Categories
AGENDA NASIONAL

Tarek Obaid terima AS$85 juta komisen perjanjian 1MDB-PSI

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PetroSaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid menerima AS$85 juta sebagai komisen daripada syarikat itu, didakwa dimiliki ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Bekas CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata syarikat, Good Star Ltd telah membayar AS$85 juta kepada Tarek, yang juga merupakan pengasas bersama PSI, sebagai komisen bagi perjanjian usaha sama antara PSI dan 1MDB.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa beliau ditunjukkan penyata bank JP Morgan oleh peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas pada hari ke-28 perbicaraan kes 1MDB bekas Perdana Menteri.

Muhammad Shafee: Berdasarkan penyata bank, Tarek dibayar AS$85 juta daripada AS$700 juta oleh Good Star untuk komisen, sebagai sebahagian daripada JV (usaha sama) antara 1MDB dan PSI.

Shahrol Azral: Ya. Usaha sama itu adalah perjanjian antara 1MDB-PetroSaudi.

Muhammad Shafee: Jadi, sebanyak AS$700 juta wang kita ke sana, AS$85 juta kepada Tarek sebagai komisen atau hanya dakwaan sebagai komisen, Shahrol Azral menjawab, “Ya”.

Muhammad Shafee: Adakah ini komisen bona fide (sebenar) atau pencurian secara terang-terangan?

Shahrol Azral: Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk menentukannya.

Muhammad Shafee: Anda adalah jurutera. Berapakah peratusannya?

Shahrol Azral: Lebih sedikit 10 peratus.

Muhammad Shafee: Cukup tinggi komisen bagi satu usaha sama dan saksi menjawab, “Ya”.

Shahrol Azral juga bersetuju dengan Muhammad Shafee dia tidak dimaklumkan oleh Tarek pada masa itu mengenai bayaran tersebut, yang mungkin ada konflik kepentingan bagi pihak Tarek.

Ditanya sama ada Tarek isytiharkan wang itu hasil daripada usaha sama tersebut, Shahrol Azral berkata, “Tidak”.

Terdahulu, Shahrol Azral bersetuju dengan Muhammad Shafee, Tarek telah membayar sebahagian daripada AS$85 juta yang diterima daripada Good Star kepada Pengarah PetroSaudi Patrick Mahoney.

Muhammad Shafee berkata, berdasarkan dokumen perbankan, Tarek telah memindahkan AS$33 juta ke akaun bank milik Patrick Mahoney pada 20 Oktober 2009.

Peguam itu berkata, ini kira-kira dua minggu selepas Tarek menerima AS$85 juta daripada Good Star, yang sebelum itu menerima AS$700 juta daripada 1MDB.

Muhammad Shafee: Jadi, Tarek menerima AS$85 juta, kemudian dia bayar Patrick Mahoney AS$33 juta, Shahrol Azral menjawab, “Ya”.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau tidak mengetahui apa-apa tentang bayaran yang diterima Tarek dan Patrick Mahoney.

Shahrol Azral juga berkata mungkin Tarek membayar kira-kira £127,000 bagi perkhidmatan guaman kepada White & Case, firma guaman London yang mewakili syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi dan pembayaran itu mungkin dibuat oleh, sama ada PSI atau PetroSaudi Cayman.

Saksi itu berkata demikian selepas Muhammad Shafee membangkitkan bayaran perkhidmatan undang-undang kepada firma guaman itu.

Muhammad Shafee: Tetapi hakikatnya ia datang daripada Tarek, adakah ia tidak menunjukkan sesuatu? Shahrol Azral menjawab, “Tanpa maklumat lanjut, saya tidak dapat memastikan”.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB saluran strategik bagi Najib

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, 1MDB adalah saluran strategik bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sebagai pekerja, beliau mahu berkhidmat dengan baik.

Shahrol Azral, 49, bagaimanapun, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau akan terus meletakkan jawatan sekiranya diberi peluang memegang jawatan CEO 1MDB semula.

