Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Ahli parlimen HARAPAN kemuka usul rujuk Najib ke jawatankuasa khas Parlimen

SHAH ALAM, 3 MAC: Ahli Parlimen Damansara membuat usul supaya Datuk Seri Najib Razak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menyatakan usul itu telah diserah kepada pejabat Speaker Dewan Rakyat, Tony Pua berkata kenyataan bekas perdana menteri yang menyebut tiada satu sen prinsipal hutang 1MDB dibayar kerajaan adalah palsu.

“Beliau (Najib) dalam ucapannya semalam mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan dan boleh disifat sebagai menghina majlis. Secara spesifiknya, beliau mengelirukan dewan,” katanya pada sesi dewan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng turut menyokong kenyataan Pua dan meminta ahli parlimen Pekan itu dirujuk ke jawatankuasa berkenaan.

“Tidak ada alasan selain merujuk Pekan (Najib) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Dalam dewan jangan tipu dan bohong. Jangan kelirukan dewan yang mulia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kerajaan membayar faedah hutang 1MDB kira-kira RM6.5 bilion.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM perlu berani ambil tindakan terhadap orang kenamaan seleweng dana negara

SEGAMAT, 2 MAC: Pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu berani mengambil tindakan terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan yang menyeleweng dana negara.

Menegaskan penyelewangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu disiasat secara menyeluruh, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenyataan beliau dalam isu itu bukan fitnah sebaliknya bersandarkan keterangan mahkamah Amerika Syarikat.

Ketua pembangkang itu menjelaskan pendedahan wanita lantikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menggunakan dana 1MDB sebanyak RM41 juta untuk membeli rumah di London perlu disiasat.

“Saya tidak akan keluar kenyataan jika tiada bukti sahih, tiada laporan.

“Kalau SPRM tanya, polis hendak siasat, silakan. Tetapi saya bagi syarat, ada bukti ambil tindakan tidak kira dia Tun, Datuk Seri. Kita mesti berani ambil tindakan kerana wang rakyat diambil secara tidak sah.

“Kita marah sebab ambil wang negara, ini kenyataan di mahkamah. Dalam Jabatan Kehakiman Amerika, keluar bukti judi kasino di Los Angeles rugi berbelas-belas juta menggunakan wang 1MDB,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berucap dalam program jelajah di Felda Palong Timur 2 di sini petang tadi yang turut disertai calon KEADILAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap C Subramani.

Semalam, Anwar meminta kerajaan persekutuan memberi penjelasan penuh isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan skandal 1MDB.

Beliau dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat menegaskan tindakan tersebut perlu disegerakan berikutan pembongkaran kes berkenaan pada peringkat antarabangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan seleweng dana SRC sebahagian kecil kes libat Najib

SHAH ALAM, 28 JULAI: Keputusan mahkamah hari ini mensabitkan hukuman salah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sebahagian kecil berbanding banyak lagi kes melibatkannya terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua penerangan KEADILAN berkata perkara berkenaan dibangkitkan sejak 2011 di Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan hari ini juga dicapai melalui kebebasan sistem kehakiman, prinsip yang diperjuang dan menjadi sebahagian asas penubuhan KEADILAN.

“Kita akan terus berjuang memastikan reformasi institusi dilaksanakan dan dipertahankan serta terus menambah baik persekitaran demokratik seiring dengan tata kelola kerajaan yang baik,” kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik keputusan mahkamah yang menyaksikan bekas perdana menteri berdepan tujuh pertuduhan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Shamsul Iskandar menjelaskan pihaknya bersama rakan-rakan dalam blok pembangkang akan terus bersama dan berikhtiar mengembalikan mandat rakyat untuk membolehkan reformasi menyeluruh dilaksanakan di segenap peringkat.

“Kami yakin rakyat mahukan reformasi dan akan terus menyokong pemimpin serta parti yang komited dengan agenda ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN tak putus asa buru dalang skandal 1MDB

SHAH ALAM,14 JAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak berputus asa memburu individu yang menjadi dalang dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  Jho Low.

“Saya akui saya gagal, bukan gagal sebab saya nak tunjuk saya superhero, tetapi saya janji dulu nak berusaha (menangkap Jho Low). Malangnya saya berdepan rintangan yang didirikan oleh pihak tertentu agar dia tidak dapat dibawa kembali ke sini untuk didakwa di mahkamah.

“Saya tak putus asa (dan) akan terus berusaha sebab seperti yang saya sebut pada 2015, ini satu rompakan yang merugikan negara. Masih ada berbilion dolar AS dalam kawalannya,” lapor Malaysiakini.

Abdul Hamid bagaimanapun tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkan menghalang penangkapan Jho Low.

Dalam wawancara Jho Low dengan media Singapura Straits Times baru-baru ini, dia menafikan menjadi dalang dalam skandal 1MDB, dan berkata hanya menjadi orang tengah untuk urus niaga syarikat itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat entiti terima wang besar daripada akaun peribadi Najib

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa UMNO, Wanita MCA, Syarikat Binsabi Sdn Bhd dan Syarikat Perano Sdn Bhd telah menerima sejumlah besar wang daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat berkata penerimaan wang dalam jumlah yang begitu banyak daripada seorang perdana menteri (kini bekas) telah menimbulkan syak wasangka.

Beliau berkata Syarikat Perano sebagai contoh menerima ratusan ribu ringgit untuk pembayaran pembekalan tudung membabitkan projek Barisan Nasional (BN) dan pembayaran berkenaan sepatutnya dibuat daripada tabung UMNO atau BN, sebaliknya wang itu diterima daripada akaun peribadi Najib.

“Syarikat Binsabi pula terima bayaran bagi pembekalan khemah juga untuk kegunaan parti tetapi bayaran bukan dari akaun parti. Bagaimana seorang perdana menteri boleh keluarkan cek hampir RM1 juta untuk bayar, justeru ada syak yang munasabah mana datang duit begitu banyak daripada akaun seorang individu.

“Manakala UMNO dan Wanita MCA pula ialah organisasi bukan mencari keuntungan dan mereka sukar untuk menjana pendapatan yang banyak. Namun, dalam kes ini kedua-dua pihak telah terima lebih daripada RM200 juta, bagaimana parti politik boleh terima jumlah yang begitu besar daripada seorang perdana menteri,” katanya.

Mahadi berkata demikian pada prosiding permohonan untuk melucut hak wang berjumlah hampir RM194 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada empat entiti itu yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam permohonan mengikut Seksyen 56 (1) dan Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 itu, pihak pendakwaan memohon untuk melucut hak wang RM192 juta daripada UMNO, Wanita MCA (RM300,000), Syarikat Perano (RM337,000) dan Syarikat Binsabi (RM827,250).

Mengenai dakwaan responden bahawa mereka tiada pengetahuan mengenai sumber wang yang diterima, Mahadi berkata ia bukan satu pembelaan yang kuat.

“Ketika penerimaan (wang) mereka tiada pengetahuan tetapi ketika sitaan mereka tahu dari mana sumber wang itu. Sekiranya wang yang diterima dilupuskan sepenuhnya, mereka boleh lucut hak kepada kerajaan dengan dua cara iaitu menggantikannya semula di bawah Seksyen 56 AMLATFPUAA atau dengan cara rela hati (pulangkan) seperti yang telah dibuat dalam beberapa kes sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili UMNO, Datuk Hariharan Tara Singh berhujah bahawa pendakwaan telah menggunakan peruntukan yang salah di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 61 AMLATFPUAA dalam memfailkan permohonan lucut hak itu.

Beliau berkata, apabila pendakwaan memfailkan permohonan itu, mereka sedar bahawa Mahkamah Tinggi lain masih lagi mendengar kes 1MDB Najib mengenai pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

“Pihak pendakwaan sepatutnya memfailkan permohonan mereka di bawah Seksyen 55 AMLATFPUAA,” katanya.

Seksyen 55 akta itu memberi kuasa kepada pendakwa raya untuk melucut hak setelah orang yang dituduh telah disabitkan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 6 Februari untuk membuat keputusan.

Wanita MCA diwakili peguam Datuk Ben Chan, Perano diwakili peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman manakala Binsabi diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Muhammad Hasif Hasan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Riza Aziz hantar representasi semak tuduhan

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) telah menghantar representasi untuk menyemak semula pertuduhan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam kepada pemberita selepas pengurusan kes berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu di kamar Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, hari ini.

“Pihak peguam telah menghantar representasi itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 November lepas dan akan mengemas kini status representasi yang dibuat oleh pihak pembelaan pada pengurusan kes akan datang,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 13 Disember ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui status representasi itu.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Riza, Datuk Hariharan Tara Singh.

Dalam pada itu, Mohamad Mustaffa berkata, pihaknya juga perlu menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes ini kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Setakat ini ada beberapa dokumen akan diserahkan dan kami akan menyerahkan senarai saksi semasa pengurusan kes nanti manakala penyataan saksi akan diserahkan dua minggu sebelum bicara bermula,” katanya.

Pada 9 Ogos, Rozina menetapkan 6 hingga 9 Januari dan 13 hingga 16 Januari 2020 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 5 Julai lalu, Riza, 43, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Keputusan lucut hak harta UMNO Kelantan 24 Januari depan

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Januari tahun depan untuk keputusan permohonan pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang berjumlah RM32,962.87 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

Wang tersebut yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas, didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim dan peguam Nurul Hazreen Ahmad Kamal yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

Nik Haslinie berkata pihak pendakwaan selaku pemohon telah membuat permohonan melucut hak wang dalam akaun semasa milik Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang merupakan responden dalam permohonan itu mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Pihak SPRM telah menyita wang RM32,962.87 pada 29 Jun 2018 dan berdasarkan kepada notis usul dan afidivit yang difailkan pendakwaan memohon untuk melucut hak wang tersebut,” katanya semasa prosiding kes itu.

Terdahulu, Nurul Hazreen berkata responden tidak mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa wang itu merupakan satu pengubahan wang haram dan tidak mempunyai syak munasabah terhadap sumber kewangan tersebut.

Bagaimanapun, Nik Haslinie berkata pihak responden sewajarnya mempunyai syak dan sebab munasabah wang tersebut adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Pihak responden wajar mempunyai syak dan sebab munasabah ke atas wang itu kerana Najib adalah tiga entiti berbeza iaitu sebagai Datuk Seri Najib Tun Razak atau Perdana Menteri atau Presiden UMNO. Pada hari ini cek-cek diterima daripada akaun Najib atas kapasiti peribadinya sendiri bukan kapasiti sebagai Perdana Menteri atau Presiden UMNO.

“Oleh itu, hujahan responden yang tiada pengetahuan tentang sumber kewangan itu tidak wajar diterima oleh mahkamah,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya sebelum ini dilaporkan berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) setelah suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan audit terkejut rakaman minta gugur penyata kewangan 1MDB

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau dan anggota pasukan khas audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terkejut apabila mendengar rakaman suara meminta menggugurkan penyata kewangan 1MDB semasa mesyuarat membincangkan laporan audit syarikat itu.

Nor Salwani Muhammad, 52, berkata beliau mendengar rakaman mesyuarat itu bersama pasukannya sebaik sahaja kembali ke pejabatnya selepas mengiringi bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan seorang pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad untuk menghadiri mesyuarat itu pada 24 Februari 2016.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan audit akhir 1MDB.

“Selepas mendengar rakaman itu, kami terkejut dengan apa yang berlaku dalam mesyuarat. Antara yang memeranjatkan kami adalah apabila diminta menggugurkan dua penyata kewangan 1MDB supaya ia tidak dilaporkan dalam laporan audit,” katanya.

Saksi berkata, selepas mendengar rakaman audio itu yang dirakam menggunakan perakam, beliau telah memindahkannnya ke dalam cakera keras rasmi milik JAN dan ‘thumb drive’ untuk tujuan keselamatan.

Jelas beliau lagi, rakaman asal audio tersebut telah dipadam kerana beliau bimbang akan diambil tindakan berikutan tindakannya merakam mesyuarat itu tanpa memaklumkan kepada pengerusi mesyuarat.

Mesyuarat itu turut dihadiri bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Arul Kanda, Tan Sri Shukry Mohd Salleh daripada Pejabat Perdana Menteri serta Datuk Seri Mohamad Isa Hussain daripada Perbendaharaan.

Selasa lepas, ketika memberi keterangan, Ali menegaskan bahawa mesyuarat 24 Februari, 2016 itu diadakan atas arahan Najib yang mahu penyelarasan dalam Laporan Audit 1MDB.

Nor Salwani berkata, sepanjang 22 tahun bekerja, pengalaman mendengar rakaman mesyuarat bertarikh 24 Februari 2016 itu adalah yang pertama bagi beliau dan kandungan rakaman itu sangat mengejutkan.

Sri Ram: Dari segi kebiasaan, bagaimana kamu menerangkan keadaannya (mesyuarat 24 Feb, 2016) ?

Nor Salwani: Tidak normal

Terdahulu, saksi itu mengakui bahawa beliau yang membuat rakaman audio berdurasi dua jam 45 minit pada mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda Laporan Pengauditan 1MDB pada 24 Feb 2016.

Katanya beliau telah memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensel milik Saadatul Nafisah tanpa pengetahuannya (Saadatul Nafisah) sebelum mesyuarat bermula bagi tujuan membuat minit mesyuarat kerana beliau tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat.

Najib, 66, diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan jawatannya mengarahkan supaya laporan audit akhir 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Pengauditan akhir 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil Jabatan Audit mengaku rakam mesyuarat ‘Pinda Laporan Audit 1MDB’

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Seorang saksi hari ini mengakui bahawa beliau yang membuat rakaman audio berdurasi dua jam 45 minit pada mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Februari 2016.

Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN), Nor Salwani Muhammad, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensil milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil JAN tanpa pengetahuannya ( Saadatul Nafisah) sebelum mesyuarat bermula.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata, beliau berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana beliau tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat itu.

“Saya dilantik sebagai koordinator penyediaan laporan audit 1MDB. Disebabkan itu saya perlu mengetahui apa yang dibincangkan dalam mesyuarat terbabit kerana saya tidak boleh menyertainya (mesyuarat).

“Saadatul Nafisah tidak tahu yang saya menyimpan perakam dalam bekas pensil miliknya. Selepas mesyuarat habis, saya ambil perakam itu daripada bekas pensilnya sebelum membawanya ke pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram di hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Ditanya Sri Ram perakam suara itu milik siapa, Nor Salwani berkata, ianya hak milik JAN.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi itu berkata, beliau tidak sempat memberitahu Saadatul Nafisah mengenai tindakannya meletakkan perakam tersebut ke dalam bekas pensil serta tidak berniat untuk menyorok perakam itu.

“Apabila saya diarah keluar dalam keadaan tergesa-gesa sebelum mesyuarat itu bermula, saya nampak bekas pensil di atas meja dan saya terus masukkan perakam ke dalamnya,” katanya.

Muhammad Shafee: Takkan kamu tidak ada etika untuk memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) bahawa kamu sebagai wakil audit kena meletakkan alat perakam untuk tujuan mencatit minit?

Nor Salwani: Ketika itu, saya dalam keadaan kekalutan..saya tidak berpeluang untuk menyatakan demikian.

Semalam, rakaman audio mesyuarat itu yang dikaitkan dengan dakwaan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB yang dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Rabu depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Najib untuk periksa dokumen Justo didengar 13 Disember

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Disember untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan dan memeriksa dokumen diserahkan Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu dibuat berkaitan dengan perbicaraan rasuah dihadapi Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen yang diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes hari ini yang dihadiri peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Hakim turut memerintahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan mereka sebelum atau pada 30 November.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata, beliau menerima afidavit berhubung permohonan itu oleh pihak pendakwaan semalam dan akan menjawab afidavit itu pada Selasa depan.

“Afidavit pihak pendakwaan telah disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Mustafa memberitahu media bahawa dalam afidavit itu, Azam menyatakan dokumen itu diterima dalam kedudukan rahsia rasmi dan dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan.

Seorang lagi peguam mewakili Najib, Al Firdaus Shahrul Naing berkata, Justo pada waktu material merupakan pengarah PetroSaudi International Ltd dan beliau mempunyai akses kepada dokumen berkenaan.

Najib, 66, sebagai pemohon memfailkan notis usul pada 16 Oktober dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Najib antara lain memohon mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen yang dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin telah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu adalah tidak bercanggah dengan kepentingan awam, dan sebaliknya tidak mendedahkan dan menolak untuk ia diperiksa adalah menafikan hak pemohon untuk mendapat perbicaraan adil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendaftar SSM: 1MDB miliki modal terbitan RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 27 Februari 2009, mempunyai modal terbitan sebanyak RM1 bilion.

Penolong Pendaftar SSM, Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata, syarikat persendirian itu yang mempunyai nombor pendaftaran syarikat 848230-V turut melantik beberapa individu termasuk Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai pengarah syarikat.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam pada hari pertama perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Syarikat 1MDB yang ditubuhkan dengan nama Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) ditukarkan nama kepada 1MDB pada 25 September 2009 dan Arul Kanda dilantik sebagai CEO pada 1 Januari, 2015.

Ketika merujuk kepada ‘written element of share’, bagi TIA, saksi berkata satu juta unit saham diterbitkan dan dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan.

Terdahulu, saksi pendakwaan pertama Setiausaha Bahagian (Perlembagaan dan Urusan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor, 55, mengesahkan jawatan yang pernah dipegang oleh Najib termasuk sebagai Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri dari 2006 hingga 2018.

Sementara itu, Akauntan Bahagian Kewangan Jabatan Perdana Menteri, Natasha Rahimah Haryati Mohamad, 47, yang merupakan saksi pendakwaan kedua menjelaskan mengenai penyata pendapatan tahunan dan penyata gaji Najib dari Januari 2006 hingga Mei 2018.

Katanya, Najib memperolehi gaji kasar sebulan RM58,605.15 dari April 2009 hingga Mei 2018 melalui akaun Bank Affin miliknya selain menerima bayaran khas RM1 juta selepas bersara sebagai Perdana Menteri seperti yang ditetapkan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan bersama-sama dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram Gharib, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Zulkefli, Hazmida Harris Lee, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Syahirah Hanapiah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili peguam Datuk N Sivananthan, Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari, 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penangguhan ditolak, Bicara pinda audit 1MDB Najib-Arul Kanda bermula

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Perbicaraan bersama Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di atas pertuduhan bersubahat dalam membuat pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, bermula hari ini selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian memerintahkan perbicaraan itu dimulakan.

Najib dalam permohonannya bertarikh 13 November, berkata jika perbicaraan itu diteruskan seperti yang dijadualkan, beliau akan mengalami prejudis kerana beliau dan peguamnya akan memerlukan satu tempoh masa yang munasabah dan cukup untuk menyiapkan pembelaannya untuk kes SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu kini bersiap untuk masuk pembelaan diri bagi kes melibat SRC International Sdn Bhd, di mana beliau didakwa dengan tujuh pertuduhan penyelewengan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi yang lain. Pembelaan beliau akan disambung pada 3 Disember.

Beliau menyatakan bahawa dalam permohonan itu pasukan pembelaannya, pada masa yang sama, juga terlibat dalam penyediaan satu lagi kes 1MDB yang akan bermula pada 28 Ogos.

Permohonan Najib, bagaimanapun telah dibantah oleh Arul Kanda, yang menggesa mahkamah agar melihat kepada kepentingan setiap individu tertuduh, bukan kepada seorang tertuduh sahaja, dan meminta mahkamah agar meneruskan perbicaraan kerana beliau mahu diberi peluang untuk keadilan terhadap diri sendiri.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan bersama-sama dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram Gharib, Rozaliana Zakaria, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Zulkefli, Hazmida Harris Lee, Tan Song Yan, Fatimah Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa Zainal Abidin.

Arul Kanda Kandasamy. Foto BERNAMA

 

Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Syahirah Hanapiah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh peguam Datuk N Sivananthan, Jasmine Cheong dan Dhanyaa Shreeya Sukumar.

Pada 4 Januari tahun ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pendakwaan bagi kes melibatkan Najib dan Arul Kanda didengar bersama-sama.

Pada 12 Disember, 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib dituduh, atas kapasitinya sebagai seorang pegawai awam iaitu Perdana Menteri, menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA