Categories
NASIONAL

Zahid Tidak Hargai Sumbangan Bekas Pegawai ATM

Zahid Tak Hargai 01

PETALING JAYA, 6 FEB: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi seharusnya bersikap terbuka menerima pandangan dan kritikan Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghaffir Abdul Hamid dan bukannya memandang sinis teguran yang dibuat.

Ini kerana kritikan Ghaffir hanya bertujuan mempertahankan kebajikan dan keberkesanan Anggota Tentera Malaysia (ATM) menjalankan tugas mempertahankan negara.

Pengerusi Majlis Rundingan Keselamatan PKR, Briged Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Khatab berkata, Zahid sepatutnya berhadapan dan menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Ghaffir sebelum ini.

Dan serangan peribadi yang dibuat Zahid sebelum ini jelas melambangkan sikap menteri-menteri Umno-BN yang tidak menghargai sumbangan bekas-bekas pegawai tertinggi ATM.

“Pandangan beliau (Datuk Ghaffir) bahawa proses perolehan pembelian persenjataan perlu dibuat dengan telus mewakili suara rakyat yang merasakan penyelewengan dan ketirisan melemahkan keberkesanan ATM.

“Saya menyeru semua pihak menerima kritikan dari bekas-bekas pegawai tertinggi ATM seperti Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghaffir menerimanya secara terbuka dan ikhlas selagi kritikan itu demi kepentingan dan kebajikan anggota tentera,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Ghaffir sebelum ini menceritakan pengalaman beliau sepanjang berkhidmat di dalam ATM yang menyaksikan keadaan serba kekurangan kem tentera yang diwarisi daripada pentadbiran British dan proses pembelian persenjataan negara yang tidak melibatkan pemindahan teknologi sepertimana yang dilaksanakan di negara-negara lain.

Selain itu, kekurangan bekalan peralatan untuk kegunaan anggota Batalion Malaysia yang menyertai Pasukan Pengaman PBB di Namibia.

Jelas Abdul Hadi, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada siri Jelajah PKR ke kem-kem tentera menunjukkan sentimen kuat menyokong pendirian Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghaffir.

Oleh yang demikian, siri jelajah ini akan disambung ke kem-kem di Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Melaka dan Johor.