dalam kepalaku sekarang suara Miranda, bukanlah suara amarahnya tetapi getaran kata-kata Tagore yang terpancul dari mulutnya selama kami berkongsi hidup. Dan paling melucukan, kami berkongsi rambut palsu, aku gemar dengan rambut palsu kemerahan Miranda dan Miranda pula gemar dengan keunguan rambut palsuku.

Jasmin menari di hadapanku dengan tarian yang mengetarkan jiwa.

Categories
SASTERA

Tiga lelaki di jeti

Oleh Johan Radzi

Tiga lelaki yang selesai memancing di muara Sungai Klang menyimpan joran mereka, menunggang motosikal masing-masing, dan menghala ke jeti. Di situ, sebuah warung masih lagi terang. Beberapa orang masih duduk sambil berbual-bual dan makan. Tiga lelaki itu parkir kenderaan mereka berhadapan titi dan melabuhkan punggung di bangku kayu.

Air berkocak-kocak di gigi tebing. Kapal-kapal teroleng bawah bulan purnama yang sepenuh terang. Semilir menghanyutkan bau hanyir laut dan tanah-tanah yang jauh ke serambi jeti.

Lelaki yang paling tua dalam kalangan mereka menggulung rokok pertama. Budiman, namanya. Seorang asal Jawa, yang telah lahir dan menua di wilayah ini. Bersamanya seorang lelaki separuh umur, berbadan tegap dan sedikit boroi. Di kampung ini orang memanggilnya Halim. Kaki botol. Buruh kasar di kilang automobil. Mereka berbual dan ketawa.

Kemudian, mereka perasan seorang lelaki yang duduk di sudut warung tersebut. Halim menggeleng-geleng.

Tentu dia lebih murung sekarang.

Budiman menyedut asap: Apa maksudmu?

Kau tak dengar? Perempuan itu sudah pulang.

Siapa?

Haryati. Aku dengar khabar daripada orang-orang di pekan, Haryati sudah kembali.

Budiman menjuihkan bibir. Dia menenyeh rokok di asbak, lalu didekapkan tangan sambal melihat lelaki di sudut warung itu meneguk kopi.

Azfar, lelaki yang termuda dalam kalangan mereka menjegilkan kening. Siapa perempuan ini?

Tomyam maggi dan tiga gelas teh halia sampai di meja.

Itu sebelum kau dihantar ke sini, Azfar. Dulu, ada perempuan yang paling cantik di desa ini. Namanya Haryati.

Lima belas tahun lalu.

Televisyen menyiarkan saluran yang samar-samar: kejatuhan pasaran minyak kelapa sawit. Dijangka lebih banyak peladang yang menganggur menjelang tahun hadapan.

Lelaki di sudut warung itu masih sunyi. Azfar melihat duka yang terkolam di bening matanya. Dia tahu lelaki separuh umur ini, dan dia telah mendengar banyak cerita baik tentang lelaki yang bekerja di dermaga ini.

Apa jadi, sebetulnya Pak Budiman?

Lelaki itu dan Haryati berasal dari desa yang sama, di wilayah ini. Kedua-dua keluarga mereka penghijrah Acheh yang berlabuh di rantau kita untuk membina kehidupan baru. Seperti anak-anak muda, mereka jatuh cinta. Seluruh kampung tahu tentangnya. Haryati perempuan jelita. Banyak lelaki ingin menyarung cincin pada jemarinya, banyak pula anak gadis yang mencemburuinya. Tetapi hatinya sudah terpaut pada lelaki itu, yang meskipun bukan dari keluarga berada, mempunyai akhlak dan pekerti yang mulia. Mereka kelihatan cocok sekali.

Halim terus mengunyah. Azfar mendengar dengan tekun.

Suatu hari, kampung mereka dilanda kebakaran. Rumah demi rumah rentung akibat maraknya api ditiup semilir. Termasuk rumah keluarga Haryati. Bapaknya tidak sempat diselamatkan daripada api. Apabila dikejarkan di hospital, bapaknya sudah diisytiharkan mati. Kesesakan nafas. Asap bukat telah membunuhnya.

Semenjak itu, segalanya berubah. Lelaki itu pada ketika itu sedang bekerja tidak menentu. Pekerjaan terakhirnya adalah seorang tukang punggah di gudang milik orang Cina berhampiran Meru. Kematian ayah Haryati telah mengubah landasan hidup beliau.

Ibu Haryati, yang pada awalnya menyokong pernikahan Haryati dengan lelaki tersebut, tiba-tiba membatalkan rancangan. Dia tidak mahu melihat Haryati berkahwin dengan lelaki dari desa ini, yang pada fikirannya masih miskin dan kolot. Pada waktu yang sama, seorang doktor yang bertugas di hospital umum datang masuk meminang. Lelaki tersebut datang dari keluarga yang bagus dan punyai kedudukan yang elok. Haryati bakal menjadi isteri ketiganya. Atas desakan sang ibu, Haryati terpaksa bersetuju.

Azfar menggeleng kepala. Halim yang telah menghabiskan makanannya mengelap mulut dengan tisu. Barangkali dia sudah kerap mendengar cerita ini.

Mereka bernikah tidak berapa lama selepas itu. Khabarnya, doktor itu punyai tugasan di negara luar. Haryati mengekori sekali. Di Filipina, kalau aku tak silap. Haryati hamil ketika itu. Khabarnya, pernikahan itu tidak bahagia.

Apa jadi kepada lelaki itu, tanya Azfar.

Jatuh murung. Dia sakit buat masa yang lama. Berbulan-bulan juga dia tidak mahu keluar bilik. Aku terpaksa memujuknya berkali-kali. Kemudian dia jadi sasau dan sedikit gila. Pernah suatu masa, dia ingin menjerut lehernya di Tanjung Harapan!

Sampai begitu, sampuk Azfar. Begitu tingginya cinta.

Dia masih meyakini bahawa wanita itu mencintainya. Kami tak membantah. Tetapi apakan daya, dia hanya seorang manusia. Dia tidak berdaya melawan takdir keras…

Budiman menyuap makanan ke mulut. Kini, lelaki itu sudah beransur pulih. Dia masih bekerja di dermaga, mengangkat dan memunggah barang. Dia juga banyak libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kemasjidan. Tetapi, sampai sekarang juga dia masih belum berumah tangga.

Kasihan dia.

Beberapa tetamu sudah pun mulai beredar. Ketiga-tiga lelaki membayar makanan dan berlalu. Lelaki itu masih di posisi sama. Pandangannya dilemparkan ke jeti, ke lautan lepas yang serba hitam dan gelap. Nun jauh ke horizon yang semakin tenggelam di Pantai Acheh di seberang.

Halim membonceng motor Azfar sambil menjinjit baldi yang berisi tangkapan mereka. Rumah mereka sejalan. Bagaimana urusanmu di sekolah hari ini, lelaki boroi itu bertanya.

Baguslah, sudah tiga bulan pertama. Setakat ini aku tiada masalah dengan pengurusan. Mujur juga desa ini berdekatan dengan sungai. Aku memang cari kaki pancing.

Motosikal mereka membelah dingin pekan. Azan subuh pun berkumandang dari seberang kampung. Mereka melalui beberapa lorong dan lebuh yang sunyi dan masing-masing tidak bercakap sepatah kata. Hanya bunyi tayar yang bergolek di atas jalan aspal yang berbatu-bata.

Setelah sampai, Azfar menurunkan Halim. Dia sempat bertanya, bagaimanakah rupa Haryati ini? Begitu cantikkah dia?

Setelah Azfar mematikan enjin, lampu-lampu di lorong pangsapurinya sudah dipadam – menandakan jejak siang yang sedang menanti di persimpangan. Dia menaiki lif dan melalui lorong arasnya. Dia dapat tangkap bau setanggi yang baru dibakar jirannya, serta hangit tahi kucing di sisi tangga. Dia menggeleng kepala dan membuka pintu rumah.

Perlahan-lahan, dia tanggalkan kasut di ambang pintu. Isteri serta bayi sulungnya sedang terlena di kamar. Dia seorang guru muda, yang baru dihantar ke wilayah ini untuk mengajari anak-anak persekolahan. Dia meletakkan baldi di dapur, mencuci muka, lalu menyandar pada kerusi di ruang tamu. Nafas panjang dihela.

Dia telah melihat kelibat Haryati, dua hari lepas ketika di pekan. Wanita itu sedang menjinjing tangan anak kecilnya, meredahi siang yang berbahang dan kereta yang berculang-caling. Masih tersisa keanggunan pada wajah perempuan yang sedih dan hiba ini. Dia tidak dapat bayangkan kejelitaan wanita ini pada usia muda. Tiba-tiba, Azfar diserbu rasa cemburu yang berat. Dia faham sekarang, penderitaan lelaki itu dan beban yang digalang pada bahunya selama bertahun-tahun.

Sebelum bilah matahari pertama menembusi jendelanya, guru muda itu sudah pun terlena. Azfar tidak bermimpikan apa-apa sepanjang tidurnya pagi itu.

 

 

Categories
SASTERA

Mengejar kenangan yang melompat dari matryoshka

Kenangan melompat kala kubuka boneka
matryoshka; ia menuruni eskalator
dan aku mengejar laksana polis-penjenayah
menyusuri lorong espionaj KGB
mengintip rahsia dari pedestrian
menaiki metro kuantum menerobos waktu
dan membaca sejarah.

Gemeretak gerabak Metro: laju dan jitu
koc terhenti sejenak di stesyen fikir
teladan naik menjadi penumpang
menurunkan duka sebelum berlalu;
berselisih Moskovich ke destinasi peribadi
di rel dan perhentian maknawi yang berselirat:

Tukul dan sabit di dinding-dinding
menggemakan nyanyian rintihan
penyusun batu, sasterawan, lasykar
dan rakyat sejauh Siberia yang bergema.

Di bursa, Rubel dan Kopek berjudi nasib
naik-turunnya Dolar atau Euro.
Ketika Lenin mencicipi kopi pahit,
sisa tertumpah di dada Kremlin
melukiskan peta sejarah di kanvas global.

Di sesak milieu, kenangan meloloskan diri
sedang larianku terhenti di tebing mata
Katrina. Ada lorong dan kamar rahsia di biru
iris;aku buntu: apakah kod kuncinya?

Metro terhenti lagi di Arbatskaya.
Di koceknya, aku temui diriku
lapis terdalam boneka matryoshka.

Khairil Idham Ismail

Categories
SASTERA

Mematahkan kaki seorang penulis

Oleh Anas Mohd

 “KALAU dia ke mari kau tahukan apa yang perlu kau buat?”

Talib sedang berbaring seraya mukanya melekat di skrin telefon, boleh difahami betapa acuh tak acuhnya dia akan pertanyaan Sazeli dan hanya bertindak balas itupun apabila Sazeli menguis belakang badannya dengan kaki.

“Ya, tahu.”

“Apa dia?”

“Pukul kakinya dengan kayu.”

Itulah aksi-reaksi paling efektif yang mereka boleh fikirkan setelah kedua-duanya nekad untuk tidak lagi membaca mana-mana esei karangan Lan Jering. Sekurang-kurangnya dengan mengundang si penulis makan tengahari di rumah mereka dan kemudian memukul kakinya sehingga lunyai, mereka berupaya menghindar diri daripada memberikan ulasan buruk di goodreads.com. Jangkaan mereka: orang tua itu akan menghabiskan masanya di atas katil hospital selama lima ke enam bulan untuk membaca dan kembali menulis dengan lebih cemerlang.

Sukar bagi Sazeli untuk mendepani realiti akan esei terkini Lan Jering yang sudah tidak keras macam dulu-dulu; tiada lagi carutan dan makian. Bagi Sazeli, dia paling gemarkan perkataan “laknat” dalam esei-esei berapi Lan Jering. Talib setuju dan tambahnya, jika “laknat” juga boleh menjadikan sebuah sajak nampak urban, sedap, dan jahat apatah lagi karya bukan-fiksyen. Bezanya esei-esei kali ini terlebih humor dan ketakselesaannya sebabkan Sazeli sembelit dan berlama-lama di dalam tandas. Lembik.

Sebetulnya gelaran “Lan Jering” hanya timbul ketika mereka tidak menyukai karyanya yang terkini, dan ketika teruja menggemari, mereka pernah bersetuju tentang nama sebenar si penulis jika dinobatkan sebagai Sasterawan Negara, “Sedap sungguh kalau kita memanggilnya sebagai SN Datuk Haslan Juraimi.” Gambarkan bagaimana ketakjuban mereka ketika itu sehingga terdorong menjulang-julang buku esei terbaik Lan Jering berjudul “Terbangkan Aku” sampai mencecah siling.

Ada dua faktor kukuh mengapa penulis seperti Lan Jering harus dipukul kakinya.

Pertama, Sazeli bekas pembaca fiksyen, berbeda dengan Talib seorang penyair aktivis yang giat memperjuangkan honorarium pentas. Sebagai pembaca fiksyen, Sazeli juga pernah mengidolakan seseorang. Kehampaanya bermula ketika si novelis enggan menjawab persoalan Sazeli dari e-melnya yang usang, berkenaan salah satu dialog dalam novel mahakaryanya (seperti pujian sesetengah orang), perihal segregasi kantin halal dan tidak-halal. Entusias Sazeli yang tak lelah mengirimkan e-mel mungkin meruntun hati penulis yang kemudian bersetuju untuk bertemu di lokasi sulit pada waktu yang ditetapkan.

