Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB pelawa individu 18 tahun ke atas sertai Selangor Freelance

SHAH ALAM, 8 NOV: Dato’ Menteri Besar mempelawa individu berusia 18 tahun ke atas di negeri ini menyertai program Selangor Freelance bagi menjana pendapatan dalam sektor ekonomi digital.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dengan platform Workana menawarkan 5,000 peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerjaan.

“Dalam era pandemik Covid-19, ekonomi gig (sampingan) muncul sebagai peluang baru pekerjaan yang terbina dari pasaran membangun dalam segmen digital.

“Maka, inisiatif dimulakan Kerajaan Negeri ini mampu memberi manfaat kepada warga Selangor serta berpeluang menjana pendapatan menerusi program pengupayaan yang holistik,” tulisnya di Twitter hari ini.

Dilancarkan pada 28 Oktober lalu, peserta Selangor Freelance akan dilatih untuk memanfaatkan kerja sebagai pekerja bebas serta cara menggunakan platform Workana selama dua hari.

Mereka juga akan menerima RM400 daripada Kerajaan Negeri sebaik tamat mengikuti latihan tersebut selain berpeluang memohon pekerjaan bebas digital menerusi platform berkenaan.

Individu yang sudah bekerja atau belum boleh membuat permohonan melalui http://selangor.workana.com.

Pada 20 Januari, Amirudin berkata inisiatif Selangor Freelance bakal mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dan membantu golongan terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Beliau memaklumkan pelaksanaan inisiatif berkenaan disegerakan bagi menyerap hentakan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Selangor Freelance disenaraikan bawah program pendigitalan dalam Belanjawan Negeri 2021 dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat (GLC).

Categories
AGENDA NASIONAL

Pulau Pinang mula beri vaksin individu 18 tahun ke atas tanpa janji temu

KEPALA BATAS, 8 SEPT: Pulau Pinang memulakan pemberian vaksin Covid-19 secara “walk-in” atau secara jumpa terus kepada penduduk warganegara yang berusia 18 tahun ke atas hari ini.

Tinjauan Bernama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Millenium dekat sini mendapati rata-rata penerima vaksin menunggu giliran masing-masing seawal 10 pagi.

Pek Jin Wei, 18, berkata dia sedia mendapatkan suntikan vaksin kerana mahu melanjutkan pelajarannya ke peringkat kolej.

“Saya dapat tawaran belajar di Kolej Two Studio Multimedia Academy (Bukit Mertajam), jadi saya harus divaksinasi bagi mengurangkan risiko (penularan Covid-19) sebelum melaporkan diri nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jin Wei yang ditemani bapanya Pek Kok Lim, 45, berkata, individu yang belum divaksin perlu mengambil peluang sebaiknya kerana ia adalah tanggungjawab sosial yang perlu ada dalam setiap rakyat negara ini.

Selain itu, Mohd Razman Ramli, 23, seorang pembantu kedai makan berkata inisiatif untuk divaksinasi adalah sebahagian daripada tanggungjawab memandangkan dirinya terlibat dalam sektor makanan dan minuman.

“Saya dapat tahu mengenai pemberian vaksin secara walk-in selepas ia ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp. Sebab itu datang sini (PPV Dewan Millenium) untuk divaksin, sebab kerja kedai makan pun ada risikonya jika belum cucuk (vaksin),” katanya.

Razman yang bekerja di kedai makan di Kampung Datuk berkata semua rakyat Malaysia perlu divaksin bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 dan menjaga kesihatan semua.

Sebanyak 10 PPV di Pulau Pinang menawarkan pemberian vaksin Covid-19 secara jumpa terus termasuk PPV SPICE CC, PPV Tapak Pesta Sungai Nibong, PPV Kompleks Sukan Balik Pulau, PPV Pusat Konvensyen Perda, PPV Dewan Millenium, PPV SP Arena, PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya, PPV Vangohh Eminent, PPV Dewan Sungai Bakap dan PPV Dewan Serbaguna Jawi.

Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan beberapa syarat ditetapkan bagi mereka yang mahu mendapat vaksin antaranya menunjukkan MyKad bagi tujuan pengesahan warganegara, mereka yang belum berdaftar atau belum menerima janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar cecah usia 18 boleh divaksin, perlu kebenaran penjaga

PUTRAJAYA, 5 JULAI: Vaksinasi Covid-19 boleh diberikan kepada individu yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dan telah mencecah usia 18 tahun pada tahun ini (2021) namun kebenaran ibu bapa dan penjaga diperlukan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

“Satu syarat lain yang perlu dipenuhi adalah supaya ibu bapa atau penjaga mereka perlu menandatangani surat perakuan kebenaran bagi tujuan ini,” katanya pada sidang media perkembangan PICK di sini hari ini bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy sebelum ini berkata pelajar yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran di luar negara, boleh mendaftar untuk vaksinasi awal di aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata terdapat ciri baharu khas diperkenalkan di Helpdesk aplikasi MySejahtera bagi memudahkan permohonan vaksinasi golongan tersebut.

Menurut Khairy, sejumlah 8,615 janji temu bagi permohonan awal untuk kategori pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara diterima telah diberi.

Khairy dalam pada itu berkata sebanyak 21 pusat pemberian vaksin (PPV) mula beroperasi hari ini, meliputi PPV awam dan PPV integrasi dengan kapasiti sehingga 5,000 suntikan sehari.

Antara PPV baharu yang dibuka adalah Dewan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Afzan di Chenor, Pahang, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA dan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat masing-masing di Selangor.

Khairy dalam pada itu berkata purata pemberian suntikan vaksin yang tinggi dicatatkan pada minggu lepas iaitu sebanyak 230,115 dos sehari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perbaiki proses undi pos antara tumpuan SPR – Azmi

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Usaha menambah baik proses pengundian pos adalah antara tumpuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini bagi mengukuhkan sistem penjalanan pilihan raya negara.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata sebuah jawatankuasa khusus diketuai Ahli SPR Datuk Chin Phaik Yoong sedang mengkaji perkara berkenaan terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu undi pos termasuk hal kertas undi tidak sampai kepada pengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sistem undi pos menghadapi banyak masalah dengan berlaku peratusan yang sangat tinggi (kertas undi pos) tidak sampai. Ini tidak patut berlaku,” katanya dalam wawancara bersama Bernama di sini.

Azmi berkata SPR mengambil maklum hal berkaitan kertas undi pos yang dibangkitkan beberapa pihak termasuk desakan terbaharu yang mahukan suruhanjaya itu mempertimbangkan cadangan membenarkan pengundi Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, bulan depan.

Menyentuh hal itu, beliau berkata kemudahan undi pos tidak dapat diberikan kepada pengundi luar kawasan seperti yang berada di Semenanjung Malaysia berikutan sistem sedia ada tidak mampu menampung jumlah yang besar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 pada 17 Ogos 2020. Foto BERNAMA

Katanya, faktor pertambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 73 kerusi juga menyebabkan kemudahan itu sukar dilaksanakan, selain SPR tidak sempat menambah baik sistem undi pos memandangkan ia adalah pilihan raya mengejut.

Azmi berkata SPR memahami kekecewaan pengundi Sabah berhubung perkara berkenaan dan sebagai sebuah agensi yang matang, SPR mendengar setiap kritikan yang dilemparkan dan akan berusaha gigih memperbaiki proses undi pos negara ini.

“Jika kita tak dapat sediakan satu sistem yang sempurna dan selamat, ia lebih berbahaya jika kita melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa. Ia mungkin menimbulkan lebih masalah daripada apa yang kita hendak selesaikan.

“Kita ingin menyelesaikan suatu masalah tetapi kita mungkin menyebabkan timbul masalah lain. Jadi, adalah lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian. Saya faham, tetapi inilah penjelasan saya, kalau rakyat Sabah masih marah, saya minta maaf,” jelasnya.

SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September, dengan hari pencalonan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September, membabitkan 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Mengenai sistem pilihan raya negara secara keseluruhannya, Azmi yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya, berkata terdapat banyak penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan rakyat, antaranya sistem ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) dan sistem pemerhati.

Menurut Azmi, kehadiran PACA bagi memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap saluran tidak memungkinkan berlaku penipuan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

“Dahulu ada yang menyatakan muncul kotak baharu dan sebagainya, tetapi kini saya rasa hampir mustahil perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 (penyata pengundian selepas pengiraan undi) yang ditandatangani oleh saksi iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.

“Jika ada sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian itu adalah lebih telus. Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan, susah untuk mengundang perkara yang tidak elok berlaku,” katanya yang terlibat dalam pengendalian enam pilihan raya kecil, sejak dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada Februari 2019.

Mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan bertanding sebagai calon serta pendaftaran pengundi secara automatik, Azmi berkata SPR sedang bertungkus-lumus menyediakan sistem yang baik dan selamat bagi melaksanakan pindaan berkenaan.

Katanya sistem pendaftaran secara automatik dijangka tersedia pada pertengahan tahun depan berikutan SPR perlu menyelesaikan pelbagai isu termasuk kesukaran menentukan daerah tempat mengundi kerana alamat yang tidak lengkap, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.

“Kalau orang itu dalam penjara dia tak boleh mengundi, begitu juga yang dalam hospital mental, kita tak boleh daftarkan. Ini bukan perkara mudah dengan sekadar mengambil (data) dari JPN. Sistem harus dijamin selamat sehingga data yang dipindahkan terpelihara,” jelasnya.

Azmi berkata dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, SPR menjangkakan bilangan pemilih berdaftar yang ketika ini berjumlah kira-kira 15 juta akan meningkat kepada lebih 19 juta orang, termasuk kira-kira empat juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi apabila sistem berkenaan siap kelak.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Undi 18: Belia 21 tahun turut didaftar secara automatik – Tun M

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Pendaftaran automatik warganegara berusia 18 tahun susulan Pindaan Perlembagaan Persekutuan akan turut meliputi belia berumur 21 tahun yang belum mendaftar sebagai pemilih.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu akan diberi keutamaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang memohon pengesahan daripada kerajaan bahawa 3.9 juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan layak mengundi, tetapi belum didaftarkan sebagai pengundi akan terdaftar secara automatik selepas pindaan itu diluluskan.

“Kita sedar bahawa antara mereka yang sudah cukup umur (21 tahun) tetapi tidak mendaftar dahulu, mereka juga akan didaftarkan secara automatik,” kata Dr Mahathir ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu kemudian diluluskan Dewan Rakyat setelah memperoleh lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, agensi-agensi pelaksana yang terlibat secara langsung dalam pendaftaran automatik sewajarnya diberi peluang dan ruang untuk membuat persediaan teratur, umpamanya dari segi integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain agensi yang berkaitan.

“Haruslah diingat dengan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan anggaran 7.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam daftar pemilih untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Ini bukanlah tugas yang mudah kerana melibatkan kos, masa, penetapan lokaliti dan bahagian pilihan raya yang betul,” jelas perdana menteri.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan apa-apa kesilapan kepada daftar pemilih kerana ia melibatkan hak setiap warganegara yang layak mengundi seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir turut menjawab beberapa lagi persoalan dibangkitkan ahli Parlimen, termasuk menyatakan kerajaan tidak bercadang mewajibkan pengundi keluar mengundi semasa pilihan raya sebaliknya akan meningkatkan usaha memberi kesedaran kepada mereka.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga belum mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi maksud penurunan had umur calon tetapi yakin ia akan mendapat sokongan pihak itu kerana memberi ruang dan peluang kepada wakil belia untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Dr Mahathir berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan itu adalah bukti kerajaan Pakatan Harapan serius dalam merealisasikan Janji 17 dalam Buku Harapan, iaitu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara.

– BERNAMA