Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

65 keluarga terima baucar persekolahan RM300 sumbangan MBPJ

SUBANG JAYA, 4 MAC: Penerima baucar persekolahan program jom shopping kembali ke sekolah anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyifatkan bantuan diterima meringankan beban keluarganya.

Suri rumah Noorlaila Mat Jelani, 36, berkata pendapatan keluarganya terjejas selepas suaminya terbabit dalam kemalangan menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

“Kemalangan menyebabkan kaki suami saya patah, selain cedera pada tangan kanan menyebabkan beliau tidak boleh bekerja.

“Kini kami sekeluarga hanya bergantung pada gaji asas suami yang bekerja di sebuah hotel di Subang Jaya,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, pemandu teksi Mohd Ali Sharif, 51, berkata pendapatannya agak terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Apabila ada bantuan seperti ini saya bersyukur kerana beban perbelanjaan persekolahan empat anak dapat dikurangkan,” katanya.

Terdahulu, MBPJ mengagihkan baucar persekolahan bernilai RM300 kepada 65 keluarga golongan berpendapatan rendah menerusi program jom shopping kembali ke sekolah di Pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya semalam.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ benar tuntutan semula bayaran kupon parkir bergores

SUBANG JAYA, 4 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membenarkan individu termasuk ejen yang sudah membeli kupon parkir bergores membuat tuntutan bayaran balik.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata tuntutan itu boleh dibuat di pejabat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

“Semua pihak termasuk ejen iaitu kedai yang menjual kupon parkir bergores boleh membuat tuntutan bayaran.

“Ini bermakna mereka tidak akan rugi apa-apa dan boleh mendapatkan semula wang mengikut harga yang dibeli,” katanya ditemui pada program jom shopping kembali ke sekolah di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan pemansuhan kupon parkir bergores dan menguatkuasa penggunaan e-kupon melalui Smart Selangor Parking (SSP) yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Pada 4 Januari lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan orang ramai boleh menggunakan kupon parkir bergores di seluruh PBT di negeri ini sehingga akhir bulan ini.

Jika ada sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected]

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ beri 850 lesen sementara kepada peniaga, golongan terjejas

SUBANG JAYA, 3 MAC: Sebanyak 850 lesen sementara dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19 untuk menjalankan perniagaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata pemberian lesen itu adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat di Selangor bangkit semula.

“Kita beri peluang perniagaan kepada penduduk dan peniaga yang terjejas dengan memberikan mereka lesen sementara selain menyediakan tempat bersesuaian.

“Oleh demikian, kita galakkan mereka yang ingin berniaga supaya memohon. Kita bertanggungjawab supaya perjalanan ekonomi penduduk di Petaling Jaya teratur,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Jom Shopping Kembali ke Sekolah di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya hari ini.

Pada 21 Februari EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri mengeluarkan lebih 10,000 lesen sementara kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19.

Pada 17 Disember tahun lalu, tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil dilanjutkan enam bulan lagi sehingga Jun ini.

Inisiatif itu sepatutnya tamat akhir tahun lalu namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan pandemik Covid-19.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen dan golongan terjejas bermula sejak Ogos tahun lalu. Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ agih baucar persekolahan bantu 65 keluarga B40

SUBANG JAYA, 3 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengagihkan baucar persekolahan bernilai RM300 kepada 65 keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Program Jom Shopping Kembali ke Sekolah hari ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata pihaknya memperuntukan RM19,500 bagi membolehkan penerima membeli kelengkapan persekolahan seperti baju, seluar, kasut dan alat tulis.

“Agihan baucar persekolahan kepada keluarga B40 dimulakan sejak 2002. Bantuan ini kita beri sebelum mereka memulakan sesi persekolahan baharu bulan depan.

“Program ini bertepatan dengan misi MBPJ yang merancang menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan bermula 2020,” katanya ditemui selepas mengagihkan baucar di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Azmir bercakap kepada media selepas program sumbangan Jom Shopping Kembali Ke Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Mydin Mall Subang Jaya, Petaling Jaya pada 3 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mohamad Azhan berkata program itu juga adalah selaras dengan konsep 10 Program Berimpak Tinggi (10 Thematic Project) yang dipersetujui dalam pelan pembangunan bandar memberi fokus kepada pembangunan golongan miskin bandar dan kesejahteraan komuniti.

“Kita bukan sahaja menumpukan kepada golongan pelajar sahaja tetapi turut membantu ibu tunggal dan warga emas.

“Petaling Jaya merupakan kawasan besar yang mempunyai masyarakat ekonomi tinggi dan ketinggalan. Kita berperanan membantu golongan B40 untuk menggerakkan ekonomi mereka,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA buka kaunter bayaran bergerak di Plaza Masalam Sabtu ini

SHAH ALAM, 3 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyediakan perkhidmatan kaunter bayaran bergerak menerusi ‘Shah Alam On Wheels’ pada Sabtu ini, di pekarangan tempat letak kereta Plaza Masalam di Seksyen 9, di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata perkhidmatan bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang itu bertujuan memudahkan orang ramai berurusan pada hujung minggu tanpa perlu ke kaunter.

“Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheels menyediakan pelbagai kemudahan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun letak tempat kereta serta kaunter aduan.

“Menerusi perkhidmatan, kami berharap dapat memanptapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MPHS: 4,807 premis tiada lesen di Hulu Selangor berdepan tindakan

SHAH ALAM, 3 MAC: Sebanyak lima jabatan di bawah Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) diberi tanggungjawab untuk memantau premis haram di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung.

Yang dipertuanya berkata lima jabatan terbabit adalah Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Bangunan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta serta Jabatan Pelesenan.

“Baru-baru ini, MPHS menubuhkan pasukan petugas operasi pematuhan perniagaan bagi memantau premis perniagaan dan perindustrian beroperasi tanpa lesen termasuk bangunan kosong di lokasi itu.

“Berdasarkan rekod, ada 4,807 premis yang disyaki tidak memiliki lesen perniagaan iaitu 2,259 di Bukit Sentosa dan 2,548 (Bukit Beruntung),” kata Mohd Hasry Nor Mohd dalam kenyataan.

Katanya, pasukan diberi kuasa untuk bertindak sekiranya pemilik premis tiada lesen perniagaan dan menggaji pekerja warga asing.

“Pemilik yang membuat pengubahsuaian bangunan dan meletak barang di kaki lima premis termasuk menternak burung walit tanpa kebenaran juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Fasa pertama operasi itu bermula pada 22 Februari lalu di Bukit Sentosa antaranya di Jalan Telipot, Jalan Seroja, Seri Pagi, Kamunting, Persiaran Bunga Raya dan Jalan Ros.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

Struktur menara telekomunikasi disita akibat pemilik abai notis awal

SHAH ALAM, 2 MAC: Angkara mengambil mudah notis yang dikeluarkan pihak berkuasa, bahan binaan struktur menara telekomunikasi milik syarikat swasta disita Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Yang Dipertuanya berkata bahan binaan itu diletakkan di tempat awam di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu tanpa kebenaran.

“Dalam operasi yang dijalankan di lokasi itu semalam, kita dapati syarikat terbabit masih tidak mengalihkan bahan binaan terbabit, walaupun notis awal sudah dikeluarkan pada 14 Januari lalu.

“Tindakan menyita terpaksa dilakukan kerana mereka gagal mematuhi notis terbabit,” kata  Mohd Hasry Nor Mohd dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi pemindahan itu dijalankan mengikut Seksyen 46(3) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 oleh kakitangan jabatan bangunan, penguatkuasa dan panel kontraktor.

Beliau berkata, kesemua barang yang disita dibawa ke depoh penguatkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“MPHS tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan atau kehilangan mana-mana barang yang disita,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ selesai 12,805 aduan awam tahun lalu, cantas pokok paling banyak

SHAH ALAM, 1 MAC: Sebanyak 12,805 atau 89.6 peratus daripada 14,291 aduan awam berjaya diselesaikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di kawasan itu tahun lalu.

Lima kes aduan tertinggi melibatkan cantas atau tebang pokok, lampu jalan, halangan awam atau siar kaki dan petak parkir, kerosakan longkang kecil serta anjing liar.

“MBPJ komited menyelesaikan aduan diterima, justeru inisiatif yang dibuat adalah piagam pelanggan setiap jabatan yang sentiasa disemak dan dikaji semula,” kata Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan.

Sementara itu, menurut MBPJ, sebanyak 2,609 aduan diterima setakat 17 Februari lalu dengan 1,483 aduan diselesaikan manakala baki dalam proses tindakan.

Jelas pihak berkuasa tempatan itu lagi, setiap pegawai dan kakitangan juga diarah bertindak segera selepas menerima aduan dan maklum balas pelanggan.

Aduan boleh dibuat mengikut saluran berikut:

  1. E-mel – [email protected]
  2. Talian khas – 03-79542020
  3. Fax – 03-79551804
  4. Facebook – https://www.facebook.com/mbpjaduan/
  5. Sistem Perhubungan Pelanggan – https://embpj.mbpj.gov.my
  6. Aplikasi – eAduan MBPJ (Playstore)
  7. WhatsApp – 011-12017914 (waktu bekerja sahaja)
Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang selenggara pokok besar, elak insiden tidak diingini

SEPANG, 28 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan menyelenggara pokok besar di seluruh kawasan pentadbirannya bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata bagaimanapun perkara itu perlu diteliti dengan mengambil kira lokasi penanaman semula pokok berkenaan.

