Categories
AGENDA GLOBAL

WMO: 2020 antara tahun paling panas

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Tahun 2020 adalah tahun ‘bergelora’ bagi kebanyakan orang di seluruh dunia. Cuaca melampau atau ekstrem yang digabungkan dengan pandemik Covid-19 memberi tamparan berganda kepada penduduk global.

Tidak seperti apa yang ramai percaya, kelembapan ekonomi yang berkaitan dengan pandemik tidak menghentikan pemacu perubahan iklim – menurut laporan State of the Global Climate 2020 menyusun data Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dan rangkaian rakan kongsi.

Tahun lepas adalah satu daripada tiga tahun yang paling panas direkodkan walaupun berlaku fasa sejuk La Niña. Suhu purata global adalah 1.2 darjah Celsius di atas paras praperindustrian (1850-1900), manakala enam tahun sejak 2015 adalah yang paling panas pernah dicatatkan.

Untuk menyebabkan suhu dunia meningkat dengan hanya 1 darjah Celsius memerlukan banyak haba – cukup mencairkan glasier, menaikkan paras laut dan menyebabkan rumah berjuta-juta orang ditenggelamkan air.

Tahun 2011 hingga 2020 adalah dekad yang paling panas direkodkan. Oleh itu adalah tidak menghairankan ia menjejaskan pembangunan sosioekonomi, penghijrahan dan pemindahan, keselamatan makanan serta ekosistem darat dan marin di seluruh dunia.

Laporan itu juga mendokumentasikan petunjuk sistem iklim termasuk kepekatan gas rumah hijau, peningkatan suhu darat dan lautan, kenaikan paras laut, pencairan ais dan ancaman glasier dan cuaca ekstrem.

Aktiviti manusia juga menyebabkan lautan menyerap lebih daripada 90 peratus haba yang berlebihan daripadanya.

Menurut Perkhidmatan Marin Copernicus EU, 2019 mencatatkan haba lautan tertinggi dan trend ini berkemungkinan berterusan hingga 2020.

“Kadar pemanasan lautan sejak beberapa dekad yang lalu adalah lebih tinggi daripada purata jangka panjang, menunjukkan pengambilan haba yang berterusan terperangkap oleh gas rumah hijau,” menurutnya.

Laporan itu juga mempertimbangkan pandemik Covid-19 sebagai dimensi baharu dan tidak diingini terhadap bahaya cuaca, iklim dan air, dengan kesan gabungan yang meluas terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusia.

“Sekatan pergerakan, kegawatan ekonomi dan gangguan kepada sektor pertanian memburukkan lagi kesan cuaca dan cuaca yang melampau sepanjang keseluruhan rantaian bekalan makanan, meningkatkan cabaran dalam kawalan keselamatan makanan dan memperlahankan penyampaian bantuan kemanusiaan.

“Pandemik ini juga mengganggu pemerhatian cuaca dan usaha pengurangan risiko bencana yang rumit,” menurut laporan itu.

Ia menambah bongkah ais di Greenland juga ‘menderita’ kerana ia terus kehilangan ais. Kira-kira 152 gigaton ais mencair dari badan ais kedua terbesar di dunia antara September 2019 dan Ogos 2020.

Setiausaha Agung WMO Prof Petteri Taalas berkata adalah penting untuk menyesuaikan diri dengan trend perubahan iklim dan mencadangkan melabur dalam perkhidmatan amaran awal dan rangkaian pemerhatian cuaca untuk pemantauan lanjut.

“Beberapa negara kurang maju memiliki jurang besar dalam sistem pemerhatian mereka dan juga kekurangan teknologi canggih bagi perkhidmatan cuaca, iklim dan air,” katanya sambil menggesa negara-negara mengambil tindakan dan melakukan pelepasan sifar menjelang 2050.

“Laporan ini menunjukkan kita tidak mempunyai masa untuk membazir. Iklim berubah dan kesannya terlalu mahal untuk manusia dan dan planet ini. Ini adalah tahun untuk bertindak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TH agih untung bersih 3.1 peratus bagi 2020

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) pada Selasa mengumumkan agihan keuntungan lebih baik iaitu 3.10 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 berbanding 3.05 peratus pada 2019, kepada kira-kira sembilan juta pendeposit.

