Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar penduduk dewasa lengkap vaksin capai 89.4 peratus

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Sebanyak 20,927,867 atau 89.4 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 setakat 11.59 malam tadi (8 Okt).

Peningkatan sebanyak 0.3 peratus kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa berbanding sehari sebelum itu (7 Okt) 89.1 peratus menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi kini berbaki hanya 0.6 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, sebanyak 94.7 peratus atau 22,166,911 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sejumlah 174,820 dos suntikan vaksin diberikan semalam (8 Okt) bagi golongan dewasa melibatkan 74,199 individu bagi suntikan dos pertama dan 100,621 individu bagi suntikan lengkap.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 45,379,299.

Sementara itu, setakat semalam sebanyak 177,029 atau 5.6 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah melengkapkan suntikan vaksin manakala 70.4 peratus atau 2,217,920 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Umum rentas negeri sebaik kadar vaksin capai 90 peratus

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Aktiviti rentas negeri yang ditunggu-tunggu oleh rakyat kini sudah semakin hampir untuk dibenarkan susulan peningkatan kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau amat memahami keluh-kesah rakyat yang ingin pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan khabar gembira itu akan diumumkannya sebaik kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.

“Saya percaya ramai yang nak balik kampung…sesetengah itu dah setahun lebih tak tengok ibu bapa mereka, sesetengah (ada yang) ibu bapa tak sihat. Saya tahu, arwah mak saya dahulu kalau saya tak balik setiap minggu atau dua minggu sekali, dia akan menangis apabila telefon saya.

“Ramai yang saya percaya mempunyai situasi seperti yang saya pernah hadapi dahulu. Kita faham tetapi kerana masalah kesihatan, kita sekat pergerakan kita tetapi saya dah kata kita tak akan sekat pergerakan rakyat selama-lamanya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini.

Beliau percaya masa untuk merentas negeri sudah semakin hampir memandangkan kadar peratusan populasi dewasa yang telah menerima vaksin semakin meningkat dan telah mencecah lebih 86 peratus.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa langkah kerajaan menaikkan daripada 80 peratus kepada 90 peratus kadar vaksinasi sebelum kebenaran rentas negeri diberikan bertujuan untuk memastikan tiada negeri yang ketinggalan sebaik ia diumumkan.

“Saya cuma nak jelaskan dahulu kata 80 peratus boleh merentas negeri kenapa tiba-tiba jadi 90 peratus.  Ini sebab kita lihat apabila 80 peratus, kita lihat banyak lagi negeri-negeri yang peratusnya masih kecil.

“Jadi kalau kita buka seluruh Malaysia, kita tak nak tinggalkan negeri-negeri yang masih kecil peratusan vaksin di negeri mereka. Jadi sebab itulah kita tunggu 90 peratus kerana kita percaya apabila 90 peratus, setiap negeri (rata-ratanya) sudah (mencapai) 80 peratus lebih. Jadi sebaik sahaja 90 peratus, kita akan umumkan. Ini berita gembira buat semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bertujuan membendung penularan COVID-19, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang menerima impak paling besar.

“Ia bergantung kepada rentas negeri…selagi rentas negeri tidak dibenarkan, selagi itu pelancongan tidak boleh dimulakan, dari segi sektor pelancongan tak boleh dibuka,” katanya.

Mengenai MyTravelPass, perdana menteri berkata kerajaan akan membenarkan rakyat untuk ke luar negara tanpa perlu memohon pas berkenaan sebaik program vaksinasi negara mencapai kadar 90 peratus.

“Dahulu kita buat sekatan penerbangan kerana kita tak benarkan rakyat kita melancong ke luar negara sebab itu kita tapis siapa yang nak keluar negara, tapi atas urusan perniagaan kita benarkan dan untuk pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran atau memasuki universiti pengajian tinggi swasta di luar negara memang kita benarkan tanpa MyTravelPass.

“Tetapi untuk pelancongan masih kita tak benarkan. Untuk suami berjumpa isteri memang kita benarkan tetapi perlu membuat permohonan…saya nak sebut apabila 90 peratus program vaksinasi telah tercapai untuk dua dos, kita akan membenarkan rakyat kita ke luar negara tanpa memohon MyTravelPass lagi,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFC: Saringan bersasar diterus meski kadar vaksin cecah 90 peratus

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Saringan Covid-19 secara bersasar tetap diteruskan di Selangor meskipun kadar vaksin penuh penduduk dewasa negara mencecah 90 peratus.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah pengesanan wabak memfokuskan kawasan yang mencatatkan jangkitan tinggi.

“Kaedah FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) perlu digerakkan ke kawasan sasaran. Contohnya berlaku di tempat kerja atau sekolah, jadi kita akan kesan di situ.

“Kena ingat vaksin bukan peluru hapuskan Covid-19. Jangan harapkan vaksin sahaja kerana kita hidup dengan varian Delta, jadi perlu bertindak awal sebelum berlaku keadaan lebih teruk,” katanya.

Mantan menteri kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor.

Setakat semalam seramai 20,317,843 individu atau 86.8 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Susulan itu, kelonggaran rentas negeri semakin hampir apabila negara hanya memerlukan 3.2 peratus saja lagi untuk mencecah angka 90 peratus.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran rentas negeri apabila kasar vaksin dewasa mencapai 90 peratus berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).