Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat ‘meluat dan geram’ lepas Riza Aziz, kata Tun Mahathir

SHAH ALAM, 21 MEI: Masyarakat “meluat dan geram” terhadap keputusan melepaskan anak tiri Datuk Seri Najib Razak daripada kes pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apakah ini bentuk keadilan yang diamalkan di Malaysia?” kata bekas perdana menteri, merujuk kes Riza Aziz menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mereka yang terlibat mendakwa (kes ini) membantah bahawa mereka membuat keputusan ini (melepaskan tetapi tidak membebaskan Riza).

“Jelas sekali, mereka ini tahu bahawa keputusan itu salah,” katanya lagi, merujuk tokoh yang terlibat mendakwanya, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, yang menafi menyokong keputusan itu.

Pada 14 Mei lalu, mahkamah membenarkan permohonan untuk melepaskan Riza dengan syarat tertuduh memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir juga berkata keputusan tersebut akan membolehkan anak Datin Seri Rosmah Mansor itu “menyimpan wang curi itu dan boleh pula terlepas hukuman.”

Bekas perdana menteri seterusnya mendakwa kerajaan baharu Perikatan Nasional sebagai didukung oleh “pemimpin-pemimpin yang mempunyai latar belakang jenayah.”

“Kita ada kerajaan baharu di Malaysia (sejak 1 Mac). Kerajaan ini boleh ditubuh kerana ia disokong oleh mereka yang sedang dibicarakan bagi kes mencuri wang, pengubahan wang haram dan rasuah.

“Kita tidak yakin bahawa keadilan akan ditegakkan di negara ini kerana kekuasaan dan pengaruh penjenayah ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan 1MDB gelar PSI ‘projek menyakitkan hati’ – saksi

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini diberitahu bahawa pengurusan 1MDB menggelar PetroSaudi International (PSI) sebagai ‘satu projek yang menyakitkan hati atau menjengkelkan.’

Perkara ini didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, semasa disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai “Projek PITA.”

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata ia adalah satu lelucon dalam kalangan pengurusan 1MDB.

Shahrol Azral: ‘P’ bermaksud PSI manakala ‘ITA’ bermaksud menyakitkan hati atau menjengkelkan (dalam bahasa Inggeris) kerana projek itu memang menyakitkan hati atau menjengkelkan.

Muhammad Shafee: Jadi pada dasarnya, PITA adalah satu lelucon bahawa PetroSaudi adalah ‘menyakitkan hati atau menjengkelkan?

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Itu adalah projek … yang menyakitkan hati atau menjengkelkan?

Shahrol Azral: Ya, untuk menghantar balik dana daripada PSI.

Muhammad Shafee: Mengapa ia menjadi lelucon dalam kalangan pengurusan memandangkan ia menyakitkan hati, adakah kerana anda menganggapnya begitu?

Shahrol Azral: Ia menyakitkan hati kerana kami terpaksa berhati-hati kerana ia adalah sensitif … Jadi kami tidak boleh meneruskannya hanya atas dasar komersial tanpa pengetahuan lembaga pengarah dan saya rasa dana ini adalah satu isu sensitif yang perlu kami uruskan dengan berhati-hati dan kami perlu meminta pandangan Datuk Seri Najib.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata tiada sesiapa dalam kalangan Lembaga Pengarah 1MDB yang tahu mengenai gelaran ‘PITA’ itu.

Shahrol Azral juga bersetuju dengan peguam itu bahawa terdapat satu lagi projek yang digelar sebagai ‘Magnolia’ namun beliau tidak tahu apa yang dimaksudkan kerana nama itu diberikan dan digunakan oleh Goldman Sachs.

Saksi itu juga bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa tiada kertas kerja dan pembentangan dibuat mengenai ‘Projek PITA’ kepada lembaga pengarah.

Shahrol Azral berkata peguam 1MDB ketika itu, Jasmine Loo, sepatutnya membuat pembentangan mengenai projek tersebut kepada lembaga pengarah.

“Tiada kertas kerja mengenai Projek PITA yang dibentangkan kepada lembaga pengarah,” katanya.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 4 Jun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN bimbang penyelesaian kes Riza Aziz diguna pakai kepada ahli politik

SHAH ALAM 17 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) dan sekutunya bimbang beberapa kes melibatkan pemimpin politik akan menggunakan penyelesaian seperti keputusan terhadap Riza Shahriz Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan media yang ditandatangani presiden dan pemimpin utama parti serta sekutu mereka, PAKATAN menganggap penyelesaian kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai suatu petanda atau isyarat.

