Categories
NASIONAL SELANGOR

Pak Samad : Umno-BN Tidak Mampu Sekat Bersih 3.0

KUALA LUMPUR 18 APR : Rakyat secara menyeluruh akan turun menentang rejim zalim Umno-BN walau apapun halangan yang kerajaan itu cuba adakan bagi menyekat kemaraan rakyat.

Sasterawan Negara, A. Samad Said yang juga orang kuat di sebalik gerakan Bersih 3.0 berkata, rakyat tanpa mengira kedudukan dan darjat hari ini sudah bijak menilai dan berani untuk menentang serta membantah.

“Hari ini kita dapat melihat seorang sasterawan berdiri di kalangan rakyat, berdiri di depan untuk menuntut keadilan.

“Hari ini juga kita mendengar mantan tentera berikrar untuk bersama kita menentang kezaliman, golongan anak muda dan mahasiswa malah kita juga ada ahli Umno yang akan bersama kita pada himpunan 28 April nanti,” ucap penulis dan penyajak tersohor ini.

Beliau, yang mesra dengan panggilan Pak Samad, berucap di dalam Himpunan Pra Bersih 3.0 di Padang Kelab Sulaiman, Kampung Baru malam tadi.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menghadiahkan mahasiswa yang berkampung di Dataran Merdeka dua ‘sleeping bag’ bagi menyatakan sokongan terhadap mereka.

“Ia juga merupakan simbolik untuk mereka tidur dan menikmati mimpi-mimpi yang indah dan semoga mimpi indah itu menjadi nyata.

“Jangan bimbang jika khemah diroboh dan dirabak kerana ada yang akan bagi duit untuk mereka membeli khemah baru untuk didirikan,” ujar Pak Samad di hadapan lebih seribu hadirin.

Sekumpulan aktivis mahasiswa sudah empat malam berkhemah bagi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dataran Merdeka.

Perkhemahan itu adalah lanjutan himpunan mereka di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Selain Pak Samad, majlis himpunan malam tadi turut dihadiri wakil pimpinan dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain seperti Mohamad Sabu, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Elizabeth Wong, Teresa Kok, Maria Chin dan Haris Ibrahim.

 

Categories
NASIONAL

Polis, Penguatkuasa DBKL Tumbuk, Rampas Khemah Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 16 APR: Perkhemahan aktivis mahasiswa sejak Sabtu lalu di Dataran Merdeka yang menuntut agar Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan telah dirampas oleh pihak berkuasa pagi ini.

Pada masa kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, hampir 20 aktivis mahasiswa tersebut telah berhadapan dengan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis berpakaian seragam serta preman.

Kejadian rampasan baki lima khemah yang masih bertahan itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dan ahasiswa-mahasiswa tersebut telah dikasari termasuk ada yang ditumbuk oleh anggota-anggota penguatkuasa tersebut.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, kesan daripada pergelutan tersebut telah menyebabkan salah seorang dari mereka mengalami pendarahan.

“Masa tu kami cuba pertahankan khemah-khemah kami tetapi mereka gunakan kekerasan.

“Pada masa itu berlaku pergelutan dan dalam keadaan kelam kabut itu beberapa mahasiswa telah ditumbuk termasuklah saya sendiri.

“Salah seorang dari kami, Alif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula berdarah di bahagian leher.

Syahid memberitahu barisan pemimpin aktivis mahasiswa terbabit akan mengadakan perbincangan untuk meputuskan samada akan mengemukakan laporan polis terhadap keganasan yang dilakukan ke atas mereka atau sebaliknya.

“Pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa akan bincang samada nak lapor kepada polis atau tidak tetapi apa yang pasti, kami akan terus berada di sini walaupun khemah kami telah dirampas.

“Kami masih menunggu respon dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi menuntut PTPTN dimansuhkan telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak Sabtu lalu lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara pihak yang melawat perkhemahan aktivis mahasiswa tersebut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Selain itu turut kelihatan adalah ahli-ahli dari Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ahli-ahli politik lain dari Pakatan Rakyat.

Pada masa ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah gagal dihubungi TVS untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu ini.

Categories
NASIONAL

DBKL Cuba Usir Perkhemahan Mahasiswa di Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 15 APR: Situasi di perkhemahan gerakan mahasiswa di Dataran Merdeka hari ini tegang apabila pihak berkuasa meningkatkan usaha untuk mengusir aktivis tersebut dari tapak lokasi yang bersejarah itu.

Lima khemah yang baru didirikan pagi ini telah dibuka atas arahan pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada kira-kira jam 2 petang.

Setakat laporan ini, hanya lima khemah yang tinggal di dalam kempen yang dimulakan semalam sebagai usaha untuk mendesak Kerajaan Pusat untuk memansuhkan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, tindakan DBKL itu dapat tentangan daripada orang awam yang turun untuk memberi sokongan kepada kumpulan 30 orang mahasiswa yang bermalam di dalam khemah tersebut.

Seorang individu dilihat berbalah dengan pegawai DBKL yang cuba mengarahkan aktivis tersebut untuk menurunkan khemah mereka.

Perkhemahan tersebut didirikan petang semalam sebagai lanjutan himpunan aktivis pelajar di Kuala Lumpur semalam yang menuntutkan agar PTPTN dimansuhkan.

