Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSJ ambil langkah segera atasi pencemaran bau

SUBANG JAYA, 26 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil langkah segera menangani pencemaran bau busuk di Jalan TK 4/10, Taman Kinrara 4 di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata sebaik menerima laporan kelmarin, penyelesaian segera telah dilakukan dengan melantik syarikat Worldwide Holding Sdn Bhd.

“Syarikat berkenaan menjalankan kerja mengenal pasti punca air di dalam tanah dan menjalankan proses mengeluar dan merawat cecair tersebut berdasarkan pengalaman mereka.

“Proses kerja telah dijalankan kelmarin melibatkan kerja mengorek beberapa perigi bagi menakung cecair di dalam tanah dan seterusnya menyedut cecair tercemar berkenaan keluar menggunakan lori tangki sebelum ia dilupuskan,” kata Azfarizal Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian kepada Selangorkini selepas mengadakan tinjauan di tapak berkenaan, petang semalam.

Azfarizal menjelaskan kerja-kerja berkenaan dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu dengan kos operasi itu ditanggung pemilik tanah.

Katanya, punca bau disebabkan berlaku aktiviti pembuangan sampah haram kerana tapak tidak digunakan dan ia dikesan sekitar dua bulan lalu.

“Tindakan kompaun telah dikenakan kepada pemilik tanah,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

Hulu Langat catat 861 kes denggi, kedua tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 26 FEB: Hulu Langat mencatatkan peningkatan kes denggi sebanyak 25.5 peratus tahun ini kepada 861 kes dalam tempoh tujuh minggu pertama tahun ini, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Najmuddin Jemain berkata hanya 641 kes direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Secara keseluruhan Selangor mencatatkan 3,313 kes tetapi tiada kematian dilaporkan.

“Hulu Langat berada di kedudukan kedua tertinggi membabitkan 861 kes selepas Petaling dengan 1,093 kes.

“Daripada jumlah itu, kawasan di bawah pentadbiran MPKj merekodkan 672 kes,” katanya pada majlis mesyuarat bulanan MPKj semalam.

Beliau berkata kes denggi dalam kawasan pentadbirannya melibatkan 43 lokaliti dengan tiga kawasan panas dikesan, iaitu dua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan satu di DUN Semenyih.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan negeri pada November lalu memaklumkan peruntukan RM5 juta bagi mencegah dan mengawal denggi.

Ia termasuk kaedah penerokaan teknologi baharu seperti dron untuk mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj buka 33 lokasi bazar, tiga karnival Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 25 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meluluskan pembukaan 33 tapak bazar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya untuk tahun ini.

Yang Dipertua Najmuddin Jemain berkata mesyuarat jawatankuasa kawalan perniagaan dan penjaja turut meluluskan penganjuran tiga karnival Ramadan bagi memudahkan masyarakat mendapat keperluan raya.

“Pemohon dan penganjur yang berjaya diwajibkan hadir taklimat pada 3 Mac bertempat di Hotel Bangi Resort. Surat tawaran akan diserahkan pada sesi berkenaan,” katanya berucap dalam majlis mesyuarat bulanan hari ini.

Pada 21 Februari EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti lebih banyak lokasi bazar bagi mengelak kesesakan pengunjung.

Langkah itu akan memudahkan pemantauan serta memastikan peniaga dan pengunjung patuh tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Categories
PBT SELANGOR

15 gerai makan MPK terbakar, tiada kemalangan jiwa

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebanyak 15 gerai makan milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Jalan Besar Pandamaran, Pelabuhan Klang dekat sini mengalami kebakaran awal hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata deretan gerai itu terbakar kira-kira 80 peratus namun kejadian tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.14 pagi dan 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang serta BBP Seri Andalas tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian bagi operasi pemadaman.

“Anggota bomba dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 15 minit dan kebakaran kemudian dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 5.18 pagi,” katanya sambil menambah punca kebakaran sedang disiasat.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lapan pasukan berentap rebut kejuaraan Liga Bola Tampar 2022

SHAH ALAM, 24 FEB: Lapan pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar 2022 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Bola Tampar, Seksyen 4 di sini mulai 8 hingga 13 Mac ini.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata kejohanan dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) melibatkan penyertaan dari Selangor, Johor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Angkatan Tentera Malaysia dan bomba.

Menurut Shahrin Ahmad inisiatif melahirkan belia aktif dan memperkenal Shah Alam sebagai bandar raya sukan turut disertai pemain dari luar negara bagi setiap pasukan.

