Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM48.02 bilion, naik 7.7 peratus banding tahun lepas

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM48.02 bilion bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 Sept 2021, meningkat 7.7 peratus daripada RM44.60 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama 2020.

Menurut kenyataan KWSP pada Selasa, jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2021 pula mencecah RM13.97 bilion, lebih rendah daripada RM17.33 bilion yang direkodkan pada suku yang sama 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pasaran ekuiti domestik dan pasaran pesat membangun pada suku ketiga 2021 adalah tidak menentu, sebahagian besarnya disebabkan oleh kebimbangan berhubung peningkatan kadar inflasi dan kadar faedah.

“Pada masa yang sama, pemulihan berterusan ekuiti dalam ekonomi maju ketika suasana ketidaktentuan yang memuncak telah memberikan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan tambahan,” katanya dalam kenyataan yang sama.

KWSP menjelaskan, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 54 peratus atau RM7.50 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

“Sebagai sebahagian daripada dasar dalaman dan langkah berhemat bagi memastikan kemantapan portfolio KWSP, sebanyak RM0.11 bilion telah dihapus kira untuk ekuiti tersenarai pada suku tersebut, berbanding RM0.13 bilion pada suku yang sama 2020.

“Setelah mengambil kira kos hapus kira, pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM13.86 bilion telah direkodkan pada suku ketiga 2021,” jelasnya.

KWSP menambah, secara kumulatif, sebanyak RM0.35 bilion telah dihapus kira untuk ekuiti tersenarai, lebih rendah daripada RM6.46 bilion pada tempoh yang sama 2020, didorong oleh pemulihan berterusan dalam pasaran ekuiti global, menjadikan pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM47.67 bilion bagi sembilan bulan pertama 2021, berbanding RM38.14 bilion untuk tempoh sama 2020.

Pelaburan dalam pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM5 bilion atau 36 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar semasa suku ketiga 2021, iaitu lebih rendah daripada RM8.18 bilion yang dijana pada suku ketiga 2020, berikutan keuntungan dagangan yang lebih rendah, jelasnya.

“Ini selari dengan hasil pasaran yang lebih tinggi pada suku ketiga 2021 berbanding tempoh sama 2020,” katanya.

Selain itu, hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang KWSP pula masing-masing menyumbang RM1.18 bilion dan RM0.29 bilion.

Setakat September 2021, aset pelaburan KWSP mencatatkan RM988.55 bilion dengan sejumlah 36 peratus telah dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

“Pada suku ketiga 2021, pelaburan luar negara telah menjana pendapatan sebanyak RM8.10 bilion yang merangkumi 58 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan,” katanya.

Menurut dana persaraan itu, sejumlah RM1.40 bilion daripada RM13.97 bilion pendapatan pelaburan kasar telah dijana untuk Simpanan Shariah manakala Simpanan Kovensional sebanyak RM12.57 bilion.

Menyentuh prospek, Amir Hamzah berkata pembukaan semula ekonomi Malaysia dijangka dapat menyokong pemulihan secara beransur-ansur sehingga 2022 dan KWSP akan merancakkan lagi usaha untuk membantu kalangan ahli membina semula simpanan persaraan mereka serta melebarkan jaringan keselamatan sosial.

“Antara inisiatif utama KWSP pada 2022 adalah mengemaskinikan mandat kami agar kekal relevan kepada lebih ramai rakyat dalam sektor tidak formal serta pekerja kontrak bagi perkhidmatan yang kini merangkumi tenaga kerja majoriti negara.

“Ini penting kerana kami ingin memastikan mereka mendapat akses sekurang-kurangnya kepada taraf hidup minimum, walaupun dalam suasana yang tidak dijangka,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Kajian: Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 5.2-5.9 peratus pada 2021

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Ekonomi Malaysia diunjur pulih pada tahun ini dengan pertumbuhan sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus, demikian menurut AmBank Research pada Isnin.

Dalam nota penyelidikannya, ia berkata ini didorong oleh peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan global, langkah-langkah bantuan rangsangan, usaha membendung penularan Covid-19 serta pelaksanaan langkah pemvaksinan.

Jumlah pelaburan secara keseluruhannya juga diunjur meningkat dengan prospek sama turut dialami sektor-sektor utama dalam ekonomi, katanya.

“Oleh itu, peningkatan perbelanjaan modal dijangka berlaku pada tahun ini. Bagaimanapun, pertumbuhan bagi 2021 akan dijejaskan oleh peningkatan kes Covid-19 serta pelaksanaan langkah kawalan pergerakan pada Januari,” katanya.