Dalam pemeriksaan balas peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi kesembilan pihak pendakwaan itu memberi keterangan sekiranya beliau mengetahui pembohongan yang dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang, beliau secara sukarela akan melepaskan jawatannya itu.

“Pada masa itu, saya tidak mungkin tahu berapa banyak kebenaran yang diberitahu kepada saya oleh Jho Low dan Casey mengenai usaha sama 1MDB-PetroSaudi. Termasuk pengalihan sebanyak AS$700 juta untuk usaha sama itu,” katanya.

Terdahulu, mahkamah mendengar A$700 juta dipindahkan ke akaun Good Star Ltd, syarikat yang pada mulanya dikatakan sebagai anak syarikat PSI tetapi kemudiannya didedahkan sebagai syarikat yang dikuasai Jho Low.

Shahrol Azral berkata, beliau mula menunjukkan keterangan dokumentari atau documentary evidence mengenai pemilikan Jho Low terhadap Good Star apabila dia disiasat pada 2018 oleh pihak berkuasa Malaysia.

Muhammad Shafee kemudiannya merujuk saksi kepada e-mel antara Deutsche Bank dan RBS Coutts, menyatakan walaupun RBS Coutts adalah penerima AS$700 juta, ia tidak dapat mengkreditkan dana itu ke dalam akaun yang bernombor 11116073, melainkan nama penuh pemegang akaun diperoleh.

Shahrol Azral mengakui beliau telah melihat e-mel koresponden sebelum itu dan memandangkan beliau bertindak bagi pihak 1MDB, beliau bertanggungjawab untuk mengetahui siapakah pemegang akaun itu.

“Ia adalah penting. Saya telah membuat salinan dan menghantar e-mel itu ke BlackBerry Messenger (BBM) Jho Low untuk meminta maklumat yang diperlukan oleh RBS Coutts.

“Jho Low adalah yang pertama menjawab, selepas dia menjawab, saya tidak fikir ada pengesahan lain daripada pihak lain,” kata Shahrol Azral.

Mengulas perkara itu, peguam itu berkata, Shahrol Azral hanya mendapatkan maklumat itu daripada Jho Low kerana beliau tahu sensitiviti nama pemegang akaun, dan beliau tahu ia adalah Good Star, yang mana saksi tidak bersetuju.

Shahrol Azral berkata, ini adalah kerana Jho Low adalah penyelaras dan perancang urus niaga dan satu-satunya orang yang akan memaklumkan kepada beliau ketika transaksi berjalan.

Prosiding hari ini merupakan perbicaraan hari ke-28 kes terhadap Najib, 66, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas CEO 1MDB: Mungkin salah saya dengar cakap Najib

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa mungkin salahnya ‘mendengar’ cakap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal berkaitan dengan dana syarikat milik negara itu.

Shahrol Azral, 49, saksi dalam kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas mengenai sama ada beliau mempunyai kewajipan fidusiari terhadap bekas Perdana Menteri itu, berkata: ‘Ya’.

Saksi itu kemudian diminta oleh peguam untuk mengemukakan apa-apa dokumen yang menyatakan bahawa beliau mempunyai kewajipan fidusiari kepada pengerusi lembaga penasihat.

Muhammad Shafee: Adakah kamu tahu tugas fidusiari kamu hanya kepada 1MDB, sebagai sebuah syarikat, malah bukan kepada pemegang saham? Ini undang-undangnya.

Shahrol Azral: Saya tidak tahu.

Muhammad Shafee: Bolehkah kamu tunjukkan sebarang dokumen yang menyatakan kamu mempunyai tanggungjawab fidusiari kepada pengerusi lembaga penasihat?

Shahrol Azral, bagaimanapun tidak dapat mengemukakan dokumen berkenaan.

