Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas 7-Eleven disahkan positif Covid-19

SHAH ALAM, 30 MAC: Seorang petugas kedai serbaneka, 7-Eleven di Jalan Bunus, Kuala Lumpur disahkan positif Covid-19, kata pengurus besar pemasarannya.

Ronan Lee berkata petugas itu, tidak disebut jantina, kini dirawat di hospital kerajaan manakala semua kontak rapatnya dikuarantin di rumah masing-masing, lapor Malay Mail.

Beliau berkata pihaknya sudah mengambil langkah keselamatan dengan menutup premis berkenaan bagi menjalankan operasi nyahkuman demi menjamin keselamatan pelanggan dan kakitangan.

“Kami memberi jaminan langkah sudah diambil untuk membasmi penularan Covid-19 termasuk meningkatkan kekerapan sanitasi di semua premis, memperkasakan protokol kebersihan dalam kalangan petugas dan mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Categories
EKONOMI

7-Eleven rangkul anugerah Syarikat Terbaik kali kedua

KUALA LUMPUR, 28 JUL: 7-Eleven Malaysia menerima anugerah ‘Syarikat Terbaik’ untuk tahun kedua dalam kategori runcit di Anugerah CSR Malaysia 2018, baru-baru ini.

Pengurus Besar Pemasaran 7-Eleven Malaysia, Ronan Lee, berkata usaha CSR Malaysia mewujudkan platform untuk mempromosikan dan mengiktiraf usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) peserta industri perlu dipuji.

“Kami percaya semua inisiatif CSR membawa harapan dan kelegaan kepada mereka yang memerlukan, di samping mendidik dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk menjadi agen perubahan serta memahami dan bertanggungjawab di dunia yang kita didiami,” kata Lee.

Dianjurkan oleh CSR Malaysia Publications dan disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, anugerah itu memberi penghormatan kepada syarikat sebagai pemangkin perubahan dalam transformasi sosio-ekonomi Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Mulai esok, tiada lagi 7-Eleven di Indonesia

JAKARTA 29 JUN: Indonesia kini tidak lagi mempunyai kedai runcit franchais 24 jam, 7-Eleven apabila semua kedai serbaneka itu akan ditutup mulai esok.

Penutupan semua 141 kedai itu diumumkan oleh syarikat pemilik rangkaian 7-Eleven Indonesia, PT Modern International dalam kenyataannya kepada Bursa Efek Indonesia baru-baru ini.

Media tempatan memetik Pengarah PT Modern International, Chandra Wijaya sebagai berkata pemberhentian operasi semua kedai 7-Eleven itu disebabkan masalah kekurangan sumber dan urusan jual-beli saham perniagaan.

PT Modern International sebelum ini dilaporkan bersetuju menjual perniagaan rangkaian 7-Eleven Indonesia kepada PT Charoen Pokphand Restu Indonesia tetapi penjualan saham dan aset itu dibatalkan baru-baru ini setelah kedua-dua syarikat itu gagal mencapai kata sepakat.

Sehingga September 2016, terdapat 175 kedai 7-Eleven di Indonesia yang hanya beroperasi di Jakarta dan pada akhir tahun lepas lebih 20 kedai itu ditutup secara berperingkat atas alasan tidak menguntungkan.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kedai 7-Eleven menutup operasi mereka sejak minggu lepas lagi dengan meletakkan notis mengenai pemberhentian operasi.

Francais rangkaian 7-Eleven mula memasuki Indonesia pada 2008 dan dikelolakan oleh PT Modern Sevel Indonesia, anak syarikat PT Modern International.

Menurut laporan kewangan suku pertama 2017 PT Modern International, hasil penjualan 7-Eleven mengalami penurunan sebanyak 37.17% daripada Rp220,66 juta (kurang RM300) kepada Rp138,62 juta.

Sementara itu Menteri Perdagangan Indonesia Enggartiasto Lukita menyangkal dakwaan penutupan 7-Eleven itu menunjukkan kelembapan sektor peruncitan di Indonesia kerana masih banyak kedai runcit 24 jam tempatan beroperasi seperti biasa.

Katanya penutupan itu disebabkan masalah dalaman dan kerugian yang dialami syarikat tersebut.

Beliau berkata, pihaknya bercadang bertemu dengan pengurusan syarikat berkenaan bagimendapat maklumat lanjut mengenai penutupan kedai francais itu.

SUMBER: BERNAMA