Perkhemahan yang diadirikan sejurus selesai perarakan demontrasi tersebut telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak semalam lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara yang melawat lokasi perkhemahan semalam adalah Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, ahli-ahli dari Majlis Peguam, masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, pelawat-pelawat yang mengunjungi mereka telah  memberikan satu suntikan semangat untuk mereka terus bertahan di situ.

“Kedatangan Pak Samad (A.Samad Said), Datuk Ambiga dan ahli-ahli Majlis Peguam dan beberapa aktivis lain di lokasi perkhemahan kami telah menambahkan semangat kami untuk terus bertahan.

“Tak cukup dengan itu, mereka turut membawakan bekalan makanan kepada kami.

“Selain itu kami turut menerima kunjungan orang ramai samada masyarakat tempatan mahupun pelancong asing dan kami telah mengambil kesempatan untuk memberikan penerangan kepada mereka.

“Rata-rata orang ramai yang datang telah memberikan kata-kata semangat kepada kami,” beritahu Syahid kepada TVS.

Gerakan mahasiswa tersebut turut mengadakan beberapa program di lokasi perkhemahan seperti mengadakan forum, pidato, sesi penerangan dan ‘flash mob’.

Himpunan semalam menarik hampir 4,000 anak-anak muda untuk berarak dari Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka supaya PTPTN dihapuskan dan diganti dengan pendidikan percuma.

Selain golongan mahasiswa demontrasi tersebut turut mendapat sokongan ahli-ahli politik Pakatan Rakyat dan aktivis sosial lain.

Antara yang kelihatan di dalam demontrasi semalam ialah Ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, MP Batu, Tian Chua, MP Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj, aktivis sosial terkenal, Hishamuddin Rais dan Haris Ibrahim.

Perarakan demontrasi petang semalam telah bermula jam dua petang bermula dari masjid jamek, menuju bangunan Sogo (melalui Jalan Raja Laut), bergerak di Jalan Tunku Abdul Rahman dan berakhir di Dataran Merdeka.

Berbeza dengan siri-siri demontrasi sebelum ini yang mengundanng kehadiran anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dan berakhir dengan keganasan, demontrasi petang semalam berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang kekacauan.

Orang ramai yang ditemui di arked membeli-belah sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman turut menyatakan mereka tidak merasa sebarang kebimbangan akan keselamatan mereka dengan kehadiran kumpulan protes tersebut.

Sebaliknya orang ramai yang sedang membeli belah tetap meneruskan urusan masing-masing.

Berapa peniaga pula memberitahu keadaan akan menjadi tidak terkawal dan menakutkan apabila demontrasi yang dijalankan mendapat halangan pihak polis.

Categories
NASIONAL

400,000 Pengundi Meragukan, Ahli Lembaga SPR Didesak Lepas Jawatan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL – Bersih 2.0 mendesak ahli lembaga Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar meletak jawatan serta merta memandangkan pentadbiran sedia ada gagal untuk membersihkan daftar pemilih sekaligus menjejaskan integriti Pilihanraya Umum Ke-13(PRU-13) akan datang.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A Samad Said mendakwa, terdapat lebih dari 400,000 pengundi disyaki meragukan melalui hasil penemuan yang dibuat oleh Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP).

?Kepercayaan terhadap SPR yang wujud pada hari ini semakin terhakis kerana membiarkan penipuan terus berlaku dan perlu digantikan dengan ahli lembaga yang baru dan perkara ini mesti diselesaikan sebelum Pilihanraya Umum yang akan datang,? katanya.

Hasil penyelidikan MERAP mengenal pasti 10 masalah pokok terutamanya berkaitan khusus mengenai daftar pemilih.

Bersih mendakwa, berdasarkan beberapa kes di Selangor pada suku tahun pertama 2012 mendapati, pendaftaran dua kali ditemui ketika 15,520 pengundi di Sabah dan 8,585 pengundi di Sarawak didaftarkan semula di Selangor.

Selain itu, masih terdapat lebih 15 orang didaftarkan sebagai pengundi dalam sebuah rumah manakala sebanyak 7,841 pengundi didaftarkan di bawah Code 71 dimana code ini untuk warganegara dilahirkan di luar negara.

Dalam suku tahun terakhir 2011, tiada kematian dilaporkan di bawah Code 33 di Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, dan Tanjong Karang. Namun demikian, banyak sijil kematian telah dikeluarkan di tempat-tempat tersebut pada suku tahun itu.

Jelas Pak Samad, hasil penyelidikan ini juga memperkukuh lagi keperluan untuk membersihkan daftar pemilih sebelum pilihanraya umum dijalankan.

?SPR terbukti telah gagal menjalankan tanggungjawab untuk memastikan pilihanraya yang bersih dan adil. SPR bukannya menjamin ?satu orang satu undi?, sebaliknya SPR telah bersekongkol dalam penipuan yang diterangkan di atas.

?Membiarkan ahli lembaga Sesuruhjaya Pilihanraya sekarang terus bertugas hanya akan menjadikan pilihan raya umum yang akan datang ini  terkotor, tidak adil dan tidak demokratik,? tegas Pak Samad.

Bersih 3.0 ?Duduk Bantah? akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 28 April 2012.