Menurut AmBank Research, impak yang dapat dilihat pada suku pertama 2021 bagaimanapun kurang ketara berbanding kesan pelaksanaan kawalan pergerakan pada April 2020.

“Namun, kami masih bimbangkan keadaan perniagaan mikro, kecil dan sederhana. Atas alasan itu, KDNK tahun penuh 2021 dijangka sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus.”

AmBank Research berkata seperti dijangkakan, KDNK susut pada suku keempat 2020 — prestasi lebih rendah pada suku sebelumnya akibat peningkatan kes Covid-19 dan langkah kawalan bagi membendung penularannya.

Penguncupan KDNK suku keempat 2020 pada 3.4 peratus bagi tahun ke tahun sememangnya dalam jangkaan firma penyelidikan berkenaan iaitu sekitar -3.2 peratus dan -3.5 peratus berikutan semakan semula -2.6 peratus tahun ke tahun bagi suku ketiga 2020.

“Berikutan pertumbuhan negatif bagi tiga suku berturut-turut dengan (angka) terbesar pada suku kedua 2020 pada -17.1 peratus tahun ke tahun, KDNK bagi tahun penuh susut 5.6 peratus yang merupakan peningkatan daripada unjuran kami pada -5.5 peratus,” katanya.

Ini merupakan penguncupan terbesar pernah dicatatkan berbanding -7.4 peratus sewaktu krisis kewangan Asia pada 1998.

Selain itu, penurunan nominal KDNK sebanyak 6.3 peratus itu juga disebabkan oleh impak deflasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tiada sambutan tahun baharu 2021 kebanyakan negeri

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Ketibaan tahun baharu 2021 tidak seperti kelaziman yang menampilkan sambutan ambang tahun baharu dengan acara besar-besaran penuh meriah, berikutan negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Kecuali Sarawak, negeri-negeri lain tidak mengadakan majlis rasmi sambutan tahun baharu, namun orang ramai tetap mengambil peluang mengunjungi beberapa lokasi menarik dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan tidak berkumpul dalam kumpulan yang ramai.

Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang menganjur acara tradisi kiraan detik-detik terakhir penghabisan tahun dan ketibaan tahun baharu malam tadi.

Walaupun setakat ini ia dilihat berjaya melandaikan lengkungan kes Covid-19, tatacara operasi piawai (SOP) tetap dipatuhi di sepanjang acara sambutan.

Pematuhan SOP itu tidak menghalang kemeriahan acara penuh berwarna-warni yang menampilkan pelbagai pertunjukkan tradisional, dan persembahan pentas penuh bertenaga artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Bob dan Hafiz, di Stadium Perpaduan.

Di TERENGGANU, kerajaan negeri memilih menganjurkan acara Pentas Online: Ambang Tahun Baharu 2021 yang penuh dengan pengisian program keagamaan secara maya.

Acara yang bermula 9 malam itu diisi dengan pelbagai acara termasuk persembahan ‘buskers’, program ‘talkshow’ yang bersifat keagamaan dan laungan takbir, alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan Asmaul Husna apabila menjelang tengah malam.

Di KUALA LUMPUR, keadaan di sekitar Bukit Bintang sesak dengan kenderaan tetapi berbeza di Dataran Merdeka yang lengang dan ditutup daripada dihadiri orang ramai dengan pihak berkuasa tempatan sedang menjaga kawasan berkenaan.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di taman tema i-City, Seksyen 7 Shah Alam mendapati pengunjung memenuhi ‘taman lampu digital’ itu bagi mengisi masa terluang sempena menjelang tahun baharu dengan pengunjung dilihat mengenakan pelitup muka serta mengimbas suhu badan ketika memasuki taman tema itu.

Di MELAKA, pusat tumpuan pelancong, Bandar Hilir sesak dengan kenderaan walaupun tiada sambungan ambang tahun baharu seperti tahun sebelum ini dengan kebanyakan kenderaan yang memasuki pusat bandar adalah kenderaan dari luar dan aliran trafik bergerak sangat perlahan.

Di KELANTAN, lain pula caranya apabila seramai 250 peserta berkayuh basikal sejauh sembilan kilometer pada Kejohanan Kayuhan Malam Tahun Baru TM Fly Over di Tanah Merah anjuran Kelab Berbasikal Mahsari.

Di PERLIS pula, walaupun tiada sambutan ambang tahun baharu, orang ramai tetap berkunjung ke persisiran pantai Kuala Perlis bagi menikmati pemandangan tepi laut pada waktu malam bersama ahli keluarga dan tidak kurang juga hadir menikmati sajian ikan bakar.

Di SABAH, Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif bersama orang ramai menyertai program keagamaan Munajat Mahabbah dan doa selamat di Masjid Negeri yang dipimpin Imam Besar Suhaidi Kuanting dan Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan tepi pantai yang menjadi tumpuan orang ramai setiap tahun antaranya Taman Awam Teluk Likas dan Taman Awam Tanjung Aru mendapati hanya segelintir pengunjung berada di kawasan itu akibat hujan selain larangan berkumpul di tempat awam.

Di NEGERI SEMBILAN, terdapat sambutan malam tahun baharu yang disambut berbeza dan unik apabila Pusat Pemuliharaan dan Penetasan Penyu, Glory Beach Resort, Port Dickson melepaskan tujuh ekor anak penyu Agar di Pantai Tanjung Gemok sebagai simbolik sempena memasuki tahun baharu.

Di PULAU PINANG, orang ramai masih keluar berkumpul untuk menyambut tahun baharu 2021 walaupun tiada sambutan ambang tahun baharu dianjurkan kerajaan negeri mahupun pihak swasta dengan tumpuan antaranya di Persiaran Gurney, pusat membeli belah Gurney Paragon, Persiaran Karpal Singh dan Straits Quay.

Di PERAK, tinjauan di taman tema Lost World Of Tambun, Ipoh yang sentiasa menjadi lokasi tumpuan pengunjung juga mendapati tiada sambutan ambang tahun baharu pada kali ini berbanding tahun sebelum ini terdapat pertunjukan bunga api dan beroperasi hanya sehingga 11 malam ini.

Di PAHANG pula, hujan renyai tidak menghalang orang ramai berkumpul di Teluk Cempedak, Kuantan bagi menyambut sambutan tahun baharu bersama ahli keluarga dan kenalan mereka di tempat tumpuan pelancong itu.

Di KEDAH, orang ramai tetap mengunjungi beberapa lokasi sekitar bandaraya Alor Setar bagi meluangkan masa sempena ambang tahun baharu walaupun tiada sebarang sambutan diadakan.

Tinjauan Bernama mendapati lokasi seperti Menara Alor Setar dan Dataran Medan Bandar menjadi pilihan bagi penduduk setempat melakukan aktiviti sendiri bersama keluarga masing-masing tanpa mengabaikan pemakaian pelitup muka.

Di JOHOR, pertunjukan bunga api diadakan di daerah Mersing yang dihadiahkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bagi penutup tirai tahun 2020 yang penuh cabaran.

Meskipun hujan lebat, orang ramai sanggup menunggu selama sejam setengah sebelum pertunjukan itu bermula kira-kira 11.20 malam.

Di PUTRAJAYA, orang ramai dilihat menjalankan aktiviti bersukan seperti berbasikal dan berjogging serta berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan tidak melebihi 10 orang di Dataran Putrajaya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Malaysia diunjur catat pertumbuhan 6.6 peratus pada 2021

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Kadar pertumbuhan Malaysia dijangka pulih sekitar 6.6 peratus pada tahun depan berikutan peningkatan perbelanjaan di peringkat domestik mahu pun asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific Investment Bank (APIB), Chris Wang bagaimanapun berkata unjuran itu turut dipengaruhi oleh perkembangan membabitkan penularan Covid-19, kestabilan politik serta peningkatan permintaan terhadap eksport negara.

“Susulan peningkatan permintaan domestik dan harga minyak, kadar inflasi Malaysia dijangkakan bertambah sedikit kepada 1.1 peratus selain terdapat kadar pemulihan dan pembangunan yang tidak setara dalam sektor domestik yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wang, sektor pembuatan dan pengangkutan misalnya akan menyaksikan permintaan yang terus meningkat manakala sektor automotif dijangka pulih namun sektor peruncitan akan berdepan cabaran dalam jangka pendek.

“Industri teknologi maklumat (IT) akan kekal sebagai penerima terbesar manfaat perkembangan masa kini berikutan pelbagai industri terus menggunapakai teknologi terkini dengan model perniagaan baharu seperti data raya, kecerdasan buatan (AI) dan generasi kelima (5G).

“Namun industri pelancongan dan syarikat penerbangan sebaliknya akan menghadapi cabaran getir dalam tempoh jangka pendek sehingga pertengahan berikutan kebergantungannya terhadap perbelanjaan domestik yang menjadikan pemulihan kepada paras pra-Covid-19 menjelang 2023 itu sebagai amat mencabar,” katanya.

Wang berkata, sektor tenaga pula diunjur mengalami penyusutan dalam jangka masa terdekat dari segi harga serta perolehan yang dikaitkan dengan tekanan membabitkan jualan hartanah kediaman.

Sehubungan itu, beliau berkata para pelabur berpendirian untuk lebih berhati-hati meletakkan keseluruhan modal mereka ke atas satu portfolio tunggal dan bertindak memperluaskannya berbanding mempraktikkan konsep pelaburan jangka pertengahan dan panjang bagi menangani impak negatif jangka pendek akibat ketidaktentuan pasaran.

Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia agar meninjau peluang pelaburan di negara-negara Asia yang menikmati kadar pemulihan lebih pantas seperti di China, Jepun, Korea Selatan dan sebagainya.

“Susulan pengaruh daripada perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), pelabur boleh mempertimbang untuk meningkatkan pelaburan mereka dalam rantaian perindustrian pembuatan serantau terutama yang berkaitan serta terjejas oleh impak perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

“Malah, dengan memanfaatkan keadaan itu akan dapat meningkatkan status Malaysia sebagai hab penghantaran dan transit selain meningkatkan hasil eksport negara ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran hartanah dijangka pulih 2021, unjuran neutral

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Walaupun mengharungi tempoh sukar namun pasaran hartanah dalam negara bersedia mencatatkan pemulihan pada 2021 dengan keseluruhan sektor dijangka mengalami pertumbuhan, meskipun pada kadar berhati-hati, menurut PropertyGuru Malaysia, laman web hartanah terbesar di negara ini.

Pengurus Negara, Sheldon Fernandez berkata 2020 merupakan tempoh penuh cabaran bagi Malaysia dan kesuraman sentimen pasaran yang berlarutan disebabkan ketidaktentuan ekonomi telah mendorong rakyat Malaysia mempertimbangkan semula rancangan masa depan mereka, termasuk strategi membeli hartanah.

Beliau berkata walaupun keseluruhan harga hartanah cenderung bergerak lebih rendah pada bulan-bulan akan datang, namun harga yang menarik dapat mencetuskan permintaan terhadap rumah berharga lebih mampu milik sekali gus menjana permintaan mencukupi bagi melambatkan kadar penurunan harga.

“Tingkah laku pengguna yang berhati-hati, yang bergantung kepada kebimbangan mengenai pandemik, dasar kerajaan yang berkesan serta pendekatan inovatif peserta pasaran juga membantu meredakan impak itu,” katanya kepada Bernama.

Mengikut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), prestasi pasaran hartanah mencatatkan kemerosotan ketara pada separuh pertama 2020, sejajar dengan prestasi ekonomi Malaysia yang menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Pada separuh pertama 2020, sektor hartanah merekodkan 115,476 transaksi bernilai RM46.94 bilion, penurunan sebanyak 27.9 peratus dari segi jumlah dan 31.5 peratus dari segi nilai berbanding dengan angka pada separuh pertama 2019 yang mencatatkan 160,165 transaksi bernilai RM68.53 bilion.

Menurutnya, pada suku ketiga 2020, jumlah transaksi dan perubahan tahunan yang dicatatkan meningkat kepada 89,245 unit daripada 83,085 unit pada suku ketiga 2019 dan 7.4 peratus berbanding 5.5 peratus pada suku yang sama 2019.

Antara langkah utama yang dilaksanakan kerajaan adalah pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang merangkumi pengecualian Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT), pengecualian duti setem, dan pemansuhan margin pembiayaan terhad 70 peratus.

Selain itu, Fernandez berkata pasaran hartanah juga didorong oleh beberapa kali pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun ini sehingga mencecah kadar semasa terendah pada 1.75 peratus.

Beliau berkata dalam iklim kadar faedah rendah, harga hartanah yang rendah serta insentif sesuai yang diperkenalkan kerajaan telah meningkatkan permintaan terhadap hartanah terutama bagi yang memiliki simpanan kewangan yang baik.

“Kami juga menjejaki aktiviti dalam talian di propertyguru.com.my dan mengesahkan terdapat minat berterusan dalam segmen tertentu dalam pasaran, terutama bagi pencari rumah pertama.

“Unjuran bagi pasaran hartanah 2021 kekal neutral, memandangkan wujudnya sentimen berhati-hati susulan kenaikan kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara. Kemungkinan pemulihan pasaran dicatatkan pada separuh kedua 2021,” katanya.

Ini terutama didorong oleh perkembangan vaksin yang positif berlaku agak pantas yang akan memberi impak berpanjangan kepada sentimen pengguna, katanya.

-BERNAMA