“…kes 1MDB berkait Riza Aziz, yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan, menjadi petanda atau isyarat bahawa beberapa kes besar lain yang melibatkan beberapa tokoh politik akan menggunakan jalan penyelesaian yang sama,” katanya kenyataan itu.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Riza berikutan persetujuan dicapai antara tertuduh dan pendakwa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, persetujuan itu bergantung kepada pematuhan Riza untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang ada kaitan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Jika pengerusi Red Granite Pictures yang menghasil filem The Wolf of Wall Street gagal mematuhinya, SPRM boleh mengenakan semula pertuduhan tersebut di mahkamah.

Sebelum ini, Riza berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara 1MDB Najib disambung selepas sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Perbicaraan kes berprofil tinggi Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadual 18 Mei, ditangguh kepada keesokan hari berikutnya bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghadiri sidang sehari Dewan Rakyat.

Timbalan pendakwaraya, Ahmad Akram Gharib berkata, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghantar e-mel kepada Mahkamah Tinggi pada Jumaat lepas untuk memohon tarikh baharu itu.

“Permohonan pihak pembela telah diluluskan dan perbicaraan akan bersambung pada 19 Mei, pukul 2.00 petang,” katanya.

Perbicaraan itu yang mendapat liputan meluas menjalani prosiding terakhir pada 13 Mac di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum itu menetapkan 19-20 Mac, 23-27 Mac dan 30-31 Mac; 1-30 April; dan 4-8 Mei, 11-22 Mei termasuk Jumaat untuk meneruskan perbicaraan itu.

Tarikh lain yang ditetapkan ialah seluruh Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober termasuk Jumaat.

Namun, prosiding itu ditangguhkan beberapa kali susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Apabila perbicaraan disambung semula, peguam bela Najib dijangka akan meneruskan soal balas saksi kesembilan pendakwaan iaitu bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang menjadi saksi sejak 23 September tahun lepas.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menyalahguna kedudukannya untuk memperoleh gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara kes 1MDB Najib sambung semula 18 Mei

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Selepas ditangguhkan selama dua bulan, perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion, akan disambung semula pada 18 Mei ini.

Kali terakhir prosiding perbicaraan yang mendapat liputan meluas itu adalah pada 13 Mac lepas, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan kes 1MDB pada bulan Mac iaitu 19 hingga 20, 23 hingga 27 dan 30 hingga 31; April 1 hingga 30; dan Mei 4 hingga 8, 11 hingga 22 termasuk hari Jumaat.

Tarikh lain perbicaraan yang ditetapkan adalah sepanjang bulan Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober, termasuk Jumaat.

Bagaimanapun, prosiding perbicaraan itu beberapa kali ditangguhkan ekoran kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan terbaharu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari bermula Rabu depan juga turut ditangguhkan.

“Semalam, kami menerima e-mel daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad yang memaklumkan bahawa perbicaraan itu telah dilapangkan sehingga 18 Mei,” katanya menerusi WhatsApp.

Apabila perbicaraan itu bersambung semula, peguam utama pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan pihak pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang telah memberi keterangan sejak 23 September tahun lepas.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cetak laporan audit 1MDB selepas dapat persetujuan Najib – Saksi

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Seorang bekas pengarah audit di Jabatan Audit Negara (JAN) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau dimaklumkan supaya tidak mencetak laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga mendapat arahan dan persetujuan daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, 65, berkata perkara itu dimaklumkan oleh Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika beliau menyerahkan draf laporan audit itu yang telah dikemaskini kepada bekas ketua setiausaha negara itu di pejabatnya pada 29 Februari 2016.

“Seingat saya, Tan Sri Ali Hamsa memberitahu saya ‘don’t print the report until his greenlight’. Beliau menyatakan ianya akan menyebabkan impak dari segi politik kepada negara.

“Saya kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Tan Sri Ambrin Buang (bekas ketua audit negara) dan beliau ambil maklum mengenai perkara tersebut,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Rozaliana Zakaria.