Muhammad Shafee: …kerana kamu tidak faham konsep undang-undang syarikat, saya katakan kepada kamu bahawa kamu tidak faham mengenai undang-undang syarikat.

Shahrol Azral: Mungkin saya silap untuk menganggap bahawa saya patut mendengar Datuk Seri Najib dalam semua hal berkaitan 1MDB.

Peguam itu kemudian menyoal saksi sama ada Najib pernah memintanya untuk hanya mendengar lembaga penasihat dan tidak melaporkan kepada lembaga pengarah.

“Tidak, beliau tidak pernah. Kalau boleh saya tambah, beliau juga tidak pernah berkata ‘Shahrol (Azral) dengar kepada lembaga pengarah sahaja, jangan dengar cakap saya’,” kata saksi itu.

Muhammad Shafee kemudiannya merujuk kepada minit mesyuarat pada Oktober 2009, yang menyatakan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat.

Shahrol Azral berkata, dokumen berkenaan disediakan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Muhammad Shafee: Jho Low nampaknya tahu apa yang PM mahu cakap.

Shahrol Azral: Ya, menarik bukan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lembaga Pengarah 1MDB tidak dimaklum dana JV AS$1 bilion dipecah

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dimaklumkan mengenai keputusan untuk memecahkan dana AS$1 bilion untuk syarikat usaha sama (JV) 1MDB-PetroSaudi International Ltd (PSI) kepada AS$300 juta dan AS$700 juta, dengan jumlah besar kepada Good Star Ltd.

Sebelum itu, saksi dalam perbicaraan kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, maklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa AS$700 juta telah dipindahkan ke akaun Good Star Ltd, syarikat yang pada mulanya dikatakan sebagai anak syarikat PSI tetapi kemudiannya didedahkan sebagai syarikat yang dikuasai ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, persetujuan lembaga pengarah tidak diperoleh sebelum dana berkenaan dipecahkan disebabkan kekangan masa dan “kerana ia perlu dilakukan”.

Semasa ditanya peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, semasa pemeriksaan balas, saksi itu berkata berdasarkan kepada Resolusi Pekeliling Pengarah( DCR), lembaga pengarah sebelum itu telah meluluskan sejumlah wang (AS$1 bilion) untuk dibayar hanya kepada syarikat JV yang akan menerima satu bilion saham.

Shahrol Azral bagaimanapun tidak dapat menamakan individu di sebalik keputusan untuk memecahklan dana tersebut, yang bertentangan dengan DCR.

“Saya telah bersetuju untuk memecahkannya dengan andaian ia boleh dilakukan dan memandangkan Jho Low rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan pada masa itu, dalam fikiran saya ‘ini suatu yang perlu dilakukan dan semua dalam keadaan baik’.

“Casey Tang (Pengarah Eksekutif 1MDB) meyakinkan saya yang tidak mengapa (dipecahkan) dan kami akan memaklumkan lembaga pengarah kemudiannya,” kata saksi pendakwaan itu.

Terdahulu, saksi itu berkata pemecahan wang AS$1 bilion itu berlaku selepas Casey membawa dokumen yang ditandatangani CEO dan pengasas bersama PSI, Tarek Obaid untuk meminda beberapa klausa dalam perjanjian JV.

Shahrol Azral berkata, beberapa pindaan itu termasuk perubahan akaun bank JV daripada Banca Della Svizerra Italiana (BSI) Bank kepada JP Morgan dan AS$700 juta akan dibayar kepada PSI.

Saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau mengetahui mengenai pemecahan dana tersebut dan keputusan memecahkan pembayaran AS$1 bilion untuk syarikat JV kepada AS$700 juta dan AS$300 juta sebagai cuai.

“Ia hanya mengenai bagaimana pembayaran dibuat kepada syarikat JV, Casey meyakinkan saya dan dengan niat baik, saya menerimanya dan ia bukan cuai, keputusan dibuat berdasarkan apa yang saya tahu dan percaya pada masa itu,” katanya.

Shahrol Azral berkata beliau tidak berminat untuk membaca laporan 1MDB disediakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) yang telah menuduhnya terlibat dalam pemindahan AS$700 juta dana 1MDB kepada Good Star milik Jho Low pada 2009.

“Saya mengimbas dokumen itu tetapi ia mempunyai maklumat tidak lengkap. DOJ tidak bertanya langsung kepada saya (mengenai 1MDB). Jadi lebih baik saya membiarkan pihak berkuasa Malaysia menyiasat dan melaporkan,” katanya.

Menurut laporan itu, Sharol Azral memaklumkan, DOJ menggelarnya ‘1MDB Official Number 2’ manakala Casey Tang ‘1MDB Official Number 1’.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Kes lucut hak wang Yayasan Tun Hussein Onn didengar 15 November

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 15 November untuk mendengar permohonan lucut hak wang RM1,980,328.37 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Yayasan Tun Hussein Onn yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh tersebut semasa sebutan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farez Rahman dari SPRM dan peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili yayasan itu.

Hariharan memberitahu mahkamah bahawa terdapat perkembangan terbaru mengenai kes tersebut.

“Sekiranya dibenarkan mahkamah, pihak kami memohon tarikh bicara pada 15 November depan, iaitu tarikh yang sesuai bagi pihak pendakwaan dan pembelaan manakala tarikh bicara pada 4 November yang sebelum ini telah ditetapkan mahkamah dilapangkan.

“Ini kerana kami memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan arahan anak guam mengenai perkembangan terbaru kes,” katanya.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan terhadap yayasan tersebut mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, SPRM memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB di mana SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan pindah kes Goldman Sachs ke Mahkamah Tinggi 31 Oktober

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Pihak pendakwaan telah menfailkan permohonan untuk memindahkan kes syarikat Goldman Sachs Group Inc yang menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai US$6.5 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan kepada Majistret Mohamad Fared Abdul Latif bahawa Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Oktober untuk sebutan permohonan itu.

Mohamad Fared menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes bagi mengetahui perkembangan permohonan tersebut.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Golden Sachs.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah ketika ditemui media berkata permohonan untuk memindahkan kes itu difailkan Jumaat lepas.

Pada 19 Disember 2018, pendakwaan menfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa telah meninggalkan fakta-fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013, di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Pertuduhan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Disember tahun lepas, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar US$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Pendengaran lucut hak harta FORT 26 November

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT) bersetuju untuk melucutkan hak ke atas wang RM407,011.46 yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memaklumkan mahkamah bahawa tiada peguam atau wakil daripada pihak yayasan hadir hari ini.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran pewartaan dan notis pihak ketiga telah disiarkan pada 10 September lepas.

“Pada 9 Julai lalu pihak yayasan telah menghantar surat kepada Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu persetujuan untuk melucut hak harta itu,” katanya di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff.

Bagaimanapun, Hakim Rozana berkata, beliau mahu wakil daripada pihak yayasan hadir pada prosiding kes itu dan menetapkan 26 November bagi pendengaran permohonan melucut hak wang itu.

Sementara itu, bagi kes lain, peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor memberitahu media bahawa Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 Disember untuk pendengaran permohonan pendakwaan bagi meminda notis usul lucut hak wang daripada badan itu.

“Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan hujahan bertulis pada 2 Disember ini,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Nik Haslinie Hashim.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 yang disita SPRM tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pihak pendakwaan menfailkan notis usul bagi memohon melucut hak ke atas wang yang disita daripada kedua-dua entiti itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low bertindak sebagai ‘consigliere’ Najib

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low bertindak sebagai ‘consigliere’ atau penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrol Azral, 49, menggambarkan Jho Low sebagai ‘consigliere’, perkataan Itali yang maknanya dalam kamus Merriam-Webster sebagai “seseorang yang menjadi penasihat atau kaunselor kepada ketua organisasi jenayah”.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas perdana menteri berkenaan melibatkan dana 1MDB.

Semasa disoal Muhammad Shafee sama ada Jho Low mewakili Sultan Mizan Zainal Abidin (Yang di-Pertuan Agong ketika itu) atau Najib dalam hal ehwal Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral, berkata Jho Low mewakili Najib pada masa itu.

Muhammad Shafee: Sebagai apa?

Shahrol Azral: Sebagaimana dalam perkataan Itali? Consigliere. Dia (Jho Low) adalah orang yang memastikan segalanya berjalan lancar untuk Najib.

Muhammad Shafee: Sebagai apa? Perdana Menteri atau Menteri Kewangan?

Shahrol Azral: Sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan pemegang saham khas TIA, yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MDB.

Muhammad Shafee: Sebagai CEO, kamu ini seolah-olah apa yang dikatakan oleh orang Itali sebagai ‘soprammobile’ atau hiasan meja, hanya untuk hiasan. Kamu setuju?

Shahrol Azral: Tidak setuju.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengerusi LV antara empat tokoh dalam Lembaga Penasihat 1MDB

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Empat tokoh terkenal di peringkat antarabangsa termasuk Pengerusi dan Ketua Eksekutif LVMH Moët Hennessy Louis Vuitton SE, Bernard Arnault telah dicadangkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau Jho Low untuk menganggotai Lembaga Penasihat (BOA) 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa selain Arnault, tokoh lain yang dinamakan Jho Low ialah Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani (Perdana Menteri Qatar ketika itu), Pengerusi CITIC Group of China Chang Zhenming, dan CEO Mubadala Khaldoon Al Mubarak.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu membabitkan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Semua nama ini dicadangkan oleh Jho Low?

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Semua empat nama penasihat antarabangsa dalam BOA. Tidak ada seorang pun daripada mereka menghadiri mesyuarat?

Shahrol Azral: Ya.

Saksi itu menjelaskan bahawa agak sukar untuk mendapatkan mereka semua bertemu di satu tempat.

Shahrol Azral, 49, berkata surat perlantikan kepada BOA telah dihantar kepada tokoh-tokoh ini termasuk Arnault yang beliau sendiri temui di Paris untuk menyampaikan surat pelantikan.

Beliau berkata, Arnault secara lisan menerima pelantikannya manakala Chang menjawab dengan surat penerimaan.

Semasa Muhammad Shafee bertanya mengenai rasionalnya di sebalik pelantikan tokoh-tokoh tersebut seperti Arnault, yang terkenal dalam perniagaan fesyen, Shahrol Azral berkata beliau merupakan antara ahli perniagaan terbaik dunia ketika itu.

“Bernard Arnault merupakan antara ahli perniagaan utama dunia. Saya rasa itu cukup untuk menjadi alasan. Saya ingat beliau antara lima orang terkaya,” katanya.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Mahkamah tolak permohonan UMNO Pekan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan UMNO Bahagian Pekan untuk menangguhkan penggantungan prosiding pelucutan hak terhadap wang RM700,000 yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili UMNO Bahagian Pekan bersama 40 pihak lain termasuk Najib selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziah Mohaide selaku responden.

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, tiada keadaan khas bagi membenarkan permohonan penangguhan diterima mahkamah.

“Secara ringkasnya, mahkamah menyifatkan bahawa permohonan yang difailkan pemohon adalah remeh dan tiada merit. Pemohon hanya menunjukkan kebimbangan terhadap kehilangan harta itu kepada pihak ketiga.

“Malah perkara itu hanya berlandaskan pendapat dan spekulasi sahaja,” katanya dalam pendengaran permohonan pemohon (UMNO Bahagian Pekan) untuk penggantungan prosiding, hari ini.

Terdahulu, M.Reza dalam hujahannya berkata terdapat keadaan-keadaan khas yang memerlukan mahkamah menilai permohonan UMNO Bahagian Pekan dengan kebarangkalian pihak ketiga tampil bukan satu spekulasi.

“Sekiranya prosiding lucut hak diteruskan dan pihak ketiga hadir untuk menuntut wang (RM700,000) itu manakala Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pemohon, keadaan itu akan menyukarkan pemohon untuk mendapatkan semula harta itu daripada pihak ketiga selain kebarangkalian harta (wang) itu telah digunakan,” katanya.

Sementara itu, Maziah berkata, tindakan peguam yang mewakili UMNO Pekan membangkitkan isu pihak ketiga sekadar spekulasi semata-mata selain kes itu perlu diselesaikan pada kadar segera demi kepentingan awam.

Pada 6 September lalu, pendakwa raya yang merupakan pemohon menamakan UMNO Bahagian Pekan dinamakan sebagai responden pertama manakala Najib responden keempat dan anaknya, Datuk Muhamed Nizar yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, sebagai responden kelapan bersama 40 pihak sebagai responden.

Pada tarikh sama, peguam M. Reza yang mewakili semua responden memohon supaya mahkamah menggantung prosiding pelucutan hak itu sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 30 Ogos lepas yang menolak permohonan UMNO Bahagian Pekan, selaku responden tunggal untuk membatalkan notis lucut hak itu, selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwa raya mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan pelucutan hak mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB dan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hutang 1MDB RM30 bilion ditanggung MoF, kerajaan

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berada dalam keadaan berhutang berjumlah RM30 bilion yang ditanggung oleh Kementerian Kewangan (MoF) dan Kerajaan Persekutuan.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dari 2009 sehingga peletakan jawatannya pada Mac 2013 berkata demikian apabila menjawab soalan tambahan oleh pendakwa utama Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-16 perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan dana 1MDB.

Sri Ram: Oleh itu, semasa anda meninggalkan 1MDB, apakah jumlah hutang 1MDB? Shahrol Azral menjawab kira-kira RM30 bilion.

Sri Ram: Dan untuk RM30 bilion itu, yang diterima oleh 1MDB ialah satu pembayaran untuk nota Murabahah, Shahrol Azral menjawab, ya, pada tahun 2010.

Sri Ram: Anda bersama 1MDB dari 2009 hingga 2013. Siapa yang menanggung RM30 bilion itu?

Shahrol Azral: MoF (Kementerian Kewangan), Kerajaan Malaysia, kerana 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Saksi pendakwaan kesembilan itu mengatakan hutang-hutang itu termasuk bon RM5 bilion yang dikeluarkan oleh syarikat yang dijamin oleh Kementerian Kewangan, dan bon berikutnya berjumlah AS$3.5 bilion jaminan bersama oleh International Investment Co Petroleum (IPIC) dan MoF.

Mengenai jaminan bersama, Shahrol Azral berkata jika berlaku keingkaran, 1MDB sepatutnya membayar terlebih dahulu dan sekiranya tidak dapat membayar, pemegang bon boleh pergi kepada jaminan IPIC.

Ditanya oleh Sri Ram di mana IPIC akan mendapat wang dari? Saksi itu menjawab, ia akan mendapatkannya daripada MoF, induk kepada 1MDB.

Sri Ram: Adakah anda sedar bahawa IPIC membuat tuntutan?

Shahrol Azral: Ya, kami telah diberi taklimat dalam salah satu mesyuarat lembaga. Ia sama ada 2015 atau 2016 semasa saya masih dalam lembaga.

Kepada soalan sama ada saksi telah menarik balik notis abritasi yang dikeluarkan oleh IPIC, Shahrol Azral menjawab, “Ya, lembaga itu juga diberi taklimat mengenai perkara ini. Walau bagaimanapun, saya tidak boleh ingat tarikh mesyuarat “.

Sri Ram: Pada masa yang anda tinggalkan 1MDB pada bulan Mac 2013, apakah masalah IPIC telah diselesaikan?

Shahrol Azral: Apabila saya meninggalkan lembaga pada 2016, perkara itu belum diselesaikan. Tetapi masalah sudah berbangkit.

Ditanya oleh Sri Ram sama ada tertuduh (Najib) mengambil sebarang langkah untuk menangani masalah itu, saksi utama pendakwaan menjawab “Tiada pada pengetahuan peribadinya kecuali apa yang diberi taklimat kepada lembaga oleh Arul Kanda Kandasamy (CEO 1MDB)”

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011 dan 19 Disember, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung Isnin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib lulus pinjaman AS$1.225 bilion 1MEHL

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad Energy Holdings Limited (1MEHL) pernah diberi kelulusan oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB untuk membuat pinjaman dengan Deutsche Bank AG sebanyak AS$1.225 billion pada 2014.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata pinjaman pertama sebanyak AS$250 juta pada 22 Mei 2014 dan AS$975 juta pada 21 Ogos 2014 adalah bertujuan untuk pembayaran penamatan ‘Aabar Option’.

Kelulusan untuk membuat pinjaman ini turut diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemegang saham 1MDB dan juga sebagai Menteri Kewangan Diperbadankan.

Katanya, ini kerana setiap urusan 1MDB yang melibatkan kepentingan kewangan perlu mendapatkan kelulusan daripada Najib dahulu.

Shahrol Azral berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini pada hari ke-16 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Ketika menjelaskan mengenai ‘Option Aabar’, saksi pendakwaan kesembilan berkata beliau difahamkan pihak 1MDB dalam cadangan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) 1MDB Energy Group di dalam Bursa Malaysia.

“Ia dikenali sebagai Option Buy Back iaitu proses untuk menebus semula “Aabar Options” ketika proses pembelian pengeluar tenaga bebas (IPP) pada 2012 dahulu sebagaimana yang dimeterai oleh 1MDB dengan Aabar iaitu di dalam Option Agreement.

“Penebusan Aabar Options ini dibuat melalui anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Energy Holdings Limited,” kata Shahrol Azral.

Bagaimanapun, saksi penting pendakwaan itu berkata beliau tidak terlibat dalam proses berkenaan kerana pada Mac 2013 beliau telah dipindahkan ke unit Pemandu dan tidak lagi menjawat jawatan sebagai CEO 1MDB.

“Walaubagaimanapun, saya telah dilantik sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB. Cuma ketika mesyuarat BOD 1MDB berlangsung, apabila terdapat isu atau keperluan membuat keputusan berkaitan sektor tenaga di 1MDB, saya menarik diri dari mesyuarat bagi mengelakkan konflik kepentingan dengan jawatan saya di Pemandu,” katanya.

Terdahulu, saksi mengesahkan dokumen bertajuk ‘letter of approval dan support (LOS)’ daripada Najib selaku Menteri Kewangan bertarikh 29 Ogos 2014, bagi pinjaman AS$250 juta dan AS$975 juta yang diambil bagi proses IPO 1MDB Energy Group di dalam Bursa Malaysia.

Menyentuh mengenai pembukaan akaun bank 1MDB Energy Holdings Limited di Falcon Private Bank, Hong Kong pada 9 Oktober 2012, saksi berkata bank itu dipilih oleh pengarah 1MDB Terence Geh dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Tetapi saya tidak mempersoalkan kenapa mereka memilih bank ini dan apa tujuan utama akaun ini dibuka di sini cuma apa yang saya tahu bank ini dimiliki oleh Aabar dan ini mungkin akan memudahkan lagi urusan 1MDB Energy Holdings Limited dengan pihak Falcon Private Bank Limited nanti,” katanya.

Ketika ditanya Sri Ram, apakah tujuan akaun itu dibuka di Falcon Private Bank Limited, Shahrol Azral berkata beliau tidak ingat.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011 dan 19 Disember, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

– BERNAMA