Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga lega, Pantai Morib kembali meriah selepas enam bulan ‘sepi’

BANTING, 12 SEPT: Peniaga gerai di Pantai Morib di sini, menarik nafas lega apabila pusat pelancongan itu kembali dibuka selepas hampir enam bulan sepi tanpa pengunjung.

Azizah Saringat, 57

Pemilik gerai makan Azizah Saringat, 57, berkata beliau bersyukur apabila dapat membuka semula gerainya dan mencari rezeki.

“Orang ramai mula hadir terutama ketika hujung minggu kerana kebanyakan mereka membawa anak-anak berkelah selepas lama terkurung dalam rumah.

“Namun saya tidak berkompromi soal tatacara operasi piawai (SOP) dengan individu lengkap vaksin sahaja dibenar makan, cukuplah hampir enam bulan terjejas pendapatan, saya tidak mahu perkara sama berulang,” katanya kepada SelangorKini.

Peniaga barang permainan Azman Dali, 40, berkata orang ramai mula berkunjung ke Pantai Morib sejak dua minggu lalu.

Azman Dali, 40

“Alhamdulillah, Pantai Morib kembali meriah. Saya menjual pelbagai barang permainan untuk kanak-kanak, antara yang banyak dibeli ialah belon air dan layang-layang,.

“Cuma saya berpesan kepada diri saya sendiri dan pengunjung, patuh SOP, jangan leka jika tidak mahu kes Covid-19 Selangor kembali meningkat,” katanya.

Kelmarin Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 35,000 individu sudah buat ujian Covid-19 – Noor Hisham

SHAH ALAM, 29 MAC: Sejumlah 35,516 individu sudah melalui ujian saringan bagi mengesan  Covid-19 di negara ini sehingga semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil saringan berkenaan 24,727 didapati negatif manakala 2,320 positif dan 8,469 masih menunggu keputusan.

Mengikut data di Twitter KKM, bagi kes positif Covid-19 sebanyak 461 membabitkan pesakit dalam pemantauan (PUI), kontak rapat (586) dan kluster tabligh (1,207).

Sementara itu, jumlah kematian akibat wabak itu kini 27 mangsa manakala kes berjaya sembuh seramai 320 orang.