Saadatul Nafisah yang telah bersara pada 16 Mei 2016 memberi keterangan pada hari ketujuh perbicaraan kes Najib dan Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Terdahulu, saksi pendakwaan ketujuh itu berkata beliau menyerahkan draf laporan audit akhir tersebut kepada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh di rumah beliau di Presint 10, Putrajaya pada 20 Februari 2016 atas permintaannya (Shukry).

Saadatul Nafisah berkata beliau sendiri telah ke rumah Shukry dan menyerahkan dokumen itu kepada beliau di pintu pagar rumahnya.

Jelas Saadatul Nafisah yang mula berkhidmat di JAN pada 2 Februari 1979, mengikut prosedur pengauditan jabatan itu, sebelum pencetakan draf laporan audit akhir dilakukan pihak JAN akan menghantar satu salinan draf itu yang hendak dicetak kepada audit, pemegang taruh dan kepada menteri yang bertanggungjawab untuk penyemakan terakhir serta pengesahan.

“Jika terdapat pembetulan atau hendak melakukan penambahan atau pengguguran, ianya boleh dilaksanakan dengan memberi bukti dan sokongan yang sahih. Selain itu, mengikut Standard Operating Procedure (SOP) JAN, satu salinan draf audit kepada menteri yang bertanggungjawab dan dalam hal ini ialah Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam hal ini juga, saya bersetuju untuk menyerahkan draf itu kepada Tan Sri Shukry atas arahan Tan Sri Ambrin kerana saya beranggapan beliau hendak membaca dan membentangkan kepada Datuk Seri Najib selaku Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda, 44, dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dengan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rosmah marah Najib dilihat ‘penjahat’ dalam skandal 1MDB

SHAH ALAM, 8 JAN: Datin Seri Rosmah Mansor kedengaran seperti marah semasa menelefon suaminya Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Isteri bekas Perdana Menteri itu bernada tinggi dalam rakaman suara yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Selain rakaman tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya turut mendedahkan lapan lagi klip audio membabitkan bekas perdana menteri itu dalam sidang media di Putrajaya.

Beliau menjelaskan pihaknya sudah mengesahkan rakaman sulit itu yang diterima awal tahun ini adalah tulen dan tidak disunting.

Perbualan selama enam minit, dirakam pada 27 Julai 2016, antara Rosmah dan Najib antaranya seperti berikut.

Rosmah: Can I advise you something? (Boleh saya nasihatkan anda tentang sesuatu?)

Najib: Ya OK, anything? (OK, ada apa?)

Rosmah: No, listen to me, they tell you to slow down (Tan Sri) Abu Kassim (Mohamed). (Tidak, dengar cakap saya, mereka beritahu anda untuk jaga Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed).

Dia banyak membuat kenyataan ambil gambar dengan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) apa semua.

Looking him as a hero and you as a villain. And all these five people, can’t they see you are the priority, not anybody else? (Mereka jadikannya seperti wira, anda pula penjahat. Dan lima pegawai anda ini, bolehkah mereka ini melihat anda sebagai keutamaan, bukan orang lain?)

Najib: Siapa mereka?

Rosmah: Your office-lah (Pegawai di pejabat andalah). Shahlan dah convince (yakin), Tengku dah convince, Ahmari dah convince. Kita ini semua villain (penjahat).

Najib: No, no, no, I allowed Azwan to make the statement (Tidak, tidak, tidak, saya benarkan Azwan mengeluarkan kenyataan), impact dah bagus.

Rosmah: Tidak, Azwan OK. Hari ini Abu Kassim di Berita Harian dan mereka benarkan Abu Kassim ambil gambar dengan Pak Lah. Ada muka dia dan semua orang lain kecuali you (anda). This is not fair, please tell him. (Ini tidak adil, tolong beritahu dia)

Dalam sidang media berkenaan, Latheefa percaya bahawa nama Azwan merujuk kepada senator Khairul Azwan Harun, seorang pemimpin kanan Pemuda Umno.

Sementara itu pegawai Najib yang disebut oleh Rosmah adalah bekas pegawai khas Amhari Efendi Nazaruddin, bekas setiausaha akhbar Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, dan bekas setiausaha politik Shahlan Ismail.

Perbualan itu turut menyatakan keputusan Najib menandatangi surat pelantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDAPAT RENCANA

1MDB kes mahkamah paling curi tumpuan pada 2019

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Perbicaraan dan kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi kes mahkamah yang paling mencuri tumpuan pada 2019.