Menurut kenyataan badan pengurusan haji, simpanan dan pelaburan itu, agihan keuntungan bagi 2020 melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata prestasi kewangan TH pada 2020 kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung 2019 akibat pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurut TH jumlah deposit mencecah RM76.7 bilion pada 26 Feb 2021 iaitu paras tertinggi dalam sejarahnya, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.

Pada masa sama, badan itu turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi 2020 berbanding RM86 juta pada 2019, jelasnya.

“Oleh itu para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka. Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara,” menurut TH.

Urus niaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula 8 malam, Selasa 2 Mac 2021 sehingga 12 tengah hari, Rabu 3 Mac 2021, bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

TH menjelaskan para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas 12 tengah hari Rabu 3 Mac 2021 menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat selain saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.

Mengenai perkembangan ibadah haji, Zulkifli berkata sehingga kini kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan musim haji 2021 walaupun menerima kira-kira 100,000 jemaah umrah sejak 1 Nov 2020.

“Walaupun masih belum mendapat pengesahan tentang ibadat haji tahun ini, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

“Oleh itu saya menasihati semua bakal haji untuk mengikuti kursus asas haji mingguan yang sedang dianjurkan oleh TH secara dalam talian. Bakal-bakal haji juga perlu menjaga kesihatan diri dengan menjaga pemakanan dan lakukan senaman kerana ibadat haji menuntut kekuatan fizikal dan mental,” katanya.

Beliau berkata ibadah haji ditangguhkan akibat pandemik yang melanda negara dan seluruh dunia justeru, beliau menyeru seluruh umat terus berdoa agar pandemik ini pulih sepenuhnya dan seterusnya dapat menjadi tetamu Allah di tanah suci.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PENDIDIKAN

Format peperiksaan SPM 2020 kekal – LPM

PUTRAJAYA, 8 FEB: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) hari ini menegaskan format peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 kekal seperti sedia ada.

Dalam satu kenyataan hari ini, LPM memaklumkan laporan sebuah akhbar berkaitan perubahan format peperiksaan SPM pada masa hadapan adalah tidak benar dan LPM tidak pernah membuat sebarang pengesahan berhubung perkara tersebut.

Menurut LPM, tajuk dan laporan akhbar itu berbahasa Melayu itu menimbulkan banyak kekeliruan kepada orang ramai khususnya kepada calon peperiksaan SPM 2020.

“Sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada format peperiksaan SPM dan sistem pentaksiran, LPM akan memaklumkan secara rasmi kepada orang ramai,” menurutnya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Akhbar berkenaan pada 7 Februari menyiarkan laporan “Wajah Baharu SPM” di muka hadapan, “SPM Bakal Dirombak” di muka surat dua dan “Peperiksaan Boleh Buka Buku” di muka surat tiga.

– BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19 bayangi rencah kehidupan dunia sepanjang 2020

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Memandangkan banyak berita yang ditulis memaparkan mengenai kisah malang tahun duka 2020, mesej-mesej positif yang disampaikan figura penting Krismas Santa Klaus di media sosial telah menjadikan suasana yang suram lebih optimis dan mengujakan.

Santa merujuk perjuangan global untuk membendung penularan pandemik Covid-19 ketika ini sebagai ‘satu situasi yang sangat istimewa’.

Menerusi video berdurasi 43 saat dari Rovaniemi, Finland, Santa Klaus menyampaikan mesej kepada kanak-kanak di seluruh dunia yang bimbang ketiadaan sambutan Krismas, dengan memberi jaminan kepada mereka bahawa persiapan di Arctic Circle di Lapland berjalan sangat lancar dan semuanya berkeadaan baik dan mematuhi peraturan penjarakan fizikal. Seperti yang diketahui ramai, Rovaniemi adalah kampung halaman ‘rasmi’ bagi Santa Klaus.

Sememangnya 2020 adalah tahun yang istimewa dari pelbagai segi. Pertamanya, ia telah menyedarkan kita tentang kepentingan penjagaan kebersihan diri dan sanitasi.

Amat malang sekali dalam laporannya yang bertajuk ‘Hand Hygiene for All’, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tiga bilion orang – 40 peratus daripada penduduk dunia – di rumah mereka tidak mempunyai tempat untuk membasuh tangan dengan air dan sabun.

Tiga suku daripada mereka ini tinggal di negara-negara paling miskin di dunia dan merupakan antara golongan yang paling rentan: kanak-kanak dan keluarga yang tinggal di kawasan penerokaan haram, migran dan kem pelarian atau di kawasan yang sentiasa berkonflik.