“MBSA menyasarkan kejohanan ini untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan bola tampar selain diketengahkan ke pertandingan peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya melalui kenyataan semalam.

Beliau berkata kejohanan tersebut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM42,000 dengan juara bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan medal.

Katanya naib johan pula akan menerima wang tunai RM10,000 dan medal manakala ketiga serta keempat masing-masing RM8,000 dan RM4,000 berserta medal.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Zamani Ahmad Mansor (tengah) bersama rakan penaja Kejohanan Malaysia Liga Bola Tampar di Galeri Mokara Wisma MBSA pada 23 Februari 2022. Foto MBSA
Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj bantu bersih rumah mangsa ribut

SHAH ALAM, 22 FEB: Ribut kencang pada petang Ahad lalu, mengakibatkan beberapa rumah sekitar Taman Kota Cheras, Cheras rosak atau musnah sebahagiannya.

Susulan itu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengarahkan kakitanganya membantu mangsa membersihkan kawasan rumah termasuk mengutip sampah pukal.

“Ada rumah penduduk mengalami runtuhan sengkuap (awning) dan beberapa struktur lain.

“Bagaimanapun tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara kerana kesemua mangsa menumpang di rumah keluarga terdekat,” kata MPKj menerusi Facebook hari ini.

Pada masa sama, Yang Dipertua MPKj Najmuddin Jemain turut mengunjungi kawasan kejadian pada pagi Isnin untuk menilai kerosakan yang ditanggung mangsa.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA sedia bas percuma bantu mangsa banjir terima bantuan negeri

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk membawa mangsa banjir ke program Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Perkhidmatan itu melintasi dua laluan dari Dewan Kampung Sungai Kandis dan Padang Rakyat Kampung Jalan Kebun menuju Dewan Kemuning, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.

“Ini bagi membantu mereka menerima bantuan seperti penduduk Taman Sri Muda dan Sungai Kandis.
“Perkhidmatan bas setiap satu jam bermula 8.30 pagi tadi,” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Beliau berkata perkhidmatan itu tidak terhad untuk hari ini sahaja sebaliknya diteruskan sehingga bantuan negeri kepada penduduk terjejas selesai.

Jelasnya, pergerakan bas untuk program BSB berikutanya akan dimaklumkan di media sosial MBSA antaranya Facebook dan Twitter dari semasa ke semasa.

“Kita minta mangsa yang menghadapi masalah pengangkutan untuk menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Hujan lebat luar biasa pada Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKL: Kekal budaya kerja cemerlang, tingkat mutu perkhidmatan

KUALA LANGAT, 17 FEB: Kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) digesa terus mengekalkan budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan demi kepentingan masyarakat.

Yang dipertuanya berkata jati diri penjawat awam yang mengenepikan kepentingan individu dan ego adalah ramuan utama terhadap kejayaan itu.

“Pandangan negatif orang awam terutamanya melibatkan integriti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam hendaklah ditangkis dengan menambah baik dan meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Atas pegangan ini, MPKL meneruskan amalan tadbir urus cemerlang selaku pihak berkuasa tempatan dengan iltizam dan komitmen yang jitu serta hasilnya dapat dilihat pada malam ini (semalam),” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berucap sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2021 di Universiti Mahsa, Kuala Langat pada 16 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 MPKL di Universiti Mahsa di sini.

MPKL meraikan 35 kakitangan daripada pelbagai jabatan yang menerima anugerah dan lapan yang lain telah berkhidmat 25 tahun serta pesara dalam majlis tersebut dan Jasamu Dikenang.

Amirul Azizan berkata ia adalah tanda pengiktirafan MPKL terhadap prestasi kerja cemerlang ditunjukkan kakitangan dan berharap momentum itu dikekalkan dalam melaksanakan tugasan.

“Jangan mudah mengalah terhadap dugaan serta cabaran yang mendatang. Terus tunjukkan prestasi dan memberikan komitmen kerja yang sebaiknya serta menyumbang kepada kejayaan,” katanya.

Majlis APC MPKL 2021 disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Had pengunjung bazar Ramadan jika kes Covid-19 naik, galak beli dalam talian

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan menambah baik tatacara operasi piawai (SOP) bazar Ramadan tahun ini jika kes Cavid-19 terus meningkat.

Yang Dipertua Rahilah Rahmat meskipun SOP bazar Ramadan belum dimuktamadkan, namun beberapa aspek perlu diteliti bagi mengekang penularan wabak.

