Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 1,200 individu jalani saringan di DUN Sentosa

KLANG, 31 MEI: Saringan Komuniti percuma di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya menarik lebih 1,200 individu pada hari ini.

Koordinatornya berkata jumlah itu dijangka meningkat sehingga program berakhir berikutan angka terbabit hanya melibatkan individu yang membuat pradaftar.

“Setakat tengah hari tadi kira-kira 600 individu telah membuat saringan iaitu sebahagian besar hadir selepas membuat janji temu di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Berdasarkan makluman situasi sama berlaku di Pandamaran dengan orang ramai mengambil kesempatan membuat saringan sebelum perintah kawalan penuh dilaksana,” kata Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Taman Klang Jaya di sini, hari ini.

Katanya, beliau mendapati terdapat dalam kalangan peserta yang hadir dengan pelbagai gejala seperti demam, batuk, mata berair dan lesu sehingga perlu dipimpin.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 DUN dengan memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jangkitan Covid-19 tanpa gejala boleh dialami semua

GOMBAK, 20 MEI: Golongan ‘pembawa senyap’ dijangkiti Covid-19 tidak bergejala boleh dialami sesiapa sahaja tanpa mengenal usia.

Bagaimanapun, koordinator Saringan Komuniti menjelaskan risiko jangkitan tanpa simptom terhadap warga emas lebih tinggi berbanding golongan muda.

Menurut Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman, individu dalam kategori tersebut memiliki sistem imun sangat lemah untuk melawan serangan virus selain pelbagai penyakit kronik sedia ada dihidapi.

“Perkara ini menyebabkan kerajaan mahu mempercepatkan suntikan vaksin untuk warga emas pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Sri Siantan di sini hari ini yang menyasarkan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman bercakap kepada media selepas meninjau tapak program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 20 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Abdul Hadri Hakimi berkata banyak kes tanpa gejala membabitkan anak muda dikesan menerusi program itu kerana ramai daripada mereka turut serta berbanding warga emas yang mungkin berdepan masalah kesihatan untuk hadir.

Sementara itu, beliau berkata kes positif itu bukan dilihat berdasarkan penempatan penduduk sebaliknya faktor gaya hidup meningkatkan risiko jangkitan.

“Ia membabitkan aktiviti harian masyarakat keluar ke tempat awam tanpa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) seperti tidak menjaga penjarakan fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman selain bersentuhan dengan individu mempunyai kontak rapat,” katanya.