Ini menjadikan kira-kira 1 bilion orang berdepan risiko dijangkiti Covid-19, hanya kerana mereka kekurangan atau tiada kemudahan asas seperti tempat untuk membasuh tangan.

Justeru, pandemik Covid-19 adalah peringatan yang jelas kepada kita bahawa satu daripada cara paling efektif untuk menghentikan penularan virus adalah amat mudah sekali iaitu kebersihan tangan. Ia bukan sahaja melindungi kita daripada dijangkiti penyakit tetapi juga mencegah penularannya kepada orang lain, demikian dedah laporan WHO tersebut.

Di Malaysia, pelaburan dalam sektor sanitasi bermula sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Walaupun masih ada cabaran yang perlu ditangani, seperti kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual dan pencemaran sungai, majoriti 32 juta penduduk di negara ini mempunyai akses kepada keperluan sanitasi asas.

Satu kajian pada tahun 2000 oleh WHO dan Pogram Pemantauan Bersama bagi Bekalan Air, Sanitasi dan Kebersihan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendedahkan bahawa 98 peratus daripada penduduk bandar dan 94 peratus daripada penduduk luar bandar mempunyai akses kepada sanitasi asas.

Keduanya, 2020 mengajar kita untuk lebih bersyukur.

Semasa komentar ini ditulis, kes Covid-19 di Malaysia telah melepasi angka 100,000 ribu orang dengan 18,773 kes aktif dan meragut 446 nyawa.

Antara kisah yang paling tragis adalah satu kes sekeluarga di Sarawak yang kehilangan tiga anggota keluarga akibat Covid-19 pada April dan kematian mangsa paling muda di Malaysia seorang budak perempuan berusia setahun di Sabah.

Sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung penularan virus itu juga telah menjejaskan mata pencarian beribu-ribu orang di Malaysia.

Seorang pekerja asing diperiksa suhu badan ketika beratur untuk pemeriksaan dengan pihak berkuasa kesihatan di pasar baharu susulan penularan Covid-19 di Bangkok, Thailand pada 22 Disember 2020. Foto REUTERS

Kadar pengangguran melonjak setinggi 5.3 peratus pada Mei. Walaupun kadar itu menyusut kemudiannya selepas aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dan pelbagai langkah rangsangan ekonomi dan inisiatif diperkenalkan kerajaan, tidak dinafikan bahawa sesetengah perniagaan dan pekerjaan masih terdedah kepada kesan daripadanya, terutamanya sektor penerbangan dan pelancongan.

Sehingga dan melainkan sempadan dibuka semula dan sekatan perjalanan ditarik balik, sektor ini berdepan cabaran yang sukar untuk pulih kembali. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat penerbangan dijangka mengalami kerugian US$84.3 billion (US$1=RM4.07) tahun ini, menjadikannya tahun paling buruk dalam sejarah penerbangan dengan trafik udara dijangka hanya pulih sepenuhnya sehingga 2024.

Oleh itu, sekiranya anda berjaya mengharungi 2020 tanpa ada ahli keluarga ataupun rakan-rakan dijangkiti virus itu, kehilangan nyawa atau pekerjaan atau malahan terpisah disebabkan penutupan sempadan – anda seharusnya bersyukur.

Ketiga, 2020 jelas memperkukuhkan lagi hakikat bahawa rakyat Malaysia sememangnya berhati mulia.

Bagi rakyat Malaysia, tidak kira sama ada ia kedai mi bekas juruterbang, nasi lemak budak tanpa lengan, atau pelajar yang bergelut melawan kanser untuk meneruskan kehidupan ataupun warga emas yang membuat kerja penghantaran makanan – jika mereka memerlukan bantuan, rakyat Malaysia akan sentiasa membantu.

Suatu yang mengujakan apabila membaca pelbagai kisah segenap lapisan masyarakat yang memberi sumbangan bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga dari segi perlindungan dan sokongan emosi.

Pelbagai kumpulan sokongan masyarakat juga muncul ibarat cendawan sepanjang tahun ini. Antara yang terawal ditubuhkan adalah pada permulaan perintah kawalan pada Mac lepas dengan kira-kira 500 ahli dan membuka laman “caremongering” di platform media sosial Facebook, bagi membantu golongan rentan.