“Jika tiada pilihan, pokok bahaya kita akan buang, (tetapi) kalau boleh selamatkan kita akan laksanakan pemulihan memandangkan ada dua pihak berkuasa yang mengurus perkara ini selain majlis iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Di Sepang masih terdapat tanah pertanian yang mana pokoknya bersempadan dengan jalan JKR. Jadi, kita harap tiada konflik selain dapat duduk bersama dan cari penyelesaian sewajarnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih dekat sini semalam.

Pada 21 Februari lalu, sebanyak 18 kenderaan di kawasan parkir di Cyber Valley, Dengkil rosak selepas dihempap pokok tumbang ketika kejadian hujan lebat dan angin kuat.

Insiden jam 5 petang menyebabkan beberapa batang pokok besar di kawasan terbabit tumbang, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MPSepang: Pengguna dibenar tuntut bayaran kupon parkir bergores

SEPANG, 27 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membenarkan individu yang sudah membeli kupon parkir bergores membuat tuntutan bayaran balik.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata ia susulan pemansuhan penggunaan kupon bergores pada akhir Mac ini berikutan penguatkuasaan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

Katanya, tuntutan bayaran balik itu boleh dibuat kepada Suasa Efektif (M) Sdn Bhd (Suasa Efektif) selaku syarikat pengendali parkir tempatan.

“Kita menyambut baik langkah Kerajaan Negeri supaya kupon parkir bergores tidak lagi dilaksanakan dan digantikan dengan e-kupon menjelang 1 April ini.

“Jadi, mereka yang sudah membeli kupon tetapi masih belum digunakan boleh buat tuntutan semula,” katanya ketika ditemui pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih di sini hari ini.

Beliau berkata, MPSepang juga akan mempertingkatkan kempen bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem bayaran parkir digital sepenuhnya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan pemansuhan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh PBT negeri ini sehingga akhir Mac.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected]

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Sejuta anak pokok ditanam sekitar Sepang, imbangi pembangunan fizikal

SEPANG, 27 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menanam lebih sejuta anak pokok pelbagai spesies di seluruh kawasan pentadbirannya sejak 2008 hingga Januari tahun ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata inisiatif bersama pemaju membuktikan kesungguhan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk mewujudkan bandar rendah karbon menjelang 2030.

“Sejak 2008, Kerajaan Selangor mengadakan kempen menanam pokok dan menyasarkan sebanyak 50,000 pokok ditanam setiap tahun oleh PBT.

“Usaha meningkatkan jumlah tanaman pokok akan diteruskan bagi mencapai hasrat berkenaan,” katanya ketika ditemui pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih di sini hari ini.

Sementara itu, Abd Hamid berkata kaedah penyelenggaran terbaik digunakan untuk memelihara dan memulihara pokok di seluruh kawasan di daerah berkenaan.

“Pokok perlu dihargai kerana tumbuhan itu akan mengindahkan dan meningkatkan nilai estetik sesuatu kawasan.

“Di sisi lain pula, pokok memberi teduhan selain mengurangkan pencemaran udara dan bunyi termasuk agen penyerap karbon. Justeru kita kena imbangi pembangunan fizikal dan alam sekitar,” katanya lagi.

Sukarelawan yang menyertai program penanaman anak pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Perhutan Selangor di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Categories
PBT SELANGOR

1,600 anak pokok ditanam sekitar muara, pulih habitat pesisir pantai

SEPANG, 27 FEB: Sebanyak 1,600 anak pokok pelbagai jenis ditanam di dua muara sungai sekitar daerah ini bagi memperkukuh kawasan berkenaan sebagai zon penampan ombak.

1,000 anak pokok bakau jenis ‘Rhizophora Apiculata’ dan ‘Rhizophora Mucronata’ ditanam di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih hari ini manakala baki pokok ketapang dan rhu di Pantai Bagan Lalang esok.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) inisiatif itu mampu memulihkan habitat pesisir pantai yang menempatkan kepelbagaian biologi selain memperkaya sumber hasil pantai.

“Secara tidak langsung, ia berperanan menjamin keselamatan sumber makanan dari laut dan sosioekonomi masyarakat tempatan terutama nelayan,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain ketika ditemui.

Program selama dua hari itu mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Selangor, Institut Rimbawan Malaysia, Balai Iktisas Malaysia disertai mahasiswa jurusan perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, Abd Hamid berkata pokok berperanan membantu mengimbangi suhu dan iklim setempat sekali gus mengurangkan fenomena pulau haba.

“Pada masa ini, isu pemanasan global menjadi topik utama yang memberi kesan besar kepada alam sekitar.

“Perubahan iklim mengakibatkan bencana seperti peningkatan paras air laut yang mendadak dan banjir,” katanya lagi.

Sukarelawan menanam anak pokok bakau dalam program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Perhutanan Selangor di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI