Categories
ADN SELANGOR

ADN Hulu Kelang serah 36 tong sampah kepada penduduk pangsapuri PKNS AU1A/1

GOMBAK, 20 FEB: Sebanyak 36 unit tong sampah disumbangkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang kepada penduduk pangsapuri PKNS AU1A/1 di sini, hari ini.

Wakil rakyatnya memaklumkan sumbangan itu merangkumi 12 tong sampah bersaiz besar dan 24 lagi bersaiz kecil.

“Terdapat empat blok kediaman di sini di mana setiap blok kita berikan tiga bersaiz besar dan enam bersaiz kecil.

“Pemberian ini adalah permintaan penduduk yang mana mereka menitik beratkan kebersihan,” kata Saari Sungib selepas menyampaikan sumbangan berkenaan.

Saari berkata pemberian di perumahan berkenaan adalah kali kedua dalam tempoh beberapa tahun ini.

Katanya terdapat perbezaan ketara di mana tahap kebersihan di perumahan berkenaan bertambah bersih dari sebelumnya kerana mempunyai tong sampah yang mencukupi.

Categories
ADN SELANGOR

40 pelajar susah di DUN Hulu Kelang dapat bantuan sekolah

GOMBAK, 20 FEB: Seramai 40 pelajar kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang menerima bantuan kembali ke sekolah hari ini.

Wakil rakyatnya Saari Sungib berkata setiap seorang diperuntuk RM100 dengan memilih sendiri kelengkapan di Pasaraya Hari-Hari di Taman Permata di sini.

“Kita beri peruntukan keseluruhan RM4,000 dan mereka boleh pilih beg, baju, alat tulis atau kasut yang diinginkan. Kita khususkan kepada pelajar sekolah dan Persatuan Kebajikan Ar-Rayyan Malaysia diberi tanggungjawab menguruskan program itu hari ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan tong sampah kepada penduduk Flat PKNS AU1A/1 di sini.

Saari berkata bantuan sama diagihkan secara tunai tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memanfaatkan 40 pelajar.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa tubuh sukarelawan, galak anak muda sertai misi bantuan

KLANG, 18 FEB: Dewan Undangan Negeri Sentosa melancarkan kumpulan sukarelawan sendiri minggu hadapan bagi membantu penduduk berdepan masalah.

Wakil rakyat Dr G Gunaraj berkata pasukan dikenali ‘Khidmat 100’ itu bukan hanya berbakti kepada masyarakat sekitar DUN sahaja sebaliknya sedia digerakkan ke seluruh negara.

“Penubuhan ini susulan pelancaran pasukan Khidmat Untuk Malaysia (Khidmat) pada awal bulan ini selain kita mahu anak muda aktif membantu golongan masyarakat.

“Kumpulan sukarelawan ini dilancarkan pada Sabtu minggu hadapan melibatkan 100 ahli untuk peringkat awal. Kita jangka lebih ramai akan sertai pasukan ini ,” katanya.

Pada 6 Februari Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Khidmat bagi membantu kebajikan rakyat terutama ketika berdepan bencana.

Inisiatif yang merupakan kesinambungan penubuhan Sukarelawan Selangor (SERVE) itu bertujuan meringankan beban dan derita masyarakat selain melahirkan sifat kemanusiaan dalam diri ahlinya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Permatang rai warga emas lahir Februari, agih baucar beli-belah RM100

SHAH ALAM, 16 FEB: Peserta Skim Mesra Usia emas (SMUE) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang yang lahir bulan ini akan menerima baucar Jom Shopping RM100 mulai Isnin depan.

Agihan berperingkat selama dua hari diberikan di pintu masuk Pasaraya Best Fresh Mart Pasir Penambang mulai 9.30 pagi hingga 12 tengah hari, kata Ahli Dewan Negerinya (ADN) Rozana Zainal Abidin.

“Peserta dikehendaki mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya di Facebook.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Khidmat DUN Permatang di talian 03-3281 2069 atau
010-557 3736.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar beli-belah dan khairat kematian.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk sebanyak RM27.5 juta bagi kelangsungan program tahun ini.

Berikut agihan baucar mengikut lokaliti (DUN Permatang):

21 Februari

-Bukit Belimbing
-Bestari Jaya
-Blok COJ
-Blok DKPV
-Blok EQSW
-Komuniti India Permatang
-Pasir Penambang
-Tanjong Karang
-Kuala Selangor

22 Februari

-Bagan Sg Yu
-Parit Serong
-Raja Musa
-Sg Gulang-gulang
-Sg Terap
-Seri Tiram Jaya
-Tiram Setia
-Ujong Permatang
-Sungai Yu

 

Categories
ADN SELANGOR

50 murid terima kelengkapan sekolah sumbangan DUN Kampung Tunku, NGO

SHAH ALAM, 16 FEB: Seramai 50 murid sekolah rendah yang tinggal di Pangsapuri Sri Aman, Petaling Jaya menerima perkakasan sekolah, kelmarin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku berkata bantuan bagi meringankan beban ibu bapa yang masih terkesan Covid-19 itu disumbangkan badan bukan kerajaan (NGO) For The Kids dan Angkatan Demokrat.

“Antara barangan yang diberikan seperti botol minuman, bekas makanan, perkakasan menulis, peralatan mewarna dan cecair pembasmi kuman.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dan membantu si anak-anak kecil dalam mengejar ilmu,” kata Lim Yi Wei ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini dilaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku telah mengagihkan lebih 2,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar yang terkesan susulan Covid-19.

Yi Wei berkata bantuan itu mula diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan berterusan demi memastikan tiada pihak terputus bekalan asas.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk susah di DUN Meru dipelawa mohon bantuan sekolah

SHAH ALAM, 15 FEB: Warga Meru yang kurang berkemampuan dipelawa memohon bantuan Kembali ke Sekolah 2022 di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu selewat-lewatnya Jumaat ini.

Bantuan terhad untuk 60 penyertaan terawal khusus bagi pelajar sekolah rendah dan menengah dengan pendapatan isi rumah bawah RM2,000 serta ibu bapa pengundi atau pemastautin Meru.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, pusat khidmat itu memaklumkan pemohon juga mestilah bukan penerima kad Kasih Ibu Smart Selangor atau Lembaga Zakat Selangor.

Mereka yang layak perlu mengemukakan salinan kad pengenalan ibu atau bapa dan anak, surat cerai atau sijil kematian, penyata gaji atau pengesahan pendapatan dari ketua kampung.

“Sekiranya syarat-syarat mencukupi, sila bawa dokumen tersebut dan terus isi borang di pejabat,” maklum pusat khidmat tersebut.

Borang boleh didapati Pusat Khidmat Masyarakat Meru, No 1, Jalan Nenas Sarawak KU10, Taman Saujana off, Persiaran Hamzah Alang, Klang pada waktu pejabat.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa galak aktiviti berkebun, tingkat keceriaan komuniti setempat

SHAH ALAM, 15 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa akan mengadakan pertandingan keceriaan di Jalan Kebun Nenas, Klang berikutan kejayaan Kebun Komuniti di kawasan berkenaan.

Pengumuman itu dibuat Ahli Dewan Negeri (ADN) Dr G Gunarajah dan berkata, inisiatif itu diharap dapat mengekang aktiviti pembuangan sampah haram, selain menggalakkan masyarakat untuk berkebun sekali gus menjana pendapatan komuniti setempat.

“Seramai 60 peserta terbabit dalam empat kategori dipertandingkan iaitu kebun tercantik, kebun kreatif, kebun terbersih dan papan tanda menarik di lot masing-masing.

“Sebagai motivasi kita sediakan hadiah lumayan kepada mereka,” katanya kepada Media Selangor, kelmarin.

Beliau memaklumkan pihak Kerajaan Negeri turut menyumbang baja kompos kepada peserta dan ia adalah kali ketiga bagi kawasan berkenaan.

 

Categories
ADN SELANGOR

ADN Sungai Ramal kongsi rezeki agih hamper, angpau Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 14 FEB: Masyarakat Cina di Kajang Utama dirai Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal sempena Tahun Baharu Cina, kelmarin.

Mazwan Johar berkata seramai 40 tetamu hadir dengan mereka menerima hamper bernilai RM100 dan juga angpau.

Katanya majlis itu berlangsung dengan meriah walaupun program diadakan dalam suasana ringkas serta mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Alhamdulillah, sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Sungai Ramal telah diadakan dengan kehadiran seramai hampir 40 orang tetamu dari kaum Cina.

“Moga sumbangan yang diterima ini dapat memeriahkan lagi sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di DUN Sungai Ramal,” katanya di Facebook.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Bukit Lanjan bantu wanita barah serviks dapat rawatan di PPUM

PETALING JAYA, 14 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan membantu golongan wanita yang didapati positif Ujian PCR Virus Papiloma Manusia (HPV) Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim semalam bagi mendapatkan rawatan susulan.

Elizabeth Wong berkata mereka akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani rawatan itu sehingga pulih sepenuhnya.

“Kita hantar mereka ke pusat itu dan ditanggung sepenuhnya Yayasan ROSE. Kita akan buat susulan dengan keputusan dan kesan ujian saringan selain memastikan semua pesakit dijaga sepenuhnya.

“Untuk hari ini (semalam), sambutan diterima menggalakkan dan tidak menyangka wanita kini semakin prihatin kerana saringan serviks kurang diberikan perhatian,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong bercakap ketika sidang media selepas program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Elizabeth berkata pihaknya bercadang menganjurkan saringan buat kali kedua pada Mei depan supaya lebih ramai wanita menerima manfaat sekali gus dapat mencegah barah serviks.

Terdahulu, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud hadir merasmikan Program PCR Ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Damansara Damai semalam.

Program itu merupakan kerjasama antara Pusat Wanita Berdaya (PWB), Yayasan ROSE dan Malaysia Women Marathon.

Sementara itu, Penyelia PWB Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan Juliana Abu Bakar berkata tujuan saringan diadakan untuk beri kesedaran kepada golongan wanita kepentingan mencegah barah serviks.

“Kita sasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan di pusat perumahan rakyat (PPR) menjalani ujian secara percuma.

“Hasil soal selidik mendapati majoriti daripada mereka tidak pernah melakukan saringan tersebut,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN jejak warga emas rumah ke rumah daftar SMUE

SHAH ALAM, 13 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang melawat rumah warga emas setiap bulan bagi memperkenal Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada yang layak.

Inisiatif itu berikutan pendaftaran warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit masih rendah dengan hanya sekitar 9,000 orang setakat ini, jelas Azmizam Zaman Huri.

“Selain ziarah dan bertanya khabar kepada warga emas, saya turut memperkenalkan skim ini, yang boleh didaftar di mana-mana Pejabat Khidmat Masyarakat DUN,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum itu, beliau bersama Persatuan Penduduk Kota Bayuemas menziarah dan menyerahkan keperluan asas kepada warga emas kurang berkemampuan selain membantu mendaftarkan SMUE.

Skim tersebut diperkenal sejak 2008 khusus buat warga emas berumur 60 tahun ke atas atau orang kurang upaya (OKU) berumur 21 tahun ke atas.

Setiap ahli akan menerima baucar hadiah hari jadi sebanyak RM100 dan tabung khairat kematian RM500.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Kuala Kubu Bharu agih bakul makanan, ujian kendiri

SHAH ALAM, 13 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu mengaktifkan semula agihan bakul makanan dan ujian kit kendiri kepada pesakit Covid-19 di kawasan tersebut.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata agihan bakul makanan bernilai RM100 itu susulan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

“Pesakit Covid-19 ini menjalani kuarantin di rumah dan tidak dapat keluar untuk membeli keperluan harian. Oleh demikian, kita menghubungi pesakit dan bertanya barangan diperlukan mereka.

“Agihan bakul makanan ini tidak aktif sejak November hingga Januari. Namun, apabila kes meningkat, kita mula agihkan bakul makanan dan ujian kit kendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Kee Hiong berkata, selain pusat khidmat masyarakat, agihan turut dibuat menerusi ahli majlis dan ketua kampung yang membantu dalam mengesan pesakit Covid-19.

“Selain itu, kita turut mengedarkan 400 kupon beli-belah kepada keluarga berpendapatan rendah sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini,” katanya.

Sebarang pertanyaan, masyarakat boleh menghubungi pusat khidmat masyarakat DUN Kuala Kubu Bharu di talian 03-60645505.

Categories
ADN SELANGOR

Pusat kebajikan, persatuan di Ampang terima sumbangan wang tunai

SHAH ALAM, 13 FEB: Sebanyak RM70,000 disumbangkan kepada rumah kebajikan serta persatuan di Ampang pada Jumaat bagi kegunaan penghuninya.

Bantuan merupakan sumbangan syarikat pengeluar makanan THC Sdn Bhd dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Pandan Indah, kata Ir Izham Hashim.

“Sumbangan diagihkan RM20,000 kepada rumah kebajikan RUMAH KITA, Persatuan Kebajikan Anak Kepada Pesakit HIV/Aids Iman Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Tangham Illam manakala Mesra Home terima RM10,000.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu kerja kebajikan dan amal yang dijalankan pihak pengurusan pusat dan persatuan ini,” kata wakil rakyat itu di Facebook.