Ini termasuk perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd bermula pada 3 April dan berakhir pada 27 Ogos 2019 dengan pihak pendakwaan menutup kes selepas sebanyak 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 11 Nov lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib, 66, untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukannya berkaitan dana 1MDB selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Pada 3 Disember, buat pertama kalinya dalam sejarah negara seorang bekas perdana dihadapkan ke mahkamah atas beberapa pertuduhan.

Memberi keterangan dari kandang saksi sebagai saksi pertama pihak pembelaan, Najib memberitahu kisah di pihaknya untuk menyangkal tujuh pertuduhan berhubung dakwaan menyelewengkan dana SRC.

Prosiding yang ditunggu-tunggu itu menyaksikan Najib, yang mengangkat sumpah dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, membacakan kenyataan saksinya setebal 243 muka surat dan kemudian diperiksa balas oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Ahli Parlimen Pekan itu memilik MP memilih untuk kebanyakannya menjawab dalam bahasa Melayu walaupun Thomas mengajukan soalan dalam bahasa Inggeris. Hanya sekali sekala, Najib, menjawab dalam bahasa Inggeris.

Perbicaraan kedua Najib membabitkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan faedah bagi dirinya berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama, yang bermula pada 28 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Setakat hari ini, sebanyak sembilan saksi telah memberi keterangan, dengan seorang daripada saksi utama iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa dana kekayaan berdaulat negara itu merupakan syarikat strategik bagi Najib.

Shahrol Azral, saksi kesembilan pihak pendakwaan berkata 1MDB adalah bodoh apabila membayar US$1 bilion untuk memperoleh 40 peratus kepentingan dalam Petro Saudi Holdings (Cayman) Ltd, anak syarikat usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI), manakala PSI hanya menyuntik US$108 juta untuk mendapat 60 peratus kepentingan.

Perbicaraan ketiga Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandsamy atas pertuduhan meminda laporan audit akhir 1MDB menarik perhatian orang ramai selepas mahkamah diberitahu bahawa salinan asal laporan audit 1MDB ada disimpan oleh Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad.

Satu-satunya salinan laporan 1MDB itu, yang tidak dimusnahkan, kini menjadi bukti penting dalam perbicaraan itu.

Selain menyimpan laporan itu, Nor Salwani juga secara rahsia merakamkan mesyuarat peringkat tinggi yang melibatkan ketua setiausaha negara, dengan arahan untuk meminda laporan audit 1MDB didakwa dikeluarkan.

Tahun 2019 juga menyaksikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan sejumlah RM4.901 juta dan RM100,000, yang didakwa dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, yang dirampas masing-masing daripada Yayasan Permata Malaysia, dan daripada akaun bank bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek, diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Pada 19 Julai lepas, sejumlah RM48.9 juta dalam akaun bank bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali Jho Low, telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Pada 26 November, ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusof memulangkan RM3,683,117.94, yang didakwa dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB, kepada kerajaan Malaysia.

Pada 13 Disember, dana berjumlah RM407,011.46 dalam akaun bank yayasan penyelidikan, Yayasan Penyelidikan Transformasi, juga telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Awal tahun ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengumumkan bahawa saman pelucutan hak sivil telah difailkan terhadap 41 responden dalam usaha untuk mendapatkan semula dana kira-kira RM270 juta yang didakwa diselewengkan daripada dana 1MDB.

Mahkamah Kuala Lumpur juga menyaksikan percubaan beberapa tokoh berprofil tinggi termasuk bekas menteri didakwa atas pertuduhan rasuah, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah), yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi. Foto BERNAMA

Mereka termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Perbicaraan rasuah Ahmad Zahid melibatkan dana Yayasan Akalbudi bermula 18 Nov, dengan mahkamah diberitahu bahawa beliau membayar hampir RM1.3 juta untuk empat kad kreditnya antara Januari 2014 dan Januari 2016, termasuk membeli-belah barangan mewah di Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Itali, United Kingdom, Korea Selatan, Ukraine, Australia, Hong Kong, Vietnam, Indonesia, China dan Kuala Lumpur.

Turut didedahkan bahawa Ahmad Zahid dan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis mempunyai 20 buah kenderaan, termasuk tiga unit Toyota Vellfire, Lexus LX 460, Toyota Land Cruiser, Honda Odyssey, Chrysler Jeep Wrangler, BMW 320i (A), AUDI Q7, dan Mercedes Benz CLS 350.

Presiden UMNO itu juga menghadapi 40 pertuduhan rasuah lain berkaitan dengan sistem visa luar negara (VLN) yang difailkan di mahkamah Shah Alam dan kes berkenaan sedang menunggu untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Pada 14 Oktober, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri terhadap pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong tiga tahun lepas.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah menetapkan 10, 17, 20 dan 21 Januari tahun depan untuk Tengku Adnan menyangkal pertuduhan terhadapnya.

Bekas menteri itu juga dibicarakan atas pertuduhan lain iaitu menerima RM1 juta sebagai rasuah untuk membantu permohonan syarikat bagi menambah nisbah tapak pembangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohd Isa dibicarakan bagi satu pertuduhan CBT dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta berhubung dengan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Kes-kes lain yang menjadi tajuk utama termasuk seorang promoter jualan yang didakwa memandu dengan cuai sehinggakan menyebabkan kemalangan jalan raya, dan mengakibatkan lapan remaja yang menunggang basikal maut di Johor pada 2017.

Bagaimanapun, Majistret Siti Hajar Ali, pada 28 Oktober lepas, membebaskan dan melepaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa dipanggil membela diri, berdasarkan beberapa faktor, termasuk bahaya yang ditimbulkan oleh penunggang basikal itu sendiri, kerana mereka menggunakan basikal atau “basikal lajak” yang telah diubah suai.

Dalam insiden pada 18 Februari itu, Sam, yang memandu Nissan Almera, merempuh sekumpulan remaja itu sehingga menyebabkan lapan terbunuh iaitu Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhan, 16; Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14; Haizad Kasrin, 16; Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14; Fauzan Halmijan, 13; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee, 14; Mohamad Azhar Amir, 16; dan Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14.

Lapan budak lelaki yang lain turut cedera dalam insiden itu.

Foto BERNAMA

Satu lagi perbicaraan berprofil tinggi yang juga mendapat perhatian orang ramai adalah kes pembunuhan CEO Cradle Fund Nazrin Hassan.

Isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja lelaki berumur 17 tahun dan 14 tahun didakwa bersama seorang wanita Indonesia yang masih bebas, membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam, 13 Jun 2018, dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaan mereka pada 6 September, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa mereka akan membuktikan kematian Nazrin adalah disebabkan dibunuh dan bukan disebabkan oleh kebakaran.

Ini susulan hasil bedah siasat kedua yang dijalankan tiga bulan selepas kematian Nazrin yang mendapati mangsa mati akibat pukulan objek tumpul di kepala.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Tinggi benar Najib semak dokumen Justo kepada SPRM

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memeriksa 17,000 keping dokumen diserahkan Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu berkaitan perbicaraan rasuah yang sedang dihadapi Najib melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen yang diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam mewakili Najib, Al Firdaus Shahrul Naing dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Hakim Sequerah dalam penghakimannya berkata permohonan oleh pemohon (Najib) bukan dibuat secara suka-suka kerana bahan yang dimohon adalah relevan dengan pertuduhan dalam perbicaraan 1MDB yang sedang dihadapinya.

“Saya juga mendapati terdapat asas yang mencukupi bahawa dokumen berkenaan adalah relevan dengan pemohon dan pembelaannya,” kata hakim.

Berhubung Seksyen 124 Akta Keterangan, Hakim Sequerah berkata dakwaan berhubung keistimewaan responden (pendakwa raya) boleh disemak oleh mahkamah dan dengan itu perkara berkenaan tidak diambil kira sebagai muktamad.

“Saya tidak menemukan apa-apa untuk menunjukkan bahawa kepentingan awam mungkin terjejas daripada pendedahan bahan-bahan itu,” katanya.

Selepas hakim menyampaikan keputusan itu, Sri Ram memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan menyerahkan 17,000 dokumen itu menerusi ‘thumb drive’ kepada pasukan pembelaan.

Hakim Sequerah mengarahkan pihak pendakwaan untuk menyerahkan dokumen itu kepada pihak pembelaan dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.

Najib, 66, sebagai pemohon memfailkan notis usul pada 16 Oktober dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Najib antara lain memohon mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen yang dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin telah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu adalah tidak bercanggah dengan kepentingan awam, dan sebaliknya tidak mendedahkan dan menolak untuk ia diperiksa adalah menafikan hak pemohon untuk mendapat perbicaraan adil.

Dalam afidavit disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki, menyatakan dokumen berkenaan diterima secara rahsia rasmi dan dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan.

Mahkamah menetapkan 7 Januari untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak mengemas kini berhubung penyerahan dokumen itu.

Sementara itu, bagi kes 1MDB, Hakim Sequerah menetapkan 13 hingga 16 Januari dan 20 Januari untuk sambung bicara.

Mahkamah turut menetapkan 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 16 hingga 19 Mac, 23 hingga 26 Mac dan 30 Mac.

Tarikh lain yang ditetapkan adalah 2 April, 4 hingga 6 Mei, 1 hingga 4 Jun, 8 hingga 11 Jun, 20 hingga 23 Julai, 27 hingga 30 Julai dan seluruh Ogos kecuali Jumaat.

Pihak pembelaan akan menyambung pemeriksaan balas ke atas saksi utama, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wang RM407,011 terpalit skandal 1MDB kini milik kerajaan

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Wang berjumlah RM407,011.46 yang dibekukan daripada akaun bank milik Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT), yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini menjadi harta kerajaan Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh memaklumkan kepada mahkamah bahawa yayasan berkenaan selaku responden menyatakan persetujuan menyerahkan wang itu melalui surat bertarikh 9 Julai lalu.

“Saya memohon satu perintah supaya harta alih iaitu wang RM407,011.46 yang disimpan dalam akaun semasa Bank Al Rajhi atas nama responden dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” kata Farah Yasmin pada prosiding kes itu hari ini.

Ahli Lembaga Amanah FORT, Zulkifli Jaafar yang hadir mewakili responden berkata pihaknya tiada bantahan untuk wang tersebut dilucut hak kepada kerajaan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan wang RM407,011.46 daripada akaun Yayasan Penyelidikan Transformasi dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1MDB: Tuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs diteruskan

PUTRAJAYA, 12 DIS: Malaysia akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs Group Inc berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) walaupun syarikat itu dilaporkan akan membuat bayaran kepada Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat bagi menyelesaikan kes itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau menghubungi Jabatan Peguam Negara yang memaklumkan kes itu dijangka dibicarakan pada pertengahan tahun hadapan.

“Jadi kes ini masih berjalan dan kerajaan Malaysia masih menuntut bayaran sehingga US$7.5 bilion. Ini sebagai balasan ke atas kerugian yang kita (negara) alami berikutan skandal 1MDB hanya daripada Goldman Sachs sahaja.

“Ini yang kita tuntut dan kita akan teruskan dengan tindakan di mahkamah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurut laporan media, Goldman Sachs akan membayar sejumlah US$1.5 bilion hingga US$2 bilion kepada Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat sebagai penyelesaian kes berkenaan.

Goldman Sachs menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai US$6.5 bilion berkaitan 1MDB.

Pada 19 Disember 2018, pihak pendakwaan memfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013 di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Pertuduhan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Disember tahun lalu, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

DoJ menganggarkan sekitar US$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin, Shafie dipecat kritik 1MDB luar Kabinet

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Datuk Seri Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipecat kerana membuat kenyataan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar Kabinet.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian semasa memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Thomas: Sememangnya diketahui umum bahawa kamu memecat mereka.

Najib: Saya pecat mereka kerana membuat kenyataan (berkaitan 1MDB) secara terbuka sedangkan ia sepatutnya dibuat dalam mesyuarat Kabinet.

Kepada soalan sama ada beliau memberi persetujuan bagi jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Najib, 66, berkata: “Saya memberi persetujuan tersirat sahaja.”

Pada 11 November lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Dalam pada itu, Najib mengaku menulis catatan tangan menyatakan ‘Bersetuju’ pada surat permohonan pinjaman SRC International berjumlah RM3.95 bilion kepada KWAP.

Beliau mencatatkan demikian pada surat SRC bertarikh 3 Jun 2011 yang dihantar kepadanya.

Ketika ditanya Thomas tujuan SRC memberikan surat itu terus kepadanya (Najib) dan bukan kepada KWAP, Najib berkata pihak SRC mungkin ingin mencari jalan pintas untuk permohonan mereka diluluskan KWAP.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-BERNAMA