“Cadangan itu meliputi pembayaran secara elektronik, galak beli juadah dalam talian selain mengehadkan jumlah kemasukan pengunjung ke tapak bazar Ramadan.

“Perkara ini sedang diteliti. Peniaga dan pengunjung akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui media sosial MPKS,” katanya kepada Selangorkini.

Bagaimanapun, Rahilah mengingatkan orang ramai memberi kerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, kerjasama itu penting bagi memastikan kelancaran operasi bazar Ramadan sekali gus melindungi ekonomi peniaga kecil di daerah berkenaan.

Tahun ini, sebanyak 505 petak bazar Ramadan disediakan PBT terbabit di sembilan lokasi.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Amalan tadbir urus baik, kutipan hasil MPKL meningkat kepada RM81.4 juta

KUALA LANGAT, 17 FEB: Jumlah kutipan hasil Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) meningkat kepada RM81.4 juta pada 2021 berbanding RM79.8 juta tahun sebelumnya.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata perolehan hasil itu hasil amalan tadbir urus yang baik, bertanggungjawab serta berdisiplin.

“Tadbir urus yang baik diamalkan MPKL adalah realistik berasaskan anggaran perbelanjaan. Belanjawan berimbang dalah formula MPKL mengekalkan rekod 13 tahun berturut- turut untuk Sijil Audit Bersih.

“MPKL yakin prestasi cemerlang ini akan diteruskan pada 2022 serta tahun-tahun mendatang,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang di Universiti Mahsa hari ini.

Terdahulu, seramai 35 kakitangan MPKL pelbagai jabatan yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021.

Selain itu Amirul Azizan berkata MPKL mendukung aspirasi ke arah kerajaan digital dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan secara atas talian.

“Pelbagai capaian kemudahan pembayaran yang boleh dilakukan hanya di hujung jari meningkat dalam kalangan warga Kuala Langat.

“Kemudahan atas talian telah membantu memperkasakan tahap penguasaan teknologi oleh kakitangan yang menguruskan urusan terimaan pembayaran dan aduan,” katanya

Categories
PBT SELANGOR

Pasukan wanita MBPJ ungguli saingan, muncul juara futsal

SHAH ALAM, 16 FEB: Pasukan futsal wanita Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengungguli saingan Kejohanan Republic of Futsal (ROF) musim 2021 yang menutup tirai kelmarin.

Unit Komunikasi Korporatnya memaklumkan pasukan itu mencatat 11 kemenangan dan tiga seri dalam pertandingan disertai lapan pasukan di ROF Petaling Jaya sejak 10 Oktober tahun lepas.

Menurutnya, kemenangan itu sekali gus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,200 berserta hadiah iringan.

“Pertandingan itu julung kali diadakan bagi futsal wanita. Lebih manis penjaga gol pasukan dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan,” katanya menrusi kenyataan.

Menurut unit berkenaan, kejohanan tersebut sebelum ini terpaksa dihentikan sementara susulan pandemik Covid-19.

“Secara keseluruhan, sebanyak 14 perlawanan secara timbal balik diadakan sama ada di tempat sendiri dan lawan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

329 peniaga mohon tapak bazar Ramadan, MPKS umum keputusan Mac

SHAH ALAM, 16 FEB: Sebanyak 329 permohonan petak bazar Ramadan diterima Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mulai 7 Februari hingga semalam.

Permohonan bagi 505 tapak bazar dibuka secara dalam talian sehingga 21 Februari manakala keputusan diumum pada 11 Mac, kata Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat.

“Antara kriteria dinilai ialah peniaga perlu lengkap suntikan vaksin dan mendapat suntikan anti-typhoid (TY2) selain tiada sebarang tunggakan kompaun,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemohon perlu melampirkan dokumen sokongan dan mereka yang berdaftar bawah Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) mempunyai kelebihan untuk mendapat slot.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan http://ip3ks.mpks.gov.my/ membabitkan sembilan lokasi.

Lokasi tersebut ialah hadapan IADA, Jalan KP1/ Pusat Bandar Tanjong Karang, Jalan Naluri Sukma Bandar Puncak Alam, hadapan Balai Raya Saujana Utama dan Jalan Sejati 1 Kampung Ijok.

Kawasan lain antaranya Jalan DC 4/1 Desa Coalfields, Tapak Pasar Awam Lama Sungai Buloh, Tapak Penjaja Bestari Jaya dan Jalan Puncak Alam Jaya 10 Bandar Puncak Alam.