Categories
NASIONAL

100 hari selepas PRU 13, PM tandus idea

Datuk-Seri-Najib-Tun-Razak1Oleh Sim Tze Tzin

(RENCANA) Minggu ini, genap 100 hari Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri selepas PRU 13. ?Benchmark? 100 hari dalam pentadbiran baru julung-julung kali dimulakan oleh Presiden Roosevelt dari Amerika.

Beliau melancarkan dasar dan insiatif yang dinamakan New Deal dalam 100 hari pertama menjadi Presiden. Presiden-presiden Amerika yang seterusnya dinilai mengikut 100 pertama dalam pentadbiran.

Dalam konteks Malaysia, Najib melancarkan 11 initiatif baru dalam 100 pertama selepas menjadi PM pada 2009. Walaupun kebanyakan 11 initiatif tersebut hanya berupa superficial, seperti memberi diskaun touch n go dan sebagainya – akan tetapi ia telah meningkatkan publisiti pada masa itu.

Apabila masuk penggal kedua, dengan pengalaman satu penggal, Perdana Menteri seharusnya penuh dengan pelbagai dasar dan idea baru. Malangnya beliau tidak banyak mengumumkan apa-apa dasar baru, atau perubahan dasar yang bermakna.

Pejabat saya membuat kajian terhadap kenyataan terbuka Perdana Menteri, facebook dan twitter beliau selama 100 hari. Kami mengkategorikan kepada 5 tajuk utama:

1. Dasar Baru dan perubahan dasar
2. Pentadbiran Seharian
3. Ucapan Selamat, Tahniah dan Takziah
4. Hadir program
5. Lain-lain

Sepanjang 100 hari pertama, Najib mengutus 308 tweets. Kami agak terkejut mendapati hanya empat tweet yang berupa dasar baru iaitu satu peratus. Ini agak membimbangkan kerana pentadbiran negara selama 100 hari, hanya ada empat dasar yang baru.

Tweet Pentadbiran seharian sebanyak 49 peratus, ucapan tahniah, takziah 27 peratus, hadir program 5 peratus dan lain-lain 18 peratus.

Pada masa yang sama, selepas PRU13, negara kita juga penuh dengan cabaran genting. Pejabat saya memilih 10 isu atau cabaran yang paling utama dalam 100 hari Najib menjadi Perdana Menteri. Kami merujuk keratan media, FB dan twitter beliau untuk mencari maklum balas daripada Perdana Menteri.

Kami mengkategorikan 10 berita tersebut kepada 3 kategori: 1. Politik dan Dasar 2. Ekonomi 3. Sosio-Jenayah.

Kami berpendapat, semua cabaran tersebut memerlukan kepimpinan negara yang jelas, tegas dan berwawasan. Namun, mengikut kajian kami, Najib sekali lagi gagal dalam kajian kami.

Dalam 10 isu tersebut, Najib hanya menjawab atau komen dalam dua isu. Hanya satu dasar baru iaitu meletakkan SPR di bawah Parlimen dikemukakan. Itupun belum ada butiran lanjut selepas 77 hari diumumkan pada 1hb Jun 2013.

Kesimpulan yang kami dapati adalah, Najib hilang focus dalam memimpin negara. Beliau juga hilang idea baru. Negara sekarang dalam keadaan autopilot. Pihak konservatif UMNO telah ?hijack? isu-isu dan menjadi suara kepada pentadbiran kerajaan. Kelemahan kepimpinan Najib menjadikan keadaan negara tidak terkawal. Keadaan ini amat membimbangkan.

Pada pendapat saya, Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat harus lebih fokus dalam pengurusan pentadiran. Buat masa sekarang, BN atau PR kurang menonjolkan dasar dan idea baru. Rakyat mahu lihat perubahan yang ketara, maka dasar yang mesra rakyat harus dilaksanakan, harapan mereka tinggi.

Saya belum buat kajian terhadap pentadbiran yang lain, tapi saya ingin memberi pujian kepada Exco Kerajaan Pulau Pinang, YB Jagdeep Singh. Setahu saya, beliau telah berusaha melaksanakan perubahan kepada dasar pemilikan rumah kos rendah dan cuba membersihkan sebarang kecurangan. Inilah dasar dan fokus yang rakyat inginkan.

Maka, saya menyeru semua pentadbiran negara, baik menteri-menteri dari peringkat pusat mahupun exco-exco kerajaan negeri, Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional supaya menumpu balik kepada pentadbiran dan melaksanakan dasar mesra rakyat. Tonjolkan kepimpinan dan pengurusan negara dengan lebih baik.

* Sim Tze Tzin adalah Ahli Parlimen Bayan Baru