Ia menyeru golongan muda untuk membantu dengan memeriksa keadaan jiran-jiran mereka, terutamanya golongan warga emas, membeli barangan keperluan untuk mereka serta mendapatkan ubatan daripada farmasi semasa perintah kawalan pergerakan selama tujuh minggu itu.

Walaupun selepas perintah kawalan pergerakan ditarik balik, kumpulan itu masih meneruskan aktiviti mereka memberi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Perilaku ini mengukuhkan lagi kepercayaan terhadap kemanusiaan dan rakyat Malaysia rata-ratanya sememangnya mempunyai hati emas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: 4.5 juta guna e-Census, wakili 13.4 peratus penduduk

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau ‘e-Census’ yang dilaksanakan sejak 7 Julai hingga 26 Oktober lepas merekodkan sekitar 4.5 juta penduduk atau 13.4 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia yang dibanci.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata antara negeri yang merekodkan bancian tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak dan Selangor manakala Sabah serta negeri di Pantai Timur masih berada di jajaran bawah daripada 10 peratus.

“Penerimaan (banci) pada hari ini lebih kurang 50,000 tetapi unjuran kita adalah sekitar 80,000 hingga 90,000 penerimaan harian supaya kita boleh capai 40 hingga 50 peratus penerimaan e-Census ini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk Banci 2020: Norma Baharu malam tadi.

Beliau berkata antara kekangan pelaksanaan e-Census yang disuarakan masyarakat ialah penerimaan kod pengisian dan soalan yang dianggap tidak relevan bagi sesetengah pihak.

“Macam isu kesukaran mendapatkan kod pengisian, apa yang kita lakukan di Jabatan Perangkaan ialah kita telah senaraikan seluruh tempat kediaman di Malaysia iaitu sembilan juta tetapi apabila sistem menerima maklumat dari segi alamat yang diisi, proses padanan itu mengambil masa sehingga tiga hari kerana apa yang ada dalam sistem dan apa yang diisi orang ramai adalah berbeza.

“Jadi apa yang kita lakukan ialah anggota di lapangan atau di negeri akan bantu orang ramai dengan adakan klinik e-Census bersama komuniti Rukun Tetangga dengan bergerak secara menyeluruh sebelum ini tetapi kini kita bergerak hanya di zon hijau melihat kepada penularan kes Covid-19,” katanya.

Mohd Uzir juga berkata soalan yang dikemukakan dalam Banci 2020 bukanlah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia sebaliknya adalah daripada pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta yang memerlukan maklumat untuk pelaksanaan dasar awam serta perancangan pembangunan negara.

“Jika dibandingkan pada tahun 2010, soalan hanya 50 sahaja (namun) kali ini, sebanyak 108 soalan, soalan banci ini bukan untuk orang tertentu tetapi ia adalah menyeluruh untuk 32.7 juta rakyat Malaysia, mungkin ada soalan yang tidak relevan untuk sesetengah penduduk di bandar, misalnya mengenai kemudahan elektrik, air, pengangkutan dan sebagainya.

“Tetapi untuk penduduk di luar bandar, ia mungkin bermakna kerana dari situlah kerajaan dapat tambah baik dan tahu ke mana peruntukan kerajaan dapat disalurkan… mungkin ini perlu diterangkan dan dikemukakan di media sosial,” katanya.

Mengulas fasa kedua banci yang dijadualkan semula pada 20 Januari depan berikutan penularan Covid-19, Mohd Uzir berkata ia akan dilaksanakan selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Fasa kedua, iaitu secara bersemuka, sebelum ini dirancang pada 7 hingga 24 Oktober tetapi telah dijadual semula… kita harap jika tiada halangan, kita akan bergerak pada 20 Januari depan tetapi pada masa sama, apa juga keputusan dan apa yang perlu dilaksanakan, penekanan kita lebih kepada aspek keselamatan dalam suasana norma baharu termasuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: 2020 masih istimewa bagi rakyat Malaysia

SEPANG, 22 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini 2020 masih merupakan tahun istimewa bagi rakyat Malaysia walaupun negara tidak mencapai wawasan untuk menjadi negara maju.

