Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS serah bakul makanan, bantu mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bakul makanan kepada 48 keluarga di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat yang terjejas banjir pada Selasa.

Agensi memaklumkan bantuan diberikan semalam di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain melawat mangsa di rumah.

“Belum sempat lagi hendak bernafas lega, sekali lagi penduduk Kampung Sungai Serai, Hulu Langat diuji dengan banjir.

“Alhamdulillah hasil zakat yang ditunaikan, LZS dapat menyumbangkan bantuan dengan pantas serta meringankan beban mangsa banjir yang berlaku buat kali kedua dalam tempoh enam bulan,” kata agensi di Facebook hari ini.

Pada Disember LZS mengumumkan bantuan RM600 kepada mangsa banjir negeri ini termasuk bukan asnaf.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat PPS di Petaling masih dibuka kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 9 MAC: Seramai 934 penduduk sekitar Petaling terjejas akibat banjir kilat pada Selasa lalu.

Pegawai daerah Petaling berkata, pihaknya menyediakan empat pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan kesemua mangsa.

“PPS masih dibuka sehingga hari ini walaupun jumlahnya semakin berkurang selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Memandangkan keadaan cuaca ketika ini tidak menentu, kita tetap menyediakan PPS selain meminta semua agensi bersiap siaga,” kata Mohd Jusni Hashim kepada Selangorkini.

Hujan lebat pada petang Selasa menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air antaranya Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang, Kampung Melayu Sungai Serai dan Batu Arang.

Sementara itu, portal bencana Pusat Kawasan Bencana Negara melaporkan setakat jam 8 malam tadi, seramai 241 masih berada di empat PPS di Gombak, Kuala Langat dan Sepang.

Daripada jumlah itu, 82 mangsa berada di Dewan Majlis Perbandaran Selayang, Kampung Melayu Sri Kundang; Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang (48) dan Sekolah Kebangsaan Kota Warisan (111).

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Lebih 22,000 mangsa banjir Petaling layak terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Pejabat daerah dan tanah Petaling berkata lebih 22,000 mangsa banjir daerah itu layak menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Pegawai Daerah Mohd Jusni Hashim berkata daripada jumlah itu hanya 500 mangsa masih belum menerima wang tunai RM1,000 dana BSB.

Katanya mereka boleh mendapatkan sumbangan BSB itu dengan mengunjungi pejabat daerah dan tanah Petaling.

“Hanya sebilangan kecil iaitu 500 isi rumah yang masih belum menerima BSB kerana mereka tidak hadir pada majlis penyerahan.

“Agihan dibuat menerusi pelbagai program berskala besar, selain penyerahan di kawasan perumahan mangsa,” katanya kepada Selangorkini, hari ini.

Mohd Jusni berkata pihaknya menjangkakan proses agihan BSB itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta menerusi BSB bagi membaik pulih prasarana, selain sumbangan wang tunai kepada mangsa dan waris mangsa banjir Disember lalu.

Individu yang layak terbahagi kepada tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta dan mereka yang kekal di rumah.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: KDEBWM bersih longkang, jalan di Taman Buana

SHAH ALAM, 8 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan operasi pembersihan longkang, jalan raya dan kegiatan mengutip sampah akibat banjir di sekitar Taman Buana, Petaling Jaya, hari ini.

Agensi itu memaklumkan operasi berkenaan turut disertai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membantu menyelesaikan masalah di kawasan berkenaan.

“Operasi hari ini lebih tertumpu kepada kegiatan membersihkan jalan raya, longkang dan sampah sarap yang dibawa arus banjir, selain mengutip sampah pukal yang dibuang oleh penduduk,” katanya di Facebook.

Sehingga jam 11 pagi tadi, seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

Sementara itu, KDEBWM boleh dihubungi di talian 1-800-88-2824 atau muat turun Aplikasi iClean Selangor di play store atau google play bagi aduan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,215 mangsa banjir di Selangor dipindah ke sembilan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini setakat 11 pagi tadi.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan 93 orang berbanding sebelumnya, 1,122 mangsa yang menduduki pusat berkaitan.

Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook memaklumkan mereka adalah terdiri daripada 298 keluarga.

“Alhamdulillah di kebanyakan kawasan terutama di Puchong, banjir telah surut awal pagi ini (tadi),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,000 mangsa banjir dipindah ke sembilan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 1,122 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini setakat jam 8 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan jumlah itu terdiri daripada 263 keluarga.

“Agensi pengurusan bencana terus memantau keadaan dan akan membantu proses pemindahan mangsa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Skim air percuma Selangor masih dibuka, pengguna digalak memohon

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyeru orang ramai memohon Skim Air Darul Ehsan bagi menikmati air percuma jika belum berbuat demikian.

Agensi berkata pendaftaran untuk skim air percuma sebanyak 20 meter padu itu masih terbuka kepada penduduk negeri ini yang layak.

“Pastikan anda memenuhi terma dan syarat ditetapkan. Pendaftaran Skim Air Darul Ehsan terbuka sehingga 31 Disember 2024,” katanya di Facebook.

Maklumat lanjut boleh layari https://www.airselangor.com/residen…/skim-air-darul-ehsan/

Antara syarat kelayakan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Selangor dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.

Premis kediaman pula mestilah jenis meter individu dan pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Enam daerah di Selangor diramal ribut petir, hujan hingga 10 pagi

SHAH ALAM, 8 MAC: Enam daerah di negeri ini dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat sehingga jam 10 pagi ini.

Menerusi Twitter Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan enam daerah berkenaan ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

Keadaan sama juga diramal berlaku di hampir semua kawasan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Labuan.

Manakala di Kedah meliputi Langkawi, Perak (Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak); Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Terengganu (Besut dan Setiu), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Johor (Tangkak).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut jabatan itu.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

26 kawasan dalam lima daerah di Selangor terjejas banjir

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak 26 kawasan dalam lima daerah di negeri ini dilapor terjejas akibat banjir setakat 9 malam tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan daerah yang terlibat ialah Gombak, Hulu Langat, Petaling, Kuala Selangor dan Sepang.

Berdasarkan perkongsian di Facebook lima kawasan yang terjejas di Gombak ialah Taman Rahmat Jaya, Kampung Melayu Sri Kundang Batu Arang, sekitar pusat kusta, kawasan perindustrian SB Jaya dan sekitar Kampung Melayu Sri Kundang.

Di Hulu Langat pula meliputi sembilan lokasi iaitu Kampung Rinching Hulu, Kampung Sungai Lui, Taman Lestari, Kampung Batu 17, Desa Mahkota Sungai Kembung Hilir, Kampung Orang Asli Paya Lebar, Kampung Sungai Kantan, Kampung Desa Mahkota dan Kampung Bangi Lama.

Manakala enam kawasan di Petaling pula Jalan 2/1 dan Jalan 2/2 Bandar Baru Sungai Buloh, Taman Kinrara, Kinrara Court, Taman Buana, USJ 1 dan Kampung Sri Puchong.

Nadma juga memaklumkan tiga kawasan terjejas di Kuala Selangor ialah Kampung Merbau Indah, Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman.

Manakala tiga kawasan di Sepang pula Taman Murni, Jalan Tok Dagang dan KOA Batu 28.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Seluruh Lembah Klang dijangka ribut petir, hujan lebat hingga 3 pagi

SHAH ALAM, 7 MAC: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh Selangor sejak petang tadi dijangka berterusan sehingga jam 3 pagi nanti.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan seluruh Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya turut dijangka mengalami cuaca yang sama.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu beberapa kawasan di Perak, Pahang dan Negeri Sembilan turut dijangka berdepan fenomena yang sama.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

300 mangsa banjir dipindah ke lapan pusat pemindahan

SHAH ALAM, 7 MAC: Sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di negeri ini menempatkan 300 mangsa banjir setakat 8.30 malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah mangsa itu terdiri daripada 56 keluarga.

PPS berkenaan ialah Dewan Camelia Seksyen 10, Sekolah Kebangsaan Puchong Indah, Dewan Batu 3, Dewan Kampung Seri Aman, Dewan Puchong Jaya, Dewan MPS Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35.

“Skuad Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah digerakkan ke Kampung Tengah, Kampung Baru Seri Kembangan, Taman Kinrara 1, Taman Kinrara 4 and Puncak Jalil 8 di Seri Kembangan untuk membantu,” katanya menerusi Twitter.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial.

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak 3 petang dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bilik gerakan bencana MBSJ, MBPJ kini dibuka

SHAH ALAM, 7 MAC: Bilik Gerakan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mula dibuka dan beroperasi 24 jam.

Perkara itu dikongsi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter, sebentar tadi.

“Sebarang aduan dan kecemasan di kawasan MBSJ boleh menghubungi talian tersebut,” katanya.

Warga Subang Jaya mempunyai aduan dan hal kecemasan boleh menghubungi talian 03-8024 7700.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Facebook turut memaklumkan telah membuka pusat penempatan banjir di Dewan PJS 1/35 dan Dewan PJS 2C/6.

Agensi itu berkata penduduk yang terkesan boleh menghubungi talian hotline yang beroperasi 24 jam iaitu 03-7954 2020.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membuka Dewan Serbaguna PJS 2C/6 sebagai pusat penempatan banjir susulan hujan lebat pada 7 Mac 2022. Foto Facebook MBPJ