Pertemuan dengan novelis ini, mulanya difikirkan sia-sia, atau sebetulnya sesuatu yang tidak akan berlaku. Sazeli tertanya-tanya adakah penulis ini, yang dalam e-melnya semalam, hanya berniat untuk mempermainkan atau terpaksa berjanji palsu lantas menciptakan fiksyen bahawa pertemuan mereka harus diadakan di gazebo hijau terletak bersebelahan Pustaka Desa. Kelewatan si novelis telah menimbulkan kutukan-kutukan aneh di dalam kepalanya, misalnya: aku berharap agar kaki kau putus kedua-duanya dan ketika itulah barangkali baru kau sedar keemasan waktu-waktu yang pernah terdetik dalam hidupmu. Sama ada kutukan Sazeli termakbul atau sebaliknya, si penulis tetap datang tetapi dengan mengengsot, dan terlihat lebih rendah dari manusia kebanyakan. Waktu itulah terbit idea di kepalanya bahawa penulis terbaik ialah mereka yang mengoptimumkan penggunaan tangan.

Kedua, idea Sazeli disokong oleh buah fikir Talib dengan persoalan berikut, “Atau sebenarnya dia tiada musuh?” Sazeli mencekak janggutnya sendiri dengan kehairanan, “Kebijakan kau ini kadang-kadang tak pernah menyempat. Tapi apa kaitannya?”

“Dia perlukan musuh supaya dia boleh kenal semula dirinya.”

“Siapa beritahu kau semua ini?”

Talib keluarkan sekeping gambar bersaiz pasport dari dompetnya. “Ini mat saleh jambang beruban dari Itali, namanya Eco.”

“Fasis?”

“Berat tuduhan awak tapi saranan arwah supaya kita menciptakan musuh untuk mengenal diri sendiri adakah berbunyi macam fasis?”

“Label sekadar buat perbualan kita terdengar kool,” sesekali Sazeli mengusap janggut, “tapi bukan ke Lan Jering pernah tulis esei tentang ini?”

“Cerpenlah. Dia tulis pasal permusuhan adalah kesilapan tuhan.”

“Dia menulis cerpen? Aku patut sedar itulah titik kejatuhannya.”

“Dah kerjanya menulis.”

“Mula berimaginasi itu salah buat penulis non-fiksyen.”

“Tapi cerpen dia pun bagus. Awak tahu tak Najib dapat idea 1Malaysia selepas membaca cerpen itu?”

Sazeli menganga sambil menuding ke anak tekak, “Sudahlah tema perpaduan dan nasionalisme membosankan, pembacanya pun sama.”

“Jadi kita bersetuju dengan menciptakan musuh?” tanya Talib.

“Dia mungkin anggap kita musuh tapi (simpan dalam ingatan bahawa kerja kita) ini kerja yang berbaloi.”

Sazeli menunggu di ambang pintu, dia masih 50-50 dengan janji penulis bernama Lan Jering. Talib masih berbaring. Jarinya menempel di skrin fon sebelum tiba-tiba dia berguling resah lantas mendekatkan mulutnya di telinga Sazeli. Talib berbisik bahawa melalui Facebook Messenger, Lan Jering memberitahu akan lewat 15 minit kerana kesesakan jalan raya. Namun dalam beberapa saat kemudian penulis ganyut itu sempat memuat naik video dirinya bertelinga arnab di aplikasi Tik Tok.

“Pelan kita boleh berhasil – jika penulis itu berhenti bermain telefon.”

“Kenapa kita tak pukul saja tangannya?”

Categories
SASTERA

Ramadan yang memutih dalam rumahmu

Jemari runcing kelaparan
memadamkan kandil kecilmu.

Dalam kamar matamu, tulang cencaru
dan cebisan mentah sayur
ditadah ibu.

Ramadan seperti kuning rembulan
yang tergantung di atap rumah,
Ramadan menyalakan cahaya putihnya
dalam genang isi rumah.

Seperti tahun-tahun yang telah kautunggangi
kau pun mengajak ibu ke tong sampah,
memenuhkan mangkuk hidupmu
dengan keberkahan yang selalu
dibuang dan dilupakan orang.

Wardah Puteh
Sepang, Selangor