“Ia tidak akan menjadi kemuncak sasaran kita untuk menjadi negara maju tetapi sekurang-kurangnya Tourism Malaysia menunjukkan bahawa kita akan meraikan 2020 juga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Logo Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Oleh itu, Dr Mahathir berkata setiap warga Malaysia perlu membantu dalam mengalu-alukan pelancong dengan layanan mesra, senyum sepanjang masa dan cuba menyelesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi mereka.

“Antara perkara yang menarik perhatian pelancong ialah tuan rumah yang mesra, sentiasa tersenyum, melayan mereka dengan baik, menunjukkan cara dan apa sahaja yang mereka ingin tahu tentang Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia telah berjaya dalam industri pelancongan meskipun tidak mempunyai banyak tapak bersejarah atau piramid.

“Industri pelancongan Malaysia terus berkembang. Sejak 1990 hingga 1994, semasa saya melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia, kita sudah menyedari bahawa pelancongan akan menjadi faktor penting dalam ekonomi negara.

“Hari ini, selepas hampir tiga dekad, apa yang kita jangkakan ketika itu, menjadi kenyataan, malah lebih lagi. Kedatangan pelancong meningkat dan Malaysia benar-benar menjadi popular dan mampu bersaing dengan destinasi dunia yang lain,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata Kuala Lumpur berada dalam kedudukan kesembilan dalam senarai bandar raya yang paling dilawati pada 2017 menurut laporan ‘Top 100 City Destinations 2018’.

“Oleh itu, ia adalah suatu yang boleh kita banggakan dan harus memberi motivasi kepada kita untuk menggandakan usaha promosi mengenai Malaysia pada masa depan,” katanya.

Ditanya mengapa Malaysia agak lambat dalam mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 berbanding negara lain, Dr Mahathir berkata: “Benda macam ini berlaku selalu, kita boleh rancang tapi Tuhan yang menentukan. Kalau masa tidak baik, lambat sikit. Kalau masa baik, lebih awal lagi.”

Mengenai kerjasama dengan Sharp untuk mempromosi Malaysia, Dr Mahathir berkata Sharp merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia.

“Sharp mengeluarkan lebih dua juta televisyen di Malaysia untuk eksport ke seluruh dunia. Malaysia adalah negara yang mesra untuk mereka melabur di sini dan oleh itu, mereka menyertai kita dalam mempromosikan Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa Sharp, sebagai jenama Jepun, akan membantu mempromosikan Malaysia terutama di Jepun.

Selain pelancong Jepun, Dr Mahathir berkata pelancong China akan menjadi pelancong teramai yang datang ke Malaysia dengan sasaran lebih tiga juta tahun ini.

Semasa ditanya mengenai program yang disediakan untuk menyambut Tahun Pelancongan Kebudayaan Malaysia-China 2020, Dr Mahathir berkata China telah dan akan menjadi negara yang penting kepada Malaysia.

“Kita telah berdagang dengan China selama 2,000 tahun dan kini tentunya China merupakan rakan dagang terbesar kita. Kita akan melakukan segala yang mungkin untuk menjadikan Malaysia popular di China dan menarik pelancong China ke Malaysia,” katanya.

Selain itu, Malaysia baru-baru ini memperluaskan kemudahan visa semasa ketibaan (VOA) di 13 pintu masuk untuk melancarkan kemasukan pelancong warga China dan India, dua pasaran pelancong yang pantas berkembang di dunia.

Semasa ditanya mengenai kumpulan tertentu yang selalu memprotes konsert-konsert tertentu yang diadakan di negara ini, Dr Mahathir berkata mereka hanya suara minoriti, dan tidak mewakili majoriti.

“Mereka yang memprotes adalah minoriti, saya fikir kita harus memikirkan majoriti tetapi majoriti juga mesti bersuara supaya mereka didengar…supaya tidak dilihat kita menolak suara rakyat.

“Ia bukan suara rakyat, hanya sekumpulan aktivis yang cuba menunjukkan mereka adalah majoriti di Malaysia, tetapi mereka tidak,” katanya. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelan Strategik MPSepang lahir perbandaran sejahtera 2020

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) giat melaksanakan Pelan Strategik 2016-2020 sebagai inisiatif menjadikan perbandarannya sebagai sebuah bandar sejahtera dan hijau menjelang 2020.

Misinya tertumpu kepada usaha merealisasikan MPSepang sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mampu menyediakan perkhidmatan terbaik dalam memastikan jaminan kesejahteraan masyarakatnya.

MPSepang dalam kenyataannya berkata, komponen utama pelan tersebut termasuk inisiatif memastikan bandar Sepang sebagai perbandaran bersih serta penggunaan teknologi hijau asas pentadbirannya.

“Tumpuannya termasuk pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik dengan membudayakan amalan kitar semula juga pengasingan sampah.

earthday2012-500“Selain itu, pelaksanaan program penghijauan bersama masyarakat dengan membudayakan amalan hijau dalam penggunaan peralatan ICT melalui konsep 3R,” kata kenyataan itu.

Teras pengukuhan pembangunan mampan dengan penyediaan pelbagai program mewujudkan masyarakat harmoni turut dilaksanakan untuk tempoh tersebut.

Inisiatif tersebut termasuk pelaksanaan projek pembangunan secara komited dan kolaboratif yang berkesan membabitkan anggota masyarakat di sekitar perbandarannya.

“Pelaksanaan projek selaras dengan pembangunan masyarakat setempat termasuk mewujudkan ‘Blue Print Penjaja’ daerah Sepang dan menjadikan (pengurusan) sebagai amalan terbaik.

“Selain itu, tumpuan lain termasuk meningkatkan imej bandar Cyberjaya, Bandar Baru Salak Tinggi, pekan Dengkil dan Pantai Bagan Lalang serta menjadikan Sepang sebagai destinasi pelancongan negeri,” katanya.

Pada masa sama, MPS juga fokus memastikan urusan pentadbirannya lebih cekap dengan melahirkan warga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Pembangunan ICT tentunya menyokong perkhidmatan bersepadu dan cemerlang. Untuk merealisasikan gagasan tersebut, warga pengurusan dididik untuk melahirkan warga kerja berintergiti dan patuh kepada peratuan juga perundangan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Dilahirkan 29 Februari, sambut hari jadi 2020

KUALA LUMPUR 29 FEB: Istimewa berbanding orang lain, bayi yang dilahirkan hari ini hanya akan dapat meraikan sambutan hari jadinya pada 2020 berikutan tarikh 29 Februari hanya muncul setiap empat tahun sekali iaitu pada tahun lompat.

Tahun lompat 2016 ini nyata lebih bermakna kepada pasangan suami isteri yang dikurniakan cahaya mata, khusus kepada pasangan yang pertama kali berstatus sebagai ibu dan bapa.

February-29th-CalendarBERNAMA melaporkan, di ibu negara setakat ini, hanya seorang bayi perempuan yang diberikan nama Nur Arikah Maisarah Asyraf, dilahirkan di Hospital Pusrawi pada pukul 7.33 pagi tadi.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 11 bayi iaitu enam perempuan dan lima lelakidilahirkan di Hospital Tuanku Jaafar sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Bayi terawal dilahirkan ialah bayi lelaki yang dilahirkan Siti Nurhidayu Aliza dengan berat 2.5 kilogram (kg) manakala bayi terberat yang juga bayi lelaki dilahirkan Yap Meng Fong secara pembedahan dengan berat 3.73 kg.

Di IPOH pula, setakat pukul 3 petang tadi, sebanyak 13 bayi tahun lompat dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) terdiri daripada lapan lelaki dan lima perempuan.

Pegawai Perhubungan Awam HRPB, Normah Mohd Tahir berkata, kelahiran pertama pada pukul 1.50 pagi tadi yang merupakan bayi perempuan seberat tiga kilogram dilahirkan oleh Harmina Ishak.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil kesempatan meraikan ulang tahun kelahiran ke-40 bekas pemain rugbi kebangsaan Ahmad Faizal Ramli yang jatuh hari ini bersama-sama dengan 390 kakitangan lain yang lahir pada bulan Februari.

Ahmad Faizal kini berkhidmat sebagai pembantu awam bahagian kerja dan bangunan MBI berkata beliau sangat terharu kerana seumur hidup tidak pernah menyambut hari lahir.

Di GEORGETOWN, seramai tiga orang bayi termasuk seorang lelaki dilahirkan di Hospital Pulau Pinang, setakat pukul 3 petang tadi.

Bayi pertama (lelaki) seberat 2.8 kilogram dilahirkan Syarifah Zahidah Syed Hussain, 27, pada 12.34 tengah malam, diikuti bayi seberat 3.3 kg (perempuan) dilahirkan oleh L. Krishnavery, 35, pada 1.25 pagi.